Zuriat Anugerah Ilahi
Bismillahirrahmanirrahim.
Beberapa kali mahu menulis artikel ini tetapi selalu berpura-pura sibuk dan akhirnya menulis artikel lain. Artikel ini buat hiburan untuk diri sendiri dan suami yang dikasihi, terima kasih banyak-banyak atas tiupan kasih sayang dan hembusan tazkiyyatun nafs berpanjangan, moga Allah meredhai hubungan kita. Aamin...
Last antenatal check-up, kena marah sebab 'disyakki' memakai pakaian yang ketat sehingga baby tak boleh membesar dengan baik. Ana amatlah blur bila menjadi saspek pakaian yang ketat kerana sejak kecil ummi sudah membiasakan ana dengan pakaian yang longgar, sesekali pakai skirt pun yang jenis besar-besar. Tak tahu nak salahkan siapa, dah perut ana tak besar macam orang lain tak kan nak pam macam belon kot. :P
Ana jarang berbual dengan ibu-ibu yang lain semasa menanti giliran sebab ana cepat stress bila orang berbual hal yang entah apa-apa, jadi ana membawa buku sebagai teman. Seawal jam 6.50 pagi zauj hantar ke klinik dan ana mendapat no 19, tahukah anda bahawa kakak di sebelah ana yang tiba jam 7.30 pagi mendapat giliran yang ke-59!
Sambil menunggu giliran untuk diperiksa, hanya mendengar perbualan insan disekeliling.
"Dah 4 anak lelaki, harapnya yang ini perempuan sampai suami saya cakap pada anak-anak 'mama ni nanti dapat anak perempuan habislah semua duitnya melabur untuk anak perempuan', ye lah dah 10 tahun menanti. Kalau dapat perempuan, cukup lah tak nak mengandung lagi."
"Anak sulung dengan kedua lelaki, harap-harap yang ini perempuan. Rumah tu dah macam neraka, anak-anak akak nakal sangat tak macam anak orang lain. Nak bawa jalan rumah kawan-kawan pun malu, tinggal dengan nenek diorang je la. Orang kata nak anak perempuan baca surah ni, nak anak lelaki baca surah ni. Kita dah tak pandang surah yang lelaki, baca surah yang perempuan je."
La haulawala quwwata illa billah.
Ketap bibir, teringat pada kata-kata zauji pada ana. Hakikatnya, insan sekeliling selalu 'mendidik' dan 'menegur' untuk terus belajar dan mengenali al-Quran, mengambil 'ibrah dari apa yang terkandung di dalam al-Quran.
Mana-mana pasangan yang baru berkahwin, pasti tidak akan terlepas dengan soalan cepumas. Hatta ana sendiri sehingga sekarang sering ditanya soalan yang sama.
"Dah ada isi?"
Bukan semua orang boleh menerima soalan ini, tetapi ana sangat kagum pada mereka yang menganggap soalan-soalan itu seperti satu doa meski usia perkahwinan semakin meningkat tanpa ada tanda untuk mendapat zuriat. Salah faham manusia mengenai zuriat ialah pasangan yang 'memberi' zuriat, mereka terlupa bahawa yang menghidup dan mematikan manusia adalah Allah. Yang meniup roh dan mencabut nyawa manusia juga adalah Allah. Bila mempersoalkan urusan kejadian manusia, samalah seperti mempersoalkan kerja Allah! Allahuakbar.
Pada yang sudah berkahwin dan dikurniakan anak-anak, ada yang tetap tidak berpuas hati dengan anugerah Ilahi tersebut. Apabila direnung-renung, dia lebih beruntung mempunyai zuriat berbanding dengan orang yang langsung tidak dikurniakan zuriat. Itulah, dalam al-Quran pun Allah dah cakap bahawa terlalu sedikit dikalangan hamba Nya yang bersyukur!
Allah menghadiahkan zauj yang diilhamkan untuk memberi peringatan berpanjangan buat ana, sering menitipkan pesan melalui kalam-kalam Tuhan dan hadith-hadith Nabi, sering mengkisahkan pelbagai 'ibrah dari al-Quran untuk ana teladani dan menghiburkan hati ana dengan cara syari'e.
Kepunyaan Allah lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang dikehendaki Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. (Surah As-Syura juzuk ke 25, Ayat 49-50)
Allahuakbar!
Ada yang Allah kurniakan kesemua anaknya perempuan.
Ada yang Allah kurniakan kesemua anaknya lelaki.
Ada yang Allah kurniakan anak lelaki dan perempuan.
Ada yang Allah menjadikan mandul.
Dalam al-Quran terlebih dahulu membahaskan persoalan ini, tetapi sejauh mana kita menerima ketentuan dari Allah.
Apa sahaja yang berada di dalam rahim seorang ibu, hanya Allah jugalah yang Maha Mengetahui. Tidak dinafikan, dengan teknologi kita boleh mengenalpasti jantina bayi di dalam kandungan seorang ibu tetapi ketentuan dari Ilahi tidak akan boleh kita sanggahi. Cerita dari sahabat zauj, isterinya melaksanakan ujian ultrasound dan doktor mengesahkan bayi di dalam kandungan adalah lelaki, keesokan hari isterinya melahirkan seorang bayi perempuan. Allahuakbar.
Teknologi hanyalah ciptaan manusia yang sudah pasti ada banyak kekurangan berbanding dengan apa yang Allah ciptakan. Jadi, usahlah terlalu bergantung kepercayaan kepada ciptaan manusia dan didiklah diri untuk menggantung harap kepada Pencipta kita.
Kisah 1
Suatu ketika, sepasang suami isteri yang sudah 20 tahun berkahwin tetapi tidak dikurniakan zuriat. Suaminya bertemu dengan Imam Abu Hanifah dan meminta pandangan darinya, Imam Abu Hanifah menyarankan pasangan tersebut (suami dan isteri) melakukan solat Tahajud dan beristighfar sebanyak-banyaknya pada setiap malam. Sebulan kemudian, lelaki tersebut bertemu dengan Imam Abu Hanifah dan menyatakan bahawa isterinya sudah ada tanda-tanda hamil. Allahuakbar.
Kisah 2
Nabi Zakaria a.s. merasa hairan melihat Maryam mendapat buah-buahan di luar musim (pada musim sejuk ada buah-buahan musim panas, pada musim panas ada buah-buahan musim sejuk) lalu bertanyakan kepada Maryam siapa yang memberi buah-buahan tersebut. Maryam menjawab "Allah yang memberi kepadaku" lalu Nabi Zakaria a.s. menanam yakin bahawa setiap perkara yang dirasakan mustahil (bagi pemikiran seorang manusia) tidak mustahil bagi Allah untuk melakukannya.
Meski di usia yang lanjut, atas dasar iman (yakin) yang tinggi dan doa yang tidak putus-putus maka Allah mengurniakan zuriat buat Nabi Zakaria dan isterinya meskipun pada pemikiran manusia seorang wanita yang tua mana boleh mengandung lagi. Tetapi, apabila Allah mengkehendaki perkara tersebut maka semuanya akan terjadi dengan kehendak Allah. Allahuakbar.
Kisah 3
Malaikat yang mendatangi Maryam di dalam mihram menyuruh Maryam bersujud kemudian Allah meniupkan roh Nabi Isa a.s. di dalam rahim Maryam ~ jadi kepada mereka yang berusaha untuk mendapatkan zuriat, boleh ambil 'ibrah dari kisah Maryam iaitu memperbanyakkan sujud kepada Allah taala.
Sangat tidak bersetuju apabila orang mengatakan "kalau nak anak perempuan baca surah ini, kalau nak anak lelaki baca surah ini", renungkan kata-kata Saidina Ali.
"Aku tidak meminta anak yang baik rupa dan bentuk dari Tuhanku, aku menginginkan dari Nya anak yang taat dan takut kepada Allah."
Alangkah indahnya apabila seorang ibu sedari alam rahim membiasakan anaknya mendengar keseluruhan isi kandungan di dalam al-Quran bukan sekadar membaca surah-surah tertentu seperti yang selalu diamalkan sekarang. Islam bukan diambil mengikut apa yang sesuai dengan nafsu (kehendak) kita sebaliknya Islam menyeliputi keseluruhan aspek kehidupan maka ambillah cara hidup islami dan didiklah anak-anak sedari awal agar mereka merasa keindahan hidup bersyariat.
Malam Jumaat yang lepas, mengikuti zauji menghadiri kuliah di Semenyeh. Sahabat zauji bawa dua anak perempuannya bersama. Waktu tiba di surau, orang sudah selesai solat Maghrib. Selepas ambil wuduk, ana terus solat Maghrib dan sudah masuk rakaat ke-3 baru ana menyedari bahawa anak-anak sahabat zauji ikut masbuk di dalam solat (kerana mereka selesai berwuduk lewat dari ana). Allahuakbar, masih sekolah rendah tetapi sudah faham untuk masbuk di dalam solat. *emosional*
Ibu mereka meninggal sewaktu adik bongsu mereka berusia 3 bulan, kemudian bapa mereka berkahwin lain tetapi tidak dikurniakan anak. Ibu tiri merekalah yang menggalas tanggungjawab seorang ibu dalam mentarbiyyah mereka dengan suasana islamik, sangat mengharukan. Bila meletakkan agama sebagai perjuangan, terasa seolah-olah duri yang menusuk tajam di kaki hanya ibarat debu dan akan hilang selepas dicuci.
Wallahua'lam.
Di Bawah Teduhan Awan,
Insyirah Soleha.
8 leaves:
assalamualaikum kak Insyirah.. semoga Allah menganugerahkan akak dan zauj anak soleh, penyejuk hati,penguat ikatan :)be strong, mujahidah inspirasiku. may Allah ease ur way ameen ^_^
Assalamualaikum ukhti,
apa khabar ya?
aminn, insyaAllah..
semoga ukhti dan suami mendapat anak yang taat akan perintah dan laranganNya..
SubhanALLAH... (T_T)
ALHAMDULILLAH..
assalamualaikum... alhamdulillah~
Suka entry ni. =D Hehe. Betul kata awak. Memang sedikit pon manusia yng bersyukur dengan Allah. Dapat A, nak B , da dapat B nak plak Z. Memacam kan. Sampai bila2 xpenah puas.
Harapnya kita semua sentiasa bersyukur. Thank u remind =D
semoga ukhti dan suami mndapat zuriat yg soleh dan solehah..amin
Assalamu'alaikum...alhamdulillah..semoga ukhti dan zauj dikurniakan zuriat yg soleh dan solehah..insyaAllah..amin..=)
Post a Comment