Travelog Iman : What To Expect When You're Expecting?
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, Amir Solihin sudah berusia 1 tahun 2 bulan. Menulis, sesuatu yang saya saaaaaangat suka. Menulis adalah sesuatu yang mengikat saya untuk berfikir, merasa dan cuba memahami apa yang saya tulis sendiri. Dan, selalu saya ambil waktu untuk membaca apa yang saya pernah tulis selang 3 atau 4 atau 5 atau 6 tahun dahulu. Terkadang, ia membuatkan saya kembali merenung masa lampau untuk berjalan pada hari ini demi hari esok.
Sekadar perkongsian untuk memutarkan kembali ingatan dan menggembur iman sendiri.
Saya mengalami masalah tulang belakang sejak berusia 18 tahun, itu pun saya sedar sebab saya langsung tak boleh bangun dan pada masa itulah baru saya mengajak bapa ke hospital kerana sakitnya tak tertanggung lagi. Padahal sejak di sekolah menengah lagi saya sering mengalami masalah sakit belakang.
Pada usia 20 tahun lebih kurang 5 bulan selepas menjadi isteri, saya disahkan hamil. Alhamdulillah. Pada ketika itu, suami masih lagi menjadi pelajar sarjana sepenuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Rezeki dari Allah kami syukuri dan belajar mendidik diri untuk sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada.
Ketika minggu ke-12 kehamilan, semasa bangun dari duduk secara tiba-tiba saya jatuh terduduk. Sendirian di rumah kerana suami masih berkuliah sepanjang hari. Saya cuba bangun, tetapi kaki langsung tidak boleh digerakkan. Saya mengesot masuk ke bilik dan berusaha sekeras yang boleh untuk mencari posisi yang paling selesa. Air mata mula menitis, sakitnya saya lupakan apabila teringatkan anakanda di dalam rahim.
Saya hantarkan mesej kepada suami yang masih berada di kelas. Tamat kelas, beliau terus pulang ke rumah dan meminta bantuan dari sahabatnya, bertanya ke mana perlu membawa saya samada ke hospital atau klinik. Akhirnya sahabat suami dan isterinya membawa kami ke hospital swasta, isterinya sudah beberapa kali mendapat khidmat dari doktor sakit puan di sana.
Tiba giliran saya untuk berjumpa doktor, saya yang berkerusi roda dilihat doktor dengan pandangan yang saya sangat takut. Dan, bila doktor wanita tersebut membuka mulut, memang kata-katanya meruntun hati saya setelah saya ceritakan apa yang berlaku kepada saya.
"Awak tak sepatutnya mengandung..."
Saya dan suami hanya diam.
Sejak dari peristiwa ngeri tersebut, saya terus merahsiakan masalah sakit tulang belakang dari doktor yang merawat sepanjang saya hamil.
Awal-awal kehamilan, saya tidak mengalami muntah-muntah seperti rakan-rakan bakal ibu. Alhamdulillah. Saya cuma mengalami masalah sakit belakang yang sangat berat sehinggakan saya tidak mampu bangun, hanya terbaring dan semuanya diuruskan oleh suami termasuklah memandikan dan menyuap saya makan. Saya tidak mampu untuk duduk, dan suami terpaksa untuk melakukan kesemuanya untuk saya. Di sini, saya belajar banyak perkara.
Perkahwinan bukan hanya perkongsian senyum dan ketawa tetapi sama-sama menikmati air mata dan tangisan duka. Ia perkongsian seluruh kehidupan untuk sama-sama menghargai nikmat Allah iaitu nikmat berkasih sayang, ia tidak diberikan Allah kepada mereka yang belum bernikah. Maksudnya, perasaan halus yang mengikat dua orang manusia untuk sama-sama berlumba siapa yang lebih banyak memberi hanya kerana redha Allah. Ya, memberi untuk redha Allah.
Suatu ketika, mungkin kerana kesakitan yang amat pada tulang belakang... Saya menangis terisak-isak, suami hanya melihat dan kaku. Akhirnya, suami mengeluarkan bicara.
"Kalau tak tahan sangat, kita jumpa doktor ye."
Namun, tona suaranya memberikan kefahaman kepada saya pada sisi yang lain. Seolah memberi satu cadangan untuk 'berhenti dari meneruskan' kehamilan tersebut. Dan, saya berhenti menangis. Menyeka air mata yang tumpah. Diam, dan saya berjanji pada diri untuk tidak lagi menangis untuk meneruskan kehamilan ini.
Bertitik dari situ, saya tahu saya hanya ada Allah yang boleh meringankan sakit saya. Suami di depan mata tetapi dia tidak ada poket Doraemon untuk menyembuhkan saya, ibubapa yang jauh boleh mendoakan saya tapi kepada siapa? Allah juga. Semua minta kepada Allah, jadi kesimpulannya saya pun kena minta juga tapi dengan Allah :)
Trimester kedua kehamilan (3 bulan kedua : bulan ke-4 hingga bulan ke-6) saya sudah mula kurang sakit belakang dan mula menikmati 'night sickness', saya selalu muntah di waktu malam dan mula tidak ke dapur kerana bermusuh dengan bau-bauan di dapur. Tapi, selalunya saya abaikan saja apa yang saya rasa. Di minda saya, kalau kita rasa kita muntah masuk dapur maka muntahlah. Kalau kita tak rasa begitu, maka tidaklah begitu. Alhamdulillah, saya berjaya... :)
Saya seringkali batuk berminggu-minggu dan punca saya muntah selalunya kerana batuk berminggu-minggu. Doktor tak galakkan makan ubat kerana saya sedang hamil. Seorang doktor yang saya sangat sayang, Dr Maslinor. Kata-katanya saya pegang sehingga hari ini.
"Seorang IBU sanggup menahan sakit teruk macammana sekali pun untuk ANAK."
Bertitik tolak dari situ, saya rela menahan sakit dan hidup tanpa sebarang bantuan 'pembunuh kesakitan' (painkiller). Semasa menahan kesakitan yang teramat, saya selalunya melirih suntikan painkiller yang lebih cepat bertindak berbanding ubat (dalam bentuk kapsul) tetapi semasa menempuh fasa kehamilan, saya melupakan kesemuanya dan menikmati alam kehamilan dengan sesi pentarbiyyahan iaitu tawakal kepada Allah.
Saat usia kehamilan sudah memasuki bulan ke-7, doktor mengesahkan bayi di dalam kandungan berkedudukan songsang. Saya dirujuk ke hospital untuk pemantauan rapi. Dan pesan doktor, saya mungkin akan dibedah pada usia bayi masuk minggu ke-38. Tetapi, ajaibnya Allah. Setiap kali pemeriksaan di hospital, bayi berkedudukan normal. Ajaibnya lagi kuasa Allah, saya sentiasa merasakan bahawa bayi saya bukan dalam kedudukan normal tapi doktor tak nak percaya. Tambahan pula saya merasai keabnormalan pada diri saya yang menguatkan lagi naluri saya bahawa bayi saya bukan dalam kedudukan normal tapi tiada siapa mahu mempercayai naluri saya :)
Sehingga minggu ke-38, doktor membuat keputusan untuk diberikan ubat penggesa kesakitan. Induce. Saya memaklumkan kepada ibu dan dalam sendu tangisnya, ibu meminta saya supaya tidak diinduce kerana bimbangkan keadaan tulang belakang saya. Kata ibu, sakit induce luar biasa berbanding sakit bersalin yang hadir secara normal. Iyelah, dalam keadaan tidak sakit dipaksa sakit :)
Setelah kumpulan pakar O&G dan Ortopedik berbincang lama mengenai saya, akhirnya satu pasukan Ortopedik akan sentiasa 'stand by' dengan sebarang perkembangan saya, dan setelah seharian di hospital dengan insiden tangis yang tak sudah-sudah, akhirnya pakar O&G 'melepaskan' saya pulang ke rumah jam 7 malam.
Sangat 'menyeronokkan' pengalaman tersebut, dari jam 7 pagi - 7 malam Allah bagi rasa macammana nak serah tawakkal sepenuhnya pada Allah.
Saya tak henti-henti menangis. Tumpang solat di ruangan solat, staff nurse dan doktor yang bertugas hanya tersenyum melihat saya dengan kesan air mata.
Tiada siapa yang boleh bantu saya, tapi saya ada Allah :) Dia yang atur untuk saya.
Selepas ibu saudara bawa saya pulang ke rumahnya, (kerana suami terpaksa pulang bertugas) saya terbaring... Tak tahu nak cakap, penat sampai rasa nak tidur sehingga minggu depan :P
Penat iman. Teruk kena 'push' sampai Allah simpati, akhirnya Allah bagi juga apa yang saya mahu. Tidak di induce. Tetapi, sehingga minggu ke-40 pada hari dijangka bersalin kalau tidak bersalin, mahu atau tidak saya terpaksa menyerah diri untuk di induce kerana doktor kata bayi saya terlalu kecil bimbang ada masalah kesihatan, bimbang meninggal dalam kandungan.
Allahu.
Depress.
Saya turun berat badan. Tak lalu makan. Hari-hari berbual dengan bayi, suruh dia sabar. Keluar dengan cara yang terbaik. Minta dengan Allah, jaga kami berdua supaya tak jatuh kufur dengan Allah.
Tick tock. Hari yang dijangka bersalin. 11 Julai 2011. Langsung tak sakit. Saya bersedia menyerah diri dan berserah dengan takdir Ilahi. Mohon maaf dengan ibu mertua yang setia menemani saya, sepanjang perjalanan dengan suami saya pura-pura tabah. Bila dah sampai hospital, kaki dan tangan terasa sejuk semacam. Macam nak pergi berperang.
Tengok gelagat ibu-ibu yang menahan sakit mahu bersalin dengan pelbagai gaya. Saya istighfar banyak-banyak.
Senyum. Bagi tangan pada staff nurse untuk diambil darah. Bersedia untuk di induce. Minta maaf dengan suami. Masuk wad. Tunggu doktor datang nak induce.
Sekali... Doktor cakap,
"Kenapa perut awak pelik ni? Tadi dah scan?"
"Tak."
"Kita scan sekali lagi ye."
Doktor mengomel dengan staff nurse, saya buat muka comel. Bila dibawa ke bilik scan, saya senyum. Dalam hati, dup dap dup dap macam nak pecah jantung!
"Bila kali terakhir awak makan?"
"Sebelum masuk bilik scan."
"Ya Allah. Ye ke? Hm... Awak kene bedah hari ini juga! Bayi awak melintang. Tengok ni... tali pusat duduk di bawah. Kalau awak start contraction, rahim awak boleh pecah. Kalau dah start dilation, bayi awak boleh lemas sebab tali pusat keluar dulu. Alhamdulillah, air ketuban banyak. Talifon suami ye, awak kene bedah hari ni juga!"
Gurl!
Allahuakbar.
"Tapi, paling awal awak boleh bedah jam 7 pm sebab tadi awak makan. Awak kena puasa ye. Jangan makan lagi, start puasa sekarang."
Terus talifon suami, dan menangis. Lagi? Er...
"Nasib baik kita tak induce terus tadi." Doktor usap tangan saya.
Alhamdulillah. Perancangan Allah.
Tunggu... Tunggu... Belum juga, jam 9 malam. Saya laparrrrrr tak terkata! Nak minum pun tak boleh. Saya sangat tak selesa. Dan, bila doktor datang menjenguk.
"Eh, awak dah ada contraction ni."
Lagi blur. Disebabkan saya memang dijadualkan untuk pembedahan maka staff nurse tidaklah kerap mengganggu saya, tetapi pesakit yang di induce memang kerap sangat staff nurse menjenguk. Bila lalu depan saya, staff nurse mengusik "cantik baju awak!", memang baju pembedahan digelar "baju cantik". :)
Baru saya tahu, itupun doktor yang bagitahu. Rupanya sejak petang lagi saya dah mula contraction :) Masalahnya saya tak tahu itu contraction dan asyik mengadu dekat suami saya tak selesa. T_T
Akhirnya jam 10 malam, disebabkan faktor kelaparan saya tersengih dengan nurse yang sedang praktikal. Mereka berdua rajin melayan saya berbual. Asyik panggil saya 'kakak', bila tengok IC saya terus mereka gelak rupanya saya muda dari mereka. Saya minta nak minum air, tak diizinkan. Dan mereka minta saya bersabar kerana bilik pembedahan masih belum kosong, banyak kes 'emergency' pada hari itu. Pesakit 'normal deliver' ramai yang terpaksa 'emergency c-sect' kerana bayi lemas. Allah.
Saya ambil Quran, baca surah Maryam. Dah puas baring, saya duduk. Tengok orang kiri kanan yang kena induce, macam-macam aksi dan gaya. Akhirnya, saya pun tutup tirai dan habiskan masa dengan Quran. Takut Allah tarik nyawa masa pembedahan, tiba-tiba teringat nak mesej dengan suami. Kejap-kejap, mesej dengan Ummi.
Memang macam nak berperang. Samada mati atau hidup. Tak tahu.
Akhirnya, jam 1 pagi staff nurse datang bagitahu bilik pembedahan dah bersedia menanti saya. Cepat-cepat mesej suami, nak jumpa di luar bilik bedah. Dan dua staff nurse yang sangat baik, menunggu suami di depan pintu bilik bedah. Kali terakhir melihat suami, tengok puas-puas......
Memang macam nak berperang. Samada mati atau hidup. Tak tahu.
Masuk bilik bedah, selepas diberikan gas. Saya tak sedar apa. Sedar-sedar tengok jam dah 3 pagi, semua dah selesai. Perkataan pertama yang saya ingat. "Alhamdulillah, aku masih hidup."
Perkataan pertama yang dituturkan kepada staff nurse berbangsa India, "sakit."
Memang kesakitan.
Setiap 4 jam, saya diberikan suntikan morfin yang membuatkan tangan saya sangat lemah. Langsung tak boleh pegang bayi dengan tangan yang disuntik morfin.
Bila suami datang jam 8 pagi nak ambil placenta, baru saya minta suami dukungkan bayi. Belum dapat pegang sejak lahir pada jam 1.20 pagi :)
Selesai sudah kembara kehamilan Amir Solihin yang tamat pada jam 1.20 pagi, 12 Julai 2011.
Alhamdulillah, Amir Solihin seorang anak yang kuat menahan sakit. Kalau sakitnya sedikit, dia tidak menangis. Kalau jatuhnya diiringi tangis, maknanya ada lebam atau luka (berdarah). Allah bagi anak yang aktif, sangat kelakar dan menyenangkan hati kami.
Dahulu, saya cepat berubah emosi bila orang persoalkan keadaan mata Amir Solihin yang juling. Tapi, bila ada sahabat berkongsi... Saya istighfar banyak-banyak. Anak sahabat dilahirkan tanpa bebola mata. Allahu.
"Maka diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, nikmat yang manakah hendak kamu dustakan?"
Sepanjang kembara kehamilan Amir Solihin, dengan pelbagai aneka ragam dan rencam ujiannya. Pelbagai ketakutan yang dikhabarkan, pelbagai peristiwa mengundang jerihnya iman yang bergoncang dan digoncangkan. Akhirnya, kesimpulan dari sebuah kembara kehamilan ini... Saya belajar sesuatu dan mendapat jawapan dari Allah.
Canggih macammana teknologi, 3D ataupun 4D mahupun 10D sekalipun tidak akan dapat memberi pengetahuan yang tepat apa yang berlaku di dalam rahim seorang ibu.
Allahu akbar.
Wallahua'lam.
Ummu Amir.
11 leaves:
Allahu rabbi.. sangat terkesan dgn kisah akak.. pasti Allah trlalu sygkan akak hgga Dia taburkn ujian dan rahmat yg mlimpah-limpah.. rupanya org yg ditarbiah prasangkanya dgn Allah sgt luar biasa dibandingkn dgn org biasa2..
teruskan mujahadah akak! sy tahu akak kuat sbb Allah syg akak! :) <3
Assalamualaikum......
terimak kasih Insyirah.....Ispirasi Pengalaman Insyirah menjadi Inspirasi saya...Salam perkenalan daripada saya.
terharu...
Allah..
:')
Allah uji atas apa yang hamba Dia mampu kan akak?
Dan ganjaran sabar itu yang paling tidak ternilai. subhanallah! :')
Sayang akak fillah!
Alhamdulillah..perancangan Allah sahaja yang terbaik.. :)
@ Cik Teacher.
Sebenarnya sangat ramai lagi orang yang lagi banyak ujiannya tetapi sangatlah hebat tawakalnya kepada Allah.
Akak refresh semula semua ni untuk akak muhasabah balik. Bukan senang Allah nak bagi Amir Solihin pada akak dan suami, jadi amanah Allah ni kami kena usaha jaga sebaiknya.
Allah sayang kita semua.
Insha Allah :)
@ Erna
Waalaikumussalam :)
Moga Erna akan jadi lebih hebat dari apa yang diinspirasikan :) Amin
@ Mar Mansor
:)
Allah punya kuasa.
Ajaib kan?
@ Salsabila.
InshaAllah, doakan akak untuk keadaan yang sedang dan bakal dilalui pula ye dik sayang.
Moga Allah jaga kami, lindungi kami dan ajar akak untuk selalu tawakal kepada Allah :) Amin.
Uhibbuki fillah :)
@ Ati Hime.
Siapalah yang lebih hebat perancangannya selain dr Perancang Yang Esa? :)
Insha Allah. Tawakal :)
Semua tu kuasa Allah kan.. :)
Post a Comment