Mengislamkan Seorang Muslim
Bismillahirrahmanirrahim.
Hari Rabu yang lalu sempat menziarahi ibu angkat, alhamdulillah banyak pengalaman yang dikongsikan dengan kami dan paling banyak nasihat diberikan untuk ana dalam mengurus emosi dan fizikal sepanjang kehamilan. Terlalu banyak yang dibualkan, namun ada sesuatu yang membuat hati cukup gementar. Hanya mampu istighfar sepanjang menadah telinga.
"Bila anak buat salah, kita (ibubapa) tak boleh nak salahkan anak kena salahkan diri sendiri. Kita tak boleh kata anak kita derhaka sebab kita yang bersalah dengan anak. Sebelum kita salahkan anak, kita kena minta maaf terlebih dahulu dengan anak sebab kita menyebabkan dia jadi begitu."
Ibu angkat pesan untuk jaga emosi, banyakkan istighfar sepanjang mengandung. Jangan sesekali ada terasa atau menyimpan perasaan marah kepada suami, jangan berburuk sangka dengan orang lain dan banyak sungguh nasihat yang dipesankan untuk mujahadah bersama. Bercerita masalah (kerenah) ibu mengandung, bersyukur sangat-sangat Allah tak uji dengan ujian yang berat. Hanya ujian-ujian kecil meniti perjalanan kembara ini.
"Ada orang cakap kan Mak Yah, kalau nak makan apa-apa (yang dihajati) kalau suami tak tunaikan, kiranya dia tak dapat la sampai menangis-nangis. Takut pula dengar."
Kemudian ibu angkat tersenyum, begitulah kerenah ibu mengandung. Saat fasa awal kehamilan dahulu, selalu sungguh digertak dengan kisah-kisah menakutkan antaranya ada yang nak makan (di restoran) jam 3 pagi, kejutkan suami yang nyenyak tidur dek kepenatan mencari nafkah. Apabila suami tak nak keluar (memenuhi hajat isteri) maka si isteri meraung di hening pagi tersebut. Astaghfirullah hal azhim.
Menakutkan sungguh!
Dari sebelum hamil, sebelum kahwin selalu pasakkan dalam diri. Kalau masa mengandung dah emosi dengan perkara kecil yang remeh temeh (pasal makanan misalannya), macammana nak mendidik anak menjadi kental kerana si ibu sangat lemah emosinya. Dahulu, selalu membuat muhasabah diri. Kalaulah para ibu di Palestin sangat rapuh emosinya semasa mengandung masakan boleh melahirkan mujahid-mujahid yang hebat. Kesimpulannya, sebelum mengharapkan anak yang hebat maka ibubapa terlebih dahulu WAJIB untuk menghebatkan keperibadian diri.
Ibu angkat berkongsi pengalamannya, sungguh besar 'ibrah tersebut buat ana yang sedang mengandung dan juga suami yang bakal menjadi seorang ayah. Ibu angkat kisahkan pengalaman sewaktu mengandung anak sulung, beliau berhajatkan taugeh kasar dan kerang. Saat itu suaminya bertugas di Sarawak, duduk kawasan yang agak hulu. Bila ada yang nak ke pekan, maka dikirimkan taugeh kasar dan kerang. Tahun 1977, harga kerang sangatlah mahal. Dikirimkan kerang RM1 hanya dapat 12 ketul kerang!
Taugeh kasar yang dihajatkan tiada dan hanya ada taugeh biasa. Bila dapat bungkusan tersebut maka ibu angkat terus meraung, bila marah sangat dihempuk-hempuk bungkusan plastik berisi kerang dan taugeh tersebut pada meja. Allahuakbar... Dan katanya, anaknya yang itulah yang paling panas baran dan apabila nakkan sesuatu maka diusahakan juga walau sesusah mana sekalipun, Allah... Allah...
"Nak kata mungkin sebab 'itu' yang buat dia jadi panas baran ke, wallahua'lam tapi itulah yang nak kongsi. Jaga emosi (kelakuan) semasa mengandung, jangan sesekali terbit rasa marah pada suami nanti anak lahir dia kurang rasa sayang pada ayahnya."
Ibu angkat juga kongsikan pengalaman semasa mengandungkan anak ke-4, beliau sempat melaksanakan solat sunat tasbih sebanyak 6 kali dan hajat-hajatnya semasa mengandung semuanya mudah dapat dan anaknya tersebut nampak lain dari yang lain, hatinya lembut dan mudah mendengar kata bahkan permintaan yang dibuat selalunya mudah untuk ditunaikan.
Betapa pentingnya peranan seorang ibu dalam membentuk karekter seorang anak. Ini mungkin picisan kisah yang boleh dijadikan iktibar kepada rakan-rakan sama ada yang belum berkahwin, sudah berkahwin, bakal berkahwin mahupun anak sudah berderet-deret.
Ibu angkat juga kata, selalunya anak sulung 'kurang menjadi' kerana ia adalah eksperimen dari ibubapa dibandingkan dengan anak bongsu yang cepat matang kerana semasa mengandung anak bongsu, si ibu sudah ada banyak pengalaman mengandung dan semakin bertambah ilmu (dunia dan akhirat, insya Allah) dibandingkan semasa mengandung anak sulung melainkan kalau ibubapa yang dibekali dengan ilmu agama yang baik maka mereka akan berusaha menjaga diri semasa kehamilan anak sulung.
Termenung, melihat suasana sekeliling. Ada benarnya...
Ada ibu yang menceritakan pengalaman semasa mengandung yang suka merajuk, cepat terasa hati dengan suami, sangat sensitif dan sebagainya. Melihat kepada si anak yang mudah merajuk, suka mengamuk apabila permintaan tidak dipenuhi... Insaf sungguh, kerdil rasanya diri kerana terlambat mengetahui ilmu yang sangat bernilai ini :'(
Saat mengandung, apabila si ibu selalu merasa marah atau tidak puas hati dengan suami maka anak yang lahir tidak menyayangi ayahnya tambahan pula apabila ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu maka anak kurang peduli dengan keperluan ayah. Itu kata ibu angkat, mungkin dari pengalaman yang dikutipnya sepanjang kembara di dunia.
"Anak kita dengar apa yang kita cakap, anak kita tahu apa yang kita rasa. Iya lah, dah anak kita duduk dalam kita. Kita mengomel tentang ayah dia, dia dengar. Dari dalam kandungan lagi kita dah 'ajar' anak kita benci, buruk sangka dengan ayahnya maka bila dia keluar ke dunia tak mustahil dia tak sayang pada ayahnya."
Allah. Takut sungguh mendengarnya. Banyak juga kerenah ana sepanjang mengandung, mungkin encik zauj juga pening kepala dengan ana. Tapi, Allah tak uji ana seteruk ujian yang dialami ibu-ibu lain yang terasa hati dengan suami apabila permintaan tidak dipenuhi.
Teringin sangat nak makan Puding Triffles dan Kek Batik, setelah berbulan-bulan mencari akhirnya minta tolong pada Kak Zima buatkan. Dari awal mengandung nak sangat makan Idli tapi tak jumpa-jumpa, akhirnya tanpa segan silu minta ibu kepada ukhti Azmah buatkan baru-baru ni. Jazakillah khairan jaza'. Apabila rasa nak makan sesuatu, selalunya berbulan-bulan baru dapat tapi tak rasa kecil dengan sesiapa pun mungkin kerana dari awal selalu cakap... :)
Maha luas rezeki Allah, betapa Allah Maha Kaya... Selalunya bila nak makan sesuatu, selalu je ada yang memberinya. Agak-agak nak goreng mee esok pagi, malamnya encik zauj bawa balik mee goreng kiriman dari surau. Allah... Mungkin adakala merancang selepas encik zauj pulang kuliah Maghrib dan solat Isyak, nak ajak makan di luar tetapi Allah adakan rezeki lain. Alhamdulillah.
Walaupun tak dapat apa yang mahu, Allah sentiasa memberi apa yang perlu. Mungkin kerana itulah tak terasa nak menangis kalau tak dapat apa yang nak, Allah sentiasa menghiburkan dengan cara dan kehendak Nya. Alhamdulillah. Bila dilanda perasaan yang tak best, istighfarlah sebanyak-banyaknya.
Sebelum mengandung, jarang mengikut encik zauj ke surau kerana solat seorang wanita lebih afdhal di dalam rumah. Tetapi, semasa mengandung kalau kuat dan sihat selalunya encik zauj akan mengangkut bersama ke surau supaya mujahid kecil mencintai majlis ilmu. Duduk lama-lama, lenguh sini sana, sakit sini sana tetapi memandangkan cita-cita untuk mempunyai anak yang berjiwa besar maka diusahakan juga untuk membesarkan jiwa. Takut sangat dengan amanah yang Allah pikulkan di pundak :'(
Semasa duduk di dalam kereta, meredah kepekatan malam dari Shah Alam menuju Sungai Buloh... Pakwe ku (Encik Zauj) bertanya.
"Apa yang Sayang faham dari hadith :
Semua anak yang lahir ke dunia ini, dilahirkan dalam keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan ibubapanyalah apabila anak itu menganut agama Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Maksud Hadith)"
Melihat keindahan lampu-lampu dari deretan kedai.
"Maksudnya, pendidikan ibubapa kepada anak-anak yang mencorakkan anak tersebut. Kalau ibu sendiri tak solat macammana nak suruh anak solat (meskipun sentiasa meniti di bibir mahukan anak yang soleh solehah)."
"Oh, macam tu ye?"
"Lagi satu adab masa menyambut anak, kalau boleh biar doktor perempuan lebih-lebih lagi muslimah. Lepas lahir, azan dan iqamat."
"Oh... Tahu tak? Abang faham hadith tu selepas dengar apa yang Mak Yah cakap haritu. Walaupun Mak Yah langsung tak relate dengan hadith tu tapi apa yang Mak Yah cakap sesuai dengan hadith tu."
"A'ah, betul betul..."
Teringat pembacaan ana pada buku kehamilan yang dikutip dari Pustaka Tun Sri Lanang semasa mengikut encik zauj ke UKM.
"Perhatikanlah di mana engkau letakkan anakmu, kerana 'irq (gen) sangat berpengaruh."
Kemudian, ada kisah seorang ulama' yang mempunyai anak-anak yang soleh solehah namun di dalam setandan pisang tidak semuanya menjadi. Ada seorang anak ulama' tersebut yang "lain" dari adik-beradiknya sehingga mahu membunuh ayahnya. Apabila ditanya orang apa yang menyebabkan anak tersebut menjadi begitu maka ulama' tersebut menjawab.
"Selepas melahirkannya, isteri sakit dan tidak mampu untuk menyusuinya. Kemudian, aku memberikannya kepada seorang wanita untuk menyusui anakku tanpa aku mengetahui bahawa wanita itu mempunyai akhlaq yang sangat buruk."
Allah...! Perhatikanlah diri sebelum menyalahkan anak-anak. Takut sungguh apabila teringat betapa besarnya beban tanggungjawab untuk menjadi seorang ibu yang MENGISLAMKAN SEORANG MUSLIM bukan hanya sekadar memberi nama yang mendakwa anak itu seorang muslim.
Kepada sahabat yang bersedih, berkeluh kesah kerana belum berkahwin ambillah iktibar dari kisah ini untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan mujahadah akhlaq yang mulia supaya setelah memasuki gerbang rumahtangga maka kalian akan sangat bersedia untuk memikul amanah yang sangat berat bagi MENGISLAMKAN SEORANG MUSLIM.
Biarlah 'lambat' berkahwin daripada tangkap muat apa yang datang hanya kerana mahu berkahwin tanpa terlebih dahulu mengetahui matlamat sebuah perkahwinan.
Ana lewat mendapat mutiara berharga ini, namun tidak terlambat untuk terus memperbaiki diri. Moga kalian semua mendapat manfaat dari kisah ini. Wallahua'lam.
Moga Allah Redha,
Insyirah Soleha.
9 leaves:
terima kasih..suka post nih! insyaAllah anak2 awak akan jadi anak yg soleh dan cemerlang dunia ddan akhirat.. :)
-- alhamdulillah~ syukran ukhti.. amat bererti.. moga terus lekat di hati..
assalamu'alaikum..
Terima kasih untuk perkongsian ilmu ini. Bnyk input yg d perolehi..Mohon izin untuk salin beberapa ayat dari kiriman ini..
Jazakallah..
hebat...
'kita mesti berjiwa besar lau nak anak berjiwa besar'
Allahuakhbar...
~Alhamdulillah~ syukran ukhti..
note yg baik tuk di amalkan nanti...
jazakillah..:)
Terima kasih adik Syirah..akak hidayah suka post adik kali ni..dahulu selalu rase nak kahwin sgt2 tpi bila memikirkan tanggungjawab yang sgt berat ni tmbah pula bkn sng nk dpt suami yg benar-benar prihatin dengan soal agama ni dan mendidik kita..alhamdulilah ilmu yang sgt bermanfaat..moga Allah meredhai usaha dik Syirah..terima kasih ye..
syukran ya ukhti.terkesan sgt di hati ni bila membace artikel nan satu ini.moga enti dan suami dikurniakan mujahid2 dan mujahidah2 yg soleh/solehah.
bagus,plg suka part istighfar bila bsedih.yg lain mmg best
Bismillah
Assalamualaikum syirah ^_^
mohon copy n share ya....
alhamdulillah... sangat bermakna entry ni... :)
Post a Comment