Nasihat Dari Abi
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, hujung minggu lalu (Sabtu dan Ahad) kami pulang ke kampung menziarahi nenda tersayang. Nenda kelihatan semakin uzur tetapi kehadiran kami meriuhkan suasana sepi membuatkan nenda gembira. Kami sampai di kampung semasa nenda sedang solat Zohor, nampak nenda sudah boleh solat berdiri. Setelah membersihkan diri dan solat Zohor, ana merebahkan badan pada kerusi dan mencapai surat khabar. Nenda duduk di sebelah ana, nenda seorang yang pendiam jadi analah yang akan menjadi seperti bertih jagung untuk mengajak nenda berbicara. Hihihihi...
"Insyirah pergilah makan."
"Kenapa, tok nak makan ke?"
"Emh... Lapar juga ni."
"OK, jom kita makan!" Cecece, semangat betul ni.
Ana pun melangkah ke dapur dan ceduk lauk, hihihi. Sendukkan nasi untuk nenda dan kami makan bersama-sama. Sudah beberapa hari nenda tak makan nasi kerana hilang selera makan, tambahan pula usianya yang sudah berangka 71, nenda selalu merasa lemah. Syafakillah jaddatun habibati :) Berselera sekali nenda makan bersama ana, sedang abi baring di ruang tamu, ana melayan cerita nenda. Sesuap demi sesuap nasi masuk ke mulut nenda, hamdalah habis. Berkat makan dengan ana la tuh.. :P Nenda menambah nasi sedikit lagi, untuk 'melayan' nenda makan, ana pun tambah nasi lagi.
Sebenarnya, sebelum makan lagi ana sudah kekenyangan makan kuih dalam kereta. Tetapi, kalau ana tak makan dengan nenda khuatir nenda pun tak mahu makan juga. Jadi, inilah penangannya. Mujur la juga ana boleh makan umpama si lapar, jadi... Sedikit sebanyak nenda merasakan ana sedang lapar. Nenda tambah nasi supaya ana tambah nasi sedangkan hakikatnya ana tambah nasi semata-mata untuk menemani nenda. Mujur perut ni boleh menganjal yer. Huhuhu...
Petang sedikit abi ajak makan nasi, maaf la abi. Ana kekenyangan dan tak mampu lagi mengisi ruang-ruang usus yang penuh. Sampai malam ana tak makan gara-gara terlebih kenyang, ya Allah... Bagaimana la anak-anak Palestin ye? Tetapi, bila ana ceritakan pada abi situasi ini, abi cakap;
"Sebenarnya kita balik kampung bukan Tok nak bersembang sangat dengan kita, dia nak tengok muka kita je. Bila kita balik kampung, dia seronok lupa sekejap yang dia tak larat. Nanti abi dengan ummi dah tua, sekadar nak tengok muka anak-anak je. Abi pun nanti nak jadi macam arwah Wan, duduk je dekat masjid. Lepas Subuh minum di kedai kopi, pergi pasar beli ikan, balik rumah lepas Dhuha nak tidur sekejap nanti Zohor pergi masjid lagi."
Ana tergelak dengan cerita abi, macam-macam la abi ni. Yang paling menggelikan hati adalah pada ayat "lepas Subuh minum di kedai kopi" sebab tak pernah pula abi minum kopi cuma sesekali bila ke kampung ummi, kopi adalah minuman yang paling utama. Hehe, kami jarang minum kopi tetapi kicap tu dah umpama kuah bila makan nasi. (Haih, susah juga ni) Teringat satu ketika di kampung, sewaktu di rumah Mak Lang. Mak Lang marah anak-anaknya yang tuang kicap dah macam kuah jadinya.
"Hang makan la kicap banyak-banyak, satgi hitam."
Abi yang dengar bicara Mak Lang terus mengusik;
"Anak-anak semua makan kicap, Fadilah tu lagi la 'hantu kicap' elok pula putih."
Mak Lang ketawa sampai keluar air mata, huhuhu. Abi memang selalu macam tu, ada saja pe'elnya yang kontra dengan bicara orang lain hinggakan terjadi satu debat antara Mak Lang dan anaknya yang nak juga tuang kicap banyak-banyak.
Pada hari Ahad, ana dan abi ke Sungai Petani. Saja ke Tabung Haji untuk urusan update buku, ana tunggu dalam kereta sementara abi berurusan di Tabung Haji. Masuk dalam kereta, abi cakap;
"Dorang pulangkan semula RM90 masa daftar haji tu."
"Kenapa?"
"Masa daftar dulu kena bayar RM90 tapi sekarang prosedurnya kalau daftar dah free jadi pulang semula duit RM90 yang dah bayar haritu (potong melalui akaun)."
"Tahun depan kita buat umrah lagi nak?"
"Ha... Ni la masalahnya. Asal pergi Tabung Haji je 'gatal hati' yer? Kalau duit simpan dalam akaun bank (biasa) selalunya gatal tangan nak mengeluarkan tapi bila dah simpan dalam Tabung Haji jadi gatal hati pula."
Ana tersengih dengan perkataan 'gatal hati'. Boleh pula hati jadi gatal sebab nak ziarah Rasulullah dan kaabah :P
Ana tengok buku akaun Abang Cik, ya Allah. Gaji bulanan di potong terus masuk ke dalam akaun Tabung Haji. Ana hitung-hitung, kalau macam ni punya kesungguhan tak mustahil 5 tahun lagi Abang Cik boleh menunaikan Haji dengan simpanannya (kalau dia tak keluarkan la). Waaaa... Jeles! Jelesssss!
"Abang Cik nak daftar haji tak sama-sama dengan abi?"
"Emh, belum bersedia lagi la. Kalau umrah tak pe."
Petang hari itu panjang lebar abi terangkan pada anak-anak (punya la nak suruh daftar haji, hik hik hik) bukannya daftar terus pergi melainkan pergi dengan pakej yang mahal. Kalau muassasah, insya Allah nama anda bakal tersenarai pada tahun 2014 (itu pun 2 tahun yang lepas). Tapi sekarang ni tak pasti la pula kalau daftar nama nak tercampak tahun berapa. Selalunya Tabung Haji mengutamakan mereka yang tak pernah menunaikan haji, warga emas dan simpanan sudah cukup.
Dalam perjalanan balik dari Sungai Petani ke kampung, abi bertanyakan khabar anak-anak angkatnya seramai 6 orang. Dah macam soalan rutin pula, hihi. Kemudian, cerita punya cerita maka keluarlah cerita 20 tahun yang lalu. Jeng jeng jeng...
"Masa muda dulu kan, ummi dan abi nak balik kampung. Naik bas lagi, masa tu ada Abang dengan Abang Cik je. Syirah belum wujud lagi (huhu). Abi dan Abang duduk seat depan (2 seat) dan ummi dengan Abang Cik di seat belakang. Masa tu Abang Cik kecil lagi. Ummi duduk bersebelahan dengan seorang perempuan, nampak islamik la. Pakai jubah dan tudung labuh (zaman dulu kan payah bebenor nak jumpa perempuan pakai jubah+tudung labuh).
Dia membuat pengakuan pada ummi. Umurnya sudah awal 30-an, tetapi belum berkahwin. Sekitar 20-an, apabila dirisik dia menolak kerana hati berkobar-kobar untuk infaq pada perjuangan. Iye la, bila kahwin ni kan susah nak 'bergerak' dan terbatas lebih-lebih lagi kalau suami berlainan fikrah. Nak keluar kena minta izin, nak pergi sana sini kena izin suami dulu. Jadi, dia memilih untuk berjuang dan meninggalkan segala keinginan untuk berumah tangga. Tapi, bila dah berumur sekitar 30-an, hati sangat la sunyi. Tak berteman, tanpa anak-anak. Bila tengok orang lain, rasa sayu dan sedih sebab tak merasa semua nikmat adanya anak sendiri."
Ana terpaku. Bicara abi tak pernah terlintas di fikiran ana.
"Ye ke? Ingatkan orang tak kahwin ni seronok sebab enjoy, boleh ke sana sini, tak payah duit beli lampin, susu semua." Ana cuba diplomasi.
"Memang zahirnya nampak seronok tapi hati dia tetap kosong tanpa anak-anak. Iye la kan, perasaan orang ada anak dengan orang tak de anak ni lain tau! Kalau kita jumpa kawan-kawan lama sekalipun orang AKAN bertanya 'dah berapa anak?' orang TAK AKAN tanya 'gaji dah berapa?'. Betul tak?"
Ana angguk. Setuju benar dengan perumpamaan dari abi.
"Bukannya kita menyuruh orang berpacaran (bercinta) tetapi, kadang-kadang abi pelik juga dengan muslimat haraki yang berjuang hingga meninggalkan keinginan untuk berkahwin. Memang kadang-kadang bila dah berkahwin tak boleh nak bergerak lincah macam single dulu tapi masa muda memang tak rasa apa, dia akan jadi 'kosong' bila umur meningkat 30-an. Memang duit banyak tapi tetap hatinya tak terisi dengan semua duit-duit tu."
Money is not everything but without money we are nothing? Kita perlu mencari duit tetapi dengan duit kita tak mampu nak beli kebahagiaan.
"Tapi abi, sometimes kan kalau dah kahwin hidupnya lebih susah dari sebelum kahwin. Dapat suami yang kaki minum, kaki judi, tak peduli rumahtangga. Lebih baik tak payah kahwin daripada kahwin dengan lelaki macam tu. At least duit nak 'bela' suami boleh juga hulur pada mak ayah kan." Ana cuba memberi contoh dari sekeliling.
"Betul. Sebab tu selalu solat hajat supaya dapat jodoh yang baik, istikharah mencari petunjuk Allah dan akhir sekali tawakal saja. Kita dah usaha. Dalam keghairahan nak cari yang baik, sama kan juga usaha ghairah nak jadi yang lebih baik." Abi memberi peringatan.
"Iya, iya... hidup untuk MENJADI bukan MENCARI. Kalau semua orang MENJADI kan mudah urusan MENCARI." Heheheh... Prinsip yang ana pegang dari dulu.
Pernah Ummu Uwais bercerita pada ana, beliau mula berdoa untuk mendapatkan jodoh yang terbaik disisi Allah dari sudut agama, hidup dan akhiratnya sedari berusia 15 tahun. Munajatnya sepanjang 8 tahun akhirnya Allah makbulkan dengan dikurniakan suami soleh pilihan ibubapa, sebenarnya adalah pilihan Allah untuknya.
Kadang-kadang bila bicara soal rumahtangga orang pantas mencantas bicara dengan kata-kata;
"Ish engkau ni dah gatal sangat nak kahwin la tuh."
Ana memang tak puas hati dengan orang macam ni. Mulut ni kadang-kadang terlepas juga. Pernah ana tanya pada ukhti Atiqah;
"Kak, orang selalu cakap 'engkau ni dah gatal sangat nak kahwin ke' kalau bicara soal perkahwinan. Habis tu, semua yang kahwin tu gatal-gatal belaka ke?"
Ukhti hanya senyum dengan soalan ana. Yang diucapnya; "...adik... adik..."
Mana yang gatal, yang kahwin gatal ataupun yang berdua-duaan dan sedang menggaru-garu kegatalan masing-masing? Masyarakat sedang lebih RELA anak-anak gadis dibawa merata-rata dek jantan daripada memberi restu mereka berkahwin sedangkan menjaga keturunan itu satu perkara yang teramat penting dalam Islam.
Teringat lagu Rabbani;
Cari... Cari... Carilah,
Pasangan hidup betul-betul oh kawan,
Bahagia bersemi rumahtangga aman harmoni...
Ana menyusun ayat, bertanya kepada abi beberapa soalan yang sangat peribadi. Sambil bertanya, mata ana melilau kiri dan kanan, depan dan entah apa-apa.
"Kenapa tanya tak tengok muka abi?"
"Eh eh abi... Jambatan ni dah besar la."
"A'ah, cakapkan sekali dalam sungai tu ada air."
Ouch... diam dan pura-pura macam biasa. Yuhuuuuu...!
Cerita tentang anak, hehehe. Petang Sabtu ziarah Mak Uteh yang baru bersalin. Masih dalam pantang lagi, anak ke-5. Damia Qaisara. Huhu, geram je tengok baby tapi kecil sangat. Ana suka la nak gatal tangan buka sarung kaki & tangan baby, nak ukur tapak kaki dia dengan jari ana. Tengok jari Damia masya Allah panjang-panjang. Malangnya camera tertinggal di rumah. Sadisss!
Kalau kita sedih, cuba-cubalah pandang muka baby. Insya Allah kita akan rasa kerdil sangat, mungkin biasan dari baby kerana mereka bersih tanpa palitan dosa. Makhluk fitrah! Namapun 'cahaya mata' atau juga 'cahaya hati' kan, hehe.
Adakah masih istiqamah memboikot?
0 leaves:
Post a Comment