[Cerpen] Dia Aisyah Ku 7
"Assalamu'alaikum Ustaz Mad. Apa cerita? Kenapa enta talifon ana banyak kali? Maaf lah, talifon ana kehabisan bateri dan ana tertinggal pengecas talifon. Ana baru sampai dari Kedah."
Suara Saufi memecah suasana petang. Anis As-Syura sibuk mengemas pakaian yang perlu dibasuh dan mengeluarkan pakaian yang masih elok dari beg.
"Apa cerita? Nak buat kenduri ke?"
Suara Saufi yang berselang seli dengan tawa kecil di hujung jenaka bergema memecah sunyi. Syura masih tersenyum mendengar suara suaminya.
Selang beberapa minit, Saufi tergelak besar. Syura yang melihat tingkah suaminyanya merasa pelik.
"Kenapa Abang, ada apa-apa ke?"
"Syura, eh... Aisyah, bersiap ye! Malam nanti selepas Isyak kita ke Bangi."
Saufi mengarahkan isterinya, Anis As-Syura yang dipanggil dengan panggilan Aisyah kerana di mata dan hati Saufi, Anis As-Syura adalah 'Aisyah' buah hatinya sepertimana Saidatina Aisyah yang menjadi penyeri Rasulullah s.a.w. yang bukan sahaja alim tetapi faqeh.
"Ada apa di Bangi?"
"Ust Mad nak menikah malam ni."
Syura diam, tersenyum simpul. Hatinya berbunga. Jiwanya seakan musim bunga yang sedang dihiasi warna warni keindahan bunga yang sangat mendamaikan.
"Subhanallah. Apa cerita ni Abang?" Syura masih mahu kepastian. Baru beberapa hari yang lalu, Syura dan suaminya menghadiri majlis pertunangan sahabat Saufi iaitu Ustaz Mad. Tiba-tiba hari ini mahu menikah!
"Hanya keluarga sahaja yang dijemput ke majlis tetapi Ustaz Mad menjemput kita. Insha Allah, nanti Aisyah bersiap ye. Selepas Isyak kita bertolak ke Bangi. Majlis akad dibuat jam 10 malam."
"Insha Allah."
Sekilas jam di dinding di pandang. Sudah 7 malam. Sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang, insha Allah masih sempat untuk membasuh baju-baju kotor sebelum menghadiri majlis akad nikah sahabat Saufi.
.........
"Kak Khalisah, macammana boleh jadi akad nikah malam ni?"
Anis As-Syura bertanya kepada Khalisah, kakak ipar sahabat suaminya.
Khalisah tersenyum. Dipandang wajah Syura sekilas lalu menarik nafas dalam.
"Ustaz Saufi tak cerita apa-apa ke?"
Syura hanya menggeleng. Tidak ada apa-apa cerita dari suaminya sepanjang perjalanan ke Bangi.
"Biasalah Syura. Ustaz dan ustazah pun punya perasaan dan ujian terhadap perasaan mereka. Pernikahan ini disegerakan untuk menghalalkan perasaan di antara mereka. Awalnya keluarga agak keberatan untuk menyegerakan pernikahan ini tetapi apabila kita meletakkan kayu ukur dan paksi perbuatan kita kepada garis panduan syariat Islam, maka kita akan mengambil keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk agama masing-masing."
Syura mengangguk perlahan. Tersenyum mendengar.
Hati Anis As-Syura ibarat kelopak mawar yang sedang mengembang. Bahagia melihat keluarga sakinah di hadapan mata ini. Apabila berada dalam sebarang kesulitan dan persoalan kehidupan, maka agama dijadikan sebagai teras muktamad setiap keputusan.
"Lagipun mereka sudah lama memendam perasaan, daripada kita menyekat kehendak mereka maka kita akan menidakkan apa yang dihalalkan oleh Allah taala. Jadi, kita halalkanlah hubungan mereka supaya mereka tidak terjemurus ke dalam maksiat hati. Wallahua'lam. Itu sahajalah kisahnya."
Khalisah tersenyum.
"Alhamdulillah. Yassiru wala tuassiru." (Segala puji-pujian bagi Allah. Permudahkanlah dan jangan susahkan)
"Syura, majlis dah nak bermula."
"Jom!" Anis As-Syura membetulkan tudungnya dan mengambil tempat di bahagian paling belakang di kalangan muslimat. Majlis pernikahan tertutup ini hanya dihadiri oleh adik-beradik kedua-dua pengantin, tetapi jemputan istimewa dari sahabat karib Saufi, kami raikan sebaik-baiknya.
"Ustaz Saufi, pengantin lelaki minta ustaz bacakan khutbah nikah."
Syura memandang ke arah suaminya, Saufi hanya memberikan sedikit tazkirah beberapa minit. Perkongsian kepada kedua pengantin sebelum menjadi suami dan isteri.
Kemudian, bapa pengantin lelaki memberikan sedikit tazkirah kepada anak dan bakal menantunya. Suasana hening malam menjadi sayu dan diselubungi perasaan terharu.
"Sudah termaktub di Lauh Mahfuz bahawa Muhammad dan Nurul akan menikah pada hari ini, di sini dan semuanya sudah Allah tetapkan. Kita hanya pelakon di pentas dunia, Allah sudah menyediakan skrip kepada kita di samping membekalkan kita 'pengarah' yang memberikan kita jalan supaya kita berlakon mengikut skrip yang Allah tuliskan, bukan membuat skrip baru dengan nafsu kita. Kita merancang, Allah juga merancang dan Allah lah sebaik-baik Perancang.
Saya, bapa Muhammad sedikit pun tidak terkejut apabila Muhammad meminta keizinan dan persetujuan dari kami suami isteri untuk menyegerakan pernikahan ini bahkan saya juga tidak terkejut seandainya Muhammad mahu bernikah (akad nikah dijalankan) sama hari dengan majlis pertunangan tempoh hari. Saya sebagai bapa hanya mahukan yang terbaik buat anak-anak."
Anis As-Syura tersenyum sendiri. Hatinya terus mekar berbunga. Monolognya bergema di ruang hati.
"Alhamdulillah. Masha Allah! Seandainya semua bapa di dunia berfikiran seperti bapa Ustaz Muhammad, alangkah mudahnya urusan kehidupan anak-anak. Sentiasa dilimpahi barakah dari Allah kerana kehidupan mereka diredhai oleh ibubapa."
Hadirin yang menyertai majlis akad nikah penuh syahdu tersebut ada yang mengalirkan air mata. Entahkan air mata sedih mahupun gembira namun kedua-dua ibu dan bapa pengantin kedua belah pihak menitiskan air mata.
Barangkali air mata bahagia. Air mata gembira kerana perancangan Allah melebibi segala-galanya.
Setelah Ustaz Muhammad dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Ustazah Nurul maka selesailah majlis pernikahan tersebut.
Gemuruh selepas akad nikah masih menghuni diri Muhammad. Apabila diminta berdoa, kepalanya seakan kosong. Lidahnya tersekat. Mindanya tidak mampu berfikir lalu terus memandang ke arah Saufi.
"Ustaz Saufi, tolong baca doa!"
Maka Saufi menyudahkan majlis akad nikah dengan mendoakan kebahagian, keberkahan dan kemurahan rezeki buat kedua pengantin dan juga seluruh umat Islam.
..............
"Ustaz Saufi, jangan masukkan gambar dalam Facebook!"
Muhammad memberi peringatan kepada Saufi.
Saufi hanya ketawa kecil dengan permintaan sahabatnya.
Selesai bergambar dengan pasangan pengantin, Saufi memohon untuk mengundur diri dari majlis. Jam sudah menunjukkan angka 12 malam.
Semasa wida' dengan keluarga Muhammad, bapa Muhammad memeluk erat Saufi. Pelukan kasih seorang bapa kepada seorang anak.
Anis As-Syura tersenyum, pasti suaminya sudah akrab dengan keluarga Ustaz Muhammad sehinggakan bapa Ustaz Muhammad begitu menyayangi suaminya.
..............
"Abang nak tahu, masa Aisyah tengok ayah Ustaz Mad memeluk Abang kuat sangat, Aisyah rasa nak jerit 'Pakcik..! Itu suami saya' tapi Aisyah tak jadi cakap macam tu. Nanti pak cik tu balas 'ada aku kisah'."
Syura ketawa kecil. Kereta mereka membelah malam. Meskipun sudah larut malam namun kereta masih banyak di ibu kota. Masing-masing dengan urusan sendiri.
Saufi hanya ketawa. Apakah isterinya merasa cemburu dengan pelukan kasih tersebut.
"Abang mesti dah lama kenal dengan keluarga Ustaz Mad, kan?"
"Ya. Dah lama."
"Tengok cara ayah Ustaz Mad peluk Abang pun, Aisyah rasa dia tak nak 'lepaskan' Abang."
Syura masih ketawa kecil mengenangkan pertemuan yang mengharukan.
"Aisyah jangan cemburu ye! Sebenarnya dulu ayah Ustaz Mad pernah menawarkan Abang untuk menjadi menantunya. Banyak sungguh bahasa kiasannya tapi Abang tak pernah tahu pun." Saufi ketawa besar. Lucu mengenangkan kiasan bahasa orang tua kepada orang muda namun yang lebih melucukan, kefahaman yang diharapkan tidak berlaku.
"Dengan kakak Ustaz Mad?" Syura bertanya. Sekadar ingin tahu.
"Tak. Dengan adik Ustaz Mad, dia belajar hafizah di Turki."
"Ya Allah. Ruginya Abang..." Syura bersuara perlahan.
"Sampailah suatu ketika Ustaz Mad beritahu adiknya mahu menikah, Abang bergurau pada dia 'Eh, enta kata nak rekemen adik enta pada ana!' terus Ustaz Mad tempelak Abang, 'Dah Ustaz Saufi buat 'donno' je.' Abang cakap lah 'Ana jual mahal lah masa tu, usahalah lebih sikit!'..."
Saufi ketawa. Suasana hening malam dihiasi dengan nostalgia cerita lama.
"Allah rancangkan yang terbaik. Apa yang Allah tetapkan dah cantik, pandai Allah susun kehidupan kita. Allah bagi Aisyah pada Abang."
Saufi tersenyum, tangannya mencapai tangan isterinya. Di celah cahaya lampu neon di jalanraya, Syura tersenyum.
"Aisyahku..." Saufi mengulangi semula sambil mengucup tangan Syura.
"Abang..." Syura bersuara.
"Ya."
"Kenapa tadi Ustaz Mad cakap jangan letak gambar dalam facebook? Kalau nikah khitbah tak boleh hebahkan ye?"
Pernikahan Muhammad dan Nurul disegerakan atas permintaan Muhammad dan Nurul, beberapa hari lagi Nurul akan berangkat ke Jordan untuk menyambung pengajiannya di Tahun 4. Nurul sedang bercuti di Malaysia dan akhirnya dari perancangan sekadar pertunangan akhirnya beberapa hari kemudian mereka bernikah tetapi nikah khitbah di mana cara ini dalam masyarakat Melayu dikenali sebagai 'Nikah Gantung'.
Di dalam masyarakat Melayu, meskipun sudah bernikah yakni 'Nikah Gantung', pasangan tidak boleh duduk sebumbung. Dikhuatiri akan menjadi fitnah kerana belum mengadakan majlis kesyukuran (walimah), bimbang masyarakat akan memandang serong.
Tetapi, di dalam syariat Islam. Pasangan yang sudah nikah khitbah, meskipun belum melaksanakan majlis kesyukuran, hubungan mereka sudah halal seperti pasangan suami isteri yang lain.
"Nikah khitbah boleh dihebahkan, tak ada masalah. Cuma, Ustaz Mad pesan begitu kerana mahu menjaga hati banyak pihak. Ye lah, bimbang sahabat-sahabat lain kecil hati kerana tidak dijemput sama. Kecil hati kerana tidak diberitahu (menikah)."
Syura mengangguk perlahan.
Nikah khitbah! Boleh menjadi penyelesaian kepada permasalahan keruntuhan moral dikalangan muda mudi. Ingin menikah memerlukan perbelanjaan yang besar, namun dengan adanya nikah khitbah maka perbelanjaan untuk perkahwinan tidaklah sebesar majlis walimah. Akan tetapi, mereka yang mahu menikah sama ada nikah khitbah mahupun menikah disusuli dengan majlis walimah perlulah menimba ilmu terlebih dahulu.
Kehidupan sebuah perkahwinan bukanlah seputar berkaitan isu seks dan nafsu semata-mata tetapi bersama dengan sebuah perkahwinan adalah tanggungjawab. Apabila perkahwinan disertakan dengan tanggungjawab, maka wajiblah kedua-dua yakni suami dan isteri untuk menimba ilmu dan mengaplikasikan ilmu ke dalam kehidupan mereka.
Wallahua'lam :)
Ummu Amir
0 leaves:
Post a Comment