Lambaian Kaabah
Bismillahirrahmanirrahim.
Sayu pula bila dengar khabar ibu saudara tidak mendapat kelulusan visa dari pihak kedutaan Arab Saudi kerana tiada mahram, meskipun pergi dengan saudara mara namun tiada seorang yang boleh menjadi mahram. Suntikan Maningcocol (ejaan ni rasanya salah) sudah dibuat, passport dan kesemua dokumen sudah disiapkan awal-awal namun kehendak Allah yang kita tak tahu, pasti ada berjuta hikmah tersembunyi.
Suasana luar Masjid Nabawi selepas hujan.
Suami cuba usahakan bertanya kepada kenalan-kenalan yang mengusahakan perkhidmatan untuk jemaah Malaysia buat umrah namun hampa, tidak boleh. Pihak Arab Saudi mengetatkan syarat. Wanita yang mahu berumrah pasti ditemani mahram rapat. Mahu bersama suami, bapa saudara saya masih bertugas di luar negara. Mahu bersama anak lelaki, belum cukup usia 18 tahun (syarat yang ditetapkan pihak kedutaan Arab Saudi).
Suami maklumkan, beberapa pihak travel yang mengusahakan khidmat ziarah ke BaituLLAH dipanggil oleh kedutaan kerana 'memaksa' untuk memasukkan nama-nama wanita yang tiada mahram di dalam senarai untuk memohon visa. Jadi, bagi mengelakkan travel pula disenarai hitam oleh pihak kedutaan maka agak sukar untuk mencari jalan mengusahakan supaya ibu saudara tetap boleh mengerjakan umrah dalam masa terdekat.
"Kenapa ya, wanita tanpa mahram tak boleh pergi dengan 'Women Group' sebelum mencapai usia 45 tahun?"
Saya masih terbawa-bawa perasaan.
"Mungkin terjadi banyak kes di mana perempuan muda yang pergi tanpa mahram, 'ikut suka' berjalan tanpa ditemani lelaki (musyrif, lelaki yang menjadi mahram tumpang). Pergi Ja'ranah sendiri-sendiri naik teksi, dengan alasan selamat sebab ramai (wanita dalam satu teksi). Ada yang hilang dibawa lari, ada yang dicabul. Kalau wanita tua, jarang terjadi perkara macam ni."
Dari cerita suami, semasa di Mesir pun macam-macam perkara yang terjadi kepada muslimat. Inikan pula di Arab Saudi. Suami sambung lagi...
"Kalau Arab asal, tak macam tu. Biasa yang buat perangai jenis yang bekerja."
Mungkin kerana wanita arab semuanya berpurdah dan pakaian mereka adalah hitam, jadi bila nampak wanita yang berpakaian warna-warni boleh menjadi tarikan. Zaman jahiliyah sahaja seorang lelaki berkahwin sehingga 9 bahkan lebih, Islam lah yang menjaga hak wanita, menuntut pembelaan terhadap wanita. Betapa Islam memurnikan akhlaq masyarakat jahiliyah dahulu. Kalau bukan kerana kasihnya Rasul kepada umat, kalau bukan kerana cintanya Rasul kepada umat... Masakan Baginda bersabar dengan segala dugaan yang menimpa hanya untuk menyebarkan cinta dan nikmat iman kepada seluruh alam...
Allahumma solli 'ala Muhammad.
Membelah malam.
Saya bertanya suami.
"Apa agaknya perasaan perempuan yang sudah berusia, dah siap dapat gelang dari pihak Tabung Haji, dah lengkap semua persiapan tunggu nak berangkat untuk buat HAJI dengan SUAMI, tiba-tiba dimaklumkan tiada kelulusan visa! Apa agaknya perasaan ya masa tu. Mahram pun dah ada, semua dah lengkap. Tunggu masa nak berangkat je."
Situasi ni ramai yang alaminya pada musim haji yang lepas. Saya malas nak komen pasal isu tu, cuma bila orang yang dah berusia sepanjang hayatnya menabung untuk buat haji tiba-tiba tak dapat visa selepas semua perkara dah sedia. Subhanallah. Betapa kehendak Allah mengatasi semuanya.
Baru-baru ni saya ke Tabung Haji untuk update buku simpanan dan juga melihat data Amir Solihin, kami sudah mendaftar haji untuk Amir Solihin selepas cukup simpanan minima untuk pendaftaran haji. Nama Amir Solihin duduk disenarai 20 tahun akan datang. Saya dan ibu sudah mendaftar haji sebelum saya menikah, bermahramkan bapa saya. Bila disemak, nama saya insyaAllah dipanggil tahun ini untuk pengambilan fasa ke-2.
Saya tengok muka pekerja Tabung Haji.
"Boleh ke bawa anak bersama?"
"Berapa usianya?"
"2 tahun."
"Tak boleh, melainkan ada sebab yang kukuh. Kena buat surat rayuan. Kalau 18 tahun ke atas, tak apa."
Bila ceritakan pada suami, suami pun tak kata apa-apa :)
Tak terkata, barangkali.
Amir Solihin kena belajar rajin-rajin, biar sampai dapat ke Universiti Madinah. Nanti umur muda dah boleh lengkapkan rukun islam ke-5 :)
Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami. Amin!
Ummu Amir.
2 leaves:
jemputan Allah, kits tak tahu. Kawan akak pun tak dapat pergi last minute. Dah siap segalanya. Berdoalah banyak2. Kadang kala mungkin sebenarnya kita masih belum bersedia untuk memegang title hajjah, maka Allah tunda tarikh lain untuk berikan kita persiapan rapi.
Ya kak.
Sangat ramai yang last minute tak dapat pergi :) sebab tak dapat visa. semoga Allah izinkan untuk kita semua melengkapkan rukun islam ke-5 di usia muda, amin!.
Post a Comment