Sebab Saya Seorang Ibu
Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini sepatutnya saya sangat penat tetapi emosi saya sedang keriangan dan melonjak sendirian. Perasaan sangat 'ceria' sehingga terlebih memberi boost, akibatnya minda masih segar walaupun mata sudah layu.
Awal pagi selepas siapkan Amir Solihin (mandi dan makan), kami bertiga keluar rumah jam 8.20 pagi dengan hajat mahu ke Pasar Tani berhampiran Stadium Melawati. Pusing-pusing, hampir 30 minit baru dapat tempat letak kereta. Elok dapat parking, abang saya menalifon beliau dari Bangsar dalam perjalanan ke rumah mahu mengambil saya dan anakanda.
Maka, kami bertiga pulang ke rumah tanpa sempat menjejakkan kaki ke Pasar Tani. Entah apa yang ada di Pasar Tani, saya pun tak tahu kenapa saya sibuk sangat nak ke sana. Sudah hampir setahun bermastautin di sini, belum sempat lagi menjejakkan kaki ke Pasar Tani, asyik mendengar suami cerita itu dan ini sahaja.
Sampai rumah, beberapa minit kemudian abang saya pun sampai. Disebabkan tak jadi breakfast di luar, maka saya menyiapkan breakfast paling ringkas dan fast untuk suami sebelum meninggalkan beliau. Selepas breakfast, saya dan anakanda Amir Solihin mengikut abang saya. Asalnya beliau hanya mahu mengambil saya di rumah, membawa ke Sungai Buloh. Tetapi, saya memusingkan perancangan dengan selamba mengajak beliau 'bersuka ria' di Midvalley Megamall. Ada ekspo barangan ibu dan bayi, hihi.
Tiba di Midvally Megamall, abang memarkir kereta di kawasan yang mudah mendapat tempat. Kami bertiga (abang, saya dan anakanda Amir Solihin) terus ke ruangan exhibition. Dari jauh berjalan, tempat tersebut belum di buka. Kaki menapak setapak demi setapak, pagar dibuka dan semua menyerbu masuk. Heee... Nak tergelak sebenarnya melihat manusia menyerbu masuk ke dalam ruangan dewan yang meletakkan booth pelbagai jenama barangan ibu dan bayi.
Pusing-pusing, saya dengan tiada arah dan matlamat utama, hanya merayau-rayau menjamu mata. Banyak barangan yang dijual buat persiapan bayi pertama (new mom). Maka, sempatlah membeli 3 pasang baju buat anakanda. Sekitar 45 minit menghabiskan masa di situ, saya mengajak abang beransur pulang ke Sungai Buloh. Orang makin ramai, masing-masing membawa stroller. Ruangan yang kecil sangat padat dan sendat, saya tidak mahu menjadi orang yang menolong menyendatkan keadaan.
Sampai di Sungai Buloh, kami bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan anak jiran. Oleh kerana pernah menghuni di kawasan perumahan tersebut dan mendapat jemputan, maka bawalah anakanda. Tepat 12 tengah hari, kami sekeluarga berjalan berjemaah ke rumah kenduri. Oleh kerana suami mempunyai kenduri di kawasan rumah jadi beliau pergi kenduri di Sungai Buloh berasingan.
Rendang kambing, ya... Saya tiba-tiba menjadi penggemar kambing selepas berkahwin. Mungkin 'didikan' dari suami :)
Pulang dari majlis kenduri, suapkan Amir Solihin makan bubur dan mandikan beliau. Sekitar jam 3 petang, anakanda selamat ditidurkan selepas beberapa aksi yang tak comel dipamerkan. Barangkali terlalu penat seharian berjalan, sampaikan bapa dan ibu saudaranya terkejut melihat aksi tak comel tersebut.
Tak sampai 5 minit anakanda diulit tidur, suami sampai ke rumah dan mengajak menziarahi sepupunya yang baru bersalin 13 hari lalu. Kami meninggalkan anakanda yang sedang tidur bersama nenek, datuk, ibu dan bapa saudaranya.
Tiba di rumah sepupu suami, kelihatan sangat speechless melihat bayi perempuan mungil seberat 1.8kg itu. Kecilnya! Amir Solihin pun tak sekecil itu :)
Berbual itu dan ini, si kecil pun sudah bangun (setelah diganggu tidurnya oleh saya dan suami). Alhamdulillah, sangat comel masha Allah. Hidungnya mancung. Selepas beberapa ketika, si kecil mula menangis dan ibunya terkial-kial mahu menyusukan.
Kasihan melihat si ibu berusaha untuk belajar menyusukan anaknya. Nak membantu tetapi melihat suaminya duduk di hadapan si isteri untuk membantu menyesuaikan si isteri menyusu, saya duduk di tepi. Memberi peluang mereka suami isteri untuk belajar.
Si kecil menyusu tetapi masih menangis. Teringatkan anakanda Amir Solihin yang tidak suka bising (saya bercakap) apabila menyusu, maka saya pesankan kepada sepupu suami untuk tidak berbual dan menumpukan perhatian kepada proses penyusuan.
Sangat kasihan melihat si ibu. Sangat kasihan melihat si kecil yang menangis.
"Dia lapar, susu Su dah tak ada sangat."
Si ibu belum di urut, makan juga tidak terjaga. Begitulah cabaran berpantang sendirian.
Apabila bapa bayi tersebut ke dapur untuk membancuh susu (formula), saya melihat ke arah suami dan meminta kebenarannya.
"Kesian sangat, boleh tak nak susukan dia?"
Saya meminta izin kepada Su (sepupu suami) dan suami untuk menyusukan si kecil itu, hati tak tahan melihatnya menangis kelaparan. Sebaik-baik susu adalah susu ibu. Tidak tegar rasanya membiarkan si kecil itu diberikan susu formula sedangkan saya ada di situ dan mempunyai susu.
"Susukan je la."
Suami membalas ringkas. Suami pun terlupa untuk 'memperlawa' saya menyusukan si kecil tersebut yang sedari tadi menangis kelaparan.
Alhamdulillah. Saya mengambil si kecil tersebut dari rangkulan ibunya dan memeluknya, terlalu kecil. Selesai menyusu sehingga kenyang, si kecil tertidur. Saya menyerahkan kembali si kecil kepada ibunya, meminta agar diletakkan di atas tilam supaya si kecil tidak terbiasa duduk di atas tangan, bimbang selesa di atas tangan sehingga tidak mahu lagi duduk di atas tilam.
Allah. Tak tahu nak gambarkan macammana perasaan masa tu.
Sebab saya seorang ibu, saya tak sanggup melihat si kecil itu menangis kelaparan.
"Masa di hospital, nurse tak ajar cara menyusu ke?"
Saya bertanya, kasihan melihat si ibu terkial-kial mahu menyusukan bayinya.
"Tak. Nurse langsung tak ajar. Balik rumah, Kak Yah yang tolong ajar cara pegang anak, cara nak susukan."
Kasihan. Semasa di dalam wad selama 3 hari, saya puas di ajar oleh jururawat yang bertugas sehingga saya terasa mahu menangis kerana tertekan :P
Masuk dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, saya bertanya kepada suami perihal ibu susuan, perbahasan mengenai bilangan penyusuan (yang mengenyangkan bayi) sehingga hubungan seorang anak itu menjadi anak susuan. Dan, saya tersenyum...
"Kenapa orang tua bimbang anak disusukan orang lain, sebab tak nak jadi adik beradik susuan dengan alasan nanti tak boleh kahwin. Sedangkan susu ibu lebih baik dari formula."
Suami tiada jawapan.
"Sebab tak boleh berbesan kot. Tapi, kalau jadi anak susuan, hubungan kan lebih akrab."
Sampai di rumah, melihat Amir Solihin sudah bangun tidur. Beliau 'merajuk' ditinggalkan ummi dan abi, langsung tidak menghadiahkan senyuman pada ummi dan abi sehinggalah dalam kereta selepas di'inject' dengan susu, barulah Amir Solihin senyum pada abi.
Pengalaman harini sangat bermakna :)
Wajah Amir Solihin usai ummi bersolat Maghrib tadi :)
Usai solat Maghrib, Amir Solihin yang menunggu saya solat menghadiahkan senyuman... Setiap kali menunggu saya solat, selepas memberi salam kedua (terakhir) Amir Solihin akan menghadiahkan senyuman sebagai tanda; "Ummi done solat".
Sebagai hadiah atas akhlaqnya, saya akan ucapkan. "Masha Allah, solehnya anak ummi."
Al-kalam ad-du'a. Kata-kata itu doa.
Sebab saya seorang ibu, saya mahu anakanda sentiasa dilimpahi rahmat Allah.
With Love,
Ummu Amir
0 leaves:
Post a Comment