Mutiara Buat Muslimah
Beritahu pada muslimah itu dirinya ibarat kaca; disentuh terguris, dihantuk serpih, dihempap berkecai. Beritahu pada muslimah itu jaga tutur kata; cakap tinggi nanti dibenci, terlalu rendah dipijak pula, cakap sombong mengundang lawan, hati-hati meluah kata, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Beritahu pada muslimah itu jaga tingkah laku; harga diri letaknya di situ, jangan meluru ikut telunjuk nafsu, sesekali tersilap langkah, akan dihukum selamanya, keturunan dicerca payah, menyesal kemudian bukan faedah. Beritahu pada muslimah itu jaga pakaian; ia cermin peribadi, juga lambang bangsa, di mana dan dalam keadaan macam manapun, biar orang kenal... Dia orang ISLAM. Beritahu pada muslimah itu simpan secebis malu; kerana malu itu, sebahagian daripada iman...
Ya Allah,
Bahawa qada' dan qadar itu memberikan aku kekuatan dan semangat yang tinggi. Hawa nafsu itulah menguatkan keinginan syahwat yang menjurus aku ke arah perlakuan yang Engkau larang. Oleh sebab itu, aku berharap sangat pada Mu wahai Tuhan ku, agar dapat membantu ku sehingga pertolongan Mu itu aku mendapat petunjuk daripada Mu. Sembuhkanlah aku dengan keredhaan dan keistimewaan Mu agar aku boleh beribadah dengan sempurna dengan kurniaan dan anugerah Mu tanpa sebab aku memintanya. Ya Allah, harapanku tak putus-putus kepada Mu walaupun aku ada melakukan maksiat, aku sentiasa berasa takut kepada Mu. Perkenankan hajatku dengan kemuliaan Mu, aamin.
0 leaves:
Post a Comment