Adat Berdagang
Bismillahirrahmanirrahim.
"Dunia ini tidak dimewahkan melainkan dengan ujian. Apabila kita berhajat kepada dunia, sebenarnya kita berhajat kepada kesusahan."
Suami ambil kesempatan, bercerita hadith Nabi kepada saya. Berulang-ulang kali ditegaskan "jadilah kamu seperti orang dagang."
Sambil bercerita, suami memberi penerangan kepada saya. Diantara tatacara menjadi orang dagang (dagang di sini bermaksud PERANTAU/MUSAFIR, bukan berdagang yakni berniaga) ialah :
1. Kita tidak duduk di sesuatu tempat permusafiran dalam tempoh yang sangat lama (bermastautin).
Kita semua ada kampung halaman, mungkin kita bermastautin (menetap atas sesuatu tujuan seperti bekerja atau belajar) selama beberapa tahun atau beberapa ketika di sesuatu tempat tetapi kita tetap juga sesekali pulang ke kampung halaman, atau setidak-tidaknya selepas tamat pembelajaran kita akan pulang ke kampung halaman.
Begitu jugalah orang yang 'berdagang' di dunia Allah, kita hanya berada di dunia untuk seberapa tempoh yang Allah telah tetapkan untuk kita. Dan pastinya, kita akan singgah ke perhentian Barzakh sebelum pulang ke kampung asal kita.
Ya, ramai orang menganggap bahawa Barzakh (alam kubur) adalah kampung halaman, tempat yang kita akan kembali nanti. Sesuatu yang kita terlupa, kita semua berasal dari Syurga Allah (terciptanya Nabi Adam dan Hawa adalah di dalam Syurga Allah). Syurgalah 'kampung' kita, dan matlamat kita untuk pulang ke kampung yakni Syurga bukannya berhasrat atau terlintas untuk transit sebentar di Neraka. Nauzubillah.
2. Kita hanya mengambil sebanyak-banyak peluang untuk mengumpul kebaikan yang ada sepanjang permusafiran.
Ada di kalangan kita contohnya menetap di Selangor tetapi kampung kita ada yang di Pokok Sena, Kedah. Ada juga yang asalnya dari Pulau Melaka, Kelantan. Ada juga yang asalnya dari Bukit Senggih, Melaka dan sebagainya. Tetapi, hidup 'berdagang' di Selangor kita hanya mengambil manfaat dengan bekerja ataupun belajar. Dengan bekerja, kita menikmati rezeki gaji yang diharapkan penuh keberkatan. Dengan belajar, kita menikmati rezeki ilmu yang diharapkan penuh dengan keberkatan. Pulang ke kampung halaman, kita bawakan buah tangan untuk kaum kerabat dan sahabat handai. Kita curahkan ilmu dan bakti kepada masyarakat di desa.
Begitu jugalah orang yang 'berdagang' di dunia Allah, kita hanya mengambil manfaat sahaja sebagai bekalan. Hitungan amalan kebaikan seperti berlumba-lumba menjadi kaya. Kaya bukan sahaja dengan amalan kebaikan semata-mata tetapi amalan kebaikan yang sahih.
Andainya amalan kebaikan diumpamakan seperti pohon yang indah, biarlah ranting-rantingnya kuat dan kukuh untuk kita berpaut. Bukan seperti pohon yang tidak dibaja, tidak dijaga dengan rapi yang menghasilkan ranting-ranting yang rapuh. Belum sempat untuk berpaut, sudah jatuh ke bumi.
Kerana itu perlunya kita kepada ilmu :)
Supaya, di hadapan Allah nanti kita mampu untuk berpaut pada dahan yang kukuh (amalan soleh yang sahih). Benar, kita menghantar borang kemasukan ke Syurga bukan dengan kelayakan amalan soleh tetapi rahmat Allah semata-mata namun Allah juga meletakkan kritiria tertentu, masakan Allah akan memberikan rahmat kepada hamba Nya di Akhirat kelak sedangkan hamba tersebut sedikit pun tidak menghormati hak-hak Allah di bumi Nya.
Pulang ke kampung nanti, mudah-mudahan bekalan saham Akhirat yang menjadi tabungan semasa di dunia boleh menjadi pembantu kepada kita.
3. Tetamu akan memuliakan Tuan Rumah.
Kita semua insya Allah pernah diziarahi dan menziarahi setidak-tidaknya sanak saudara semasa Hari Raya atau Walimatul Urus ataupun Kematian atau apa-apa bentuk majlis sekalipun.
Adat menjadi tetamu, kita dimuliakan oleh tuan rumah. Disambut dengan santun dan hormat, kita dilayan dengan baik. Barangkali kita pernah diucapkan oleh tuan rumah supaya selesa dengan kata-kata "buatlah seperti rumah sendiri," kerana tidak mahu kita merasa kekok. Namun, perlu kita ingat bahawa keberadaan kita di dalam rumah/majlis tersebut adalah dengan keizinan dari tuan rumah, perlulah kita menghormati tuan rumah dengan penuh sopan.
Sangat tidak sopan apabila kita memperlakukan rumah orang lain sepertimana kita berkelakuan di rumah sendiri, masuk ke bilik tanpa izin tuan rumah, masuk ke dapur tanpa rasa malu, makan tanpa dijemput dan sebagainya. Adab-adab yang kita jaga dan akhlaq yang kita pamerkan pastilah adab dan akhlaq yang terbaik boleh kita tunjukkan supaya tuan rumah juga selesa dengan kehadiran kita.
Begitu jugalah adat kita 'berdagang' di dunia Allah. Keberadaan kita di rumah Allah (bumi Nya) adalah dengan keizinan Allah semata-mata, ibubapa kita hanyalah asbab kepada keberadaan kita di sini. Boleh saja, Allah menghalau kita bila-bila masa. Jagalah adab dengan Tuan Rumah (Allah), jaga hak-hak Allah dan pastinya Tuan Rumah akan menyukai kehadiran kita di rumah Nya (bumi ini).
Janganlah kita merosakkan hiasan dan perabot yang ditatarias indah oleh Tuan Rumah, tasik yang indah, pemandangan yang memukau pandangan, cuaca yang dingin dan segala bentuk 'lukisan' dunia ini janganlah sesekali kita menconteng dengan tangan kita melakukan kemungkaran dan maksiat, janganlah dirosakkan kehidupan ini dengan tangan kita melakukan kerosakan (tebang pokok secara berleluasa, membuang sisa toksid ke dalam sungai/laut, membuat ujian senjata nuklear di bawah laut).
Kita hanya berdagang.
Maka, jadilah pedagang yang berhemah.
Bukannya memperdagangkan iman kita.
Ingat, kampung kita di Syurga sana.
Jom balik Syurga!
Wallahua'lam.
Ummu Amir
1 leaves:
Allahurabbi..muhasabah sebntr di sni..jzkk
Post a Comment