"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

29 December 2010

Macam-Macam Ragam

Bismillahirrahmanirrahim.

Sedang belajar dan masih cuba untuk menyesuaikan diri yang sedang berkembang dengan jayanya. Alhamdulillah, walaupun masih belajar dan akan terus belajar namun panjatan syukur kepada Allah atas kekuatan yang Dia pinjamkan. Trimester pertama kehamilan, ana kira agak sukses tanpa morning sickness yang teruk seperti bakal-bakal ibu yang lain tambahan pula anak sulung selalunya mengalami morning sickness yang berlanjutan sehingga trimester ketiga!

Sekadar sakit tulang belakang dan sakit pinggang, bagi ana yang sudah mengalami masalah tersebut mungkin agak lali. Ada ketika, sakitnya sangat mencucuk sampai duduk dan menangis. Tanpa ambilan pil mahupun suntikan penahan sakit, digagahkan juga untuk bertahan. Satu ketika, tak tertanggung sakit belakang sehingga hanya melihat raut muka zauj sambil menangis. Dan... Semakin kuat menangis bila zauj mula sebak. Sangat-sangat sedih okey...

Mula memotivasikan diri, ana harus kuat. Ana mesti kuatkan diri, kalau ana lemah mesti baby lahir kuat menangis. Nanti, tak boleh salahkan baby kalau baby banyak menangis sebab ummi asyik menangis je masa mengandung. Huk huk... Ana tak mahu dipersalahkan, jadi kena tanam semangat kental kuat-kuat. Nak jadi ummi tak boleh menangis lagi macam dulu-dulu, sakit macammana pun kena senyum lebar-lebar ^____^

Ibu angkat pesan, rahim sedang mengembang sebab baby semakin besar maka rahim menolak tulang belakang jadi tidak pelik kalau ana semakin sakit. Semakin besar baby, semakin rahim mengembang, semakin tulang belakang kena tolak. Bila baby besar, dah mula menendang dan boxing maka semakin memberi tekanan pada tulang belakang. Dan, good news ialah, ana tidak dibenarkan untuk menjalani terapi sepanjang tempoh kehamilan. Yes! Satu azab dah terlepas... Hik hik.

Kaki kiri dari bulan kedua dah membengkak, tak apa. Aja-aja fighting. Paling lama pun dia nak bengkak sampai baby lahir, lepas bersalin insya Allah terus hilang bengkak. Kena berlatih dan mujahadah mengiring ke kanan meskipun semakin hari semakin selesa mengiring ke kiri sebab kesakitan akan berkurangan bila mengiring ke kiri tetapi untuk kebaikan diri dan tulang belakang juga baby yang nanti akan 'terlatih' duduk sebelah kiri pasti menambahkan kesakitan maka nak atau tak nak, sakit atau tidak, selesa mahupun tidak kena paksa juga mengiring ke kanan. Lebih-lebih lagi, Nabi juga mengiring ke kanan. Iyah, aja-aja fighting! Kalau tak berjaya juga, nanti kena ikatkan badan ke kanan supaya tak bergerak :)

'Baby, jangan duduk sebelah kiri ye... Huhuhu.'

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".
(Surah Luqman ayat 13)

Duduk saja-saja, baca surah Luqman dan boleh rasa heart beat baby makin meningkat. Subhanallah. Tiba-tiba jadi sangat sentimental, teringatkan ummi. Terbayang masa ana dalam rahim, mungkin ini juga la yang ummi selalu buat. Kadang-kadang zauj akan bacakan nasihat-nasihat Luqman juga beberapa ayat dari surah yang lain, terasa heart beat baby akan meningkat. Terbayang pula pada abi, mesti abi pun selalu baca nasihat demi nasihat semasa kami anak-anak masih dalam rahim ummi.

"Insyirah, alhamdulillah bagusnya awak boleh makan nasi."

Ana garu kepala. Orang mengandung tak boleh makan nasi ke? Semakin pelik dan bertambah pelik bila semua orang pelik melihat ana makan nasi. Ibu mertua, awal pagi lagi sudah menanak nasi dan masak lauk untuk ana bersarapan. Wah!

"Syirah boleh makan nasi tak?" Ibu mertua masih lagi memujuk ana bersarapan dengan nasi yang masih panas. Orang Kelantan, makan nasi awal pagi. Ana sudah terbiasa dengan tarbiyah ibu mertua, tetapi belum terasa lapar.

"Boleh."

"Kalau boleh, jom makan. Masa mengandung, Ma tak leh makan nasi. Bau orang masak pun Ma dah muntah." Hihi, hampir setiap hari kena paksa makan nasi dan ana yang boleh makan nasi terasa semakin mengembang. Isk isk.

Itu cerita trimester pertama. Masuk trimester kedua... Haiyo, demam tak bangun-bangun dan sangatlah tak larat (ini bukan kes manja mengada-ngada). Balik kampung untuk walimah sepupu pun ana tolong sikit saja tapi tidur banyak, sangatlah tak larat. Bila berjalan sikit, dah jadi macam ketam. Senget. ^_^

"Jalan dah senget dah tu..."

Hanya mampu ketawa saja. Nak berjalan pun tak larat. Hish... Manja! Tengok nasi pun macam orang kena paksa makan, huhuhu. Maka, belajar buat pelbagai jenis bubur. Sekali makan bubur, satu resepi. Setiap kali makan, resepi yang berbeza. Tiba-tiba, waaaaaa... Nak makan bubur masakan ummi :'(

********

Zauj dah masuk semester baru. Alhamdulillah, semester yang lalu lulus dengan bergaya. Meskipun masuk wad dan study last minute, setiap hari yang ada peperiksaan maka ana akan menyibuk untuk ikut zauj memandangkan kesihatan beliau yang masih berada di tahap yang tidak memuaskan. Badan menggigil dan sangat-sangat pucat, berjalan dengan menggunakan payung sebagai tongkat. Setiap malam akan menemani zauj ulangkaji pelajaran bahkan assignment akhir beliau, ana buat 99%... Hoho!

"Lelaki yang buat master, yang dah ada isteri selalunya isteri pasti akan bantu buat assignment." Kenyataan dari ibu saudaraku yang juga seorang pensyarah.

Semester kali ini perlu lebih rajin dan lebih hebat. Insya Allah. Moga mumtaz! Tengok sijil (kalau tak salah) Daurah Hadith, ada yang dapat markah 100% maka ana garu kepala. Entah macammana la zauj study... Tapi, zauj mengaku malas study. Haha. Study smart, not hard :P

Melihat keputusan zauj yang lulus dengan bergaya, provokasi beliau supaya ana sambung belajar buat ana tersenyum lebar. Chaiyok! Insya Allah, akan meneruskan cita-cita tertangguh dan mungkin akan sama-sama belajar dengan zauj. Tapi, that time zauj buat PhD la kot... Haha. Tingginya harapan. :)

*******


Selamat Pengantin Baru

Moga kekal sehingga ke akhir hayat.
Dapat zuriat yang soleh solehah.
Barakallahu lakuma wa baraka alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr. Insya Allah.

p.s : Paling suka aksi-aksi ini... :)

Salam Mujahadah,
Insyirah Soleha.

Read more...

23 December 2010

Mengutip Ibrah di Yayasan Yestu

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Kesihatan semakin pulih. Beberapa hari kesihatan terganggu dan tersenyum bila doktor katakan "Tak ada apa yang serius, kalau habis kronik pun kamu pekak badak je." Zauj suka bawa ana jumpa doktor tersebut kalau tak sihat, mungkin sebab cara doktor tersebut yang langsung tak macam doktor, kelakar dan kadang-kadang nampak macam gaya 'mak cik kampung' yang kepoh. Hehehe. I love her so much! :P

Tiba-tiba diserang enzima pula, tapi kali ni kena dalam telinga. Memang 'pekak' juga jadinya, alhamdulillah hanya sebelah telinga je. Kalau kedua-dua belah, nampak gaya ana terpaksa la menggunakan bahasa isyarat dan menulis semasa berkomunikasi dengan orang lain. Al-hasilnya demam yang 'malu-malu' membuatkan badan tak berapa selesa. Tapi, Allah kuatkan juga semangat untuk ana menemani encik zauj.

Sudah beberapa kali bertandang ke Yayasan Restu yang terletak di Taman Seni Islam Shah Alam, bersebelahan dengan Masjid Shah Alam. Semasa Open Day Yayasan Restu, agak padat dengan tetamu dan kurang privasi untuk meninjau keadaan Yayasan Restu. Bila mengikuti encik zauj yang bermesyuarat di Yayasan Restu dan ana 'melepak' di Restu@Kids, sangat seronok rupanya membaca buku-buku mereka. Pelbagai kisah yang ringkas dan sangat padat dengan ibrah, mengungkai kehidupan dengan 'simple'.

Duduk di Restu@Kids, ana yang sebenarnya menjadi tetamu telah dianggap sebagai pekerja. Duduk bersama dua budak yang berada di Restu@Kids sangat-sangat kelakar. Tak semena-mena ana dipanggil "Teacher Syirah", awalnya ana membahasakan diri sebagai "achik" (peh, berlagak tua la pula...) tetapi mereka sangat konsisten memanggil ana sebagai "Teacher Syirah" sehinggakan ada yang datang nak mendaftarkan anak pun salah orang kerana mendengar budak-budak panggil ana "Teacher Syirah" walhal ana pun menumpang kasih saja sementara menunggu encik zauj.

"Teacher, kenapa teacher tak tutup mulut?"

Jumpa ramai budak-budak yang mengklasifikasikan niqab sebagai tutup mulut. Ana ketawa kecil dengan soalan tersebut. Terfikir, kenapa tidak dia tanyakan kenapa teacher tak tutup muka sebaliknya tanya kenapa teacher tak tutup mulut. Mereka kuncikan pintu Restu@Kids dan hanya ana juga budak-budak jadi ana buka niqab, bermain dengan mereka dan sebenarnya nak jadi kanak-kanak riang takkan kena pakai niqab nanti tak cukup riang pula. *sigh* Walhal hanya dengan kanak-kanak, there is no problem to open the veil.

"Sebab tak ada orang, teacher buka la..."

"Oh... Kalau ada orang, kena tutup mulut ye?"

Ya Rabbi, apa nak dijawab dengan budak berusia 4 tahun? Agak guna jawapan yang logik mengikut usia 4 tahun, dia mungkin tak biasa melihat orang memakai niqab tapi dia langsung tak rasa pelik. Duduk atas riba ana, buat macam ana kerusi empuk dan dihempuk-hempuk kaki ana dengan badannya.

"Kalau ada orang, teacher tutup la."

Ana tidak menggunakan ayat "kalau ada orang, kena tutup" sebab nanti dia akan melanjutkan soalan kenapa ibunya atau orang lain tak pakai niqab. Duduk dengan budak-budak sangat melatih minda untuk bergerak kerana mereka sangat aktif bertanya dan pandai mengaitkan jawapan kita dengan soalan seterusnya dan seterusnya sampai kita dah tak larat nak layan soalan mereka. Huhu.

"Semua orang tak ada, ada satu je teacher..."

Si kecil membuka pintu Restu@Kids dan bercakap dengan sahabat encik zauj.


"Eh, itu bukan teacher itu zaujah ustaz."

Dengar suara sahabat encik zauj. Ana tersenyum sendirian, entah kenapa budak-budak 'degil' nak panggil teacher.


Rupanya ibu kepada si kecil tersebut yang muncul di muka pintu. Bila dengar suara zauj baru keluar... Dengar cerita zauj pula. Macam-macam :)

Semalam, Allah beri peluang untuk menyemak al-Quran di Yayasan Restu. Sepatutnya Rabu, Khamis dan Jumaat untuk menyemak al-Quran tetapi semalam ana sudahkan dua juzuk semakan dan hari ini terpaksa untuk menarik diri sebab dah rancang untuk balik ke kampung bersama pak cik. Jadi, encik zauj akan menyudahkan semakan al-Quran dengan penyemak yang lain.

Satu pengalaman yang baru dan pertama kali seumur hidup Allah beri peluang menyemak al-Quran. Kesemua penyemak adalah hafiz al-Quran, ana satu-satunya yang 'sesat'. Satu-satunya 'ustazah', terasa pelik pula. Terngiang-ngiang di telinga, encik zauj selalu cakap tentang Aisyah r.a, Nabi selalu mengalah dengan isteri yang digelar Humaira oleh baginda.

"Banyak helai lagi nak semak?"

Alhamdulillah, ana duduk di hadapan zauj. Sambil menyemak al-Quran, bila dihurung kantuk mungkin kerana syaitan sedang menjentik mata yang sedang menyemak al-Quran.


"Tak banyak, dua helai je lagi."

Zauj jawab sambil matanya masih tekun menyemak isi kandungan al-Quran.


"Elehhh... Orang tinggal sehelai je."

Ayat spontan yang keluar dari mulut kanak-kanak blackcurrent (ayat tak sedar diri... :P) Ketawa zauj dengan jawapan ana.


Zauj paling pada sahabatnya dan cakap.

"Huh, ana kata ke dia ana ada lagi dua helai. Dia oyak dia tinggal sehelai..."


"Alaaaa... Nabi kan selalu mengalah dengan Aisyah, ni Abang mengalah la ni."

Zauj mempertahankan diri. Selalu saja mengalah untuk buat ana berlagak dengan zauj... Hihihi. Baiklah, baiklah... Mengalah tak bererti kalah sebaliknya menang dengan nafsu :)


Selepas selesai untuk hari pertama, jemputan kuliah maghrib di Kampung Datuk Harun kami penuhi namun disebabkan masalah teknikal... Kami pulang ke rumah, dan sempat pula berisra' di sekitar kawasan. Hik hik hik, setiap kali sesat mencari jalan lurus pulang ke rumah pasti kami berseloroh di sepanjang perjalanan.

"Tak apa, kita berisra' la..."

Ana menjadi 'tukang baca papan tanda' zauj pula sibuk dengan kenderaan di kiri dan kanan. Berisra' di Kuala Lumpur sungguh menguji mental, dengan mata yang kurang jelas di waktu malam ditambah pula dengan perut yang lapar hanya kesabaran dan juga tawakkal kepada Allah untuk memandu arah kami supaya jumpa jalan pulang sangat mengajar untuk menggantung harapan hanya pada Allah.

"Enta beli la GPS."

Haish... Kadang guna GPS pun bengong juga :D

Allah nak mendidik untuk menggantung keyakinan kepada Dia yang memiliki hamba-hamba Nya. Alhamdulillah.

Wallahua'lam.

Hujung Pena,
Insyirah Soleha

Read more...

20 December 2010

Melabuhkan Tirai 2010

Bismillahirrahmanirrahim.

1 Januari 2010 sehinggalah ke tarikh hari ini, pelbagai kisah dan memori yang terlakar. Sudah pasti ada ketawa dan ada juga selingan yang diiringi dengan air mata gembira dan duka. Alhamdulillah, hijrah setiap hari bukan sahaja azam setahun sekali tetapi disusuli dengan usaha dan terus berusaha meskipun selalu tersadung dan sering pula jatuh tersungkur ke bumi :)

"Mana-mana hamba Ku yang melakukan maksiat kemudian bertaubat maka akan Ku ampunkan dosanya, apabila dia mengulanginya dan bertaubat maka akan Ku ampunkan dosanya, apabila dia mengulanginya dan bertaubat maka Ku ampunkan dosanya." -hadith qudsi

Tiada yang sempurna melainkan Allah, kesempurnaan bukanlah milik insan tetapi berusaha untuk menyempurnakan kekurangan diri dengan memperbaiki diri ke arah kebaikan itulah yang perlu ditekankan. Biarpun bukan yang terbaik tetapi kita sudah berusaha melakukan yang terbaik, insya Allah.

Carilah hikmah dalam setiap ketentuan TUHAN, supaya timbul KESABARAN dan KESYUKURAN, setiap yang payah pasti ada KESENANGAN, setiap kesabaran pasti ada GANJARAN. Jika sesuatu itu ditakdirkan untuk kita, tiada siapa yang boleh memberi HALANGAN. Namun, jika ia ditakdirkan bukan untuk kita pasti takkan dimiliki walaupun sudah berada dalam GENGGAMAN.

Belajar dan terus belajar untuk menjadi manusia yang matang dan muslim yang lebih baik. Usaha dan terus berusaha untuk menjadi manusia yang matang dan muslim yang lebih baik.

Insya Allah, beberapa hari lagi akan meraikan majlis pernikahan dan perkahwinan sepupu. Tahun ini 3 pasangan diraikan, insya Allah awal tahun depan di bulan Januari juga ada sepupu yang akan bernikah. Selepas satu majlis, disusuli dengan majlis yang lain. Teringat tazkirah subuh tadi oleh encik zauj pada adik-adik Remaja Masjid:

"Adik-adik ingat ye... Kena kahwin."

Tersenyum mendengar, perkahwinan itu memenuhi tuntutan kehidupan. Semalam, 'bersenam' dengan encik zauj ke SOGO menaiki komuter kemudian terus ke Pantai Dalam menziarahi sepupu zauj, akhirnya kami selamat tiba semula di Sungai Buloh hampir tengah malam. Penat sungguh badan dan kaki, letih menaiki komuter dan terpaksa berjalan dan menaiki tangga adalah satu pengalaman yang agak 'menarik' dengan keadaan sekarang. Hihi, kasihan encik zauj yang terpaksa melayan dan terpaksa memahami isterinya.

Di lorong-lorong, kelihatan lelaki tua yang sudah uzur meminta sedekah. Allahu Rabbi, terfikir apakah mereka mempunyai anak-anak? Kalau ada anak, apakah anak-anak mereka mempedulikan mereka? Apakah kehidupan muda mereka dipenuhi dengan perkara yang berfaedah..? Soalan demi soalan menerjah kepala. Sempat zauj memberi peringatan buat ana yang tercungap-cungap mendaki anak-anak tangga.

"Biarlah siapapun mereka, husnudzon je."

Di dalam komuter, sangat ramai pasangan lelaki dan wanita yang jalan beriringan tangan. Bagi ana, itu perkara biasa... Mungkin suami isteri atau abang dan adik mahupun adik dan kakak, terpaksa berpimpin tangan bimbang terlepas pandang dalam keadaan yang sesak. Ana sendiri memaut lengan encik zauj tetapi apabila melihat pasangan lelaki dan perempuan berpeluk-pelukan, bergesel-geselan. Astaghfirullah hal azhim. Panas sungguh hati.

"Kalau baru kahwin pun, bawa-bawa la bertenang... Tunggu la balik rumah nak romantis pun!"

Masalahnya tak terkeluar dengan lisan, akhirnya pejam mata... Dan melayan celoteh encik zauj dengan teka teki dan segala bagai soalan.

Bila melihat warga veteran yang berjalan berpimpin tangan, tersenyum kecil. Seronok! Bila anak-anak menginjak dewasa, ibubapa berjalan berdua-duaan dan berpimpin tangan sambil berseloroh kecil dan pasangan ketawa kecil, tersenyum malu-malu. Sweet! Kasih sayang itu mewarnai hari-hari dan semakin hari sewajarnya semakin sayang dan semakin bertambah erat.

Sama seperti hubungan dengan al-Khaliq, semakin bertambah usia dari sehari ke sehari semakin bertambah erat hubungan dengan Dia. Semakin bertambah masa untuk meluangkan bersama si Dia, semakin banyak berfikir tentang mati dan semakin rindu untuk bertemu dengan Dia.


~ terima kasih cecer syudde atas lukisan ni ~

*****


Bila idea mencurah-curah untuk menulis cerpen dan jemari bersedia untuk ditarikan, ada kerja yang perlu didahulukan dan setelah idea hilang di sebalik waktu yang berlari, ana menjadi malas untuk terus mengingati apa yang ingin dinukilkan. Al-hasilnya, hanya berceloteh sendirian di kanvas sepi yang semakin rancak dengan pelbagai kisah dan memori ^__^

*****


Alhamdulillah, ana hampir memasuki trimester kedua kehamilan. Trimester pertama kehamilan, tiada alahan yang teruk seperti orang lain. Sekadar morning sickness di waktu pagi dan terkadang terasa tekak tidak selesa, tetapi boleh dibilang muntah hanya 3x itupun sebab perut kosong dan bila makan, angin menolak makanan dan uweeek... :P

Alhamdulillah. Allah tahu apa yang mampu untuk seorang hamba. Penat sudah berguling-guling menahan sakit belakang. Tetapi itu perkara biasa, rahim sedang membesar dan menolak tulang belakang. Itu belum lagi masuk part baby start kicking and boxing, nanti lagi kena tambah dos kuat-kuat-kuat semangat yang sangat hyper. Tidak boleh melakukan terapi atau sebarang urutan, kesemua painkiller sudah menjadi memori dalam diari dan badan selamat dari painkiller sepanjang kehamilan. Bila sakit berguling-guling dan nangis terisak-isak, hanya pujukan encik zauj saja sebagai syifa' yang akan menghilangkan kesakitan :)

Conclusion, ummi is good and baby is great. Cuma, masalahnya asyik lapar je... Isk, isk. Sudah bertambah 2.5 kg, di tengah malam terjaga dari tidur dan 'uhhh, laparnya...' padahal sebelum tidur dah minum susu. *sigh* Mungkin ada yang terkejut, waaaa Insyirah minum susu. Hehe, sila ucap tahniah kerana ana berjaya minum susu dengan jayanya. Sebab susu tu tak berapa nak sedap, encik zauj telah memberi alternatif supaya menambah madu ke dalam susu dan hasilnya ia sangat-sangat sedap..! Minum susu kambing okey! *wink*

Pesan encik zauj:


"Yahudi suruh orang minum susu lembu tapi Yahudi sendiri minum susu kambing, lagipun Nabi suka minum susu kambing. Jadi, kita kena ikut apa yang Nabi buat bukan apa yang Yahudi suruh."

Yela... Yela... Minum susu kambing la... Ternyata, khasiatnya sangatlah banyak :P

*****

Tersenyum bila orang kata Tok Guru berjuang untuk kepentingan diri sendiri. Teringat bila encik zauj bawa ke kuliah Tok Guru semasa berada di Kelantan, dengan keadaan yang sudah uzur dan kesihatan yang tidak memuaskan, Tok Guru tetap juga memberi kuliah kerana menyempurnakan hajat orang dan dalam masa yang sama ketepikan diri sendiri dan mementingkan orang lain.

Besar aura Tok Guru sehinggakan non-muslim ramai yang menyayangi Tok Guru. Ana sendiri pun... Bila nak ke kuliah Tok Guru, dah terlewat bertolak dari rumah maka ana ajak encik zauj naik motor supaya tak perlu jalan jauh. Pergi dengan kereta, terpaksa letak di tempat yang jauh dan terpaksa pula jalan jauh. Ok, ok... Ana faham kakak-kakak ana mungkin hampir terkeluar biji mata bila baca entri ini pengakuan ana naik motor. Huhuhu... Tapi, semangat nak ke kuliah Tok Guru punya pasal, redah juga dengan motor. *tutup muka*

Saya sayang Tok Guru ^__^

Nak ajar baby supaya jadi orang yang berani, kuat semangat, cintakan ulama' juga majlis ilmu. Hihihi, rasanya sebab pregnant buat ana makin bersemangat. Benda pelik-pelik yang sebelum ni paling takut nak buat pun, buat juga contoh terbesar naik motor. Tak caya boleh sahkan dengan Ukhti Nazirah sebab ziarah ke rumahnya naik motor, lalalala... Yang ni bukan sebab semangat nak jumpa Kak Jie tapi ketagih naik motor, sebenarnya semangat juga sebab dah bau kek coklat yang sungguh sedap buatan tangan Kak Jie. Terima kasih Kak Jie! :P

Tapi, kena juga la... Keesokan harinya terus demam sebab baik motor dan sekali lagi encik zauj kena berleter dengan ibu mertua. Hahaha.

"Syirah biasa naik motor ker?'

"Tak, ni kali pertama."

"Hmmm... Patut la demam, orang tak biasa memang demam, sakit urat."


Baiklah, baiklah... Ana mahu permisi dahulu. Mungkin entri ini penutup tirai diari .:: HaRuMaN MaWaR ::. pada tahun 2010. Vrooooom... Tata! :)

Daisy and Roses,
Insyirah Soleha

Read more...

14 December 2010

Relief :)

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, setelah banyak post yang 'silent' baru nak publish entri baru. Insya Allah. Mata yang semakin mudah rasa sakit bila melihat laptop adalah salah satu alasan terbesar untuk tidak menaip, mudah-mudahan power spec tidak perlu di up-grade. Semakin malas untuk menulis, enjoy blogwalking tapi kegilaan pada siri House masih sukar untuk di atasi sehinggakan berjangkit pada encik zauj. :)

Walaupun sikap House sangat menjengkelkan dan kadang kala rasa macam nak dush dush je (membayangkan kalau dia di depan saya) tapi sedaya upaya beliau mahu pekerjanya berfikir dan bertindak melalui analisis. Kepekaan pada setiap perubahan pesakit dan perlunya banyak membaca pelbagai bidang perubatan.

"Sayang tak suka tengok cerita Melayu, tukar channel boleh?"

Bila encik zauj leka membaca atau buat kerja, maka remote control TV lebih kepada siri-siri dari luar negara. Masa kecil, saya suka menonton siri ER (Emergency Room) dan X-File. Bila dah besar sikit, saya 'suka' tidur di hospital dan sanggup meluangkan masa yang lebih lama supaya boleh 'tidur' lama di hospital semasa mengambil peperiksaan SPM. Oh, I love hospital..! Tapi, sekarang saya dah mula insaf dan tidak lagi drug addict. *clap clap*

Bila ziarah ke hospital, saya selalu senyum sendirian sambil berjalan melihat orang yang sakit. Rindu bau ubat dan cadar hospital. Sometime, I wish someone sakit jadi boleh ziarah (di hospital) supaya boleh hilangkan rindu nak bau ubat dan cadar hospital. Cruel. Sebenarnya, saya tak suka tengok orang sakit dan mengerang kesakitan. Kadang kala saya rasa kasihan terutama melihat kanak-kanak yang masih kecil mulus sedang menangis kesakitan.

Beberapa hari lalu kawan-kawan zauj bertandang ke rumah bersama baby masing-masing. Salah seorangnya cerita anaknya lahir tak cukup bulan jadi walaupun sekarang usianya dah mencecah 6 bulan tapi masih belum boleh meniarap. Secara fizikalnya, saya tengok baby tu biasa je tak ada masalah tapi Allah lebih mengetahui apa yang berlaku di luar pengetahuan manusia. Baby tu sangat soleh, setiap kali saya senyum dan agah maka dia akan senyum sampai keluar air liur :)

"Insyirah lahir pun tak cukup bulan, tak sampai 7 bulan. Ummi cakap 27 weeks only. Kecil macam anak kucing, duduk dalam inkubator sekejap je alhamdulillah tak ada masalah dan berat pun cukup cuma..." Dan saya ketawa bersama seorang lagi isteri kepada kawan zauj :)

"Inilah hasilnya... budak lahir tak cukup bulan."

Saya tergelak kecil. Ya ya ya... Saya budak pelik, yang lahir tak cukup bulan. Bila besar tak macam perempuan, sangat lasak dan suka main dengan lelaki. Bila dah besar sikit, saya sangat garang dengan lelaki. Bila saya sakit teruk, semua ingat usia saya tak panjang dan hampir nak mati. Setiap kali kena attack... Orang pasti ingat itu saat terakhir bersama saya sehingga ummi pun dengan pasrah untuk merelakan saya kembali di sisi Tuhan, abi is thinking nak beli kain kapan agaknya bila saya kena attack. Kasihan mereka, penat jaga saya dari kecil sampai besar yang tak sudah-sudah sakit.

"I don't want to take any medicine or painkiller." Berjanji pada diri sendiri setiap kali melihat beg yang dipenuhi ubat, saya akan mengulang ayat yang sama depan cermin dan senyum. Yes, no more painkiller and any drug. Saya mahu 'lepaskan' dunia hospital dari diari kehidupan saya. Tapi, saya masih perlu kepada terapi yang perlu di'beku'kan jadualnya buat seketika. Bila rasa sakit yang teruk, saya akan duduk diam-diam dalam bilik dan mencari posisi badan yang paling selesa.

Bila saya start menangis tak tahan sakit, encik zauj akan pujuk dengan macam-macam 'jampi' untuk tenangkan saya dan reduce sakit. Selalunya bila sakit, saya menangis sekejap je. Bila dah kena 'jampi' terus senyum, psikologi saja. :P

"Jangan la buat-buat sakit macam ni bla bla bla..."

Someone yang tiba-tiba nak buat saya bersemangat tanpa sedar dia bunuh semangat sampai saya rasa malas nak fikir pasal sakit. Bila saya tanya encik zauj, encik zauj akan buat lawak sampai saya gelak dan rasa... aduhai, ingatkan saya je yang otak gila-gila rupanya zauj lebih banyak idea untuk kenakan saya semula.

Mungkin orang fikir saya buat-buat sakit bila sekejap saya jalan terbongkok-bongkok macam nenek tua dan seret kaki macam tempang dan sekejap lagi saya boleh jalan macam robot dan esoknya saya berjalan lurus macam biasa. Mungkin orang fikir, saya mengelak diri dari sesuatu pekerjaan lalu berpura-pura sakit :P Oh, I don't care anymore. Bila encik zauj merasa tulang belakang saya yang sememangnya 'senget' sampai takut nak bagi buat kerja hatta mengangkat kerusi saya hanya ketawa. *sigh*

"Kawan Angah kan, tulang belakang dia bentuk 'C'. Kalau dia duduk, senget macam ni... Tak boleh lurus."

"Ohhh... Dulu tulang jadi bentuk 'S' tapi selepas menyerah diri buat terapi dia dah tarik banyak part so sekarang melengkung macam ni je (sambil tunjuk kedudukan tulang) cuma sekarang tak boleh buat terapi."

"Hm, tak apa la. Sabar banyak-banyak, insya Allah semuanya ok."

Ya, I'm fine and will be fine with Allah's care :)

With no drug or any painkiller (tablet mahupun suntikan), need to be happy! ^___^


Minggu lepas, jalan-jalan rumah Mak Teh dan berjaya snap picture budak kecil ni... Sangat suka kalau jumpa baby dan boleh buka sarung tangan & kaki untuk tengok. Sangat-sangat suka tengok tangan & kaki baby yang kecil. Geram, macam nak gigit. Okeh, insya Allah nanti ada anak sendiri akan gigit-gigit selalu :P


Budak kecil ni dah pandai berjalan dan sangat aktif dengan persekitaran, usianya belum mencecah 1 tahun tapi dah boleh berjalan laju dan sangat berhati-hati bila melangkah. Tersenyum dan geli hati bila dia pegang dinding dan turun dengan perlahan-lahan pada lantai yang ada sedikit ketinggian yang berbeza. Bila nakkan sesuatu, bersungguh-sungguh diusahakan sampai dapat dan bila dah dapat, dia menari keriangan... Hehe, comel betul :)

Read more...

13 December 2010

Kem Smart Solat

Bismillahirrahmanirrahim.

Tarikh :

17, 18 dan 19 Disember 2010


Terbuka kepada pelajar berusia 10-17 tahun

Teori & Praktikal solat-solat sunat

Praktikal azan & iqamat

Bacaan dalam surah & hafazan surah

Persembahan multimedia

Latihan Dalam Kumpulan


Yuran :

RM 200 sahaja
(sijil penyertaan, bacaan hafazan, penginapan, makan & minum)


Tempat :

Riyadh Restu,
Kampung Setia,
Batu 19,
Kuang,
Selangor.


Hubungi : 03-5511 9001 (Puan Fardilla / Cik Nur Nadia)



http://restukids.blogspot.com atau http://restu-art.com


p/s: Pada hari kem ini, insya Allah diadakan rakaman Akademi al-Quran di tempat yang sama :)

Read more...

08 December 2010

Kerana Ia Pinjaman...

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam Hijrah, semoga permulaan tahun ini dimulakan dengan niat untuk memperbaiki diri dan keluarga. Menjadi manusia yang lebih baik dan berusaha ke arah kebaikan, insya Allah.

Apa yang ALLAH berikan, kita rasa ia milik kita tapi hakikatnya semuanya milik DIA. Pinjaman yang DIA berikan supaya kita menjadi manusia yang bersyukur tetapi selalu pula kita kufur, merasa ia adalah milik kita sedangkan kita tak punya apa-apa. Hati kita ALLAH ciptakan hanya satu tetapi kita penuhi dengan pelbagai perkara lalu lupa kepada DIA yang menciptakan segala. Astaghfirullah hal azhim.

Ayat ini ana contengkan pada dinding status facebook beberapa hari lalu. Terngiang-ngiang sesuatu perkara yang datang, hakikat ujian dan juga sebenarnya bentuk tarbiyyah dari Allah kepada manusia. Maka, contengan ini bukan hanya lisan yang keluar dari pena jari yang menari tetapi dari hati yang suram bersama kedukaan insan lain. Melihat manusia lain, terasa hati turut tercuit dan dicubit sama, kesakitan tersebut meski tidak sama namun hati turut rasa getarnya.

Kegembiraan apabila seorang suami bakal menjadi seorang ayah tidak lama dinikmatinya, pengalaman dan kenangan sepanjang 10 minggu pasti menjadi memori yang indah. Itu hati seorang lelaki. Apa pula perasaan seorang wanita yang selama ini menatang kandungannya dengan baik dan berhati-hati dalam setiap urusan seharian. 10 minggu terasa terlalu sekejap dan itulah nikmat dari Allah atas pinjaman perasaan 'ihsan' sepasang suami isteri tersebut merasai pengalaman menjadi bakal ibu dan ayah.

Katakanlah: "Marilah ku bacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu, iaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibubapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar". Demikian itu yang diperintahkan oleh Tuhanmu kepadamu supaya kamu memahami (nya). (Surah Al Anfal : 151)

Hanya seorang ibu yang memahami jiwa seorang ibu. Hanya seorang bapa yang memahami jiwa seorang bapa. Kasih sayang ibu dan bapa terhadap seorang anak bermula sejak dari alam rahim lagi, kedua ibubapa menatang dengan kasih sayang dan perasaan yang hanya Tuhan sahaja yang tahu tetapi anak-anak akan menyayangi ibubapa setelah mereka disayangi oleh ibubapa.

Usah tertanya atau berfikir betapa luas dan besarnya perasaan seorang ibu terhadap seorang anak selagi belum mempunyai anak. Perasaan itu sulit untuk digambarkan dengan kata-kata dan ia datang dari Allah, Pemberi kasih sayang dan Pemilik kasih sayang.

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (Surah Al Israa : 23)

Siapapun ibubapa kita, mereka sahaja ibubapa yang kita ada di dunia ini. Melihat dan menjenguk dunia luar, terasa betapa Allah ikatkan hati dan perasaan yang kuat pada ana terhadap ummi dan abi. Meskipun sudah berkahwin, kadang kala terbit rindu yang teramat sukar diungkap dengan kata-kata dan selalunya suami akan segera mengesan perubahan diri dan menghiburkan hati dengan jenaka dan ibrah dari umat terdahulu.

Hati ini perlu pada sajian dan makanan, hidangannya bukanlah berupa mee goreng, nasi ayam mahupun tomyam yang meliurkan tetapi hati ini perlu pada sentuhan tarbiyyah dan nurani yang kosong akan menjadi kontang andai terus dibiarkan hanyut dengan kelalaian. Hati yang rapuh ini tidak akan kuat andai dibiarkan esak tangis bersahut-sahutan tetapi kerapuhan hati ini ada penawarnya apabila Allah menghidangkan musibah yang tak terdaya untuk ditanggung lalu digenggam erat akan janji Tuhan bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah dari Allah.

Alangkah beruntungnya muslim, setiap yang berlaku adalah kebaikan buatnya. Beruntunglah bagi mukmin, apabila mendapat kebaikan maka dia bersyukur dan apabila ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Itulah indahnya tarbiyyah dari Allah, nasihat dan kalam yang akan menyegarkan kembali kelopak hati yang gugur bersama deraian air mata kedukaan.

"Sebelum ni, nak tidur akan bercakap dengan baby. Sekarang, dah rasa lain..."

Sayu suaranya. Ana hanya melihat abi dari jauh yang sedang leka menonton televisyen. Meski siaran Raja Lawak sedang menghiburkan, hati sedang monolog dan melihat suami di sisi yang tersenyum terasa hatinya juga mungkin sedang bermonolog. Tidak salah tekaan ana, keluar dari teratak mewah tersebut, suami menuturkan ayatnya yang sedikit sebanyak membuah rasa betapa manusia tak punya apa-apa selain hajat yang perlu disandarkan sepenuhnya kepada Allah. Belajar tawakkal dan menghayati betapa harus manusia kuatkan pegangan pada tali tawakkal kepada Allah semata-mata.

Dan abi... Selalu menjadi hero dan pujaan hati. Dialah lelaki yang sentiasa memahami dan sehingga kini tidak dapat tidak, dia jugalah lelaki yang selalu mengerti apa yang tersorok jauh di lubuk hati. Tatkala perubahan pergerakan badan yang sedaya upaya diminimakan dari pandangan mata manusia, abi dengan pandangan pertama terus menebak.

"Kenapa jalan lain macam je ni...?"

Hampir menitis air mata pada persoalan luhur sang ayah. Hanya tersenyum dan menghadiahkan hiburan zahir yang tak mampu dirungkai dengan bahasa. Moga Allah sentiasa memelihara ummi dan abi denga sebaik-baik jagaan kerana hanya DIA sajalah sebaik-baik Penjaga di dunia ini.

Sewaktu bercuti di Kelantan, abi juga ada kerja di Kelantan selama seminggu maka ummi dan adik-adik yang kebetulan sedang bercuti (sekolah) turut mengikut abi. Seminggu di Kelantan, pada hari kedua di Kelantan abi, ummi dan adik-adik bertandang ke rumah mertua dan makan malam di sana. Meski keletihan yang tersorot nyata di dalam mata dan wajah, abi masih ramah dan meraikan layanan tuan rumah sebaiknya. Sampai di hotel, kata ummi... abi terus tidur sampai keesokan paginya.

Keajaiban di Dunia.

Mereka mentafsir pelbagai keadaan dan suasana bahkan bentuk binaan bangunan yang canggih sebagai keajaiban di dunia. Mata mudah untuk di tipu namun hakikatnya kesemua itu tidak mampu menipu hati yang dibaluti dengan keindahan kasih dan sayang. Perkara terbesar yang menjadi keajaiban adalah keimanan dan taqwa seorang manusia kepada Khaliq, dengan iman dan taqwa yang padu...

Seorang hamba akan hanyut dengan cinta dan alunan rindu pada Allah taala bahkan setiap musibah yang melanda akan menjadi hiburan yang mewarnai kanvas kehidupannya. Allahu Allah. Perkara ini tidak akan berlaku pada manusia yang tiada keimanan pada Allah, jauh sekali ketaqwaan yang merimbun kepada Pencipta yang Satu.

Betapa besar dan luas bahkan setinggi mana kasih sayang ibubapa kepada anaknya (meskipun masih di dalam rahim), kasih sayang Allah kepada hamba-hamba Nya jauh terlebih besar dan tersangat luas bahkan terlalu tinggi. Namun, kita tidak melihatnya sebagai anugerah tetapi sering pula menyalahkan takdir Allah atas perkara yang merobekkan hati kita. Adakah kita bersyukur dengan pinjaman dan kurniaan Nya yang Dia berikan?

Bila diberikan kesenangan harta, apakah kita membayar zakat dan bersedekah?
Bila diberikan kesenangan bersahabat, apakah kita menyayangi sahabat kita kerana Allah?
Bila diberikan kesenangan pasangan, apakah kita membawa pasangan kepada jalan Allah?

Dia selalu memberi dan terus memberi, tetapi jarang sekali kita menghargai jauh sekali mensyukuri apa yang Dia berikan. Namun, setiap yang Dia hadirkan... Segeralah bersyukur dan MENGHARGAI selagi ia masih di sisi kerana setiap saat yang berlalu akan meminimakan kita kepada apa yang Dia pinjamkan. Bimbang di saat Dia meminta semula pinjaman yang diberikan, kita kelak menyesal kerana terlupa bersyukur dan alpa untuk menghargai pemberian tersebut.

Anak adalah amanah dari Allah, ia juga anugerah bernilai yang boleh manjadi saham dunia dan akhirat kepada kita tetapi ia juga mampu menawarkan sebaliknya apabila amanah tidak dijaga dengan baik. Ibubapa, mereka yang selama ini tidak pernah berhenti menyayangi dan akan tetap menyayangi anak-anak walau masa berganti dan anak-anak tidak lagi di sisi mereka. Isteri/Suami merupakan amanah dan pinjaman yang Allah letakkan di bahu maka hargailah mereka sebaiknya dan jalanilah kehidupan dengan penuh rasa kasih dan sayang. Hakikatnya, ia tetap pinjaman dari Allah dan Dia berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang Dia tentukan tarikh dan waktunya.

Mungkin kita seorang anak yang pernah melukakan hati ibubapa, pohonlah kemaafan dari mereka. Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa, masakan menagih redha Allah andai murka ibubapa kita tidak hiraukan.

Mungkin kita seorang isteri/suami yang pernah melukakan hati pasangan, pohonlah kemaafan dan bukalah dimensi persekitaran baru agar kekeruhan yang berlaku akan segera luput dari hati dan perasaan kerana Allah tidak menciptakan manusia hanya untuk membuat manusia menjadi sengsara.

Mungkin kita seorang ibu/bapa yang pernah melakukan dosa kepada ibubapa dan kemudian anak-anak menjadi ujian yang besar, lantas muhasabahlah dan pohonlah kemaafan kepada ibubapa sekiranya mereka masih di dunia. Andai tiada lagi mereka di sini, bersedekahlah dan niatkanlah untuk kesenangan mereka di alam barzakh.

Kita, adalah hamba yang sentiasa melakukan dosa kepada Allah. Apakah Dia terus menghukum kita dengan menyekat rezeki kepada kita? TIDAK. Allah sentiasa memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat dan kembali kepada Dia meskipun telah banyak dosa yang kita lakukan, telah banyak kerosakan kita halalkan di bumi Allah ini.

Selagi peluang masih ada... Hargailah apa yang Dia pinjamkan.
Kerana ia pinjaman dari Tuhan yang memiliki segala-galanya.

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan negeri-negeri di sekitarmu dan Kami telah mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami berulang-ulang supaya mereka kembali (bertaubat). (Surah Al Ahqaf : 27)


Hijrah memerlukan kesungguhan!

Wallahua'lam.

Salam Sayang,
Insyirah Soleha.

Read more...

05 December 2010

Perkongsian : Walimatul Urus

Bismillahirrahmanirrahim.

Pertamanya, entri ini bukan untuk menjemput sesiapa dan bukan ada sesiapa yang nak walimah dalam masa sehari dua ini. Entri lebih kepada perkongsian mengenai walimatul urus. (Ok, seperti biasa ana nak membebel).

Apa yang difahami apabila mendengar ungkapan walimatul urus? Secara mudahnya, di Malaysia orang Melayu (Islam) akan mencerna ungkapan 'walimatul urus' sebagai undangan perkahwinan. Selain dari itu, ada juga yang menganggapnya sebagai kenduri untuk menghebahkan berita perkahwinan anak mereka supaya masyarakat setempat tahu bahawa anak mereka sudah bernikah dan bila jalan berdua-duaan tidak dipandang serong.

Eh, tapi sekarang ramai yang belum bernikah lebih-lebih lagi menggunakan lesen 'bertunang' untuk jalan berdua-duaan. Bahkan, lebih memalukan lagi mereka merasa sangat cool dan open minded sekiranya ibubapa tidak kisah dengan perkara ini. Na'uzubillah.

Ana tidak mahu menyentuh lauk-pauk yang dihidangkan semasa berjalannya walimah, berapa bilangan tetamu yang diundang, apakah tema perkahwinan sama ada fairy tales mahupun kayangan atau apa sahaja yang pelik dan semakin memelikkan di era perkahwinan hari ini.

Semasa nak berkahwin tempoh hari, ana sangat berbesar hati menghantar kad jemputan kepada sahabat-sahabat meskipun peluang untuk mereka hadir sangatlah tipis tetapi ana meraikan juga dengan jemputan menggunakan kad kepada yang jauh dan yang dekat. Tetapi, tertanya-tanya juga apabila seorang sahabat memberi respon.

"Cik Insyirah, surat saman dah sampai."

Erk! Bila pula ana menyaman beliau? Dan ana ignore saja, andaikan lawak jenaka tersebut hanyalah hiburan semata-mata meskipun hati serabut dengan pertanyaan demi pertanyaan yang dibiarkan berlalu tanpa meminta jawapan. Masalah remeh saja, memandangkan hari pernikahan makin dekat ana menyibukkan diri dengan persiapan daripada sibuk memikirkan apa yang bersarang di minda.

Satu hari, en abi pulang dari pejabat dengan perasaan yang kecil hati dan sangat kecewa apabila en abi yang sangat berbesar hati menjemput pekerjanya untuk ke majlis walimah kami (ana dan abang) ada suara-suara sumbang yang kedengaran. Abi gigih mengedarkan kad jemputan, senarai pekerja diambil dari kerani supaya tidak ada yang tertinggal nama. Nama mereka di print dan kami adik beradik menggunting nama dan tampalkan pada sampul jemputan. Punya la nak jemput... Buat yang terbaik dari semua sudut sehinggakan jari abi terkena pisau akibat menjaga kesempurnaan dari semua sudut, terpotong jari sendiri semasa memotong senarai nama yang beratus-ratus tersebut.

Pada hari yang pekerjanya tidak hadir (cuti mahupun shift), abi menyimpan dan keesokannya mencari pekerja tersebut untuk menyerahkan sendiri kad jemputan walimah kerana terlalu berbesar hati menjemput mereka semuanya untuk hadir ke majlis kami. Tiba-tiba... Suara sumbang menusuk ke telinga abi.

"Nampak muka je terus bagi surat saman." Diiringi dengan senyum sumbing dan tawa yang menyakitkan hati. Jenaka yang tidak kena pada situasi dan masa.

"Saya tak harap orang bagi duit pada saya, saya cuma berbesar hati nak jemput semua orang hadir ke majlis perkahwinan anak-anak saya." Jawab abi.

Kesemuanya terdiam dan berubah wajah. Barangkali niat bergurau tersebut telah disedari sangat menyakitkan hati orang yang diharapkan dapat berjenaka.

Ana fikir, sehingga ke saat ini abi masih lagi terngiang-ngiang bahawa niatnya menjemput para pekerja dengan memberikan kad jemputan menggunakan tangan sendiri dan diserahkan sendiri ke tangan orang tersebut yang tertulis nama kad supaya mereka akan terasa dihargai tetapi sebaliknya yang berlaku.

Selepas berkahwin, ana didedahkan dengan suasana di Kelantan. Di Kelantan, pada hari raya Aidil Fitri mahupun Aidil Adha sangat meriah dengan undangan perkahwinan. Barangkali mengambil kesempatan cuti dan juga sanak saudara yang pulang ke kampung, maka diraikan sekali dengan majlis perkahwinan supaya sanak saudara yang jauh dan dekat dapat menghadirkan diri ke majlis perkahwinan tersebut.

"Ni walimatul urus ke majlis kesyukuran?"

Setiap kali ibu mertua memberitahu nak ke majlis perkahwinan, en zauj akan soal dengan soalan yang sama. Ana pun tertanya, apa bezanya walimatul urus dan majlis kesyukuran lalu membuat kesimpulan sendiri tanpa bertanya bahawa walimatul urus adalah majlis perkahwinan dan majlis kesyukuran pula macam majlis doa selamat. Grrr... Punya la suka memendam, nasib baik tak sesat dan selamanya dalam kesesatan.

En zauj akhirnya menerangkan kepada isterinya yang agak-agak blur.

"Di Kelantan, kalau walimatul urus maksudnya kita pergi kenduri tu masa balik kena salam dengan tuan rumah beserta dengan 'huluran' wang. Panggil 'mengele'. Kalau majlis kesyukuran pula maksudnya, kita makan free tak payah bayar apa-apa."

"Ha...! Peliknya. Kenapa pula macam tu?"

"Hmm... Entahlah! Biasa, berlumba nak buat majlis besar-besaran tapi tak cukup duit jadi dia berhutang dulu dan kemudian dengan harapan duit yang orang bagi (ngele) tu untuk bayar hutang. Abang cukup tak suka dengan benda ni, nak buat majlis kahwin buat je la setakat yang mampu. Nabi pesan sekurang-kurangnya seekor kambing, kalau tak mampu nak beli lembu seekor tak payah la buat besar-besar."

"Mungkin sebab zaman sekarang kalau buat kecil-kecil orang fikir bukan-bukan pada pasangan yang baru kahwin tu. Nanti jadi fitnah orang pula."

"Entahlah. Kalau musim cuti, banyak dapat kad undangan. Ma selalu mengeluh sebab pergi kenduri kena bayar duit. Selalunya kalau perempuan bayar dalam RM5, lelaki pula RM10. Abang pun tak faham."

Baru ana faham... Di Kelantan, kalau walimatul urus maksudnya majlis tersebut dibuat besar-besaran (kadang tak berapa besar pun pada pandangan ana) dan tetamu yang hadir diwajibkan membayar wang kepada tuan rumah. Jadi, baru ana jelas, terang dan bersuluh pada situasi ana dahulu semasa menjemput sahabat-sahabat, situasi abi yang menjemput pekerjanya ke majlis walimah yang terang-terang tertera WALIMATUL URUS dianggap sebagai 'surat saman' kerana datang majlis kena BAYAR...! Dan mereka adalah orang Kelantan. Kih kih kih :D

Setahu ana, negeri di Semenanjung Malaysia kalau istilah walimatul urus maksudnya jemputan kahwin tapi tidak pula diWAJIBkan tetamu untuk membayar kepada tuan rumah. Menghulur duit kepada tuan rumah adalah PILIHAN sama ada nak memberi mahupun tidak, selalunya tangan yang memberi adalah berdasarkan kepada membantu kawan (tuan rumah) yang buat kenduri kerana masing-masing faham apabila membuat kenduri, banyak wang yang digunakan.

Tetapi, berbeza suasana di Kelantan. Walimatul urus bermaksud tetamu wajib memberi wang kepada tuan rumah dan majlis kesyukuran pula tetamu makan free. Jadi, bila banyak jemputan walimatul urus tiba, masing-masing mengeluh... Satu suasana yang tidak sihat. Meskipun kadar biasa yang ditetapkan RM5 bagi perempuan dan RM10 bagi lelaki tapi kalau 5-6 undangan seminggu, untuk orang kampung yang sangat menghargai nilai wang... Pasti teragak-agak untuk menghadiri jemputan tersebut meskipun hatinya teringin nak berkongsi kegembiraan kawan dan jiran yang menerima menantu.

Lepas ni, kalau bagi kad pada sahabat-sahabat Kelantan kena cetak khusus 'majlis kesyukuran' agar mereka TIDAK susah untuk mencipta alasan tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan. Lalalalala... Pada ana, adat tempat masing-masing saja. Lain tempat, lain pula suasananya. Jangan pula menghukum siapa benar dan siapa salah kerana orang Melayu sangat mementingkan adat. (fuh, ayat... cannot go!)

Wallahua'lam.

p/s: Orang Kelantan, jangan marah. Ini hanyalah penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang adat di Kelantan :)

Saya dah kahwin!
Insyirah Soleha

Read more...

03 December 2010

My Dear Qashrina

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama tidak berfacebook, bila online banyak note dan juga gambar yang di tag kepada ana. Salah satunya dari Pak Su. Terkejut pula bila melihat keadaan My Dear Monster macam ni.


Main lompat katak, ditolak jatuh ke bawah katil. Inna lillahi wainna ilaihi rajiun.


Qashrina, budak kecil yang sangat pandai beraksi depan kamera. Kadang-kadang keletah manjanya buat ana tergelak bila membayangkan apa yang dia lakukan pada ana.

"Qashrina, macammana Kak Ha jalan?"

Lalu, Qashrina meniru gaya ana berjalan terbongkok-bongkok sambil mengheret kaki. Mereka (kanak-kanak riang) sentiasa mentertawakan cara ana bertatih setiap kali sakit belakang menyerang. Ana hanya menyambut aksi-aksi mereka dengan ketawa kecil. Mereka makhluk fitrah, apa sahaja yang dihidangkan di depan mata akan diserap dengan baik. Maka, tunjukkan sikap yang baik, akhlaq yang terpuji supaya boleh menjadi qudwah hasanah (contoh yang baik) kepada anak-anak kecil yang suci.

Setiap kali berjumpa ana. Qashrina akan berjenaka.

"Ei... takut..!" Kemudian dia peluk ana dan ketawa bila ana turunkan purdah.


Tenang menanti apa yang bakal terjadi.

Qashrina jugalah yang paling kuat ketawa bila bergurau senda sesama sepupu (kanak-kanak riang) yang lain sehinggakan Ayuni The Soft Spoken Girl pun terikut-ikut sama.


Selepas dibius, menanti untuk dijahit.

Bila melihat gambar-gambar Qashrina The Monster, kesian budak comel ni. Semoga cepat sembuh ye sayang...! Auntie and Uncle yang ziarah .:: HaRuMaN MaWaR ::. pray for you, may Allah bless and keep you among His pious, grow up as muslimah mukminah. Allahumma amiin.



Khayal dengan sedatif. Moga cepat sembuh (",)


Yang tertuduh dalam kejadian tersebut. Muka sentiasa tak bersalah, aish..!


Them... Qashrina with her little brother, Aqeef.

With Pray and Hug,
Insyirah Soleha.

Read more...

Memori Bumi Kinanah

Bismillahirrahmanirrahim.

Pejam celik, pejam celik... Hari ini usiaku semakin meningkat dan terus meningkat, 20 tahun 10 bulan 9 hari menghuni di bumi Ilahi bermakna semaking singkat untuk mendiami persinggahan dunia. Terpandang sudut jendela yang membawa memori lama, tersenyum dan mengelamun sendirian. Berpagi-pagi merenung luar jendela dari atas kerusi roda, tersenyum melihat keindahan yang Allah 'lukiskan' di depan mata.

Masya Allah, cantik. Mata yang sering dihiasi dengan keindahan demi keindahan, jasad yang sering dianugerahkan nikmat yang tak terungkap dek lisan tetapi hati ini sangat jarang mengungkap kalimah syukur dengan perbuatan yang menggambarkan ungkapan syukur seorang hamba terhadap Tuhan.

Sementelah tidak mampu 'melepasi' ke ruang dapur, sarapan pagi ini en zauj yang sediakan. Alhamdulillah, terima kasih en zauj! Lewat kebelakangan ini, sarapan mesti di awal pagi. Sesudah subuh, perut sudah menjerit minta diisi. Kegemukan dari hari ke hari, en zauj kata tak apa itu tandanya senang hati. Alhamdulillah! Ana sedang gemuk di saat orang lain sibuk berdiet! :P

Semasa di sekolah rendah, ustazah yang cuti bersalin diganti oleh seorang ustazah yang comel. Ustazah yang sedang bercuti dari pengajiannya di Timur Tengah, sangat akrab dengan ana sepanjang mengajar di sekolah.

"Ustazah belajar di mana?"

"Di Universiti Al-Azhar, Mesir."

"Oh... Ustazah ambil bidang apa?"

"Syariah."

Selalu benar telinga dimomokkan dengan kisah-kisah dari bumi Kinanah sehingga timbul satu aura yang sangat besar buat ana dan sahabat-sahabat untuk terbang ke bumi Kinanah. Pada waktu senggang, beliau habiskan dengan pelbagai kisah keindahan pengajian dan musafirnya di sana. Tersenyum dan terus mendengar. Seronok.

Semasa meningkat ke sekolah menengah, ustaz yang mengajar juga lepasan dari Universiti Al-Azhar tidak pernah lokek berkongsi kisahnya di bumi kinanah tersebut. Mengelamun sendiri. Ada saja kisah yang lucu dan kisah yang membuat ana berfikir dalam diam.

"Tentu seronok duduk di Mesir, belajar, belajar dannnn belajar."


Seronoknya lagi, ustaz dan ustazah yang mengajar merupakan pelajar cemerlang. Apabila nasihat yang diberikan supaya kami bersungguh-sungguh menadah ilmu dan menjadi pelajar yang cemerlang, terasa nasihat itu sangat indah kerana dituturkan oleh mereka yang terlebih dahulu menjadi contoh kepada kami.

Sebelum berkahwin, apabila tunang mengusulkan untuk menyambung pengajian master di Mesir ana tersenyum membaca e-mailnya. Dalam hati terlintas peluang yang datang secara bergolek-golek perlu disambut dengan baik. Tergelak apabila en abi membuat jenaka.

"Abi tak kisah. Nanti raya, boleh rasa suasana Mesir. Orang tanya 'raya mana tahun ni...' abi jawab 'raya di Mesir, tengok cucu'." Abi selalu advance, bukan nak tengok anak dan menantu tapi nak ziarah cucu. Tinggi sangat cita-citanya.

"Ish, jauh la..." Ummi merungut sendiri.

"Eh, susah apa. Internet kan ada, nanti masuk gambar latest dalam Geni, kan dah boleh tengok muka." Abi tidak pernah menghalang, yang sentiasa dilakukannya ialah memberi galakan atas apa yang anak-anak rancangkan.

Tetapi, Allah ada perancangan yang lebih baik. Belum berkesempatan untuk ke Mesir tetapi selalu saja en zauj bercerita tentang Mesir. Baik bandarnya, makanannya, penduduknya, tradisinya dan khazanahnya... Selalu ada memori yang en zauj kongsikan pada ana.

"Rindu nak pergi Mesir lagi."

Bak kata seorang ukhti yang kami ziarahi baru-baru ini,

"Orang yang pernah duduk Mesir mesti ada nostalgia di Mesir, rindu nak ke Mesir lagi. Tapi akak yang kena balik ke Mesir ni tak rasa rindu pun." Jenaka yang disusuli dengan tawa kecil.

Sesuatu yang hilang dan diambil semula nikmatnya dari kita, baru kita akan menghargai dan merinduinya tetapi saat ia di dalam genggaman, kita mudah saja melepaskan ke tangan orang lain. Peluang untuk belajar di lubuk ilmu yang diajarkan oleh para ilmuan selalunya tidak dihargai sebaiknya kerana merasakan waktu yang ada tidak seharusnya disesakkan dengan pelbagai agenda kelak apabila tua akan merasa kurangnya waktu mencipta 'nostalgia' lalu peluang yang hadir umpama debu-debu yang diusir pergi.

Saat peluang tidak lagi hadir kerana diri yang tidak menghargai lalu kita jadi seperti pungguk yang merindukan bulan, menanti dengan harapan kerana peluang sudah jatuh ke tangan orang lain. Barangkali, kita yang tidak menghargai apa yang Allah beri lalu Dia berikan kepada mereka yang akan menghargai peluang tersebut lebih baik dari kita. Lalu terasa betapa ruginya kerana telah mensia-siakan peluang yang hadir bahkan menghampakan kedua orang tua yang bersusah payah mengikat perut membanting tulang untuk membiaya pengajian kita.


Melihat seorang pak cik tua mengayuh beca dengan sepenuh tenaga, badannya kurus, kulitnya gelap dan raut wajahnya membuktikan bahawa kudrat fizikalnya ditumpahkan bagi mencari rezeki untuk menampung kehidupan. Lalu, ana terfikir mungkinkah pak cik tua yang sudah kelihatan uzur ini sebenarnya jauh lebih muda usianya berbanding dengan raut wajahnya kesan mengerah kudratnya untuk anak-anak?

Mungkinkah dia seorang bapa yang membanting tulang sekeras-kerasnya untuk membiaya pengajian anak-anak di menara gading... Setiap dari kayuhan becanya, dia berdoa mudah-mudahan anak-anaknya akan menjadi manusia yang berjaya supaya tidak perlu membanting tulang sepertinya. Lalu hatinya berbunga membayangkan anak-anak menjadi 'manusia' lantas lelahnya dipinggirkan sebegitu saja.

Persoalannya, apakah kita tidak mahu melihat ibubapa tersenyum setelah hampir seluruh kehidupannya memikirkan tentang kita?

"Duduk Mesir dapat biaya biasiswa ke?"

"Tak, biasiswa PaMa."

Biasiswa oleh kedua orang tua (baPA dan eMAk). Lalu, duit yang mereka ikat perut dan membanting tulang kita habiskan dengan 'kita enjoy dulu'! Hampir exam nanti baru baca buku. Sampai masa hati yang kosong diisi seseorang lalu kita bertanya kepada orang tua.

"Saya nak kahwin, boleh?"

Lalu setelah si ibu dan bapa berbincang, mereka memutuskan supaya si anak meneruskan pengajian dahulu. Kecewa dengan ibubapa yang tidak memahami, kita melenting dan semakin malas belajar. Hatiku sudah dimiliki, mengapa tidak kalian memberi restu saja? Jerit batin anak yang masih 'kebudak-budakan' tetapi sibuk mahu menjadi ibu/bapa kepada budak.

Si ibu yang simpati memujuk si ayah lalu mereka mengizinkan anak yang merajuk minta hatinya diisi. Bersorak dan berbunga hati yang kusam lalu semakin bersemangat untuk belajar, cita dan azam ditanam untuk cepat menghabiskan sisa pengajian yang tertangguh. Lalu, perkahwinan menjadi satu cabang inspirasi buat seorang manusia yang MALAS menjadi RAJIN kerana tanggungjawab terhadap keluarga memberi ilham untuk memanfaatkan waktu dengan baik. Alhamdulillah :)

Di sisi lain, setelah berkahwin ada yang bersemangat mencari nafkah kehidupan bagi membiayai kehidupan sementelah kini tanggungjawab bukan sahaja terhadap pelajaran tetapi kepada pasangan yang menghuni taman hati. Akhirnya, pelajaran keciciran dan cita-cita hilang entah ke mana lalu si ibu dan bapa yang sudah kerinduan menasihatkan anak-anak segera pulang tanpa menghabiskan pengajian yang sudah lama. Penantian itu satu penyeksaan.

Uh... merepek apa lagi si Insyirah ni. Hanya mencari idea untuk menulis agaknya, nak menyambung tulis manuskrip. Haha... Selamat tinggal. Perut sudah lapar, lepas ni nak cerita tentang makan. Travelog Insyirah Mencari Makan :P

Mountain Of Dream,
Insyirah Soleha.

Read more...

30 November 2010

Ana Rindukan Mesir

Bismillahirrahmanirrahim.

Pena terhenti, lama mengembara di dunia sendiri. Melihat dan memerhati, tanpa berkongsi sesuatu. Apabila zauj mengingatkan diri agar tidak 'menghilang' dari terus memberi manfaat, ana hanya tersenyum dan bermuhasabah semula. Apalah agaknya yang mampu ana berikan, hanya secebis kata di hujung pena yang entahkan difahami mahupun tidak oleh pembaca diluar sana. Diam dan berfikir akan kata-kata seseorang juga membuatkan ana terus lena di buai perasaan yang sukar untuk diungkapkan.

Alhamdulillah. Dia terus mentarbiyyah dengan cara dan kehendak Nya. Ana hanya melirikkan sebahagian rasa yang singgah di hati, tidak semua yang membaca akan memahami dan tidak mustahil ada yang sakit hati. Biarlah Tuhan yang mentadbir hati, ya Allah jauhkanlah kami dari kejahatan jin dan manusia, peliharalah kami dalam jagaan Mu kerana Engkaulah sebaik-baik Penjaga. Amiin.

Ana rindukan Mesir...

Jujur, sekalipun kedua tapak kaki ini TIDAK PERNAH melangkah ke daerah bumi kinanah tersebut namun sering pula hati ini tertanya bilakah masanya yang Allah tetapkan untuk merakam memori di sana. Cukuplah sebagai langkah awalnya mencetak buku di Mesir, supaya langkah kedua nanti akan disusuli dengan sepasang kaki yang mudah-mudahan Allah izinkan untuk terus berjalan dan bermusafir di bumi Nya :)

Teringat pula pada seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai 'ummi' sewaktu majlis walimah anak kepada imam masjid tempat zauj menjadi imam terawih Ramadhan yang lalu. Ramahnya seakan sudah berpuluh tahun kami berkenalan sedangkan itulah kali pertama kami bersua dan duduk semeja.

"Ustaz dulu belajar di mana?"

"Mesir."

"Oh... Berapa tahun duduk Mesir?"

"3 tahun lebih."

"Ni mesti pandai. Ummi dah tahu, kalau duduk Mesir lama-lama tu repeat paper la."

Hujungnya disusuli dengan senyuman. Ana pandang zauj sambil tersenyum, tak tahu nak kata apa dan zauj hanya tergelak kecil dengan muka yang sudah berubah.


"Menantu ummi belajar di Shoubra. Tapi dah lama balik Malaysia, dia belajar masa umur belasan tahun lagi."

Baru ana mengerti kenapa beliau tahu suasana pelajar Mesir. Tambahan pula suaminya yang bekerja di syarikat penerbangan MAS, selalu mengikut suami terbang ke serata pelosok dunia dan sudah banyak kali musafirnya ke bumi kinanah. Alhamdulillah, jauh perjalanan luas pengetahuan.

Baru-baru ini, zauj keluar memakai t-shirt PMRAM (Persatuan Melayu Republik Arab Mesir) yang merupakan persatuan pelajar di Mesir. Beliau disapa seorang lelaki yang sudah agak berusia.

"Pelajar Mesir ke?"

"Ye."

"Bila balik?"

"Tahun ni. Dulu belajar di Mesir juga ke?"

"Ya."

"Bila grad?"

"Tahun 1989. Tahun lepas pergi ke Mesir, cadang nak belajar tapi tak jadi la. Internet dimerata-rata, semua orang sibuk dengan internet. Tak ada suasana belajar."

Zauj hanya tersenyum kecil. Cerita-cerita yang 'kurang enak' selalu menerobos ke cuping telinga. Suatu ketika dahulu, apabila mendengar nama seseorang yang merupakan lepasan Mesir (Universiti Al-Azhar) pasti kembang dada tumpang bangga tapi kini semakin dipandang sebelah mata. Tidak dinafikan, setiap manusia diberi pilihan dan manusia sentiasa mempunyai peluang untuk memilih yang terbaik bagi dirinya, tetapi sering pula manusia memilih untuk binasa?

Orang selalu merasakan sijil tidak penting, yang penting bagaimana kita memahami apa yang dipelajari. Konsep yang ada pra dan kontra.

Benar, kalau hanya A+ di atas kertas tetapi tidak mampu menterjemah dalam bentuk kehidupan seharian seolah-olah ilmu hanya dipelajari untuk lulus dalam peperiksaan dunia, bukan berhajat untuk cemerlang dalam peperiksaan di mahkamah Allah? Tetapi, apabila menjadi penuntut ilmu tidak boleh tidak, mesti cemerlang dalam bidang tersebut.

"Bukan tak boleh lulus, tapi malas. Asyik dengan internet saja. Macammana nak lulus kalau dah lagi sebulan dua nak exam baru terhegeh-hegeh cari muqarar (silibus pelajaran)? Dah pula tu, siap spot soalan lagi."

Terdengar di hujung cuping telinga, satu lagi bidasan negatif terhadap pelajar-pelajar Mesir yang dilontarkan oleh seorang pelajar lepasan Mesir. Diam.

"Madam-madam (akhawat yang berkahwin) ramai yang tak habis, dah balik Malaysia. Orang kampung ingat dah habis. Jadi fitnah dah ni... Kalau nak kahwin, kena habiskan belajar dulu!"

Tegas seorang lagi pelajar M.A Mesir yang juga merupakan salah seorang mantan pemimpin persatuan.

"Hai... Buat ketupat dah... Buat ketupat dah." Seorang lepasan Mesir yang turut berada di tempat yang sama menggeleng kepala.

"Bukan ketupat saja ni, mengkritik yang membina bukan membunuh."

Suatu malam, sedang asyik menonton televisyen bersama zauj... Ana turut bercerita dan bertanya tentang filem yang sedang ditayangkan di televisyen. Zauj tersenyum.

"Abang dah tengok cerita ni. Abang duduk Mesir, macam-macam filem tengok."

"Ish Abang ni..."

"Lepas habis exam masing-masing sibuk pengajian HARD DISK bukan pengajian hadis! Download cerita dalam hard disk kemudian saling passing dengan yang lain."

Aduh, terasa hidung macam kena cabut saja. Sekali lagi perlu menadah telinga untuk mendengar 'kuliah' perdana dari zauj.


"Nasib baik duduk Mesir sekejap je, kalau lama makin rosak la Abang ni. Isk isk..."

"Astaghfirullah hal azhim."

Pada helaian daun yang berguguran jatuh ke bumi, tak tersambut dengan tangan yang kecil. Gugusan awan di langit, tak tercapai hanya dengan angan-angan tanpa disusuli dengan kesungguhan.

Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubah nasib mereka.

Mengapa orang tidak lagi memandang lepasan Universiti Al-Azhar sebagai seseorang yang berkredibiliti tinggi yang cakna dengan isu semasa dan masyarakat? Pulangnya bukan lagi menjadi sambutan dari masyarakat sebaliknya menambah palitan yang menyakitkan hati dan perasaan.

Masakan akan gemilang sebuah daulah Islam andai semua ikhwah berlumba mencorak jati diri seorang 'FAHRI' berbanding bermujahadah menjadi seorang Salehuddin al-Ayubi. Biarkan saja Palestin menangis dan digulingkan Yahudi kerana kita tidak ada kesempatan dan peluang untuk berfikir tentang umat. Masakan tertegaknya sebuah negara Islam andai akhawatnya sibuk merencana untuk menjadi Aisha pada Fahri yang diimpi, tidak terpandang pada sirah Aisyah r.a. yang faqeh dalam urusan deen.

Dan... ana terus merindukan cerita-cerita Mesir yang mampu mendodoi hati, moga kerinduan bertahun ini akan diubati. Rindu pada cerita enak bersulam kagum yang suatu ketika dahulu sering menjadi perangsang untuk terbang ke bumi Musa.

Wallahua'lam.

Al-Faqirah,
Insyirah Soleha.

Read more...

18 November 2010

Pengumuman : Bicara Pedusi Miliknya :)

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Setelah 4 hari menamatkan Contest : Siapa Nak Buku? dan ana blogwalking semua penyertaan, tak tahu nak pilih yang mana satu sebab semuanya OK tapi adat pertandingan bukan semua dapat memiliki hadiah apatah lagi ana hanya punya satu sahaja hadiah untuk ditawarkan. Kalau penyertaan hanya seorang, pasti mudah untuk ana buat keputusan. Ada 25 penyertaan melalui blog, email dan juga facebook. Terima kasih atas kesudian kalian. :)

Ada seorang editor Galeri Ilmu yang turut menyertai, terfikir untuk 'hadiahkan' kepada beliau tambahan pula sudah lama mengenali di ruangan maya dan boleh minta beliau berikan pendapat, saranan dan kritikan bagi menambah baik mutu penulisan. Tetapi, perlu adil kepada semua orang. Tak tahu nak pilih siapa. Ada yang berjaya buat ana mengalirkan air mata, tersenyum dan ada yang menggelikan hati kerana gorengan ayat sampai tahap hangit. Serius! Pandai sungguh bodek :P

Penyertaan pertama di hari pertama setelah beberapa jam membuat entri tersebut, seorang revert yang meluahkan isi hatinya "Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah" buat air mata ana mengalir, speechless. Beberapa hari kemudian, another revert yang menyertai dan ana speechless sekali lagi. Tak tahu nak cakap apa, buku ini bukanlah sebuah sandaran kepada pencarian. Bimbang mereka yang meletakkan harapan tinggi akan rasa sesal setelah menyelusuri isi-isinya. Ana juga menulis dalam keadaan entah apa-apa, sometime under pressure, bimbang tulisan tidak memuaskan.

Dari 25 penyertaan, akhirnya ada satu penyertaan yang paling unik. Berbeza dari penyertaan yang lain, ana memilihnya untu memiliki buku ini bukan kerana yang lain tak bagus tetapi dia berjaya 'mempermainkan' perasaan ana, dicampur senyuman dan geli hati juga ayat yang menyentap tangkal jantung. Dup dap dup dap...



Assalamualaikum..
kehadapan Puan Insyirah yang kini berada di atas kerusi dan membaca surat saya ini diharap sihat-sihat selalu dan bahagia menjalani kehidupan di 'Desa sementara' pinjaman dariNYA berbekalkan jiwa yang bersih, hati yang putih dan amal yang mulia. AMIN..

Tujuan utama surat ini saya utuskan untuk memberitahu tentang keinginan saya untuk menjenguk dan merasai kehalusan, kecomelan baby Ummi Insyirah. Untuk memiliki mungkin amat sukar sekali kerna ia semestinya hanya milik Ummi Insyirah tetapi saya hanya ingin meminjam segala isi hatinya untuk saya turut merasa n mewarnai hati serta jiwa saya lebih mendalam. Insyallah.


Kenapa Saya Perlu Mendapat Buku Ini Dari Puan Insyirah.
Kerana Kulitnya. ini bukan kerana kulitnya yang lembut dipandang tetapi kerana saya ingin benar2 memegang buku itu. tertanya-tanya di fikiran adakah kulit yang cantik itu boleh saya pegang dan berharap kecantikan kulit itu diiringi dengan kehalusan kulitnya. adakah kehalusan kulit dan kecantikannya juga mempunyai hati yang lembut, tabah, kental atau jitu dalam menjalani kehidupan di perantaun. saya ingin mengenali Durrah Fatinah di bumi mesir. turut sama merasai pengalaman hidup dan cabaran sebagai pedusi islam. semoga perjalanannya boleh membuat saya tabah dan memberi nafas yang baru dalam mengenal pencipta diri ini.


Kerana Peribadinya Ummi Insyirah. saya mengenali .::HaRuMaN MaWaR::.: beberapa minggu yang lalu melalui bingkisan cerita penuh menyayat hati Saya sudah bertunang. berusaha untuk mengikuti lain2 cerita tetapi ia sudah diprivasikan. namun, alhamdulillah selang beberapa hari saya berjaya setelah pemiliknya memberi keizinan. sehingga kini masih belum smua coretan hati itu saya baca. kisah yang dipaparkan membuatkan hati sayu, terasa diri ini kerdil di mataNya, merasakan saya punya begitu banyak kelebihan tetapi tidak mensyukuri apa yang diberi. dengan melayari satu persatu bait-bait itu, tanpa sedar ada ketikanya mata kabur sehinggakan bibir mata menghadiahkan titisan keinsafan dalam diri. ia membuatkan saya ingin lebih dekat denganNYa. Moga Bicara Pedusi ini turut memberikan hadiah yang berharga buat jiwa saya yang kering, semoga ia dapat menyirami jiwa ini sehingga tumbuhnya bunga2 supaya lebih bersedia andai saya dijemputNYA. Insyallah.


Ummi Insyirah, sebelum tinta ini dilipat dan disimpan rapi, diharap ayat2 ini memuaskan hati. Dan usahlah berbelah bagi andai tinta ini tidak terpilih kerna mungkin bukan rezki saya memilikinya. Dan tahniah buat penerima bertuah itu. Jangan risau, pasti saya akan memiliki Bicara Pedusi suatu hari nanti jika ada rezki walaupun tanpa tandatangan. Inysallah. tetapi jika saya yang bertuah (nak jugak tu~~) mohon Puan Insyirah mencoretkan bait2 indah sebagai semangat saya untuk terus dan berusaha mencintaiNYA. (banyak page pun xpe.. hihihi)


Akhir kata, terima kasih kerana sudi membaca surat ini dan mohon maaf jika ada kata yang menguris hati sesunggguhnya yang elok itu dariNYA dan yang salah itu dari hamba yang daif ini. sekali lagi maaf jika surat ini mengganggu hari2 Puan Insyirah.

Sekian.Terima Kasih. Wassalam.

PESANAN BUAT BICARA PEDUSI
kau jauh untuk aku gapai
terpaksa bersama saingan yang ramai
dari jauh ku pandang sungguh elok rupamu
tapi sayang mungkinkah kau dapat ku rasai

disini, kau hanya satu
asalmu jauh beribu batu
kerna itu aku inginkanmu
mahukah kau datang padaku

akan ku tunggu akan ku miliki
mungkin engkau pendamai hati
meneman jiwaku yang sepi
semoga engkau ada disisi


Maka, ana umumkan http://akubdkkampong.blogspot.com sebagai pemilik Bicara Pedusi. Ok, ana sendiri tak ada simpanan. Special buat kamu :)



T
A H N I A H


Tolong hantarkan nama penuh, alamat & nombor talifon kepada ana bagi tujuan penghantaran :)

p/s : Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang sudi menyertai contest.

Salam Pedusi,
Insyirah Soleha

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO