Kerehatan Sebelum Berehat
Bismillahirrahmanirrahim.
Tempoh hari, suami berkongsi kisah dengan saya. Perihal seorang kenamaan berpangkat datuk yang juga ahli perniagaan, suami menguruskan pengebumian jenazah tersebut.
Adik arwah merupakan salah seorang ahli kariah di kawasan perumahan kami. Adik arwah yang menceritakan perkara ini kepada suami mengenai abangnya (arwah).
Setahun Allah 'merehatkan' abangnya di rumah dari sebarang taklifan di luar. Abangnya lumpuh akibat dari perjalanan darah tidak mengalir ke anggota sebelah bawah tubuh. Makanya, dari pinggang sehingga kaki mengalami lumpuh.
Hidupnya hanya dengan membaca al-Quran, bersolat dan apabila merasa bosan maka arwah akan memanggil ibubapanya dan kaum kerabat yang hampir untuk mendengar tazkirah darinya. Arwah merupakan seorang aktivis gerakan dakwah yang aktif, pernah ditaklifkan untuk menggembleng jemaah. Sedikit ilmu yang ditimba, sedaya-upaya dikembangkan kepada orang lain sebagai amal jariah bekalan di kampung Barzakh.
Suami mengulang-ulang... "Hj A cakap, 'Saya cemburu sangat dengan arwah abang saya'."
Suami bercerita lagi. Di saat kematiannya, dia yang sudah nazak dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Tiba di wad kecemasan, dalam keadaan yang sedar tidak sedar, dikerumuni doktor untuk lakukan apa yang perlu. Tiba-tiba, beliau terjaga dan berkata kepada pegawai yang bertugas "Saya nak solat hajat" maka pegawai yang bertugas membiarkan beliau solat, kemudian beliau sambung tidur dan membiarkan pegawai perubatan untuk melunaskan tugas yang tergendala.
Beberapa minit selepas menunaikan solat hajat, doktor mengesahkan beliau sudah meninggal dunia.
Inna liLLAHi wainna ilaihi rajiun.
Allahuakbar.
Menjelang kematian, pelbagai ujian yang bertandang. Sakit seluruh tubuh saat roh berpisah untuk selamanya dari jasad. Godaan syaitan yang semestinya untuk menyesatkan kita.
Allahuakbar.
Dia lepas menghadapi ujian sakaratul maut. Sempat pula mengabdikan diri kepada Allah, al-Khaliq... Seakan kekasih yang merindukan kekasihnya. Dia pulang, kembali ke pangkuan Allah pada hari Khamis malam Jumaat dan disemadikan pada pagi Jumaat.
Moga Allah meletakkan rohnya dikalangan para solihin.
Hj A katakan kepada suami, "Allah rehatkan arwah secukup-cukupnya. Yelah, kalau sihat sibuk dengan urusan perniagaan." Dan pastilah disibukkan dengan urusan dunia yang lain.
Allah merehatkan beliau dengan sakit, supaya masa yang diberikan diabdikan kepada Allah sepenuhnya.
Berapa ramai manusia yang Allah berikan kesakitan tetapi sedikitpun tidak mengingati Allah?
Allahuakbar.
Renungan buat diri sendiri.
Wallahua'lam.
Ummu Amir.
2 leaves:
Assalamualaikum.
Terima kasih kerana berkongsi cerita ni. Sesungguhnya kesusahan, kesakitan dan ujian yang Allah bagi bukanlah sia - sia. Semoga Allah tempatkan roh di kalangan orang - orang soleh dan beriman. Aameen
subhanAllah... cerita ini bagus untuk dijadikan peringatan buat semua umat manusia.. walaupon sibuk di dunia tetapi tetap ingt pd negara akhirat yang abadi... walaupon sakit.. tetapi beliau tetap teguh imannya.. semoga Allah menempatkan arwahyarham di kalangan orang2 yang mukmin..
Post a Comment