Motivasi : Allah Kan Ada!
Bismillahirrahmanirrahim.
Minda kelu dipersimpangan waktu, sesuatu yang menari di kotak minda dan sesuatu tersimpan di dalam hati maka akhirnya kedua-duanya di bawa jauh-jauh supaya tiada yang terluka dan tiada yang terasa. Senyum pada angin, senyum pada awan... Selamat pagi semua. Tidak sukar untuk menjadi seorang yang gagah di hadapan manusia tetapi terlalu sulit untuk menjadi gagah di hadapan DIA yang mengetahui segala rahsia dan perkara ghaib.
Alhamdulillah, terasa sudah sihat sedikit dan mengikut encik zauj ke surau yang hanya di belakang rumah. Kuliah Maghrib berkisar tauhid, sebenarnya ana tak faham apa yang ustaz tu sampaikan dan ana juga tak pasti apa yang sebenarnya nak disampaikan oleh ustaz tersebut. Akhirnya ana duduk bersandar di dinding sambil bermonolog sendiri. Melihat sekeliling, yang hadir hanyalah mereka yang sudah lanjut usianya. Berpangkat nenek.
Terharu, setiap kali bersalaman pasti mereka akan memeluk ana seeratnya dan mencium ana dengan penuh kasih. Barangkali kerana menganggap ana seperti anak mereka sendiri. Terkedu. Bila terasa rindukan ummi, ana suka duduk di surau memerhatikan tetamu yang hadir kerana mereka seusia dengan ummi. Lalu, ana mengasingkan diri bersandar di dinding kerana tidak boleh duduk terlalu lama di atas lantai dalam keadaan badan yang 'stress'.
Ana diasak dengan soalan-soalan yang buat ana terhibur sendirian. Mereka yang mengetahui sejarah ana, mungkin ada yang khuatir dan terasa tidak tenang bila tahu ana 'berbadan dua'. Setiap kali soalan tersebut diajukan, ana hanya tersenyum dan terus tersenyum. Entri ini, khusus buat ana dan ana tidak kisah apa yang bakal pembaca fikirkan. Entri ini sebagai satu 'booster' untuk diri ana sendiri, maka lakaran ini pembuka juadah bagi lembaran 2011 buat ana, Insyirah Soleha. Barangkali ia juga satu catatan perkongsian motivasi buat suami tercinta.
"Kesian Sayang."
Berulang kali encik zauj mengulang ayat yang sama sampai ana tertanya kenapa acapkali dilantunkan ayat yang sama pada ana. Berulang-ulang, dalam sehari entah berapa puluh kali diulang. Garu kepala. Pandang muka zauj dan membulatkan mata sebesar-besarnya.
"Kenapa cakap macam tu?"
Akhirnya, diluahkan juga kerana ana diasak persoalan mengenai keadaan diri ana yang dirasakan 'fragile' untuk menjadi ummi. Orang sekeliling terlalu cepat membuat andaian demi andaian yang akhirnya buat ana tertawa sendirian. Siapalah manusia untuk mengatakan sesuatu yang Allah rahsiakan, siapalah manusia untuk menzahirkan apa yang Allah sorokkan, siapalah manusia untuk membongkar apa yang Allah tetapkan untuk seorang manusia di masa hadapan?
Bila encik zauj 'buka' kisah mengenai sakit belakang, ana terus ketawa.
"Susah apa, Allah kan ada! Kenapa nak risau, Allah kan ada!"
Bukan sekadar menenangkan hati seorang suami tetapi mengingatkan kami supaya meletakkan sepenuh pergantungan dan tawakal kepada Allah. Maka, ana memandang semula jauh ke belakang. Jauhhhhh ke belakang... Ana kisahkan kepada zauj, supaya dia tidak lagi merasa kesian kepada ana yang hanya seorang hamba Allah yang sememangnya layak untuk diuji. Siapa ana untuk menolak takdir? Sesungguhnya Allah Maha Lembut lagi Pengasih pada hamba Nya.
Pada suatu ketika dahulu, saat kondisi yang sangat teruk lagi buruk. Ummi selalu terpaksa mengambil cuti kecemasan bila ana diserang sakit, masih terngiang di cuping telinga saat di pagi hari apabila ummi talifon pejabat untuk memaklumkan ketidakhadiran ke pejabat kerana ana sakit.
"Entah la... Akak ingatkan malam tadi habis dah."
Ummi sudah kehabisan air mata, setiap kali ana diserang sakit air mata ummi tumpah bagai empangan melimpah. Abi juga ada masanya sebak melihat keadaan ana, masih segar diingatan bila abi menangis terisak saat baru pulang dari menunaikan haji. Argh... Semuanya masih menggoncang hati kecil ana. Setiap kali diserang kesakitan yang teruk, pasti ummi menjangkakan itulah nafas ana yang terakhir. Iya, terakhir...
Otak kiri, jantung, paru-paru kiri dan sebelah buah pinggang yang lemah juga usus yang terluka dek kerana terlalu banyak mengambil ubat-ubatan hospital, kesemuanya menyerang sebelah kiri badan. Pengsan di sekolah dan diangkat tanpa berhati-hati akhirnya tangan yang tersepit di celah pintu ditarik dengan kuat sehingga tulang bahu kiri tercabut. Pengsan di merata-rata, jatuh entah bagaimana sehingga tulang belakang juga menjadi bengkok. Segala puji-pujian bagi Allah.
Kisah ini bukanlah untuk ana mendabik dada bawa "akulah yang paling tabah"... Tidak! Ia hanya refleksi sebuah memori untuk terus berlari ke hadapan dan terus maju setapak demi setapak meskipun setiap langkah perlu dipapah oleh seseorang yang bernama SUAMI.
"Abang nak tahu, semua orang fikir Sayang pendek umur. Bila sakit, semua orang fikir Sayang nak mati."
Semua manusia yang ada di atas bumi ini pasti akan mati, kita semua tidak terkecuali menjadi calon jenazah meskipun kita tidak mendaftarkan diri untuk menempatkan diri ke alam barzakh tetapi sunnatullah sudah menetapkan bahawa yang hidup pasti akan mati dan tidak ada yang terkecuali dari kematian, Dzat yang kekal hanyalah ALLAH.
Perjalanan panjang ini bukanlah semudah menulisnya di kanvas maya. Sudah lelah, bermandi air mata dan keringat saat kesakitan menerjah. Namun, apalah yang dibesarkan sangat masalah kesakitan yang secubit kerana Allah kan ada!
Lelah dengan rawatan di hospital, beralih menjalani terapi yang dijalankan penuh islamik. Sudah 1 tahun setengah menjalani rawatan terapi (alternatif) dan berdisiplin untuk mengamalkan makanan sunnah (air zam-zam, habbatus sauda dan madu), kini ana tidak lagi termengah-mengah saat mendaki anak tangga. Rawatan terapi yang dijalankan seluruh badan, membetulkan tulang dan saraf sangat melegakan meskipun saat menjalani rawatan pasti mengalir air mata menahan kesakitan. Uhhh, jangan ditanya apakah rasanya saat ditarik tulang, saat saraf ditekan.
Kalau ada iklan, mungkin ungkapan "Sungguh enak dilanyak begitu sajaaaaa..." kerana setiap kali terapi adalah sama seperti menyerah diri untuk 'diperlakukan' seenaknya, lembik. Alhamdulillah, setiap yang manis pasti ada ubat yang pahit. Sebagai salah satu usaha untuk menjadi sihat dan kuat, setakat makan biskut Tiger tak akan menjadi walaupun dicicah ke dalam air Milo setiap hari :P
Layangan e-mail dan mesej di facebook yang bertanyakan perihal terapi, ana pasti akan bersungguh meyakinkan mereka yang mengalami masalah tulang belakang untuk mencuba terapi tersebut. Sedikit wang perlu dilaburkan demi usaha mencari kesembuhan memandangkan ubat-ubatan hospital tidak akan menyembuhkan tetapi hanya sekadar penahan kepada kesakitan yang akhirnya menatijahkan kerosakan buah pinggang. ~ sudah serik dan insaf dengan dadah ~
For the journey... Moga Allah akan terus membantu langkah larian ini. Dengan bantuan dari suami yang istiqomah 'menjampi' kasih-sayang, sokongan moral kedua-dua keluarga... Insya Allah semuanya akan menjadi mudah, Allah kan ada! Chaiyok. ^__^
Maha Agung nama Tuhanmu Yang Mempunyai Kebesaran dan Kurnia.
(Surah Ar-Rahman : 77-78)
Happy belated birthday buat anakanda Nur Ilham Amanina.
Moga Allah melimpahkan rahmat dan maghfirah Nya buat anakanda sekeluarga. Mengurniakan ilmu yang bermanfaat, akal yang sejahtera, iman yang sempurna, kesihatan yang baik, akhlaq yang cantik dan menjadikan anakanda seorang puteri mujahidah buat kebangkitan Islam. Amiin. Insya Allah.
Pen Off,
Insyirah Soleha.
14 leaves:
ya betul kata syirah..allah pasti ada utk membantu setiap apa yg kte lalui di dunia ini..yakin selalu kpd-Nya.
hihi, kak mia... Allah sememangnya ada dan kekal buat selamanya :) moga kak mia juga sembuh laju-laju.
subhanallah...
kerapkali saya singgah di sini menyoroti tinta-tinta telus si pendamba syurga abadi.
takkan terluah peribahasa dunia untuk saya mengungkapkan kerinduan kpd ukhti yg tak pernah saya temui. entah ada atau tidak peluangnya untuk kita bertemu di dunia. jika tidak di sini, insyaAllah kita berjumpa di Sana yaaa...
(sudi tak? hehe...)
seuntai kata, berantai doa saya kirimkan buat ukhti nun jauh di sana.
moga2 redha Allah sentiasa bersama kamu...
moga segala urusan dipermudahkan...
salam sayang dari bumi sakura...~~~
berair mata baca entry kali ni..
Allah sentiasa ada utk kita di mana-mana kan.. :)
semoga cepat sembuh insyirah.. :)
...teratai biru...
usirlah air mata jauh-jauh :)
hidup terlalu singkat untuk ditangiskan (",)
eliana_adnand :
Insya Allah, doakan ummi dan baby sama-sama kuat :)
salam dari jauh nun tidak pernah kelihatan.. sungguh.. kesakitan itu nikmat......... dan aku merindui kematian
salam dari kejauhan...
ana cukup kagum dengan ketabahan anti mengharung hidup..sesungguhnya tarbiyah allah itu maha luas,dan hanya manusia yang berfikir mengetahui rahsia kebesaranNya..sebetulnya ana hanya selalu menjadi silent reader sahaja di blog anti..tapi hari ni terasa nk add cikit luahan..i luv ur writes,cuz why?Allah loves you more than we do..insyaALLAH...:)
kaq...sdih r entri nih..
kuatkan smangat ekkkk.....
ALLAH kan ada...
*tumpang lepak kaq eh..
subhanaAllah kak,,
may Allah bless you with afiah,happiness and jannah, ;)
T__T
Ana faham situasi anti. Ana yang masih belum berkahwin sendiri ni pun sbnrnya takut menghadapi saat2 seperti enti hadapi. Kerana ana juga mengalami sakit belakang spt enti. Belum saja punya isi di dalam, tapi sakitnya bukan kepalang. Tersalah gerak, perit yang diundang :'(.. Tapi kerana ana Muslim, yakin bantuan Allah itu sentiasa ada. Takkan DIA bebani hambaNya melainkan dengan kesanggupan hambaNya kerana DIA maha mengetahui kan.
Terus terasa sakit2 ini bila kita berbicara ttgnya. Hehe. Kena lawan, inshaAllah moga mujahadah ini dikira di sisiNya :)
Semoga terus kuat , ukhti ^_^
saya selalu follow blog ini secara tidak rasmi...
mungki gaya penulisannya mampu membuat orang menangis, ketawa, tersenyum sendiri dan etc..
mmm..bukan mudah untuk mendapat syurga Allah..sakit yang mendatang..kadang2 sampai satu tahap, kita putus asa dengan apa yang kita terima..semoga tabah, gagah dalam memeburu Syurga...
"Allah kan ada..."
we muslims should be the happiest community on earth..
Subhanallah..dulu airmata diri ini terlalu banyak menumpahkan airmata..ana ingatkan ana ditimpa ujian yang sangat berat..rupanya ada insan yang diuji lebih hebat..ana malu pada diri sendiri..tabahkan hati, Allah sangat mencintaimu..
Post a Comment