Harga Sebuah Iman
Bismillahirrahmanirrahim.
Selepas solat Maghrib semalam, duduk berbual di meja makan sambil melayan anakanda Amir Solihin makan malam, suami pula berkongsi cerita. Tiba-tiba, dengar suara wanita menjerit.
"Hoi, kau buat apa tu?"
Kuat sangat!
Saya minta suami turun ke bawah untuk lihat apa yang berlaku, tapi suami kata budak-budak yang bermain di bawah. Cuma, kata hati saya sebaliknya. Tak ada muslimah yang 'saja-saja' nak menjerit sebegitu kuat kalau tidak ada apa-apa insiden yang besar.
Akhirnya, diamkan saja. Sambung melayan anakanda makan dan berbual dengan suami.
Bila azan Isyak, suami dan anakanda turun solat. Saya duduk di rumah dengan anakanda Amri Suhaily. Balik dari solat, suami tengok saya terus kata, "betullah, ada sesuatu yang berlaku."
Terus saya tak sabar, "kenapa, ragut?"
Sebelum tu, saya kata pada suami, kadang nampak muslimah yang masuk ke tandas tinggalkan beg tangan di luar tandas, kadang letak atas tangga, kadang letak atas kerusi luar tandas. Jadi, saya merasakan sikap sambil lewa begitu tak mustahil mengundang jenayah.
"Bukan."
Oh, lega. Bukan ragut. Iya, kadang kalau cerita fasal duit memang ianya ujian yang besar kalau iman tidak berat. Sebab itu bila ada peragut nak dapatkan sangat barang dari mangsa sanggup buat macam-macam, tikam, seret sehingga mati pun ada. Na'uzubillah.
"Ada 2 orang lelaki mengintai di tandas muslimat!"
Subhanallah.
La haw la wa la quwwata illa billah.
Astaghfirullah hal azhim.
Buntang terus dua biji mata. Terkejut. Ini pasti sudah senget akalnya. Patutlah dengar suara wanita menjerit sekuat-kuatnya, Allah. Cumanya masa wanita yang mampir kepada suami bertanya perihal AJK surau, memang suami bergegas nak ke dewan solat jadi tak sempat nak minta butiran lanjut. Allahu Allah, selesai solat mungkin wanita yang datang jumpa suami dah pun balik.
Em,
Di rumah Allah pun manusia tak segan silu buat maksiat. Jangan 'hairan' sangat kejadiannya di Malaysia sedangkan di Mekah, di hadapan baituLLAH pun ramai orang yang buat maksiat (dosa). Mencuri, meragut, dan ada yang ambil kesempatan meraba. Astaghfirullah hal azhim.
Betapa, cinta Allah itu tidak kenal 'abid mahupun pendosa. Dia terus beri dan memberi rezeki dan peluang kepada semua untuk 'kembali' pada Dia, dengan jalan TAUBAT. Pintu taubat sentiasa Allah buka, supaya manusia kembali kepada fitrahnya yang mencintai kebaikan.
Moga Allah, dengan rahmatNya membuka hati lelaki yang 'sakit' iman tersebut dengan taufiq, agar diberikan maghfirah untuknya atas khilaf diri. Dan, untuk kita semua yang dahagakan rahmat Allah, moga kita semua tidak penat untuk bertaubat kepada Allah atas setiap kesalahan yang pernah dilakukan.
Esok, hari Arafah :)
Andainya tahun ini saya menerima tawaran haji, saya sedang sibuk dengan persiapan haji, moga ada hikmah yang besar buat kami atas setiap perencanaan Allah.
Bapa saudara saya dan isteri, tahun ini menjadi tetamu Allah. Moga kesemua jemaah haji dikurniakan kemudahan melaksanakan ibadah haji dan mendapat haji mabrur. InshaAllah, aamin.
Esok, hari Arafah. Digalakkan untuk puasa sunat :)
Biarlah kita tempang fizikal,
Jangan kita tempangkan akal,
Biarlah kita tempang harta,
Jangan kita gadaikan IMAN.
Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah. Aamin, aamin, aamin.
Ummu Amir.
2 leaves:
skrg nie kita kena beringat je...dok mana pun x selamat ngan perangai bdk2 skrg kan..
Nak buat dosa tak kira tmpt sbb di mana2 pon ada syaitan. Kalau iman dah lemah lagi senang la keje syaitan tu.
Post a Comment