"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

30 July 2010

Program SPIES SISWA

Bismillahirrahmanirrahim.


Makluman Program S.P.I.E.S SISWA

Tempat : TNB Integrated Learning Solution (ILSAS)
UNITEN Bangi


Tarikh : 7-9 Ogos 2010

Bayaran : PERCUMA


Maklumat lanjut akan diberitahu dari semasa ke semasa.

Urusetia Impact Learning Resources:-
Keterangan lanjut sila hubungi

012-2141654 (Encik Mohd Johar)

03-87364863 (Impact Learning Resources)

017- 2671445 (Kak Aina)


OBJEKTIF PROGRAM

1. Melatih peserta tahan lasak dalam ujian kehidupan secara rohani, emosi, intelektual, fizikal dan sosial.

2. Membina semangat peserta agar berani dan berketrampilan.

3. Membentuk sifat pertanggungjawaban kepada masyarakat dan alam.

4. Melatih dan menggilap sifat kepimpinan yang kritis dan kreatif.

5. Membina skill kepimpinan di kalangan peserta.


SASARAN PESERTA

Bakal Mahasiswa/mahasiswa sedang belajar atau tamat dari Mesir


KEPERLUAN PESERTA

1. Pakaian Formal

2. Pakaian ibadah (untuk muslim)

3. Pakaian Sukan

4. Peralatan keperluan diri


KENDERAAN : Sendiri


(klik gambar untuk paparan lebih jelas)

Read more...

29 July 2010

Diuji Dengan Kalam Sendiri

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa mesej dari facebook terbiar, email juga ada yang tidak dibalas hatta sms yang masuk juga hanya dibaca tanpa memberi apa-apa balasan. Apabila ada yang 'berhajat', maka ana hanya diam dan berfikir-fikir. Apabila tulisan hanya sekadar bertanya khabar, ana membalas seringkasnya.

Apabila kita sendiri di uji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia.


Tersenyum. Membaca kembali apa yang pernah ditulis, membelek mesej-mesej dari suami dan tersenyum. Duduk sendirian, meneruskan pembacaan dan tersenyum. Bila berfikir, duduk diam-diam dan tersenyum. Berjalan, tersenyum. Senyuman akan membuatkan kita akan berfikir betapa singkatnya hidup ini, maka hadapilah dengan penuh keceriaan. Senyuman akan mematahkan ranting-ranting berputus asa dari hati, tetaplah dengan senyuman.

Bila tidak mampu untuk terus diam dan tersenyum, menarik nafas perlahan-lahan dan menikmati aliran oksigen yang memasuk rongga paru-paru dan kemudian terus tersenyum walaupun tiada manisnya.

"Penawar untuk meredakan degupan jantung, baca al-Quran dengan lidah dan hati."

Suami mengingatkan lagi, tersenyum.

"Minta tolong anak-anak huffaz Ustaz Hasmin baca yaasin ye."

Tidak mahu merengek, sekadar meminta tolong. Berpusing rasanya tulang belakang :p

"Nak buat terapi."

Harus bersyukur bila ana yang ungkapkan ayat ini, masakan tidak selalunya ana yang menangguhkan terapi dan memberi pelbagai alasan yang ntah apa-apa bila nak buat appoinment terapi. Iya, setiap kali appoinment dibuat sendiri oleh ana selepas berbincang waktu yang sesuai dengan jadual ummi dan abi. Kali ini, ana yang meminta pada suami untuk melakukan terapi, macammana tak minta kalau dah selalu sangat dihembus-hembus pada telinga atas alasan "tak nak bagi degil, supaya dengar cakap" kalau degil tu memang nak kena tarik telinga la jawabnya.

"Ustaz, ana Insyirah Soleha. Nak minta ustaz dan anak-anak huffaz bacakan tolong yaasin untuk ana." Iya, kepada seseorang yang dahulu banyak memberi pengajaran untuk ana. Alhamdulillah, kini pun tetap memberi pengajaran untuk ana.

Duduk di atas kerusi roda, merenung luar jendela. Langit mendung, awal pagi bertemankan hujan dan guruh yang sesekali menakutkan. Irama alam yang selalu menemani hari-hari ku. Duduk di atas kerusi roda, melihat adik-adik bersiap untuk ke sekolah. Perlahan-lahan bergerak dan cuba untuk tidak menyusahkan sesiapa, tersenyum melihat kerenah adik-adik.

Merancang untuk bertemu seseorang di hujung minggu ini, namun ketentuan dan perancangan Allah lebih indah. Ana sendiri yang duduk di atas kerusi roda dan merenung ke luar jendela, arh pasti dia mengerti perasaan ini dan ana sangat mengerti perasaannya kerana terlebih dahulu menikmati saat-saat berkerusi roda :)

"Dah call buat appoinment?"

Abi dan zauj bertanya dari jauh, dua lelaki ini dihambat kerisauan.

"Kredit hp dah nak habis ni, bila nak call kena naik tangga dan setiap kali call tak angkat, rasa nak menangis!"

Talifon di rumah letaknya di pertengahan tangga, maka setiap kali nak menalifon akan mendaki tangga perlahan-lahan apabila tidak dapat bercakap ana turun semula dan duduk di tingkat bawah bergerak menggunakan kerusi roda. Alhamdulillah. Kemudian, beberapa ketika naik semula untuk talifon tetapi tetap tidak diangkat meski sudah berkali-kali mendaki tangga. Penat. Sakit.

"Innallahha ma'assobirin."

Abi memujuk ana. Diam, perasaan untuk tidak membuat temujanji bagi melakukan terapi memuncak. Lalalalaaaa!

Chayok Insyirah, gambette... Terapi tu kan best, rasa macam kene lenyek-lenyek jer bukan sakit sangat pun. Terapi tu macam kena rentap-rentap tulang, alah sikit sangat je pun sakitnya. Terapi tu kan dia tarik-tarik je tulang, kata nak sihat kena lah berubat. Terapi tu kan nikmat yang bukan semua orang dapat, maka nikmatilah ia dengan berlapang dada.

Yeayh!

Selepas terjatuh 2 x (eh, bukan terjun bangunan untuk sengaja cari penyakit tetapi TERjatuh) dan masih cuba berjalan, akhirnya kena akur bahawa usah kufur pada nikmat... Naik je kerusi roda. Muahahaha... Dah beberapa hari duduk di atas kerusi roda, maka kerana itu ana tidak membalas mesej-mesej dari sahabat semua kerana takut untuk berkata-kata tatkala apa yang dikata itu diuji pada diri sendiri :)

Innalillahi wainnailaihi rajiun ^_~

Insyirah Soleha
Baiti Jannati

Read more...

28 July 2010

Saat Doa Dimakbulkan

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam menempuh kehidupan ini, kita tidak sunyi dari ujian dan nikmat yang dibentangkan oleh Allah taala. Setiap tahap iman kita pasti ada ujian, andai lulus ujian pasti ada ujian yang akan datang. Ujian-ujian yang akan mematangkan seorang hamba, menjadikan seorang hamba tunduk dan patuh sekiranya dia benar-benar mengambil 'ibrah (pengajaran) dari apa yang berlaku. Seorang muslim tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama 2x. Setiap yang Dia datangkan untuk kita fikirkan, pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang terjadi.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini adanya Allah dan kita tahu bahawa doa itu senjata umat Islam. Doa adalah penghubung antara manusia dan Tuhan, doa juga merupakan luahan hati dan permintaan hamba kepada Tuhan, doa juga menjadi kekuatan tatkala ditimpa musibah demi musibah bahkan doa juga mampu menenangkan jiwa yang resah.


"Dan berdoalah kepada Ku nescaya akan Aku perkenankan."

Allah menyuruh kita meminta kepada Dia, manusia yang sombong dan bongkak saja tidak tahu dan tidak mahu meminta kepada Allah. Sedangkan hakikatnya kita mengerti, Allah tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan Allah sebagai sumber kekuatan dalam menempuhi kehidupan yang penuh dengan onak melata. Sunnah orang berjuang, di hadapan manusia sentiasa kelihatan tenang dan tabah namun saat sendirian dia menangis tersedu-sedan.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah ayat 45)

Solat itu penghubung hati hamba dan Tuhan, ramai manusia apabila ditimpa musibah akan saling memberi kalimah sabar dan mendoakan semoga tabah tetapi jarang pula orang yang ditimpa musibah diingatkan untuk solat. Kunci kekuatan muslim adalah pada imannya, masakan hatinya membulat tegar andai imannya tidak disegarkan. Hidupkan kembali hati yang berduka dengan menghidupkan hubungan dengan Tuhan, ceriakan jiwa yang luka dengan memperbaiki hubungan dengan Tuhan.

Mohonlah kepada Allah, mengadulah sepenuh hati kepada Allah. Biar tangisan mengalir kerana mujahadah dalam kehidupan daripada menangis kerana tersungkur dalam perjuangan.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran ayat 139)

Meyakini wujudnya Allah, meyakini bahawa kehidupan di dunia ini akan berakhir dan adanya kehidupan yang lebih panjang bahkan kekal selamanya. Kesedihan umpama angin yang mendesir pada hati, ungkaplah kalimah cinta sepenuh hati dalam solat dan sembah pada Rabbi. Kedukaan umpama pasir yang mengelus lembut di celahan jari tatkala berjalan di tepi pantai, sulamilah dengan zikrullah untuk meredakan duka yang bersarang di hati.

Anggap saja celahan jari itu umpama hati, tapak kaki menyusur di pesisir pantai. Ombaknya bergulung namun kita tenang melihat gulungan demi gulungan tersebut. Bagi menikmati keindahan gulungan ombak dan merasai panorama tersebut, kita melalui pesisir pantai tetapi kaki kita diselaputi dengan pasir-pasir halus yang akan membuatkan kita kurang selesa. Begitulah hati yang sedang di uji, tidak selesa dengan kehadiran kedukaan tersebut. Tetapi, air di pantai mampu membuang pasir yang melekat di celahan jari. Itulah perumpamaan zikrullah yang sentiasa basah di hati, ia akan mengikis sedikit demi sedikit kusamnya warna hati lalu digantikan dengan warna-warna yang akan menghiasi hati tersebut :)

Sunnatullah kehidupan, fitrahnya hati tenang pada perkara kebaikan dan apabila dicampur aduk dengan perkara yang batil maka hati akan selalu gundah gulana.

Apabila di uji, itu tandanya Allah sedang berbicara dengan hamba. Jarang pula kita mahu 'mendengar' bicara Allah melalui ujian, malahan sering pula kita merungut tentang apa yang kita hajatkan tidak dimakbulkan. Bukankah nikmat-nikmat Nya sudah terlalu banyak dibentangkan? Begitulah sifat manusia, Allah sudah menukilkan di dalam al-Quran "... sedikit di kalangan hamba-hamba Ku yang bersyukur."

Usah dipinta diberatkan dengan ujian kerana hanya Allah yang tahu kekuatan hati seorang hamba. Pintalah diberatkan hati dengan iman tatkala ujiannya singgah di relung jiwa. Moga keakraban hubungan dengan Allah, doa-doa yang dilantunkan kepada Allah akan menjadikan kita manusia yang sentiasa merendah diri di hadapan Allah. Kita meyakini adanya Allah, tetapi sejauh mana kita meyakini pertolongan Allah?

Di antara doa-doa yang kita hajatkan kepada Allah, adakalanya tidak dimakbulkan dan kita terus meyakini adanya pertolongan Allah. Istiqamah dalam pengharapan lalu diberikan pula kita dengan yang lebih baik dari apa yang kita hajatkan, allahuakbar betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hamba Nya tetapi kita masih lupa dan tidak mahu bersyukur kepada Allah.

Di saat kita memilih haluan penerokaan bidang di alam universiti, kita berhajat kepada pilihan yang paling disukai. Alhamdulillah, ada yang mendapatkan apa yang dihajati tetapi ada pula yang menerima ketentuan dan takdir Ilahi. Aturan Nya berhikmah, pasti disediakan yang terbaik andai kita menerima takdir dengan berlapang dada. Kita akan menjadi orang yang beruntung andai kita memanfaatkan ilmu tersebut pada jalan yang betul.

Pada yang memiliki apa yang diharapkan, terlupa pula untuk meneruskan perjuangan dan meletakkan pelbagai perkara remeh di dalam kanvas kehidupan, lupa pada cita-cita untuk cemerlang dan hanya puas walau sekadar cukup-cukup makan. Bukankah doanya telah didengar Allah, Allah pula telah memakbulkan doa tersebut. Mengapa membiarkan diri ditelan arus, terlupa pada rintihan dan doa kepada Rabbul Izzati suatu ketika dahulu?

Di saat kita masih seorang gadis dan teruna, kita setia meminta supaya Allah berikan pasangan yang terbaik untuk kita, pasangan yang soleh solehah sebagai peneman kehidupan dunia dan akhirat. Dia menangguhkan permintaan kita, kita setia menanti dan berusaha memperbaiki kelemahan diri. Setiap hari yang berlalu dirasakan sungguh berat, permintaan belum dimakbulkan oleh Allah. Sehingga satu tempoh yang Dia uji bagi melihat kesungguhan hamba Nya, akhirnya diberikan dengan calon pasangan yang LEBIH BAIK dari apa yang diharapkan.

Kita bersyukur, dalam rendah diri dan menginsafi betapa pemurahnya Allah kepada kita... Adakala kita terleka dengan pemberian tersebut, sudah Dia hadirkan calon yang baik buat kita namun hajat kepada yang soleh dan solehah itu tidak selari dengan usaha kita selepas doa dimakbulkan Tuhan. Ramai yang mengharap pasangan yang soleh solehah, apabila Dia memberi kita malahan merungut apabila tunang tidak mahu keluar bersama, merajuk apabila tunang diam tanpa khabar berita, kecil hati tidak disulami bahasa cinta, rindu apabila lama tak bermesra.

Bukankah asalnya kita berhajat kepada yang soleh dan solehah? Adakah soleh dan solehah itu hanya ketika "single and available" saja? Adakah ciri soleh dan solehah boleh dikikis dan dikecualikan kepada tunang yang masih HARAM untuk bergaul mesra? Ramai yang sewenangnya meringankan banyak perkara dalam tempoh bertunang sedangkan hatinya berhajat kepada yang soleh solehah.

'Si soleh' sudah pandai mengajak 'si solehah' keluar membeli barangan persiapan perkahwinan, sudah berani menghantar ayat-ayat rindu dan sudah sasau apabila 'si solehah' berdiam. Begitu juga sebaliknya. Terlupa untuk menjaga hati yang begitu mudah tergelincir dari landasan. Hebatnya syaitan dalam menyesatkan manusia. Bukan salah syaitan, itu tugasnya. Tetapi, salahkan diri sendiri yang tidak memperhebat hubungan dengan Rabbi. Masakan hati tidak bergelora, hubungan dengan Tuhan sudah tidak dipelihara.

Ramai menyangka pertunangan adalah LESEN untuk meringankan atau membenarkan apa yang selama ini diberat dan dijauhkan. Bahkan ramai pula yang merelakan kesucian dan maruah diri (dan agama) di ragut sebelum berkahwin atas alasan "kami sudah bertunang" apakah ada kepastian bahawa pertunangan akan berakhir dengan perkahwinan?

Di saat kita menjadi seorang isteri dan suami, kita berhajat untuk memiliki yang soleh dan solehah sebagai penguat diri untuk saling memotivasi dan menopang semangat di dalam perjalanan kehidupan. Allah memakbulkan permintaan lalu Dia menghadirkan ciri soleh dan solehah kepada pasangan, mengapa kita perlu membentak apabila dikejutkan solat subuh oleh pasangan? Haruskah bermasam muka tatkala suami menegur isteri untuk memelihara aurat dengan sempurna? Perlukah berkecil hati apabila isteri menegur suami yang alpa bermain permainan video sehingga solat di akhir waktu?

Perkahwinan bukan sebuah perjanjian keseronokan seperti di taman tema permainan, perkahwinan bukan sekadar berkumpulnya seorang lelaki dan perempuan tetapi perkahwinan itu sebuah kehidupan yang ada hujung pangkalnya, ada arah dan tujuannya, ada misi dan visinya.

Suami sebagai imam, nakhoda sebuah kapal. Isteri sebagai pembantu, akan menegur apabila laluan perjalanan tersasar dari peta di tangan. Bukankah sama-sama mahu menuju jalan yang diredhai Tuhan sepertimana 'cerewetnya' kita sebelum bertunang? Sudah diminta pasangan yang soleh solehah, apabila dimakbulkan permintaan perlukah kita merungut dengan Tuhan?

Di saat kita menjadi ibu dan ayah, kita mahu zuriat yang soleh solehah sebagai saham akhirat. Tuaian ilmu agama di suburkan dengan sunnah Rasulullah akhirnya menghadirkan khalifah-khalifah kecil yang bersemangat baru. Tatkala umur si anak merangkak dewasa, kita bekalkan dengan ilmu agama. Di saat anak cuba mengamalkan ilmunya, ada ketika si ibu dan ayah terleka dengan urusan dunia haruskah kita memaki hamun anak yang menegur ibu dan ayah yang mengabaikan solat? Perlukah kita rimas tatkala anak-anak merangkul erat al-Quran dan memperdengarkan kalam-kalam Tuhan?

Bukankah dahulunya kita berhajat untuk memiliki anak-anak yang soleh solehah, apabila doa sudah Dia makbulkan kita tidak berpuas hati dengan apa yang Dia pinjamkan.

Apabila hati tidak dihidupkan dengan ilmu, tidak pula disuburkan dengan amal maka sedikit demi sedikit cintakan dunia akan melekat pada dinding hati. Andai suatu ketika dahulu hebat dalam usrah dan aktif pula dengan dakwah, apabila ditinggalkan sedikit demi sedikit maka semakin jauhlah ingatan pada "doa" dan "harapan" yang dahulunya menjadi hafalan.


Ya Allah, sesungguhnya aku ini hamba Mu yang lemah...
Usahlah dibebankan dengan apa yang aku tidak sanggup.


"Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal." (Surah Ali Imran ayat 160)

La ilaha illaLLAH.

"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Surah Ali Imran ayat 200)

Wallahua'lam.

p/s: Banyak contoh, tetapi tidak mampu membawa kesemuanya. Wahai anak-anakku sayang, pimpinlah hatimu kepada Allah dan gantunglah hatimu kepada Allah.

Tawakkal alaLLAH,
Insyirah Soleha.

Read more...

26 July 2010

Mawarku Yang Tercinta

Bismillahirrahmanirrahim.

"Pada setiap yang hampir,
Izinkan aku bermusafir,
Jauhku untuk mendekat!"

Tiba-tiba suami menuturkan dengan lancar seolah-olah sebaris ayat ini dihafal. Allahuakbar, ana tercengang seketika dan melihat wajahnya yang selamba.

"Abang hafal ayat tu?"

"Tak hafal, ingat je..."


Cherating ~ 14 Februari 2010

Ana hanyalah seorang makhluk lemah, seorang makhluk yang dibaluti dengan pelbagai emosi dan kerapuhan emosi yang melingkari hati sering pula melemahkan gerak langkah ini sehingga perlahan menapak dalam perjuangan. Tatkala diasak ujian demi ujian yang bertandang ke dalam hati, bersoalkan tentang hati menjadikan ana semakin lemah untuk berfikir dengan waras maka jalannya adalah uzlah (pengasingan diri) yang mana akan membuatkan ana berfikir, muhasabah dan terus mencari jawapan dari Nya di celahan-celahan ujian yang menyesakkan emosi.

"Pada setiap yang hampir,
Izinkan aku bermusafir,
Jauhku untuk mendekat!"

Sebaris ayat yang selalu diberikan sebagai satu kata ganti "Tolong jangan ganggu ana" atau bahasa lainnya "Stay away from me" namun sejauh mana ana berlari, seluas mana lautan yang ana renangi, setinggi mana bukit yang ana daki untuk mengasingkan diri dari manusia ana tetap menyalurkan rasa sekeping hati yang tak pernah pudar untuk seseorang yang begitu istimewa. Dalam hidup ana, dia antara manusia yang begitu penting. Mungkin dia bukan terpenting (paling utama) namun dia adalah manusia yang sangat istimewa.

Makan bersuap, berkongsi minuman, tidur sekatil berkongsikan bantal hatta selimut yang sama. Di saat tiada manusia yang memahami bahasa "sepi" ana, dia antara insan yang mampu membaca tafsiran hati ana. Melalui gerakan mata dan pandangan sepi, dia mengerti apa yang sedang ana minta. Dia selalu mengerti lirikan mata ana sehingga suatu ketika tatkala terlalu lelah dengan sapaan ujian yang menghempas hati, ana tak sanggup untuk berjumpa dengan beliau...

Ana mampu diam dan menyembunyikan perasaan dan sengketa masalah, memendam setiap rasa yang bergolak dalam jiwa namun tatkala melihat wajahnya dan bicara dengannya... Seakan muntahan lahar dari gunung berapi yang sudah beratus tahun menanti saat memuntahkan lava! Ana tidak mampu menyembunyikan kesedihan, kegembiraan malah apa juga perasaan di hadapannya.

Setiap hati itu dihubungkan oleh Allah, pengikat hati adalah kerana berpaksikan keimanan pada Allah maka Allah yang membolak balikkan hati manusia. Pada Allah jugalah doa dipohon agar menyatukan hatinya dengan hati ana agar tetap bersama dalam kejauhan jarak yang memisahkan. Rindu ana padanya bukan sebarang rindu, kasih ana padanya bukan sebarang kasih, cinta ana padanya bukan sebarang cinta. Dia begitu istimewa bahkan terlalu penting dalam diari seorang hamba yang sedang mengembara di bumi Tuhan ini.

... Sanah helwa ya ukhti habibati ...


Beliau sahabat istimewa, jalinan hati yang sudah terlafaz "akadnya" sejak 8 tahun yang lalu dilalui dengan setiap rasa... Kegembiraan, kedukaan, kemanisan dan setiap tawar, manis, masin, kelat, pahit... Dia antara sahabat yang akan mengetahui rahsia-rahsia ana. Di saat bergelora hati dan perasaan tatkala Allah menguji dengan ujian yang hadir dari lelaki, dia antara manusia yang ana relakan untuk mengetahui gelora hati ana :)

Dia juga sahabat yang sangat setia, di saat ana sendiri dan menyendiri dari manusia lain... Dia masih di sisi ana memberi semangat dan sokongan.

"Insyirah sakit..."

Dialah manusia yang akan bergegas untuk melihat ana, dialah manusia yang akan mengorbankan kepentingan diri untuk bersama ana. Di saat lidah tidak mampu menuturkan apa-apa, dia masih memahami gerak mata yang "sunyi" kerana hubungan kami diakrabi dengan hati, dasarnya adalah cinta kepada Rabbi.

"Panggil Aisyah... Tak tahu Insyirah nak apa."

Kadangkala, dalam keadaan yang lemah ana mendengar sahabiyah menjerit dan panic meminta pertolongan dan mengharapkan sodiki hakiki segera datang untuk menterjemah apa yang ana mahukan. Di saat ana kekejangan, sentuhan kasih sayangkan membuatkan ana lupa seluruh tubuh ana sedang kekejangan sehingga rahang ana juga tidak mampu untuk digerakkan. Di saat ana kesakitan, kata-katanya bisa meluluhkan segala duka yang bersarang.

"Sabar ye..."

Kata-kata yang lahir dari hati insya Allah akan menerombos ke dalam hati sedangkan kata-kata yang lahir dari mulut belum pasti akan melepasi telinga!

8 tahun kami berukhuwah, seandainya lahir seorang bayi maka sudah darjah 2. Kiranya belajar, mungkin sudah membentangkan thesis peringkat PhD. Namun, semusim ukhuwah ini terlalu singkat kerana hadirnya di dalam hati... selamanya akan menghuni hati.

"Kita berpisah untuk bertemu, mungkin bukan di dunia tapi pertemuan di akhirat yang diimpi. Moga kita dikumpulkan bersama golongan orang yang berkasih sayang kerana Allah, ameen!"


Sanah helwa ya sodiki hakiki...


Bertindak sebagai "driver" kereta pengantin. Menjadi sebutan sehingga ke hari ini, keadaan panic semasa ketibaan pengantin. Pemandu tidak kelihatan (sebab comel sangat). Hihi, you make my day so beauty memorable!

Moga Allah melimpahkan rahmat dan maghfirah Nya untukmu, memberikan kemanisan iman dan kelazatan islam sehingga akhir hayat, memberkati usia mu dan merahmati kehidupanmu.

Ya Allah, sahabatku ini buah hatiku, aku melepaskan dia kepada Mu kerana aku tahu ya Allah hanya Engkau yang boleh menjaganya lebih baik dariku dengan sebaik-baik penjagaan.


Ya Allah, aku meyakini qada' Mu bahawa setiap pertemuan pasti disusuli dengan perpisahan namun aku mengharap kepada Mu ya Allah, jadikanlah pertemuan kami sebagai ladang tempat kami berkasih-sayang dan perpisahan kami adalah kerana mengharapkan pertemuan yang lebih baik, pertemuan yang Engkau berkat dan redhai.

Ya Allah, ikatkanlah hati-hati kami untuk berkasih sayang kerana Engkau dan satukanlah hubungan hati ini sehingga ke akhir hayat kami. Ya Allah, permudahkanlah urusan dunianya agar mudah pula urusan akhiratnya. Teguhkanlah hati kami dan himpunkanlah kami menjadi hamba-hamba Mu yang taat kepada Mu. Ameen ya Rabb.


Happy Sweet 21 My Dear Siti Nur Aisyah!

Crater of LOVE,
Insyirah Soleha
Baiti Jannati

Read more...

21 July 2010

Gerak Gempur

Bismillahirrahmanirrahim.

Rejab sudah berlalu, Syaaban sudah melambai-lambai dan Ramadhan semakin tiba. Ketibaan yang hanya sebulan dalam setahun, dalamnya terhimpun rahmat dan maghfirah Ilahi, ada pula malam lailatul qadar yang sangat istimewa. Hujung minggu lalu, apabila suami diminta untuk memberikan khutbah Jumaat, beliau berkira-kira untuk mencari tajuk dan meminta idea dari ana. Beberapa perkara diusulkan dan akhirnya suami sendiri yang memuktamatkan apa yang mahu dikhutbahkan, semoga idea-idea terus menyusur untuk berkhutbah! Lahirkan saja apa yang ada di dalam hati, zahirkan dengan perbuatan dan olahkan melalui lisan. Mudah-mudahan orang lain akan terkesan, insya Allah.

Selain persiapan fizikal untuk memberatkan penjagaan kesihatan. Seperti tahun-tahun lalu, seawal bulan Rejab 'ditarbiyyah' oleh Allah dengan nikmat kesihatan yang sekejap-sekejap direntap, ada pula ketika ditarik lembut. Alangkah bertuahnya kalau punya rasa syukur atas nikmat pinjaman tersebut. Pada satu ketika, batuk tidak henti-henti sedari penghujung Rejab sehingga Ramadhan. Syaaban pula mengintai dengan sentuhan tarbiyyah yang lebih 'hebat' dari Rejab, persiapan menghadapi Madrasah Ramadhan. Tidak lama, hanya sebulan dalam setahun.

Rejab - Syaaban - Ramadhan. 3 bulan yang sangat memaknakan erti kesabaran dan pengorbanan. Apabila melihat ahli keluarga gembira untuk solat tarawih berjemaah di surau, ana hanya melambai dengan senyuman tawar. Bukan tidak tergugat hati dan perasaan tetapi lebih selesa untuk mengorbankan kehendak sendiri dan mengutamakan orang lain. Tidak mahu jemaah lain terganggu keenakan ibadah dengan batuk ana yang terkadang terlalu sukar untuk berhenti, batuk yang pertama akan berlangsung beberapa minit sehingga tercungap-cungap menarik nafas. Bukankah lebih baik sendirian di rumah dengan batuk dari beramai-ramai sehingga mengganggu ketenangan orang lain? :)

Cemburu. Tetapi biarkan perasaan itu layu dengan sendiri, kerana Allah tidak pernah menghadirkan sesuatu keadaan dengan sia-sia. Kadangkala habis ubat batuk berbotol namun batuk tidak juga sembuh, pelbagai madu yang dimakan namun batuk masih bersisa. Solat tarawih dengan sesantai yang boleh, setiap 2 rakaat akan berhenti untuk berehat bagi meredakan semput akibat batuk.

Persiapan dari sudut mental juga perlu dilakukan. Menerima sesuatu dari sudut positif. Sekarang, mengemas rumah. Bulan Ramadhan nanti tidak mahu mengerah kudrat untuk aktiviti fizikal memandangkan badan tidak mampu dilanyak :D

Sedari hari Isnin, menggempur baju-baju yang ada. Mana yang tidak dipakai padahal masih elok, simpan dalam plastik dan mahu menghantar ke rumah anak-anak yatim. Minggu lepas, sepupu melayangkan e-mail meminta sumbangan pakaian dan ekonomi kerana beliau dan rakan-rakan sekerja akan ke rumah anak-anak yatim. Dah macam clearence stock je. Di dalam stor, ada banyak baju yang abi sisihkan sebelum majlis pernikahan tetapi stor terletak di luar rumah dan ana sangat kecut untuk duduk sendirian di dalam stor T_T

Niat untuk membuat Kek Batik tertangguh meski bahan-bahan sudah dibeli, insya Allah hari ini akan strive membuat Kek Batik. Chayok! Chayok! Sebelah petang akan berusaha mengemas pakaian adik-adik. Esok bercita-cita membuat kuih karipap, ummi sudah beli 2 kg tepung. Allah, macam banyak betul ummi nak makan kuih karipap. Er, ummi mengidam ke ni? Ahaks. Hari Jumaat, merancang untuk berjumpa buah hati memandangkan pada hari Sabtu majlis pertunangan sepupu. Sudah jadi chipsmore pula sekarang ni, sekejap di sini sekejap di sana. Khair, biar jadi chipsmore sekejap ada sekejap tak ada daripada tenggelam tak timbul-timbul. Hihihi...

Seminggu diperuntukkan untuk aktiviti mengemas kerana memang tidak mampu untuk mengemas dalam masa yang singkat. Biar sikit tetapi kesihatan tidak terganggu berbanding semangat melangit kemudian jasad rebah ke bumi, sekarang sudah pandai mendengar kata dan sudah kurang degil. Bagus bukan? Perubahan positif yang perlu dibanggakan, hik hik. Dulu, semangat sentiasa di depan walaupun jasad sudah mengangkat kedua tangan menyerah kalah tetapi tetap dipaksa sehingga akhirnya kaki juga tidak mampu diangkat sebagai tanda penyerahan diri.

Hai therapist, tak rindu Insyirah ke? Kui kui kui...

Pada mereka yang setia mengikuti perkembangan ana, membaca tulisan-tulisan karutan ana, tersinggah secara tidak sengaja dan terbaca tanpa sengaja.

DOAKAN ANA... DOAKAN ANA... DOAKAN ANA...

"Tidak ada musibah yang lebih besar selain kemalasan dan hilangnya semangat dari hati seseorang untuk berbuat baik. Maka ketahuilah, bahwa dia sedang tertimpa musibah yang paling besar yang tiada lagi musibah yang lebih besar dari itu."

Al Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad


Menikmati kabus pagi,
Insyirah Soleha
Baiti Jannati

Read more...

20 July 2010

Zuriat Yang Dinanti


Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap pasangan yang melangkah ke alam rumahtangga mengharapkan kehadiran cahaya mata, walaupun tanggungjawab yang tersedia di pundak sudah cukup berat namun memiliki cahaya mata bererti menambah tanggungjawab tidak sesekali membuatkan pasangan yang berkahwin memilih hidup berdua sehingga akhir hayat. Di negara Barat, meskipun mengamalkan kehidupan yang 'bebas' dan ramai pula yang takut memikul tanggungjawab (dalam keluarga) namun mereka masih juga merancang untuk memiliki cahaya mata setidak-tidaknya 2 orang.

Quote entry Mukaddimah : Zuriat Yang Dinanti.

Lama menatap wajahnya, ada garis luka yang tersembunyi namun biasan taqwa yang merimbun dalam hati menutup segala resah dan duka yang menyelubungi. Pada sosok indah itu hamparan mata dijatuhkan, tersedar dari lena yang panjang. Ya Allah, benar-benar tersedar dari angan-angan yang bersarang di minda.

Walaupun kerdipan matanya bersahaja, namun biasan hatinya mengetuk pintu hati ana untuk sesuatu yang lebih besar. Berfikir dalam diam, mendengar dan terus mendengar. Ujian itu tarbiyyah dan sabar itu indah, alangkah bertuahnya pada mereka yang melihat ujian sebagai anugerah dari Allah dan merasakan betapa bertuahnya diri kerana diuji oleh Allah. Tidak Dia ciptakan sesuatu bagi tujuan sia-sia tanpa sebab, pasti terselit hikmah yang tidak terfikir oleh hamba.

"Syira tahu tak, ini anak akak yang ke-3?"

Melopong ana mendengar, ana menggeleng perlahan. Seingat ana, suami ana bercerita pasangan tersebut menanti kehadiran cahaya mata dan kehadiran si kecil dalam rumah tangga agak lewat lantaran 2 kali mengalami keguguran. Namun, ana merasakan keguguran adalah fasa awal mengandung jadi ana membuat jugdement sendiri bahawa keguguran bukanlah 'kehilangan' anak melainkan sudah menjadi fetus. Mungkin ia hanya pendapat peribadi yang SALAH, mentafsir dengan dangkal.

"Anak pertama akak, masa mengandung dah 7 bulan doktor mengesahkan baby tak ada tempurung kepala. Ya Allah, masa tu Allah je yang tahu perasaan akak. Akak teruskan juga sampai bersalin."

Allahuakbar, ana terkedu. Walaupun muka mungkin tidak berubah namun hati ana sedang mengalami kocakan yang agak kuat.

"Akak bersalin normal ke?"

"Anak sulung akak bersalin normal. Tapi baby tak hidup lama, 2 jam selepas dilahirkan baby meninggal. Doktor pun dah cakap, kalau teruskan kandungan pun baby tak dapat hidup lama sebab tak ada tempurung kepala."

"Akak tengok baby selepas lahir?"

"Akak rabun. Masa bersalin, spec entah ke mana pergi. Nampak samar-samar gitu lah. Tak cantik pun, tak macam baby normal kan sebab tak ada tempurung kepala."

Ana angguk perlahan. Tangan ana memicit-micit si kecil dalam pangkuan, geram!

"Bila tak menyusu, 3 bulan kemudian akak mengandung lagi. Kali ni, akak check-up dengan swasta dan dalam masa yang sama follow-up dengan klinik kerajaan juga sebab kad merah tu penting masa bersalin. Dalam 4 bulan lebih baby, doktor sahkan perkara yang sama. Baby tak ada tempurung kepala. Kedua-dua berita ni dapat bulan Ramadhan. Tapi kali ni akak rasa tak mampu nak teruskan, kalau mengandung pun baby tak dapat hidup juga. Doktor masuk ubat untuk paksa bersalin."

Ya Allah, kuatnya hati wanita ni.

"Anak pertama perempuan, hidung mancung muka macam (si kecil) ni. Anak kedua lelaki, masa lahir tu dah sempurna ada semua anggota badan tapi organ dalaman belum sempurna lagi. Yang ketiga, perempuan semula. Yang ni hidung penyek."

Ana ketawa perlahan.

"Alhamdulillah, 7 bulan selepas anak kedua meninggal akak mengandung yang ketiga dan syukur sangat bila check doktor cakap baby normal tak ada masalah."

Ok, ana sedang berusaha menahan diri dari menggigit si kecil depan mata. Pertama kali berjumpa dengan si kecil tersebut, ana terus jatuh cinta dengan wajahnya yang sangat comel. Seorang anak yang sangat baik, tak banyak kerenah dan ana selalu kata pada suami.

"Solehah sangat budak ni..."

Semasa berkunjung ke rumah ibu angkat (suami ana dan suaminya), ummi juga geram dengan si kecil tersebut. Allah, solehah sangat! Sampaikan kata ummi kalau ada anak macam (si kecil), 10 orang pun tak apa. Allah, ummi jauh lebih faham kerenah anak-anak memandangkan beliau sudah mempunyai cucu. Masakan beliau boleh kata "10 orang pun tak apa" kalau susah untuk dijaga. Hehehe...

Hidup ini medan ujian.

Ada pasangan yang kahwin bertahun-tahun tetapi tidak memiliki zuriat, pasti hatinya terusik apabila melihat sahabat yang berkahwin sudah mempunyai zuriat sendiri dan makin terusik hatinya bila melihat sahabat yang baru kahwin cepat pula mempunyai zuriat. Satu kisah yang pernah suami ceritakan pada zaman Imam Malik (kalau ana tak salah), pasangan yang sudah bertahun-tahun bernikah tetapi tidak dikurniakan zuriat maka Imam Malik menasihatkan agar pasangan tersebut bangun malam dan istighfar banyak-banyak. Alhamdulillah, selepas mengikuti nasihat tersebut, mereka dikurniakan zuriat.

Ada pula pasangan yang berkahwin dan mendapat zuriat, tetapi Allah menguji kehadiran zuriat tersebut dengan masalah kesihatan sama ada dari rahim atau setelah lahir ke dunia. Ada juga sahabat ana yang sangat sabar dan tabah melayan dan mengurus bayi mereka yang baru beberapa bulan, kehadiran cahaya mata tersebut menjadi ujian apabila doktor mengesahkan bayi tersebut mempunyai penyakit. Andai hidupnya panjang, mungkin akan cacat sepanjang hayat. Jadual kehidupan mereka suami isteri juga berubah dengan kehadiran cahaya mata tersebut, di hening pagi si anak akan minta didukung dan hanya tidur dalam keadaan dukung.

Pada siang hari, si ibu sibuk mengurus anak-anak seramai 3 orang (termasuk bayi yang sakit) dan selepas pulang dari kerja si ayah akan turut membantu. Pada waktu malam, tatkala isteri sudah kepenatan mengurus rumah tangga dan suami yang penat di pejabat menggalas tanggungjawab melayani si kecil yang hanya selesa apabila di dukung. Ujian Allah.

Ujian yang hebat hanya untuk insan yang hebat.

Kalam yang sentiasa ana pegang, apabila melihat insan-insan yang teruji menjadikan ana insaf dan muhasabah diri. Apa yang Dia hadirkan di atas dunia ini untuk kita fikirkan kebesaran Nya, andai kita bersyukur maka Dia akan tambah nikmat dan sekiranya kita kufur maka azab Nya amatlah pedih.


Hehehe, my dear buat muka macam tu. Aih, Achik dah rindu kamu ni sayang...

Ana meletakkan kisah ini setelah semangat semakin down dengan perkara yang tak perlu dikongsikan secara umum di sini. Alhamdulillah, ziarah mahabbah di petang Jumaat tersebut banyak membuka rongga muhasabah untuk ana berfikir. Allah sentiasa memujuk dengan cara dan kehendak Nya :) Dengan asbab rindukan si kecil tersebut, ziarah mahabbah tersebut Allah bekalkan ana dengan sebuah 'ibrah (pengajaran) yang sangat besar.

Apabila Dia berkehendakkan sesuatu, maka jadilah perkara tersebut.

Sejauh mana kita bersangka baik dengan Allah? Merasa nikmat-nikmat yang hadir belum cukup, malah dirasakan terlalu kurang dibandingkan dengan nikmat hamba yang lain?

Allah yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang kafir kerana siksaan yang sangat pedih.

(Iaitu) orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat, dan menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh.

(Surah Ibrahim ayat 2-3)


Anak-anak itu sebagai saham akhirat. Sekiranya dididik dengan ilmu agama, insya Allah akan memberikan hasil yang baik untuk kehidupan dunia dan akhirat. Ana sangat menghafal kata-kata dari abi tersayang.

"Bila kita tanam padi, lalang pun akan tumbuh. Tapi kalau kita tanam lalang, padi tak akan tumbuh!"

Maksudnya, kalau kita bersungguh-sungguh untuk kehidupan akhirat (padi) insya Allah kita akan 'dapat' dunia (lalang). Tetapi kalau kita hanya bersungguh-sungguh untuk kehidupan di dunia (lalang) dan melupakan kehidupan akhirat, maka hidup ini amatlah rugi. Abi selalu mengingatkan bahawa kehidupan ini bukan hanya di dunia saja, kita ada kehidupan selepas ini (alam barzakh dan negeri akhirat yang kekal abadi). Orang yang bersungguh-sungguh untuk kehidupan akhirat akan menjaga segala 'jalan' di dunia ini, maka kehidupan di dunia terjaga kehidupan di akhirat sejahtera. Insya Allah :)

Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibubapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)".

(Surah Ibrahim ayat 40-41)


First time tengok, I jatuh cinta you...

Pada si kecil buah hati ummi dan walid tersebut, moga menjadi anak yang solehah, anak yang taat pada perintah agama, anak yang menjaga kemuliaan agama, anak yang akan mendukung perjuangan dan dakwah Islam. Ameen.


My dear habibi qalbi (zauj) can't say anything when I start talking about dearest solehah, hehehe. Sorry Abang, I do really in love with her!

Hamba Ilahi,
Insyirah Soleha
Baiti Jannati

Read more...

18 July 2010

Mukaddimah : Zuriat Yang Dinanti

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama menatap wajahnya, ada garis luka yang tersembunyi namun biasan taqwa yang merimbun dalam hati menutup segala resah dan duka yang menyelubungi. Pada sosok indah itu hamparan mata dijatuhkan, tersedar dari lena yang panjang. Ya Allah, benar-benar tersedar dari angan-angan yang bersarang di minda. Sesekali impian dilebarkan sehingga terdampar di Perlembahan Sungai Nil, tercatat besar impian untuk menjejakkan kaki ke sana suatu hari nanti. Moga Allah memperkenankan hasrat hati kecil ini, ameen. Jauh di sudut hati, rindu pada rumah Nya.

"Kalau Sayang dapat buat haji dengan ummi dan abi, Abang izinkan tak?"

"Insya Allah, pergilah."

Alhamdulillah. Hasrat untuk melaksanakan tuntutan agama, menyempurnakan rukun Islam moga Allah mempermudahkan jalan Nya buat ana. Ameen.

"Duduk Mekah nanti, banyakkan solat hajat di Masjidil Haram minta Allah beri kesihatan supaya sembuh dari segala penyakit."

Tersenyum, diam.

"Dalam Raudhah nanti, doa banyak-banyak."

"Kalau dapat, di Multazam nanti doa bagi sembuh."

Semua mengharapkan kesembuhan. Ana mendengar dengan teliti, hampir tiada yang mengingatkan supaya dikuatkan iman dan dikentalkan hati menghadapi ujian dari Allah. Hampir tiada yang mengingatkan untuk ana meminta Allah menggantikan hati ana dengan hati yang lebih baik, hati yang lebih lunak dan dekat dengan Nya, hati yang sentiasa rindu untuk bertemu dengan Nya.

"Jangan takut mati."

Kalam itu bermain-main di minda, terasa terngiang di cuping telinga. Jauh di sudut hati, kecut setiap kali mengenangkan sakaratul maut yang maha dahsyat, tak terbayang betapa sakitnya jasad tatkala roh pergi meninggalkan tubuh yang sudah bertahun dihuni.

"Hanya mati akan mempertemukan kita dengan Syurga, hanya dengan mati kita akan kembali ke kampung halaman. Jangan sesekali takut untuk mati."

Bergema lagi kalam tersebut, terasa getarannya merentap saraf yang mengecut. Luluh jiwa, terasa hilang sebahagian semangat yang dilentur perlahan dengan gerak waktu yang berjalan semoga Dia menghadiahkan secebis kekuatan buat hati yang semakin kecundang dalam perjuangan.

"Innallahha ma'ana."

Air mata yang semakin membasahi pipi kering melewati hujung baju yang semakin lenjun dengan air mata.

"Allah tak uji kalau kita tak mampu, Allah uji sebab Allah nak bagi yang lebih baik... Ingat tu, bukan saja-saja Allah bagi kalau Dia tahu kamu tak sanggup. Sebelum hidup lagi dah berjanji segala yang dibuat, tujuan hidup untuk Allah. Jangan mengalah."

Suara menyapa. Diam, tersenyum dan menutup kelopak mata.

Di hujung senja, melewati saat demi saat menanti hadirnya bintang yang akan menghiasi langit luas. Sabar mengharapkan rembulan menampakkan wajah, rindu pada cahaya yang membias pada lakaran langit luas. Indah... Selalu menjadi penyeri pada kaburnya hati yang sedang merindu. Merintih dan terkadang tanpa sedar sedang bercakap dengan makhluk-makhluk ciptaan Nya yang tak akan digapai dengan tangan.

Jauh bukan kerana jarak tetapi kita yang menjarakkan sehingga terasa jauh sedangkan andai kita merasakan jauh bukan penghalang, kita akan sentiasa merasa keakraban dalam hati. Insya Allah. Begitu jugalah hubungannya dengan Allah, al-Khaliq! Jauhnya Allah kerana tak mampu dilihat dan dirasa seperti makhluk namun itulah bukti iman, kepercayaan kepada wujudnya Allah yang menjadi Pencipta! Sedangkan Allah itu sangat dekat dengan kita sehingga Dia jauh lebih dekat dari urat leher kita, subhanallah allahuakbar.

Allah tidak meninggalkan kita tetapi kita yang selalu alpa dengan apa yang Dia pinjamkan buat kita. Suka dan duka, bahagia dan derita, kejayaan dan kegagalan adalah ujian semata-mata sebagai pelengkap kehidupan manusia yang juga hamba kepada Tuhan. Andai sedar bahawa kita hanya seorang hamba kepada Allah, semua yang Dia hadirkan adalah pinjaman yang akan kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Apabila suka, kita akan bersyukur. Apabila duka, kita akan bermuhasabah. Apabila bahagia, kita berpelukan erat dalam dakapan Nya yang meminjamkan rasa bahagia. Apabila derita, kita semakin memperbaiki hubungan dengan Allah yang menyalurkan rasa derita kerana dengan rahmat Nya menegur kita yang leka dengan dunia. Apabila diberi kejayaan, kita akan merasa betapa Allah menguji kita adakah rendah diri atau sombong mendongak ke langit. Apabila diberi kegagalan, itu tandanya Allah sedang membentuk kita untuk terus berusaha untuk kejayaan yang lebih besar. Insya Allah.

Andai kita sentiasa meletakkan Dia di hadapan dan membelakangkan kehendak duniawi yang serba tidak mencukupi, menggantikan diri dengan qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada) insya Allah kita akan sentiasa mensyukuri nikmat yang Dia berikan. Sesuatu yang negatif apabila dilihat dari sudut yang positif akan menatijahkan sesuatu yang positif, insya Allah :)

"Allah yang beri ujian, biarlah Dia memujuk dengan cara dan kehendak Nya."

Jarang benar kita membaiki hubungan dengan Allah tetapi selalu pula kita mengharapkan Dia memberi yang indah-indah sebagai kembara sebelum menuju perkampungan Barzakh. Jarang pula kita mengakrabi diri dengan Allah tetapi sentiasa meminta-minta dari Nya.

"Bila semua pesan pada ana untuk minta kesembuhan, minta kesihatan dan dibersihkan dari segala penyakit... Ana rasa sedih, bimbang apa yang Dia 'ikat' akan terlerai bila Dia 'lepaskan' ana." Sahabat, setia mendengar kalam-kalam sepi ana.

"Apa yang Syira minta dan harapkan?"

"Semoga hembusan terakhir di dalam rumah Nya, dalam keadaan sujud terakhir."

Diam.

"Kak, kenapa suka sujud lama-lama?"

"Sebab masa sujud tu kita paling dekat dengan Allah, rasa dekat sangat bila dapat sujud dengan sempurna. Tenang bila boleh 'berbicara' dengannya dengan fizikal (sujud sempurna)."

Mereka tak tahu apa perasaan seorang hamba Allah yang duduk di atas kerusi roda, menopang pergerakan dengan berhati-hati, setiap gerak rukuk dan sujud sangat meruntun jiwa. Sentiasa pula merasa cemburu melihat insan-insan lain mampu rukuk dan sujud dengan sempurna, alangkah bahagianya insan-insan tersebut. Namun, hati tertanya mengapa mereka tidak bahagia?

Mereka tidak faham apa perasaan seorang hamba Allah yang duduk di atas kerusi roda menjadi bahan gelak dan ketawa, tidak diminta lahir ke dunia untuk menjadi bebanan kepada manusia lain tetapi sudah Dia menganugerahkan dengan ujian kesihatan dan fizikal, apakah kita sebagai manusia akan membentak sedangkan Dia sudah membentangkan segala nikmat sebagai pinjaman. Sihat dan sakit itu ujian, maka berlapang dadalah menghadapi ujian Allah.

Astaghfirullah hal azhim.
Astaghfirullah hal azhim.
Astaghfirullah hal azhim.

Dialog demi dialog bergema, pada halwa telinga yang mendengar meski sudah BERTAHUN ia berlagu namun sehingga kini ia bermain-main. Allah...


Eh, sedar tidak sedar sebenarnya ana mahu menukilkan sesuatu... [Zuriat Yang Dinanti] - tajuk ini sudah ana rangka dalam minda sejak awal namun mukaddimah (pendahuluan) yang panjang lebar, tiba-tiba lari tajuk. Hehehe. Mungkin mukaddimah sudah menjadi sebuah entry yang mana mukaddimah sudah berisi, maka isi selebihnya bertemu dalam entry akan datang saja lah. Anggap saja mukaddimah sebagai pencerahan minda :)

Sesekali membiarkan jari jemari menari mengikut rentak hati, tersasar jauh dari isi yang utama. Maafkan ana. Insya Allah, ana akan sambung kembali penulisan ini [Zuriat Yang Dinanti].

Wallahua'lam.

Hamba Ilahi,
Insyirah Soleha
Baiti Jannati

Read more...

15 July 2010

Bahagia Dengan Taqwa!

Bismillahirrahmanirrahim.

Ana sedang mengalami masalah untuk menulis, momentum penulisan jatuh merudum dan semangat untuk menulis berada di lantai paling minima. Muhasabah terbaik, memikirkan tulisan-tulisan sebelum ini yang masih lagi mentah. Pada suatu malam, disebabkan mata yang tidak mampu dilelapkan sempat search 'Saya Sudah Bertunang' melalui sesawang internet. Ada pelbagai versi, 'Saya Sudah Bertunang', 'Ana Sudah Bertunang', 'Ana Sudah Khitbah' dan sebagainya. Tersenyum.

Ana sedikit pun tidak berkecil hati kerana ada yang bertindak kurang wajar dalam penyebaran artikel. Maklum, plagiat pada penulisan sangat sinonim apatah lagi menggunakan media elektronik seperti internet. Nilai kejujuran yang semakin nipis, tambah menyedihkan lagi apabila nama pada watak-watak juga berubah. La baks, dalam kesedihan kerana watak bertukar akhirnya membuahkan senyuman. Mudah-mudahan ada 'ibrah disebalik kisah tersebut.

Apa yang orang tak tahu, cerpen tersebut merupakan hadiah buat bekas tunang ana yang kini menjadi suami :) Ana menghadiahkan sebuah cerpen kepada beliau tanpa beliau menyedari cerpen tersebut bertintakan sekeping hati dari bakal isteri yang sedang menghitung-hitung diri dan muhasabah dimana letaknya jiwa ini di sisi dunia. Alhamdulillah, sehingga kini pun beliau tidak tahu cerpen itu hadiah dari ana buatnya (melainkan selepas membaca entri ini).

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai seorang Muslim (yang berserah diri kepada Allah)." (Surah Ali-Imran ayat 102)

Ramai sahabiyah yang mengatakan perkahwinan adalah medan muhasabah dan tarbiyyah paling 'indah', awalnya ana berkira-kira juga apakah kalau tidak berkahwin medan muhasabah dan tarbiyyah 'tidak indah' tetapi selepas menjadi isteri (yang masih mentah) ana sedang belajar untuk mengurus hati dan diri.

Meletakkan awlawiyat sesuatu perkara sehingga membuatkan ana lebih banyak diam dan termenung kerana berfikir. Secara zahirnya, orang melihat ana banyak ketawa selepas berkahwin dan banyak pula makan (adus, rosak dah diet) tetapi itu zahirnya, yang terselindung disebalik apa yang terzahir adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk diungkap.

Sebulan pertama berkahwin, duduk sekali dengan suami dan masih menjalani kehidupan normal. Kemudian, apabila suami mendaftar sebagai pelajar sarjana di UKM sudah berubah rentak kehidupan. Seminggu berjauhan terasa kekosongan, sepanjang bersama suami setiap hari pasti ada tazkirah dan 'kuliah' yang diberikan. Hati yang kosong dan jiwa yang kering gersang seakan disuburkan dengan benih-benih bunga yang mengeluarkan kelopak-kelopak indah.

Alhamdulillah, walaupun abi bukanlah seorang abid tetapi beliau tetap menitikberatkan calon pasangan buat ana. Sedikit pun abi tidak membantah mahupun memaksa ana untuk menerima suami, sebaliknya ana merasakan rahmat untuk menjadi sayap kirinya. Alhamdulillah. Hanya agama yang menjadi sumber untuk menerangi hati yang malap, hanya dengan tawakal dan yakin pada qada' Nya membuatkan ana bergelumang dengan kelopak-kelopak indah yang mewarnai hati.

Seminggu berjauhan dengan suami sudah terasa kehilangan sesuatu, bukan merindui sosoknya yang zahir tetapi rindu pada sentuhan tarbiyyah pada jiwa dan roh yang dahaga. Sesekali menyelak helaian buku yang tersimpan di rak, tiada semangat untuk meneruskan pembacaan sehingga merasakan semangat untuk menulis juga turut merudum! Hati yang kering perlu disiram dengan ilmu hikmah dan tarbiyyah, maka ana amat merindui suasana tarbiyyah dari suami.

Masakan hati dan jiwa akan kenyang andai tidak diberi makanan? Andai jasad memerlukan makanan untuk meneruskan aktiviti fizikal, roh juga memerlukan makanan untuk kesihatan jiwa. Andai jiwa sakit, fikiran juga akan kurang waras yang menatijahkan ketidaksejahteraan pada hati. Alangkah hati ini merindui sesuatu yang akan mewarnai kembali kelopak-kelopak bunga yang semakin pudar warnanya.

Akhirnya, ana mengambil masa seminggu untuk duduk kembali dengan suami. Alhamdulillah, terasa sedikit perubahan pada kelopak-kelopak yang pudar. Kali ini, suasananya sudah berubah. Mungkin suami tahu corak kehidupan yang bakal dilalui, maka suami tidak lagi memberi curahan ilmu seperti dahulu. Sudah seminggu di sisi suami, tarbiyyah 'tidak langsung' darinya sentiasa membuatkan ana berfikir dalam diam. Tanpa disedari sesiapa, ana belajar untuk belajar dan menerima apa yang mahu disampaikan.

Berjalan di tepi tasik pada satu petang, sengaja mengorek sesuatu dari hati lelaki.

"Dah lama tak bagi tazkirah, rindu..."

"Eh, selalu je bagi cuma tak sedar. Tarbiyyah secara tak langsung."

Senyum. Sambil melihat air yang tenang di tasik yang semakin kering, entahlah kering kerana tiada hujan atau kering kerana persekitaran yang tidak membantu takungan air. Tasik buatan yang indah, kelilingnya ada perumahan sederhana. Di belakang pondok kami, ada seorang lelaki tua sedang menyiram pokok-pokok bunga. Ana memandang, tersenyum.

Begitulah kelopak di taman hati ana, perlu disiram dan baja.

Suatu malam lainnya pula, sengaja menduga suami untuk mengikut solat berjemaah di surau. Teguran darinya buat ana diam dan berfikir panjang, selepas beliau ke surau baru ana senyum sendirian. Betapa sifat 'pelindung' seorang suami sangat perlu untuk isteri, masakan sesuatu yang Dia hadirkan adalah sia-sia. Kuliah di surau yang sangat rancak, ditambah pula kalau suami sendiri yang berada di hadapan... Namun, duduknya wanita itu adalah di rumah.

Antara solat di masjid dan surau, di surau terlebih baik. Antara solat di surau dan rumah, di rumah terlebih baik. Antara solat di rumah dan bilik, di dalam bilik terlebih baik buat muslimah. Tetapi Rasulullah tidak menghalang mana-mana wanita muslimah yang mahu menunaikan solat berjemaah di masjid.

"Apa hikmahnya muslimah tidak digalakkan solat di masjid?"

"Islam itu sangat menjaga wanita, biasa la orang perempuan ke mana sahaja pasti berhias. Kalau ke masjid, mungkin telekungnya berhias. Dan mungkin ada lelaki yang melihat cara berjalan seorang wanita dan sebagainya."

Senyum.

Ini bukan pemikiran ortodoks atau kuno mahupun konservatif. Ia adalah sesuatu yang semakin terhakis dari suasana kehidupan yang memaksa wanita menuntut haknya sama seperti lelaki. Tidak salah wanita keluar dari rumah, tetapi disebabkan fitrah wanita yang sangat menyukai kecantikan dan perhiasan maka dimana sahaja seorang wanita itu berada pasti sedikit sebanyak akan berhias. Wallahua'lam. Beruntunglah lelaki yang bijak berdepan dengan wanita, meletakkan fitrah pada tempatnya.

Tapi, selalunya wanita berhias di luar rumah sedangkan di dalam rumah rupanya terkadang menakutkan T_T Ana sedang belajar bahawa perkahwinan merupakan medan muhasabah dan tarbiyyah. Belajar untuk menjadi cantik di dalam rumah dan belajar untuk tidak berhias di luar rumah.

"Sayang, siaplah cepat...! Awak tu tak boleh keluar pakai macam ni."

"Kenapa pula tak boleh?"

"Lillahitaala..."

Tergelak.

Bukan tak tahu tatacara pemakaian muslimah di luar rumah tetapi seperti biasa memang ada saja topik yang akan menjadi punca kami 'berbalah'. Ana yang kuat merapu dan suami yang juga banyak idea mengenakan ana semula, sangat ceria kerana masing-masing mahu menang.

"Boleh tak kalau tak nak pakai sarung tangan?"

"Entah. Ikut la..." Suami melihat-lihat baju ana.

"Ish Abang ni, cakap la 'Sayang pakai la sarung tangan.' Cakap cepat."

"Iye, pakai sarung tangan, sarung kaki dan sarung muka."

"Sarung muka?"

"Ye la, niqob."

Gelak megah. Berjaya mengenakan isteri yang masih kanak-kanak blackcurrent.

Ada sahabat yang mengatakan bahagia melihat ana ceria dan gembira selepas berkahwin. Ana hanya menyambut dengan senyuman. Alhamdulillah. Kalau ditanya, ana hanya satu satu perkara. Hidup ini atas landasan taqwa pada Allah, mengharapkan keredhaan Allah dan menjalani kehidupan ini semata-mata kerana rahmat Allah. Tanpa bantuan Allah, Insyirah bukan sesiapa.

Hidupnya seorang Insyirah dari setitis mani yang hina, segumpal darah yang tidak berharga tetapi Allah mengangkat manusia menjadi sebaik-baik ciptaan dan manusia ini diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Manusia yang paling hebat ibadahnya adalah manusia yang menjauhi perkara yang HARAM. Hanya dengan berusaha menjadi hamba yang bertaqwa akan mampu menjadi manusia yang hebat ibadahnya!

Apakah yang dikatakan taqwa?

Taqwa itu seperti melalui jalan yang penuh duri. Engkau mengangkat kainmu dari ditarik duri dan engkau berhati-hati melangkah kerana mengelak dari memijak duri.

Zaman sekarang, duri-duri itu terkadang dilalui dengan sengaja meskipun tahu peritnya terasa namun masih degil dan merasa bangga andai melakukan dosa! Na'uzubillah.

Setiap kali seorang wanita menyakiti suaminya di dunia ini, para isteri suaminya dari kalangan bidadari syurga akan berkata : "Janganlah engkau menyakitinya, semoga Allah membunuhmu. Dia hanya titipan buat dirimu, sebentar lagi dia akan meninggalkanmu dan menemui kami." (HR Tirmidzi)

Rumusannya, hanya dengan bertaqwa kita akan menjadi manusia yang bahagia. Wallahua'lam.

"... maka wanita yang solehah adalah wanita yang taat kepada Allah, memelihara diri ketika suaminya tiada. Oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)...." (Surah An-Nisa' ayat 34)

Apa yang ana selalu perasan, setiap kali keluar meninggalkan rumah semasa menghantar suami ke hadapan pintu pasti suami akan menitipkan doa. "Ya Allah, peliharalah isteriku..." bonus buat isteri, mentaati suami selagi bergaris pandu pada syara' adalah sama seperti mentaati Allah. Sifirnya mudah, belajar meluruskan hati dengan niat untuk beribadah kepada Allah, maka apa saja yang dilakukan adalah kerana Allah.


Bertaqwa, maka akan bahagia. Insya Allah!

Al-faqirah,
Insyirah Soleha
Teratak 1052
Sungai Buloh
9.00 malam

Read more...

09 July 2010

Bicara Tuhan

Bismillahirrahmanirrahim.

Bersyukurlah andai terbit rasa ketidakmampuan,
Itu tandanya hamba sentiasa perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai diri merasa keletihan,
Itu tandanya hamba sentiasa perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai hatimu diterjah kekecewaan,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai hatimu diamuk kesepian,
Iitu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai dirimu terasa sendirian mengharungi segala tanpa teman,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai kehilangan sebuah kekuatan,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai jiwamu merintih untuk sebuah ketabahan,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

Bersyukurlah atas segala keperitan dan kepayahan yang disalurkan,
Kerna di situ lahirnya jiwa rasa hidup berTUHAN!

DIA sedang mentarbiyyahmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah!
Bersyukurlah!
Bersyukurlah!

Kerna kau menjadi pilihanNya!

Biar segunung ujian didatangkan,
Kentalkan jiwa dengan haruman ketaqwaan,
Moga ianyakan menjadi saksi di hari pertemuan!


Alhamdulillah, puisi yang indah karangan yang lahir dari hati yang meletakkan jiwanya pada paras yang rendah sehingga menjentik hati-hati yang lalai untuk kembali muhasabah. Jazakillah pada penulis puisi ini, moga Allah memberkati kehidupanmu :)

Hati itu andai dibiarkan dalam genggaman Allah dan larut dalam keagungan Nya, insya Allah akan sentiasa aman dalam peliharaan Allah. Andai dibiarkan tanpa mengikat (tali penghubung) pada Allah, akan buas dan ganas dalam mentadbir urusan hati yang akhirnya mematikan fungsi akal yang dikurniakan Allah kepada manusia.

Hati itu berbolak balik sifatnya, terkadang di atas terkadang di sisi dan mungkin dalam beberapa saat akan berubah berada di bawah. Kedudukan hati juga terkadang damai sedamai di taman yang indah, terkadang umpama ditiup angin beliung sehingga goyah tergonggang, ada waktu dan ketika bagai diterpa taufan sehingga terduduk lemah di bumi, ada waktu terdampar di pesisir kerana sentapan tarbiyyah lembut dari Allah tidak dihiraukan sehingga Dia menyentap untuk menyedarkan hati yang lalai, "Hai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Kembalilah kepada jalan yang Aku redhai."

Hati itu kadang kala bicaranya melunak, sehingga air mata jatuh merembes di pipi. Tatkala hening pagi menyapa, embun menitis mengucapkan salam buat hati-hati yang sedang khusyuk mengadap Ilahi. Pada sembah dan sujudnya pada Rabbi, embun-embun yang menitis ke bumi menyirami hati-hati manusia yang selalu tunduk kepada Nya. Maka, segar dan selalu kelihatan berseri pada wajah yang lahir dari biasan hati yang indah. Masya Allah!

Hati itu ada ketikanya keras membeku, hujan lebat yang menyirami tandus hati yang gersang juga tidak mampu menyirami hati yang beku. Mazmumah yang berkarat likat pada hati, tompokan dosa yang melingkari sehingga membutakan fungsinya iman dan taqwa lalu tunduk pada nafsu dan maksiat. Allah... Allah...

Duhai hati, jangan engkau buas dengan dunia. Dunia ini tiada yang kekal, ia pasti ditinggalkan. Duhai hati, jangan engkau terpesona dengan dunia. Dunia ini bukan dicipta untuk bermukim di daerah hati tetapi sekadar di hujung jari agar mudah engkau melepaskannya.


Andai hati ini kepunyaan Dia, siapalah manusia untuk mencacinya.
Andai hati ini kepunyaan Dia, siapalah manusia untuk merobeknya.
Andai hati ini kepunyaan Dia, apakah sebenar takrifnya pada perbuatan kita?
Andai hati ini kepunyaan Dia, mengapakah masih lagho dengan dunia?

Hai hati... Dengarlah bicara dari Tuhanmu, kerana hati itu milik Yang Esa, letaknya dalam jasad manusia sebagai nakhoda pada kemudi layar kehidupan. Wahai diri, bawalah hatimu kembali kepada Tuhan!

Insyirah Soleha
Baiti Jannati

Read more...

07 July 2010

Happy 16th Birthday

Bismillahirrahmanirrahim.


7-7-1994 ~ 7-7-2010

Alhamdulillah, sudah 16 tahun adik bujang ana ni. Dah ada misai dan janggut yang entah berapa urat (tapi yang berurat tu juga lah dibanggakannya :p). Bila tengok sekali imbas, mungkin orang tak nak percaya usianya baru 16 tahun. Dahulu, bila keluar berjalan dengan adik pasti orang akan memandang semacam, terkadang perasan gadis-gadis melirik pada adik bujang ana. Haha... Tapi disebabkan berjalan dengan 'awek', orang melirik hujung-hujung mata jer la tak tengok sangat.

Adik bujang ana juga selalu disangkakan skandal gelap ana, kui kui kui. Dahulu, bila berjalan dengan abang sulung pasti orang akan cakap kami couple, bila berjalan dengan abi orang dengan mudah melabelkan ana isteri muda. Tapi kini bila berjalan dengan adik bujang, orang menyangka 'ada apa-apa'. Mungkin sudah jadi budaya dalam masyarakat kini, kalau lelaki dan perempuan berjalan berdua pasti pasangan bercinta. Pernah juga ana merasa 'malu' untuk keluar dengan abang atau adik bujang ana, bimbang dipandang pelik lalu menghasilkan ruang dan peluang untuk orang su'udzon (buruk sangka) tetapi abi dengan mudah berkata.

"Kenapa nak malu, bukannya buat dosa pun. Orang yang buat dosa pun tak malu dengan Allah, apatah lagi nak malu dengan masyarakat. Syirah bukan buat dosa, buat apa nak malu."

Sudah menjadi satu bentuk tarbiyyah pula bila berjalan dengan abang atau adik bujang pasti orang memandang pelik. Huhuhu... Selagi Allah mengetahui kebenaran, maka dibiasa-biasakan juga keadaan. Sekarang, bila berjalan dengan Encik Zauj tak kisah orang nak fikir apa pun. Dalam hati 'Ohoooo, we're married!' lalalalaaaa... :)


So, Encik Aiman the Birthday's Boy...

[1] Walaupun orang selalu guess anda sudah berusia 20-an itu tandanya anda kelihatan matang. Silalah berbangga dengan perkara tersebut, keh keh keh.

[2] Walaupun anda sudah mampu memandu kereta pada kelajuan 160 km/j di lebuh raya dengan muka selamba tak bersalah, sila belajar memandu secara berhemah. Patuhi undang-undang jalanraya (eh, budak 16 tahun agak-agak boleh memandu kereta ke di sisi undang-undang? Haha, soalan cepumas!)

[3] Walaupun anda sudah mampu memandu kereta pada kelajuan 60 km/j di jalan Cameron Highlands-Kampung Raja dengan sebelah tangan memeluk bantal, tolonglah lebih berhati-hati. Keras kaki tangan akak yang comel ni duduk di kerusi belakang.

[4] Walaupun anda selalu 'bakar line' orang, tapi anda jugalah yang selalu buat orang ketawa. Hihihi, sangat pandai mengarah adik-adik tapi diri sendiri tolonglah jadi lebih rajin :p

[5] Moga diberikan petunjuk dan inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh, enlight your future life dear lil bro! SPM tahun depan :)

Barakallahu fiik, moga Allah memberkati kehidupanmu di dunia dan akhirat. Ameen.


With a bouquet of love,
Insyirah Soleha
Baiti Jannati
5.40 pm

Read more...

01 July 2010

Selembar Kasih

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Pejam celik sudah separuh dari tahun 2010 dilewati. Ada suka dan duka, pahit dan manis, pasti berselang seli tawa dan air mata. Lumrah sebuah kehidupan, tidak manis andai semuanya tersergam indah kerana lopak-lopak perjalanan mengajar kita untuk berhati-hati melangkah ke hadapan. Sikap berhati-hati yang dipandu iman dan taqwa moga menatijahkan husnul khatimah. Ameen :)

Hari ini, terasa bahagia. Seseorang yang dikenali menerusi alam maya ditemui bertentang mata di alam realiti. Tidak lama usia perkenalan kami, tidak banyak yang diketahui tentang diri masing-masing namun jemputan ke rumahnya ana dan suami raikan. Perancangan awal untuk bertemu semasa walimah ana Allah gantikan dengan pertemuan lain yang lebih indah, alhamdulillah.

"Syira, akak ni pemalu tau. Kalau orang dah kenal cakap akak ni banyak cakap, kalau tak kenal cakap akak ni pendiam."

Tersenyum membaca kiriman SMS, sama saja seperti ana. Terkadang, boleh senyap membisu dan bila kena dengan cara dan bualan boleh bercakap berjela-jela.

Tiba di rumah sahabat jam 5.30 petang, alhamdulillah tidak susah dan Allah permudahkan lantaran suami sudah biasa dengan jalan di sekitar kawasan rumah sahabat. Pertama kali bertemu mata, terasa salah orang kerana gambar yang pernah sahabat kongsikan menerusi ruangan YM agak berbeza dengan kelibat insan di hadapan.

"Akak lain la..."

Seketika kemudian, sahabat muncul dari dapur dengan dulang berisi air dan... kek batik! Ya Allah, tersenyum ke arah suami dan tersipu-sipu jadinya. Sudah lama ana 'mengidam' nak makan kek batik, merengek pada Cik Aisyah dan request kek batik dengan harapan waktu ziarah Cik Aisyah sebelum masuk kampus dapat makan kek batik buatannya. Allah percepatkan hasrat untuk makan kek batik, hik hik hik.

Dua dalam satu, dapat berukhuwah dengan sahabat dan dapat makan kek batik. Wah, bahagia sungguh. Makin tembam pipi ana selepas kahwin, hihihihi. Misi untuk mengempiskan pipi dalam masa beberapa hari akan dimulakan, bermulanya 'perpisahan' dengan suami akan bermulalah episod diet.

Kononnya kurus 'ditinggalkan' tetapi memang berhasrat dan bercadang untuk kurus kering.

Berbual sebentar dengan sahabat, suami ke belakang untuk bertemu dengan ayah sahabat yang sudah uzur. Ya! Peluang untuk berdua, girl's talk. Kedua-dua yang sebenarnya 'berat mulut' dengan orang yang baru dikenali masing-masing 'ringan mulut' dan ana sangat selesa berbual dengan beliau :)

1 jam beramah mesra (walaupun masih malu-malu kucing siam; mentang-mentang la sebelah siam je), minta diri.

"Raya nanti datang la ye, dah tahu rumah kan."

Tersenyum, insya Allah. Dijanji manis dengan kek coklat, yummy! Uh, makan lagi baru je tadi cakap nak kurus kan... T_T

"Syira, akak lupa nak ambil gambar dengan Syira tadi."

Mula tersenyum sendirian, excited bercakap tak teringat pun nak bergambar. Hihi, padahal masing-masing suka bergambar. Tak apa, insya Allah ada masa untuk bergambar yang Allah aturkan pasti lebih baik dari hari ini :)

"Syira, secret admire kirim salam."

Bulat mata ana, secret admire?

"Syira tak kenal dia pun, dia tag cerpen Saya Sudah Bertunang pada akak. Then, bila akak tahu Syira yang tulis cerpen tu akak tanya la dia kenal Syira tak. Akak bagi link blog Syira pada dia. Semalam akak bagitahu Syira nak datang dan forward mesej yang Syira bagi pada dia."

Oh gitu... Yang menghubungkan Insyirah Soleha dengan 'secret admires' bukan paras rupa atau bahasa yang meliuk lentok tetapi ingatan pada kematian. Dalam perjalanan pulang dari rumah sahabat, melalui sebuah 'perkampungan'.

"Abang, berhenti sekejap."

Mata dialihkan ke kiri jalan, allah...

"Abang, bakal tempat kita tu."

Bukan melihat pada gahnya bangunan rumah yang tersergam indah, bukan terpesona dengan kilauan kristal yang menghiasi perhiasan rumah, bukan terpana pada kecantikan binaan konkrit yang mula berceracak tetapi hati kecut melihat sepintas lalu... Kubur.

Teringat diolog selepas beberapa hari bergelar isteri.

"Kalau Abang mati dulu, Sayang mandikan Abang ye."

Telan air liur. Baru beberapa hari menjadi isteri kepada seorang lelaki, sudah dia 'amanah' dan wasiatkan agar kematian menjemputnya dahulu maka ana dipesan untuk memandikan jasadnya. Itu kepastian pada selembar kasih, segunung mana sekalipun cinta bersulam dan melangit mana cinta disemai tetap juga akan menghuni perut bumi.

Kasih kita terbina kerana kita sama-sama menuju perkampungan Barzakh, melewati negeri Abadi. Wallahua'lam.

Insyirah Soleha,
Kelantan

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO