Amir Solihin : 1 Tahun 6 Bulan
Bismillahirrahmanirrahim.
Milestone anak bukan untuk membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebaliknya ia penanda aras untuk kita lebih memberi perhatian kepada perkembangan anak. Kalau kita mahu anak menjadi seperti anak orang lain, maka kita sendiri perlu berubah menjadi orang lain.
Kalau kita TAK SUKA dibandingkan untuk menjadi orang lain, maka JANGAN sesekali membandingkan orang lain, terutamanya anak sendiri dengan anak orang lain :)
Mengikut kalender Masihi, lagi 3 hari genaplah usia Amir Solihin 1 tahun 6 bulan. Jadual suntikannya pula pada hari Rabu. Tak boleh saya nak bayangkan bagaimana untuk menyuntik anak bujang kami yang semakin lasak. Saya perasan, dia sangat peramah. Suka sangat menegur orang.
Semalam, suami ada urusan di Kuala Lumpur. Bawa Amir Solihin sekali, saya bekalkan sepersalinan pakaian dan 2 keping lampin untuk Amir Solihin. Balik ke rumah, dengan keadaan keletihan suami bercerita perihal anak bujang kami.
Pekerja di pejabat mengusik Amir Solihin, kata 'Abi dah balik, tinggal Amir'. Amir Solihin yang sedang seronok bermain terus pusing mencari suami, tak nampak kelibat suami terus meraung-raung memanggil "Abi, Abi, Abi" natijahnya semua orang ketawa.
Sebelum balik, suami dan rakan singgah makan di sebuah kedai. Habis satu kedai dijelajah oleh Amir Solihin, dan kata suami orang yang makan di kedai sibuk bergambar dengan Amir Solihin :)
Amir Solihin suka berlakon.
Berpura-pura menangis sambil menggosok mata, buatkan saya selalu ketawa. Kadang, bila dipanggil namanya dia tidak menyahut sebaliknya berpura-pura tidak mendengar sambil 'mengangkat kepalanya ke atas sambil membuat matanya seolah-olah ke atas'.
Amir Solihin suka menyanyi.
Sejak beberapa ketika ni saya perasan dia suka menyanyi. Duduk main sendirian, dia menyanyi sambil menggeleng-geleng kepala. Mulanya tak tahu lagu apa yang dinyanyinya, suami memaklumkan Amir Solihin menyanyi lagu Alif Ba Ta. Apa yang saya dengar hanya "Hamzah Ya" saja yang saya faham, lainnya saya tak faham langsung :)
Amir Solihin dan Abang Soleh.
Adik Saad dan Abang Soleh (berbaju merah)
Saya masih cuba untuk ajar Amir Solihin minum susu formula, selepas disaran oleh seorang kakak maka saya sedang mencuba susu Bio Lac (susu homeopati) untuk Amir Solihin. Dahulu, saya cuba susu Bio Mil (susu homeopati) tetapi Amir Solihin tak suka. Kesihatan sering terganggu, bila tidak mampu untuk menyusu Amir Solihin sepenuhnya terpaksa suami bawa Amir Solihin jauh dari saya.
Masih berharap untuk menyusukan Amir Solihin sehingga mencapai usia 2 tahun. Kalau mengikut kalender Hijri, insyaAllah 10 Syaaban nanti Amir Solihin genap berusia 2 tahun. Moga Allah rezekikan susu yang cukup buat Amir Solihin. InsyaAllah!
Ummu Amir.
0 leaves:
Post a Comment