♥ Cerita Dalam Rumahtangga ♥
Bismillahirrahmanirrahim.
Kisah 1.
Seorang suami yang baru pulang dari pejabat, dengan keletihan yang menjalar segenap urat dan sendi seluruh tubuh membuka pintu rumah dan melihat 'hidangan istimewa' yang dibuat oleh anak-anak berupa mainan yang indah dihias di atas lantai, baldi, sudip dan kuali tidak ketinggalan menghiasi pemandangan di ruang tamu.
Dengan penuh senyuman memberi dakapan buat anak-anak dan mengutip satu demi satu 'hiasan' yang dibuat oleh anak-anak ke dalam bakul permainan, mengambil baldi dan menyimpan semula ke tempatnya, mengutip sudip dan kuali untuk diletakkan semula ke dapur. Melihat si isteri yang sedang memasak, suami sambil tersenyum membuka peti ais dan mengambil botol air yang berisi air sejuk. Duduk dan menikmati.
Di hatinya, mungkin isterinya tidak sempat mengemas rumah atau barangkali sebenarnya entah sudah berapa kali dikemas rumah tetapi tetap juga 'dikemas' semula oleh anak-anak. Lalu, dia menghulurkan bantuan untuk mengindahkan pemandangan mata. Isterinya juga seorang manusia, ada penatnya, ada letihnya. Bukanlah robot yang menyiapkan segalanya tip top tanpa ada kekurangan. Dia pasti isterinya sudah berusaha sebaiknya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak.
Buat sesuatu bukan kerana isteri dan anak-anaknya tetapi kerana Allah dan cintakan sunnah Rasulullah. Rasulullah menganjurkan untuk berbuat baik kepada keluarga, maka sebaiknya dialah sebagai suami dan bapa menjadi contoh terbaik sebagai ikutan kepada isteri dan anak-anak. Dia telah meneladani sunnah Rasulullah dan mengamalkannya di dalam kehidupan. Hatinya berbunga-bunga. Terima kasih Allah!
Kisah 2.
Seorang isteri setia menunggu kepulangan suami, jam sudah melewati malam. Hidangan belum disimpan kerana bimbang suami sedang lapar apabila tiba di rumah. SMS dihantar, suami memaklumkan belum makan. Isteri dengan senang hati memanaskan kembali lauk dan sedi untuk menghidang. Suami tiba di rumah beberapa ketika, dan memaklumkan mahu keluar bertemu dengan rakan lama. Si isteri lalu tersenyum.
Alhamdulillah. Lauk sudah dipanas, biarkan sejuk semula sebelum disimpan ke dalam peti ais.
Memang boleh untuk merasa kecil hati kerana sudah menunggu dan menyiapkan makan malam untuk suami, dan suami sedikit pun tidak menjamahnya tetapi perasaan itu ditolak ke tepi.
Buat sesuatu bukan kerana suaminya tetapi kerana Allah. Allah yang memerintahkan seorang isteri untuk berbakti kepada suami, Allah yang memerintahkan seorang isteri untuk melayani suami sebaiknya. Jadi, Allah meletakkan suami sebagai wasilah dan jalan untuk buat amalan soleh. Maka, perasaannya menjadi berbunga-bunga. Terima kasih Allah!
Kisah 3.
Seorang ibu memasak sebaik mungkin dengan keadaan kesihatan yang sedang diuji. Selesai memasak, dihidangkan makanan buat anak-anak tetapi ada yang mengadu tidak berselera untuk menjamah makanan, ada yang makan tanpa banyak berbicara.
Si ibu duduk, menenangkan diri. Boleh saja merasa sakit hati kerana anaknya tidak menghargai masakan yang diusahakannya dalam keadaan menahan sakit tetapi dia memilih untuk berdiam dan menenangkan diri.
Allah berikan anak-anak sebagai anugerah dan juga sebagai ujian.
Allah yang menyuruh ibubapa mendidik anak dengan baik, bukan untuk dibalas jasa apabila tua, bukan untuk mendapat habuan dunia selepas anak-anak berkerjaya tetapi untuk Allah. Ya untuk Allah, maka dia berusaha untuk meleraikan perasaan sakit hatinya, melepaskan perasaan tersebut jauh-jauh lalu mengambil makanan yang sedia dimakan, disuap perlahan-lahan ke mulut anak.
Mendidik anak bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk Allah. Kerana Allah yang menyuruh memberi didikan agama. InsyaAllah, apabila anak diberikan didikan agama maka si anak tersebut dengan sendirinya akan berbakti kepada kedua ibubapanya, kerana anaknya juga berbakti kepada ibubapa disebabkan oleh Allah.
Pasangan yang paling mendalam cintanya kepada Allah akan paling mendalam cintanya terhadap pasangannya!
Dari Allah kita datang.
Kepada Allah kita kembali.
Maka, hiduplah untuk keredhaan Allah.
Bukan selain Nya! :)
Wallahua'lam.
Ummu Amir.
4 leaves:
Semuanya indah, jika kerana Allah.^_^
terima kasih. Jazakallahu khairan kathira... peringatan untuk diri sendiri dlm melayari bahtera rumah tangga... :)
Terasa diri ini serba kekurangan...
sangat indah,menyejukan hati seorg isteri =)
Post a Comment