Rambutnya Gugur Lagi
Bismillahirrahmanirrahim.
Santapan emosi... Dari jendela hospital yang begitu dekat di hatiku.
[Rambutnya Gugur Lagi]
Nur Ibtisam. Cahaya senyumanku. Begitulah nama yang diberikan kepada puteri kami, senyuman yang diharapkan sebagai penyeri kehidupan. Nur Ibtisam juga menjadi penawar keresahan bagi melepaskan setiap kelelahan namun ketika usianya mencapai 5 bulan, Nur Ibtisam semakin kuat menangis sehingga abang terpaksa memandu dari Kangar ke Kuala Lumpur hanya untuk meredakan tangisan Nur Ibtisam. Di dalam kereta, Nur Ibtisam lebih nyenyak tidurnya.
2 hari kemudian, abang membuat keputusan untuk memasang penghawa dingin di dalam bilik. Kata abang, mungkin Nur Ibtisam panas dan tidak tahan dengan cuaca maka ketidakselesaan tersebut diterjemahkan dengan tangisan. Ada waktunya, esak tangis Nur Ibtisam sehingga tiada suara. Buntu kami. Zikrullah, kalamullah, asma' al-husna dan pelbagai dendangan nasyid dinyanyikan bagi meredakan tangisan Nur Ibtisam, akhirnya setelah penat menangis Nur Ibtisam tertidur sendiri di bahu ayahnya.
"Abang, kita bawa Nur ke klinik. Bila menangis sampai biru mukanya."
Satu hari, aku buntu mencari cara untuk meredakan tangisan Nur Ibtisam.
"Insya Allah, esok abang ambil EL (Emergency Leave)."
Malamnya, sekali lagi Nur Ibtisam menangis dan terus menangis. Abang memandu sepanjang malam bagi meredakan tangisan Nur Ibtisam, akhirnya kami sama-sama tertidur di Pantai Merdeka, sehingga ke Sungai Petani kami menyusur jalan. Segalanya untuk Nur Ibtisam.
Seminggu setelah ujian keseluruhan dilakukan ke atas Nur Ibtisam, sama-sama akur atas kehendak Allah.
"Anak encik mengidap leukimia, 2nd stage."
Longlai rasanya, kabur pandangan. Manik-manik air mata menitis, hampir sahaja melepaskan Nur Ibtisam dari pelukan. Aku mendakap Nur Ibtisam seerat-eratnya. Itulah kali pertama aku melihat abang menitiskan air mata. Abang memegang erat tanganku.
"Apa harapan yang ada doktor? Bolehkah Nur Ibtisam di rawat?"
"Sel darah putihnya semakin banyak, sel darah semakin berkurangan. Hari ini kita akan masukkan darah kepada Nur Ibtisam. Kita lihat bagaimana progress Nur Ibtisam. Insya Allah."
Doktor Abdul Rahman lancar membariskan ayat-ayatnya. Tanpa sedar, manik air mata gugur di atas pipi Nur Ibtisam yang nyenyak dalam pangkuanku.
"Patutlah sayang sering menangis tidak henti-henti, sayang sakit... Maafkan ibu."
Monologku terhenti dengan pertanyaan doktor.
"Encik atau Puan punya sejarah keluarga yang mengidap penyakit kanser?"
Maka, sejarah kami berdua dibongkar susur galurnya. Akhirnya, kami sama-sama redha. Bapa mertuaku meninggal akibat kanser paru-paru, kakak iparku meninggal kerana kanser usus, anak buahku juga meninggal kerana kanser tulang. Terbaru, anakku punya kanser darah ; leukimia. Subhanallah. Sudah takdir Allah mengaturkan begini, semuanya milik Allah.
Selepas 2 tahun berulang alik dari Kangar ke Kuala Lumpur, hospital merupakan rumah kedua bagi kami. Lebuhraya juga menjadi pemandangan kami yang sangat biasa, tiada lagi keindahan yang terbentang selain Nur Ibtisam membuahkan senyuman.
Kimoterapi dilakukan. Nur Ibtisam mula menunjukkan kesan terhadap kimoterapi yang dijalaninya, setiap makanan yang dimakan akan dimuntahkan semula, setiap hari rengekannya semakin menguji kesabaranku. Rambutnya semakin menipis. Nur Ibtisam semakin berkerenah, kadang-kadang aku hanya mampu keluar dari bilik dan menangis semahu-mahunya di dalam surau. Di surau juga tempat aku menenteramkan gelora hati yang diterjah ombak besar. Allahuakbar.
Jam 2 pagi, Nur Ibtisam diserang sawan akibat suhu badannya terlalu tinggi. Subhanallah. Mata putihnya sudah kelihatan dan anak mata hitamnya semakin naik ke atas.
"Allah... Allah..."
"Nur... Nur..." Abang menepuk pipi Nur Ibtisam.
Akhirnya aku menenangkan diri, mengepak ibu jari kaki Nur Ibtisam. Itulah pesanan dari Ummi, apabila Nur Ibtisam diserang sawan kerana suhu badannya terlalu tinggi kepak ibu jari kakinya.
Sudah dua kali aku kepak ibu jarinya. Nur Ibtisam masih tidak menunjukkan perubahan.
"Allahuakbar!"
Akhirnya Nur Ibtisam kembali reda, abang mengusap dadanya. Selalu saja Nur Ibtisam diserang sawan semasa demam panas.
Semalam, Nur Ibtisam menaikkan darahku. Sedang aku cuba menyuapnya minum air sesudu demi sesudu semuanya diludah kembali ke arahku sehingga air mata ini mengalir entah kali ke berapa. Akhirnya, aku tinggalkan Nur Ibtisam di bilik. Aku tenangkan diri dan jiwa...
"Ya Allah yang Maha Sabar, jadikanlah aku orang yang sabar... Sabarkanlah aku ya Allah!"
Astaghfirullah hal azhim.
Astaghfirullah hal azhim.
Astaghfirullah hal azhim.
"Nur... Minum la sayang, ibu suap ni."
Nur Ibtisam memalingkan mukanya, matanya tepat ke arah televisyen di depan mata. Rancangan Tom and Jerry selalu membuat Nur Ibtisam tergelak sendirian. Aku hanya tersenyum sepi, tiada rencah perasaan selain kehibaan melihat buah hati yang semakin kurus.
"Assalamu'alaikum kak Khansa, esok insya Allah Ayu dan suami nak ziarah Nur Ibtisam di hospital, suami teringin nak dermakan darahnya buat Nur Ibtisam. Kak Khansa nak kirim apa-apa?"
SMS dari Ayuni, rakan seperjuangan di alam kampus masuk ke dalam kantung inbox.
"Subhanallah, betapa Dia sering memberi dengan cara Nya. Alhamdulillah." Hanya itu yang terucap di hati.
Selepas beberapa sahabat menawarkan darah mereka kepada Nur Ibtisam, abang hanya mampu mengucapkan ungkapan terima kasih. Tiada yang mampu kami balasi, semoga Allah membuka pintu rezeki yang luas kepada mereka.
"Wa'alaikumussalam Ayu. Jazakillah khair, Nur Ibtisam sangat memerlukan darah. Setiap hari Nur Ibtisam memerlukan 2 bungkusan darah. Tiada apa-apa yang akak nak pesan, kesudian Ayu dan suami sangat kami hargai."
Saat ini, tiada keperluan lain bagi kami selain sahabat-sahabat dan kaum keluarga yang sudi mendermakan darah buat Nur Ibtisam.
"Nur... pandang ibu, minum air sikit."
Bibir Nur Ibtisam nampak kering, bimbang Nur Ibtisam dehidrasi.
Hari demi hari. Bulan berganti bulan.
Hari ini, genap usia Nur Ibtisam 3 tahun. Sepasang baju berwarna biru laut disarungkan, abang nampak gembira dengan keletah Nur Ibtisam. Sudah banyak hari Nur Ibtisam mengamuk dan tidak mahu aku berada di sisinya, hanya air mata yang mengalir setiap kali melihat abang memujuk Nur Ibtisam. Nur Ibtisam tenang dalam lenanya di atas bahu ayahnya. Aku hanya memandang dengan pandangan hiba, hatiku tak siapa tahu.
"Nur, sini dekat ibu..."
Aku memanggil Nur Ibtisam tetapi anakku masih memalingkan mukanya.
"Ibu nak sikat rambut Nur... Cantik, nanti ambil gambar dengan ayah." Aku masih setia memujuknya, hilang semua amarah dengan kerenahnya, yang aku rindu hanya senyuman Nur Ibtisam.
Nur Ibtisam mendekati, kepalanya ditundukkan. Aku rapikan seurat demi seurat rambut Nur Ibtisam yang tersisa. Namun, sebakku tak mampu dibendung, rambutnya gugur ke lantas setiap kali usapan lembut tanganku menerjah kulit kepalanya. Rambutnya gugur dicelahan jari setiap kali ku ulus lembut ubun-ubunnya. Akhirnya, aku ambilkan tudung berwarna light cream pemberian Opah Khaulah. Aku mahu menyarung tudung kepada Nur Ibtisam namun hatiku luluh dengan pertanyaan tulus dari si kecil.
"Ibu, Nur dah tak cantik ke sampai Ibu nak suruh Nur pakai tudung?"
Tangannya masih memegang buku "Basic Arabic" dan pensel warna. Aku tergamam.
"Tak sayang, anak ibu cantik sangat tapi bila Nur pakai tudung lagi cantik."
Nur Ibtisam tersenyum malu, pipiku dicium.
"Nur cantik macam ibu!" Abang bersuara setelah melihat aku hilang kata-kata.
Sudah terlalu lama aku menantikan Nur Ibtisam untuk mencium pipiku. Sudah beberapa hari ini, Nur Ibtisam menangis dan merengek setiap kali aku menghampirinya. Dia betah dengan ayahnya, aku hanya memandang mereka dari jauh. Nur Ibtisam, cahaya senyumanku. Aku hanya mahu melihat senyumannya.
Berjalan di perkarangan hospital, melihat kerenah manusia yang pelbagai. Nur Ibtisam ceria disamping ayahnya, aku mengekori langkah mereka dari belakang.
"Khansa..." Abang menoleh ke belakang, segera aku memberikan senyuman.
"Ibu, kenapa ibu jalan lambat sangat? Ibu sakit ke?"
Nur Ibtisam menoleh, tampak keceriaannya berbeza. Pasti kesan sampingan kimoterapi sudah semakin lali pada Nur Ibtisam.
"Ibu tak sakit, ibu nak tengok Nur jalan dengan ayah. Comel anak ibu pakai tudung, macam anak patung." Aku memuji dan terus memuji buah hatiku. Nur Ibtisam tersenyum simpul, manis. Wajahnya saling tak tumpah seperti wajah ayahnya, ibarat abang versi junior itulah paras rupa Nur Ibtisam.
Dua hari kemudian, Nur Ibtisam diserang demam. Badannya lemah, Nur Ibtisam terbaring di atas katil.
"Nur nak ibu...!" Lirih Nur Ibtisam, aku masih solat Maghrib di birai katil tidak mampu membendung perasaan. Gugur air mata ke atas lantai sejadah.
"Ibu solat, nanti ibu siap ibu datang sini ye sayang..." Abang setia memujuk Nur Ibtisam.
Saat azan Isyak berkumandang, Nur Ibtisam pengsan... Nadinya semakin perlahan.
"La ila ha illallah..." Abang setia memperdengarkan kalimah agung di telinga Nur Ibtisam.
Tiba-tiba, Nur Ibtisam tidak bernafas. Doktor dan jururawat mahu memberi renjatan elektrik kepada Nur Ibtisam namun aku menghalang.
"Jangan... Biarkan Nur pergi dengan tenang."
Abang memandang dengan pandangan hiba, segera aku mendakap tubuh Nur Ibtisam. Denyut-denyut nadi terakhirnya tenang di sisi ibu dan ayahnya. Dalam keadaan penuh tenang, Nur Ibtisam dipulangkan kembali pada Pemiliknya, Allah taala.
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita dikembalikan!
Kullu nafsin za'iqatul maut!
Rupanya Nur Ibtisam mula melarikan diri, menjauhkan hatinya dari aku kerana dia mahu meninggalkan aku. Nur Ibtisam mula memberi reaksi yang selalu mencetus marahku hanya kerana mahu aku 'melepaskannya' dalam keadaan hati yang sakit supaya aku tidak menangis sedih atas pemergiannya. Saban waktu, melihat baju-bajunya yang tersimpan di dalam bakul tetap merembeskan butiran air mata. Amanah Allah, pinjaman dari Nya selama 3 tahun cukup membenihkan sabar dalam kalbu, sabar seorang ibu menjaga permata hati yang sakit. Allah, Nur Ibtisam milik Mu. Tiada yang menjadi milikku, semuanya milik Mu.
Rupanya Nur Ibtisam mula melarikan diri, menjauhkan hatinya dari aku kerana dia mahu meninggalkan aku. Nur Ibtisam mula memberi reaksi yang selalu mencetus marahku hanya kerana mahu aku 'melepaskannya' dalam keadaan hati yang sakit supaya aku tidak menangis sedih atas pemergiannya. Saban waktu, melihat baju-bajunya yang tersimpan di dalam bakul tetap merembeskan butiran air mata. Amanah Allah, pinjaman dari Nya selama 3 tahun cukup membenihkan sabar dalam kalbu, sabar seorang ibu menjaga permata hati yang sakit. Allah, Nur Ibtisam milik Mu. Tiada yang menjadi milikku, semuanya milik Mu.
Inspirasi dari kisah benar, gabungan dari rentetan memori bersama Arwah Adik Asyraf dan juga kisah Adik Ain Hafiza yang sedang menjalani rawatan kimoterapi last stage di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur. Kedua-dua mereka mengidap leukimia.
Sahabat-sahabat, sudikanlah menderma darah!
Insyirah Soleha
8.53 am
4 leaves:
salam 'alaik...
hakikat kehidupan...satu kisah yg benar2 boleh menjadi igtan pada kita semua...bersedialah menghadapi ujian, mohonlah bantuan drNya..
Wa'alaikumussalam.
Apa yang ingin ana sampaikan sebenarnya ialah sabar menempuh ujian, tetapi disebalik cerita di atas, ana ingin memberi sedikit peringatan pada sahabat-sahabat semua untuk meringankan hati kalian untuk menderma darah kepada hospital. Kerana, pada orang yang memerlukan darah spt pesakit leukimia, darah terlalu berharga.
Subhanallah.
Mahu menyuntik misi kemanusiaan, semoga ada yang menyedari hakikat perkongsian. Cubit peha kiri, peha kanan terasa. Dan sewajarnya kita membantu saudara yang memerlukan. Ini kira proses didikan juga la... Dr merepek meraban, ada baik ana membebel isu darah. Yuhuuuu!
kusinggah membaca & mengambil pengajaran dr kisah ini. ble nak pi menderma darah ye? jom jom..teringat lak..kak mia ni 3 bulan sekali daah kena diambil hospital.
salam.syukran ukhti..cerpen yg benar2 menyentuh jiwa hati ana. Subhanallah.. Segala itu milik Allah, setiap hembusan nafas, setiap kalam bicara hingga segenap perkara di alam ini.. Dari Allah KITA datang, kepada Allah juga KITA akan kembali...Lindungilah kami Ya Robb'
Ukhti: boleh ana copy buatperkongsian di blog ana?
Jemput singgah ke blog ana yang baru n xseberapa: http://nursyazanaazahar.blogspot.com/
Post a Comment