Menghidupkan Hati
Bismillahirrahmanirrahim.
Salam 1 Ramadhan. Alhamdulillah. Pagi yang sejuk, indah bertemankan gema aliran sungai yang kuat di belakang rumah, kipas masih ligat berputar pada kadar paling perlahan. Hampir menyesakkan nafas, ana sendiri tidak tahu mengapa tetapi sedikit 'tersekat' apabila bernafas.
Dari awal pagi ana online, banyak perkara perlu dilangsaikan dengan harapan sebelum Ramadhan tetapi kita hanya merancang, Allah juga merancang dan Dia sebaik-baik Perancang. Teruskan juga melunaskan tugasan yang terhenyak di pundak, tanggungjawab itu sangat berat dan memenatkan. Tetapi terlalu kecil dibandingkan dengan sahabat-sahabat. Semalam berbicara dengan teman dari Mesir juga terasa bahangnya memikul amanah, selalu benar ana katakan pada teman-teman:
Kadang-kadang tak sampai hati menolak permintaan orang, maka diturutkan juga walaupun terkadang bertanya juga pada hati "mampu ke nak buat ni?", "sempat ke nak siapkan?", "boleh ke segerakan?" sedangkan semuanya beratur menanti giliran. Setidak-tidaknya ada juga yang perlu dikerjakan. Menggerakkan minda, moga tergerak juga hati dengan tinta-tinta yang menyerikan lagi mata. Sungguh pagi ini ana membalas dendam mengqada' banyak coretan teman-teman blogger dan juga forum.
Entah bahasa apa yang sedang Allah tuturkan pada ana, seakan hujan lebat di luar sana turut menyebabkan banjir di hati ana. Bukan sedih apa, cuma rentetan tulisan yang ana resapkan ke dalam hati memberikan sedikit suntikan halawatul iman yang menghidupkan kembali hati ana yang suram. Moga hadirnya Ramadhan membugarkan kembali kesegaran hati, dengan lauk pauk dan hidangan tarbiyyah sentuhan Allah tanpa diracuni makhluk yang dirantai, tarbiyyah Ramadhan mampu membina sahsiah yang gemilang. Ameen!
Status YM yang sedari pagi tidak bertukar, mudah-mudahan status YM juga memberi suntikan untuk bermujahadah. Hihihi, orang pertama yang diganggu ialah Kak Ida. Kesian Kak Ida, dia sedang bersiap-siap untuk sahur hinggakan kentangnya hampir kering dek kerana terlalu asyik bersembang dengan ana. Asifi ya ukhti jamilah :) Hihi, nanti Syira gantikan kentang akak tu tapi selepas akak balik Malaysia lah eh.
Kemudian, ana menyambung pembacaan qada' dari blog Ustaz Farid. Muskil kerana terkadang ana tak dapat nak buka blog beliau, walaupun tak kenal empunya blog tetapi ana suka baca blog beliau. Silent reader yang sudah menjadi talking reader, itu pun kadang-kadang je. Ada 2 artikel beliau yang menyentap nubari kala matahari mula menyingkapkan wajah dari lindungan awan kelam. Iya, benar-benar menyentap nubari. Seakan tersedar dari lena yang PANJANG!
Subhanallah.
Alhamdulillah.
Pada heningnya pagi bertemankan zikir cengkerik yang ceria dengan kehadiran Ramadhan, terasa luluh air mata insan sarat dosa. Astaghfirullah hal azhim. Habis mengqada' tulisan-tulisan yang penuh dengan isi, ana kembali mengintai ruangan forum. Ada sesuatu yang belum langsai, hati masih tak sedap dengan penangguhan tetapi program Ramadhan diteruskan tanpa menghiraukan perkara yang tertangguh. Tak nak kerana satu yang tersekat di rongga mulut dan di hijab dengan akal dangkal, segala perancangan dan usaha lain ditangguhkan sama.
Satu per satu, bernafas walaupun menyesakkan dada.
Membugarkan hati di kala Ramadhan, para ulama' sufi silam tidak meletakkan Ramadhan sebagai medan madrasah tetapi Ramadhan adalah fatrah imtihan! Rejab dan Syaaban adalah madrasah yang membina peribadi insani manakala Ramadhan adalah lapangan imtihan! Bukan lagi madrasah seperti kita, insan-insan yang penuh dengan keseronokan dan kelalaian. Besar benar jurang tetapi masih belum mengambil iktibar, sekadar cakap-cakap dan ucapan "Selamat Menyambut Ramadhan", yang dapat hanya lapar dan dahaga. Hati masih malas, hati masih tidur, hati masih nyenyak!
Roh kekeringan, kurus dan tak bertenaga lantaran terlalu banyak hiburan yang tidak mendidik jiwa. Arh, cemburu pula ana dengan kata-kata seorang teman. Hiburan buatnya apabila berjaya menghafaz al-Quran pada hari tersebut. Jadi, muzik hariannya adalah kalam-kalam Tuhan, jangan pelik andai merasa tenang hanya dengan berada disisi mereka kerana mereka penjaga al-Quran! Mereka menjaga hati agar tidak dicalari, agar hafazan tidak lari, agar ingatan tidak tumpul.
Nah... Andai Rejab dan Syaaban belum menjadi madrasah, anggap saja Ramadhan madrasah dan perlu mujahadah kerana 'study' akhir waktu untuk menghadapi imtihan. Selalunya, susah benar mahu cemerlang andai persediaan tidak mantap tetapi lupakan saja, biar teruskan usaha dengan gigih dan konsisten.
Allah Maha Penyayang.
"Awak pernah tulis artikel?"
Soalan tertera di YM. Ana masih ribut-ribut dengan kerja tergendala, huhu.
"Iya."
"Boleh kongsikan macammana awak menulis artikel?"
Monolog hati, sudah dia ni. Ana pula yang dijadikan tempat rujukan. Salah orang dah dia ni, perlu ditunjukkan ke jalan yang lurus. Hihihi. Tersesat jalan, usah dikata dia sesat tetapi bantu juga agar dia tidak terus sesat.
"Awak salah tempat bertanya. Saya bukan orangnya untuk jawab soalan ni."
"Kongsikan pengalaman dan ilmu awak saja."
Hati masih berdetak detik, nak cakap apa ye. Ana tak tahu. Ana tak pandai. Kalau dah tahu tak tahu, jangan buat-buat tahu. Sesat lagi menyesatkan pula.
"Menulis dari HATI. Picisan ilmu yang ada, apabila dikepilkan dengan kasih sayang dari HATI, insya Allah."
Ana tidak berhajat mahu memiliki hati sesiapa, tetapi ana menulis untuk kepuasan JIWA sendiri. Menulis dari HATI sendiri, dengan harapan meresapi hati pembaca yang sudi.
Wallahua'lam.
Hari ini, kecewa kerana belajar Arab tanpa menggunakan black board (sekarang guna white board je la. Hihihi) Terima kasih pada ninja yang suka lompat sana lompat sini kerana mengajarkan satu ilmu untuk ana. Semoga proses menjadi ninja yang lebih hebat, lebih tangkas dan lebih banyak skill. Hihihihi... Lalalalaaaaaa... (^_~)
0 leaves:
Post a Comment