[Cerpen] Dia Aisyah Ku 8
Bismillahirrahmanirrahim.
"Bukan semua..."
Hati Anis As-Syura mengulang-ulang kalimah yang sama.
"Bukan semua..."
"Bukan semua..."
Kali ini, wajah di hadapannya ditatap penuh kasih agar tersemai benih-benih cinta.
..................
"Abang lihat Aisyah semakin lama semakin kurang sabar, cepat marah. Cuba kawal perasaan tu, jangan diikutkan emosi."
Tangan Saufi yang masih mengemas meja makan memandang tepat ke arah isterinya. Semakin hari dilihat isterinya semakin pemarah, seakan ada sesuatu yang membakar dan membuat api kemarahan menyemarak keserata tubuh. Pantang ada kesalahan sedikit, cepat sungguh emosi isterinya tercuit. Usahkan kesalahan besar, kesalahan yang kecil cukup untuk meledak emosi. Ibarat lohong gunung berapi yang aktif, panas membara. Pantang tersentuh, terus mengeluarkan larva.
"Astaghfirullah hal azhim."
Berulang kali Syura mengulang-ulang istighfar tetapi seakan tidak 'mujarab'. Zikrullah masih dialunkan dalam diam namun muncung bibirnya tidak kurang sedari tadi. Teguran dari suaminya seakan menambah seinci muncung bibirnya.
"Astaghfirullah hal azhim, allazi la ila ha illaLLAH."
Hati Syura menjerit, meronta-ronta minta dilepaskan dari cengkaman amarah yang mengikat jiwanya. Hatinya menjerit melawan setiap rasa yang menjerut lehernya. Jiwanya seakan terikat dengan sesuatu, ya... sesuatu itu adalah nafsu. Di saat nafsu menguasi diri, hati yang menjerit pun tidak mampu melepaskan cengkaman nafsu melainkan dengan pisau belati iman. Ya, dengan iman mampu meredakan bahang amarah dirinya, mampu menjinakkan nafsu agar tunduk pada akhlaq dari qudwah yang dipamerkan Rasulullah s.a.w..
.................
Fatimah Az-Zahrah, anakanda Saufi sedang merengek. Puas sudah dipujuk namun tidak terpujuk. Si kecil itu sedang mengharapkan belaian tetapi ibunya sedang berperang dengan emosi yang turun naik. Saufi menggeleng kepala.
"Aisyah, Fatimah menangis ni. Susukan dahulu."
Syura hanya memandang ke arah Saufi. Pandangan sepi. Pandangan yang seakan memohon simpati. Pada siapa harus diluahkan kalau bukan kepada suami.
Selepas Fatimah Az-Zahrah tidur kekenyangan, Saufi mengelus lembut bahu isterinya yang dilihat semakin hari semakin tertekan. Kerenah Fatimah Az-Zahrah yang sedang demam ditambah dengan tugasan yang menunggu untuk diselesaikan, apa yang termampu dibantu sedaya upaya Saufi membantu kerja-kerja di rumah.
Baju-baju dan kain lampin Fatimah Az-Zahrah yang terkena muntah dibasuh Saufi. Hampir satu rumah berbau masam dengan muntah Fatimah Az-Zahrah.
"Sabar ye Aisyah, biasalah anak nak membesar. Kita kena sabar."
Saufi memujuk isterinya. Itulah yang terdaya, menyiram air kepada api yang sedang marak. Bukan menyimpah minyak dengan leteran demi leteran sebaliknya memberikan bahu untuk bersandar, andai bahu secara fizikal yang diserahkan belum pasti mampu memberikan lautan ketenangan tetapi andai mental dibelai-belai dengan hikmah insha Allah pasti sedikit sebanyak meredakan perasaan.
.................
"Aisyah, nak ikut Abang malam nanti?"
Saufi sempat murojaah (mengulang kaji) beberapa tajuk untuk dikuasi sebelum memberi tazkirah.
Saufi tersenyum melihat air muka isterinya berubah, seakan merona kemerahan melonjak kegembiraan. Sinar bebola mata isterinya bercahaya.
"Boleh ke Aisyah ikut?"
Syura bertanya kembali, memohon kepastian.
"Insha Allah. Fatimah pun nampak semakin sihat."
Syura tersenyum lebar. Alhamdulillah. Sudah lama tidak bersama suaminya menghadiri majlis ilmu apatah lagi malam nanti suaminya akan bergandingan dengan beberapa tokoh ilmuan yang hebat ilmunya. Terasa seperti mendapat jemputan VIP dari si suami. Bunga di hati Syura kembang setaman.
Memandangkan Fatimah Az-Zahrah semakin sihat, Syura mengharapkan si kecilnya tidak lagi muntah apatah lagi apabila berada di khalayak ramai.
Saufi akan bergandingan dengan dua orang ilmuan di dalam Forum Bicara Ulama', topik yang bakal mereka bincangkan berkisarkan dengan Dakwah Rasulullah s.a.w., satu topik yang sangat menarik.
Beberapa keperluan Fatimah Az-Zahrah disiapkan seberapa segera.
30 minit perjalanan dari kediaman mereka selamat tiba di lokasi yang dituju. Surau As-Sobirin.
"Pasti kariah di sini sangat penyabar. Surau saja sudah bernama 'Sobirin', kariahnya pasti penyabar." Saufi mencuit lengan Syura sambil berjalan ke perkarangan surau.
Beberapa ahli jawatankuasa menyambut kedatangan Saufi, Syura mengambil laluan Muslimat menuju ke ruangan solat. Fatimah Az-Zahrah diletakkan di sisi di tepi dinding supaya memudahkan laluan para jemaah untuk bersolat, ia juga memudahkan Syura untuk bersolat nanti agar Fatimah Az-Zahrah tidak mengganggu jemaah lain.
"Perkongsian ilmu yang bakal disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Fadhil, al-fadhil Ustaz Yusri dan al-fadhil Ustaz Saufi. Insha Allah, Forum Bicara Ulama' yang akan kita sama-sama dengarkan selepas solat Maghrib berjemaah nanti diharapkan memberi manfaat kepada kita semua sekaligus semoga kita dapat mengamalkannya. Saff..."
Imam Surau As-Sobirin meraikan ketiga-tiga pentazkirah jemputan. Solat Maghrib dilaksanakan berjemaah. Rapat-rapat, biar erat-erat. Ikatan seorang muslim dengan seorang muslim yang lain apabila 'terikat' rapat-rapat, erat-erat, susah musuh nak mengganggu gugat. Malangnya saff solat pun sangat sukar untuk dirapat dan dieratkan apatah lagi 'saff' di luar solat. Begitulah suasana umat Islam hari ini, zahirnya ramai tetapi rapuh. Umpama buih di lautan, zahirnya banyak tetapi tidak kuat!
.......
"Sepatutnya saya yang mendengar, bukan memperdengarkan."
Saufi tunduk terasa kerdilnya diri dibarisnya dengan para ilmuan hebat.
Syura tersenyum. 'Ah... di mataku, kau tetap hebat. Hebatmu bukan kerana lantangnya suaramu, hebatmu bukan kerana petahnya kata-katamu, hebatmu bukan kerana pencapaian akademikmu, hebatmu bukan kerana kau banyak berguru, hebatmu bukan kerana engkau dikenali wahai suamiku. Hebatmu adalah kerana engkau selalu menundukkan perasaanmu terutamanya apabila berhadapan dengan kerenah isterimu ini!'
Sambil memerhati keletah Fatimah Az-Zahrah yang tersenyum diagah oleh kanak-kanak lain, Syura memasang telinga mendengar ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh para pentazkirah. Ujian dan rintangan dalam dakwah Rasulullah s.a.w., andai saja Rasulullah s.a.w. tidak sabar masakan kita akan merasai manisnya iman. Andainya Rasulullah s.a.w. tidak sabar masakan kita akan merasai indahnya islam. Ah... Lau kana bainana.
.............
"Sunnah yang wajib kita lakukan ada 7."
Ustaz Yusri rancak memberi ilmu. Para jemaah khusyuk mendengar. Kanak-kanak ada yang sudah terlena dihurung kantuk, terlentok di atas riba sang ibu.
"Pertama tahajud.
Kedua baca Quran.
Ketiga solat berjemaah kepada yang lelaki.
Keempat solat dhuha.
Kelima berwuduk.
Keenam beristighfar.
Ketujuh bersedekah."
Hati Anis As-Syura seakan diketuk dengan tukul, kepalanya dihempap batu besar dan jasadnya terkulai dibelasah kata-kata Ustaz Yusri. Tembakan tepat mengena sasaran.
"Istighfar bukan hanya melafazkan 'astaghfirullah hal azhim' tetapi dihayati maknanya. Istighfar juga adalah dengan mengakui kesalahan diri sendiri. Suatu ketika Rasulullah pulang ke rumahnya lewat malam dan Siti Aisyah sudah tertidur. Rasulullah memberi salam tetapi tidak didengari oleh Saidatina Aisyah. Maka, Rasulullah tidur di luar rumah. Keesokan pagi apabila bangun dari tidur, Saidatina Aisyah segera memohon maaf dari Rasulullah kerana tidak sedar kepulangan Rasulullah."
Syura tertunduk.
"Sweet kan? Kalau kita, suami balik ketuk bergendang pintu dan si isteri lewat membuka kunci, terus dimaki hamun. Itu belum lagi naik kaki dan tangan. Masing-masing nak menang. Bila suami marah-marah, si isteri membentak 'Eh, dah engkau balik malam buta siapa suruh?' dan suami pula keberangan menempelak si isteri. Akhirnya sama-sama bertegang urat dan tiada siapa yang mendapat kemenangan melainkan kedua-duanya kalah! Kalah dengan nafsu yang tidak mahu mengalah. Kalau kita akui kesalahan kita, isteri terus sejuk dan sama-sama menang. Menang dengan nafsu!"
Ah... Sabar itu ungkapan yang sangat indah tetapi untuk bersabar itu berjuta halangan menanti. Tanpa ujian, kita tidak tahu sejauh mana kita menjadi seorang penyabar dan apabila meminta kesabaran sama seperti kita meminta diberikan ujian kerana tanpa ujian kita tidak tahu sejauh mana kita mampu bersabar! Mintalah Allah sertakan iman dalam setiap langkah perjuangan, kerana sertaan iman dalam perjuangan akan menyertakan sebuah sabar dalam pengembaraan kehidupan.
"Dan... sunnah yang terbesar adalah berhukum dengan hukum Allah."
Ah... Dunia di hujung ini, begitu sulit untuk berhukum dengan hukum Allah. Kerana perjuangan itu perit, Allah menghadiahkan syurga. Syurga yang indah... terlalu indah. Tetapi, untuk kebal di dalam perjuangan, kewajipan melaksanakan 7 sunnah Rasulullah s.a.w. tersebut insha Allah mampu untuk membuat kita kuat untuk melaksanakan sunnah terbesar yakni berhukum dengan hukum Allah.
.......................
Hatinya tidak meluahkan kepada mana-mana manusia, cuma penghujung solatnya dia bersungguh-sungguh mohon Allah aturkan langkah dan gerakkan kakinya ke jalan Rasulullah agar sampai ke penghujung redha Allah. Dan, dia tidak meluahkan sekelumit rasa hati yang bersarang namun Allah menjawab permintaan doanya melalui kalam dari manusia.
Sudah terlalu lama Syura tidak bersolat di malam hening, bermunajat kepada Allah. Kesibukan seharian membuatkan badannya menjadi letih, keletihan tersebut membuatkan urat dan sendinya terkunci dari bangun untuk bermunajat kepada Rabb, Tuhan yang menciptakannya.
Dan kebekuan hatinya adalah kerana lamanya tidak disiram dengan embun malam yang Allah turunkan kala dinihari. Embun yang bukan sahaja menyejukkan jasad namun juga menjinakkan paluan hati.
Terima kasih Tuhan.
.................
'Bukan semua perkara perlu kita kongsikan. Bukan semua perkara perlu kita hebahkan. Bukan semua perkara perlu kita ceritakan. Bukan semua manusia akan memberi kebaikan yang kita harapkan, maka kongsikan, hebahkan dan ceritakan semuanya kepada Allah. Kelak, Dia pasti menjawab. Lewat dan cepat, masa yang menentukan. Usah kecewa, usah berduka.
Teruslah bercerita dengan Dia.'
Anis As-Syura tersenyum.
Dipandang wajah suaminya dalam-dalam.
"Meskipun Aisyah tidak bercerita, tetapi Allah gerakkan hati Abang untuk bawa Aisyah dengar 'jawapan' Allah melalui Ustaz Yusri."
Berkerut kening Saufi.
"Apa maksudnya?"
0 leaves:
Post a Comment