"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

10 December 2013

Amir Solihin @ Oftalmologi THONEH

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, anakanda Amir Solihin selalu murah rezeki. Sejak lahir, sehingga kini alhamdulillah rezeki buat anakanda mencurah-curah, moga membesar menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat.

Rawatan di klinik oftalmologi hospital berjalan 'perlahan', sedia maklum pesakit sangat-sangat ramai. Untuk kami yang tidak mampu, perlu sabar menunggu giliran.

Alhamdulillah, ada hamba Allah yang sudi untuk menaja kos rawatan Amir Solihin di hospital swasta. Kami sepakat memilih The Tun Hussien Onn National Eye Hospital (THONEH) sebagai tempat untuk membuat rawatan disamping mendengar pandangan kedua dari pakar. Alhamdulillah, sudah 2 kali kami ke THONEH membuat rawatan mata anakanda yang dikasihi.

Pandangan dan nasihat dari doktor juga lebih mudah difahami, insyaAllah kemungkinan anakanda perlu menjalani pembedahan atas kedua-dua mata kiri dan kanan. Untuk tempoh ini, doktor menyarankan kami membuat latihan menutup sebelah mata Amir Solihin setiap hari selama 1 jam bagi membantu 'menghidupkan' kembali matanya.

Semoga Allah permudahkan segala urusan, dunia dan akhirat. InshaAllah :)


Menghiburkan Amir Solihin di klinik, kali pertama tak ramai orang (tempat main pun lengang) puas la juga melayan Amir Solihin main.


Amir Solihin membuat pemeriksaan mata pada temujanji ke-2, mengesan keupayaan beliau untuk menggunakan kedua-dua belah mata. Gambar diambil oleh pembantu doktor :) 

Ummi siap bawakan lori (di bawah kerusi) untuk Amir Solihin main sementara nak dapatkan rawatan.


Ummu Amir.

Read more...

02 December 2013

Musim Sejuk

Bismillahirrahmanirrahim. 

 Beberapa hari lalu, rasa seronok bila ada orang yang sedang bercuti di Korea hantar gambar live dari Korea, main salji. Maka, terasa macam best je main salji. Seorang kakak usrah pernah duduk UK setahun kata bila musim sejuk akan rindu sangat nak balik Malaysia. Bila musim sejuk, sangatlah sejuk. Dalam rumah pun masih sejuk. 

 Ni ha Allah bagi rasa sejuk, hujan tak berhenti. Sentiasa hujan, seperti anak kecil yang merengek. Allahuakbar, baru hujan dah menggigil-gigil dalam rumah. Baru Allah bagi rasa hujan, dah rasa seram sejuk. 

Maka diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, 
Nikmat apakah yang hendak kamu dustakan? 

Allah..! 

Musim hujan, hujan, hujan. Ibu-ibu 'mengeluh' kain baju tak kering-kering. Peniaga tepi jalan 'mengeluh' tak ada jualan. Kita lupa, untuk berdoa banyak-banyak semoga dengan hujan, Allah berikan rahmat dan pandang kita dengan setebal-tebal kasih sayang. 

Sesejuk mana pun terasa, selimut kasih sayang Allah akan menghangatkan iman. Begitulah nikmatnya sebuah iman, apa yang mendatang semuanya dipandang dengan penuh rasa bersyukur. Allah. Allah. Bila iman kita sejuk menggigil, hangatkan dengan solat. 

Nabi ajak kita berehat dengan solat. 
Tapi kita? Bila penat tak nak solat. 
Kemudian, kita mengaku kita pencinta sunnah Nabi. 

Astaghfirullah hal azhim. 

Ya Allah, 
Kurniakan kepada kami hati yang sejahtera. 
Hati yang sentiasa berbaik sangka. 
Hati yang selalu bersyukur, tenang dan berlapang dada. Amin, amin, amin.

Read more...

01 December 2013

Inspirasi : KAHWIN MUDA

Bismillahirrahmanirrahim.

Nak kongsi dengan rakan-rakan pembaca yang lain, satu luahan hati dan nukilan seseorang yang bernikah di awal usia mengenai perkahwinan pada usia muda. Semoga Allah memberkati penulis tersebut yang mengizinkan perkongsiannya :)


----

Assalamualaikum buat semua sahabat yang dicintai kerana Allah. Ada sesuatu yang saya ingin nukilkan tentang KAHWIN MUDA. Tapi saya sedar amat, nukilan saya ini mungkin mengusik perasaan ramai antara kita. Jika nukilan ini bersifat kasar dan mengguris hati serta tidak sewajarnya berada di wall group ini, saya mohon saudari admin, padamkan sahaja

Saya menaip catatan ini dengan hati berbelah bahagi. Dan jemari yang bergeletar hebat. Terlebih dahulu saya nyatakan pendirian saya, bahawa saya sama sekali tidak anti dengan kahwin muda, bahkan saya sendiri berkahwin pada usia muda, iaitu ketika berusia 18 tahun (2009), pada waktu itu saya berada di tahun pertama ijazah sarjana muda, bukan di timur tengah (seperti lazimnya student yang bernikah ketika belajar), tetapi di negara barat dan kini sudah dikurniakan 3 cahaya mata. 

Bukanlah kahwin muda yang tidak saya setujui, namun sikap sesetengah di antara kita yang mengambil kesempatan kahwin muda sebagai tiket untuk mengguris hati wali kita, iaitu ibu bapa. Bukan sehari dua saya memerhati, bahkan sudah bertahun juga saya berdiam tentang perkara ini. Saya lihat yang sudah berkahwin-ghairah menggalakkan rakan-rakan seusia berkahwin juga, manakala yang belum berezeki untuk bernikah resah mengeluh seolah-olah jika tidak berkahwin maka punahlah hidupnya. Ada yang sehingga sanggup berkongsi kenyataan-kenyataan yang jika dibaca oleh ibu bapa, boleh hancur luluh hati mereka.

Yang sudah berkahwin, cukup-cukuplah berkongsi kesweetan nikah muda kalian. Sekali sekala bercerita, tidak mengapa, berkongsi berita bahawa kalian sudah bernikah, untuk mengelak fitnah. Tapi kalau setiap kali buka mulut cerita nikah muda, up status pasal nikah muda, buat video nikah muda, buat dialog nikah muda

"Sedapnya buah mempelam ni. Syok tau kahwin muda".

"Terima kasih mama jahitkan baju raya. Best tau nikah muda".

"Malam ni makan KFC dengan keluarga. Seronoknya kahwin muda".

-Macam tak ada kaitan jekan. Yang sweet pun dah jadi tawar kalau selalu dicerita. 

Demikian juga yang belum berezeki untuk bernikah. Kawallah diri. Jangan biarkan keinginan kita sehingga mengecilkan hati ibu bapa. Mereka kunci syurga kita. Saya lihat ada anak yang frust sebab ibu bapa tidak izinkan bernikah semasa belajar, berkongsi kenyataan yang saya gusar jika dibaca oleh ibu bapanya, ibu bapa boleh berjauh hati. Kenyataan seperti 'anak dara tidak boleh berkahwin sebab hantaran terlalu tinggi. Ibu bapa nak jual anak ke'. Mengapa tegar berkata begitu? Sedarkah kita ibu bapa membesarkan kita dari merah dua jari telapak kaki sampai kita jadi sebesar ini. Tanpa mereka tiadalah kita. 

Apalah sangat nilainya seribu dua ringgit jika dibandingkan dengan segala jasa mereka? Memang, wang hantaran bukan wajib, bukan juga suruhan agama, namun jika ibu bapa mahukannya, carilah jalan untuk mendapatkannya, anggaplah ia sebagai sagu hati buat mereka. Perlu sedar, kadang ada ibu bapa yang langsung tidak punya simpanan untuk menjalankan kenduri walimah anak mereka, wang hantaran itulah yang diharap buat belanja menampung kenduri tersebut.

Jika tiada juga wang, bawalah berbincang. Jangan melulu melabel insan yang bertarung nyawa melahirkan, bergadai jiwa membesarkan dengan gelaran dan tuduhan yang bukan-bukan. *sebagai seorang emak, saya juga sedar, seandainya perkara seperti ini (melabel ibu bapa perempuan sebagai jual anak) diperkatakan oleh seorang lelaki, nasihat saya, jauhilah lelaki seperti ini.

What to expect? Belum bernikah sudah pandai melabel-label ibu bapa perempuan, sudah bernikah mungkin lebih teruk kelak. 

Bagi mereka yang diizinkan Allah untuk bernikah pada usia muda pula, seperti yang sudah saya katakan, janganlah terlalu dipengaruhi rakan-rakan yang belum bernikah untuk bernikah juga. Simpankan sahaja sebahagian besar kesweetan berkasih sayang zauj-zaujah, bercinta selepas nikah itu untuk tatapan peribadi. Kerana setiap manusia berbeza jalan dan keperluan hidupnya. Setiap ibu bapa juga berbeza harapan dan keizinan yang diletak pada anak-anak mereka. Jangan diguna alasan dakwah untuk memberi green light bercerita tentang kesweetan hidup kita suami isteri sehingga mengundang duka di hati insan lain.

Saya bagi satu contoh logik pada zaman sekarang. Kalau dalam 10 orang anak gadis remaja (berusia dalam lingkungan 17-23 tahun) mungkin hanya 2 orang yang diizinkan keluarga untuk bernikah pada usia muda tetapi perlu berhenti belajar. Seorang diizinkan keluarga untuk bernikah pada usia muda + boleh meneruskan pengajian, manakala selebihnya 7 orang, tidak diizinkan keluarga untuk bernikah pada usia muda, dan perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Rasa-rasa mana satu sasaran dakwah terbaik kita? Pastilah kumpulan yang lebih besar jumlahnya, dan yang lebih mudah untuk ditemui sasarannya dalam kelompok masyarakat. Ajak mereka membina solehah dalam diri dengan menjadi anak solehah yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan harapan ibu bapa (cemerlang pelajaran), jadi anak solehah dahulu, baru jadi isteri solehah.

Bukan asyik bercerita tentang seronoknya dapat bernikah muda kepada kawan-kawan yang belum bernikah, sehingga mereka juga rasa terdesak untuk bernikah muda, sanggup merajuk, bergaduh, mencalar hati ibu bapa dengan permintaan yang di luar kesanggupan ibu bapa mereka.

Rasulullah menganjurkan kita supaya bernikah, untuk menunduk nafsu dan memurahkan rezeki. Namun Rasulullah ajarkan juga supaya berpuasa jika tidak berkesempatan bernikah (bagi aspek menjaga nafsu). Dan menjaga hati ibu bapa demi redha dan restu mereka (bagi aspek keberkatan hidup dan rezeki).

Saya harap nukilan dan curahan hati saya ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Tiadalah niat saya untuk mengguris hati sesiapa melainkan untuk bersama-sama mengajak sahabat-sahabat sekalian berkongsi sedikit kekhuatiran yang terpendam dalam hati saya sebagai seorang emak. Segala yang baik daripada Allah.

Salam sayang buat semua, 
Dr F (Umm Aqeef)
Hammersmith Hospital, London, UK

Read more...

28 November 2013

Amri Suhaily @ 5 Bulan

Bismillahirrahmanirrahim.

Budak bambam ni dah masuk 5 bulan, air liur selalu meleleh bila tengok orang lain makan. Dan dia pun dah macam-macam merasa makanan, buah betik, buah epal, buah pisang. Semua yang orang makan, dia pun terliur sama. Mujur Ummi tak suap Nasi Arab je lagi dengan budak bambam ni.

Orang kata mukanya sebiji fotostat muka Abi.


Sekali Ummi tengok, macam anak cina. :D

Dah 5 bulan, tapi malas nak meniarap. Suka mengiring saja, tapi Ummi tak kisah langsung kalau Amri Suhaily tak meniarap macam abang Amir Solihin, kalau dua-dua cepat, Ummi kena pasang turbo pada kedua-dua belah tangan.

Jari tangannya bulat-bulat, risau sungguh bila Amri masukkan tangan dalam mulut Abang Amir, Ummi takut Abang Amir ingat french fries je... Little Mujahid kedua ni manis dengan senyuman, sampaikan ibu-ibu saudaranya suka kata Amri Suhaily senyum gatal. :D


Little Amri Suhaily dengan berat 8.1 kg pada usia 5 bulan, ini kelebihan nyata berbanding Abang Amir. Hehehe, lagi 4 kg boleh kalahkan Abang Amir :) Gambar ni masa Amri Suhaily 4 bulan, kepala botak. Sekarang rambut dah panjang. Tak boleh letak sebelah menyebelah macam ni lagi, mereka berpeluk sakan. Amri Suhaily suka peluk kepala Abang Amir dan cium Abang Amir sambil 'menyiram' air liur pada Abang Amir.

Anak kedua ni lebih penyabar, redha je bila dibuli abang. Abang buat macam-macam pun sengih... ^_^

Read more...

22 November 2013

Amir Solihin @ Oftalmologi

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selepas 1 tahun dan ditangguh pula 4 bulan pada 18 November 2013 kali pertama pemeriksaan mata untuk Amir Solihin. Selepas selesai mendaftar, kami maklumkan pada jururawat untuk bersarapan. Alhamdulillah, layanan baik dari jururawat meskipun pesakit sangat ramai tidak kurang dari 50 orang.

Prosedur pertama.

Optimetrist main 'kad bergambar' dengan Amir Solihin, ada macam-macam gambar dan jarak penglihatan semakin lama semakin pudar dan kecil. Sampai satu tahap gambar, saya rasa Amir Solihin dah 'tak nampak' gambar. Sambil main, optimetrist lihat gerakan bebola mata Amir Solihin.

Prosedur kedua.

Optimetrist minta untuk diberikan ubat titisan pada mata Amir Solihin. Berselang 5 minit sebanyak 3x, kami duduk atas kerusi dan nak pegang Amir Solihin supaya tidak bergerak memang mencabar, rontaan sangat kuat. Kali kedua, bila nampak jururawat terus Amir Solihin meraung. Saya yang meriba Amir Solihin tak tahu nak pegang macammana untuk calm down, terus bersila atas lantai dan peluk kuat-kuat semasa jururawat titiskan ubat mata. Lepas titis ubat mata kali ke-2, Amir Solihin dan merayu ajak balik ke rumah. Pujuk bawa berjalan-jalan, usap belakangnya. Kali ke-3, Amir Solihin dah 'pasrah' dalam tangisan.

Prosedur ketiga.

Fungsi ubat tersebut untuk mengembangkan saraf-saraf mata Amir Solihin, untuk melihat keadaan saraf-saraf matanya. Selesai titiskan ubat, optimestrist datang melihat dan minta saya tidurkan Amir Solihin supaya saraf-saraf matanya lebih cepat mengembang. Hampir 20 minit kemudian, optimestrist menjalankan beberapa ujian terhadap mata Amir Solihin. Tak faham bahasa-bahasa medikal :) Beberapa kanta mata didekatkan pada mata Amir Solihin sambil mereka menguji tahap fokus yang mata Amir Solihin mampu mencapai.

Prosedur keempat.

Doktor pakar minta saya tinggalkan Amir Solihin dalam bilik, jururawat dan seorang MA lelaki bedung badan Amir Solihin, kemudian saya disuruh keluar. Tak tahu apa sebenarnya yang berlaku, sebelumnya optimetrist memaklumkan mereka akan teropong saraf belakang mata Amir Solihin :) Saya sempat tengok alatan-alatan yang doktor ambil, tapi tak tahu alatan tersebut digunakan bagaimana, seram melihatnya :D

Dari luar bilik, kedengaran suara meraung dan tangisan.

Selesai prosedur, jururawat beri Amir Solihin pada saya terus peluk tak lepas-lepas, ajak balik rumah. Sehingga hari ini sangat takut dengan perkataan "doktor" dan "ubat mata". Tidur malam pun selalu terkejut dan cari ummi. Allah... Trauma sungguh.


Obses dengan kenderaan ^_^

Untuk tempoh terdekat, kami hanya buat latihan sendiri di rumah untuk Amir Solihin mengikut kaedah 'lazy eye', mungkin masalahnya tidak sama dengan 'lazy eye' tetapi kaedahnya boleh buat pada Amir Solihin untuk melatih otot-otot dan saraf mata lebih fokus.

Sejak bayi, saya perasan mata Amir Solihin juling. Lama kelamaan, juling makin berkurangan. Bila tanya pada doktor, doktor kata juling sahaja. Tapi doktor rujuk kepada pakar untuk temujanji. Bila tanya pendapat doktor kedua, katanya mungkin Lazy Eye. Selepas membuat ujian, katanya bukan Lazy Eye cuma Amir Solihin mengalami masalah sebelah matanya tidak fokus bila melihat jauh, tidak rabun tetapi tidak boleh fokus. Bila jarak penglihatan jauh, pandangan jadi kabur dan dia 'malas' menggunakan mata yang kabur, hanya menggunakan sebelah mata sahaja. Kalau dibiarkan berterusan tanpa membantu atau merangsang otot dan saraf matanya fokus, kemungkinan sebelah mata Amir Solihin menjadi buta.

Otak mendapat signal hanya sebelah mata yang digunakan, lama kelamaan otak offkan suis sebelah mata kerana menyangka mata tersebut tidak berfungsi maka fungsinya terus dipadam. Itu kata doktor.

Untuk aktiviti kami sekarang, hari-hari jadikan Amir Solihin seperti 'lanun'. Matanya yang boleh difokus akan ditutup sambil kami bermain kad gambar :)

Bila terasa sakit mata atau mengalami masalah rabun, bersyukur Allah masih mengurniakan nikmat melihat kepada kita. Masih ramai yang tidak boleh melihat. Oh, saya teringat suami kongsikan dengan saya seorang yang hampir buta matanya (jarak penglihatan sekitar 25% kalau saya tak salah) setiap hari titiskan air zam-zam pada mata, doktor pakar pun pelik saraf matanya semakin pulih. Ya, kesembuhan itu dari Allah dan sebagai manusia kita hanya ikhtiar sahaja, yang memberi kesembuhan adalah Allah! :)

Betapa ramai orang mampu melihat tetapi tidak mahu memandang al-Quran.
Betapa ramai orang yang buta tetapi lidahnya sering mengalunkan ayat-ayat dari al-Quran.
Matanya mungkin buta tetapi hatinya terang indah dengan nur al-Quran.

Allahummarhamna bil Quran.


Ummu Amir

Read more...

24 October 2013

Mujahid-Mujahid Cilik

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama tak menulis di blog.

Jarang menulis perihal anakanda Amri Suhaily, bukan tak nak menulis tetapi kekangan ruang untuk menulis dengan tenang, sukar mendapat peluang untuk menulis dengan 'lapang'. Jadi, kisah-kisahnya hanya dibukukan di dalam cerita bersama keluarga tanpa mencatit di ruang maya.

Alhamdulillah, Amri Suhaily istimewa dengan caranya sendiri.


Dah berusia 4 bulan lebih, beratnya 7.3 kg.

Belum boleh meniarap, suka mengiringkan badan tapi tak mahu meniarap. Mulut baru mula becok, dan suka menyembur. Terkadang rupanya macam meludah-ludah, worse than menyembur. Mungkin lepas habis fasa menyembur (meludah?) baru nak ke fasa meniarap.

Bila orang selalu tanya perkembangan Amri Suhaily yang 'tidak cepat' macam abangnya, Amir Solihin saya senyum lebar. Syukur kerana Amri Suhaily 'tidak cepat', kalau bertindak aktif dan pantas seperti abangnya, mungkin saya tak cukup sepasang kaki dan tangan, kena cari lagi sepasang kaki dan tangan supaya boleh lebih pantas untuk bertindak berbanding dua khalifah cilik ini. :)

Amri Suhaily sangat penyabar bila dipermainkan oleh abangnya. Perkataan dipermainkan, bukan bermain.

✿ 1 

Amri Suhaily gelak mengekek-ngekek bila ditinggalkan seketika bersama abangnya, ummi ke dapur beberapa saat, Amri Suhaily dah 'digolek-golekkan' sebiji macam bantal peluk tergolek oleh abangnya. Jatuh dari tilam ke atas lantai, mujurlah tilam nipis saja, dah jatuh tergolek pun boleh lagi ketawa. Mengekek pula tu! Memang la abang Amir Solihin makin suka dan seronok menggolekkan adik bila adik ketawa, ummi yang sakit jantung.

✿ 2 

Beberapa saat ummi nak ke dapur bancuh susu, siap pesan pada Abang Amir Solihin untuk jagakan Amri Suhaily, tak sampai seminit ummi intai Abang Amir Solihin dah cabut stokin Amri Suhaily, diangkatnya kedua-dua kaki Amri Suhaily ke paras perut. Bila ummi tanya,

"Kenapa abang buat macam tu pada adik?"

Selamba dia jawab, "Adik sakit perut."

Fehhh... Dah memang saya selalu 'golekkan' kaki Amri Suhaily bila kembung perut, jadinya Abang Amir Solihin yang prihatin lagi bijaksana tolong 'urut' perut adik. Amri Suhaily pula? Tersengih-sengih.

✿ 3 

Sedang solat berjemaah sekeluarga di rumah. Amri Suhaily nyenyak tidur dalam buaian, Amir Solihin makan keropok keping. Masa sedang solat, tiba-tiba Amri Suhaily menangis sekuat-kuatnya dalam buaian, Amir Solihin yang ponteng solat pun tolong ayunkan buai tapi adik menangis tak surut pun nada, terus Amir Solihin cakap,

"Jap, jap... Amir nak mamam (makan)."

Tuan imam serta makmum semuanya terus tak boleh nak khusyuk solat. :P

Abang soleh suruh adik tunggu sebab nak makan keropok dulu.

✿ 4 

Sebelum solat, sempat pesankan pada Amir Solihin untuk tengokkan adik. Kalau moodnya bagus, memang berwatak abang yang soleh dan penyayang lagi dipercayai :D

Bila adik mula bunyi muqaddimah nak menangis, cepat-cepat tolong tepuk-tepuk adik.

"Dik, jap dik... Ummi solat, tu ha, nampak tak ummi solat?"

✿ 5 

"Ummi, Ummi dah solat?"

Setiap kali pulang ke rumah selepas solat berjemaah di surau, pasti diajukan soalan ini pada saya. Terkadang rasa geli hati tetapi sebenarnya ia peringatan dari Ilahi, SOLAT. Si kecil yang bertanya pada dewasa, kalau tidak terasa hati juga, kena doa pada Allah minta Allah gantikan hati yang lain; hati yang lebih baik.

✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ 

Kalau nak kongsi kisah-kisah dua beradik ni memang banyak yang kelakar, banyak juga yang buat ummi ketap bibir rapat-rapat, banyak juga yang buat ummi ketap gigi sampai ke gusi. Itulah perjalanan seorang ibu, warna warni lipatan kehidupan. Tidak semuanya manis namun bukan semuanya pahit, inshaAllah hari demi hari pasti akan ada pelajaran dari Ilahi untuk renungan dan muhasabah diri.



Anak,
Permata yang tidak ternilai harganya.

Moga anak-anak Ummi jadi saham buat Ummi dan Abi.

Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu hikmata wa takwil, aamin.

Ummu Amir

Read more...

13 October 2013

Harga Sebuah Iman

Bismillahirrahmanirrahim.

Selepas solat Maghrib semalam, duduk berbual di meja makan sambil melayan anakanda Amir Solihin makan malam, suami pula berkongsi cerita. Tiba-tiba, dengar suara wanita menjerit.

"Hoi, kau buat apa tu?"

Kuat sangat!

Saya minta suami turun ke bawah untuk lihat apa yang berlaku, tapi suami kata budak-budak yang bermain di bawah. Cuma, kata hati saya sebaliknya. Tak ada muslimah yang 'saja-saja' nak menjerit sebegitu kuat kalau tidak ada apa-apa insiden yang besar.

Akhirnya, diamkan saja. Sambung melayan anakanda makan dan berbual dengan suami.

Bila azan Isyak, suami dan anakanda turun solat. Saya duduk di rumah dengan anakanda Amri Suhaily. Balik dari solat, suami tengok saya terus kata, "betullah, ada sesuatu yang berlaku."

Terus saya tak sabar, "kenapa, ragut?"

Sebelum tu, saya kata pada suami, kadang nampak muslimah yang masuk ke tandas tinggalkan beg tangan di luar tandas, kadang letak atas tangga, kadang letak atas kerusi luar tandas. Jadi, saya merasakan sikap sambil lewa begitu tak mustahil mengundang jenayah.

"Bukan."

Oh, lega. Bukan ragut. Iya, kadang kalau cerita fasal duit memang ianya ujian yang besar kalau iman tidak berat. Sebab itu bila ada peragut nak dapatkan sangat barang dari mangsa sanggup buat macam-macam, tikam, seret sehingga mati pun ada. Na'uzubillah.

"Ada 2 orang lelaki mengintai di tandas muslimat!"

Subhanallah.
La haw la wa la quwwata illa billah.
Astaghfirullah hal azhim.

Buntang terus dua biji mata. Terkejut. Ini pasti sudah senget akalnya. Patutlah dengar suara wanita menjerit sekuat-kuatnya, Allah. Cumanya masa wanita yang mampir kepada suami bertanya perihal AJK surau, memang suami bergegas nak ke dewan solat jadi tak sempat nak minta butiran lanjut. Allahu Allah, selesai solat mungkin wanita yang datang jumpa suami dah pun balik.

Em,
Di rumah Allah pun manusia tak segan silu buat maksiat. Jangan 'hairan' sangat kejadiannya di Malaysia sedangkan di Mekah, di hadapan baituLLAH pun ramai orang yang buat maksiat (dosa). Mencuri, meragut, dan ada yang ambil kesempatan meraba. Astaghfirullah hal azhim.

Betapa, cinta Allah itu tidak kenal 'abid mahupun pendosa. Dia terus beri dan memberi rezeki dan peluang kepada semua untuk 'kembali' pada Dia, dengan jalan TAUBAT. Pintu taubat sentiasa Allah buka, supaya manusia kembali kepada fitrahnya yang mencintai kebaikan.

Moga Allah, dengan rahmatNya membuka hati lelaki yang 'sakit' iman tersebut dengan taufiq, agar diberikan maghfirah untuknya atas khilaf diri. Dan, untuk kita semua yang dahagakan rahmat Allah, moga kita semua tidak penat untuk bertaubat kepada Allah atas setiap kesalahan yang pernah dilakukan.

Esok, hari Arafah :)

Andainya tahun ini saya menerima tawaran haji, saya sedang sibuk dengan persiapan haji, moga ada hikmah yang besar buat kami atas setiap perencanaan Allah.

Bapa saudara saya dan isteri, tahun ini menjadi tetamu Allah. Moga kesemua jemaah haji dikurniakan kemudahan melaksanakan ibadah haji dan mendapat haji mabrur. InshaAllah, aamin.

Esok, hari Arafah. Digalakkan untuk puasa sunat :)


Biarlah kita tempang fizikal,
Jangan kita tempangkan akal,
Biarlah kita tempang harta,
Jangan kita gadaikan IMAN.

Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah. Aamin, aamin, aamin.


Ummu Amir.

Read more...

08 October 2013

✿ Tudung Labuh ✿

Bismillahirrahmanirrahim.

Comel pula tajuknya. Tudung labuh 

Tudung yang labuh. Tak semestinya tudung bulat, tak semestinya tudung tu kena jahit di tengah, tak semestinya kena labuh sampai lutut, tak semestinya tudung tu ada nama-nama tertentu (Tudung A, Tudung B atau apa nama sekalipun).

Tak wajib pun nak pakai tudung labuh, tetapi yang WAJIBnya menutup aurat dengan sempurna. Bahkan, bertudung pun tidak wajib sebab yang wajibnya ialah menutup aurat dengan sempurna. Maksud sempurna tu macammana?

  Labuh
  Longgar
  Tebal
 ✿ Tidak melekat pada badan sehingga nampak bentuk tubuh

Nak pakai apa sahaja tudung, ya silakan. Asalkan menepati kritiria menutup aurat dengan sempurna. Nak pakai kain guni pun tak apa. Kalau ada halangan ibubapa tak bagi pakai tudung labuh bulat tu, janganlah merajuk dengan mereka. Sebab Islam ni mudah, janganlah kita susahkan pula.

Zaman sekarang, ibubapa tak takut anak free hair tetapi takut bila anak nak bertudung litup. Jangan salahkan ibubapa, kerana zaman sekarang ni macam-macam anasir yang meracuni fikiran manusia. Takut kepada Islam dan takut melihat orang beramal dengan syariat Islam.

Jangan tanya apa yang orang boleh lakukan.

Tetapi...

Apa yang anda boleh dilakukan?

Mulakan dengan menutup aurat dengan sempurna. Langkahnya, boleh mula dengan tudung bidang 45 atau 50 atau 60. Labuh dan longgarkan. Pakai sarung lengan, pakai stokin. Paling cantik, bila disertai dengan menjinakkan diri dengan majlis ilmu. Cari ilmu, cintakan ilmu dan cintakan orang yang berilmu.

Bila berilmu, maka beramallah dengan ilmu tersebut. Mudah-mudahan 'langkah demi langkah' penghijrahan akan membuatkan ibubapa juga turut jatuh cinta dengan syariat Islam.

Hati, Allah yang pegang 



Bolak balik sifatnya. Bila Allah nak 'turn', sekelip mata (bahkan kurang dari tu pun) boleh! Didik hati bersangka baik pada Allah, semoga Allah mengurniakan jalan-jalan kebaikan untuk kita; dunia dan akhirat. Wallahua'lam.

InsyaAllah. Aamin 

Ummu Amir.






Read more...

01 October 2013

Tindak Balas Habbatus Sauda'

Bismillahirrahmanirrahim.

Berikut adalah senarai beberapa tindak balas awal yang mungkin berlaku jika mula-mula mengambil Habbatus Sauda':

1. Muntah (Masalah sistem penghadaman)

2. Demam (Masalah usus kecil / besar)

3. Najis berdarah (Masalah anus (lubang dubur) dan buasir)

4. Cirit-birit (Masalah limpa / hati)

5. Berpeluh (pengeluaran haba dalam badan)

6. Sengal bahagian sendi (Masalah urat darah dan reaksi kelebihan asid uric)

7. Sakit Pinggang (Masalah buah pinggang)

8. Sakit tekak / kerongkong (Masalah paru-paru)

9. Kencing berbau (Masalah buah pinggang)

11. Kencing manis bertambah (Masalah hati dan pancreas)

12. Pengeluaran haid berlebihan (Proses perubatan hormon dan masalah limpa)

13. Bertambah selera makan (Proses perubatan kolestrol)

14. Bengkak anggota badan (Masalah buah pinggang)

15. Gatal hidung (Masalah resdung dan alahan)

Source : Minsyam

Read more...

30 September 2013

5 Wasiat Nabi SAW kepada Abu Hurairah ra.

Bismillahirrahmanirrahim. 

1. Waspada kepada perkara HARAM pasti kamu menjadi orang yang paling hebat ibadahnya. 

Huraian. 

Dalam kehidupan kita seharian (bahkan pada zaman Rasulullah), lebih banyak yang halal berbanding haram tetapi pada zaman sekarang ramai golongan suka menyusahkan diri dengan memperbanyakkan perkara yang haram berbanding halal. 

Contohnya minuman. Hanya arak yang diharamkan secara mutlak. InsyaAllah kita ada banyak pilihan untuk minum air yang lain. Dalam hal makanan hanya babi yang haram jadi kita banyak pilihan yang lain eg ayam, itik, dll. 

2. Berbuat baiklah kepada jiran kamu, nescaya kamu akan menjadi mukmin sejati.

Huraian hadith. 

Jiran adalah orang yang duduk 40 buah rumah di kiri, 40 buah rumah di kanan, 40 buah rumah di depan, 40 buah rumah di belakang juga 40 buah rumah di atas dan 40 buah rumah di bawah (flat, kondo, apartment). Berbuat baik termasuklah tidak menyakiti hati jiran dngan lisan mahupun perbuatan. 

Nabi ajar supaya selalu berkongsi makanan dengan jiran. Kalau masak, lebihkan kuah untuk bagi pada jiran. Eg masak gulai kawah, buatlah kuah banyak, kalau tak mampu kongsi dengan semua boleh beri pada jiran yang hampir yang mungkin bau masakan kita. 

3. Redha dengan apa yang Allah beri nescaya kamu akan menjadi manusia yang kaya hatinya. 

Huraian hadith. 

Lihat apa yang kita ada jangan berduka apa yang kita tiada. Bila melihat dunia lihatlah pada mereka yang lebih sukar. Bila melihat akhirat lihatlah pada mereka yang lebih bersungguh membuat amalan soleh.

Allah beri anak. Syukur. Allah tak beri anak pun syukur. Semua yg Allah bagi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Anak adalah anugerah. Anak juga ujian dr Allah. 

4. Sayangi orang lain seperti mana sayangi diri sendiri nescaya kamu menjadi muslim sejati. 

Huraian hadith. 

Kita suka perkara kebaikan kepada orang lain sepertimana kita suka mendapat kebaikan tersebut. Eg kita suka dapat manfaat makan sesuatu vitamin, kita share dengan kawan. Kalau kawan tak mampu beli, hadiahkan untuknya. Kalau kita suka naik pangkat, gembira juga bila rakan dapat kenaikan pangkat. 

5. Jangan banyak ketawa kerana banyak ketawa boleh mematikan hati. 

Huraian hadith. 

Rasulullah tidak pernah ketawa terbahak-bahak. Apabila terlalu gembira Nabi hanya senyum sehingga menampakkan geraham. Bila mulut terbuka (sangap),syaitan akan masuk dlm mulut anak adam. 

Apabila menguap, kita disaran tutup mulut dgn telapak tangan. Kurangkan menonton hiburan yg sengaja membuat penonton tertawa seperti Raja Lawak (teeeet). 

Pesan rasulullah, 
Andainya kamu ketahui apa yg aku ketahui nescaya kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis. 

Abu hurairah pernah ditanya apakah para sahabat tidak pernah ketawa. Beliau menjawab, walaupun sahabat ketawa tetapi iman mereka teguh seperti Bukit Uhud.

Wallahua'lam..

Read more...

26 September 2013

Ketenangan Seorang Lelaki

Bismillahirrahmanirrahim. 

Seorang ukhti fiLLAH bagitahu saya masa pergi talk Syeikh Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni (pengarang kitab La Tahzan yang meletup di banyak negara!) di UPM tempoh hari syeikh ada kongsi fasal poligami.

Ada audien tanya, pendapat syeikh mengenai poligami di Malaysia.

Syeikh jawab. 

Ketenangan pada seorang lelaki adalah : 

1. Wanita 
2. Air 
3. Hijau

Di Malaysia ada banyak air (sungai, laut, tasil dll) dan kehijauan (pokok-pokok, rumput). Jadi di Malaysia kuranglah poligami berbanding masyarakat Arab kerana di Malaysia ni lelaki dah 'ditenangkan' dengan air dan kehijauan. Negara Arab tandus, tidak banyak tempat yang ada tanaman menghijau dan air yang banyak macam Malaysia.

Konklusi saya.
Rajin-rajinlah ajak suami pergi berkelah di sungai. Menikmati air sungai yang sejuk dan pemandangan hijau supaya selalu bertenang.


Senyummmmmmm :)

Read more...

Love Story

Bismillahirrahmanirrahim.

Bila pakat-pakat share love story, macammana boleh 'terjumpa' dengan suami masing-masing. Ada pula yang dah 10 tahun kahwin, tiba-tiba rasa jatuh cinta semula dengan suami.

Heh!

Kadang-kadang, Mengimbau kenangan lalu adalah terapi untuk menggemburkan kembali perasaan kalau-kalau terlayu. Hidup penuh ujian dan cabaran, terkadang kita hanya nampak keperitan dan terlupa ada senyuman yang meniti hanya kerana tekanan kepada kelangsungan hidup. Tekanan membuatkan seseorang lupa, lupa untuk tersenyum!

Comel perumpamaan yang en suami kongsi dengan saya, long long time ago.

"Bosan hidup bujang, Allah bagi kahwin. 
Bosan hidup berdua dengan pasangan, Allah bagi anak. 
Bosan hidup bertiga dengan pasangan dan anak, Allah bagi lagi anak. 
Bosan hidup dengan anak-anak, Allah bagi menantu.
Bosan hidup dengan menantu, Allah bagi main dengan cucu. 
Bosan hidup dengan cucu, Allah bagi pasangan kepada cucu. 
Bosan juga, Allah bagi cicit. 
Bosan juga? 
Allah kata, engkau masuk kubur aje lah dah semua benda pun bosan..."


Ya,
Sunnatullah kehidupan ni. Dari lemah seorang bayi, Allah pelihara sehingga menjadi kanak-kanak, kehidupan remaja dan seterusnya dewasa, yang panjang umur sempat kembali merasa kelemahan fizikal di usia tua seperti lemahnya seorang bayi. Ada pula yang tidak sempat lahir ke dunia, sudah kembali ke alam Barzakh. Perjalanan hidup kita tidak sama, yang menyatukan kita hanyalah agama. 

Ya Allah,
Berkatilah usia kami.

Ummu Amir.

Read more...

06 September 2013

Beautiful Friday

Bismillahirrahmanirrahim.

1. Prayer is not a 'spare wheel' that you pull out when in trouble, but it is a 'steering wheel' that directs the right path throughout.

2. So why is a car's windshield so large and the rear view window so small? Because our past is not as important as our future. So, look ahead and move on.

3. Friendship is like a book. It takes few second to burn but it takes years to write.

4. All things in life are temporary. If it's going well, enjoy it. That won't last long. If it's going badly, don't worry. That wan't last long either.

5. Old friends are gold. New friends are diamond. Don't forget the gold bacause to hold a diamond, you always need a base of gold.

6. Often when we lose hope and think this is the end, it is just a bend, not the end.

7. When Allah swt solves your problems, you have faith in His abilities, when Allah swt doesn't solve your problem, He has faith in your abilities.

8. A blind person asked a wise man: "Can there be anything worse than losing eye sight?" He replied, "Yes, losing your vision!"

9. When you pray for others, Allah swt listen to you and bless them; sometimes when you are safe and happy. remember that someone has prayed for you.

10. Worrying does not take away tomorrow's trouble, it takes away today's peace.


Alhamdullillah, inspiring words from beloved ustazah.

May Allah grand us beautiful Friday with His love and bless, inshaAllah :)

Ummu Amir.

Read more...

21 August 2013

Daftar Haji

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya ikut jejak ibubapa saya menabung di Tabung Haji, kami - adik-beradik - ada akaun Tabung Haji sejak lahir, harapan ibubapa saya supaya kami adik-beradik boleh menunaikan haji. MasyaAllah, itu satu harapan yang besar. Menabung sejak bayi, untuk anak-anak dapat menunaikan haji. Satu usaha yang perlukan komitmen dan bersungguh-sungguh.

Saya pun selepas lahirkan Amir Solihin, terus pesan pada suami untuk buka akaun Tabung Haji. Teringat untuk daftarkan haji Amir Solihin, tahun 2011. Alhamdulillah, duit yang orang sedekahkan pada Amir Solihin semuanya kami simpan dan masukkan dalam akaun. Bila duit simpanan minima cukup, saya terus daftarkan haji untuk Amir Solihin.

Alhamdulillah, namanya dalam turutan untuk menunaikan haji pada usia Amir Solihin 34 tahun. Subhanallah. Maksudnya pada tahun 2011, kena 'beratur' selama 34 tahun. Apapun, usaha pertama untuk mendaftar haji sudah dibuat. Rezeki Amir Solihin, sekarang usianya sudah 2 tahun. Hampir setiap kali beliau ikut suami solat di surau, pulang ke rumah bila saya nak buka jubah, akan terselitlah wang dalam poket jubah. Bila tanya, Amir Solihin bagitahu "tok bagi, wan bagi" memaksudkan yang memberikan wang adalah orang yang berusia lingkungan dengan usia datuk atau neneknya.

Rezeki.

Pergi ikut solat pun orang bagi duit :)

Kalaulah Allah buat begitu, sesiapa yang solat berjemaah di surau atau masjid maka Allah bagi 'tunai' sudah pasti setiap masjid akan penuh dan sangat makmur dengan orang yang solat berjemaah. Allahu Allah. Minggu lalu Profesor Kamil, (penulis buku Travelog Haji) bagi kuliah subuh di sini (di rumah saya - rumah saya dalam surau), cerita fasal ketenangan hati. Beliau bandingkan situasi di Malaysia dengan situasi di Madinah. Oh ya, beliau kini menjadi pensyarah di Universiti Taibah, Madinah.

Satu saja keyword yang superpower!

"Kenapa hati tidak tenang? Kenapa di Madinah/Mekah, hati kita tenang? Kenapa bila balik Malaysia, hati tidak tenang?"

Subhanallah. Allahuakbar. Jawapannya...

"Sebab, kita JAUH dari Allah. Tidak solat awal waktu, tidak berjemaah! Macammana hati nak tenang kalau tidak menjaga solat."

Allahu Allah.

Saya duduk di rumah, dengar tazkirah/ceramah dari corong pembesar suara yang betul-betul mengadap tingkap bilik. Memang dahulu, masa Amir Solihin masih kecil saya kadang kala minta suami matikan pembesar suara di luar kerana mengganggu tidur Amir Solihin tetapi lama-lama Amir Solihin telinganya dah kebal, sebab setiap hari 5x mendengar azan dari pembesar suara betul-betul tepi tingkap bilik, dah tak terkejut kalau tengah tidur pun dengar azan. Jadi, secara tidak langsung saya akan mendengar ceramah juga dari dalam bilik. Alhamdulillah, nikmat yang Allah bagi. Tak perlu keluar rumah, bersusah payah... Duduk dalam rumah, dan sebetulnya di dalam bilik pun Allah bagi dengar ilmu Nya. Alhamdulillah!

Beberapa hari ni, Amir Solihin tidak kisah bila suami nak ke surau. Rilek saja tengok abinya keluar rumah, macam tak ada apa-apa.

Haritu, Amir Solihin dah well behave. Dia sangat lah sopan bila di dalam surau/masjid, tapi keluar dari surau dia punya lasak tu tak tahu la nak cakap macammana. Semput saya dibuatnya nak melayan :D

Sejak beberapa hari ni, dia dah mula buat perangai. Mungkin dia kena pukul dengan orang yang lebih besar darinya, jadi dia pula memukul orang lain yang lebih kecil. Jadi, suami buat 'heart to heart session' dengan Amir Solihin. Saya pun bagitahu kalau tak nak well behave, tak boleh ikut pergi surau. Ya, dia tak ikut pergi surau mungkin sebab dia masih ada keinginan nak pukul orang T_T

Ok.

Daripada cerita fasal haji, melalut fasal solat berjemaah.

Memang Prof Kamil kongsikan, kenapa setiap tahun setiap bulan ramai jemaah dari Malaysia yang menunaikan haji dan umrah tetapi surau dan masjid di Malaysia tidak imarah. Apa cer, haji? Allah bukan hanya ada di Mekah dan Madinah sahaja. Wanita tak tutup aurat, apa cer? Allah bukan hanya ada masa solat. Allah ada setiap MASA.

Allahuakbar.

Saya masih sayu bila teringat betapa kasihannya pada anakanda Amir Solihin semasa kami di Madinah, sebelum bertolak ke Mekah. Amir Solihin dalam kesakitan, dia jatuh dan dahinya luka sangat dalam. Darahnya, Allah... Saya tak mampu nak kenangkan, terasa nak muntah bila ingat punyalah banyak darah pada baju suami masa dukung Amir Solihin yang luka.

Jadi, usaha untuk Amir Solihin boleh menunaikan haji bila dia dah baligh. Suami gigih menabung, bila ada rezeki lebih akan menabung lebih. Bila ada keperluan lain, tetap juga menabung walau sedikit. Sampai saya cakap pada suami, nanti kena hantar anak-anak belajar di Madinah (atau Timur Tengah) supaya mudah mereka nak laksanakan haji. Atau, biarlah ada anak yang meneruskan harapan suami yang tidak berkesampaian.

Setiap kali menyatakan kekesalan suami yang menolak tawaran untuk belajar di Universiti Madinah, setiap kali itu jugalah kami sama-sama harap agar ada zuriat yang akan melestarikan, qadha' impian suami. Apapun, setiap yang Allah hadirkan, Allah sertakan hikmah yang kita tidak tahu :)

Baru-baru ni, saya buka akaun Tabung Haji untuk Amri Suhaily. Alhamdulillah, rezekinya tetap ada. Ramai yang sedekahkan duit, semuanya saya masukkan dalam akaun. Had minima simpanan yang Tabung Haji tetapkan untuk daftar haji RM 1310, saya daftarkan masa bulan Ramadhan lepas.

Subhanallah.

Hampir tidak percaya. Nama Amri Suhaily berada di kelompok orang yang dianggarkan kuotanya dipanggil 50 tahun akan datang. Allahuakbar, tua lah Amri Suhaily menunggu kuota.


Bayangkan.

Daftar haji untuk Amir Solihin tahun 2011, umurnya menunggu 34 tahun.
Daftar haji untuk Amri Suhaily tahun 2013, umurnya menunggu 50 tahun!

Tahun depan, atau tahun-tahun berikutnya? Wallahua'lam.

Eloklah mendaftar haji cepat-cepat, kalau mampu dengan bayaran yang mahal. Silakan. Tetapi, kalau boleh pergi dengan muassasah untuk laksanakan haji, itupun sudah memadai. DAFTARLAH sekarang!

:)

Read more...

20 August 2013

Susu Unta

Bismillahirrahmanirrahim.

Ramai bertanya fasal SUSU UNTA pada saya.



1. Susu Unta ni saya buat minum harian (bergantian dengan susu kambing). Kadang-kadang saya minum susu kambing, kadang-kadang saya tukar susu unta pula. Ikut selera dan mood saya nak minum susu apa.

2. Baunya pada saya tidak ada. Rasanya hampir sama dengan susu unta yang segar, saya hanya pernah minum susu unta segar di Mekah. Jadi saya hanya tahu rasa susu segar unta masa di Mekah, kalau susu unta tempat lain saya tak tahu.

3. Rasanya pada yang tidak suka manis, agak manis sebab ada campuran gula dan krimer. Jadi, pada yang tidak suka manis mungkin akan rasa sedikit manis. Kalau nak kurangkan manis, boleh tambah air suam lebih. Susu akan jadi cair tapi rasa manis semakin berkurangan.

4. Apa yang saya suka, ianya ada campuran ekstrak habbatus sauda'. Jadi, kalau saya malas ambil habbatus sauda' (softgel) saya dah pun ambil habbatus sauda' dalam susu unta.

5. Sedap ke tidak? Pada saya yang suatu ketika dahulu sangat membenci susu, saya menjalani proses tarbiyah minum susu sejak berusia 18 tahun. Dah tahun ke 5 saya minum susu, saya OK!

6. Kenapa saya minum susu unta? Sebab susu unta macam susu kambing, tinggi kalsium. Saya ada masalah tulang belakang, jadi saya sangat concern fasal kalsium. Tambahan pula saya menyusukan anak, jadi saya perlu kalsium yang secukupnya!


Kandungan :
Ekstrak susu unta asli
Ekstrak habbatus sauda'
Ekstrak sanaa' 
Krimer tanpa tenusu
Gula halus dan herba-herba terbaik dunia.

Satu kotak mengandungi 20 paket x 25 gram.

RM 30/kotak

Postage : 
Semenanjung RM 6
Sabah/Sarawak RM 9 

* caj pengeposan tambahan RM 4 bagi setiap kotak berikutnya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke FB saya atau page Islah Heart Shoppe

Islah Heart Shoppe,
Bermuamalat Berlandaskan Syariat.

Read more...

19 August 2013

Mudahnya Perkahwinan

Bismillahirrahmanirrahim.

Topik ini sesuai dengan isu semasa di Malaysia. Tidaklah sampai lupakan saudara-saudara yang menderita di Mesir sana, insyaAllah tembakan doa buat mereka.

Bulan Syawal, banyak undangan perkahwinan.

Masa dalam perjalanan dari satu lokasi ke lokasi jemputan, sempat juga saya berbual dengan suami fasal kos perkahwinan zaman sekarang yang sangat mendera emosi pasangan. Mana tidak terdera, nak buat majlis perkahwinan setidaknya memerlukan kos sehingga RM10k untuk hantaran, belum lagi kos barang hantaran, katering (mahupun masak bergotong royong), doorgift, perhiasan bilik tidur dan macam-macam.

Bakal suami dan bakal isteri masing-masing membuat pinjaman peribadi dengan bank, KEDUA-DUAnya ada komitmen MEMBAYAR HUTANG selepas berkahwin. Jadi, macammana nak menguruskan kewangan untuk membina kehidupan. Duit bukan segala-galanya tetapi hidup perlu kepada duit, jadi sejak sebelum menikah lagi sudah membebankan diri dengan hutang piutang, bagaimana nak membina keluarga yang baru nak bertapak. Sebulan atau tiga bulan memang terasa manis lagi, tidak kisah dengan bebanan hutang tetapi apabila mula terikat dengan bebanan hutang sebelum kahwin, nak survive untuk hidup, nak saving untuk itu dan ini... Ia akan buat pasangan semakin sesak nafas! Lalu, akan selalu bermasam muka gara-gara sakit kepala memikirkan wang.

Sebelum kahwin, sesak kepala otak dengan cara untuk mendapatkan wang nak menyiapkan majlis perkahwinan. Baju pengantinnya, jurugambar/juruvideo, dan macam-macam.

Selepas kahwin, sesak kepala otak nak melunaskan hutang. Setidak-tidaknya ada yang membuat pinjaman dengan komitmen sehingga 7-10 tahun. Jadi, sepanjang tempoh 10 tahun pertama perkahwinan adalah masa untuk 'membina kehidupan', belum bina kehidupan lagi kita dah menempah kesusahan.

Saya suka dengan prinsip abang saya,
"Orang yang suka berhutang ialah orang yang tak akan tenang sampai ke tua. Dia berhutang dengan seorang, bila sesak dia berhutang dengan orang lain untuk bayar hutang, kemudian berhutang dengan yang lain untuk membayar hutang yang lain dan cerita ini tak akan berkesudahan bila ia jadi tabiat."

Sampai mati pun berhutang.

Takut. Bimbang nanti selepas dah mati pun tak cukup harta untuk membayar kembali hutang-hutang sesama manusia, hatta mati syahid pun tidak melepaskan diri kita dari kewajipan membayar hutang. Subhanallah. Semoga Allah menjauhkan kita dari penyakit berhutang.

Sedang berbual fasal hutang untuk berkahwin ni, suami pun kongsi cerita...

Ramainya orang berhutang untuk berkahwin, hatta dengan 'along' pun sanggup berhutang nak dapat duit punya fasal. Bila tak boleh nak bayar hutang, dengan bunga-bunga riba sekali... biasanya keluargalah yang akan jadi mangsa, diugut dan dibuat macam-macam.

Jadi, hidup memang tidak aman dan tenteram. Al-kisah awalnya, sebelum cerita fasal berhutang dengan 'along' ni, suami cerita rakannya bagitahu fasal pasangan yang dah kahwin tetapi belum ada zuriat, beberapa kali keguguran. Suami cuma kata, "mungkin belum masanya lagi Allah nak kasi anak, sebab keadaan tidak sesuai. Mungkin."

Bila cakap macam tu, rakannya pun tambah fakta bagitahu fasal pasangan tersebut yang berhutang dengan 'along' masa nak kahwin. Jadi mereka hidup untuk bayar hutang. Nak ke tempat kerja naik motosikal, jaraknya pula sangat jauh.

Ya, saya pun angguk bila suami cakap begitu.

Memang belum masanya yang sesuai untuk Allah kasi anak. Allah lebih tahu apa yang perlu dan terbaik buat hamba Nya.

Selang beberapa hari, saya pergi ziarah dan silaturrahim dengan dengan ukhti. Kebetulan, hari yang sama adik perempuannya bertunang. Kami berbual-bual seputar isu kahwin.

"Keluarga akak tak ada yang bertunang lama-lama."

Senyum saja saya dengar. Ukhti tersebut hanya bertunang 2 minggu, adik-adiknya yang sudah menikah bertunang 2-3 bulan. Itupun sudah dikira lama. Adiknya yang baru bertunang tu, pihak lelaki minta bertunang 6 bulan tetapi tidak tahulah macammana (mungkin akan dipendekkan tempoh oleh keluarga perempuan).

Bila dengar cerita yang mudah-mudah fasal urusan kahwin, seronok sangat. Sebab Islam tidak menyusahkan, hanya orang Islam saja yang suka menyusahkan. Bimbang orang kata apa, selalu merisaukan apa yang orang nak kata tetapi tidak peduli apa yang Allah kata.

Bila keluarga mempermudahkan urusan kahwin, secara langsungnya akan mempermudahkan pasangan untuk meneruskan kelangsungan pembinaan keluarga. Nak bina kehidupan yang baru menapak, sedikit-sedikit dan berdikit. Tetapi, bila dihambat dengan komitmen membayar hutang piutang majlis SEHARI dengan merana bertahun-tahun, itu bukanlah satu pilihan yang baik!

Ibubapa, mudahkanlah urusan anak-anak kalian.

Bila anak-anak mudah, maka kalian juga akan menumpang bahagia mereka juga. InsyaAllah.

Memang tak seronok kalau lihat anak-anak menderita, kan? Porak peranda sahaja, jadi janganlah hairan sangat ramai pasangan baru menikah tetapi siang dan malam bergaduh.

Mudah-mudahkanlah... Jangan disusahkan :)

Wallahua'lam.

Selamat pengantin baru,
Barakallahu lakuma wa baraka alaykuma wa jamaa bainakuma fi kheyr.

** Kita sanggup bersusah payah untuk majlis perkahwinan yang hanya sehari. Tetapi berapa banyak kita sanggup bersusah payah untuk kehidupan selepas mati yang kekal abadi?

Ummu Amir.

Read more...

Syawal 1434 H

Bismillahirrahmanirrahim.

Syawal kali ini adalah tahun ke-4 saya bergelar seorang isteri. Kini, kami beraya berempat, dengan kehadiran anakanda Amri Suhaily. Tahun pertama saya dan suami beraya dengan keluarga saya, tahun ini kami meraikan 1 Syawal di kampung bapa saya di Pulau Pinang. Maka, sedikit kelainan pada sambutan Syawal untuk kami suami isteri.

Hari Pertama, seperti biasa bersiap untuk menunaikan solat Aidilfitri. Bangun awal siapkan diri sendiri, kemudian bangunkan anak-anak kecil untuk dimandikan, dan pakai baju raya. Tahun ini, tema berjubah di pagi raya. Suami dan anakanda Amir Solihin juga berjubah, termasuk juga adik-beradik saya yang lain. Cuma Amri Suhaily saja tidak berjubah, tidak jumpa jubah saiz Amri Suhaily :)


Sedang menunggu waktu untuk solat Aidilfitri, laungan takbir bergema. Dari satu suara ke satu suara, tiba-tiba terasa macam kenal je dengan suara tu. Tapi, takkan kot? Selesai solat, suami cerita mikrofon 'berjalan' dan 'berhenti' di hadapannya, pengerusi masjid terus bagi isyarat suruh suami bertakbir. Layan je... Patut la saya kenal dengan suara tu :)

Selepas selesai solat Aidilfitri, kami terus memulakan ziarah. Rumah pertama di sebelah masjid, rumah keluarga ibu saudara saya. Disebabkan rumahnya di sebelah masjid, memang adat setiap tahun selepas keluar dari masjid keluarga besar kami akan bertandang ke rumahnya. Menu laksa jadi hidangan, saya hanya melihat saja. Baru habis berpantang, makan laksa seolah sengaja menyeksa diri. Kemudian, kami terus bergerak ke Kulim meneruskan aktiviti ziarah.

Syawal pertama buat suami dengan keluarga saya, jadi memang bapa saya bawa 'pusing' merata nak kenalkan beliau dengan sanak saudara yang lain. Puas berjalan sehingga ke petang, bila kanak-kanak mula meragam barulah kami pulang ke rumah.

Hari berikutnya, kami masih meneruskan aktiviti ziarah sanak saudara pada sebelah pagi.

Suami mendapat jemputan untuk memberi tazkirah sebelum solat Jumaat, jadi aktiviti ziarah hanya sekitar kampung saja, tidak keluar kawasan kerana khuatir suami tidak sempat untuk memberi tazkirah sebelum solat Jumaat.

Selepas pulang solat Jumaat, kami naik feri menuju ke pulau. Alhamdulillah, Amir Solihin suka sangat naik feri jadi memang seronok bawa Amir Solihin naik feri. Jalan ke Padang Kota Lama, makan aiskrim, menikmati pasembor di tepi pantai, Amir Solihin berlari-larian mengejar dan dikejar ombak sampai termuntah. Hihi...


3 Syawal, kami meneruskan perjalanan ke kampung suami di Kelantan. Bertolak awal pagi, alhamdulillah trafik bergerak lancar. Malamnya majlis akad nikah sepupu suami. Seperti biasa, bulan Syawal adalah bulan perkahwinan. Kami menyusun jadual untuk ziarah keluarga, sahabat-sahabat dan memenuhi jemputan perkahwinan. Tidak mampu untuk menunaikan kesemua jemputan akibat kekangan masa dan terperangkap dalam kesesakan jalan.

6 Syawal pulang semula ke Shah Alam untuk kembali menjalankan tugas.

Hari Sabtu dan Ahad, memang hari untuk makan. Jemputan kahwin dan rumah terbuka sangat banyak, hasilnya kami hanya memenuhi jemputan untuk bersilaturrahim. Siap pesan, jangan makan banyak-banyak. Pergi satu rumah hanya makan kuih sahaja, jemputan seterusnya hanya minum air sahaja, jemputan seterusnya hanya makan buah sahaja, jemputan seterus-seterus dan seterusnya... pandai-pandailah bahagikan ruang kepada perut untuk bernafas!

Didikan nafsu makan selama sebulan, dirosakkan hanya dengan satu hari.

Ya Allah, apatah lagi nafsu yang tidak dididik, betapa buasnya nafsu. Nafsu bukan untuk dibuang tetapi dididik dengan baik supaya bernafsu terhadap perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.


Salam Syawal,
Ummu Amir.

Read more...

02 August 2013

Pengawal Aurat, "Ummi, Tutup!"

Bismillahirrahmanirrahim.

Anak bujang saya dah makin banyak boleh menggunakan perkataa-perkataan harian, dan semakin berusaha untuk menuturkan ayat dengan baik walaupun pendek-pendek. Alhamdulillah, kami berusaha memahami setiap perkataan yang diucapkan meskipun ada ketikanya kami langsung tak tahu apa yang beliau ceritakan dengan bersungguh-sungguh namun satu apa pun perkataannya 'tak berbunyi'. Tapi, kami raikan sahaja cerita beliau dengan gelak ketawa sepertimana dia sedang ketawa sambil bersungguh untuk bercerita dengan kami.

Antara keletahnya sedari kecil ialah memastikan saya memakai purdah. Kadangkala apabila berada di dalam kereta, terutamanya di waktu malam saya suka buka purdah bila jalanraya lengang. Bila saya buka purdah dan Amir Solihin perasan, dia akan cepat-cepat suruh saya pakai purdah semula.

Dahulu, ayatnya "tutup."

Kini, "ummi, tutup." sambil kedua-dua tangannya berusaha memakaikan purdah saya kembali.

Kadangkala ziarah ke rumah sahabat, bila tiada muslimin maka saya senang hati membuka purdah. Pada saya, ia lebih menyenangkan hati tuan rumah dan boleh membuka satu tembok penghadang. Tidak semua orang selesa bila berhadapan dengan orang yang memakai purdah. Jadi di tempat tertutup tanpa muslimin, tidak menjadi masalah untuk saya membuka purdah. Tapi, si bujang kecil saya selalu bergaduh minta saya pakai purdah semula sampaikan ada ketikanya bergelut jugalah kami.

Tuan rumah hanya tersenyum, sudah maklum mungkin anak kecil punya fikiran selain di rumah ibunya mesti memakai purdah.

"Dia dah biasa tengok ummi pakai purdah, itu yang tak bagi buka."

Alhamdulillah. Kalau tuan rumah memahami, raikan saja si kecil yang sedang belajar mengenali dunia.

Pernah sekali, keluar dengan ibu saya. Saya dan Amir Solihin duduk di kerusi penumpang, ibu saya memandu kereta. Lengan baju ibu saya 'jatuh' sedikit semasa memandu, terus Amir Solihin tarik baju ibu saya menutup sehingga pergelangan tangan. Tangannya bergerak seiring dengan mulutnya berbicara.

"Tutup...!"

Akhir-akhir ni, saya mengalami cabaran nak fahamkan Amir Solihin bahawa orang lelaki tidak boleh mamakai tudung/telekung. Mungkin semasa dalam pantang tempoh hari, beliau terdedah dengan suasanya semua ibu saudaranya solat dengan telekung, seakan satu sistem dimana setiap kali bersolat pasti bertelekung jadinya Amir Solihin bila nak solat minta dipakaikan telekung. Bila jumpa mana-mana tudung saya, dia minta dipakaikan kepadanya. T_T

"Tudung ni untuk orang perempuan, lelaki tak pakai tudung. Lelaki pakai kopiah."

Alhamdulillah, balik ke rumah selepas habis berpantang... Perlu dilatihkan semula dan re-set, suami bawa Amir Solihin bersolat ke surau dan dimintanya untuk pakai jubah dan kopiah.

Alhamdulillah.


Sayang,
Memang kita wajib menutup aurat tetapi aurat lelaki dan aurat perempuan, tidak sama.

:)

Ummu Amir.

Read more...

30 July 2013

Travelog Iman : What To Expect When You're Expecting? #2

Bismillahirrahmanirrahim.

Sekadar perkongsian, mana-mana bahagian yang bermanfaat semoga dimanfaatkan. InsyaAllah.

Semasa sedang hamil Amri Suhaily, banyak kali saya kongsikan status mengenai kehamilan di facebook tetapi secara umum. Ramai rakan-rakan yang tidak tahu bahkan tidak menyedari keadaan saya yang sedang hamil meskipun selalu berjumpa, ramai yang kecil hati kerana tiba-tiba dapat tahu saya dapat mujahid kedua.

Alhamdulillah, Allah beri 2 kali pengalaman 'kembara iman' sepanjang proses kehamilan Amir Solihin dan Amri Suhaily. Ya, masing-masing berbeza ujiannya namun apa yang saya pelajari dari kembara ini ialah bertawakkal kepada Allah. Usaha sebagai manusia dan serahkan kepada Allah bagaimana untuk mencorakkan perjalanan hidup kita di bumi Nya, usaha sebagai asbab untuk menikmati natijah yang Allah tetapkan.

Saya selalu tidak sihat, demam on-off selama 3 minggu. Mula terasa ada yang tidak kena dengan diri saya. Bila ke klinik, doktor maklumkan saya dalam keadaan serangan asthma. Walaupun tidak terlalu teruk tetapi batuk berterusan selama berminggu-minggu sangat memenatkan, akhirnya teka-teki terjawab. Alhamdulillah, realiti membenarkan gerak hati bahawa saya sedang membawa hamba Allah di dalam rahim.

Bila yakin memang diri sedang membawa hamba Allah di dalam rahim, saya buat keputusan untuk jumpa doktor pakar keluarga kesayangan saya. Dia yang terlalu banyak beri sokongan moral dan suntikan emosi supaya saya OK-OK je sepanjang tempoh kehamilan Amir Solihin yang bermain macam-macam emosi. Tapi, kata-katanya buat saya tersenyum. Tak tahu nak bagi reaksi bagaimana, hanya tersenyum melihat muka beliau.

"Your pregnancy having problem, but still early stage. Baby pun kecil lagi, jangan terlalu harap TAPI jangan lupa doa pada Allah."

Ya. Jangan terlalu berharap.

Maka, tidaklah saya berharap apa-apa dari segumpal darah tersebut. Saya cuma berharap, Allah tolong jagakan segumpal darah tersebut sehingga menjadi manusia dan jadikan ia orang yang soleh dan musleh :)

Tekanan darah yang rendah juga buat saya selalu sakit dan pening kepala, terasa nak pitam dan macam-macam 'kerenah' lain yang saya tak rasa semasa mengandungkan anak sulung. Bila trimester pertama berlalu, saya makin yakin Allah akan bagi yang terbaik. Allah yang berikan zuriat ini, maka Dia-lah yang akan menjaga. Pada seorang kakak solehah yang mahu berangkat menunaikan haji, saya minta supaya mendoakan kesejahteraan saya dan bayi saya. Saya cuma minta, DOA. Kuasa ajaib yang memang selalu 'magik'.

Masuk trimester kedua, saya selalu kena asthma. Selalu sangat-sangat, saya sangat-sangat penat dan emosi jarang stabil berhadapan dengan kerenah Amir Solihin. Alhamdulillah, dalam saya 'ting tong', Allah izinkan saya sekeluarga menunaikan umrah dan ziarah. Allah permudahkan urusan umrah kami dengan bantuan ahli keluarga yang bersama-sama dengan kami.

Semasa di Madinah, selepas Amir Solihin mengalami kecederaan di dahi (meninggalkan parut), saya sangat terkejut dan terkedu melihat beliau berlumuran darah. Kami sedang bersiap untuk bertolak ke Mekah. Semasa suami dan mertua sibuk-sibuk menguruskan beg, saya minta izin suami nak turun ke lobi hotel bersama Amir Solihin. Lift penuh, jadi saya dukung Amir Solihin di belakang sambil turun tangga dari tingkat 4. Saya sedang mengandung 5 bulan, masih dalam keadaan sangat terkejut melihat Amir Solihin berlumuran darah, turun tangga dari tingkat 4 tidaklah sesukar memanjat tangga mendaki ke tingkat 4. :)

Sampai di lobi hotel, abang dan keluarga yang lain semua terperanjat melihat dahi Amir Solihin berdarah. Bertalu-talu soalan, saya tak mampu menjawab. Sudah mencungap-cungap kepenatan, dan ya saya sedang sesak nafas! Satu perkataan pun tak terkeluar, saya cuba bertenang untuk mengawal pernafasan. Allah nak bagi rehat, saya pengsan :)

Sepanjang perjalanan dari Madinah ke Mekah, Amir Solihin menangis minta disusukan (ya, saya masih menyusukan Amir Solihin) tapi saya sangat-sangat kepenatan (nafas masih tersekat-sekat). Tak sampai hati melihat Amir Solihin kesakitan dan kelaparan, gagahkan juga diri untuk menyusukan Amir Solihin sambil saya sendiri menangis.

Semasa melaksanakan umrah wajib, bapa langsung tidak izinkan saya berjalan kaki sepanjang tawaf dan saei. Saya dipaksa menaiki kerusi roda, adik lelaki bertugas menolak saya sehingga selesai umrah. Alhamdulillah. Semasa umrah sunat, (melaksanakan umrah pertama untuk Amir Solihin) suami pula menolak kerusi roda. Saya langsung tidak dibenarkan melaksanakan tawaf dan saei seperti orang lain, semua bimbang saya akan pengsan di lautan manusia semasa sedang tawaf atau saei.

Mencabar dan tercabar, bila lihat wanita lain yang sedang sarat mengandung boleh buat tawaf berjalan kaki sendiri tapi saya tidak dibenarkan untuk berjalan kaki. Pujuk hati, tak apa Allah bagi kemudahan.

Bila pulang ke Malaysia, saya masih tidak 'dilepaskan' dari masalah asthma sehingga dirujuk kepada doktor pakar.

Saya ketagihan Kopi Radix semasa mengandung, natijahnya HB (hemoglobin) saya menurun dan dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang minuman berkafein. Kecewa. Kopi Radix sangat membantu saya bila tekanan darah rendah, tapi memberi kesan kepada HB pula. Serta merta tinggalkan minuman berkafein, amalkan pemakanan sihat. Doktor pakar beri saya dos ubat terlalu tinggi untuk masalah asthma yang dihadapi, bila saya kongsi dengan sahabat-sahabat yang sedang buat medikal. Salah seorangnya menerangkan risiko pengambilan ubat yang mengandungi STEROID pada ibu hamil terutamanya kepada bayi perempuan. Saya pula diberikan dos yang terlalu tinggi untuk mengawal asthma.

Allahuakbar. Tawakkal alaLLAH. Sekali lagi. Saya terus berhenti mengambil ubat asthma. Saya hanya konsisten dengan makanan tambahan (Shaklee) dan pemakanan sunnah.

Susu kambing
Habbatus Sauda'
Madu

3 makanan sunnah ini saya jadikan rutin seharian. Alhamdulillah, tekanan darah semakin normal, HB meningkat dengan mendadak dan asthma saya pun malu-malu nak tonjolkan diri.

Masa di Mekah, saya sempat minum susu unta yang segar. Balik Malaysia, suami belikan susu unta serbuk (macam Hi-Goat). Saya juga amalkan makanan tambahan OsteMatrix (Shaklee) kerana saya masih menyusukan Amir Solihin, jadi saya perlu tambahan kalsium kerana sering mengalami kekejangan kaki (5-6 kali sehari) sampai ibu saya marah kerana tetap berkeras mahu menyusukan Amir Solihin, kata ibu nanti saya belum umur 30 tahun semua gigi luruh (tertanggal) kerana kekurangan kalsium. :P

Alhamdulillah, selepas konsisten dengan susu kambing, susu unta dan OsteMatrix... Allah izinkan saya untuk berlepas diri dari masalah kekejangan kaki, sepanjang tempoh kehamilan saya tidak dijenguk oleh masalah tulang belakang yang mana semasa mengandungkan Amir Solihin, saya sangat teruji dengan masalah tersebut.

Allah yang beri zuriat ini, Allah-lah yang menjaganya. Kan?

Trimester ketiga, saya berulang alik dengan temujanji-temujanji sehingga jururawat pun dah kenal. Asyik muka saya, seminggu 2-3x berjumpa. Bosan agaknya. :D

Bila kandungan dah hampir 9 bulan, baru la beberapa orang yang jumpa secara realiti perasan keadaan saya itupun kerana saya sedang mendukung Amir Solihin.

Kedudukan Amri Suhaily tranverse lie (melintang) seperti Amir Solihin. Di penghujung kehamilan, pada minggu ke 37 barulah kedudukannya cephalic (sefalik). Doktor pakar juga memberi peluang supaya tidak perlu melalui pembedahan.

Tetap diusahakan positif setiap kali menjawab soalan doktor dengan jawapan, "InsyaAllah saya mahu bersalin secara normal, bukan melalui pembedahan seperti anak sulung," sedangkan dalam hati, "doktor, operate lah saya, saya tak larat dah ni," :P


Seorang kenalan bertanya, "Insyirah, masa Amir Solihin makan sabun haritu Insyirah tengah pregnant lah ye?"

Terus tergelak, "Ya, masa tu baru 8 bulan."

Dia pula berimiginasi, "Ok, tak boleh bayangkan situasi kelam kabut dengan keadaan sarat."

Ya, memang saya sendiri pun tidak boleh bayangkan situasi kelam kabut tersebut. Alhamdulillah, Allah pelihara saya dan bayi dalam kandungan juga menyelamatkan Amir Solihin dari sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ada ibu hamil, Allah beri nikmat penuh kemudahan dan keselesaan.
Ada ibu hamil, Allah anugerahkan ujian yang silih berganti.

Apapun keadaannya, bersyukurlah kerana Allah memberi kesempatan merasai sebuah kehamilan kerana ramai wanita yang berusaha pelbagai cara untuk melalui sebuah kembara kehamilan.

Kita tidak mampu untuk mengukir potret indah sepanjang jalan kita kerana Pelukis kanvas hidup kita ialah ALLAH. Maka, berusahalah untuk memegang tali Allah agar apa juga lakaran yang bakal kita lihat, kita memandang dengan sudut hikmah bukannya sebuah musibah.

Dalam kepahitan kita menelan sebuah keperitan, ada sinar tersembunyi yang tidak kita ketahui.

Saat Allah keluarkan Amri Suhaily dari rahim kecil ini, hanya ungkapan "Subhanallah, Subhanallah" bergema lalu diingatkan oleh suami untuk mengucapkan "Alhamdulillah!".

Maha Suci Allah yang memelihara kamu wahai anakku. Di saat manusia tidak memberikan harapan, Allah sentiasa memberi harapan. Ya, SENTIASA.

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang TEPAT tentang hari kiamat. Dan Dia lah juga yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan hari esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuan Nya. (Surah Luqman ayat 34)

Wahai anakku,
Andai usia dewasamu kelak, engkau baca kembali catatan ummi... Ketahuilah, hadirmu terakam dalam doa-doa ummi sepanjang ummi mengandung, sentiasa ummi minta Allah untuk menjaga dirimu dengan sebaik-baik penjagaan. Sentiasalah bersyukur wahai anakku kerana Allah menjagamu dengan sebaik-baik penjagaanNya sehingga mengeluarkan jasadmu dari rahim ummi. Jadilah kamu wahai anakku seorang hamba Allah yang bertaqwa!


Allahumma faqihhu fiddin,
Wa alimhu hikmata wa ta'wil,
Allahumma aamin...

Dari lubuk seorang ummi,
Insyirah Soleha.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO