Menempah Tiked Ke Neraka
Bismillahirrahmanirrahim.
Perkongsian.
Dulu, semasa ikuti pengajian suami di sebuah surau di Semenyeh saya terperasan suami salah menyampaikan perawi hadith (orang yang meriwayatkan hadith). Dulu, sebelum kahwin saya suka kalau dapat sirah Rasulullah dan baca hadith tetapi selepas kahwin suami bacakan saya sepotong hadith, "Barangsiapa berdusta atas namaku (Rasulullah), maka dia menempah tempat di dalam neraka."
Dalam media internet, selalu orang kongsikan hadith sekian sekian, dan biasanya saya tanya pula pada suami kesahihan hadith tersebut dan banyak kali juga suami cakap hadith yang saya baca tu hadith palsu (tak wujud pun, tetapi disebabkan nak suruh masyarakat buat kebaikan disandarkan perkara tersebut kepada Nabi). Dan, selepas banyak kali ikuti pengajian hadith yang suami sampaikan, saya sangat takut nak kongsi hadith yang tak diketahui puncanya.
Ok, berbalik pada perkongsian tadi. Masa tu saya di ruangan muslimat, macammana saya nak bagitahu suami ya. Kebetulan jemaah pun ramai, saya diamkan saja. Catatkan apa yang saya rasa nak dicatatkan. Bila selesai pengajian, masuk dalam kereta belum sempat suami hidupkan enjin terus saya cakap.
"Tadi, salah baca hadith. Hadith tu kan Abu Hurairah yang dirawayatkan."
Suami terus diam, lama baru memulakan perjalanan. Walaupun gelap malam, tapi saya perasan muka suami berubah.
Beberapa minggu kemudian, bila pengajian hadith yang seterusnya di surau yang sama, perkara pertama yang suami sebut adalah membetulkan kesilapannya dalam menyebut perawi hadith. Nampak macam 'simple' dan remeh saja, tapi bila kita bercakap fasal Nabi SAW, memang kena berhati-hati. Zaman sahabat dahulu, bila membaca hadith mereka saaaangat takut tersalah menyebut hadith kerana bimbang 'booking' tiked ke neraka. Na'uzubillah!
Saya bukan penghafal hadith, tapi hadith tersebut memang saya selalu kenang-kenangkan kerana ia adalah hadith pertama yang suami bacakan kepada saya selepas menjadi isterinya dan beliau sentiasa mengulang-ulang hadith tersebut kepada saya.
Sahabat-sahabat,
Tak salah kita kongsi kebaikan dengan orang lain. Antara ciri mukmin ialah dia suka kalau orang lain dapat apa yang dia suka, dia bergembira di atas kegembiraan orang lain. Tapi, kalau hadith-hadith yang terlalu banyak tersebar di internet ni, mohon disemak dan bertanya kepada ahlinya terdahulu.
Saya bukan pakar hadith, tapi saya takut bila baca kisah para sahabat sampai menggigil ketakutan semasa membacakan hadith kerana mereka takutkan neraka Allah.
Tauladan yang saya dapat,
Suami berlapang dada apabila ditegur oleh saya yang tak tahu apa-apa ni, dan dengan cara yang tak berhikmah langsung. Masuk kereta tak sempat bernafas, terus kena 'terjah'. Maklumlah, masa tu baru kahwin, dan sekarang pun belajar lagi berkomunikasi.
Pemimpin yang baik bukan bermakna dia sempurna tetapi dia berusaha untuk menjadi sempurna dan boleh menerima teguran dari 'rakyat'nya. Saidina Umar al-Khattab, seorang pemimpin yang tegas pun boleh menerima teguran dari orang yang dipimpin.
Wallahua'lam :)
Jumuah Barokah. ♥
0 leaves:
Post a Comment