"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

17 February 2010

Cinta Surah Yaasin

* Dedikasi kepada yang tabah dan sabar, moga Allah menyinari iman dan taqwa membaluti sekeping hati dan kejayaan dunia akhirat untukmu. Insya Allah *

"Furqan, Angah nak balik kampung. Adik sakit tenat."

Saat mata terpejam rapat, melelahkan badan yang kepenatan seharian mengerah kudrat badan dan otak. Di saat bulan sedang bercanda bersama bebintang, sapaan Taufiq mengganggu lena yang baru saja dirasa.

"Apa?" Dalam keadaan separa sedar, terpinga-pinga melihat sahabat di hadapan mata dengan muka cemas dan sedang menangis. Oh, sahabat! Kamu menangis?

"Adik... Thohirah, sakit tenat. Angah nak balik sekarang."

Innalillahi wainna ilaihirajiun.

"Angah, kau nak drive sendirian? Sekarang jam berapa?" Soalan demi soalan dilontarkan, terasa membugar kepalanya. Berdesing mendengar khabar Thohirah.

"2 pagi, ibu talifon 10 minit lepas. Angah baru mandi ni, bagi fresh sikit nak drive long distance." Mata Taufiq lesu. Hatinya sedang rawan.

"Aku temankan, tapi Angah la yang drive. Aku penat sangat ni... Boleh la buat teman bersembang. At least, boleh tahan mengantuk." Furqan menghulur bantuan, bantuan semangat.

"Tak payah la, susahkan kau je. Kau baru sampai, nak long distance lagi. Angah boleh drive, insya Allah. Angah nak bagitahu kau je ni, nanti kau ingat Angah ghaib pula tiba-tiba hilang pagi buta macam ni."

Furqan tersenyum.

"Mengada lah kau Angah! Macam la semalam baru kenal. Tunggu sekejap, aku mandi bagi fresh dulu. Takut-takut, keluar pintu pagar aku ghaib menuju ke bintang, Angah drive sorang sampai kampung. Sementara aku mandi, Angah solat hajat dulu, kalau sempat baca Yaasin untuk Thohirah." Furqan bangkit dari duduk. Bingkas ke bilik mandi.

Hati Taufiq berlagu sepi...

"Ya Allah, bantulah Thohirah dengan ujian Mu. Seandainya sudah sampai waktunya, permudahkanlah ya Allah, seandainya masih panjang lagi usianya maka Kau bantulah ya Allah..."

"Yaasin..."

tit tit...

"Angah, jangan drive laju. Pandu hati-hati dan banyakkan istighfar."

Deraian air mata jatuh lagi, Thohirah semakin lemah. Sempat ayah menitip pesan, baru satu ayat di baca. Mesej kedua sampai ke kantung inbox.

"Angah, semoga selamat sampai..."

Sebelum meneruskan bacaan, mesej ditaip kepada ayah supaya tidak gelisah.

"Insya Allah ayah, Angah akan balik dengan Furqan. Doakan kami."

Selesai membaca surah Yaasin, Furqan muncul dari dapur dengan satu tumbler air kopi.

"Minum dulu. Aku drive dulu ya, nanti aku dah tak larat Angah sambung drive." Furqan memahami gelora hati sahabatnya, sudah 9 tahun mereka bersama. Dalam pincang mengurus emosi, bimbang tidak mampu rasional ketika memandu. Sementelah pagi masih muda, biarlah Furqan saja yang memandu.

"Terima kasih Furqan, Angah hargai sangat bantuan ni."

Sepanjang perjalanan, Angah masih berlagu surah Yaasin dan hati Furqan juga turut sama mendoakan Thohirah. Bila Angah berhenti, Furqan menyambung bacaan. Gara-gara Thohirah, Furqan juga sempat menghafaz surah Yaasin.

Setelah memandu 6 jam 30 minit perjalanan, hanya berehat 30 minit untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim di hentian rehat, solat Subuh paling syahdu buat dua insan bersahabat. Akhirnya mereka berdua tiba di kampung halaman Taufiq.

"Furqan, kau tahu... Angah sayang Adik lebih dari segala-galanya, Adik umpama nyawa Angah. Sebahagian hidup Angah adalah Adik... Angah tak tahu bagaimana untuk Angah lalui ujian, kalau Adik..." rawan di hati, sebak di wajah dan... sukar sungguh melafazkan kalam tersebut.

"Angah, kena sabar banyak-banyak. Istighfar. Insya Allah, Thohirah seorang yang kuat. Kalau kita lemah, macammana nak bantu Thohirah? Kalau Thohirah kuat, kenapa kita yang perlu mengalah. Insya Allah, istighfar banyak-banyak moga Allah tenangkan hati Angah."

[Sesuci Thohirah]

"Assalamu'alaikum..." Angah memberi salam, dipeluk ibu yang sedang menanti dengan sabar. Di cium ayah yang sedang tersenyum lemah.

"Macammana dengan Adik?" Taufiq memandang wajah ibu dan ayah. Masing-masing kepenatan, barangkali tidak tidur semalaman.

"Adik, ada di bilik."

Kelihatan Opah dan keluarga terdekat sedang membaca Yaasin di ruang tamu.

'Teruk sangatkah kondisi Thohirah? Mungkin sudah hampir waktunya...' Hati Furqan monolog kecil. Melihat saudara mara semuanya sedang berlagu sendu, ada yang masih menyeka wajah lesu, ada yang bermata merah.

'Ya Allah, kuatkanlah hati-hati kami dengan ketentuan Mu.'

Furqan segera ke kamar mandi, mengambil wuduk dan masuk ke kamar Taufiq. Sudah diminta keizinan awal menumpang kamar Taufiq, solat Dhuha dan solat Hajat. Terasa sayu benar ruang hatinya melihat suasana sepi di rumah keluarga sahabat akrabnya. Selesai mengangkat tangan, berdoa kepada Pemilik nyawa... al-Quran di sisi katil diambil, surah Yaasin dibaca lagi. Untuk pagi ini saja, tidak tahu sudah berapa kali dibaca Yaasin buat Thohirah.

"Andai sudah waktunya, permudahkanlah ya Allah... kiranya belum, bantulah dia ya Allah..." Hanya itu yang berulang kali dilafazkan.

Untuk kali ke-4 bacaan Yaasin buat Thohirah, Taufiq masuk ke bilik.

"Furqan..." Taufiq memeluk erat sahabat di depannya.

'Ya Allah, tenangkanlah hati kami berdepan dengan ketentuan Mu...' sebak di hatinya melihat sahabat berkeadaan begitu. Erat dakapan dari Taufiq, tidak pernah sekuat dan selama itu Taufiq mendakapnya. Pasti lautan hatinya sedang bergelora dengan ombak besar hingga tiada kata yang dilafazkan, hanya pelukan erat melepaskan apa yang terbuku.

"Adik... tenat sangat."

Furqan keluar dari bilik, berjumpa dengan Pakcik Alias.

"Pakcik, boleh saya bercakap dengan Pakcik?"

Pakcik Alias kelihatan lemah. Senyuman masih dilempar pada tetamu yang bertandang.

"Ada apa Furqan?"

"Boleh kita bercakap di luar?"

Pakcik Alias membontoti langkah Furqan. Di beranda halaman rumah, pada kerusi yang tersedia, Pakcik Alias melabuhkan punggungnya. Anak muda di hadapan mata direnung.

"Furqan nak cakap apa?"

"Saya nak kahwin dengan Thohirah."

"Furqan! Kau gila...!" Tiba-tiba Angah muncul dari belakang.

Berderau darah Furqan, terasa minyak panas menyimbah mukanya. Bagai peluh jagung dari hujung rambut ke hujung kaki disergah begitu.

"Kau gila Furqan, Thohirah tenat... Kau berjenaka?"

Furqan memandang tepat pada wajah Taufiq.

"Angah, aku dah lama menyimpan perasaan pada Thohirah. Tapi aku tak tahu nak cakap macammana sebab aku tak nak nanti Angah anggap aku ambil kesempatan dalam persahabatan kita."

Pakcik Alias terkejut, hanya diam. Tidak sepatah yang dibicarakan.

"Sejak bila kau suka pada Adik? Aku tak sangka... Kau..." Taufiq terasa mahu melepaskan genggaman eratnya tepat di muka Furqan biar jadi seperti lempeng.

'Kurang ajar punya kawan, patut kau sanggup teman aku. Nak tolong konon!' Hati Taufiq panas. Bagai gunung berapi menanti saat untuk meledak.

"Astaghfirullah hal azhim..." Cepat-cepat Taufiq istighfar.

Pakcik Alias bingkas bangun meninggalkan Taufiq dan Furqan. Biar mereka menyelesaikan pertikaian.

Furqan serba salah melihat reaksi Pakcik Alias yang terus hilang dari pandangan.

"Sanggup kau buat Angah macam ni. Angah anggap kau macam keluarga..." Taufiq melempar pandangan jauh ke sawah. Furqan anak yatim piatu, hanya dibesarkan di rumah anak yatim dan kehidupannya menjadi cerah kerana Furqan seorang yang pintar, biasiswa pengajian dari kerajaan menerbangkan Furqan ke luar negara.

"Angah. Dah lama aku pendam, 1 tahun setengah. Aku sentiasa cuba tapi aku takut... Aku sayangkan persahabatan kita." Furqan cuba berlembut.

"Sejak bila kau suka Thohirah?" Taufiq masih bertanya. Jawapan 1 tahun setengah itu tidak cukup.

"Aku ternampak blog Thohirah masa Angah online, aku hafal link dan aku selalu baca blog dia... Aku juga selalu komen dalam blog Thohirah menggunakan nama وردة." Furqan menelan airliur.

"
وردة?"

"Iya, mawar. Thohirah tak pernah kenal aku. Dia sangkakan aku seorang perempuan." Bertemakan profile jambangan mawar merah dikelilingi jambangan mawar putih. Tidak lain menterjemahkan watak seorang perempuan.

"Angah juga menyangka
وردة perempuan. Dan, Angah baca komen-komen dari وردة."

"Jujur, aku tertengok gambar Thohirah dalam notebook Angah." Furqan meluahkan lagi satu perkara yang dirahsiakannya, Taufiq menggenggam tangannya.

"Sanggup kau...?"

"Tapi... Thohirah berniqab. Aku tak pernah melihat mukanya." Furqan jujur.

Tiba-tiba Pakcik Alias kembali dengan sedulang air teh.

"Jangan bergaduh, duduk dan bercakap elok-elok. Maaf, pakcik sangat terkejut." Masih melemparkan senyuman pada Furqan.

Furqan jadi bersalah. Pakcik Alias lalu bercerita tentang kisah Hanzalah, bagaimana seorang isteri rela melepaskan suaminya untuk berjuang. Di hujung cerita panjangnya, Pakcik Alias merenung kedua anak muda di hadapannya lalu matanya tepat menembak ke arah anak mata Furqan.

"Furqan sanggup kahwin untuk ditinggalkan?"

Furqan tertunduk, matanya tidak mampu lagi menahan air mata. Terasa bagai dipanah halilintar.

"Saya terpikat bukan pada rupanya, tetapi pada santunnya. Saya tak pernah melihat Thohirah."

Pakcik Alias bangun dari duduknya.

"Mari, ikut pakcik. Angah duduk sini."

Furqan bangun perlahan, langkahnya juga rapuh. Langkah Pakcik Alias dituruti.

Tiba-tiba...

"Subhanallah." Jantungnya berhenti mengepam. Dunia jadi kelam.

"Ini Thohirah." Pakcik Alias masih berlagak tenang.

"Pakcik..." terasa suaranya tersekat di celah kerongkong, hanya angin yang keluar tanpa irama yang berdendang.

"Kalau Furqan boleh menerima keadaan Thohirah begini, pakcik sanggup kahwinkan Furqan sekarang." Pakcik Alias mengusap lembut belakang Furqan. Biar Furqan membuat perhitungan, lihat sendiri mawar pujaannya dalam keadaan paling 'hodoh' supaya tidak terkejut kira halal untuk disentuh.

Entah bagaimana datang rasa hati untuk menerima kata-kata Pakcik Alias. Dengan penuh serabut, perkahwinan itu terjadi antara Thohirah dan Furqan. Taufiq sudah sejuk hatinya, tidak lagi mengepal buku lima. Bersaksikan semua yang hadir, akad nikah berlangsung.

"Assalamu'alaikum..." Furqan memberi salam. Thohirah tidak lagi mahu membuka mata seperti sebelum Furqan memasuki kamarnya, mungkin hatinya dipagar rasa malu dilihat begitu oleh seorang lelaki.

Taufiq memegang pergelangan tangan adiknya, pandangannya pada ibu dan ayah lalu air matanya membasahi pipi. Terlalu syahdu untuk dirakamkan memori pilu ini.

Furqan mengangkat kepala Thohirah. Sedikit mata Thohirah terbuka, senyuman terukir dari bibir Thohirah.

"La ila ha illallah..."

Taufiq membisikkan kalimah tauhid pada telinga adiknya.

"Yaasin..." Hanya itu yang keluar dari bibir Thohirah bagai desir angin tanpa irama. Sekali lagi, entah kali ke berapa Furqan membacakan Yaasin buat Thohirah. Kali ini, dibisikkan ke telinga Thohirah dan bibir Thohirah setia mengikut kalimah-kalimah yang dilafazkan oleh Furqan. Sehingga kali yang ke-3, Thohirah seakan sedang enak tidur. Mukanya tenang, dadanya juga begitu, perutnya tidak lagi bergerak.

"Masih bernadi... Kakinya dah sejuk!" Furqan melirih nadi pergelangan Thohirah.

Terasa nadi semakin jauh jaraknya, pada satu nadi ke satu nadi semakin lemah.

"La ila ha illallah..." Furqan mengangkat kepala mawar pujaannya, tanpa sedar air matanya menitis di atas kelopak mata Thohirah. Pakcik Alias dan Makcik Khajidah sudah keluar dari bilik, tidak mahu mengganggu 'kasih' antara Furqan dan Thohirah tetapi Furqan meminta Taufiq setia di sebelah Thohirah. Tidak mahu digelar 'perampas' kerana tahu cinta dan kasih Taufiq pada adik perempuannya sangat tebal bahkan terlalu menggunung.

"Panggil Along..." Seru Taufiq pada sepupunya.

Air zam zam yang dibawa Along dirautkan ke wajah Thohirah, pada bibirnya dititiskan air zam zam.

"La ila ha illallah..."

Sehingga azan Zohor berkumandang, Thohirah masih 'tidur' dengan enaknya berteman nadi yang semakin lemah. Tidak lagi membuka matanya, nampak tenang dalam lenanya.

"Tadi, jantungnya terhenti seketika. Adik berhenti bernafas seketika dan kemudian, dia seperti sedang tidur."

Angah keluar, mengambil wuduk dan terus menuju masjid. Biarlah, Furqan ada menemani Thohirah.

Siang... Malam. Sehari, seminggu, sebulan, berlalu.

Thohirah masih lemah namun sudah 'sedar' dari tidurnya. Tahu-tahu sudah menjadi isteri, aduh... ayah kahwinkannya seperti tidak rasa apa-apa. Kata ayah, kalau sudah 1 tahun setengah memendam hati tidak terluah, sudah diluah kalau ditahan-tahan bimbang mabuknya lebih dahsyat dari suami yang kehilangan isteri. Biarlah Furqan merasa 'memiliki' walau hanya untuk sebentar, namun kuasa Allah yang mengatasi segala.

Sudah 2 bulan dari peristiwa penuh kesayuan, Thohirah masih di bumi Tuhan. Walau masih lemah namun senyuman dan bening pandangan matanya begitu membahagiakan.

"1 tahun setengah menyulam cinta, hanya bertemankan surah Yaasin..." Furqan mongomel sendiri.

"Kasihan... Mahu menjadi seperti kekasih Hanzalah tetapi tidak hajat tidak kesampaian." Thohirah tiba-tiba muncul dari tirai dapur
mengusik dengan bersahaja.

"Kerana cinta Yaasin lebih kuat dari cinta kekasih Hanzalah."

***********

Rasanya tak ada ayah yang nak kahwinkan anak perempuan yang sedang tenat dengan seorang pemuda yang mabuk cinta. Tetapi, kalau rela dan tahu kahwin untuk ditinggalkan pun mahu juga... Biarlah... Lebih bersedia untuk menerima hakikat 'isteriku bukan milikku' hanya 'dipinjamkan oleh Kekasih yang Satu' untuk mengepam oksigen iman memasuki rongga pernafasan agar setiap denyut nadi yang berdegup, bersedia untuk 'melepaskan' apa yang dalam 'genggaman'.

Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah kembali kepada Allah, hanya garapan emosi dan idea juga curahan kasih sayang buat teman-teman yang sedang berjuang sebagai seorang P.E.S.A.K.I.T. moga kekuatan mengiringi, saluti hati dengan keyakinan pada Tuhan. Tenang-tenangkan ripuh yang melanda, moga kemenangan menjadi milik K.I.T.A (",)

Birthday girl, me dedicate lagu Jauhnya Syurga. Enjoy it..! Semoga dengan PERTAMBAHAN usia akan menambahkan lagi ilmu, iman, taqwa juga tawadhuk pada Ilahi. Akak sayang kamu! Tak boleh menasihati kamu agar tidak cengeng bimbang kamu menuntut akak supaya 'tunaikan' kata-kata sebelum menasihati kamu tetapi, hati ini selalu mengharap kamu akan terus berjuang menjadi srikandi mujaddidah. Happy 19th birthday Adik Mucuk! Kamu sudah makin dewasa :)

Akak juga doakan agar adik kuat seperti Thohirah, tetap berjuang sehingga ke denyut nadi terakhir. Bersabarlah atas apa yang berlaku kerana Dia mengetahui apa yang terbaik untuk dirimu, Dia kasihkan dirimu maka Dia hadirkan anugerah tidak ternilai itu kepadamu. Akak adalah Furqan dan adik adalah Thohirah. Akak adalah orang yang akan selalu mengharap kesembuhan buat adik. Adik kena kuat macam Thohirah, mesti kuat! Semoga kekuatan mengiringi srikandi kecil bersemangat besar, dikaulah srikandi teman langkahku :)

Akak sayang kamu!

0 leaves:

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO