Sederap Langkahmu
Tiada kegembiraan melainkan perjumpaan dengan sahabat. Tiada kesedihan melainkan perpisahan dengannya. Moga persahabatan yang dimulai dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirrahim' berakhir dengan kalimah 'innalillah hiwainna ilaihirajiun'.
Insya Allah, ikatan ukhuwwah yang terjalin antara kami sudah berusia 7 tahun. Syukur, alhamdulillah Allah memanjangkan silaturrahim kami dengan rahmat Nya.
"No'a, Syirah sedih la. Syirah nak study tapi banyak halangan...."
Suatu petang, kami berdua berbicara hati ke hati. Bila ditimpa ujian perasaan, ribut dalam lautan emosi dan kadangkala karam sendiri ana memilih untuk beruzlah dari berbicara dengan manusia. Beruzlah kerana diri perlu ditenangkan, hati perlu didamaikan dan perasaan perlu positif dengan kejadian yang menimpa. Bukankah ujian itu tarbiyyah, sabar itu indah!
Setiap orang punya keinginan, ana juga mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyambung pengajian. Setiap kali melihat lakaran catatan perjalanan yang ana buat di tingkatan 2, ana tersenyum hambar. Target ana sebelum mencecah usia 30 tahun ana sudah siap pengajian PhD. Allah juga yang lebih memahami segala yang tersirat, sebagai hamba yang beriman pada qada' dan qadar ketentuan Allah, sedaya upaya ana berlapang dada menerima ujian maha berat ini. Hakikatnya, ia hanya sebisan ujian-ujian kecil pada manusia. Ana hanya menerima secebis dari ujian sedangkan lebih ramai lagi insan yang beruntung kerana BERJAYA menghadapi ujian tersebut.
Blog ini hanya cetusan peribadi.
Segala yang tercatat adalah berbentuk peribadi.
"Bagi Kak Long, kamu ni budak yang sangat bijak tetapi kerana kekurangan fizikal yang kamu alami ni kamu jadi rendah diri, tak yakin pada diri sendiri. Kamu belajar 1 minggu je tetapi cara kamu bercakap seperti dah 6 bulan kamu hadam apa yang kamu belajar."
Ana terdiam. Ini bukan rangsangan tetapi sebenarnya bentuk ujian yang maha berat untuk ana pikul sendirian. Allah jadikan manusia berbeza dengan makhluk lainnya, punya otak yang dibekalkan akal fikiran. Punya iman untuk mengawal tindak tanduk dan menimbang tara segala keputusan demi sebuah perjuangan! Perjalanan ini terkadang dirasakan sungguh panjang, sangat melelahkan dan ada masanya hampir putus asa.
"Pernah tak akak rasa macam tak ada siapa pun yang sayangkan akak?"
Soal ana pada ukhti suatu hari yang lalu. Saat itu sebenarnya semangat ana sangat-sangat runtuh dan lumpuh dengan beberapa peristiwa yang datang bertimpa-timpa tetapi ana 'lupakan' saja keperitan itu dengan mendengar cerita dari ukhti.
"Kamu ni asyik dengar masalah orang je, take it easy ok. Jangan emosional sangat. Kamu tu sakit, kalau tension bertambah sakit."
Sebenarnya sakit bukanlah satu alasan kukuh untuk menjauhkan diri dan tepatnya mengelak dari masalah. Tetapi, orang selalu menganggap begitu. Oh, benarkah?
"Kenapa kamu tak nak study? Orang lain pun sakit juga dan mereka still boleh study."
Ni yang ana rasa macam nak campak C4 je pada mukanya. Allahuakbar, sabar je lah hati. Ana selalu pesan pada hati jangan mengharap ada yang sudi memahami keadaan realiti ana. Ana juga fahamkan diri agar sentiasa berlapang dada dengan ujian-ujian ini, sebenarnya rentetan ujian ini yang menguatkan ana. Meningkatkan jati diri bukan saja sebagai manusia tetapi sebagai hamba Allah yang beriman pada qada' dan qadar.
Ana mengalami sakit yang berkait-kait. Satu terusik atau diusik akan bersangkut-sangkut dengan yang lain. Tidak hairan kalau sesekali ana sakit, berminggu-minggu ana terlantar.
"Enti ni sakit apa sebenarnya sampai dah lama sangat ana rasa enti tak sihat?"
Sakit... Sakit pada hati! Menanggung rindu untuk bertemu dengan Allah...
Boleh ana beri jawapan begini? Terasa hipokrit pula, jawapan tak sekencang amalan yang terbocor sini sana.
"Syirah... Yakin pada Allah. Ikut cakap mak ayah. No'a pun dulu tak suka cos ni tapi sebab ummi memang suruh juga pergi, so No'a pun pergi even lepas tu nangis je. Sebab No'a tau kalau No'a terima cos yang No'a minat tu tapi ummi tak redha kalau dia bagi sekalipun mungkin No'a tak boleh carry on. Cos sekarang ni memang No'a tak minat tapi ummi dan semua suruh pergi (terima) dan No'a pergi dengan redha ummi. So, just accept."
Ana menahan air mata, bicara tulus dari seorang sahabat.
"Last sem, berapa pointer yang No'a dapat?"
"Alhamdulillah, lebih dari 3 point."
Ana tersenyum. Bangga kerana sahabat sejati yang seiring dengan langkah perjuangan ini memilih jalan yang betul, mengharapkan keredhaan umminya sebelum menadah keredhaan Ilahi. Moga-moga keredhaan dari umminya disusuli dengan keredhaan Allah padanya. Ameen.
Saat berdepan ujian sama ada kecil atau besar, ana memilih untuk memendam selarat dan sedaya mungkin. :) Ana mengelak untuk bertemu sahabat-sahabat terutamanya sodiki hakiki, ukhti Aisyah yang dikasihi. Jarang ana dapat menahan air mata tika bersua dengannya dan setiap kali perjumpaan itu dipermudahkan Allah, sedaya upaya ana menceriakan situasinya. Bukan tidak mahu mendengar bicara sedihnya tetapi ana tidak kuat untuk menahan air mata melihat sahabat sejati menitiskan air mata walau hakikatnya ingin saja ana membiarkan dia menangis sepuas-puasnya melepaskan perasaan yang terpendam.
"Kak Syirah, you are always in my heart. Tak kisah la akak nak study or not but akak la role-model adik... Dan adik sangat-sangat sayangkan akak. Jangan sedih kalau akak tak boleh study tapi sedihlah kalau akak tak mampu nak melorek keredhaan Allah yang sumbernya dari keredhaan ummi dan abi."
Ana menghela nafas, kembali mengingatkan jawapan dari Akhi Azizul tentang istikharah ana.
"Mungkin maslahat kesihatan, Allah lebih tahu apa yang terbaik."
Ana mengikut jejak sodiki hakiki, mencari keredhaan ummi dan abi sebelum menggapai cita-cita setinggi langit.
Terima kasih ya Allah atas pertemuan DUA HATI ini. Peliharalah sahabatku ini dengan sebaik-baiknya kerana aku tahu Engkaulah sebaik-baik Pemelihara dan Engkaulah saja yang dapat memeliharanya lebih baik dari semua insan di dunia ini.
Ya Rabbi,
Izinkan kami berteduh di bawah rahmat Mu, payungilah kami dengan kerendahan diri agar kami mengerti hakikat hidup ini hanyalah ibadah kepada Mu, agar kami mengerti maksud persinggahan di sini, agar kami mengerti DUNIA HANYA PERSINGGAHAN.
Aisyah,
Walaupun kita bukan berada pada lapangan perjuangan yang SAMA tetapi Syira harap kita tetap berjuang demi matlamat yang SAMA; Keredhaan Allah taala. Moga derap langkahmu menuju cita-cita akan terbias pada hati ini untuk turut sama-sama melangkah disisimu.
0 leaves:
Post a Comment