Post Ke-600 : Muhasabah Seorang Wanita
Bismillahirrahmanirrahim.
Suatu muhasabah.
Saya teringin nak pergi (nak sangat-sangat) Demi Palestin anjuran TV Al-Hijrah semalam, sampai siap war-warkan kepada keluarga ajak beramai-ramai pergi ke sana.
Saya cadang nak beli sepasang kasut kerana sandal saya tunggu masa je nak tercabut talinya.
Saya berhajat nak makan ayam madu di Jalan Tengku Abdul Rahman, sebab terpengaruh dengan provokasi bonda yang berulang-ulang kali cakap nak makan di sana tapi sampai sekarang pun bonda tak jejakkan kaki ke sana. Dah dekat 2 bulan sebut, saya pun jadi termimpi-mimpi ayam madu tersebut. *geleng kepala*
Saya nak jumpa kakak yang dah lama saya tak jumpa. Asyik-asyik suami beliau dan suami saya je bertemu, kami tak sempat-sempat lagi Allah nak temukan. :D
Semuanya saya nak buat semalam. Ahad. 23 Disember 2012. Sebabnya, suami cuti. Hari lain agak sukar untuk 'panjangkan langkah' lantaran tugas suami yang sukar untuk ditinggal-tinggalkan sewenang-wenangnya.
Tapi, semuanya tidak Allah tunaikan. Semuanya duduk dalam rancangan Allah. Saya dah hantar proposal pada Allah, tapi Allah tak luluskan. (Mungkin belum masanya lagi atau saya belum betul-betul perlu kepada apa yang saya mahu).
Dapat khabar anak saudara suami masuk wad di Hospital Kuantan. Terus kami buat keputusan ke Kuantan pada paginya, tiba di Kuantan pada waktu tengah hari dan selepas ziarah terus pulang semula ke kota.
Saya tak dapat apa yang saya mahu, sebab Allah ganti apa yang saya perlu.
1. Tiba saja di wad kanak-kanak, satu usungan jenazah kanak-kanak (tak tahu berapa usianya) berlalu depan kami. Tergamam seketika.
2. Melihat kanak-kanak menangis menahan sakit, ibu dengan sabar melayani kerenah dan ragam anak-anak kecil tersebut. Jururawat dan doktor juga bermanis muka, cuba memaniskan suasana kanak-kanak.
3. Tengok jururawat atau orang asing, anak saudara suami terus menangis. Dia trauma, kerana kedua-dua kaki dan kedua-dua tangannya (atas tapak tangan dan lengan) sudah lebam ditusuk jarum.
--
Hari ini saya berurusan sekali lagi ke klinik.
Saya lihat seorang ibu sungguh geram pada anaknya yang tidak well behave di klinik. Bahasanya sangat kasar. Tingkahnya juga agak kasar. Saya membatukan diri, terus melayani buku di tangan.
Hati sebal.
Bila Allah tak berikan anak, siang dan malam kita berdoa kepada Allah supaya berikan anak. Bila Allah berikan anak yang sakit, siang dan malam kita berdoa kepada Allah supaya beri kesihatan kepada anak. Bila Allah bagi anak yang sihat, berapa ramai diantara kita yang BERSYUKUR kepada Allah?
Berapa ramai yang BERDOA kepada Allah?
Saya berdepan dengan pengalaman yang sangat 'indah' dalam masa terdekat berkenaan dengan doktor.
Doktor wanita yang belum bernikah ataupun sudah memiliki anak, mereka berkata-kata hanya dengan ilmu medikal yang mereka pelajari. Tiada unsur rohani dan perasaan dalam bahasa.
Saya berurusan dengan doktor wanita yang Allah uji sukar dapatkan anak (3 kali keguguran, anak ke-4 hampir berhenti bergerak dalam kandungan dan terus dibedah, selepas melahirkan anak ke-5 terus ikat peranakan atas sebab kesihatan. Hanya 2 anak yang dia miliki), dia mengaplikasikan ilmu medikal sarat dengan pengisian rohani (pengertian tawakal sepenuhnya kepada Allah, bukan makhluk - doktor) dan perasaannya sebagai wanita dan ibu sungguh menebal.
Berurusan pula dengan doktor wanita yang sudah 7 tahun menikah tanpa Allah kurniakan anak, dia sangat-sangat mengajar untuk bersyukur kepada Allah, dia memaksa saya untuk tawakal dan redha dengan kehendak Allah. Dia menggunakan ilmu medikal dengan pengisian rohani disaluti perasaan belasnya.
Begitulah manusia.
Hanya yang merasai akan memahami.
Apabila Allah beri 'kenikmatan' itulah sebesar-besar ujian keimanan. Bagaimana kita bersyukur dalam limpah ruah nikmat dari Allah?
Terima kasih ya Allah atas segala kurniaan muhasabah ini. Moga kami akan terus mendaki tangga-tangga kehidupan dengan penuh pengharapan kepada Mu. Amin.
Wallahua'lam.
Setia mendengar kisah dan luahan hati doktor, kesannya suami menunggu hampir 40 minit sambil berperang dengan anak bujang kami. Tak apa, ada ibrah di sana untuk saya selalu muhasabah diri. Dan tidak semua mampu dicoret di sini :)
Ummu Amir
2 leaves:
Subhanaallah.. perjalanan hidup insan2 bergelar doktor penuh pengajaran. agar terus yakin dan percaya Allah segala2nya dalam apa2 jua.. syukran atas perkongsian ini :)
:)
Bukan semua doktor hanya menggunakan teori medikal semata-mata, bahkan ada yang bila bercakap... ya Allah, saaaangat kagum kerana mereka 'memaksa' kita untuk kembali kepada Allah. Bila mereka bercakap dari hati, telinga yang mendengar terasa macam kene ketuk-ketuk saja.
Alhamdulillah, sekarang ni doktor pun ramai yang hafizah Al-Quran :)
Mereka bukan sahaja merawat fizikal tetapi merawat rohani pesakit. Bila iman disegarkan, insyaAllah dah lupa kesakitan fizikal :D
Wallahua'lam.
Dan, doktor-doktor ni peluang dakwah mereka sangat luas kerana setiap hari jumpa orang ramai yang macam-macam ragam. :)
Post a Comment