Novel Thriller : AdaMaryam
Bismillahirrahmanirrahim.
Adam, seorang jurutera genius, sangat komited mencipta formula Code X yang bakal mengubah kehidupan manusia seharian. Lelaki itu ada segala-galanya – pangkat, rupa, akal, juga digilai ramai gadis kilang. Tapi lelaki yang pernah digelar ‘playboy pencen’ kini akhirnya tersungkur dengan Maryam yang payah diduga hatinya. Bagi Adam, Maryam lain daripada beratus-ratus ‘minah kilang’ Matsushirota Elektronics (M) Sdn. Bhd. di Pulau Pinang itu.
Siapa Maryam sebenarnya?
Maryam bukan mahu jadikan kerja kilang sebagai kerjaya hidupnya. Dia ada matlamatnya sendiri. Dia juga tak bercadang untuk jatuh cinta; baik dengan Adam mahupun dengan Bani. Maryam menyenangi Bani, juruteknik dari Kelantan yang gila-gila dan sering buat dia tersenyum.
Jeng... jeng... jeng!
... apabila Adam hilang bersama-sama formula Code X dan nyawa mereka semua jadi terancam, Maryam mesti segera buat keputusan. Perlukah dia letak kepercayaan dan cintanya pada Adam?
Kenapa Adam lari? Siapa yang mengancam nyawa mereka? Apakah Code X itu sebenarnya?
* * *
XARINE seorang jurutera yang sering bereksperimen dalam penulisannya. Anda kena baca Adamaryam kerana semua ‘rahsia’ akan terjawab di dalamnya. Karya suspens-santai ala-ala thriller ini pantas dan penuh debaran!
Saya ikuti ketiga-tiga buku tulisan Xarine (Bintang-bintang Ke Syurga dan juga Yuda Di Padang Maya, terbaru adalah AdaMaryam), saya juga ikuti penulisan santai blognya, saya juga pernah berjumpa dengan beliau di rumah saya, saya juga berkenalan dengan isterinya.
Ok.
Keseluruhan, buku ini sangat merangsang minda dan perasaan saya dengan pelbagai eksperimen lapangan kajian di bidang kejuruteraan meskipun hampir 80 % yang diceritakan tu saya tak faham apa benda pun, mungkin sebab saya tak pernah masuk dalam kilang elektronik yang akan membuatkan saya lebih faham dengan barang-barang kejuruteraan tersebut atau kerana saya bukan pelajar kejuruteraan.
Saya sangat menikmati thriller novel ini, mungkin kerana saya sudah mengikuti 2 buku Xarine sebelum ini jadi saya menjangkakan kualiti yang lebih tinggi dalam AdaMaryam. Ilmu-ilmu kejuruteraan yang diadun ke dalam penceritaan ini menghidupkan watak Adam si jurutera, Bani dan Beghi si juruteknik dan sebagainya. Jujurnya, saya enjoyed! Sampai saya suruh suami baca novel ini :)
Novel ini memang ada selitan debaran perasaan tentang cinta, tetapi saya tak fikir itu fokus utamanya dan saya tidaklah begitu terangsang dengan kisah percintaan yang dihidangkan kerana fokus saya lebih kepada Code X, saya cuba menghadam kisah lalu menerjah watak ke watak untuk meneka siapakah yang menjadi dalang disebalik apa yang berlaku.
Huru hara hidup Maryam membuatkan saya tersenyum. Dalam kelam kabut dan suasana lintang pukang masyarakat yang semakin menjauh dari agama, watak Maryam yang sangat sederhana menunjukkan 'Minah Kilang' juga bukan semuanya wanita murahan sebaliknya Maryam ada 'class' tersendiri meskipun dia bukanlah watak muslimah sejati yang begitu syadid dengan tuntutan agama.
Mungkin kerana saya sudah biasa dengan sajian penulisan Xarine, jadi saya lebih bertolaransi dengan apa yang dihidangkannya. Saya mengembara novel thriller bukannya novel islami, meskipun thriller namun AdaMaryam tetap juga menghadiahkan santapan ruh buat pembaca, tinggal saja kita perlu lebih berfikir dan berlapang dada dengan fikrah penulis.
Tidaklah terlalu rigid dalam agama, tetapi tidak pula sampai membiarkan pembaca terawang-awang di langit biru dan tiba-tiba penghujungnya jatuh kedebuk ke bumi lantaran langsung tiada 'makanan ruh'. Ada nasihat, ada pandangan kehidupan yang diadun ke dalam kisah AdaMaryam membuatkan watak Maryam begitu sederhana.
Lingkungannya tidak membantu dia menjadi muslimah solehah tetapi dia tetap berpegang dengan ajaran Islam, itu yang saya suka dengan watak Maryam. Maryam tidak 'memasukkan' persekitaran ke dalam dirinya sebaliknya 'mengeluarkan' ion-ion positif dari dirinya kepada persekitaran.
Dalam tindak yang tidak tersedar, Maryam berdakwah kepada Suli. Ya, penghujung cerita ini sangat mengusik debaran saya dan akhirnya saya jadi terharu sebab gaya dakwah Maryam yang tidak seperti ustazah yang selalu berfalsafah agama sebaliknya menegakkan agama ke dalam dirinya sehingga membuatkan orang lain sanjung kepada agama.
Penulis membawa Adam kepada dunia caca merba, awalnya saya rasa fokus pembacaan terganggu dengan beberapa metafora nakal yang digunakan penulis seperti menggambarkan bentuk dengan saiz lubang hidung, (Encik Xarine tak ambil iktibar dengan teguran Puan Nisah pada Yuda Di Padang Maya ya!).
Keindahan bahasa, keindahan cerita sedikit layu apabila metafora yang dibentangkan penulis terkadang membuat saya malas melayan. Tetapi, ya... beliau seorang penulis sempoi dan gila-gila, cuma saya tak fikir kegilaan tersebut perlu diterjemah ke dalam buku.
Keseluruhan cerita, AdaMaryam jauh lebih mantap berbanding Bintang-bintang Ke Syurga dan juga Yuda Di Padang Maya. Saya harap Xarine lebih bersantun memilih metafora :) Ambil iktibar dengan teguran Puan Nisah agar kualiti penulisan boleh diangkat sejajar dengan kualiti pemikiran yang dibentangkan oleh Xarine.
Terima kasih.
Nota kaki : Buku AdaMaryam saya beli 10% je diskaun, tak de autograf pula. Rugi tak beli di pesta buku. Boleh tak saya nak kirim je buku AdaMaryam untuk minta autograf? 2 buku Xarine ada autograf dan saya dapat hadiah pula. Nak simpan untuk Amir Solihin, tunjuk bukti umminya rajin membaca sebab tu dapat hadiah buku sekali autograf penulis. Hehehe.
3 leaves:
Salam kenal.
Saya pun minat baca novel.Mcm best aje...nak carilah nanti.
saya pun suka baca novel triller
TERBAEK NOVEL NI!!!
Post a Comment