"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

29 July 2012

Duka Seorang Anak Kecil

Bismillahirrahmanirrahim.


Hari ini masuk hari yang ke-4 saya dan anakanda Amir Solihin duduk di rumah ibubapa saya di Perak. Dek kerana kesibukan tugasan suami, adik lelaki saya ambil saya dan Amir Solihin pulang ke rumah ibubapa saya. Jadual suami yang agak memenatkan sepanjang bulan Ramadhan, terasa kasihan suami penat-penat terpaksa melayani kerenah anakanda pula. Tambahan pula, ada masa ragamnya minta diberikan perhatian membuatkan suami yang kepenatan tertidur semasa bermain dengan anakanda. Jadinya, fikir saya apabila dibawa berjumpa dengan ibu dan bapa saudara, maka Amir Solihin akan terhibur.


Sepanjang perjalanan, Amir Solihin kelihatan ceria sahaja. Seronok dapat berjalan agaknya. Dia tertidur 2/3 dari perjalanan, tiba di Perak dia terbangun dari tidur terus ketawa besar. Seronok kerana masih berada di dalam kereta! Jumpa ibu-ibu saudara yang gemar melayani kerenahnya, dia seronok. Tetapi, bila semakin malam kelihatan dia tercari-cari abinya. Masuk penjuru ke penjuru, jenguk ke sana sini. Allah... Tidur tidak lena, macam ada yang tidak kena.


Hari ke-2, pagi lagi sudah bersiap. Mandi, dan mula meragam tidak mahu makan. Main hide and seek sendirian, bila nampak Wan terus gelak besar. Entah excited sangat, terlanggar pintu dan jatuh. Menangis terisak-isak, terus datuknya bawa keluar rumah. Kami bersiap dan bawa keluar, jalan-jalan. Petangnya pakcik saya datang berbuka di rumah, Amir Solihin nampak kelibat pakcik terus meluru laju peluk kaki dan minta dukung. Main gelak ketawa, bila pakcik pulang Amir Solihin meraung sungguh-sungguh. Subhanallah.


Lepas datuknya pulang dari terawih, terus ambil Amir Solihin bawa keluar. Neneknya dah mula sedih melihat ragam Amir Solihin yang asyik menangis, tak pernah buat perangai sebegini. Balik saja, terus datuknya suruh siapkan tempat tidur. Amir Solihin dah terlentok di dada datuknya. Allah... Kesian sungguh anak Ummi ni.


Hari ke-3 pun tak nak makan, hanya menyusu sahaja. Bawa ke rumah pakcik, bahagialah dia kerana disibukkan dengan mainan dan bermain bersama anak-anak pakcik saya yang berusia 5 dan 1 tahun. Rajin sungguh si kakak yang berusia 5 tahun melayani Amir Solihin, kuranglah ragamnya. Petang, mula meragam. Dan bila menginjak Maghrib, makin dia buat perangai. Tak nak dengan orang lain, minta Ummi dukung. Ummi makan pun alas perut saja :) Terpaksa Pak Ngahnya ambil 'bawa lari' jauh dari Ummi supaya Ummi boleh makan. Selesai makan, Ummi ambil... Serba tak kena, meraung-raung. Terus ayahanda suruh bersiap dan hantar kami pulang ke rumah. Masuk kereta, tak sampai 5 minit terus tidur.


Mengantuk tapi tak nak tidur.


Lapar tapi tak nak makan.


Rindu sangat dengan abi sampai semuanya serba tak kena. Nak buat macammana dah sememangnya Amir Solihin manja dengan Abinya, tidur dengan Abi. Main dengan Abi. Kadang mandi pun dengan Abi, makan pun Abi suapkan. Pendek kata, 'anak Abi'.


Tapi, kasihan juga pada suami. Jadual sepanjang Ramadhan yang padat, kadang-kadang tengah tidur tiba-tiba anakanda naik atas badan suami ajak main, kalau pintu bilik di tutup jawabnya langsung tak boleh tidur kerana Amir Solihin ketuk pintu bilik.


Semalam, Abi Amir dah mula tanya-tanya "Amir buat apa?". Nampaknya suami pun dah rindu dengan Amir Solihin, Amir Solihin pun rindukan Abinya. Telepati dua beranak.


Kasihan.


Nampak Amir Solihin tidak seronok, mencari-cari Abi. Tercari-cari... Kelihatan zahirnya berduka, emosinya terluka. Insha Allah, 'ajar-ajarkan' berjauhan supaya bila besar nanti tidaklah perit sangat untuk duduk di asrama.



Amir Solihin sewaktu baru lahir



Abi Amir sebelum jadi abi.

Siapa kata anak kecil tidak tahu apa-apa, mereka zahirnya kecil tetapi beremosi. Tahu juga merindu.


Abi Amir, sila bertabah ya! :)




Ummu Amir.

Read more...

26 July 2012

Ibrah Anak Kecil & Doa Buat Ibu Mertua

Bismillahirrahmanirrahim.

Baca di dalam group facebook. Masha Allah, saya teringin sangat nak kenal dengan kakak ni. Mudah-mudahan banyak ilmu yang boleh saya pelajari dari beliau dalam proses mendidik anak. Moga bermanfaat kepada yang lain. Saya edit beberapa ayatnya untuk kemudahan pembaca. Insha Allah.

---------------------

Assalamualaikum sahabat sekalian.

Kak Naseem nak share kisah yang berlaku semalam, hari ketiga umat Islam di Germany berpuasa, dan hari kedua umat islam di Malaysia berpuasa. Harap ada nilainya di sisi Allah perkongsian kak ni. Buat pengajaran adik-adik sekalian. 

Petang semalam anak bongsu kak, Zainab Herceg datang kepada akak semasa akak di dapur sedang siapkan bahan-bahan memasak untuk iftar (berbuka). Zainab minta izin nak ke padang permainan dekat je dengan rumah. Kak bagitahu dia kalau nak pergi boleh, tapi kena ajak kakaknya, Fatma Herceg temankan, sebab Zainab ni kecik lagi, bulan 10 ni baru nak masuk 4 tahun.

Jadi setelah pujuk memujuk, Fatma akhirnya sudi nak temankan walaupun sebelum tu macam-macam alasannya. Dia letih puasa, dia nak simpan tenaga untuk terawikhlah, macam-macam anak dara sorang ni. Lepas abangnya, Adam Herceg ingatkan yang Nabi SAW masa Ramadhan boleh berperang terus dia semangat nak temankan Zainab. Adam tak dapat temankan sebab Adam tengah tunggu papa dia untuk tasmi' hafazan. 

Setelah setengah jam, Zainab dan Fatma balik, dalam keadaan Zainab menangis. Kak Naseem tanya pada Fatma, Fatma kata tak tahu, tiba-tiba Zainab menangis ajak balik. Lalu terjadilah dialog ni (perbualan asalnya dalam bahasa Germany, Kak Naseem translate ke Bahasa Melayu).

Ummi (kak naseemlah tu) : Kenapa Zainab menangis sayang? 

Zainab : Ummi, Zainab tak mahu masuk neraka.

Ummi : Kenapa Zainab kena masuk neraka pula. Zainabkan budak baik. 

Zainab : Zainab baik, tapi kawan-kawan Zainab semua tak baik. Kawan-kawan zainab tak pakai tudung, makan babi. Bila Zainab pakai tudung suka tarik-tarik tudung zainab. 

Ummi : Tak apa. Zainab dah pakai tudung, Zainab pun tak makan babi.

Zainab : Tapi kalau kita nak masuk syurga kita kena kawan dengan orang baik-baik.

Ummi : Kalau kawan Zainab tak mahu jadi orang baik, Zainab jadilah orang baik, nanti lama-lama kawan-kawan Zainab pun jadi baik.

Tiba-tiba Omma (nenek Zainab sebelah papanya semalam datang ke rumah sejak pagi sampai malam) masuk ke dapur. Kak Naseem dah gelabah. Kalau Omma dengar apa kami cakap mesti Omma kecil hati, sebab Omma ni kristian, dan setahu Kak Naseem ibu mertua akak makan babi.

Omma : Lenapa ni Zainab, kenapa nangis?

Zainab : Omma, Zainab tak nak masuk neraka, tapi kawan-kawan Zainab ajak zainab masuk neraka.

Omma : Kawan-kawan Zainab buat apa dekat Zainab? 

Zainab : Kawan-kawan tarik tudung Zainab, lepas tu cakap babi tu sedap. Zainab tak mahu makan babi. Kalau makan babi nanti masuk neraka, Zainab tak mahu kawan dah. 

Omma : Tak apa, Zainab kawan dengan Omma.

Zainab : Omma nak masuk syurga dengan Zainab? 

Omma : Ye. Omma nak masuk syurga dengan Zainab sebab tu omma dah lama tak makan babi dah (sambil tu tangan Omma kalut masukkan loket salibnya ke dalam baju).

Zainab : Tapi Omma tak pakai tudung? 

Omma : Nanti Zainab balik Malaysia suruh Ummi belikan Omma tudung ye. Kita masuk syurga sama-sama. 

Menangis akak... semoga Zainab akan begini sampai bila-bila, rela 'bersakit menangis' mempertahankan kesucian agama, semoga Zainab jadi pejuang agama kelak, dan semoga ibu mertuaku diberi cahaya hidayah oleh Allah untuk merasai nikmat kemanisan iman dan ketauhidan sebelum diambil nyawanya. 

Adik-adik, kakak-kakak, sahabiah, mohon doakan 2 orang penting dalam hidup Kak Naseem ni ye. Semoga yang seorang ni kekal indah dan terpelihara dengan Islam, dan semoga yang seorang lagi akan bertemu cahaya ketauhidan Allah.

-------------------


Masha Allah. Jangan disangka yang kecil itu tak tahu apa-apa, boleh jadi si kecil ahli Syurga itu akan mengetuk hati-hati manusia, menjadi perantara hidayah dan taufiq Allah kepada manusia. Belum tentu kita yang dewasa ini boleh mengambil hati manusia untuk mendengar kata-kata kita, kerana HATI dipegang Allah. Anak kecil, kalau Allah takdirkan kita dan si kecil mati pada saat ini. Sudah tentu si kecil akan terus ke Syurga Allah, sedangkan kita... Entah apa pula nasib di Barzakh sana. Allahuakbar.

Didiklah anak-anak kita,
Menjadi anak yang soleh,
Apabila kita tiada,
Jadi penerang alam Baqa',
Anak soleh impian semua...

Tetapi, berapa ramai yang bercita-cita nak jadikan anak-anaknya sebagai Ahli Syurga?

Allah...

Silalah BERDOA banyak-banyak di bulan Ramadhan supaya Allah kasihankan kita dan semua orang, supaya Allah beri keampunan kepada kita, memberi kemudahan untuk mendidik anak-anak selari dengan tuntutan syara', jom BERDOA!

Teringatkan pesan Rasulullah SAW, "Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq."

Allah, kerana akhlaq insha Allah akan membuatkan orang tertarik dengan Islam.



Ummu Amir.

Read more...

Amir di Perpustakaan

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam Ramadhan.

Abi sibuk dengan program bulan Ramadhan, kadang-kadang tak sempat nak main dengan Amir Solihin. Amir Solihin pun bosan duduk di rumah berdua dengan Ummi, kadang-kadang Ummi tak nak main dengan Amir macam Abi main dengan Amir. Ummi asyik jerit "Adoi, sakit la Ummi". Ummi tak best macam Abi... Abi best, kalau main dengan Abi takde pun Abi jerit-jerit macam Ummi.

Amir suka main 'wrestling', naik atas muka Ummi, golek-golek atas muka Ummi macam stimroll. Biasalah, LELAKI kan? Takkan nak main urut-urut muka buat facial pula dengan Ummi, sebab tu Ummi asyik menjerit je. Tapi Abi tak jerit, Abi cool je sebab kami wrestling sama-sama. Selalunya Ummi jadi pengadil lah.

Disebabkan Amir dah bosan duduk rumah, Abi sibuk dan Ummi tak nak wrestling dengan Amir Solihin... Amir Solihin jalan-jalan di perpustakaan. Best sangat! 


Macam heaven je.
Amir suka sangat berlari, dapat tempat lapang memang bersuka ria.


Ini Pak Cik Musa, pekerja di perpustakaan.
Suka sangat layan Amir, Amir pun suka sangat main dengan Pak Cik Musa.


Buku ni dari kain, sangat sesuai untuk anak-anak usia Amir.
Pak Cik Musa cakap buku ni import dari luar negara.


Tree Garden. 
Sebenarnya masa ni ramai orang yang ambil gambar Amir.
Jadi, Amir pun posing lah. Sampai ternganga. He he he.


Cuba cari, di mana Amir Solihin :D


Amir dah mengantuk, dan penat buat sepah.

Ummi stalk di sekitar kawasan perpustakaan, Ummi senyum nampak ada signboard gimnasium untuk wanita. Nampaknya lepas Ramadhan nanti boleh la Amir Solihin bawa Ummi main gim pula. Hi hi hi.


Salam Ramadhan,
b/p Amir Solihin

Read more...

22 July 2012

Ibubapa Menghalang Untuk Berniqab

Bismillahirrahmanirrahim 

Alhamdulillah, saya senyum baca tulisan sahabat saya. Senyum sebab dia ingatkan dalam usaha berhijrah menjadi manusia yang lebih baik, kena hijrahkan juga konsep berdoa kepada Allah. Kebergantungan kepada Allah melebihi manusia. Meyakini Allah memegang hati-hati manusia. HablumminaLLAH, jaga hubungan dengan Allah. Hablumminannas, jaga hubungan sesama manusia.


Ramai yang nak jaga hubungan dengan Allah, tetapi lupa nak menjaga hubungan dengan manusia. Walaupun ibubapa kita bukan Islam sekalipun, kita tetap perlu menghormati mereka dan mengasihi mereka. Itu adalah dakwah terbaik iaitu melalui akhlaq yang terbaik kita pamirkan di hadapan mereka.

Dari Abu Hurairah r.a, sabda nabi s.a.w.,
"Sesungguhnya agama adalah mudah. Tidak seorang pun yang berlebihan dalam agama melainkan ia dikalahkan. Perbetulkanlah, dekatkanlah dan bergembiralah. Bantulah diri kamu dengan beramal pada waktu selepas subuh, selepas gelincir matahari dan sebahagian malam."

-----------------------

Bismillah~ 

Teringin untuk meluahkan sesuatu setelah membaca luahan hati sahabat-sahabat berkaitan ketidakizinan ibubapa untuk pakai niqab, pihak pentadbiran kampus yang tidak membenarkan, tempat kerja yang kuatkan akta pekeliling yang tidak membenarkan dan banyak lagi halangan....:) 

Saya teringat kisah saya sendiri. 2 tahun saya on off niqab sebab umi dan abah tidak mengizinkan sedangkan keluarga saya faham agama. Mula-mula saya sangka buruk dengan parents dan hubungan agak renggang. Lama kelamaan, saya nampak hikmah yang Allah aturkan buat saya. 

Dalam tempoh 2 tahun itu saya kaji lebih mendalam berkaitan niqab. Situasi masyarakat sekeliling dan negera kita, tidak kurang juga memperbaiki hubungan dengan Allah dan parents

Mungkin ada yang berkata, penantian untuk mula atau istiqomah berniqab itu suatu penyeksaan. Tapi tidak bagi saya kerana saya menganggap ianya suatu proses tarbiyah untuk hati dan iman. Sebab semua itu berlaku atas izin Allah. 

Saya bangun malam dan solat hajat supaya pintu hati parents saya terbuka untuk mengizinkan saya berniqab. Secara tidak langsung, ianya membantu saya semakin dekat dengan Allah. Yakinlah, tiba masa dan ketika, Allah akan izinkan kita untuk kekal istiqomah. 


Bak kata sahabat saya, "Tak semestinya kita kena pakai niqab untuk jadi SOLEHAH. Tak semestinya bila pakai niqab kita jadi SOLEHAH". 

sayang korang, with love...♥ wallahua'lam...^^

------------------------
Sedikit penambahan dari saya : dan juga belajar awlawiyat (keutamaan) :)
 
Mana yang WAJIB mana yang SUNAT, jangan mendahulukan yang sunat tetapi yang wajib kita pinggirkan. Ibubapa tak izin niqab tapi berkeras juga, lawan cakap mak ayah. Dah jadi anak derhaka pula, sedangkan awalnya tadi nak jadi solehah (nak pakai niqab). Tu kena hati-hati. Redha Allah terletak pd redha ibubapa selagimana ibubapa tak suruh buat yang haram. Wallahua'lam.


Ummu Amir

Read more...

18 July 2012

Bila Terdetik Untuk Berhijrah

Bismillahirrahmanirrahim.

Ramai yang bertanya pendapat langkah awal untuk berhijrah kepada keadaan yang lebih baik. Banyak juga menerima mesej yang bertanya bagaimana untuk berniqab, maksudnya penghijrahan untuk berniqab. Saya jalan-jalan, meneroka alam. Saya pusing-pusing, menjelajah sekeliling.

Saya teringat kata-kata seorang artis yang baru memakai tudung, dia bercakap dengan getaran suara yang sangat menakutkan saya. Walaupun saya tak rasai apa yang dia rasa tetapi saya dapat rasa dia ketakutan apabila mengenangkan peristiwa bagaimana dia berubah memakai tudung.

"Dahulu, sebelum saya memakai tudung orang bergambar dengan saya suka-suka pegang pinggang saya. Walaupun saya tak nak, tak suka keadaan tu tapi siapalah saya untuk cakap TIDAK. Nanti orang akan kata saya budget bagus, alim dan sebagainya. Peminat bergambar dengan saya, yang bukan mahram pun duduk dekat-dekat. Tetapi, selepas saya berhijrah memakai hijab (tudung)... peminat yang nak bergambar akan minta izin dengan saya dulu dan cakap dia duduk jauh-jauh, Allahuakbar. Kalaulah saya tahu saya akan 'dilayan' begini, sejak dari dahulu lagi saya akan menutup aurat."

Subhanallah. Saya yang mendengar, dengan suaranya yang tersekat-sekat dek sebak yang menghuni dada. Dengan suaranya yang penuh ketakutan. Saya tak tahu macammana nak terangkan perasaan saya sendiri masa tu. Cuma, saya teringatkan beberapa pengalaman yang Allah bagi... Selalu juga saya cakap pada sahabat muslimah saya, "Kita akan dilayan oleh orang sekeliling sepertimana kita melayani diri kita. Apabila kita jaga maruah diri kita kerana Allah, insha Allah pasti Allah akan jaga maruah diri kita di khalayak ramai. Apabila kita hormat diri kita, orang akan hormat kita."

Maksudnya, bila kamu pakai baju ketat dan sendat hatta bertudung sekalipun... Apabila lelaki berpenyakit hati merenung dari atas ke bawah, janganlah berani menyatakan kemarahan kepadanya kerana kamu sendiri yang tunjuk kepada mereka seolah-olah sedang berkata; "Lihatlah aku!"

Saya teringat kata-kata Ustaz Azhar Idrus, bersahaja tetapi sangat bermakna. "Tak wajib pakai tudung, yang wajibnya tutup aurat. Kalau nak pakai baldi pun takpe, takde masalah."

Ya, salah faham mengenai aurat. Selalu kita fikir bila dah bertudung maksudnya dah menutup aurat. Tidak. Belum lagi, tudung pun ada syaratnya. Mesti labuh, MENUTUP bahagian dada. Macam-macam fesyen sekarang, saya sendiri rimas melihat orang melilit-lilit sampaikan saya rasa nak berdandan untuk bertudung saja memakan masa terlalu lama, membazir waktu. Agak-agak, macam lagha juga ke? Entah, saya kurang pasti.

Saya ditawarkan tudung labuh saiznya XXXL, kain jenis Denim di sebuah masjid. Jurujual kata kainnya tak jarang dan tidak melekat seperti kain Lycra tetapi saya terdiam tak kata apa. Sebenarnya saya bimbang kalau jurujual tu kecil hati. Akhirnya, saya tak nak bazirkan masa dia dan masa saya. Saya cuma cakap,

"Maaf makcik, saya malu pakai tudung macam ni."

Ianya labuh. Ianya tebal. Paling penting tak melekat. Tapi, saya malu. Saya cuma ada alasan itu je. Mungkin sebab kainnya sehelai, saya rasa 'kurang selamat' di situ. Sebab saya dah terbiasa pakai tudung mesti 2 lapis. Saya pernah tanya suami, macammana ya keadaan muslimah bertudung hatta labuh tetapi kain tudungnya melekat. Suami senyum saja, "tanya iman".

Kadang-kadang, iman kita pun sakit. Jadi, kita kena tanya orang lain supaya iman yang sakit tadi dapat penawarnya. Insha Allah. Sebab tu, cari kawan yang solehah supaya diri kita juga terdorong untuk buat amalan soleh. Tetapi, bukanlah bermaksud kalau nak buat amalan soleh kena ada kawan bila sendirian kita pun bagai kapal tiada nakhoda.

Ramai yang tanya saya macammana nak memulakan langkah untuk berniqab. Ramai juga yang tanya macammana nak mula berniqab tetapi banyak halangan (e.g ibubapa tak izinkan dll).

Saya cuma senyum je. Mungkin sebab dah banyak kali ditanya, mula-mula dulu 'gelabah' juga nak menjawab. Tetapi, bila saya ambil masa muhasabah diri sendiri dan tanya dengan hati sendiri. Akhirnya, saya fikir berkali-kali untuk mencatitnya di sini.


Tak semestinya kita kena pakai niqab untuk jadi SOLEHAH.

Tak semestinya bila pakai niqab kita jadi SOLEHAH.

Proses menjadi solehah tu bukan dengan menukar pakaian sahaja tetapi hati perlu diisi dengan ilmu. Bila hati kita terisi dengan ilmu, insha Allah ianya akan menambah iman dalam diri kita. Bila iman bertambah, jiwa kita akan selalu tergerak untuk berbuat kebaikan.

Maksud saya, bukanlah tak baik pakai niqab. Niqab tu sangat baik, pakaian para isteri Rasulullah. Tetapi, apabila kita lakukan sesuatu tanpa sandaran ilmu, apabila orang sekeliling melihat perubahan diri yang mendadak, mereka pasti akan tertanya-tanya dan kita yang berubah ini akan bertubi-tubi menerima soalan dari mereka. Apabila kita berniqab hanya kerana "tergerak untuk berniqab", maka apa jawapan yang hendak kita berikan kepada mereka? Bila kita buat sesuatu, tanpa sandaran... Angin dan ombak ujian yang datang akan buat kita terpelanting.

Tidak mustahil kita akan down dan terus rasa "Allah, aku nak dekat dengan Engkau kenapa Engkau bagi orang-orang yang tak nak aku dekat dengan Engkau." lama-lama kita rasa bila kita dekat dengan Allah, asyik banyak masalah dan ujian hatta kita fed-up untuk berubah. Niqab yang baru nak serasi terus ditanggalkan tanda tewas dengan masyarakat sekeliling.

Sebab itu, bila nak berhijrah biarlah dengan ilmu. Tahu kenapa buat begitu, tahu kenapa buat begini. Langkah paling awal ialah menutup aurat dengan sempurna. Saya rasa kalau google tentang aurat wanita, sangat banyak website yang menerangkan tentang aurat wanita. Jagalah yang paling utama, aurat. Bila aurat dah terjaga, kita boleh terus menuntut ilmu. Istiqamah.

Bila ilmu dah ada, perubahan demi perubahan diri kita adalah bersandarkan ILMU bukan ikut-ikutan atau hanya pada "rasa". Yang pakai niqab pun belum tentu solehah.

Ada yang merasakan bila nak berhijrah mesti kena pakai niqab. Tidak. Banyak lagi yang perlu kita hijrahkan, terutama hati. Bimbang bila dah berniqab, budget bagus sangat... Semua orang salah, yang betul hanya kita sebab kita pakai niqab orang lain tak pakai niqab. Sebab itu kena ada ilmu, ilmu Allah ni bila makin kita buru makin kita rasa tak tahu. Sebab tu para ulama' sangat rendah diri. Sebab, dia malu dengan Allah :)

Kalau kita hijrah hanya untuk manusia, berhenti dan fikir dahulu. Kita tak selamanya mempunyai seseorang untuk berada di sisi kita untuk kuatkan semangat bila kita rebah, tak selamanya kita ada sahabat-sahabat untuk memberikan bahu apabila kita menangis. Tetapi, kita selamanya ada Allah. Berhijrahlah untuk redha Allah, insha Allah manusia disekeliling akan meredhai penghijrahan kita.

Bila pakai niqab, orang panggil "Ustazah" dan kita rasa tinggi sangat gelaran tersebut untuk kita :)

Ya, sebab tu saya bagitahu tadi... Bila kita layan diri kita dengan baik, insha Allah masyarakat akan melayan diri kita dengan cara terbaik juga. Seronokkan apabila orang tak ambil kesempatan pada diri kita? Macam tu la bila kita jaga hak Allah, Allah akan jaga kita. Sebab tu kalau nak berhijrah sebab nak redha Allah, bukan pujian manusia :)

Ada orang kata nak pakai niqab sebab nak elak ujian lelaki. Ada wajah yang cantik, lelaki selalu mengorat. Ada wajah menarik, lelaki selalu tertarik. Tak salah berniqab. Tapi, ada juga cabarannya. Ramai je lelaki yang nakkan wanita berniqab :) Tak percaya? Saya pernah terbaca tulisan Ummu Hani, "kenapa ya perempuan berpurdah cepat je jodohnya berbanding dengan perempuan bertudung labuh atau biasa-biasa?", sebab lelaki ni memang akan tertarik dengan wanita. Macam ada magnet.

Pusing macammana sekalipun lelaki pasti akan tertarik kepada wanita (kecuali manusia yang berani mencabar Allah, nauzubillah). Sebab tu, biarlah penghijrahan kita adalah bermula dengan ILMU.

Hai Ilmu, saya nak sangat jadi bestfriend awak!

Ada orang rasa dia tak layak berniqab sebab takde ilmu. Takpe, sebab tu kita mulakan penghijrahan dengan ilmu. Insha Allah, bila dah ada ilmu kita tahu kenapa kita nak pakai niqab lepas tu kita akan rasa bestnya pakai niqab bukan sebab "nak pakai" sahaja tetapi sebab kita ada ilmu... Bila orang tanya kenapa pakai niqab, kita dah bersedia untuk menjawabnya. ^_~

Insha Allah.

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

Diari CELIK : MardhatiLLAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Diari CELIK.
 
Alhamdulillah pada 14 Julai 2012 tempoh hari saya menghadiri seminar CELIK Momz oleh Prof Dr Muhaya dan Dr Atiyah. Insha Allah, Diari CELIK akan saya kongsikan beberapa perkara yang bermanfaat kepada saya. Moga bermanfaat kepada orang lain, insha Allah. 
 
Masa seminar tempoh hari, ada seorang kakak bertanya pada Prof Muhaya.

"Saya mempunyai 4 orang anak dan anak ketiga saya OKU, autisme (tak boleh membaca). Suami saya menyuruh saya berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada anak-anak tetapi ibubapa saya tak membenarkan saya berhenti kerja. Apa yang perlu saya lakukan Prof?"

Prof : Seorang wanita apabila telah berkahwin, yang utama adalah Allah kemudian Rasulullah, kemudian suami. Lelaki, apabila berkahwin yang utama adalah Allah, kedua Rasulullah, kemudian ibu dan ayah barulah isteri. Ibu bapa kamu mengaji agama tak (dengar pengajian)?"

Penanya : Ya.

Prof : Sepatutnya mereka faham konsep ini, seorang anak perempuan selepas kahwin kena dengar cakap suami.

Penanya : Adik saya diceraikan. Ibubapa saya takut perkara yang sama berlaku kepada saya.

Prof : ....................... (panjang)

Best things is... jeng jeng jeng...

At the end of solusi session, seorang ibu bangkit dan bercakap di mikrofon.

"Saya hanya nak berkongsi dengan semua. Saya seorang ibu tunggal, mempunyai 3 orang anak berusia 9, 7 dan 5 tahun. Anak ketiga saya juga OKU, autisme. Saya diceraikan 4 tahun yang lalu! Saya seorang surirumah sepenuh masa dan tidak bekerja. Puan tadi sepatutnya bersyukur kerana masih mempunyai suami dan keluarga yang menyokong. Alhamdulillah, saya datang dari Johor Bahru bersama kesemua anak-anak saya untuk menyertai seminar ini.

Saya hanya menyerahkan sepenuhnya kehidupan saya untuk anak-anak dan masyarakat. Saya mengajar mengaji (al-Quran) dari jam 9 pagi - 9 malam. Saya langsung tidak mempunyai masa untuk menyiapkan sarapan, makanan tengah hari atau makan malam untuk anak-anak. Tetapi, Allah Maha Pemurah. Masha Allah.

Bila saya terfikir "Ya Allah, aku belum masak lagi untuk anak-anak..." kemudian anak-anak yang datang mengaji bawa makanan untuk kami sekeluarga dan setiap hari itulah yang berlaku. Bekas suami saya sangat-sangat menyayangi saya dan anak-anak, beliau memberi nafkah setiap bulan untuk anak-anak saya dan masha Allah di dalam peti sejuk sudah ada simpanan makanan untuk 2 minggu lagi! Insha Allah.

Apa yang saya buat ialah, saya tidak hidup untuk diri sendiri sebaliknya saya redha dengan ujian Allah (diceraikan dengan talak 3) dan saya menyerahkan hidup untuk berbakti kepada masyarakat. Saya yakin dengan janji Allah 'Allah akan membantu siapa yang membantu agama Allah', saya yakin dengan Allah."

Satu auditorium bergema dengan tepukan. Prof bangkit memberi 'tabik spring' sambil bertahmid. Masha Allah. Bila kita 'hidup' untuk mencari keredhaan Allah, semua yang sempit jadi luas. Semua yang payah jadi mudah. Semua yang perit pun jadi manis. Allahuakram!
 
Wallahua'lam.
 
Berilah sebanyak-banyaknya walaupun kita hanya ada 'sedikit', semoga yang 'sedikit' itu memberi banyak manfaat kepada orang lain. Insha Allah.
 
Ummu Amir.

Read more...

12 July 2012

Bohot Pyar Pyari Beta ♥



Sanah Helwa anakanda Amir Solihin.

Mera bohot pyar pyari beta ♥

Allahumma faqihhu fiddin wa alimhul hikmatal wa ta'wil. Amin :)

Alhamdulillah, harini Amir Solihin genap 1 tahun (masihi). Ummi tak ada hadiah apa-apa yang istimewa untuk Amir Solihin, insha allah Ummi ada lots of love untuk bagi pada Amir Solihin.

Amir Solihin sekarang dah pandai absorb semua yang dilihat, belajar sebut apa yang didengar. Ummi dan Abi akan usaha jaga akhlaq depan Amir Solihin inshaAllah, akan usaha jadi qudwah hasanah buat Amir Solihin.

Haritu bawa Amir Solihin beli barang, tunggu nak bayar di kaunter dengan mulut yang tak berhenti-henti meminta sesuatu yang Ummi tak faham. Bila lihat seseorang bawa botol air mineral terus Amir Solihin menjerit meminta, berpaling laju. Allah, rupanya Amir Solihin dahaga dan nak minum air. Ummi akan lebih alert lepas ni ya sayang.

Sambil tunggu Abi balik mengajar, Amir Solihin tengok Ustaz Don di TV Al-Hijrah. He he, tergelak Ummi dengan gelagat Amir Solihin yang meniru perbuatan-perbuatan Ustaz Don sambil tersengih apabila Ustaz Don senyum. Masha Allah, Amir Solihin nak belajar solat dan belajar tajwid ya.

Ummi sibuk di dapur, dengar Amir Solihin menjerit dan Abi ketawa. Pelik sungguh situasi yang Ummi hanya dengar tanpa melihat. Bila ke depan, Ummi tanya Abi... Abi cakap ada orang histeria dalam TV dan Amir Solihin 'histeria' sama, meniru apa yang dilihat dalam TV. Allah, Amir Solihin jangan buat yang pelik-pelik ye :)

Amir Solihin suka dengar zikir dan kalamullah. Bila Ummi nak solat, Ummi 'rasuah' youtube dengan klip "Ya Hanana" supaya Amir Solihin tak panjat Ummi masa solat. Ya, 2-3 x berjaya. Masuk kali ke-4, Amir Solihin nak solat sama-sama dengan Ummi. Bila Ummi bagi salam kedua, Amir Solihin tersengih lebar sebab dah faham Ummi done solat, boleh sambung main dengan Amir Solihin.

Bila Ummi baca doa, Ummi tadah tangan. Dari jauh pun Amir Solihin 'sanggup' berlari sebab nak tengok ada apa dalam tangan Ummi, sampai Abi tegur. Abi cakap "Ummi tengah doa tu, jangan ambil doa Ummi." He he he...

Ummi ajar Amir Solihin baca doa sama-sama dengan Ummi, bila raupkan tangan ke muka pasti Amir Solihin akan tersenyum. Amir Solihin jangan lupakan Allah ya, kita kena selalu doa sebab kita sentiasa ada Allah. Minta banyak-banyak dengan Allah, jangan minta dengan manusia. Bercerita banyak-banyak pada Allah, kerana hanya Allah yang boleh bantu Amir Solihin menghadapi setiap suasana.



Ummi Amir Solihin.

Ummi minta maaf sebab tak mampu berikan yang lebih baik seperti orang lain, dengan ilmu Ummi yang sangat terbatas insha Allah Ummi akan minta Allah beri Ummi ilmu banyak-banyak untuk Ummi berikan kepada Amir Solihin ya. Ummi minta maaf banyak-banyak sebab Ummi tak pandai, insha Allah Ummi akan belajar banyak-banyak... Doakan Ummi dan Abi ya sayang, supaya kita kekal bahagia sampai kepada Allah.


Ummu Amir.
12 Julai 2012
22 Syaaban 1433 H

Read more...

06 July 2012

Novel Thriller : AdaMaryam

Bismillahirrahmanirrahim. 


Adam, seorang jurutera genius, sangat komited mencipta formula Code X yang bakal mengubah kehidupan manusia seharian. Lelaki itu ada segala-galanya – pangkat, rupa, akal, juga digilai ramai gadis kilang. Tapi lelaki yang pernah digelar ‘playboy pencen’ kini akhirnya tersungkur dengan Maryam yang payah diduga hatinya. Bagi Adam, Maryam lain daripada beratus-ratus ‘minah kilang’ Matsushirota Elektronics (M) Sdn. Bhd. di Pulau Pinang itu. 

Siapa Maryam sebenarnya? Maryam bukan mahu jadikan kerja kilang sebagai kerjaya hidupnya. Dia ada matlamatnya sendiri. Dia juga tak bercadang untuk jatuh cinta; baik dengan Adam mahupun dengan Bani. Maryam menyenangi Bani, juruteknik dari Kelantan yang gila-gila dan sering buat dia tersenyum. 

Jeng... jeng... jeng! 

... apabila Adam hilang bersama-sama formula Code X dan nyawa mereka semua jadi terancam, Maryam mesti segera buat keputusan. Perlukah dia letak kepercayaan dan cintanya pada Adam? Kenapa Adam lari? Siapa yang mengancam nyawa mereka? Apakah Code X itu sebenarnya? 

* * * 

XARINE seorang jurutera yang sering bereksperimen dalam penulisannya. Anda kena baca Adamaryam kerana semua ‘rahsia’ akan terjawab di dalamnya. Karya suspens-santai ala-ala thriller ini pantas dan penuh debaran!



Saya ikuti ketiga-tiga buku tulisan Xarine (Bintang-bintang Ke Syurga dan juga Yuda Di Padang Maya, terbaru adalah AdaMaryam), saya juga ikuti penulisan santai blognya, saya juga pernah berjumpa dengan beliau di rumah saya, saya juga berkenalan dengan isterinya.

Ok.

Keseluruhan, buku ini sangat merangsang minda dan perasaan saya dengan pelbagai eksperimen lapangan kajian di bidang kejuruteraan meskipun hampir 80 % yang diceritakan tu saya tak faham apa benda pun, mungkin sebab saya tak pernah masuk dalam kilang elektronik yang akan membuatkan saya lebih faham dengan barang-barang kejuruteraan tersebut atau kerana saya bukan pelajar kejuruteraan.

Saya sangat menikmati thriller novel ini, mungkin kerana saya sudah mengikuti 2 buku Xarine sebelum ini jadi saya menjangkakan kualiti yang lebih tinggi dalam AdaMaryam. Ilmu-ilmu kejuruteraan yang diadun ke dalam penceritaan ini menghidupkan watak Adam si jurutera, Bani dan Beghi si juruteknik dan sebagainya. Jujurnya, saya enjoyed! Sampai saya suruh suami baca novel ini :)

Novel ini memang ada selitan debaran perasaan tentang cinta, tetapi saya tak fikir itu fokus utamanya dan saya tidaklah begitu terangsang dengan kisah percintaan yang dihidangkan kerana fokus saya lebih kepada Code X, saya cuba menghadam kisah lalu menerjah watak ke watak untuk meneka siapakah yang menjadi dalang disebalik apa yang berlaku.

Huru hara hidup Maryam membuatkan saya tersenyum. Dalam kelam kabut dan suasana lintang pukang masyarakat yang semakin menjauh dari agama, watak Maryam yang sangat sederhana menunjukkan 'Minah Kilang' juga bukan semuanya wanita murahan sebaliknya Maryam ada 'class' tersendiri meskipun dia bukanlah watak muslimah sejati yang begitu syadid dengan tuntutan agama.

Mungkin kerana saya sudah biasa dengan sajian penulisan Xarine, jadi saya lebih bertolaransi dengan apa yang dihidangkannya. Saya mengembara novel thriller bukannya novel islami, meskipun thriller namun AdaMaryam tetap juga menghadiahkan santapan ruh buat pembaca, tinggal saja kita perlu lebih berfikir dan berlapang dada dengan fikrah penulis.

Tidaklah terlalu rigid dalam agama, tetapi tidak pula sampai membiarkan pembaca terawang-awang di langit biru dan tiba-tiba penghujungnya jatuh kedebuk ke bumi lantaran langsung tiada 'makanan ruh'. Ada nasihat, ada pandangan kehidupan yang diadun ke dalam kisah AdaMaryam membuatkan watak Maryam begitu sederhana. 

Lingkungannya tidak membantu dia menjadi muslimah solehah tetapi dia tetap berpegang dengan ajaran Islam, itu yang saya suka dengan watak Maryam. Maryam tidak 'memasukkan' persekitaran ke dalam dirinya sebaliknya 'mengeluarkan' ion-ion positif dari dirinya kepada persekitaran.

Dalam tindak yang tidak tersedar, Maryam berdakwah kepada Suli. Ya, penghujung cerita ini sangat mengusik debaran saya dan akhirnya saya jadi terharu sebab gaya dakwah Maryam yang tidak seperti ustazah yang selalu berfalsafah agama sebaliknya menegakkan agama ke dalam dirinya sehingga membuatkan orang lain sanjung kepada agama.

Penulis membawa Adam kepada dunia caca merba, awalnya saya rasa fokus pembacaan terganggu dengan beberapa metafora nakal yang digunakan penulis seperti menggambarkan bentuk dengan saiz lubang hidung, (Encik Xarine tak ambil iktibar dengan teguran Puan Nisah pada Yuda Di Padang Maya ya!). 

Keindahan bahasa, keindahan cerita sedikit layu apabila metafora yang dibentangkan penulis terkadang membuat saya malas melayan. Tetapi, ya... beliau seorang penulis sempoi dan gila-gila, cuma saya tak fikir kegilaan tersebut perlu diterjemah ke dalam buku.

Keseluruhan cerita, AdaMaryam jauh lebih mantap berbanding Bintang-bintang Ke Syurga dan juga Yuda Di Padang Maya. Saya harap Xarine lebih bersantun memilih metafora :) Ambil iktibar dengan teguran Puan Nisah agar kualiti penulisan boleh diangkat sejajar dengan kualiti pemikiran yang dibentangkan oleh Xarine.

Terima kasih.

Nota kaki : Buku AdaMaryam saya beli 10% je diskaun, tak de autograf pula. Rugi tak beli di pesta buku. Boleh tak saya nak kirim je buku AdaMaryam untuk minta autograf? 2 buku Xarine ada autograf dan saya dapat hadiah pula. Nak simpan untuk Amir Solihin, tunjuk bukti umminya rajin membaca sebab tu dapat hadiah buku sekali autograf penulis. Hehehe.

Read more...

05 July 2012

"Amir, Jaga Ummi"

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah. Majlis kesyukuran dan juga sempena meraikan ulang tahun anakanda Amir Solihin pada 10 Syaaban iaitu 30 Jun yang lalu berlangsung dengan baik. Alhamdulillah, Allah hadirkan kekanda yang dikasihi Syifa' Mardiyyah, satu-satunya sahabat yang Allah izinkan bertandang.

Sedih. Terkilan. Mula-mula memang terasa hati sangat, nama pun m.a.n.u.s.i.a yang ada pelbagai perasaan, kan? Tetapi, bila Allah hadirkan insan yang kita tak sangka pun dia bersusah payah nak hadirkan diri ke majlis yang tak seberapa. Meskipun masa berinjak lewat petang namun, Allah lorongkan ruang dan peluang untuk saudara seIslam kami iaitu kekanda Wan, suaminya dan dua orang anak saudaranya. Mereka adalah insan berhati mulia yang menumpangkan kami sekeluarga ketika kereta rosak di Merapoh dalam perjalanan ke Kelantan.

Allah. Terharu. Syukur, alhamdulillah. Allah pujuk, ya... Allah pujuk :)

Bila kita 'berharap' pada manusia, seolah-olah kita memberikan 100% hati kita untuk dikecewakan. Tetapi, apabila kita beri harapan kepada Allah insha Allah ia seumpama kita memberikan 100% keyakinan bahawa Allah akan menghiburkan kita. Itu tarbiyyah Allah supaya saya tidak lagi mengharap 'ihsan' atau 'perhatian' sahabat-sahabat sebaliknya memberikan hati kepada Allah untuk dihiburkan dengan cara TERBAIK :)

Semasa kekanda Syifa' mahu pulang, entah berapa lama kami berpelukan erat. Berat sangat hati nak melepaskan beliau pulang, rasa sebeban gunung duduk dalam hati sampai sebak tak terkata. Entah kenapa, dia sajalah yang dari dahulu sehingga kini sering saja 'ada' bila semua orang tak sudi menyapa. Pendek kata, sebelum berpisah saya bisikkan pada hati saya bahawa "Syifa' adalah penawar!" Ya, penawar untuk hati saya <- ketika itu :)

2 hari saya terlantar selepas kenduri, sakit belakang. Suami menguruskan semua urusan rumahtangga, jazakallahu khairan katsira ya habibi qalbi. Saya bersemangat bila suami nak bawa saya ke Sungai Buloh untuk kenalkan saya dengan pengusaha ternak kambing, ayam, itik. 2 muslimah berniqab (mereka bermadu) yang tegar dengan aktiviti ternak binatang disamping mengurus rumahtangga dengan 15 orang anak! Suami mahu saya berkawan dengan mereka supaya saya gagah semangat dan juga gagah iman, boleh mandiri meskipun tanpa suami.

Insha Allah, syukran katsir. Saya tak sabar nak kawan dengan kambing pula lepas ni. Bak kata kakak pengusaha kambing tersebut; "Saya tak pandai bergaul dengan manusia, sebab tu saya suka bergaul dengan kambing dan binatang."

Nak tergelak pun ada dengan kata-kata tersebut. Tapi, saya rasa realistik sungguh ayatnya. Dari kambing boleh belajar sabar, boleh didik untuk sabar! Sabar... sesuatu yang senang nak cakap tetapi susah nak buat :) Saya nak kawan dengan kambing lepas ni.

Hari ini, terlantar lagi. Pergi depan suami dan buat kelakar.

"Ustaz, tolonglah saya. Doakanlah..."

Suami dengan selamba baca doa sebelum makan, Amir Solihin terkekek-kekek mendengar abinya baca doa sebelum makan kerana sedar tiada mangkuk makanan dihadapannya.

Suami mula baca ayat-ayat Syifa' dan urut tapak kaki saya yang macam pijak duri apabila berdiri. Dalam menahan sakit, sesekali tidak sedar nada suara yang melonjak tinggi.

Terkedu. Amir Solihin yang duduk di sisi meluru ke arah abinya dan tolak-tolak abinya ke tepi. Subhanallah.

Rupanya anakanda tidak sampai hati melihat Ummi menahan sakit. Mungkin sangkaannya Abi sedang menyakitkan ummi. Allahu Rabbi. Si kecil ini penuh dengan emosi, lagaknya terkadang seperti orang dewasa. Allah...

"Abi tak pukul Ummi la." Suami mengulang-ulang kepada anakanda yang memukul-mukul badannya.

Mungkin kerana suami selalu berpesan setiap kali mahu ke musolla, "Amir Solihin duduk rumah ye, jaga Ummi. Nanti dah besar Abi bawa ikut solat."


 
Ya, Amir Solihin jaga Ummi :)

Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu hikmatal wa takwil. Aamin!


Ummu Amir.

Read more...

04 July 2012

Motivasi Ibadah Anak-Anak

Bismillahirrahmanirrahim.

Membiasakan anak-anak dengan suasana ibadah sejak awal usia adalah satu aspek yang cukup penting dalam pendidikan anak-anak. Keberkatan suasana yang soleh akan melentur dan membentuk jiwanya untuk membesar menjadi manusia yang cinta akan ibadah.

Gunalah kesempatan pada masa-masa istimewa terutamanya bulan Ramadhan untuk mendidik anak bagi membiasakan mereka dengan suasana ibadah seperti tilawah al-Quran, solat terawih dan qiyamullail.

Namun, harus diingat, jangan dipaksakan ibadah yang berat-berat, kelak mereka akan terasa jemu. Biarlah mereka berpada-pada dengan yang mudah dan sedikit, agar yang sedikit itu lama-lama akan menjadi gunung.

Seperkara lagi, membawa anak-anak ke surau adalah satu galakan yang cukup baik bagi tumbesaran iman mereka. Namun, mereka juga harus diajar akan adab-adab ketika di surau. Nasihatkan mereka supaya jangan berlari-lari dan membuat bising. Jika mereka ingin bermain sekalipun, anjurkanlah agar mereka bermain di kawasan luar surau agar tidak mengganggu jemaah yang sedang beribadah. [Buku : Begini, Sayang!, Bab : Ajar Anak Solat Biar Berhikmah m/s 34]

Saya dapat hadiah dari seorang kakak, katanya sesuai untuk saya yang tak lama lagi akan melayani pelbagai soalan dari Amir Solihin. Insha Allah. Saya dah mula membaca, alhamdulillah pengisiannya mudah dan ringkas tetapi padat. Belum habis, tapi nak kongsi supaya yang lain pun boleh turut beli dan hadamkan insha Allah.


Saya teringat kata-kata Prof Muhaya, "Kita (para ibu) kena ada cita-cita yang besar, kita kena ubah fikiran kita. Bukan nak didik anak-anak sehingga berjaya, bukan sekadar anak soleh, tetapi cita-cita kita nak jadikan anak-anak sebagai PENGHUNI SYURGA. Kalau nak anak-anak jadi penghuni Syurga, jadi ibubapa terlebih dahulu kena berakhlaq seperti penghuni Syurga."

Ya, bukan sekadar berimpikan anak-anak yang soleh solehah sahaja tetapi bercita-citakan anak yang bakal menghuni Syurga. Nampak sangat besar impian di situ, tetapi Allah kata Dia adalah apa yang kita sangkakan. Kalau kita nak anak-anak jadi penghuni Syurga, mesti kita terlebih dulu kena siapkan ilmu banyak-banyak untuk tarbiyah anak dengan hikmah. Sesuatu yang sangat sukar, iaitu hikmah!

Kalau dahulu, bila family outing kami akan pergi tempat yang kami belum pergi tetapi sekarang kena fikirkan tempat yang boleh 'lepaskan' Amir Solihin bergerak bebas. Kalau bukan perpustakaan awam, destinasinya masjid negeri yang sangat mesra kanak-kanak.

Lagipun, suasana soleh dan ramai kanak-kanak lain dibiasakan dekat dengan majlis ilmu. Di bulan Ramadhan, ada pusat asuhan khusus buat kanak-kanak di masjid negeri (Shah Alam) tanpa dikenakan bayaran supaya para ibu boleh solat tarawih berjemaah. Ya, para ibu boleh berterawih secara berjemaah dan para anak dijaga dan halwa telinga mereka bukanlah lagu yang pelik lagi jelik liriknya sebaliknya ditemani dengan kalamullah, masha Allah. Seronok kan? :)

Para ibu yang nak rasa keenakan solat terawih berjemaah tanpa gangguan anak-anak, bolehlah ke Masjid Sultan Salahuddin (masjid negeri Selangor).

[1] Amir Solihin 'beramah mesra' dengan seorang yang berpangkat datuk (kalau dengan Amir Solihin). Pak Cik tersebut cerita pada suami, setiap minggu beliau akan membawa cucunya ke masjid negeri untuk mendekatkan jiwa kanak-kanak dengan masjid kerana surau di kampungnya tidak mesra kanak-kanak. Dari Hulu Selangor pun sanggup pergi ke masjid negeri semata-mata nak mendekatkan cucunya dengan suasana soleh di masjid, Allah... Moga anak tersebut membesar sebagai insan yang soleh, aamin.

[2] Amir Solihin bermain dengan beberapa kanak-kanak yang sedang bergurau senda, lalu saya bertegur sapa dengan ibu kanak-kanak tersebut. Datang dari Damansara, bawa anak-anak seramai 3 orang ke masjid negeri sebab suasana soleh yang meraikan kanak-kanak susah nak jumpa. Kadang, orang pandang dengan muka tak puas hati bila anak-anak merengek atau membuat bising.

Hai la hai... Susah nak cari masjid yang sangat mesra kanak-kanak. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan ungkapan "Budak-budak duduk di rumah, tak sesuai ke masjid." T_T

"Dah namanya budak-budak memang la tak reti duduk diam, kena bergerak. Kalau duduk diam (statik) tu kena check, ada masalah la dengan budak tu." Kata seorang pak cik kepada suami.

Macammana nak ada ulama' yang hebat kalau tak biasakan ke majlis ilmu sejak kecil?

Mana boleh dah besar tiba-tiba cintakan majlis ilmu kalau dari kecil tak diperkenalkan dengan majlis ilmu.

Budak-budak bising, lasak, itu biasa. Nama pun BUDAK-BUDAK...

Kena cari solusi untuk mengatasi masalah ini :)

* Di bandar-bandar, suasana mesra kanak-kanak di masjid semakin banyak tetapi di kampung-kampung nampaknya seakan masih 'bermusuh' dengan kanak-kanak.


Ummu Amir

Read more...

01 July 2012

Amir Is One

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, semalam bertarikh 10 Syaaban genaplah anakanda kami berusia satu tahun (mengikut perkiraan tahun hijrah). Majlis kesyukuran di teratak ayah bonda juga berjalan lancar, syukran jiddan pada semua yang sudi hadir. Jazakumullah khairan.

6 biji kek coklat selamat dihabiskan. Alhamdulillah :)

Jazakillah juga buat sahabat yang memberikan puding triffles, sangat sedap! Cepat sangat habis, Abi Amir tak sempat nak rasa. Insha Allah, nanti kita order lain kali ya Abi Amir :)
Tak sangka ramai yang bawa hadiah buat mujahid kecil kami, tapi kami belum bawa pulang ke rumah lagi. Semuanya kami tinggalkan di teratak ayah bonda, nak bagi Tok dan Wan Amir main dulu. Hihihi... Insha Allah, lain kali Amir bawa pulang hadiah-hadiah tu ya!


Golden Family, three of us :)

Abi dan Amir di pasar tani sebentar tadi.

Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu hikmatal wa takwil. Aamin...

Ummu Amir

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO