Wanita : Seri Hati Ibu
Bismillahirrahmanirrahim.
Perkongsian.
Semasa berbual dengan seorang sahabat, dia ceritakan perihal rakannya yang mana semasa zaman kampus dahulu dan masih bujang apabila cuti semester pasti sibuk nak hadir program dengan rakan-rakan yang lain sampaikan ibu di kampung 'merayu' suruh balik sekejap sebab rindukan anak gadisnya. Tapi, macam biasa, dia pula merayu pada ibunya agar izinkan untuk berprogram.
Setelah berkahwin dan punya zuriat, seakan ada pertalian yang hebat dan perasaan yang unik untuk bertemu dengan ibu. Bahkan, bila pulang ke kampung terasa berat untuk berpisah dengan ibu.
Selorohnya lagi, semasa bujang Allah suruh taat ibu, sibuk dengan program. Bila dah berkahwin, Allah suruh taat suami, dah nak berkepit dengan ibu.
Saya hanya tersenyum. Nak tergelak pun ada.
Memang begitu, lumrah hidup ini ada ujian. Tapi, yang pastinya seorang wanita bila dah berkahwin dan punya anak, dia punya perasaan kepada ibunya lain macam berbanding sebelum ada anak. Seakan ada daya penarik yang entah macam magik membuatkan wanita tersebut terlebih sayang pada ibunya.
Saya sendiri, kadang-kadang bila berSMS dengan ibu saya, ayat yang 'simple' dari ibu saya pun boleh buat saya menangis.
Buat yang masih bujang, nikmatilah kemesraan dengan ibubapa seseronok yang boleh. Ambillah peluang hidup bujang untuk berkasih sayang dengan mereka supaya adik beradik yang dah bernikah, 'cemburu' dengan khidmat anda kepada ibubapa. 'Cemburu' kerana saham akhirat anda berganda-ganda berbanding mereka yang berkeluarga, punya komitmen di sini sana (terutamanya anak perempuan).
Ibubapa, ladang akhirat yang tak ternilai harganya.
Hargai apa sahaja yang Allah bentangkan kepada kita, setiap situasi pasti ada sinar bahagia andai kita memilih untuk menjadi bahagia! :)
Wallahua'lam.
Insyirah Soleha
0 leaves:
Post a Comment