Saat Doa Dimakbulkan
Bismillahirrahmanirrahim
Dalam menempuh kehidupan ini, kita tidak sunyi dari ujian dan nikmat yang dibentangkan oleh Allah taala. Setiap tahap iman kita pasti ada ujian, andai lulus ujian pasti ada ujian yang akan datang. Ujian-ujian yang akan mematangkan seorang hamba, menjadikan seorang hamba tunduk dan patuh sekiranya dia benar-benar mengambil 'ibrah (pengajaran) dari apa yang berlaku. Seorang muslim tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama 2x. Setiap yang Dia datangkan untuk kita fikirkan, pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang terjadi.
Sebagai seorang muslim, kita meyakini adanya Allah dan kita tahu bahawa doa itu senjata umat Islam. Doa adalah penghubung antara manusia dan Tuhan, doa juga merupakan luahan hati dan permintaan hamba kepada Tuhan, doa juga menjadi kekuatan tatkala ditimpa musibah demi musibah bahkan doa juga mampu menenangkan jiwa yang resah.
Allah menyuruh kita meminta kepada Dia, manusia yang sombong dan bongkak saja tidak tahu dan tidak mahu meminta kepada Allah. Sedangkan hakikatnya kita mengerti, Allah tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan Allah sebagai sumber kekuatan dalam menempuhi kehidupan yang penuh dengan onak melata. Sunnah orang berjuang, di hadapan manusia sentiasa kelihatan tenang dan tabah namun saat sendirian dia menangis tersedu-sedan.
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah ayat 45)
Solat itu penghubung hati hamba dan Tuhan, ramai manusia apabila ditimpa musibah akan saling memberi kalimah sabar dan mendoakan semoga tabah tetapi jarang pula orang yang ditimpa musibah diingatkan untuk solat. Kunci kekuatan muslim adalah pada imannya, masakan hatinya membulat tegar andai imannya tidak disegarkan. Hidupkan kembali hati yang berduka dengan menghidupkan hubungan dengan Tuhan, ceriakan jiwa yang luka dengan memperbaiki hubungan dengan Tuhan.
Mohonlah kepada Allah, mengadulah sepenuh hati kepada Allah. Biar tangisan mengalir kerana mujahadah dalam kehidupan daripada menangis kerana tersungkur dalam perjuangan.
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran ayat 139)
Meyakini wujudnya Allah, meyakini bahawa kehidupan di dunia ini akan berakhir dan adanya kehidupan yang lebih panjang bahkan kekal selamanya. Kesedihan umpama angin yang mendesir pada hati, ungkaplah kalimah cinta sepenuh hati dalam solat dan sembah pada Rabbi. Kedukaan umpama pasir yang mengelus lembut di celahan jari tatkala berjalan di tepi pantai, sulamilah dengan zikrullah untuk meredakan duka yang bersarang di hati.
Anggap saja celahan jari itu umpama hati, tapak kaki menyusur di pesisir pantai. Ombaknya bergulung namun kita tenang melihat gulungan demi gulungan tersebut. Bagi menikmati keindahan gulungan ombak dan merasai panorama tersebut, kita melalui pesisir pantai tetapi kaki kita diselaputi dengan pasir-pasir halus yang akan membuatkan kita kurang selesa. Begitulah hati yang sedang di uji, tidak selesa dengan kehadiran kedukaan tersebut. Tetapi, air di pantai mampu membuang pasir yang melekat di celahan jari. Itulah perumpamaan zikrullah yang sentiasa basah di hati, ia akan mengikis sedikit demi sedikit kusamnya warna hati lalu digantikan dengan warna-warna yang akan menghiasi hati tersebut :)
Sunnatullah kehidupan, fitrahnya hati tenang pada perkara kebaikan dan apabila dicampur aduk dengan perkara yang batil maka hati akan selalu gundah gulana.
Apabila di uji, itu tandanya Allah sedang berbicara dengan hamba. Jarang pula kita mahu 'mendengar' bicara Allah melalui ujian, malahan sering pula kita merungut tentang apa yang kita hajatkan tidak dimakbulkan. Bukankah nikmat-nikmat Nya sudah terlalu banyak dibentangkan? Begitulah sifat manusia, Allah sudah menukilkan di dalam al-Quran "... sedikit di kalangan hamba-hamba Ku yang bersyukur."
Usah dipinta diberatkan dengan ujian kerana hanya Allah yang tahu kekuatan hati seorang hamba. Pintalah diberatkan hati dengan iman tatkala ujiannya singgah di relung jiwa. Moga keakraban hubungan dengan Allah, doa-doa yang dilantunkan kepada Allah akan menjadikan kita manusia yang sentiasa merendah diri di hadapan Allah. Kita meyakini adanya Allah, tetapi sejauh mana kita meyakini pertolongan Allah?
Di antara doa-doa yang kita hajatkan kepada Allah, adakalanya tidak dimakbulkan dan kita terus meyakini adanya pertolongan Allah. Istiqamah dalam pengharapan lalu diberikan pula kita dengan yang lebih baik dari apa yang kita hajatkan, allahuakbar betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hamba Nya tetapi kita masih lupa dan tidak mahu bersyukur kepada Allah.
Di saat kita memilih haluan penerokaan bidang di alam universiti, kita berhajat kepada pilihan yang paling disukai. Alhamdulillah, ada yang mendapatkan apa yang dihajati tetapi ada pula yang menerima ketentuan dan takdir Ilahi. Aturan Nya berhikmah, pasti disediakan yang terbaik andai kita menerima takdir dengan berlapang dada. Kita akan menjadi orang yang beruntung andai kita memanfaatkan ilmu tersebut pada jalan yang betul.
Pada yang memiliki apa yang diharapkan, terlupa pula untuk meneruskan perjuangan dan meletakkan pelbagai perkara remeh di dalam kanvas kehidupan, lupa pada cita-cita untuk cemerlang dan hanya puas walau sekadar cukup-cukup makan. Bukankah doanya telah didengar Allah, Allah pula telah memakbulkan doa tersebut. Mengapa membiarkan diri ditelan arus, terlupa pada rintihan dan doa kepada Rabbul Izzati suatu ketika dahulu?
Di saat kita masih seorang gadis dan teruna, kita setia meminta supaya Allah berikan pasangan yang terbaik untuk kita, pasangan yang soleh solehah sebagai peneman kehidupan dunia dan akhirat. Dia menangguhkan permintaan kita, kita setia menanti dan berusaha memperbaiki kelemahan diri. Setiap hari yang berlalu dirasakan sungguh berat, permintaan belum dimakbulkan oleh Allah. Sehingga satu tempoh yang Dia uji bagi melihat kesungguhan hamba Nya, akhirnya diberikan dengan calon pasangan yang LEBIH BAIK dari apa yang diharapkan.
Kita bersyukur, dalam rendah diri dan menginsafi betapa pemurahnya Allah kepada kita... Adakala kita terleka dengan pemberian tersebut, sudah Dia hadirkan calon yang baik buat kita namun hajat kepada yang soleh dan solehah itu tidak selari dengan usaha kita selepas doa dimakbulkan Tuhan. Ramai yang mengharap pasangan yang soleh solehah, apabila Dia memberi kita malahan merungut apabila tunang tidak mahu keluar bersama, merajuk apabila tunang diam tanpa khabar berita, kecil hati tidak disulami bahasa cinta, rindu apabila lama tak bermesra.
Bukankah asalnya kita berhajat kepada yang soleh dan solehah? Adakah soleh dan solehah itu hanya ketika "single and available" saja? Adakah ciri soleh dan solehah boleh dikikis dan dikecualikan kepada tunang yang masih HARAM untuk bergaul mesra? Ramai yang sewenangnya meringankan banyak perkara dalam tempoh bertunang sedangkan hatinya berhajat kepada yang soleh solehah.
'Si soleh' sudah pandai mengajak 'si solehah' keluar membeli barangan persiapan perkahwinan, sudah berani menghantar ayat-ayat rindu dan sudah sasau apabila 'si solehah' berdiam. Begitu juga sebaliknya. Terlupa untuk menjaga hati yang begitu mudah tergelincir dari landasan. Hebatnya syaitan dalam menyesatkan manusia. Bukan salah syaitan, itu tugasnya. Tetapi, salahkan diri sendiri yang tidak memperhebat hubungan dengan Rabbi. Masakan hati tidak bergelora, hubungan dengan Tuhan sudah tidak dipelihara.
Ramai menyangka pertunangan adalah LESEN untuk meringankan atau membenarkan apa yang selama ini diberat dan dijauhkan. Bahkan ramai pula yang merelakan kesucian dan maruah diri (dan agama) di ragut sebelum berkahwin atas alasan "kami sudah bertunang" apakah ada kepastian bahawa pertunangan akan berakhir dengan perkahwinan?
Di saat kita menjadi seorang isteri dan suami, kita berhajat untuk memiliki yang soleh dan solehah sebagai penguat diri untuk saling memotivasi dan menopang semangat di dalam perjalanan kehidupan. Allah memakbulkan permintaan lalu Dia menghadirkan ciri soleh dan solehah kepada pasangan, mengapa kita perlu membentak apabila dikejutkan solat subuh oleh pasangan? Haruskah bermasam muka tatkala suami menegur isteri untuk memelihara aurat dengan sempurna? Perlukah berkecil hati apabila isteri menegur suami yang alpa bermain permainan video sehingga solat di akhir waktu?
Perkahwinan bukan sebuah perjanjian keseronokan seperti di taman tema permainan, perkahwinan bukan sekadar berkumpulnya seorang lelaki dan perempuan tetapi perkahwinan itu sebuah kehidupan yang ada hujung pangkalnya, ada arah dan tujuannya, ada misi dan visinya.
Suami sebagai imam, nakhoda sebuah kapal. Isteri sebagai pembantu, akan menegur apabila laluan perjalanan tersasar dari peta di tangan. Bukankah sama-sama mahu menuju jalan yang diredhai Tuhan sepertimana 'cerewetnya' kita sebelum bertunang? Sudah diminta pasangan yang soleh solehah, apabila dimakbulkan permintaan perlukah kita merungut dengan Tuhan?
Di saat kita menjadi ibu dan ayah, kita mahu zuriat yang soleh solehah sebagai saham akhirat. Tuaian ilmu agama di suburkan dengan sunnah Rasulullah akhirnya menghadirkan khalifah-khalifah kecil yang bersemangat baru. Tatkala umur si anak merangkak dewasa, kita bekalkan dengan ilmu agama. Di saat anak cuba mengamalkan ilmunya, ada ketika si ibu dan ayah terleka dengan urusan dunia haruskah kita memaki hamun anak yang menegur ibu dan ayah yang mengabaikan solat? Perlukah kita rimas tatkala anak-anak merangkul erat al-Quran dan memperdengarkan kalam-kalam Tuhan?
Bukankah dahulunya kita berhajat untuk memiliki anak-anak yang soleh solehah, apabila doa sudah Dia makbulkan kita tidak berpuas hati dengan apa yang Dia pinjamkan.
Apabila hati tidak dihidupkan dengan ilmu, tidak pula disuburkan dengan amal maka sedikit demi sedikit cintakan dunia akan melekat pada dinding hati. Andai suatu ketika dahulu hebat dalam usrah dan aktif pula dengan dakwah, apabila ditinggalkan sedikit demi sedikit maka semakin jauhlah ingatan pada "doa" dan "harapan" yang dahulunya menjadi hafalan.
Usahlah dibebankan dengan apa yang aku tidak sanggup.
"Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal." (Surah Ali Imran ayat 160)
La ilaha illaLLAH.
"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Surah Ali Imran ayat 200)
Wallahua'lam.
p/s: Banyak contoh, tetapi tidak mampu membawa kesemuanya. Wahai anak-anakku sayang, pimpinlah hatimu kepada Allah dan gantunglah hatimu kepada Allah.
Tawakkal alaLLAH,
Insyirah Soleha.
2 leaves:
Rajinkan diri berdoa :)
bERDOA dan Mohonlah kepadaNya..
~moge bahagia selalu dik syirah syg~
Post a Comment