Gemuruh Tangisan Kerana Rasulullah Diqisas
Petikan buku : Senyum & Tangis Rasulullah [Hidayatullah Mohd Syarif Aziz]
Pada saat sudah hampir ajal Rasulullah s.a.w., baginda menyuruh Bilal azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpul para muhajirin dan ansar di masjid Rasulullah. Kemudian, Rasulullah menunaikan solat dua rakaat bersama semua yang hadir. Setelah selesai, baginda bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata:
Alhamdulillah, wahai para muslimin, sesungguhnya saya seorang Nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izin Nya. Dan saya ini adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu, kalau ada sesiapa yang mempunyai hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun dan membalasi saya sebelum saya dituntut di hari kiamat.
Rasulullah berkata demikian sebanyak 3x, kemudian bangunlah seorang lelaki yang bernama ‘Ukasyah b Muhshan dan berkata; Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah, kalau tuan tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini.
Lalu ‘Ukasyah berkata lagi; Sesungguhnya dalam Perang Badar saya bersamamu Rasulullah, pada masa itu saya mengikuti unta tuan dari belakang, setelah dekat saya pun turun menghampiri tuan dengan tujuan supaya dapat mencium tuan, tetapi tuan telah mengambil tongkat dan memukul unta tuan untuk berjalan cepat, yang pada masa itu saya pun tuan pukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu, saya hendak tahu sama ada tuan sengaja memukul saya atau hendak memukul unta tersebut.
Rasulullah berkata; Wahai ‘Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.
Kemudian, Rasulullah berkata kepada Bilal; Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkat aku bawa ke mari.
Bilal keluar dari masjid menuju rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di atas kepada dengan berkata; Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk dibalas (Qisas).
Setelah sampai di rumah Fatimah, maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah menyahut dan berkata; Siapakah di pintu? Lalu Bilal berkata; Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk mengambil tongkat beliau. Kemudian Fatimah berkata; Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya? Bilal berkata; Wahai Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqisas. Bertanya Fatimah lagi; Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqisas Rasulullah?
Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah, sebaik sahaja Fatimah memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah. Setelah Rasulullah menerima tongkat tersebut dari Bilal maka baginda pun menyerahkan kepada ‘Ukasyah. Melihat hal ini, maka Abu Bakar dan Umar tampil ke hadapan sambil berkata; Wahai ‘Ukasyah, janganlah kamu menqisas Baginda Rasulullah tetapi qisaslah kami berdua.
Apabila Rasulullah mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar maka dengan segera baginda berkata; Wahai Abu Bakar, Umar, duduklah kamu berdua sesungguhnya Allah telah menetapkan tempat untuk kamu berdua. Kemudian Ali bangun dan berkata; Wahai ‘Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa di samping Rasulullah. Oleh itu, pukullah aku dan janganlah menqisas Rasulullah.
Lalu Rasulullah berkata; Wahai Ali, duduklah kamu sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu. Setelah itu, Hasan dan Husin bangun dan berkata; Wahai ‘Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah, kalau kamu menqisas kami sama seperti kamu menqisas Rasulullah. Mendengar kata cucunya, Rasulullah pun berkata; Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua. Wahai ‘Ukasyah, pukullah saya kalau kamu hendak memukul.
Kemudian, Ukasyah berkata; Ya Rasulullah, anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju. Maka Rasulullah pun membuka baju, sebaik saja Rasulullah membuka baju, maka terdengarlah gemuruh tangisan semua yang hadir. Sebaik saja ‘Ukasyah melihat tubuh badan baginda dan berkata; Saya tebus tuan dengan jiwa saya, ya Rasulullah siapakah yang sanggup memukul tuan. Saya melakukan begini adalah sebab saya hendak menyentuh badan tuan yang dimuliakan oleh Allah dengan badan saya. Dan Allah menjaga saya dari Neraka dengan kehormatanmu.
Kemudian Rasulullah berkata; Dengarlah kamu sekelian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.
Kemudian, semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu, para jemaah pun berkata; Wahai ‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu. Engkau telah memperoleh darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah di dalam Syurga.
0 leaves:
Post a Comment