Teguran Kasih Sayang
Bismillahirrahmanirrahim.
Macam-macam perkara yang berlaku. Kadang-kadang mengambil keputusan untuk membiarkan saja sudah cukup menyeksa, bukan setakat menyeksa orang lain tetapi menyeksa diri sendiri. Sentiasa dilema dan tak tahu jalan mana yang terbaik untuk diambil bila melibatkan perasaan manusia. Lalu, membiarkan seketika untuk mencari maklumat atau bertanyakan pendapat orang lain yang tsiqah didahulukan sebelum memulakan apa yang dipendam.
Ramai orang (ye la, tak kan binatang pula kan?) memandang seseorang yang berniqab itu sebagai manusia yang sempurna. Perlu itu, perlu ini, mesti begitu, mesti begini. Sesuatu hakikat yang semua orang terlepas pandang apabila melontarkan kritikan ialah dia masih seorang manusia biasa. Masih seorang manusia yang sedang belajar.
Apa yang saya perhatikan, lewat perkenalan di alam maya. Ya, saya tidak mengenali secara rapat tetapi latarbelakang yang sedikit-sedikit ada juga dikongsikan bersama. Rata-rata muslimah yang berniqab, yang saya kenal di alam maya bukanlah mereka yang terdiri dari latarbelakang pendidikan agama. Bahkan ramai yang berhijrah secara drastik. Daripada langsung tak bertudung kepada tudung labuh dan seketika kemudian terus mengenakan niqab.
Saya pernah kongsikan, bagaimana keperluan untuk sentiasa menuntut ilmu. Supaya kita tahu apa yang kita lakukan, kenapa kita lakukan. Cuma, kadangkala sukar untuk memahamkan semua orang bahawa bertatih dengan kaki sendiri terkadang jadi sangat lelah bila semua orang menghadang jalan.
Tidak sedikit yang saya jumpa, mereka berjinak-jinak untuk mengenali agama setelah berada di menara gading. Bergaul dengan insan-insan yang mencintai agama, beramal dengan agama membuatkan mereka terdetik untuk mengenali agama meskipun mereka beragama Islam sejak lahir tetapi tiada praktikal di dalam kehidupan.
Cuma, selalu manusia menegur dengan kekerasan dan terkadang kelihatannya seperti memaki hamun penuh emosi kepada mereka yang baru berjinak untuk mengenali agama.
Niqab, ianya khilaf dikalangan ulama'. Ia juga perkara furu' (cabang), apabila semua orang sibuk bercakap pasal perkara furu' maka perkara utama dilupakan.
Namun, saya tidak menyalahkan sepenuhnya kepada niqabi yang terkadang orang lain melihat mereka 'buat apa yang tidak sepatutnya' kerana rata-rata yang saya kenali, mereka baru belajar agama tetapi mereka kuatkan hati untuk berniqab sebab mereka rasa cara itu yang buat mereka selamat. Tapi, nama pun manusia... Mereka belajar dan sedang belajar.
Terkadang, terdetik juga di hati. Di Malaysia, rata-rata niqabi bukan berlatarbelakangkan pengajian agama Islam maka ilmu yang 'tidak menepati kehendak orang ramai', kurangnya pengetahuan dalam perihal agama dan serba kekurangan seringkali ditempelak. Jadi, nak salahkan bagaimana kerana mereka sedang belajar? Mungkin awalnya kelihatan 'berfesyen' tetapi kalau disentuh dengan ilmu dari semasa ke semasa, insyaAllah mereka akan adaptasi dalam kehidupan.
Mungkin kerana kurangnya para ustazah, graduan lulusan luar negara yang banyak talaqqi dengan syeikh hebat-hebat memilih untuk tidak berniqab apabila pulang ke Malaysia, jadinya yang berkemahuan untuk berniqab adalah mereka yang tidak berlatarbelakangkan agama Islam tetapi berminat untuk mendalami ilmu agama.
Jadinya, yang berniqab kelihatan "semuanya" berfesyen semata-mata. Tidak berilmu. Tidak beradab. Tidak wara' dan segalanya tidak manis di mata orang lain.
:(
Saya BUKAN menyokong mana-mana tindakan muslimah yang tidak menepati kehendak syariat, sekadar sebuah pandangan 'kosong' dan mungkin tidak bermakna kepada orang lain tetapi inilah yang saya rasakan. Kalau diherdik, sentiasa dimarahi untuk 'gagahkan' muslimah yang berniqab masakan kasih sayang dan kelembutan tidak boleh menggagahkan muslimah?
"Ustaz saya kata perempuan berniqab ni 'lembik', tegur sikit dah tak tahan."
Jadinya, kita memerlukan kekerasan untuk membuat orang jadi gagah?
Saya tidak nafikan, kekerasan dalam teguran itu PERLU tetapi bukan secara terbuka. Mungkin seseorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, keluarganya mengamalkan agama Islam dan hidup dalam kerukunan syariat Islam akan melihat teguran yang keras itu biasa tetapi kepada mereka yang baru berjinak dengan agama lantaran kesedaran diri yang Allah berikan taufiq hidayah, kekerasan itu menyakitkan dan ia boleh membuatkan minat terhadap agama terus luntur hanya kerana orang yang mengamalkan agama tidak berhemah dalam menyebarkan agama.
Saya ulang sekali lagi, saya TIDAK menyokong tindakan mereka yang tidak menepati kehendak syariat. Ini hanya pandangan 'kosong' yang mungkin tidak bermakna kepada orang lain tetapi inilah yang saya rasakan.
Wallahua'lam.
0 leaves:
Post a Comment