"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

08 August 2014

Jatuh Dalam Longkang

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam Amir Solihin ikut abi ke surau, nak solat Isyak. Sejak minggu ni ada abang soleh yang setiap kali jumpa Amir Solihin, diberinya duit 20sen. MashaAllah, Amir Solihin jadi suka dan tak sabar nak ke surau bila dengar seruan azan. Baru dilaungkan takbir, Amir Solihin dah tarik tangan abi ajak wuduk.

Seronok jumpa abang.

Malam tadi, belum sempat sampai ke surau untuk solat Isyak, Amir Solihin yang sudah siapkan duit 20sen untuk diberikan kepada abang soleh yang selalu melayannya tiba-tiba balik dengan tangisan. Dari jauh sudah mendengar tangisannya, terus buka pintu.

"Jatuh, dalam longkang."

Suami hantar ke muka pintu dan terus ke surau. Saya buka jubah Amir Solihin, buka juga kasutnya. Lihat sini sana, kaki tangan, muka dan kepala kalau-kalau ada luka atau calar.

Langsung tak ada.

Pulang dari surau, suami cerita solatnya tidak khusyuk kerana berfikir bagaimana Amir Solihin boleh "tersangkut" di longkang, hanya tangan berpaut ke tepi longkang, seluruh badannya seolah "tersangkut", tetapi longkang tersebut agak dalam, bahkan "pelik" bagaimana boleh tersangkut sedemikian.

Saya terus ketawa.

"Ada malaikat sambut la tu, orang nak pergi solat berjemaah di surau..." :P

Allahuakbar, Si kecil ini kadang-kadang mengganggu emosi sehingga meledak perasaan ummi, ada kala dialah yang menjadi punca untuk semua orang ketawa.

Rabbi habli minassolihin.

Alhamdulillah, Amir Solihin masih konsisten mahu berjemaah di surau meskipun adakalanya dia mengadu dipukul oleh abang-abang semasa "bermain" di surau. Adakalanya ummi pula pening kepada bila pulang ke rumah, Amir Solihin mengadu tidak solat bahkan tolak abang-abang yang lain.

Perlu selalu, berulang-ulang, sentiasa mengingatkan untuk SOLAT, SOLAT, SOLAT.

Solat dahulu, baru main dengan abang-abang.

Jangan boikot masjid pula ya.

"Ummi, jom la ikut pergi solat surau."

"Tak nak la, Ummi solat rumah je..."

Sebaik-baik tempat solat bagi wanita adalah di rumahnya.

Islam itu mudah, simple, flaksible. :)

Read more...

23 July 2014

Perkongsian : Kecemburuan Yang Dicemburui

Bismillahirrahmanirrahim. 

Awal pagi lagi sudah mengadu dengan suami fasal Ramadhan, tahun ini langsung tidak menjejakkan kaki untuk solat terawih berjemaah di mana-mana surau atau masjid, solat terawih juga ekspress walaupun banyak kali berhenti. 

Beruntunglah, bila teringatkan pesan Nabi s.a.w, jangan dihalang wanita yang mahu ke masjid untuk bersolat tetapi Nabi s.a.w. juga ada pesan, tempat solat yang terbaik untuk wanita adalah di tempat tidurnya. 

Kalau ada kem motivasi, penceramah menganjur pelajar supaya mengambil 'ibrah daripada kereta api. Perjalanan pada permulaannya perlahan, lama-kelamaan menjadi semakin laju, apabila sudah mencapai kelajuan yang tinggi, sukar pula untuk berhenti. 


Saya terfikir, bagaimana untuk mengayuh usaha supaya menjadi seperti kereta api yang permulaannya perlahan dan apabila sudah mencapai kelajuan akan sukar pula untuk berhenti... Selesai solat 2 rakaat, anak datang menghampiri... bila lihat pampersnya sudah ada isi, selesaikan urusan anak. Selesai lagi 2 rakaat, anak kecil datang lagi menghampiri minta ditukarkan pampersnya. Baru selesai 6 rakaat, yang sulung datang menyapa "Ummi dah la, Ummi jangan la solat lagi..." 

Perhentiannya banyak, baru merangkak-rangkak sudah ada yang datang membawa signal suruh berhenti. Pujuk sebentar mohon dia duduk di tepi dan sabar menanti, sudah penat anakanda ikut solat di sebelah ummi. "Sikit lagi ya... Sikit je lagi." 

Cepat-cepat sambung baki. 

Allah bagi juga peluang untuk kami, merasai apa yang dirasai oleh orang lain. Enak-enak bahagia dengan pesta ibadah, cuma perjalanan kami lambat dan selalu berhenti. Mungkin ada yang mengeluh (saya la tu) bila kereta api selalu berhenti, nak mulakan semula kereta api perlu mujahadah yang tinggi, belum pun mencapai kelajuan yang dihajati sudah berhenti-henti. 

Namun, ada yang diajarkan Allah dalam episod ini. 

Ramai. Sangat ramai yang mahu menikmati suasana ini, bertemankan tangisan dan duka lara berpanjangan, menjadi buah mulut dan sindiran orang lain... Ramai yang berhajat untuk merasai bagaimanakah suasana riuh rendah dengan kehadiran anak-anak di sisi. 

Sabar, 
Tarbiyyah perlukan masa. 

Tarbiyyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah. 

Hati ini, jiwa ini, jasad ini, perlu selalu diingatkan... Apa yang kita cemburukan apabila melihat orang lain, sebenarnya kitalah yang dicemburui oleh orang lain. 

Nikmat dan ujian, setiap manusia tidak sama. 

Alangkah beruntungnya kami, Kerana Nabi s.a.w. pernah memberitahu, gandaan pahala diberi sejauh mana kesusahan itu dirasai. 

Subhanallah, moga diri terus sabar dalam memberi.



Ibu-ibu, 
Kalian hebat! Semakin bertambah anak, semakin bertambah tanggungjawab dan semakin berkuranglah masa untuk bersenang-senang. 

Ibu-ibu, 
Kalian hebat! Dengan kehebatan kasih mu, moga tumpahlah rahmat dan maghfirah Allah kepada kalian semua...

Read more...

22 July 2014

Perkongsian : Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim. 

"Ramadhan datang seperti angin, akan pergi seperti angin." 

Tersentuh dengan kata-kata admin kumpulan ODOJ. Terasa baru semalam bersiap untuk menyambut Ramadhan, rupanya Ramadhan sudah hampir ke penghujung. Masing-masing sudah bercerita tentang sambutan Aidilfitri. 

Beribadahlah kerana Allah, bukan kerana Ramadhan. 
Ramadhan pasti meninggalkan kita, tapi Allah kekal selamanya. 

Subhanallah. 

InsyaAllah, madrasah Ramadhan mudah-mudahan menjadikan kita lebih bersemangat untuk teruskan misi-misi ibadah sehingga penghujung nyawa. 

Jaga aurat antara lelaki dan perempuan, ipar duai, biras, besan, sepupu sepapat.

- Tudung antara perkara yang dilupakan bila berada di dalam rumah sedangkan ipar duai sepupu sepapat sedang berziarah. 

- Usah berkemban bemban keluar dari bilik mandi. 

Jaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan, ipar duai, biras, besan, sepupu sepapat. 

- Bersalam meminta ampun dan maaf jangan sampai mengumpul dosa bersentuhan dengan yang tidak halal.

- Tidur biar berasingan supaya ipar duai tidak melihat aurat semasa tidur, pakailah pakaian yang sesuai 

Bercanda biar kena tempatnya. 

- Jangan suka mengusik-usik ipar duai meskipun sudah dianggap seperti kakak/abang/adik sendiri, jangan suka berlawak lucah. 


Semoga Ramadhan, tidak sekadar berpuasa lapar dan dahaga.
:)

Read more...

24 June 2014

Muhasabah : Anak Kecil di Masjid

Bismillahirrahmanirrahim.

Anakanda Amir Solihin insyaAllah bulan depan mengikut kalender Masihi berusia 3 tahun, mengikut kalender hijri sudah berusia 3 tahun. Sejak dari alam rahim memang dekat dengan masjid kerana Abi Amir seorang imam, alhamdulillah rumah pula memang di dalam kawasan surau, rumah dan surau hanya jarak dengan lapisan dinding sahaja. 

Tahun pertama (iaitu bulan pertama) kelahiran Amir Solihin, bulan Ramadhan. Suasana terawih yang meriah, bunyi speaker yang sangat kuat bahkan direct menghala ke tingkap bilik kami bukan penghalang malah Amir Solihin boleh tidur dengan nyenyak sepanjang teraweh. Bila usianya sudah menjangkau 1 tahun, dia kerap merengek minta untuk ikut abinya ke surau. 

Lama kelamaan ahli kariah sangat maklum akan kehadiran Amir Solihin, bahkan mereka sangat meraikan Amir Solihin meskipun ada ketikanya dia merangkak di celah saff wanita, ada masanya dia sedang merangkak diantara dua sujud, dia boleh sabar sehingga 'nenek-nenek' solehah sujud, dia akan terus merangkak selepas nenek bangun dari sujud. 


Amir Solihin request nak pakai serban, "Macam Abi la..."

Kid always acting like a kid! 

'Nenek-nenek' suka melayan Amir Solihin bermain, bila saya lihat mereka lebih berminat dengan Amir Solihin berbanding pengajian yang suami sedang buat, saya ambil keputusan duduk di rumah dengan Amir Solihin sambil melayani kuliah Maghrib dari corong speaker yang memang menghala ke tingkap bilik. Alhamdulillah, syukur dengan suasana yang akrab dengan majlis ilmu walau jasad tidak bersama di dalam majlis ilmu. 

Kini, usianya 3 tahun mengikut kalender Hijri. Alhamdulillah, dek kerana kebaikan 'nenek-nenek' yang selalu meraikan kehadiran Amir Solihin di surau, dia kini sudah menghafal al-Fatihah sedikit demi sedikit lantaran saban hari mendengar bacaan al-Fatihah yang dialunkan oleh imam.

Banyak pahit dan manis membawa khalifah kecil ini berjalan dari masjid ke masjid. Ada juga pahit sehingga melukakan hati seorang ibu ini, ada juga duka yang membuatkan hati sukar terubat dengan tingkah manusia yang menganggap anak-anak Syurga sebagai "NAJIS" yang diharamkan masuk ke dalam masjid. 

Begitulah, 
Sikap kita yang menghalang anak-anak kecil dekat dengan masjid akan membuatkan mereka anak-anak Syurga ini selesa dan seronok apabila berada di taman permainan ataupun tempat hiburan yang meraikan kehadiran mereka. Maka, apakah suatu ketika nanti kita mengharapkan Islam akan bangkit dalam jiwa-jiwa pemuda TANPA TARBIYYAH DARI AWAL? 

Sahabat, 
Sungguh sebal hati ini bila anak kecil yang beramah tamah ingin menyapa nenek, mahu bersalaman dengan nenek, terus mendengar dengusan nada membenci dan terus menarik telekung. Sebal. Bukan anak kecil ini najis, bahkan dia ahli Syurga. Andai Allah menjemputnya dahulu, tiada keraguan bahawa dia ahli Syurga. 

Kita? Belum tentu lagi... 

Sahabat, 
Ingatlah pesan Rasulullah, barangsiapa yang Allah kehendaki KEBAIKAN untuknya maka diberikan kefahaman dalam agama. 

Kata abi Amir, kefahaman dalam agama tidak sama dengan tahu tentang agama. Tahu belum tentu faham tetapi faham akan hadir dengan pengetahuan. 

Ibu-ibu,
Cintailah Allah dan ajarlah anak-anak mencintai Allah, moga kelak anak-anak lebih mencintai Allah daripada kecintaan kepada makhlukNya dan mencintai makhlukNya dengan cara yang Dia ajarkan. 

Wallahua'lam. 

Dari hati kecil, 
Ummu Amir wa Amri.

Read more...

28 March 2014

Allah Bagi Sakit

Bismillahirrahmanirrahim.

Bulan Mac bulan Allah bagi sakit, sedikit seorang Allah bagi rasa :)

Awalnya suami demam panas, disusuli dengan Amir Solihin sehingga masuk wad akibat jangkitan kuman dalam darah, batuk dan muntah berpanjangan sehingga batuk berdarah. Kurus kering kerana hanya minum air kosong sahaja. Jururawat suka kerana tidak perlukan IV drip pada Amir Solihin, air kosong yang diminum sangat membantu proses pemulihan dan mengelakkan dehidrasi.

2 hari selepas Amir Solihin keluar wad, Amri Suhaily menyahut giliran untuk demam panas, muntah berpanjangan, batuk yang sangat kering sehinggakan setiap kali batuk pasti akan menangis. Bonda saya kesian dan bimbang Amri Suhaily dimasukkan ke wad, bimbang saya pula yang tidak cukup rehat jadinya Amri Suhaily mendapatkan rawatan dari klinik swasta sahaja.

Setelah mendengar nasihat dan pandangan seorang teman yang sangat saya selesa dengan pandangan perubatan, sebagai seorang pegawai perubatan, saya sangat selesa dengan pandangan kesihatan yang sering beliau kongsikan dengan saya.

Akhirnya saya memberhentikan kesemua ubatan klinik yang sudah diambil oleh Amri Suhaily beberapa hari kerana melihat keadaan Amri Suhaily tidak berubah. Masih muntah-muntah, susut berganda kerana tidak mampu makan atau minum susu, terus muntah. Saya cuba berikan 3 titis habbatus sauda kepada Amri Suhaily, letakkan titisan habbatus sauda ke hujung sudu kecil dan diberikan secara langsung (oral) kepada Amri Suhaily selang sehari. Alhamdulillah, batuknya berkurangan dan mula bunyi kahak, hingus keluar sangat banyak. Hari ke-2, saya tak bagi habbatus sauda. Hari ke-3 saya berikan semula habbatus sauda, alhamdulillah Allah izinkan untuk kurangkan selesema.

Ya, berterusan sehingga hari ini, habbatus sauda diberikan kepada Amri Suhaily sebagai ikhtiar untuk membantu proses penyembuhan. Allah yang memberi kesembuhan :)

Selepas ketiga-tiga HERO sembuh, giliran saya bertamu. Alhamdulillah, masih Allah rezekikan saya untuk merasa, Dia tak lupakan saya yang sibuk dengan keluarga, Dia berikan juga peluang kepada saya.

Begitu rasanya :)

Awalnya gusi membengkak, sangkaan saya kurang minum susu, kekurangan kalsium dan macam-macam andaian. Bengkak merebak sehingga ke pipi dan bahagian mata juga telinga. Atau, ada raksasa nak keluar dari gusi saya? Allah, memang sakitnya berdenyut-denyut, pergi ke klinik pergigian tiada yang sudi menerima saya kerana jadual doktor sudah penuh dengan pesakit.

Allah, akhirnya ke farmasi beli ubat penahan sakit. Bukan kata nak senyum, nak buka mulut pun tak boleh :D

Bonda terus-terusan kata, saya nak tumbuh gigi bongsu.

Dah lupa macammana peritnya nak tumbuh gigi. Allah bagi peluang dan rezeki untuk rasa apa yang anak-anak merasa, kerana manusia mudah terlupa lalu Dia hadirkan kembali suasana agar kita kembali mengimbau untuk dijadikan pedoman masa hadapan.

Sakit rupanya nak tumbuh gigi, patutlah bila anak nak tumbuh gigi sampai demam-demam menanti gigi.

Selamat datang gigi bongsu!

Terima kasih wahai Allah,

Memberi dan terus memberi kepada kami lebih dari apa yang kami mahu,
Engkau sentiasa berikan apa yang kami perlu :)

Read more...

25 February 2014

Saat Engkau Bujang

Bismillahirrahmanirrahim. 

Buat sahabat-sahabat yang masih belum berkeluarga (bujang). Suatu ketika melihat orang lain seronok dan gembira dengan pasangan, pasti terselit perasaan cambest tengok kemesraan orang yang sudah menikah. Suatu ketika melihat rakan-rakan memegang anak, pasti terselit perasaan cambest tengok kemesraan ibu dan anak yang terjalin. 

Sesuatu yang sering kamu lupa semasa hidup sebelum berkeluarga adalah nikmat masa bersendirian. Saat kamu punya peluang yang terbentang sangat-sangat luas untuk membaca al-Quran bila-bila masa yang kamu suka, peluang untuk kamu bertahajjud pada mana-mana waktu yang kamu selesa, peluang untuk kamu fokus semasa solat fardhu. 

Tidak semestinya dengan perkahwinan sahaja kamu akan menikmati kebahagiaan, Allah beri jalan yang luas untuk merasai kebahagiaan walaupun semasa bujang. Kamu punya ruang dan peluang yang sangat luas dan lebar untuk menumpahkan kudrat kepada jalan-jalan kebajikan, ayuh! gunakan tenaga mudamu untuk ummah. 


Saudariku sayang, 

Ramai yang mencemburui nikmatnya waktu semasa bujang tatkala membaca al-Quran seberapa lama yang kita suka tanpa adanya makhluk-makhluk halus yang comel menarik al-Quran dari tangan kita. 

Ramai yang mencemburui nikmatnya waktu semasa bujang tatkala solat tanpa adanya makhluk-makhluk halus yang comel memanjat badan semasa rukuk, duduk di atas belakang semasa sujud, menarik telekung dan tudung semasa qiyam. 

Ramai yang mencemburui nikmatnya waktu semasa bujang tatkala kamu sedang membersihkan diri di kamar mandi tanpa ada ketukan demi ketukan, gendangan-gendangan yang bertalu di pintu dari makhluk-makhluk halus yang comel itu :) 

Anak. 

Mereka tidak minta untuk hadir ke dunia, tetapi kehadiran mereka penuh dengan warna suka dan duka. Memang kamu akan merasa seronok, suka, geram nak gigit dan kunyah sampai lumat seterusnya telan sebab keletah mereka sangat comel. Tapi, tidak setiap masa dan saat kecomelan mereka kekalkan. Ada ketikanya, langsung tak comel dan kamu akan turut sama menjadi tak comel bila mereka sedang bertantrum :) 

Nikmatilah masa bujangmu, kelak engkau akan mencemburi masa-masamu dan engkau lebih menghargai waktu bersendirian. 

Sahabatmu,
:)

Read more...

04 February 2014

Berdiri dan Terus Berlari

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama jemari tidak menari, mencari sisipan yang hilang terbang dek angin yang menggoncang. Terkadang hati berkata tapi lidah kelu tak bersuara. Terkadang segala rasa pun hilang oleh masa yang terus berjalan, terus dan terus bergerak tanpa menunggu kita. Beruntunglah pada mereka yang bersegera melakukan kebaikan dan segera meninggalkan maksiat. Bersegera menambah amal, bersegera taubat dan kembali kepada fitrah manusia yang mencintai kebaikan dan mencintai orang yang berbuat kebaikan.

Januari berlalu. Sungguh pantas 2014 berjalan, tak menunggu walau sedetik. Alangkah rugi andai masa terus kita biarkan, dengan perkara sia-sia.

Januari melakar kenangan. Sudah menginjak ke angka usia 24 tahun. Sudah tua, ya terlalu tua. Sedang amal entah timbangannya bagaimana. Belum bersedia untuk dijemput Tuhan lantaran amal yang banyak kurang.

Januari melakar kenangan. Untuk pertama kalinya ditinggalkan suami untuk tempoh yang lama dalam jarak yang jauh, sungguh ia mengajar erti kedewasaan dan mengajar untuk menjadi lebih mandiri terhadap diri dan anak-anak kecil. Terkadang, sayup dan gugur mutiara dari kelopak mata bila mendengar lontaran soalan mereka "mana abi? Abi pergi mana?" pada si kecil yang saban hari mencari dan tercari kelibat ayahnya. Luluh, terasa bagai hati kecil si anak sengaja di duga. Namun, ada hikmah dari Yang Esa, mengajar perpisahan untuk memberitahu dia, kita, kamu semua adalah pinjaman sahaja, bukan milik mutlak yang bersifat kekal. Sedang nyawa, juga Dia pinjamkan, sementara cuma. Ya, sementara!

Januari melakar kenangan. Alhamdulillah, moga hijrah kami sekeluarga memberi cahaya yang lebih indah pada gerak dan momentum dakwah juga khidmat pada ummah. Moga istikharah dan takdir Tuhan adalah jalur kehidupan terbaik untuk kami juga agama Nya, inshaAllah.

Januari melakar kenangan. Sungguh, pada yang jauh menghilang kini datang dengan khabaran. Kisah suka dan gembira untuk diraikan, moga diberikan kebahagiaan berpanjangan hingga ke Syurga Allah, inshaAllah. Hanya mengingati dalam hati, kenang dalam doa. Tanpa jasad, tanpa hadir duduk bersama. Takdir Tuhan, rencana TERBAIK buat kita.

Januari menyingsing pergi, fajar Februari menyerlahkan diri. Moga hari-hari yang sedang dan bakal dilalui menjadikan diri lebih kental menghadapi kehidupan :)

Salam,
Ummu Amir.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO