"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

07 March 2011

Indal Fajri Kuntu Usolli

Bismillahirrahmanirrahim.

Nak salahkan diri sendiri, akhir-akhir ini sangat malas menulis dan ana kemaruk untuk memasak. Semalam, selepas siap masak untuk tengah hari ajak ummi buat bengkang roti tapi ummi tengok ana terus ummi cakap lain kali. Ish, tengah semangat nak masak ummi cakap lain kali je, ummi minta ibu saudara buatkan bengkang roti hari Khamis ni untuk ana, mungkin ummi dah perasan akan tabiat ana sejak akhir-akhir ini kemaruk memasak kemudian tak makan. Entah, bila dah siap masak tak rasa nak makan walaupun sebelum tu bersemangat nak makan.

Maka, apa yang dimasak sengaja dikongsikan di dalam facebook kepada zauji yang nun jauh di mata. Fikir-fikir, 'jahat' juga perbuatan tu tapi bila fikir-fikir lagi seronok buat ramai orang terliur sebab diri sendiri dah tak terliur dengan apa yang dilihat. Haish... Sangat 'tak senonoh'.

Sejak akhir-akhir ni sangat gemar mendengar lagu Indal Fajri Kuntu Usolli (Di Waktu Subuh Saya Sering Bersolat) mungkin kerana lagunya yang begitu ceria ataupun kerana ia nyanyian kanak-kanak, dan yang pastinya kerana zauji selalu menyanyi lagu tu pada ana. Setiap kali menyanyi, mesti ada aksi yang mencuit hati. Maka, selalu pula mendengar dalam youtube! Tambah pula video yang ada dalam youtube sangat sweet dengan kanak-kanak yang comel :)

"Kak, setiap kali dengar lagu ni mesti teringat pada akak dan khalifah-khalifah kecil."

Ana letakkan sekali video lagu pada ukhti dan mengharapkan supaya ukhti boleh ajar khalifah-khalifah kecil menyanyi lagu tersebut. Hehehe... Kanak-kanak suka menyanyi dan paling suka saat belajar mereka boleh menyanyi.



Implikasi dari 'addict' pada lagu kanak-kanak ni, seolah menjadi satu hiburan pula buat ana. Mana tidaknya, tidur lewat pun sebelum subuh 'kanak-kanak dalam ni' dah gerak umminya suruh bangun bersiap untuk solat subuh. Masya Allah, banyak nikmat sepanjang proses kehamilan ini. Sebelum menempuhi fasa kehamilan, hanya mendengar dan membaca catatan orang lain tetapi bila Allah beri kesempatan tersebut ternyata ia tidak mampu dicoret dengan bahasa.

Dari dulu, sebelum berkahwin. Secara khususnya sejak dari sekolah menengah, sejak mengenal usia baligh sudah impikan mahu anak-anak yang cintakan Quran, menjadi huffaz Quran. Maka, salah satu usaha tersebut Allah 'permudahkan' dengan menghadiahkan seorang suami yang hafiz Quran maka keistimewaannya bila tak boleh nak lelapkan masa (awal peringkat kehamilan dulu susah untuk tidur malam) maka zauj akan membaca kalam-kalam Allah sehingga ana tidur atau zauj tertidur.

Permulaan untuk membina anak-anak yang huffaz pastilah bermula dengan tarbiyyah ibubapa. Maka, sedari awal diusahakan untuk mengajar diri agar konsisten dengan al-Quran. Kadang-kadang tersekat di tengah kota maka kami hiburkan diri dengan alunan al-Quran sebagai 'radio' yang menyenangkan.

"Rasulullah sentiasa memberi keistimewaan kepada mereka yang menghafal al-Quran sejak dari hidup sehinggalah mati. Antara yang memahami al-Quran dengan yang lebih memahami al-Quran maka Rasulullah melebihkan orang yang lebih mendalam pengetahuannya tentang al-Quran."

Awal perkahwinan dahulu, zauj selalu ajarkan al-Quran. Mengajar Khulasoh al-Quran kepada ana, bila dah kenal baru boleh bercinta kan? Bukan sekadar tahu makna ayat tersebut tetapi tahu jalan cerita dan kenapa ayat tersebut diturunkan.

Pernah seorang sahabat kongsikan video bayi di dalam rahim ibu yang sedang aktif kemudian bergerak dalam keadaan bersujud tatkala diperdengarkan kalam Allah. Masya Allah! Hebatnya ayat-ayat Allah sehingga bayi yang tak tahu apa-apa bersujud di dalam rahim ibunya.

Ana teringin untuk merasainya, maka diusahakan bila membaca al-Quran sambil 'memerhati' si kecil yang sedang berehat di dalam rahim. Benarlah, betapa istimewa dan hebatnya al-Quran yang Allah turunkan kepada Rasulullah buat panduan ummat sehingga pada ayat-ayat tertentu dalam surah tertentu si kecil memberi tindak balas yang sangat menghiburkan. Takjub dengan ayat Allah...

Bacalah al-Quran setiap hari 1 juzuk. Kalau tidak mampu, bacalah separuh juzuk. Kalau tak mampu, bacalah sekadar sehelai atau satu muka surat. Kalau tak mampu, memadailah dengan satu ayat.

Kalau tak mampu juga, cukuplah hanya dengan memandang al-Quran dan tanyalah kepada diri sendiri "Ya Allah, apakah dosaku sehingga aku tidak dapat membaca ayat Mu?"


Ana sangat sedih dan hati sangat runtun tatkala melihat jenazah di depan mata tetapi keluarga dan sanak saudara si mati langsung tidak 'menghiraukan' jenazah tersebut kerana masing-masing lebih enak dengan cerita hal duniawi. Tiada anak yang membaca al-Quran, tiada saudara yang mengalunkan kalam Tuhan. Jasadnya kaku, tiada lagi amalan yang mampu meneruskan sahamnya kecuali ilmu yang bermanfaat pernah disebarkan, jariah yang berterusan dan doa dari anak yang soleh/ah untuknya.

Masyarakat sibuk untuk mengajak orang bertahlil ke rumah apabila ada kematian, tetapi malangnya mereka mengharapkan orang-orang masjid 'memberi sedekah' pahala kepada si mati sedangkan anak-anaknya tidak mahu 'memberi hadiah' pahala buat si mati. Bagaimanalah kita mengharapkan daulah islamiyah tertegak andai perkara 'picisan' ini pun dianggap tidak penting oleh mereka.

Kita selalu cakap kita sayangkan seseorang, maka kita ungkapkan bicara romantis buatnya, bicara menusuk kalbu merasuk jiwa. Sedang hakikat sebenarnya kita bukan saja tidak menyayanginya malah kita 'membenci' dia yang kita sayangi. Masakan tidak 'benci', kalau sayang pasti kita akan sama-sama mengajak orang yang kita sayang masuk ke Syurga atau setidak-tidaknya berusaha tidak 'membenci'nya di Akhirat kelak. Saling tuduh menuduh antara satu dengan yang lain di hadapan Allah.

Ana tidak punya wang yang banyak untuk dilaburkan di dalam Indeks Saham Akhirat, tetapi ana tahu pasti punya sejuta jalan Allah barikan untuk melabur dan menjadi orang yang kaya di Akhirat.

"Harta yang menjadi milik kamu yang sebenar ialah harta yang kamu belanjakan ke jalan Allah." -Saidina Ali

Paling tidak mampu untuk menambah Saham Akhirat buat ibubapa, cukup sekadar kita menghadiahkan bacaan al-Quran dan mendoakan semoga Allah menghadiahkan pahala tersebut buat ibubapa. Bukankah itu yang ibubapa kita perlukan setelah jasadnya kaku tidak lagi bernyawa? Bukan tahlil, bukan itu dan bukan ini dari orang lain tetapi dari ANAKNYA sendiri yang menjadi pelaburan buatnya!

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari kemungkaran"

Bila saat seseorang yang melaksanakan solat melakukan maksiat, maka bukan salahkan solat tetapi salahkan insan tersebut yang lalai dengan solatnya. Kualiti solatnya yang tidak cemerlang menatijahkan akhlaqnya yang rosak. Maka, yang perlu dibuat ialah memperbaiki solat dan terus meningkatkan kualiti solat kerana solat PASTI akan mencegah manusia dari melakukan kemaksiatan.

Indal fajri kuntu usolli
Usolli lillahi taala
Adzkuru syauqon
Ismallahi hubban ikroman ijlala

Wallahua'lam


Insyirah Soleha

2 leaves:

anispauzi,  3 April 2011 at 17:35  

salam kak insyirah:)
love you posts..

Imran 4 June 2014 at 17:48  

artikelnya cukup bagus untuk menambah pengetahuan. Terima kasih banayk.... By. Imran

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO