"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

27 December 2012

Doa Ketika Demam

Bismillahirrahmanirrahim.

Sejak hari Selasa malam, keadaan anakanda Amir Solihin yang riang gembira bertemu dengan datuk, nenek, ibu-ibu saudara juga bapa-bapa saudara berubah sebaliknya sebaik tiba di rumah. Semasa meletakkan di atas tilam, perasan kaki dan tangannya kesejukan tetapi tidaklah terfikir beliau sedang ke arah nak demam.

Sepanjang malam, tidurnya kurang lena. Sekejap-sekejap bangun, merengek. Sepanjang malam juga langsung tak minum susu. Bangun awal pagi, seawal Subuh selepas mendengar azan dan saya cuba pujuk supaya beliau tidak menangis melihat abinya keluar. Sempat tertidur kembali dan selepas suami balik rumah sebentar sebelum keluar, Amir Solihin sudah berdiri tegak mahu ikut keluar rumah juga. Pusing-pusing, saya lihat rumah sudah sunyi. Amir Solihin ikut suami keluar.

Bila mereka balik, suami tunjuk baju Amir Solihin yang sudah dipenuhi dengan kesan muntah. Mujurlah ada seorang pak cik menawarkan kain tuala kecil untuk mengelap muntah. Badannya agak panas dan semakin lama semakin panas. Bila menawarkan ubat demam homeopati, Amir Solihin menolak. Sesuatu yang pelik, biasanya apa sahaja jenis ubat homeopati, Amir Solihin akan teruja untuk makan.



Air kosong juga tidak mahu. Selepas uji suhu badannya, Allah... mencecah 38'C.

Dan, suhu tertinggi sehingga 38.9'C.

Suami ramaskan daun lidah jin dalam air dan terus sejukkan badan Amir Solihin. Suhunya turun seketika dan naik tak lama kemudian. Keadaannya juga lembik, tidur sahaja walaupun tidak lama tetapi kerap. Suami pergi ke rumah jiran, minta izin ambil daun dan bunga raya. Ramaskan dalam air untuk dilapkan seluruh badan Amir Solihin.

Saya pun paksakan juga Amir Solihin makan paracetamol syrup yang dibekalkan dari klinik semasa Amir Solihin demam bulan lepas. Tapi, bulan lepas demamnya sedikit sahaja. 37.3-37.5'C, masih aktif berlari.

Selepas 2 jam makan ubat, saya rasa badan Amir Solihin masih panas tetapi tidak sepanas awal pagi.

Suhunya turun naik sehingga mencecah 38.9'C, bimbang kena sawan pula bila suhu badan terlalu tinggi bagi kanak-kanak.

Suami pesankan perbanyakkan doa, usap pada seluruh badan Amir Solihin.

"Qulna ya naar kuuni bardan wa salaaman ala ibrahim (nama anak)"

Malam tadi serasanya sekejap-sekejap Amir Solihin bangun, panggil saya minta susu tetapi langsung tak minum susu sepanjang malam. Badannya panas, dia hanya mahu tidur atas lengan saya. Dan dalam keadaan entah sedar entah tidak, saya hanya membaca doa yang suami ajarkan sepanjang malam.

Alhamdulillah pagi ni nampaknya keadaan Amir Solihin sudah semakin baik. Bacaan suhu terakhir 36.5'C, lidahnya sedikit 'pecah' mungkin kerana badannya sangat panas. Tetapi, suami lega sebab Amir Solihin sudah minta untuk makan nasi dan mula bercakap-cakap, tidak seperti sehari sebelumnya.

Petua orang dahulu (mengelap kepala dan badan anak dengan air bunga+daun bunga raya), homeopati, paracetamol cyrup, doa. Semuanya digarapkan sekali sebagai ikhtiar, dan Allahlah yang memberi kesembuhan :)

Musim hujan, cuaca sekejap panas sekejap hujan, ramai kanak-kanak yang turut demam kerana perubahan cuaca. Mungkin boleh mengamalkan doa ini juga, wallahua'lam.


** Selepas benar-benar sedar, baru terasa. Ya Allah, minta doa dengan Allah pun dalam keadaan mengantuk macammana la Allah nak terima doa. Moga jadi peringatan untuk diri sendiri supaya memastikan keadaan diri yang sedar, minta doa pada Allah bersungguh-sungguh :(


Ummu Amir

Read more...

24 December 2012

Post Ke-600 : Muhasabah Seorang Wanita

Bismillahirrahmanirrahim.

Suatu muhasabah. 

Saya teringin nak pergi (nak sangat-sangat) Demi Palestin anjuran TV Al-Hijrah semalam, sampai siap war-warkan kepada keluarga ajak beramai-ramai pergi ke sana. 

Saya cadang nak beli sepasang kasut kerana sandal saya tunggu masa je nak tercabut talinya. 

Saya berhajat nak makan ayam madu di Jalan Tengku Abdul Rahman, sebab terpengaruh dengan provokasi bonda yang berulang-ulang kali cakap nak makan di sana tapi sampai sekarang pun bonda tak jejakkan kaki ke sana. Dah dekat 2 bulan sebut, saya pun jadi termimpi-mimpi ayam madu tersebut. *geleng kepala* 

Saya nak jumpa kakak yang dah lama saya tak jumpa. Asyik-asyik suami beliau dan suami saya je bertemu, kami tak sempat-sempat lagi Allah nak temukan. :D 

Semuanya saya nak buat semalam. Ahad. 23 Disember 2012. Sebabnya, suami cuti. Hari lain agak sukar untuk 'panjangkan langkah' lantaran tugas suami yang sukar untuk ditinggal-tinggalkan sewenang-wenangnya. Tapi, semuanya tidak Allah tunaikan. Semuanya duduk dalam rancangan Allah. Saya dah hantar proposal pada Allah, tapi Allah tak luluskan. (Mungkin belum masanya lagi atau saya belum betul-betul perlu kepada apa yang saya mahu). 

Dapat khabar anak saudara suami masuk wad di Hospital Kuantan. Terus kami buat keputusan ke Kuantan pada paginya, tiba di Kuantan pada waktu tengah hari dan selepas ziarah terus pulang semula ke kota. Saya tak dapat apa yang saya mahu, sebab Allah ganti apa yang saya perlu. 

1. Tiba saja di wad kanak-kanak, satu usungan jenazah kanak-kanak (tak tahu berapa usianya) berlalu depan kami. Tergamam seketika. 

2. Melihat kanak-kanak menangis menahan sakit, ibu dengan sabar melayani kerenah dan ragam anak-anak kecil tersebut. Jururawat dan doktor juga bermanis muka, cuba memaniskan suasana kanak-kanak. 

3. Tengok jururawat atau orang asing, anak saudara suami terus menangis. Dia trauma, kerana kedua-dua kaki dan kedua-dua tangannya (atas tapak tangan dan lengan) sudah lebam ditusuk jarum. 

--

Hari ini saya berurusan sekali lagi ke klinik.

Saya lihat seorang ibu sungguh geram pada anaknya yang tidak well behave di klinik. Bahasanya sangat kasar. Tingkahnya juga agak kasar. Saya membatukan diri, terus melayani buku di tangan. Hati sebal. 

Bila Allah tak berikan anak, siang dan malam kita berdoa kepada Allah supaya berikan anak. Bila Allah berikan anak yang sakit, siang dan malam kita berdoa kepada Allah supaya beri kesihatan kepada anak. Bila Allah bagi anak yang sihat, berapa ramai diantara kita yang BERSYUKUR kepada Allah? Berapa ramai yang BERDOA kepada Allah?

Saya berdepan dengan pengalaman yang sangat 'indah' dalam masa terdekat berkenaan dengan doktor.

Doktor wanita yang belum bernikah ataupun sudah memiliki anak, mereka berkata-kata hanya dengan ilmu medikal yang mereka pelajari. Tiada unsur rohani dan perasaan dalam bahasa.

Saya berurusan dengan doktor wanita yang Allah uji sukar dapatkan anak (3 kali keguguran, anak ke-4 hampir berhenti bergerak dalam kandungan dan terus dibedah, selepas melahirkan anak ke-5 terus ikat peranakan atas sebab kesihatan. Hanya 2 anak yang dia miliki), dia mengaplikasikan ilmu medikal sarat dengan pengisian rohani (pengertian tawakal sepenuhnya kepada Allah, bukan makhluk - doktor) dan perasaannya sebagai wanita dan ibu sungguh menebal. 

Berurusan pula dengan doktor wanita yang sudah 7 tahun menikah tanpa Allah kurniakan anak, dia sangat-sangat mengajar untuk bersyukur kepada Allah, dia memaksa saya untuk tawakal dan redha dengan kehendak Allah. Dia menggunakan ilmu medikal dengan pengisian rohani disaluti perasaan belasnya.

Begitulah manusia.

Hanya yang merasai akan memahami.

Apabila Allah beri 'kenikmatan' itulah sebesar-besar ujian keimanan. Bagaimana kita bersyukur dalam limpah ruah nikmat dari Allah? Terima kasih ya Allah atas segala kurniaan muhasabah ini. Moga kami akan terus mendaki tangga-tangga kehidupan dengan penuh pengharapan kepada Mu. Amin.

Wallahua'lam.

Setia mendengar kisah dan luahan hati doktor, kesannya suami menunggu hampir 40 minit sambil berperang dengan anak bujang kami. Tak apa, ada ibrah di sana untuk saya selalu muhasabah diri. Dan tidak semua mampu dicoret di sini :)


Ummu Amir

Read more...

20 December 2012

Adat Berdagang

Bismillahirrahmanirrahim.

"Dunia ini tidak dimewahkan melainkan dengan ujian. Apabila kita berhajat kepada dunia, sebenarnya kita berhajat kepada kesusahan."

Sempat menikmati kesesakan jalan raya yang agak teruk pada hari cuti umum lalu, seolah warga Selangor semuanya mahu memasuki pusat bandar. Kami yang kebetulan mahu ke pusat bandar, turut menjadi penyumbang kesesakan jalan.

Suami ambil kesempatan, bercerita hadith Nabi kepada saya. Berulang-ulang kali ditegaskan "jadilah kamu seperti orang dagang."

Sambil bercerita, suami memberi penerangan kepada saya. Diantara tatacara menjadi orang dagang (dagang di sini bermaksud PERANTAU/MUSAFIR, bukan berdagang yakni berniaga) ialah :


1. Kita tidak duduk di sesuatu tempat permusafiran dalam tempoh yang sangat lama (bermastautin).

Kita semua ada kampung halaman, mungkin kita bermastautin (menetap atas sesuatu tujuan seperti bekerja atau belajar) selama beberapa tahun atau beberapa ketika di sesuatu tempat tetapi kita tetap juga sesekali pulang ke kampung halaman, atau setidak-tidaknya selepas tamat pembelajaran kita akan pulang ke kampung halaman.

Begitu jugalah orang yang 'berdagang' di dunia Allah, kita hanya berada di dunia untuk seberapa tempoh yang Allah telah tetapkan untuk kita. Dan pastinya, kita akan singgah ke perhentian Barzakh sebelum pulang ke kampung asal kita.

Ya, ramai orang menganggap bahawa Barzakh (alam kubur) adalah kampung halaman, tempat yang kita akan kembali nanti. Sesuatu yang kita terlupa, kita semua berasal dari Syurga Allah (terciptanya Nabi Adam dan Hawa adalah di dalam Syurga Allah). Syurgalah 'kampung' kita, dan matlamat kita untuk pulang ke kampung yakni Syurga bukannya berhasrat atau terlintas untuk transit sebentar di Neraka. Nauzubillah.


2. Kita hanya mengambil sebanyak-banyak peluang untuk mengumpul kebaikan yang ada sepanjang permusafiran.

Ada di kalangan kita contohnya menetap di Selangor tetapi kampung kita ada yang di Pokok Sena, Kedah. Ada juga yang asalnya dari Pulau Melaka, Kelantan. Ada juga yang asalnya dari Bukit Senggih, Melaka dan sebagainya. Tetapi, hidup 'berdagang' di Selangor kita hanya mengambil manfaat dengan bekerja ataupun belajar. Dengan bekerja, kita menikmati rezeki gaji yang diharapkan penuh keberkatan. Dengan belajar, kita menikmati rezeki ilmu yang diharapkan penuh dengan keberkatan. Pulang ke kampung halaman, kita bawakan buah tangan untuk kaum kerabat dan sahabat handai. Kita curahkan ilmu dan bakti kepada masyarakat di desa.

Begitu jugalah orang yang 'berdagang' di dunia Allah, kita hanya mengambil manfaat sahaja sebagai bekalan. Hitungan amalan kebaikan seperti berlumba-lumba menjadi kaya. Kaya bukan sahaja dengan amalan kebaikan semata-mata tetapi amalan kebaikan yang sahih.

Andainya amalan kebaikan diumpamakan seperti pohon yang indah, biarlah ranting-rantingnya kuat dan kukuh untuk kita berpaut. Bukan seperti pohon yang tidak dibaja, tidak dijaga dengan rapi yang menghasilkan ranting-ranting yang rapuh. Belum sempat untuk berpaut, sudah jatuh ke bumi.

Kerana itu perlunya kita kepada ilmu :)

Supaya, di hadapan Allah nanti kita mampu untuk berpaut pada dahan yang kukuh (amalan soleh yang sahih). Benar, kita menghantar borang kemasukan ke Syurga bukan dengan kelayakan amalan soleh tetapi rahmat Allah semata-mata namun Allah juga meletakkan kritiria tertentu, masakan Allah akan memberikan rahmat kepada hamba Nya di Akhirat kelak sedangkan hamba tersebut sedikit pun tidak menghormati hak-hak Allah di bumi Nya.

Pulang ke kampung nanti, mudah-mudahan bekalan saham Akhirat yang menjadi tabungan semasa di dunia boleh menjadi pembantu kepada kita.


3. Tetamu akan memuliakan Tuan Rumah.

Kita semua insya Allah pernah diziarahi dan menziarahi setidak-tidaknya sanak saudara semasa Hari Raya atau Walimatul Urus ataupun Kematian atau apa-apa bentuk majlis sekalipun.

Adat menjadi tetamu, kita dimuliakan oleh tuan rumah. Disambut dengan santun dan hormat, kita dilayan dengan baik. Barangkali kita pernah diucapkan oleh tuan rumah supaya selesa dengan kata-kata "buatlah seperti rumah sendiri," kerana tidak mahu kita merasa kekok. Namun, perlu kita ingat bahawa keberadaan kita di dalam rumah/majlis tersebut adalah dengan keizinan dari tuan rumah, perlulah kita menghormati tuan rumah dengan penuh sopan.

Sangat tidak sopan apabila kita memperlakukan rumah orang lain sepertimana kita berkelakuan di rumah sendiri, masuk ke bilik tanpa izin tuan rumah, masuk ke dapur tanpa rasa malu, makan tanpa dijemput dan sebagainya. Adab-adab yang kita jaga dan akhlaq yang kita pamerkan pastilah adab dan akhlaq yang terbaik boleh kita tunjukkan supaya tuan rumah juga selesa dengan kehadiran kita.

Begitu jugalah adat kita 'berdagang' di dunia Allah. Keberadaan kita di rumah Allah (bumi Nya) adalah dengan keizinan Allah semata-mata, ibubapa kita hanyalah asbab kepada keberadaan kita di sini. Boleh saja, Allah menghalau kita bila-bila masa. Jagalah adab dengan Tuan Rumah (Allah), jaga hak-hak Allah dan pastinya Tuan Rumah akan menyukai kehadiran kita di rumah Nya (bumi ini).

Janganlah kita merosakkan hiasan dan perabot yang ditatarias indah oleh Tuan Rumah, tasik yang indah, pemandangan yang memukau pandangan, cuaca yang dingin dan segala bentuk 'lukisan' dunia ini janganlah sesekali kita menconteng dengan tangan kita melakukan kemungkaran dan maksiat, janganlah dirosakkan kehidupan ini dengan tangan kita melakukan kerosakan (tebang pokok secara berleluasa, membuang sisa toksid ke dalam sungai/laut, membuat ujian senjata nuklear di bawah laut).

Kita hanya berdagang.

Maka, jadilah pedagang yang berhemah.

Bukannya memperdagangkan iman kita.

Ingat, kampung kita di Syurga sana.

Jom balik Syurga!

Wallahua'lam.


Ummu Amir

Read more...

11 December 2012

Niqab : Antara Keinginan dan Kewajipan

Bismillahirrahmanirrahim.

Satu kumpulan di dalam facebook, awalnya saya sendiri kurang cakna bila saya berada di dalam kumpulan tersebut. Kemudian, baru saya sedar bahawa pemula kumpulan tersebut menyenaraikan saya antara yang menjadi pentadbir kumpulan. Itupun bila ada beberapa muslimah menghantar mesej supaya saya menerima permintaan mereka untuk memasuki kumpulan.

Rata-rata mereka adalah muslimah yang telah memakai niqab (purdah), berusaha untuk memakai purdah, berazam untuk memakai purdah suatu hari nanti. Seringkali juga saya membaca luahan perasaan muslimah yang berkeinginan untuk berhijrah daripada masa lalu kepada kehidupan yang lebih baik. Daripada tidak kisah sangat dengan soal pemakaian kepada penelitian terhadap aurat, daripada tidak peduli dengan apa kata orang kepada kepedulian kepada apa yang Allah dan Rasul Nya kata.

Kesuntukan masa, kesempitan ruang selalu membuatkan saya membiarkan sahaja luahan perasaan yang dicatat memandangkan sudah ramai yang memberikan buah fikiran. Meskipun ada yang ingin ditambah, biasanya saya memendam sahaja. Mungkin kerana lebih banyak tumpuan perlu dialihkan kepada soalan-soalan yang menuntut kepada jawapan yang lebih utama. Seorang tanya pasal haid, ada yang bertanya perihal nifas, wiladah dan cabang-cabang ilmu pengetahuan di mana lebih perlu difokuskan.

Lama kelamaan, saya memerhati semakin banyak luahan yang saya jadi terkilan membaca bait ayat mereka.

Bila seorang yang saya rasakan insyaAllah lebih muda dari saya meluahkan kebencian terhadap ibubapanya kerana tidak membenarkan beliau berniqab. Saya yakin dan pasti, perkenalan di alam maya dengan sahabat-sahabat yang berniqab sedikit sebanyak akan membuatkan perasaan jadi teringin untuk berniqab. Itu satu perkara yang bagus, cuma yang tidak manisnya bila perasaan mendahului keperluan untuk berniqab tidak disusuli dengan kajian ilmiah kepada pemakaian niqab.


Saya sangat suka adik-adik remaja mencintai pemakaian niqab, berusaha untuk memakai niqab tetapi keinginan yang berteraskan emosi itu tidak akan berkekalan kalau ia sekadar sebuah EMOSI.

Saya BUKANLAH orang yang arif tetapi permulaan hijrah nampak tempang apabila kewajipan untuk mentaati dan menghormati kedua ibubapa dicalari dengan kebencian hanya untuk perkara yang khilaf. Saya pasti, sekiranya mencari maklumat mengenai niqab di sesawang internet sudah ramai ustaz-ustaz yang menerangkan kedudukan hukum pemakaian niqab kepada wanita.

Pada saya, niqab adalah perkara yang tidak tetap. Hukumnya boleh berubah-ubah; sunat, harus ataupun wajib.

Namun, tiada khilaf pada mana-mana ulama' dalam mana-mana mazhab sekalipun tentang kewajipan untuk mentaati ibubapa. Allah mewajibkan manusia untuk mentaati ibubapa selagimana ibubapa tidak menyuruh berbuat syirik kepada Allah.

Banyak luahan-luahan hati yang sedih, kecewa bahkan berputus asa untuk terus berusaha ke arah penghijrahan diri semata-mata kerana keluarga tidak membenarkan memakai niqab.

"Aku nak buat baik, nak jadi orang baik pun tak bagi. Kalau macam tu lebih baik aku jadi jahat, tak payah tutup aurat."

Kalau terlintas sebegini di benak, istighfarlah. Ambil wuduk, bentangkan sejadah menghadap kiblat dan lakukanlah solat sunat taubat dan disusuli dengan solat hajat.

Bila nak jadi baik, berusaha ke arah kebaikan dan berhijrah kepada dimensi persekitaran yang lebih baik memang (tak berani nak cakap pasti) kita bakal diuji dengan pelbagai rencam ujian. Rasulullah pun apabila mengajak orang ke arah kebaikan, dicaci, dihina, dikeji bahkan sampaikan berlumba-lumba orang nak membunuh Rasulullah. Namun, cacian, kejian dan hinaan bukanlah pematah semangat untuk mengajak orang lain menjadi baik tetapi ia sebagai wasilah untuk bermohon-mohon kepada Allah.

Bila terdetik untuk berhijrah, bersyukurlah. Mulakanlah hijrah dengan penambahan ilmu.

Wanita memang dibaluti dengan pelbagai perasaan dan seringkali tewas dengan perasaan sendiri tetapi dengan panduan ilmu yang insyaAllah mencambahkan iman, kita akan merawat perasaan dengan lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Sebenarnya, itulah penghijrahan terbaik! Apabila mentaati ibubapa dan memuliakan mereka, Allah juga akan meletakkan keberkatan dalam perjalanan kita menuju kepada Allah. Apalah yang lebih indah berbanding nikmat iman, tanpa rahmat dari Allah mana mungkin kita akan bernafas dengan hela nafas keimanan pada Nya. 

Tak semestinya kita kena pakai niqab untuk jadi SOLEHAH.

Tak semestinya bila pakai niqab kita jadi SOLEHAH.


Niqab hanyalah 'journey', bukannya 'destiny'. Niqab boleh mengubah seorang manusia kepada cintakan kebaikan tetapi tanpa berniqab juga kita boleh mencintai Allah dan Rasul Nya bahkan tidak mustahil terkadang hanya secebis kain di wajah membuatkan seseorang jauh dari tuhannya, nauzubillahi min zalik.

Berhati-hatilah mentadbir hati, jangan sampai makan hati hanya kerana picisan perkara yang tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang perlu diperdebatkan sehingga mengetepikan kewajipan kita kepada perkara yang perlu diutamakan.

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

08 December 2012

Bagaimana Hati Merasa...

Bismillahirrahmanirrahim.

Anak bujang saya, minggu depan insya Allah akan menginjak usia 1 tahun 5 bulan. Keletahnya kadang-kadang menjadikan orang lain terkeliru, menyangka beliau sudah berusia 2 tahun. Masya Allah, tapi dalam masa yang sama juga seringkali buat saya mati kutu nak melayan 'panjang akalnya' buat macam-macam aksi nak mengelak dari melakukan apa yang saya cuba nak ajak dia lakukan bersama.

Sekarang ni satu cabaran nak memandikan Amir Solihin, tak nak buka baju dan asyik mengulang ayat "tak payah ar", ayat yang menunjukkan dia tak nak lakukan apa yang diajak. Puas pujuk, sedangkan dia memang seorang yang suka main air. Dan cabaran pula bila dah masuk tandas, tak nak keluar pula. Allah... Kadang sampai membiarkan Amir Solihin main air puas-puas, tunggu dia keluar sendiri.

Bila 'panjang akalnya' meletihkan emosi saya, selalu saya pula 'menyalahkan' suami.

"Amir Solihin overdose makan ubat IQ homeopathi abi lah ni, banyak sangat akal..."

 :P

Sudah hampir 2 bulan saya menumpang di rumah ibubapa kerana kondisi kesihatan saya yang kurang baik. Bila ada masa lapang, suami akan datang menjenguk kami. Merasakan kondisi kesihatan semakin baik, saya mengusulkan kepada suami untuk pulang ke rumah. Tambahan pula saya kasihankan suami berulang alik ke sana sini, dengan hambatan tugas dan macam-macam kerja lain.

Hari pertama pulang ke rumah, Amir Solihin explore habis semua yang ada. Periuk, kuali, sudu, besen, baldi dan segala macam benda disusun ke ruang tamu rumah. Masuk dalam bilik, dia jumpa walker yang dia dah tak guna hampir 8 bulan! Dia sibuk menolak walker ke ruang tamu dan mula memanjat, nak duduk dalam walker. Maka berlari-larian lah Amir Solihin di dalam walker.

Hari ke-2, suami bawa kami ke Hospital Selayang. Ziarah bapa saudara saya yang tidak sihat, dan... puas berlarian di lobi hospital (kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak dibenarkan untuk melawat pesakit), dia jumpa ibu-ibu saudaranya. Dan tak lama kemudian, jumpa dengan datuk dan neneknya (ibubapa saya) terus dipeluk cium (kata bonda, habis muka ayahandaku basah dengan airliur Amir <-- i="i">overdose kiss
! :P )
Masa nak balik, suami nak ambil Amir Solihin dari dukungan ayahanda. Amir Solihin TAK NAK!

Ha, sudah la... Nak buat macammana ya.

Akhirnya saya dan suami meninggalkan Amir Solihin pada ayahanda, terus mengambil kereta. Pusing semula ke lobi, di tempat ayahanda menunggu kami. Semasa memberikan Amir Solihin atas pangkuan saya, Amir Solihin sangatlah... er, muka dia menunjukkan dia sangat sedih dan barangkali kecewa. Saya pun tak tahu. Balik ke rumah, sebelah petangnya badan Amir Solihin dah panas. Malamnya, badan semakin panas.

Mata, telinga Amir Solihin dah merah. Mungkin kerana badannya sangat panas. Tidur malam pun tak berapa lena. Suami tampalkan 'cool fever', hanya sempat bertahan 1 jam sahaja. Amir Solihin tak suka memakai 'cool fever'. Bangun pagi, dengan badan yang sangat panas Amir Solihin 'usap kepala' saya yang sedang baring sambil menyuap karipap ke dalam mulut saya.

Masya Allah.

Kuatnya anak Ummi ni. Macam memujuk suruh saya bangun, gagahkan diri. Bersiap, bawa Amir Solihin ke klinik. Nurse yang melihat Amir Solihin terus menerus berlari, mengusik... "Kuatnya awak ni Amir."

Suami yang tak larat nak kejar pujuk,  "Amir, buat la macam orang demam." Hehe!

Selepas siap urusan di klinik, suami bawa saya dan Amir Solihin ke rumah ibubapa saya semula. Minta duduk sebentar sehingga hilang demam Amir Solihin, demam rindukan datuknya.

Sewaktu ayahanda sampai ke rumah (pulang dari pejabat), Amir Solihin baru sudah makan bubur. Berlarian ke arah datuknya, masuk kereta terus dipeluk cium. Kata bonda, janggut ayahanda habis basah dengan air liur Amir Solihin. Sisa makan (bubur nasi) pun melekat pada janggut juga, iyalah tak sempat nak basuh mulut. Terus berlari nak pergi kepada datuknya.

Pulang dari 'bersiar' dengan ayahanda, Amir Solihin menari-nari dalam rumah. Happy sangat lah tu... :)

Abang Long Amir Solihin,
Bagaimanalah hatimu merasa rindu ya?

Susah lah Ummi dengan Abi kalau Wan dah pindah nanti :)

SyafakaLLAH Amir Solihin.

Rabbi habli minassolihin, aamin.


Ummu Amir.

Read more...

03 December 2012

Niqabi : Antara Ghuraba' Atau Pelik?

Bismillahirrahmanirrahim.

Seronok.

Ada beberapa wanita yang sudah lama mengikuti penulisan blog saya berkongsi pengalaman mereka memakai purdah. Antaranya mereka terkesan dengan cerita saya.

Allah. Kadang, kita menulis hanya sebab suka-suka saja. Nak kongsi cerita. Tapi, sebenarnya apabila kita menulis kalau diniatkan sebab nak buat ladang pahala, mesti kita berusaha menulis dengan berhati-hati dari hati untuk hati-hati
yang mungkin membacanya.


Sebab hati, Allah yang pegang.

Purdah itu tak wajib (pandangan saya), yang wajibnya menutup aurat. Jubah dan abaya bukan wajib malah boleh jadi haram apabila ketat mengikut tubuh, nipis menampakkan kulit ataupun hiasannya melampau-lampau. Tak semestinya kena pakai tudung labuh untuk menutup aurat, kalau kain guni tu cukup syarat untuk tutup aurat. Boleh saja pakai kain guni gantikan tudung.

Terbuka jangan sampai leka.
Tertutup jangan sampai jumud.

Orang sekarang, bila tengok orang pakai t-shirt labuh dan skirt labuh yang longgar dah dipandang serong hanya kerana dia memakai niqab (cerita dari seorang adik), saya ketawa saja. Saya cuma bagitahu kalau cukup syarat tutup aurat dari sudut syariat, tak perlu lah nak terasa hati dengan apa orang kata.

Orang ni ramai, banyak sangat pandangan. Tak larat nak penuhi hasrat semua orang. Allah satu, ikut je kata Allah. Tak pening nak fikir kehendak manusia :)

Tak semestinya pakai jubah atau abaya baru kita dikatakan menutup aurat. Pakai baju kurung yang longgar pun tutup aurat juga.

Suami saya pesan, "Janganlah kita pelik melihat orang lain (atau merasa pelik melakukan sesuatu yang tidak pelik) kerana hakikatnya diri sendiri yang pelik sebab pelik dengan perkara yang tidak pelik."

Senyum.

Ghuraba' itu bukan orang yang pelik. Tetapi terasing, dia mengasingkan dirinya dari kejahilan. Bukan jadi pelik asbab kejahilan. Wallahua'lam.

* tampar pipi dengan 10 jari *


Orang jadi susah hati nak berhijrah ke arah penutupan aurat yang sempurna sebab fikir kena pakai jubah, kena beli abaya baru yang mana akan menelan belanja yang tidak sedikit. InshaAllah apabila diterangkan mahupun terpaksa berulang kali memberi keyakinan bahawa penutupan aurat yang sempurna tidak semestinya dengan jubah mahupun abaya, mereka jadi lega kerana MUDAHnya menutup aurat dimomokkan dengan serba satu kesusahan.

:)

Pakai seluar beggy dengan t-shirt labuh yang longgar, tudung yang melepasi dada pun sudah boleh menutup aurat. Dalam kepala berlegar-legar, mungkin peringkat asas dalam bab menutup aurat tidak dijelaskan sebaiknya kepada masyarakat lalu membuatkan masyarakat merasakan penutupan aurat ini sukar dan berat. Apabila asasnya mereka fahami dengan baik, inshaAllah mereka akan lebih mudah untuk berhijrah ke arah imej muslimah.

Pakai niqab dah bagus, cuma kadang-kadang memberikan reaksi pelik terhadap orang lain itu tidak bagus.

"Pelik betul orang tengok je kat kita."

Hehe. Senyum... Memilih untuk menjadi ghuraba' (asing - memilih kehidupan berlandaskan syariat Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah) bukan mudah. Sebenarnya saya lebih suka 'join' dengan orang yang bukan berniqab, sebab mereka sebenarnya ada banyakkkkkkk soalan yang nak ditanyakan kepada orang yang berniqab. Selalunya, soalan-soalan mereka membuatkan kita makin bersemangat untuk jaga hubungan dengan Allah.

Sebab itu, saya selalu merasa tidak selesa apabila ada muslimah berniqab yang tidak mahu membuka niqab di dalam keadaan tertutup dan semuanya muslimah dengan alasan merasa pelik apabila membuka niqab. Jadinya, dia sendiri jadi tidak selesa apabila semua orang memandangnya dengan perasaan yang juga pelik dan tertanya-tanya kenapa dia tidak membuka niqab dalam keadaan semuanya muslimah :)

Dalam kehidupan ini kita dibentangkan dengan pilihan. Maka, pilihlah jalan yang membuatkan kita disayangi makhluk di langit dan disenangi makhluk di bumi.

Islam itu mudah, maka jangan disusahkan tetapi usah pula dimudah-mudahkan ^_^

[... barangkali entri selepas ini mengenai Niqab : Antara Keinginan dan Kewajipan, inshaAllah]

Wallahua'lam.

Ummu Amir

Read more...

01 December 2012

Peristiwa di Tak Bai

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya dah lama sangat teringin nak ke Selatan Thai, alhamdulillah baru-baru ni Allah izinkan kami untuk berziarah ke Selatan Thai. Perancangan asalnya, kami akan menginap di rumah keluarga sahabat suami di Narathiwat tetapi perancangan Allah sebaliknya.

Kami hanya sempat bersiar-siar di Tak Bai sahaja, mungkin juga kerana kesihatan saya yang tidak mengizinkan makanya Allah tidak mengizinkan kami berjalan jauh di sana.

Seronok juga melihat suasana saudara muslim di Tak Bai, adik perempuan saya agak terkejut melihat ramainya muslimah bertudung labuh dan berjumpa dengan muslimah berniqab. Pada fikirannya orang Thailand sama seperti pelakon-pelakon di kaca TV. Saya tersenyum dan memaklumkan bahawa suasana di Selatan Thai yang banyak sekolah pondok, madrasah kerana ramainya orang Islam di sana.

Perkara ini yang membuatkan saya sangat berkeinginan untuk ke Selatan Thai.

Suami merisik-risik khabar Selatan Thai dari kawan-kawannya, semasa keberadaan kami di Kelantan, suasana di Selatan Thai agak panas (maksudnya ada berlaku kejadian letupan bom, tembak-menembah dsb) jadinya kami tidak dinasihatkan 'menyeberangi' sempadan tanpa ditemani oleh rakyat Thailand kerana dikhuatiri akan berlaku sesuatu yang tidak diingi. Keperluan kepada pemahaman dan kebolehan bercakap bahasa Thailand sangat penting untuk berhadapan dengan tentera.

Tambahan pula, kata suami saya berpakaian seperti ini (berniqab). Jadinya, 'buruk sangka' tentera terhadap orang Islam sangat tinggi. Bimbang kami disangka sebagai 'pengganas'.

Akur. Sahabat suami yang sudah menyiapkan segala kelengkapan di Selatan Thai (dari sudut penginapan, makanan dsb) terpaksa kami kecewakan kerana perancangan Allah sebaliknya.

Bersiar-siar di Tak Bai, saya tiba-tiba kesakitan yang amat dan minta untuk duduk sahaja. Amir Solihin mula menangis dek kelaparan, suami tercari-cari warung yang menyediakan "Nasi Air" untuk Amir Solihin. Pusing sana, pusing sini. Saya sudah bermandi peluh dek kerana menahan sakit sehingga mahu pitam.

Akhirnya, seorang hamba Allah yang baik hati menunjukkan suami warung yang menyediakan "Nasi Air". Amir Solihin makan dengan cepat, tanpa sempat mengunyah semuanya ditelan-telan sahaja.

Tiba-tiba, kami dikejutkan dengan bunyi yang aneh. Saya mengagak ianya bunyi tembakan, Allahu Rabbi. Tapi suasana sekeliling tenang sahaja, tiada yang berlari atau menyelamatkan diri.

Allah.

Rupanya, kerusi yang diduduki oleh suami dan Amir Solihin retak dan pecah. Kedua-duanya jatuh ke atas tanah.

Selang 2 hari kemudian, saya tanyakan suami apa perasaan beliau semasa sedang jatuh.

"Hanya fikir macammana nak pegang Amir supaya Amir tak jatuh."

Dan, subhanallah. Kerusi yang pecah tersebut sangat bahaya tetapi Allah pelihara, tidak tercucuk pada peha suami. Selesai makan, Amir Solihin "bawa lari" kerusi yang pecah tersebut dan diberikan kepada orang yang sedang lalu-lalang.

:)

Kami lupa nak ambil gambar kerusi 'bersejarah' tersebut sebab asyik mengekori Amir Solihin yang sudah berlari. Dan saya tak terfikir langsung nak ambil video sebab terkejut tengok suami yang sedang mengawal diri dari jatuh.

Orang-orang yang melihat semuanya ucap syukur sebab Amir Solihin tak jatuh tersembam.

^_^





 

*gambar comel Abi Amir dengan beg Spiderman Amir Solihin*

Ummu Amir

Read more...

24 November 2012

Seraut Ketabahan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Harini Allah izinkan kami sekeluarga menziarahi dan memenuhi jemputan Ustazah Nur Atika Mohd Haris. Tak sangka, pertemuan kali ini walaupun lebih singkat daripada dahulu tetapi lebih bererti. Awalnya, kami hanya berbual di khemah di luar rumah dan setelah berkumandangnya azan Zohor, suami minta diri untuk ke masjid. Saya dan Amir Solihin dijemput masuk ke dalam rumah.

Semasa di luar, sempat saya mendukung si comel Rabiatul Adawiyah yang sangat solehah. MasyaAllah :) Amir Solihin mula buat muka 'tak puas hati' tengok saya pegang bayi lain. Disebabkan baru bangun tidur dan demam, maka moodnya memang tidak bagus. Duduk diam saja atas pangkuan suami.

Selepas masuk ke dalam rumah, melihat si kecil Aisyah Humaira di dalam buaian sedang diayun oleh orang, Amir Solihin yang sekian lama memerhati teringin sama nak ayun buaian. Maka, berayun lah Aisyah Humaira. Jangan pening sudahlah ye sayang...

Amir Solihin intai-intai buaian satu lagi, ada Rabiatul Adawiyah. Lalu melihat muka saya sambil bertanya (dengan bahasanya sendiri), riak wajahnya sangat pelik melihat dua orang tetapi berwajah sama :)

Saya tersenyum dan terus tersenyum...

Si kembar seiras yang sangat solehah. MasyaAllah. Moga Allah terus menjaga kalian sekeluarga dengan sebaik-baik penjagaan, membesar dengan acuan Quran dan Sunnah. Allahumma aamin.

InsyaAllah. Ada ruang waktu dan usia, kita berjumpa lagi.

Salam peluk cium dari kami buat si comel :)



---------------

Suatu malam, suami menghantar sms kepada saya bertanyakan sesuatu yang sangat mengejutkan. Berita perihal seorang lelaki yang dikenali sebagai "Ustaz Razis" yang pada ketika itu sedang sangat heboh dan panas diperkatakan di dalam sesawang facebook dan melata kisahnya di dalam blog. Saya mengambil keputusan untuk melihat apa yang sedang dihebahkan, kemudian bertanya kesahihan kisah tersebut kepada Ustazah Atika sendiri.

Selang beberapa hari, Ustazah Atika memaklumkan bahawa kisah mereka terpapar di dada akhbar Harian Metro. Saya yang sudah bertahun-tahun tak membeli akhbar, turut terbawa perasaan ingin tahu apa sebenarnya yang melanda kehidupan beliau. Lama menghilang, tiba-tiba timbul dengan sesuatu yang sangat mendukakan. Pening saya baca kisah di dalam akhbar, lalu saya mengambil keputusan mengikuti sahaja perkembangan Ustazah Atika melalui akaun facebook beliau.

Ada masa dan ketika, hati terjerut rasa dan menjerat emosi dengan kalam-kalam yang ditulisnya. Betapa berat mata yang membacanya, apatah lagi pena yang menulisnya. Saya tidak mampu terus bertanya secara peribadi kerana menghormati perasaan beliau, saya tidak mampu untuk bertanya lanjut kisah tersebut dan mengambil keputusan membaca sahaja. Dan, sedikit demi sedikit apa yang ditulis oleh Ustazah Atika dan mangsa-mangsa lain, cerita suami yang dapat dari pelbagai sumber. Akhirnya saya memadam sahaja memori luka dan duka beliau, kalau Allah takdirkan untuk bertanya biarlah pertanyaan saya akan dibalas dengan jawapan yang beliau gembira untuk luahkannya.

Di dalam "group" facebook, ada rakan yang terperasan bahawa saya 'mengenali' susuk Ustazah Atika dan "Ustaz" Razis, saya tidak mahu memberi sebarang komen. Biarlah, pisang sedang panas... Memang semua orang sedap nak rasa.

------------

Tadi, saya diperkenalkan dengan isteri Razis yang pertama. Saya tersenyum, melihat seorang demi seorang kanak-kanak yang sedang bermain dengan si kembar, saya jadi terharu. Sedih pun ada juga, ialah... Mereka bukan anak yatim tetapi terbiar.

Ustazah Atika bertanyakan kepada isteri Razis yang pertama.

"Akak, Razis dulu ada cakap, dia suka baca blog Insyirah ni. Dia cakap, blog Ika sama dengan blog Insyirah."

"Blog? Internet ke?"

"Aah, Razis cerita tak pasal blog yang dia suka baca?"

"Takde."

"Oh, dengan Ika dia (Razis) selalu cakap dia suka baca blog Insyirah."

Dan saya, tak tahu nak cakap apa. Tergamam.

Sekiranya Encik Razis 'masih suka' baca blog saya, pesanan saya buat Encik Razis...
Kami harap Encik Razis sudah bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha dan berusaha untuk membela mangsa-mangsa yang teraniaya. :'(

 -----------

Tadi, teragak-agak nak tanya dan akhirnya saya bertanya juga status Ustazah Atika dengan Razis. Jauh di sudut hati, saya berdoa semoga Allah memelihara kesemua anak-anak yang teraniaya tersebut.

Sangat terharu, sahabat saya sangat tabah. Dia sentiasa tersenyum dan terus tersenyum melayani tetamu, mungkin nanar hatinya sudah lama jadi tiada lagi ruang untuk bermuram durja melainkan meneruskan perjalanan dengan mencari keredhaan Allah taala.

-----------
 
Ika, Insyirah tak sempat wida' tadi sebab tengok Ika sibuk.

InsyaAllah... Moga Allah rezekikan kita untuk bertemu lagi.


Salam ketabahan buatmu,
Insyirah.

Read more...

21 November 2012

Allah Bagi Pinjam

Bismillahirrahmanirrahim.

Hujung minggu lalu, saya didatangi tetamu istimewa. Sangat istimewa :)

Sentiasa, berbicara dengannya memberikan kesan yang mendalam kepada saya. Sentiasa, berbicara dengannya membuatkan saya tidak pernah jemu atau bosan. Sentiasa, berbicara dengannya mengundang muhasabah dan akhirnya saya mendapat sentuhan kasih, kasih dari Tuhan kerana menghubungkan saya dan dia.

Dalam keterbatasan waktu, saya mendengar ceritanya. Kisah sepupunya yang hamil anak kembar, masyaAllah. Seronoknya :) Namun, seorang bayi meninggal semasa 3 bulan dalam kandungan. Bayi tersebut mengecil (mengecut) di dalam rahim sementara bayi yang satu lagi terus membesar sendirian. Dan sepanjang kehamilan tersebut, sepupunya mengalami bleeding (pendarahan). Sentiasa bleeding. Allah... Bila usia kandungan sudah masuk 7 bulan, kembar yang sudah ada roh juga berhenti bergerak. Allah tidak izinkan untuk mereka (anak-anak tersebut) lahir ke dunia. Meninggal apabila sudah ditiupkan roh. Innalillahi wa inna ilaihirajiun.

Besar dugaan itu. Bagi yang melihat atau mendengar saja sudah tersentap hati, inikan pula mereka yang dipilih Allah untuk mendepani ujian tersebut.

Dan, tidak mustahil kalau Allah nak bagi 3 anak sekaligus, Allah boleh bagi. Kan?

Sebab, sahabat cerita sahabat ibunya keguguran sebanyak 2 kali dan kehamilan kali yang ke-3, Allah ganti sekaligus. Mengandung kembar 3! Masha Allah.

Semua Allah yang punya.

Kita akan menjadi SOMBONG apabila kita merasa sesuatu yang Allah pinjamkan sebagai hak kita. Kita akan menjadi BONGKAK apabila kita melihat sesuatu yang kita pegang adalah milik kita. Kita akan rendah diri dan sentiasa bersyukur apabila kita merasakan bahawa semua yang ada, MILIK ALLAH semata-mata.

Allahuakbar.

Ramai orang berbangga dengan ramainya anak, ramai orang berbangga dengan banyaknya harta, ramai orang berbangga dengan cantiknya fizikal, ramai orang berbangga dengan besarnya gelaran dan pangkat di dunia tanpa dia menyedari bahawa apa yang menjadi kebanggaan hanyalah pinjaman semata-mata.

Apabila kita mencari dunia, kita mungkin akan peroleh kesenangan tetapi tidak mungkin kita akan menikmati ketenangan :)

Apabila kita mencari akhirat, insha Allah kita akan menikmati ketenangan dan kesenangan. Kerana? Ketenangan di hati akan melahirkan kesenangan jiwa dan tubuh.

Ayuh... Fikirkan sesuatu untuk dilakukan, kalau tidak mampu buat ummah. Lakukan sesuatu yang bermanfaat kepada diri sendiri, dengan semua yang Allah pinjamkan... Masihkah mahu mendabik dada...?

Wallahua'lam.

p/s: Awak, syukran jiddan. Jazakillah khayr atas semuaaaaaaa yang awak buat. Moga Allah memberkati kehidupan awak, aamin ^_^

Read more...

18 November 2012

Habbah Baraka

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa bulan lalu, seorang sahabat yang dikenali melalui facebook menawarkan untuk membeli Habbatus Sauda' dari Mesir untuk saya. Punya la seronok, tak tahu nak kata :)

Jazakillah Yan!

Baru-baru ni suami maklumkan sahabatnya dari Mesir pulang ke Malaysia membawa Habbatus Sauda' dengan SANGAT BANYAK! Macam nak melompat, sebab seronok. Alhamdulillah, dahulu teruk semput dan bila istiqamah dengan habbatus sauda' saya dah boleh berlari mengejar Amir Solihin. Hehe. Sebab tu suka sangat bila orang tawarkan nak belikan dari Mesir. Teringat dulu, beli habbatus sauda' yang masih biji, bland sampai lumat dan beli kapsul 'Halagel' masukkan serbuk habbatus sauda' tu. Jadi ketagih nak masukkan serbuk habbatus sauda', sampai berlumba-lumba nak capat sasaran sehari dapat masukkan serbuk habbatus sauda' sampai 1000 biji kapsul.

Bila ada habbatus sauda' yang berbentuk minyak dalam kapsul, legaaaa... Sebab saya tak sanggup nak minum minyak habbatus sauda' walaupun kesannya juga lebih terasa, jadinya kapsul sangat membantu.

Haritu Amir Solihin kena jangkitan kuman pada paru-paru, saya potongkan kapsul habbatus sauda' tu dan titiskan minyaknya dalam sudu, suap kepada Amir Solihin. Alhamdulillah, Allah sembuhkan.

Nak kongsikan kebaikan dengan sesiapa yang berhajat.

Saya mewakili suami saya (sebab blog saya :P) membantu sahabat suami saya untuk mengumpul dana bagi pembedahan anak sahabat suami yang sakit jantung. Habbatus sauda' yang sangat banyak ini dibawa dari Mesir oleh sahabat suami, kami hanya nak bantu jual je. Moga dapat membantu si kecil tersebut dan juga sesiapa yang berhajat.

Belian secara RUNCIT atau BORONG selagi STOK MASIH ADA.


Sekotak RM 10 (ada 24 kapsul)
Postage Semenanjung RM 6
Postage Sabah/Sarawak RM 9

Setiap belian 10 kotak, percuma 1 kotak.

Pesanan boleh dibuat melalui facebook saya atau suami.

Jazakallahu khairan katsira.

Read more...

16 November 2012

Cita-Cita Yang Jauh

Bismillahirrahmanirrahim.


****

Ramai orang bercakap pasal isu murtad. Cerita sensasi barangkali. Tapi, yang terkilannya yang bersungguh-sungguh mengeluarkan pendapat dan pandangan tidak melihat 'cermin' dahulu. Cerita pasal akidah, tetapi diri sendiri (dan keluarga) tidak mengamalkan syariat Allah. Contoh paling mudah, aurat. Cerita pasal akidah, tetapi tidak bertudung, pakai baju ketat-ketat. Cerita pasal akidah, tapi tak solat dan boleh pula minum arak secara terbuka. Bahkan berbangga dengan dosa yang dilakukan, terang-terangan! Allah.
 
Beri komen pasal suasana orang yang berhijrah memakai jubah dan serban, siap perli-perli lagi katanya pakaian tersebut (berjubah dan serban) hanyalah adat dari Timur Tengah. Adat orang Arab, yang sibuk sangat nak ikut tu apasal. Pakai je lah baju melayu dan kain pelikat, takde masalah pun. Itu katanya. Kasihan, dia tak tahu kerana tak belajar pasal sunnah Rasulullah. Tapi, yang terkilannya dia sibuk mengata orang yang berjubah dan berserban 'budget bagus' sedangkan ahli keluarganya sendiri seronok menayangkan rambut ikal panjang di halaman facebook. Nak cakap pasal sunnah, tapi diri sendiri dan keluarga tak amal pun syariat Islam.
Satu yang bagus, masing-masing berkongsi info tentang Palestin. Pasal Syria, pasal Rohingnya. Tapi, kurang yang ingatkan pasal saudara kita di Thailand, di Chehnya, di Kashmir hatta di China. Ya, kita kurang info tentang mereka. Jadinya pasal Palestin, Syria dan Rohingnya kita jadi 'sedar'. Alhamdulillah. Cuma, yang terkilannya... Sibuk berkongsi pasal jihad, pasal orang syahid, pasal semangat. Status pun berdegar-degar, cumanya yang tak seronoknya bila yang ditulis tak seiring dengan apa yang dipraktiskan.

"Tegakkan Islam di dalam dirimu nescaya Islam tertegak di bumi."
Ya, menegakkan Islam dalam diri. Mengamalkan syariat Allah, ikut sunnah Rasulullah s.a.w :)
Bukannya tegakkan Islam kepada orang lain, sedang diri tidak mematuhi garis panduan yang Allah gariskan kepada kehidupan manusia. Ya...
Bagaimana mahu menyentuh roh-roh orang lain apabila roh sendiri tidak tersentuh dengan Islam.

****

Terharu melihat Amir Solihin ambil kopiah (yang sejak bayi memang anti sangat kalau kepalanya ditutup), pakai dan solat dengan gayanya. Takbir, mulut kumat kamit, rukuk, sujud & beri salam.

Meskipun solatnya hanya 1 rakaat dan tidaklah sempurna tetapi setiap kali melihat Amir Solihin solat tak kira waktu, saya jadi terusik.

Memang sejak bayi, saya suka solat dengan meletakkan Amir Solihin di bahagian kanan sejadah dengan harapan Amir Solihin tidak menangis kerana saya ada bersamanya. Dia melihat saya solat. Tetapi apabila mula bergerak, saya meletakkan di dalam walker. Setelah berjalan, Amir Solihin suka memanjat atau mengetuk kepala saya ketika sujud. Pernah saya tersungkur semasa rukuk kerana ditolak oleh Amir Solihin. Kadang kala saya kena berulang kali solat apabila Amir Solihin menarik telekung sehingga memperlihatkan aurat.

Tapi... Semuanya jadi manis bila teringatkan bahawa solat adalah peluang untuk merehatkan jasad, hati, minda dan emosi.

Ramai ibubapa lebih menekankan ibadah puasa di bulan Ramadan kepada anak kecil untuk melatih berpuasa tetapi tidak gigih melatih anak bersolat sejak kecil. Hasilnya, apabila dewasa kita boleh berusaha untuk berpuasa di bulan Ramadhan tetapi solat fardhu 5 waktu selalu dipinggirkan. Saya melihat suami mendidik Amir Solihin berwuduk sejak usianya 1 tahun 2 bulan, kerana kata suami.. Ciri-ciri penghuni syurga adalah orang yang sentiasa menjaga wuduk.

Allahuakbar.

Cita-cita kami bukan sahaja terhenti di dunia tetapi hajatkan anak-anak yang tergolong dari kalangan orang soleh, penghuni syurga.

Apabila melihat orang berdoa (di dalam tv) cepat saja Amir Solihin menadah tangan dan menyuruh kesemua orang turut serta menadah tangan.

Rabbi habli minassolihin.

Amin ya Rabb alamin.



(Saya dikatakan tiada matlamat hidup kerana tidak menyambung pengajian dan tidak bekerja, tetapi... Hakikatnya matlamat kami mahu lahirkan penghuni syurga) Allahu... Kadang kala kita kena 'tarbiyyah' hati sebelum mentarbiyyah akal untuk menjadi orang yang cerdik bukan sahaja di atas kertas.

****

Jaga solat.

Jaga aqidah.

Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami dan zuriat keturunan kami dikalangan orang yang menunaikan solat. Amin.

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

09 November 2012

Hapuskanlah Air Mata

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama meninggalkan sesawang blog, lama juga meninggalkan komuniti sosial facebook. Terusik rasa, tersentuh jiwa saat kami suami isteri dan anakanda Amir Solihin menziarahi teman suami semasa belajar di Mesir.

Pertamanya, saya tergamam seketika apabila isteri teman suami mengkhabarkan bahawa blog .:: HaRuMaN MaWaR ::. ini sudah biasa didengarnya sedangkan itulah kali pertama saya memperkenalkan diri, kali pertama bersua muka. Allahu. Usia blog ini sudah lama, penuh memori. Sejak saya masih anak gadis, menjadi isteri dan kini bergelar ibu. Alhamdulillah.

Tidak lama masa yang kami ada, suami bergegas mahu menunaikan solat Jumaat pula. Tapi, yang membuatkan saya sangat tersentuh apabila bertemu dengan anak sahabat yang sudah berusia 1 tahun 8 bulan tetapi saiz fizikalnya seperti lingkungan 6 bulan sahaja. Sejak dari awal kelahirannya, suami memaklumkan kepada saya mengenai kondisi anak sahabatnya yang mengidap jantung berlubang.

Tetapi, yang suami kongsikan hanyalah gambar-gambar anak sulung sahabat yang sihat :) Itulah pertama kali saya melihat wajah anak mereka yang kedua, saiznya kecil. Bila saya tanya apa perkembangan si kecil itu, ibunya menjawab oleh kerana saiz badannya yang kecil apabila mahu berjalan dan terjatuh, dia seakan-akan sakit sangat-sangat dan dia takut untuk berjalan.

Allah.

Bila saya melihat anakanda Amir Solihin yang orang di kiri kanan depan dan belakang geleng kepala kerana kelasakannya, saya perlu bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya. Saya merenung ke belakang, mengingatkan kembali kata-kata doktor bahawa saya tidak sepatutnya hamil, apabila usia kandungan semakin menghampiri tarikh kelahiran doktor memaklumkan bahawa anak saya mungkin meninggal dalam kandungan. Allah...

Bila direnung-renung kelasakan Amir Solihin, saya rasa luar biasa sungguh kehendak Allah dibandingkan dengan apa yang manusia fikirkan. Ajaib sungguh apa yang Allah rencanakan kepada kita.

Sekian kalinya. Saya menghembus nafas selepas-lepasnya...

Saya perlu kuat untuk mendaki anak-anak tangga ujian yang Allah berikan sebagai latihan kebergantungan kepada Allah. Bila menangis, suami hanya mampu menitipkan pesan.

"Bila kita bergantung kepada manusia, kita akan sedih."

Kebergantungan kita kepada Allah. Insha Allah, kita akan lepaskan semua kesedihan.

Moga Allah pimpin tangan dan lembutkan hati saya untuk menikmati tarbiyyah kali ini. Amin.

****

Hujan turun selebat-lebatnya. Ummi suap Amir Solihin makan nasi, macam biasa Amir Solihin meluru ke arah pintu depan nak tengok air hujan mencurah-curah :) 

Sekali ummi tengok Amir Solihin sedang riang gembira berlari dalam hujan yang sangat lebat! 

"Abi, Amir keluarrrr."

Fuh! Abi keluar tengok Amir Solihin bersuka ria main hujan dan elok main air yang mencurah dalam longkang.

Ya Allah. Mujur pagar bertutup. Kalau tidakkkkk... (sila sambung ikut imiginasi masing-masing). 

Hai anak bujangku.. Obses sungguh dengan air hujan. 

:)

p/s: Pengajaran, pastikan pintu sudah berkunci setiap kali selepas keluar-masuk rumah.








Ummi suruh Amir Solihin tidur, Amir Solihin dodoikan 'anak tiger' pula.


Ummu Amir

Read more...

13 October 2012

Round The Table

Bismillahirrahmanirrahim.

Sesuatu yang tidaklah dipupuk tetapi dicontohi oleh ayahanda dan bonda kami, erti perkongsian. Ianya menjalin kemesraan dan kasih sayang, selain itu ia juga memupuk rasa untuk kepedulian kepada orang lain. Sharing is caring, caring is loving. Berkasih sayang itu rahmat dari Ilahi.

Kalau makan di luar rumah, makan di restoran kebiasaannya kami adik-beradik akan memilih makanan yang berbeza, minuman juga berbeza. Apabila pesanan dihantar ke meja, maka ayahanda akan menjadi orang pertama 'tukang merasa' diikuti oleh bonda dan lain-lain. Boleh dikatakan setiap orang akan merasa juadah makanan dan minuman yang dipesan oleh adik-beradik yang lain. Kadang, seorang pesan air tembikai, seorang pesan air oren, seorang pesan air barli, seorang pesan sirap dan macam-macam pesanan. Seorang sahaja pesan sejenis air tapi setiap seorang boleh merasa kesemua pesanan atas meja.

Gelas yang berisi air akan berjalan dari satu orang ke satu orang. Pinggan yang berisi makanan akan bergerak dari satu orang ke satu orang, selesai satu pusingan meja maka 'Tuan Pesanan' akan kembali mengambil makanan atau minuman yang dipilih pada awal tadi.

Ya!

Kami seronok begitu. Seolah masing-masing mengumpul 'air liur' dalam satu hidangan yang bermula dengan ayahanda dan bonda, akhirnya masuk ke mulut kita pula.

Kebiasaanya, orang sekeliling akan memerhati gelagat kami yang asyik mencuit-cuit pinggan di depan dan sebelah. Potong makanan dalam pinggan sendiri, 'sedekah' pada jiran di depan, hulur pada jiran di sebelah. Minta pula hidangan jiran di depan, minta hidangan jiran di sebelah. Dapat merasa seorang sedikit. Lihat di kiri kanan, ada orang datang makan dengan keluarga tetapi anak-anak sibuk dengan gadget masing-masing, ibubapa pun dengan teknologi. Semua 'bisu' tak ada komunikasi, bila pesanan sampai... Ambil gambar, posing, makan.

Kadang, melihat gambar-gambar secara rambang dalam facebook. Banyaknya 'happy family' dengan tersenyum lebar, tersengih panjang bersama keluarga. Tapi, di alam realiti susah sungguh nak jumpa keluarga yang berkomunikasi dengan bahasa badan dan menggunakan bahasa lisan. Semua asyik dengan gadget!

Teringat pesanan Prof Muhaya, "Orang yang bahagia tidak menunjuk-nunjuk kebahagiaannya, orang yang tidak bahagia mahu orang lain melihatnya sebagai orang yang bahagia."

Ya. Ada kebenarannya. Dia tak bahagia tetapi dia mahu kelihatan bahagia dan mahu orang lain melihat dia bahagia, dalam hatinya mungkin sarat dengan duka? Allah.

Hidup bukan hanya lakonan, jangan jadikan kehidupan sebagai pentas. Usah menjadi pelakon. Bersandiwara membayangkan bahagia sedangkan hati langsung jauh dari nafas bahagia. Berusahalah menjadi orang yang bahagia dan membahagiakan. Untuk membahagiakan orang lain, kita terlebih dahulu perlu menjadi orang yang bahagia. Hanya orang yang mengenali diri sahaja yang bahagia dengan apa yang ada.

Wallahua'lam.


* Saya teringin sangat nak makan Roti Arab dan Kibdah, hanya satu kedai sahaja yang saya pernah makan sangat kena dengan selera saya. Itu pun masa mengandungkan Amir Solihin. Masa tu saya sangat keletihan, dan saya tak puas makan. Sejak akhir-akhir ni membuak sungguh perasaan nak makan Roti Arab dan Kibdah tersebut. Ya Allah, mudahkanlah... Kalau ada sesiapa yang handal masak Kibdah, boleh la share dalam komen resepi masak Kibdah ye! Bukan tak nak cari dalam internet tapi bila melihat gambar-gambarnya, takut meleleh air liur :P


Ummu Amir :)

Read more...

09 October 2012

Travelog Iman : What To Expect When You're Expecting?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Amir Solihin sudah berusia 1 tahun 2 bulan. Menulis, sesuatu yang saya saaaaaangat suka. Menulis adalah sesuatu yang mengikat saya untuk berfikir, merasa dan cuba memahami apa yang saya tulis sendiri. Dan, selalu saya ambil waktu untuk membaca apa yang saya pernah tulis selang 3 atau 4 atau 5 atau 6 tahun dahulu. Terkadang, ia membuatkan saya kembali merenung masa lampau untuk berjalan pada hari ini demi hari esok.

Sekadar perkongsian untuk memutarkan kembali ingatan dan menggembur iman sendiri.

Saya mengalami masalah tulang belakang sejak berusia 18 tahun, itu pun saya sedar sebab saya langsung tak boleh bangun dan pada masa itulah baru saya mengajak bapa ke hospital kerana sakitnya tak tertanggung lagi. Padahal sejak di sekolah menengah lagi saya sering mengalami masalah sakit belakang.

Pada usia 20 tahun lebih kurang 5 bulan selepas menjadi isteri, saya disahkan hamil. Alhamdulillah. Pada ketika itu, suami masih lagi menjadi pelajar sarjana sepenuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Rezeki dari Allah kami syukuri dan belajar mendidik diri untuk sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada.

Ketika minggu ke-12 kehamilan, semasa bangun dari duduk secara tiba-tiba saya jatuh terduduk. Sendirian di rumah kerana suami masih berkuliah sepanjang hari. Saya cuba bangun, tetapi kaki langsung tidak boleh digerakkan. Saya mengesot masuk ke bilik dan berusaha sekeras yang boleh untuk mencari posisi yang paling selesa. Air mata mula menitis, sakitnya saya lupakan apabila teringatkan anakanda di dalam rahim.

Saya hantarkan mesej kepada suami yang masih berada di kelas. Tamat kelas, beliau terus pulang ke rumah dan meminta bantuan dari sahabatnya, bertanya ke mana perlu membawa saya samada ke hospital atau klinik. Akhirnya sahabat suami dan isterinya membawa kami ke hospital swasta, isterinya sudah beberapa kali mendapat khidmat dari doktor sakit puan di sana.

Tiba giliran saya untuk berjumpa doktor, saya yang berkerusi roda dilihat doktor dengan pandangan yang saya sangat takut. Dan, bila doktor wanita tersebut membuka mulut, memang kata-katanya meruntun hati saya setelah saya ceritakan apa yang berlaku kepada saya.

"Awak tak sepatutnya mengandung..."

Saya dan suami hanya diam.

Sejak dari peristiwa ngeri tersebut, saya terus merahsiakan masalah sakit tulang belakang dari doktor yang merawat sepanjang saya hamil.

Awal-awal kehamilan, saya tidak mengalami muntah-muntah seperti rakan-rakan bakal ibu. Alhamdulillah. Saya cuma mengalami masalah sakit belakang yang sangat berat sehinggakan saya tidak mampu bangun, hanya terbaring dan semuanya diuruskan oleh suami termasuklah memandikan dan menyuap saya makan. Saya tidak mampu untuk duduk, dan suami terpaksa untuk melakukan kesemuanya untuk saya. Di sini, saya belajar banyak perkara.

Perkahwinan bukan hanya perkongsian senyum dan ketawa tetapi sama-sama menikmati air mata dan tangisan duka. Ia perkongsian seluruh kehidupan untuk sama-sama menghargai nikmat Allah iaitu nikmat berkasih sayang, ia tidak diberikan Allah kepada mereka yang belum bernikah. Maksudnya, perasaan halus yang mengikat dua orang manusia untuk sama-sama berlumba siapa yang lebih banyak memberi hanya kerana redha Allah. Ya, memberi untuk redha Allah.

Suatu ketika, mungkin kerana kesakitan yang amat pada tulang belakang... Saya menangis terisak-isak, suami hanya melihat dan kaku. Akhirnya, suami mengeluarkan bicara.

"Kalau tak tahan sangat, kita jumpa doktor ye."

Namun, tona suaranya memberikan kefahaman kepada saya pada sisi yang lain. Seolah memberi satu cadangan untuk 'berhenti dari meneruskan' kehamilan tersebut. Dan, saya berhenti menangis. Menyeka air mata yang tumpah. Diam, dan saya berjanji pada diri untuk tidak lagi menangis untuk meneruskan kehamilan ini.

Bertitik dari situ, saya tahu saya hanya ada Allah yang boleh meringankan sakit saya. Suami di depan mata tetapi dia tidak ada poket Doraemon untuk menyembuhkan saya, ibubapa yang jauh boleh mendoakan saya tapi kepada siapa? Allah juga. Semua minta kepada Allah, jadi kesimpulannya saya pun kena minta juga tapi dengan Allah :)

Trimester kedua kehamilan (3 bulan kedua : bulan ke-4 hingga bulan ke-6) saya sudah mula kurang sakit belakang dan mula menikmati 'night sickness', saya selalu muntah di waktu malam dan mula tidak ke dapur kerana bermusuh dengan bau-bauan di dapur. Tapi, selalunya saya abaikan saja apa yang saya rasa. Di minda saya, kalau kita rasa kita muntah masuk dapur maka muntahlah. Kalau kita tak rasa begitu, maka tidaklah begitu. Alhamdulillah, saya berjaya... :)

Saya seringkali batuk berminggu-minggu dan punca saya muntah selalunya kerana batuk berminggu-minggu. Doktor tak galakkan makan ubat kerana saya sedang hamil. Seorang doktor yang saya sangat sayang, Dr Maslinor. Kata-katanya saya pegang sehingga hari ini.

"Seorang IBU sanggup menahan sakit teruk macammana sekali pun untuk ANAK."

Bertitik tolak dari situ, saya rela menahan sakit dan hidup tanpa sebarang bantuan 'pembunuh kesakitan' (painkiller). Semasa menahan kesakitan yang teramat, saya selalunya melirih suntikan painkiller yang lebih cepat bertindak berbanding ubat (dalam bentuk kapsul) tetapi semasa menempuh fasa kehamilan, saya melupakan kesemuanya dan menikmati alam kehamilan dengan sesi pentarbiyyahan iaitu tawakal kepada Allah.

Saat usia kehamilan sudah memasuki bulan ke-7, doktor mengesahkan bayi di dalam kandungan berkedudukan songsang. Saya dirujuk ke hospital untuk pemantauan rapi. Dan pesan doktor, saya mungkin akan dibedah pada usia bayi masuk minggu ke-38. Tetapi, ajaibnya Allah. Setiap kali pemeriksaan di hospital, bayi berkedudukan normal. Ajaibnya lagi kuasa Allah, saya sentiasa merasakan bahawa bayi saya bukan dalam kedudukan normal tapi doktor tak nak percaya. Tambahan pula saya merasai keabnormalan pada diri saya yang menguatkan lagi naluri saya bahawa bayi saya bukan dalam kedudukan normal tapi tiada siapa mahu mempercayai naluri saya :)

Sehingga minggu ke-38, doktor membuat keputusan untuk diberikan ubat penggesa kesakitan. Induce. Saya memaklumkan kepada ibu dan dalam sendu tangisnya, ibu meminta saya supaya tidak diinduce kerana bimbangkan keadaan tulang belakang saya. Kata ibu, sakit induce luar biasa berbanding sakit bersalin yang hadir secara normal. Iyelah, dalam keadaan tidak sakit dipaksa sakit :)

Setelah kumpulan pakar O&G dan Ortopedik berbincang lama mengenai saya, akhirnya satu pasukan Ortopedik akan sentiasa 'stand by' dengan sebarang perkembangan saya, dan setelah seharian di hospital dengan insiden tangis yang tak sudah-sudah, akhirnya pakar O&G 'melepaskan' saya pulang ke rumah jam 7 malam.

Sangat 'menyeronokkan' pengalaman tersebut, dari jam 7 pagi - 7 malam Allah bagi rasa macammana nak serah tawakkal sepenuhnya pada Allah.

Saya tak henti-henti menangis. Tumpang solat di ruangan solat, staff nurse dan doktor yang bertugas hanya tersenyum melihat saya dengan kesan air mata.

Tiada siapa yang boleh bantu saya, tapi saya ada Allah :) Dia yang atur untuk saya.

Selepas ibu saudara bawa saya pulang ke rumahnya, (kerana suami terpaksa pulang bertugas) saya terbaring... Tak tahu nak cakap, penat sampai rasa nak tidur sehingga minggu depan :P

Penat iman. Teruk kena 'push' sampai Allah simpati, akhirnya Allah bagi juga apa yang saya mahu. Tidak di induce. Tetapi, sehingga minggu ke-40 pada hari dijangka bersalin kalau tidak bersalin, mahu atau tidak saya terpaksa menyerah diri untuk di induce kerana doktor kata bayi saya terlalu kecil bimbang ada masalah kesihatan, bimbang meninggal dalam kandungan.

Allahu.

Depress.

Saya turun berat badan. Tak lalu makan. Hari-hari berbual dengan bayi, suruh dia sabar. Keluar dengan cara yang terbaik. Minta dengan Allah, jaga kami berdua supaya tak jatuh kufur dengan Allah.

Tick tock. Hari yang dijangka bersalin. 11 Julai 2011. Langsung tak sakit. Saya bersedia menyerah diri dan berserah dengan takdir Ilahi. Mohon maaf dengan ibu mertua yang setia menemani saya, sepanjang perjalanan dengan suami saya pura-pura tabah. Bila dah sampai hospital, kaki dan tangan terasa sejuk semacam. Macam nak pergi berperang.

Tengok gelagat ibu-ibu yang menahan sakit mahu bersalin dengan pelbagai gaya. Saya istighfar banyak-banyak.

Senyum. Bagi tangan pada staff nurse untuk diambil darah. Bersedia untuk di induce. Minta maaf dengan suami. Masuk wad. Tunggu doktor datang nak induce.

Sekali... Doktor cakap,

"Kenapa perut awak pelik ni? Tadi dah scan?"

"Tak."

"Kita scan sekali lagi ye."

Doktor mengomel dengan staff nurse, saya buat muka comel. Bila dibawa ke bilik scan, saya senyum. Dalam hati, dup dap dup dap macam nak pecah jantung!

"Bila kali terakhir awak makan?"

"Sebelum masuk bilik scan."

"Ya Allah. Ye ke? Hm... Awak kene bedah hari ini juga! Bayi awak melintang. Tengok ni... tali pusat duduk di bawah. Kalau awak start contraction, rahim awak boleh pecah. Kalau dah start dilation, bayi awak boleh lemas sebab tali pusat keluar dulu. Alhamdulillah, air ketuban banyak. Talifon suami ye, awak kene bedah hari ni juga!"

Gurl!

Allahuakbar.

"Tapi, paling awal awak boleh bedah jam 7 pm sebab tadi awak makan. Awak kena puasa ye. Jangan makan lagi, start puasa sekarang."

Terus talifon suami, dan menangis. Lagi? Er...

"Nasib baik kita tak induce terus tadi." Doktor usap tangan saya.

Alhamdulillah. Perancangan Allah.

Tunggu... Tunggu... Belum juga, jam 9 malam. Saya laparrrrrr tak terkata! Nak minum pun tak boleh. Saya sangat tak selesa. Dan, bila doktor datang menjenguk.

"Eh, awak dah ada contraction ni."

Lagi blur. Disebabkan saya memang dijadualkan untuk pembedahan maka staff nurse tidaklah kerap mengganggu saya, tetapi pesakit yang di induce memang kerap sangat staff nurse menjenguk. Bila lalu depan saya, staff nurse mengusik "cantik baju awak!", memang baju pembedahan digelar "baju cantik". :)

Baru saya tahu, itupun doktor yang bagitahu. Rupanya sejak petang lagi saya dah mula contraction :) Masalahnya saya tak tahu itu contraction dan asyik mengadu dekat suami saya tak selesa. T_T

Akhirnya jam 10 malam, disebabkan faktor kelaparan saya tersengih dengan nurse yang sedang praktikal. Mereka berdua rajin melayan saya berbual. Asyik panggil saya 'kakak', bila tengok IC saya terus mereka gelak rupanya saya muda dari mereka. Saya minta nak minum air, tak diizinkan. Dan mereka minta saya bersabar kerana bilik pembedahan masih belum kosong, banyak kes 'emergency' pada hari itu. Pesakit 'normal deliver' ramai yang terpaksa 'emergency c-sect' kerana bayi lemas. Allah.

Saya ambil Quran, baca surah Maryam. Dah puas baring, saya duduk. Tengok orang kiri kanan yang kena induce, macam-macam aksi dan gaya. Akhirnya, saya pun tutup tirai dan habiskan masa dengan Quran. Takut Allah tarik nyawa masa pembedahan, tiba-tiba teringat nak mesej dengan suami. Kejap-kejap, mesej dengan Ummi.

Memang macam nak berperang. Samada mati atau hidup. Tak tahu.

Akhirnya, jam 1 pagi staff nurse datang bagitahu bilik pembedahan dah bersedia menanti saya. Cepat-cepat mesej suami, nak jumpa di luar bilik bedah. Dan dua staff nurse yang sangat baik, menunggu suami di depan pintu bilik bedah. Kali terakhir melihat suami, tengok puas-puas......

Memang macam nak berperang. Samada mati atau hidup. Tak tahu.

Masuk bilik bedah, selepas diberikan gas. Saya tak sedar apa. Sedar-sedar tengok jam dah 3 pagi, semua dah selesai. Perkataan pertama yang saya ingat. "Alhamdulillah, aku masih hidup."

Perkataan pertama yang dituturkan kepada staff nurse berbangsa India, "sakit."

Memang kesakitan.

Setiap 4 jam, saya diberikan suntikan morfin yang membuatkan tangan saya sangat lemah. Langsung tak boleh pegang bayi dengan tangan yang disuntik morfin.

Bila suami datang jam 8 pagi nak ambil placenta, baru saya minta suami dukungkan bayi. Belum dapat pegang sejak lahir pada jam 1.20 pagi :)

Selesai sudah kembara kehamilan Amir Solihin yang tamat pada jam 1.20 pagi, 12 Julai 2011.


Allahumma faqihhu fiddin.
Wa alimhul hikmatal wa takwil.
Amin.

Alhamdulillah, Amir Solihin seorang anak yang kuat menahan sakit. Kalau sakitnya sedikit, dia tidak menangis. Kalau jatuhnya diiringi tangis, maknanya ada lebam atau luka (berdarah). Allah bagi anak yang aktif, sangat kelakar dan menyenangkan hati kami.

Dahulu, saya cepat berubah emosi bila orang persoalkan keadaan mata Amir Solihin yang juling. Tapi, bila ada sahabat berkongsi... Saya istighfar banyak-banyak. Anak sahabat dilahirkan tanpa bebola mata. Allahu.

"Maka diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, nikmat yang manakah hendak kamu dustakan?"

Sepanjang kembara kehamilan Amir Solihin, dengan pelbagai aneka ragam dan rencam ujiannya. Pelbagai ketakutan yang dikhabarkan, pelbagai peristiwa mengundang jerihnya iman yang bergoncang dan digoncangkan. Akhirnya, kesimpulan dari sebuah kembara kehamilan ini... Saya belajar sesuatu dan mendapat jawapan dari Allah.


Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang TEPAT tentang hari kiamat. Dan Dia lah juga yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan hari esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuan Nya. (Surah Luqman ayat 34)

Canggih macammana teknologi, 3D ataupun 4D mahupun 10D sekalipun tidak akan dapat memberi pengetahuan yang tepat apa yang berlaku di dalam rahim seorang ibu.

Allahu akbar.


Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO