Mencari Barakah Kehidupan
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang merencanakan segala agenda kami. Mudah-mudahan, kasih sayang yang terjalin akan menambahkan lagi iman dan taqwa di hati. Ummi, abi dan adik-adik akhirnya memenuhi peluang cuti sekolah dengan menziarahi rumah kami di Shah Alam. Ummi berperasaan seperti bercuti di Pulau Pangkor, jauh sungguh perasaan ummi terbang semasa menginap di sini.
Mungkin kerana suasana rumah yang ala-ala chalet, ditambah pula dengan bunyi longkang besar di belakang rumah seakan-akan deruan anak sungai. Hanyut perasaan ummi sampai ke Pulau Pangkor, terlelap seketika sehingga terbawa mimpi sedang menikmati sinaran matahari di tepi pantai. Rupa-rupanya terik mentari menyambar wajah ummi, hai ummi jauh sungguh perasaan ummi bermusafir ya? :)
Bukan tentatif program cuti-cuti yang mahu dikongsikan tetapi peluang duduk dan berkongsi cerita dengan ummi yang mahu dikisahkan. Dahulu, dapurlah yang menjadi tempat kami bercerita dan bergurau senda. Tapi kini, suasana sudah berubah namun ummi masih seorang ummi yang tidak lokek untuk terus memberi nasihat demi nasihat penguat kasih sayang ummi buat ana.
Banyak yang ummi pesankan, antaranya persediaan-persediaan untuk menghadapi kelahiran anak sulung. Hilang sudah separuh ketakutan yang menghuni benak fikiran selepas ummi memberi keyakinan ditambah pula dengan kata-kata ibu mertua yang tersangat positif, alhamdulillah. Moga Allah permudahkan segalanya...
Ummi pesan untuk menjaga kebajikan suami, hatta ummi siap pesankan baju-baju yang zauj nak pakai ke surau jangan letak di bilik belakang yang mana lokasinya dekat dengan dapur bimbang baju zauj ditempek dengan haruman tumisan segala bagai nanti akan mengganggu konsentrasi solat para jemaah. Senyum saja, semua 'uniform solat' digantung di dalam almari supaya zauj mudah cari baju yang siap di seterika.
Seputar perkongsian tentang ilmu rumahtangga, namun dalam banyak-banyak bingkisan yang dititipkan ada satu pesanan membekas di hati. Teringat semasa pulang ke Kelantan pada bulan 5 yang lalu, zauj dan ibu mertua menjemput ummi dan abi juga adik-adik untuk ke Kelantan tetapi ummi menolak jemputan tersebut walaupun abi punya keinginan untuk ke Kelantan. Hati abi kalah selepas ummi cakap,
"Nanti apa pula mak ayah Saiful cakap, anak balik kampung pun nak ikut juga."
Garu kepala ana bila ummi cakap macam tu, padahal memang ibu mertua yang menjemput agar ibubapa ana dapat turut serta dalam majlis kecil tersebut. Bila ummi kata begitu, abi pun mengalah dan batalkan hasrat ke Kelantan.
"Anak perempuan, bila dah kahwin bukan lagi menjadi 'hak' ibubapa sebaliknya dah berpindah menjadi kepunyaan suami dan ibubapa mertua."
Ana diam, mendengar saja.
"Berbeza dengan anak lelaki, walaupun dah berkahwin hatta bercucu cicit sekalipun tanggungjawabnya terhadap ibubapa TAK PERNAH lupus tarikhnya."
Diam lagi, faham dengan butiran tersebut.
Ummi selalu ingatkan untuk ikram (memuliakan) mertua terutamanya ibu mertua. Bila berkahwin, seorang anak perempuan yang telah menjadi seorang isteri perlu melebihkan ibu mertua berbanding ibu sendiri. Bukan menafikan hak ibu yang telah melahirkan kita tetapi memuliakan ibu mertua kerana memudahkan tanggungjawab suami yang masih bertanggungjawab terhadap ibubapanya.
Apabila seorang isteri memuliakan ibubapa mertua, sangat mudah urusan suami untuk meneruskan tanggungjawab terhadap ibubapanya. Apabila seorang isteri melebihkan ibubapanya sama seperti keadaan sebelum berkahwin, maka si isteri akan mengheret suami untuk melebihkan ibubapanya sendiri dan meminggirkan ibubapa mertua yakni ibubapa kepada suami. Maka, suami dilalaikan dengan urusan 'sampingan' sehingga terlupa pada tanggungjawab terhadap ibubapanya.
Imbas kembali pada cerita zauj dalam sebuah kuliah muslimat, satu peringatan buat ana sendiri. Saat menceritakan hadith tersebut, zauj memandang ana. Jadi, terasa seperti panahan kilat... Zazzz...
"Seorang lelaki akan kalah dengan dunia disebabkan ibubapanya, ataupun isterinya, ataupun anak-anaknya, ataupun kaum keluarganya (adik-beradik & sanak saudara), ataupun jiran tetangganya."
Seorang lelaki yang tidak berkahwin, apabila mempunyai ibubapa yang berselera besar terhadap dunia maka dia akan disusahkan oleh ibubapanya. Apabila berkahwin, seandainya isteri dan anak-anaknya berselera besar terhadap dunia maka dia akan merasa terbeban dengan mereka. Kalau ibubapa dan isteri juga anak-anak tidak berselera besar terhadap dunia, barangkali kaum keluarganya akan menyusahkan kehidupannya ataupun jiran tetangga yang akan membuatkan dia kalah dengan dunia.
Bayangkan, ibubapa dan isteri yang tidak kisah dengan pemberian dari seorang lelaki (si anak/si suami) tetapi cakap-cakap kaum keluarga dan jiran tetangga sedikit sebanyak memberi impak kepada seorang lelaki untuk mula memikirkan tentang dunia.
Contoh :
"Engkau tengok si Mat tu, dari mula kerja sampai sekarang naik kereta Kancil aja. Kedekut sungguh, takkan la gajinya tak nak sikit pun."
Contoh 2 :
"Apa la Abang Long ni, orang mana pakai dah kereta Wira macam ni. Paling tidak tukarlah pakai Saga yang baru ke..."
Contoh 3 :
"Ali, engkau ni takkan nak naik motor sampai isteri kau beranak. Beli lah kereta pula, kesian mak tengok isteri kau naik motor ke hulu ke hilir."
Contoh 4 :
"Abang, takkan kita nak naik kereta Perdana V6 ni je. Abang kan dah naik pangkat jadi pengurus, beli lah BMW pula."
Sengaja membawa contoh dari sudut material, ia juga boleh relate dengan pelbagai urusan lain.
Seorang lelaki yang berusaha menjaga sumber kemasukan wang halal ke dalam rumahnya akan menjadi runsing apabila diasak dengan persoalan-persoalan dunia sehingga akhirnya mencampur-adukkan hak dan batil. Lalu, sumber wangnya tidak lagi barakah. Meskipun jumlahnya banyak (O.T tipu, mileage tipu, elaun yang tak layak pun dituntut juga) tetapi tidak pernah cukup.
Ada yang merungut menjadi orang tengah kepada seseorang untuk mencari jodoh tetapi setiap calon yang diusulkan semuanya ditolak dengan alasan yang cukup mudah, mahu mencari yang punya latarbelakang agama. Bukan semua yang berlatarbelakangkan pendidikan agama akan hidup dengan cara beragama, bukan semua yang tidak mendapat pendidikan agama akan hidup dengan cara yang bertuhankan hedonisme.
Masing-masing diberi pilihan untuk membuat keputusan, rumahtangga adalah medan untuk mengumpul sebanyak-banyak pahala dan jangan jadikan rumahtangga sebagai alat untuk mengumpul sebanyak-banyak dosa.
Buat para isteri, ingatlah...
"Bila ibu mertua kecil hati pada anaknya (suami kita) disebabkan kita (isteri), jangan tertanya kenapa hidup kita sentiasa disusahkan oleh Allah."
Suami, sebagai nakhoda palayar perlulah bijak untuk mendidik isteri. Jangan kerana cintakan isteri sehingga menyisihkan kasih sayang dari ibu. Hidup sangat perlu kepada barakah, salah satu pintu barakah dalam hidup adalah dengan doa dari seorang ibu.
Para suami,
Jangan tertanya kenapa hidup sentiasa disusahkan oleh Allah sekiranya melebihkan isteri berbanding ibu. (Renung-renungkan kisah Juraij, moga menjadi iktibar buat suami dan juga isteri)
Wallahua'lam
Insyirah Soleha Read more...