Duka Seorang Anak Kecil
Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini masuk hari yang ke-4 saya dan anakanda Amir Solihin duduk di rumah ibubapa saya di Perak. Dek kerana kesibukan tugasan suami, adik lelaki saya ambil saya dan Amir Solihin pulang ke rumah ibubapa saya. Jadual suami yang agak memenatkan sepanjang bulan Ramadhan, terasa kasihan suami penat-penat terpaksa melayani kerenah anakanda pula. Tambahan pula, ada masa ragamnya minta diberikan perhatian membuatkan suami yang kepenatan tertidur semasa bermain dengan anakanda. Jadinya, fikir saya apabila dibawa berjumpa dengan ibu dan bapa saudara, maka Amir Solihin akan terhibur.
Sepanjang perjalanan, Amir Solihin kelihatan ceria sahaja. Seronok dapat berjalan agaknya. Dia tertidur 2/3 dari perjalanan, tiba di Perak dia terbangun dari tidur terus ketawa besar. Seronok kerana masih berada di dalam kereta! Jumpa ibu-ibu saudara yang gemar melayani kerenahnya, dia seronok. Tetapi, bila semakin malam kelihatan dia tercari-cari abinya. Masuk penjuru ke penjuru, jenguk ke sana sini. Allah... Tidur tidak lena, macam ada yang tidak kena.
Hari ke-2, pagi lagi sudah bersiap. Mandi, dan mula meragam tidak mahu makan. Main hide and seek sendirian, bila nampak Wan terus gelak besar. Entah excited sangat, terlanggar pintu dan jatuh. Menangis terisak-isak, terus datuknya bawa keluar rumah. Kami bersiap dan bawa keluar, jalan-jalan. Petangnya pakcik saya datang berbuka di rumah, Amir Solihin nampak kelibat pakcik terus meluru laju peluk kaki dan minta dukung. Main gelak ketawa, bila pakcik pulang Amir Solihin meraung sungguh-sungguh. Subhanallah.
Lepas datuknya pulang dari terawih, terus ambil Amir Solihin bawa keluar. Neneknya dah mula sedih melihat ragam Amir Solihin yang asyik menangis, tak pernah buat perangai sebegini. Balik saja, terus datuknya suruh siapkan tempat tidur. Amir Solihin dah terlentok di dada datuknya. Allah... Kesian sungguh anak Ummi ni.
Hari ke-3 pun tak nak makan, hanya menyusu sahaja. Bawa ke rumah pakcik, bahagialah dia kerana disibukkan dengan mainan dan bermain bersama anak-anak pakcik saya yang berusia 5 dan 1 tahun. Rajin sungguh si kakak yang berusia 5 tahun melayani Amir Solihin, kuranglah ragamnya. Petang, mula meragam. Dan bila menginjak Maghrib, makin dia buat perangai. Tak nak dengan orang lain, minta Ummi dukung. Ummi makan pun alas perut saja :) Terpaksa Pak Ngahnya ambil 'bawa lari' jauh dari Ummi supaya Ummi boleh makan. Selesai makan, Ummi ambil... Serba tak kena, meraung-raung. Terus ayahanda suruh bersiap dan hantar kami pulang ke rumah. Masuk kereta, tak sampai 5 minit terus tidur.
Mengantuk tapi tak nak tidur.
Lapar tapi tak nak makan.
Rindu sangat dengan abi sampai semuanya serba tak kena. Nak buat macammana dah sememangnya Amir Solihin manja dengan Abinya, tidur dengan Abi. Main dengan Abi. Kadang mandi pun dengan Abi, makan pun Abi suapkan. Pendek kata, 'anak Abi'.
Tapi, kasihan juga pada suami. Jadual sepanjang Ramadhan yang padat, kadang-kadang tengah tidur tiba-tiba anakanda naik atas badan suami ajak main, kalau pintu bilik di tutup jawabnya langsung tak boleh tidur kerana Amir Solihin ketuk pintu bilik.
Semalam, Abi Amir dah mula tanya-tanya "Amir buat apa?". Nampaknya suami pun dah rindu dengan Amir Solihin, Amir Solihin pun rindukan Abinya. Telepati dua beranak.
Kasihan.
Nampak Amir Solihin tidak seronok, mencari-cari Abi. Tercari-cari... Kelihatan zahirnya berduka, emosinya terluka. Insha Allah, 'ajar-ajarkan' berjauhan supaya bila besar nanti tidaklah perit sangat untuk duduk di asrama.
Siapa kata anak kecil tidak tahu apa-apa, mereka zahirnya kecil tetapi beremosi. Tahu juga merindu.
Abi Amir, sila bertabah ya! :)
Ummu Amir.
0 leaves:
Post a Comment