"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

02 August 2010

Ramadhan: Pelampung Ajaib


Bismillahirrahmanirrahim.


"Tolonggggg!!!"

Kedengaran suara gempita para penumpang berbaur dengan dentum petir, di atas laut yang bergelora di tengah pekat malam hujan turun dengan lebat, kapal mewah seberat 90,000 tan yang menghentam terumbu karang di tengah lautan itu pecah, berputar deras seperti mesin basuh dan membedal segalanya.

"Aduh… Sakitnya!!!"

Bunyi jerit kesakitan di mana-mana, rontaan mencari nafas begitu sukar, gelutan menyabung nyawa adalah segala-galanya kini, bunyi desir ribut berdengung serta ombak yang pecah terhempas dan serpihan objek pecah dari kabin beradun membentuk pusar hitam pekat dalam seribu gelora.

Penumpang termasuk anak-anak kapal bertarung dalam pusar itu hanya berfikir untuk menyelamatkan diri sendiri. Nun, di dalam peti besi di bilik-bilik mewah yang telah musnah tersimpan barang-barang berharga, namun tiada siapapun terlintas untuk ambil peduli.

Dalam keadaan getir ini mereka menggapai apa saja yang boleh untuk terus kekal terapung. Itulah satu-satunya jaminan keselamatan yang ada. Setiap mereka memikirkan tentang pelampung keselamatan yang boleh menyelamatkan mereka pada saat gawat ini. Alangkah mahalnya harga sebuah pelampung keselamatan bagi mereka kini, mungkin lebih mahal dari intan permata yang terkunci di dalam peti-peti besi itu!

Bagaimana nasib mereka kemudian? Di dada lautan segalanya terserah...

Kita sebentar tadi terjun dalam gawat penuh gelora, sebuah drama penuh cemas kisah antara hidup dan mati, kisah kapal yang pecah di tengah lautan dan perjuangan untuk menyelamatkan nyawa masing-masing.

Walau hanya dalam beberapa saat, kita dapat membayangkan betapa dahsyat dan gawatnya keadaan itu.

Mahkamah Allah

Namun, satu hakikat yang perlu kita sedar adalah, setiap kita bakal gawat yang lebih dahsyat dari apa yang telah digambarkan tadi. Ia adalah kegoncangan hari kiamat dan saat kita dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung segala amal yang telah dilakukan ketika di dunia.

Allah menggambarkan keadaan yang gawat itu melalui beberapa ayat di antaranya:

"Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu; sungguh kegoncangan hari kiamat adalah suatu kejadian yang sangat dahsyat.

Ingatlah pada hari itu kamu melihat kegawatannya, semua perempuan yang menyusui melepaskan apa yang disusui dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk tetapi mereka menyaksikan azab Allah yang sangat keras." (Al-Haj: 1-2)


Kegawatan hari tersebut adalah kerana setiap manusia akan berhadapan dengan mahkamah Allah. Seluruh amalan mereka akan dihitung, manusia akan diperlihatkan apa sahaja yang telah dilakukannya sama ada baik atau buruk.

Pada saat itu manusia akan berasa gembira seandainya ia menyaksikan kembali setiap kebaikan yang pernah dilakukannya ketika di bumi dahulu. Namun, ketakutan mengambil ruang apabila dipertontonkan kepadanya seluruh keburukan, dosa dan maksiat yang pernah dikerjakan dahulu. Setiapnya telah bersedia untuk menerima hukuman. Di dalam bebola mata pula telah tergambar betapa ngerinya neraka, tempat pembalasan yang menunggu bagi ahli maksiat dan pelaku dosa!

Dalam proses perhitungan, sekiranya seseorang itu melakukan dosa terhadap manusia, maka amal soleh yang dikerjakan dahulu terpaksa dijadikan kafarah (penebus). Pahala dari amal baiknta terpaksa diserahkan kepada orang-orang yang ia lakukan dosa ke atasnya. Keadaan ini digambarkan oleh Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. :

Rasulullah bertanya kepada para sahabat. "Siapakah orang yang muflis?"

Kami menjawab, "Orang muflis ialah orang yang tidak punya wang dan harta benda." Rasulullah menjawab, "Golongan muflis dari umatku adalah mereka yang pulang pada hari kiamat membawa pahala solat, puasa, zakat. Dia datang, sedang dia memfitnah, menuduh dan menumpahkan darah. Akan diambil segala kebaikannya bagi menebus dosa. Sekiranya habis kebaikan sedangkan dosanya masih ada maka akan diambil dosa orang lain lantas dicampakkan ke wajahnya lalu ia dilontar ke dalam neraka Jahanam." (HR Muslim)


Dalam sebuah syair Arab ada menukilkan:

"Setiap sesuatu yang hilang itu sukar tetapi seandainya seseorang itu luput amalannya pada hari kiamat itu terlebih sukar."

Nukilan syair ini menggambarkan tentang nasib manusia apabila mereka dibicarakan pada hari pembalasan.

Penyelamat Terakhir

Ketika itu setiap orang tentunya berharap agar ia terselamat. Satu-satunya yang boleh menyelamatkan mereka pada hari itu adalah amal soleh yang dikerjakan ketika hidup dahulu. Dalam masa yang sama, keadaan yang paling menakutkan adalah luputnya pahala amalan kerana terpaksa menebus dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Bolehlah dibuat anologi, memiliki ganjaran dari amal-amal soleh seperti memiliki barang-barang yang sangat berharga, namun apabila saat bertukar gawat pada ketika itu apa yang diharapkan bukan lagi barang berharga tetapi pelampung keselamatan bagi menyelamatkan nyawa dalam keadaan getir.

Apakah pelampung keselamatan bagi manusia pada hari akhirat nanti?

Di dalam sebuah hadis qudsi Allah ada menggambarkan: "Setiap amalan itu menjadi kafarah kepada seseorang hamba melainkan amalan puasa. Puasa adalah untuk KU dan Aku akan mengganjarinya." (HR Imam Ahmad)

Daripada hadis qudsi ini, Allah menggambarkan bahawa keistimewaan tertinggi ibadah puasa kerana ia menjadi penyelamat terakhir bagi seorang hamba Allah. Seluruh amalan lain akan menjadi kafarah tetapi tidak puasa!

Kerana itu kata Sufyan bin Uyainah, dalam begitu banyak kelebihan tentang puasa yang ditawarkan oleh Allah maka tawaran ini adalah yang terhebat. Jika begitulah kedudukan puasa pada bulan Ramadhan maka ia perlu dilalui dengan penuh keinsafan tentang fadilatnya, bersyukur kerana berpeluang menyambutnya serta melakukannya bertunjangkan iman dan bermatlamatkan taqwa.


Amat malang sekiranya peluang melalui Ramadhan kali ini dilakukan secara sambil lewa dan dilalui tanpa memenuhi tuntutannya. Sia-sialah tawaran hebat ini dan terabailah penyelamat terakhir bagi manusia. Akhirnya puasa jadi tidak berharga dan tidak berupaya menyelamatkan, seperti di dalam hadis tentang manusia muflis yang digambarkan oleh Rasulullah tadi. Ia seperti menyediakan satu pelampung keselamatan yang bocor, nanti akan tenggelam dan lemas segala harapan.

... Ahlen ya Ramadhan ...

Insyirah Soleha
Teratak 1052

1 leaves:

iema 3 August 2011 at 15:59  

Salam...Ummu Amir Solihin...
Mohon izin untuk copy artikel Ramadhan: Pelampung Ajaib....terima kasih atas perkongsian ini..

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO