Memori Bumi Kinanah
Bismillahirrahmanirrahim.
Pejam celik, pejam celik... Hari ini usiaku semakin meningkat dan terus meningkat, 20 tahun 10 bulan 9 hari menghuni di bumi Ilahi bermakna semaking singkat untuk mendiami persinggahan dunia. Terpandang sudut jendela yang membawa memori lama, tersenyum dan mengelamun sendirian. Berpagi-pagi merenung luar jendela dari atas kerusi roda, tersenyum melihat keindahan yang Allah 'lukiskan' di depan mata.
Masya Allah, cantik. Mata yang sering dihiasi dengan keindahan demi keindahan, jasad yang sering dianugerahkan nikmat yang tak terungkap dek lisan tetapi hati ini sangat jarang mengungkap kalimah syukur dengan perbuatan yang menggambarkan ungkapan syukur seorang hamba terhadap Tuhan.
Sementelah tidak mampu 'melepasi' ke ruang dapur, sarapan pagi ini en zauj yang sediakan. Alhamdulillah, terima kasih en zauj! Lewat kebelakangan ini, sarapan mesti di awal pagi. Sesudah subuh, perut sudah menjerit minta diisi. Kegemukan dari hari ke hari, en zauj kata tak apa itu tandanya senang hati. Alhamdulillah! Ana sedang gemuk di saat orang lain sibuk berdiet! :P
Semasa di sekolah rendah, ustazah yang cuti bersalin diganti oleh seorang ustazah yang comel. Ustazah yang sedang bercuti dari pengajiannya di Timur Tengah, sangat akrab dengan ana sepanjang mengajar di sekolah.
"Ustazah belajar di mana?"
"Di Universiti Al-Azhar, Mesir."
"Oh... Ustazah ambil bidang apa?"
"Syariah."
Selalu benar telinga dimomokkan dengan kisah-kisah dari bumi Kinanah sehingga timbul satu aura yang sangat besar buat ana dan sahabat-sahabat untuk terbang ke bumi Kinanah. Pada waktu senggang, beliau habiskan dengan pelbagai kisah keindahan pengajian dan musafirnya di sana. Tersenyum dan terus mendengar. Seronok.
Semasa meningkat ke sekolah menengah, ustaz yang mengajar juga lepasan dari Universiti Al-Azhar tidak pernah lokek berkongsi kisahnya di bumi kinanah tersebut. Mengelamun sendiri. Ada saja kisah yang lucu dan kisah yang membuat ana berfikir dalam diam.
"Tentu seronok duduk di Mesir, belajar, belajar dannnn belajar."
Seronoknya lagi, ustaz dan ustazah yang mengajar merupakan pelajar cemerlang. Apabila nasihat yang diberikan supaya kami bersungguh-sungguh menadah ilmu dan menjadi pelajar yang cemerlang, terasa nasihat itu sangat indah kerana dituturkan oleh mereka yang terlebih dahulu menjadi contoh kepada kami.
Sebelum berkahwin, apabila tunang mengusulkan untuk menyambung pengajian master di Mesir ana tersenyum membaca e-mailnya. Dalam hati terlintas peluang yang datang secara bergolek-golek perlu disambut dengan baik. Tergelak apabila en abi membuat jenaka.
"Abi tak kisah. Nanti raya, boleh rasa suasana Mesir. Orang tanya 'raya mana tahun ni...' abi jawab 'raya di Mesir, tengok cucu'." Abi selalu advance, bukan nak tengok anak dan menantu tapi nak ziarah cucu. Tinggi sangat cita-citanya.
"Ish, jauh la..." Ummi merungut sendiri.
"Eh, susah apa. Internet kan ada, nanti masuk gambar latest dalam Geni, kan dah boleh tengok muka." Abi tidak pernah menghalang, yang sentiasa dilakukannya ialah memberi galakan atas apa yang anak-anak rancangkan.
Tetapi, Allah ada perancangan yang lebih baik. Belum berkesempatan untuk ke Mesir tetapi selalu saja en zauj bercerita tentang Mesir. Baik bandarnya, makanannya, penduduknya, tradisinya dan khazanahnya... Selalu ada memori yang en zauj kongsikan pada ana.
"Rindu nak pergi Mesir lagi."
Bak kata seorang ukhti yang kami ziarahi baru-baru ini,
"Orang yang pernah duduk Mesir mesti ada nostalgia di Mesir, rindu nak ke Mesir lagi. Tapi akak yang kena balik ke Mesir ni tak rasa rindu pun." Jenaka yang disusuli dengan tawa kecil.
Sesuatu yang hilang dan diambil semula nikmatnya dari kita, baru kita akan menghargai dan merinduinya tetapi saat ia di dalam genggaman, kita mudah saja melepaskan ke tangan orang lain. Peluang untuk belajar di lubuk ilmu yang diajarkan oleh para ilmuan selalunya tidak dihargai sebaiknya kerana merasakan waktu yang ada tidak seharusnya disesakkan dengan pelbagai agenda kelak apabila tua akan merasa kurangnya waktu mencipta 'nostalgia' lalu peluang yang hadir umpama debu-debu yang diusir pergi.
Saat peluang tidak lagi hadir kerana diri yang tidak menghargai lalu kita jadi seperti pungguk yang merindukan bulan, menanti dengan harapan kerana peluang sudah jatuh ke tangan orang lain. Barangkali, kita yang tidak menghargai apa yang Allah beri lalu Dia berikan kepada mereka yang akan menghargai peluang tersebut lebih baik dari kita. Lalu terasa betapa ruginya kerana telah mensia-siakan peluang yang hadir bahkan menghampakan kedua orang tua yang bersusah payah mengikat perut membanting tulang untuk membiaya pengajian kita.
Melihat seorang pak cik tua mengayuh beca dengan sepenuh tenaga, badannya kurus, kulitnya gelap dan raut wajahnya membuktikan bahawa kudrat fizikalnya ditumpahkan bagi mencari rezeki untuk menampung kehidupan. Lalu, ana terfikir mungkinkah pak cik tua yang sudah kelihatan uzur ini sebenarnya jauh lebih muda usianya berbanding dengan raut wajahnya kesan mengerah kudratnya untuk anak-anak?
Mungkinkah dia seorang bapa yang membanting tulang sekeras-kerasnya untuk membiaya pengajian anak-anak di menara gading... Setiap dari kayuhan becanya, dia berdoa mudah-mudahan anak-anaknya akan menjadi manusia yang berjaya supaya tidak perlu membanting tulang sepertinya. Lalu hatinya berbunga membayangkan anak-anak menjadi 'manusia' lantas lelahnya dipinggirkan sebegitu saja.
Persoalannya, apakah kita tidak mahu melihat ibubapa tersenyum setelah hampir seluruh kehidupannya memikirkan tentang kita?
"Duduk Mesir dapat biaya biasiswa ke?"
"Tak, biasiswa PaMa."
Biasiswa oleh kedua orang tua (baPA dan eMAk). Lalu, duit yang mereka ikat perut dan membanting tulang kita habiskan dengan 'kita enjoy dulu'! Hampir exam nanti baru baca buku. Sampai masa hati yang kosong diisi seseorang lalu kita bertanya kepada orang tua.
"Saya nak kahwin, boleh?"
Lalu setelah si ibu dan bapa berbincang, mereka memutuskan supaya si anak meneruskan pengajian dahulu. Kecewa dengan ibubapa yang tidak memahami, kita melenting dan semakin malas belajar. Hatiku sudah dimiliki, mengapa tidak kalian memberi restu saja? Jerit batin anak yang masih 'kebudak-budakan' tetapi sibuk mahu menjadi ibu/bapa kepada budak.
Si ibu yang simpati memujuk si ayah lalu mereka mengizinkan anak yang merajuk minta hatinya diisi. Bersorak dan berbunga hati yang kusam lalu semakin bersemangat untuk belajar, cita dan azam ditanam untuk cepat menghabiskan sisa pengajian yang tertangguh. Lalu, perkahwinan menjadi satu cabang inspirasi buat seorang manusia yang MALAS menjadi RAJIN kerana tanggungjawab terhadap keluarga memberi ilham untuk memanfaatkan waktu dengan baik. Alhamdulillah :)
Di sisi lain, setelah berkahwin ada yang bersemangat mencari nafkah kehidupan bagi membiayai kehidupan sementelah kini tanggungjawab bukan sahaja terhadap pelajaran tetapi kepada pasangan yang menghuni taman hati. Akhirnya, pelajaran keciciran dan cita-cita hilang entah ke mana lalu si ibu dan bapa yang sudah kerinduan menasihatkan anak-anak segera pulang tanpa menghabiskan pengajian yang sudah lama. Penantian itu satu penyeksaan.
Uh... merepek apa lagi si Insyirah ni. Hanya mencari idea untuk menulis agaknya, nak menyambung tulis manuskrip. Haha... Selamat tinggal. Perut sudah lapar, lepas ni nak cerita tentang makan. Travelog Insyirah Mencari Makan :P
Mountain Of Dream,
Insyirah Soleha.
1 leaves:
salam alaik...
seronok mbaca posting ini.. ya.. siapa pun jua akn mrasa teruja bila diberi pluang mngembara mninggalkan tanahair sendiri... mncari pngalaman hidup katanya...
namun, ia tidak semudah y disangka... jika kita tiada ktabahan, kimanan dan kkuatan mnghadapi dugaan pastinya prjalanan kita di negara org lain trasa sulit dan myesakkn...
akn ttp ini bkn bmaksud keluar ke negara org lain itu tidak baik.. lg pula blajar di bumi y pnuh barakah, dah pasti akn mggamit 1001pngalamn y luar biasa... namun kita insan biasa.. mungkin rezeki itu bkn milik kita..
sentiasa merasa bsyukur atas nikmat rezekinya... di Msia jua kita masih mampu mncari ilmu.. mngkin persaannya bbeza.. namun ia ttap mmbawa kpd tujuan y sama... saya juga mndoakan.. mudah2an anda sntiasa diberi kekuatan mnghadapi mehnah ini... ~amin~...
salam dr shbt lamamu y jauh...
Post a Comment