"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

29 January 2013

Dahulu Dan Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim.

Budak ni memang suka ketawa, kadang-kadang bila melihat orang lain ketawa pun dia boleh menyampuk ketawa juga. Kadang-kadang, sebab nak ambil hati orang lain pun boleh nampak dia berpura-pura ketawa. 



Gambar masa Amir Solihin lingkungan usia 5 bulan kalau saya tak salah. Tawanya tak nampak gigi, sebab memang belum ada gigi lagi :)


Amir Solihin mula ada gigi semasa berusia 10 bulan, syukur Allah lambat berikan gigi kepada Amir Solihin. Sekarang ni suka sangat menggigit orang, mangsa utama dan pertama adalah suami saya. Gemar juga Amir Solihin mencakar orang, yang ini kami suami isteri sama-sama menjadi mangsa. Sampaikan kalau dicubit atau cakar, selagi tak berdarah memang dia tak puas hati.


Gambar baru-baru ini, seronok memakai snow cap sampai tersengih nampak la barisan gigi-gigi yang baru nak tumbuh.

Setiap kali Amir Solihin 'buat perangai' nak mencubit dan mencakar, dengan muka geram dan tindak balas yang aktif saya akan tadah tangan dan kuat-kuat cakap supaya Amir Solihin dengar;

"Ya Allah, jadikanlah Amir Solihin anak yang soleh. Perbaikilah akhlaq Amir Solihin. Amin ya Allah!"

Setiap kali itu juga kadang-kadang dia terus ketawa, kadang-kadang dia akan menarik cermin mata saya pula. Memang tidak boleh 'dibiarkan' tanpa pengawasan kalau Amir Solihin bermain dengan kanak-kanak lain. 2 minggu lepas, untuk suntikan bayi yang terakhir (1 tahun 6 bulan). Semasa di klinik, Amir Solihin main dengan seorang kanak-kanak perempuan seusia dengannya.

Suami dah beritahu kepada ibu kanak-kanak tersebut supaya berjaga-jaga kerana Amir Solihin sangat pantas apabila mahu 'menunaikan hajatnya' (gigit atau cubit orang). Ibu kanak-kanak tersebut dengan selamba cakap, anaknya pun aktif. Tak apa, biarkan mereka main bersama-sama. Memang kanak-kanak tersebut sangat comel, kulit putih dan pipinya masyaAllah gebu dan bulat! Saya pun geram tengok :)

Tiba-tiba, dengan sepantasnya Amir Solihin peluk dan terus menggigit pipi mungil kanak-kanak tersebut. Apa lagi, menangis tak bersuara terus. Suami terus minta maaf dan bawa lari Amir Solihin. Tak lama kemudian, saya tengok kanak-kanak perempuan tersebut cari Amir Solihin nak ajak main. Er? Dah lupa yang tadi dia kena gigit la tu.

Dahulu, kalau berjalan suami hanya letak Amir Solihin dalam 'baby carrier'. Tapi sekarang, cuba nak praktis untuk mengikat tali di badannya. Memang orang nampak 'kurang sopan', orang melihat seperti mengikat binatang tetapi apabila difikirkan KESELAMATAN memang akan cari jalan untuk tidak membiarkan Amir Solihin hilang dari pandangan mata.

Bak kata Dr Mariani, pensyarah kanan Universiti Malaya. "Kalau di luar negara seperti United Kingdom, mereka mengikat anak dengan tali atas sebab mementingkan keselamatan tetapi di Malaysia masyarakat memandangnya seperti tidak sopan kerana memberi tanggapan perkara tersebut seolah-olah menganggap anak seperti binatang."

Er?

Read more...

25 January 2013

Ketabahanmu Inspirasiku

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam kuliah subuh sempena maulidur rasul, kebetulan pembesar suara di bahagian menara surau tidak dimatikan. Maka, bolehlah mendengar dengan jelas isi bicara kuliah yang disampaikan penceramah. Dialek Negeri Sembilan yang tebal, sesekali saya tersenyum sendiri dengan bahasa yang digunakan.

Banyak yang dikongsikan oleh penceramah, namun ada satu kisah realiti zaman ini yang dikongsikan bersama terasa betapa banyaknya nikmat yang Allah berikan kepada diri.

Kisah seorang wanita berusia 24 tahun, hidup menumpang di sebuah pondok pengajian bersama seorang anak kecil berusia 5 bulan. Suaminya meninggal dunia akibat barah hati, suaminya sakit dan semasa sedang sarat mengandung dia tetap setia menguruskan keperluan suami sehinggalah suaminya menghembuskan nafas terakhir 2 hari sebelum beliau bersalin.

Subhanallah.

2 hari selepas kematian suami, beliau bersalin. Kata penceramah, wajahnya yang redup tenang, sangat solehah. Tanpa iman di dada, tanpa redha beserta mana mungkin hatinya tabah menempuh ujian kehidupan saat usia masih muda rebung lagi. Baru berusia 24 tahun sudah menjadi balu, hidup tanpa suami dan membesarkan anak sendirian. Penceramah dalam usaha untuk mencarikan calon suami buat wanita tersebut selepas mencadangkan kepada wanita tersebut untuk menikah semula demi meneruskan kehidupan dan supaya kehidupan beliau dan anaknya terurus.

Di usia masih muda rebung, Allah berikan ujian kepadanya. Tanpa iman yang membalut hatinya, tanpa redha yang mengiringi perasaannya mana mungkin dia kuat menongkat semangatnya untuk meneruskan perjalanan kembara kehidupan ini.

Ia, hanya iman yang padu dan sifat redha kepada Allah akan memandu hati untuk terus tabah melakar langkah demi langkah.

----

Pagi tadi suami memaklumkan jiran lama kami bagitahu (sekarang pun masih dikira jiran juga walaupun dah tak menetap di kawasan perumahan tersebut tapi selalu ke sana) anaknya mengalami kemalangan jalanraya pada 23hb yang lalu, sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang kerana mengalami kecederaan parah. Kini sedang koma di hospital. Inna lillahi wainna ilaihi rajiun.

Saya terbayang wajah isteri kepada jiran kami, lembut dan penuh ketenangan.

Wajah orang yang selalu hatinya ingat pada Allah, sentiasa tenang. Meski hati berombak dengan pelbagai ujian kehidupan namun redup mata dan nur di wajah seakan tiada masalah yang bersarang di minda.


Ya, melihat orang lain yang 'mengajar' untuk lebih bersyukur kepada Allah.

Sentiasa, Allah datangkan 'orang sekeliling' untuk direnungkan, hanya satu persoalan yang timbul...

"Maka diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, nikmat apakah yang hendak kamu dustakan?

Astaghfirullah hal azhim.


Ummu Amir.

Read more...

23 January 2013

Lambaian Kaabah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sayu pula bila dengar khabar ibu saudara tidak mendapat kelulusan visa dari pihak kedutaan Arab Saudi kerana tiada mahram, meskipun pergi dengan saudara mara namun tiada seorang yang boleh menjadi mahram. Suntikan Maningcocol (ejaan ni rasanya salah) sudah dibuat, passport dan kesemua dokumen sudah disiapkan awal-awal namun kehendak Allah yang kita tak tahu, pasti ada berjuta hikmah tersembunyi.


Suasana luar Masjid Nabawi selepas hujan.

Jauh di sudut hati, pastilah akan rasa sedih kan? Semua persiapan sudah dilakukan, segalanya diaturkan supaya tidak mengalami masalah namun kehendak Allah tidak boleh kita sangkal. Mahu diletakkan namanya ke dalam "Women Group", tidak layak kerana usianya belum mencecah 45 tahun. Hanya wanita berusia 45 tahun tanpa mahram sahaja boleh memohon visa secara berkumpulan, diletakkan dibawah 'bermusafir bersama wanita yang tsiqah'.

Suami cuba usahakan bertanya kepada kenalan-kenalan yang mengusahakan perkhidmatan untuk jemaah Malaysia buat umrah namun hampa, tidak boleh. Pihak Arab Saudi mengetatkan syarat. Wanita yang mahu berumrah pasti ditemani mahram rapat. Mahu bersama suami, bapa saudara saya masih bertugas di luar negara. Mahu bersama anak lelaki, belum cukup usia 18 tahun (syarat yang ditetapkan pihak kedutaan Arab Saudi).

Suami maklumkan, beberapa pihak travel yang mengusahakan khidmat ziarah ke BaituLLAH dipanggil oleh kedutaan kerana 'memaksa' untuk memasukkan nama-nama wanita yang tiada mahram di dalam senarai untuk memohon visa. Jadi, bagi mengelakkan travel pula disenarai hitam oleh pihak kedutaan maka agak sukar untuk mencari jalan mengusahakan supaya ibu saudara tetap boleh mengerjakan umrah dalam masa terdekat.


"Kenapa ya, wanita tanpa mahram tak boleh pergi dengan 'Women Group' sebelum mencapai usia 45 tahun?"

Saya masih terbawa-bawa perasaan.

"Mungkin terjadi banyak kes di mana perempuan muda yang pergi tanpa mahram, 'ikut suka' berjalan tanpa ditemani lelaki (musyrif, lelaki yang menjadi mahram tumpang). Pergi Ja'ranah sendiri-sendiri naik teksi, dengan alasan selamat sebab ramai (wanita dalam satu teksi). Ada yang hilang dibawa lari, ada yang dicabul. Kalau wanita tua, jarang terjadi perkara macam ni."

Dari cerita suami, semasa di Mesir pun macam-macam perkara yang terjadi kepada muslimat. Inikan pula di Arab Saudi. Suami sambung lagi...

"Kalau Arab asal, tak macam tu. Biasa yang buat perangai jenis yang bekerja."

Mungkin kerana wanita arab semuanya berpurdah dan pakaian mereka adalah hitam, jadi bila nampak wanita yang berpakaian warna-warni boleh menjadi tarikan. Zaman jahiliyah sahaja seorang lelaki berkahwin sehingga 9 bahkan lebih, Islam lah yang menjaga hak wanita, menuntut pembelaan terhadap wanita. Betapa Islam memurnikan akhlaq masyarakat jahiliyah dahulu. Kalau bukan kerana kasihnya Rasul kepada umat, kalau bukan kerana cintanya Rasul kepada umat... Masakan Baginda bersabar dengan segala dugaan yang menimpa hanya untuk menyebarkan cinta dan nikmat iman kepada seluruh alam...

Allahumma solli 'ala Muhammad.


Membelah malam.

Saya bertanya suami.

"Apa agaknya perasaan perempuan yang sudah berusia, dah siap dapat gelang dari pihak Tabung Haji, dah lengkap semua persiapan tunggu nak berangkat untuk buat HAJI dengan SUAMI, tiba-tiba dimaklumkan tiada kelulusan visa! Apa agaknya perasaan ya masa tu. Mahram pun dah ada, semua dah lengkap. Tunggu masa nak berangkat je."

Situasi ni ramai yang alaminya pada musim haji yang lepas. Saya malas nak komen pasal isu tu, cuma bila orang yang dah berusia sepanjang hayatnya menabung untuk buat haji tiba-tiba tak dapat visa selepas semua perkara dah sedia. Subhanallah. Betapa kehendak Allah mengatasi semuanya.

Baru-baru ni saya ke Tabung Haji untuk update buku simpanan dan juga melihat data Amir Solihin, kami sudah mendaftar haji untuk Amir Solihin selepas cukup simpanan minima untuk pendaftaran haji. Nama Amir Solihin duduk disenarai 20 tahun akan datang. Saya dan ibu sudah mendaftar haji sebelum saya menikah, bermahramkan bapa saya. Bila disemak, nama saya insyaAllah dipanggil tahun ini untuk pengambilan fasa ke-2.

Saya tengok muka pekerja Tabung Haji.



"Boleh ke bawa anak bersama?"

"Berapa usianya?"

"2 tahun."

"Tak boleh, melainkan ada sebab yang kukuh. Kena buat surat rayuan. Kalau 18 tahun ke atas, tak apa."

Bila ceritakan pada suami, suami pun tak kata apa-apa :)

Tak terkata, barangkali.

Amir Solihin kena belajar rajin-rajin, biar sampai dapat ke Universiti Madinah. Nanti umur muda dah boleh lengkapkan rukun islam ke-5 :)

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami. Amin!


Ummu Amir.

Read more...

21 January 2013

Abang Amir & Baby Aisya

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pada 16 Januari 2013 lalu lahirlah seorang puteri yang comel di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar jam 3.10 pagi dengan berat 2.95 kg.

Macam berpakat ikut gaya Abang Amir nak suruh mama dan abahnya berqiyamullail sementara tunggu baby Aisya keluar :)

Sekalung tahniah buat abang dan kakak ipar yang telah bergelar ibubapa.

Allahumma faqihha fiddin wa alimha hikmatal wa takwil. Amin.

Baby Aisya lagi besar dari Abang Amir, semalam masa ziarah saya suruh bonda buka bedung sebab nak menyoroti susuk badan si kecil sambil nak suruh beliau bangun. Nak tengok baby buka mata. Jarinya panjang, insyaAllah tinggi orangnya. Peha pun ada isi, ada labu betis. Amir Solihin dulu tak ada langsung isi di peha dan langsung tak ada labu betis, hanya pipi sahaja yang berisi :)

Paling kelakar bila jururawat praktikal tak sanggup nak dukung Amir Solihin yang sangat kecil.


Sedap baby tidur.
Bangun! Bangun!


Abang Amir nak suruh baby sayang (cium), tunjuk pipi pada baby.


Baby tak nak cium, Abang Amir je cium baby.

:)

Amir Solihin 'merajuk' dengan Pak Long, dah tak nak main dengan Pak Long lagi sebab Pak Long dah ada baby. Sekarang Amir Solihin ngam betul dengan Pak Ngah. ^_^

Read more...

20 January 2013

Speak Without Voice

Bismillahirrahmanirrahim.












Source : Muslim Kid Genius.

Read more...

15 January 2013

Teguran Kasih Sayang

Bismillahirrahmanirrahim.

Macam-macam perkara yang berlaku. Kadang-kadang mengambil keputusan untuk membiarkan saja sudah cukup menyeksa, bukan setakat menyeksa orang lain tetapi menyeksa diri sendiri. Sentiasa dilema dan tak tahu jalan mana yang terbaik untuk diambil bila melibatkan perasaan manusia. Lalu, membiarkan seketika untuk mencari maklumat atau bertanyakan pendapat orang lain yang tsiqah didahulukan sebelum memulakan apa yang dipendam.

Ramai orang (ye la, tak kan binatang pula kan?) memandang seseorang yang berniqab itu sebagai manusia yang sempurna. Perlu itu, perlu ini, mesti begitu, mesti begini. Sesuatu hakikat yang semua orang terlepas pandang apabila melontarkan kritikan ialah dia masih seorang manusia biasa. Masih seorang manusia yang sedang belajar.

Apa yang saya perhatikan, lewat perkenalan di alam maya. Ya, saya tidak mengenali secara rapat tetapi latarbelakang yang sedikit-sedikit ada juga dikongsikan bersama. Rata-rata muslimah yang berniqab, yang saya kenal di alam maya bukanlah mereka yang terdiri dari latarbelakang pendidikan agama. Bahkan ramai yang berhijrah secara drastik. Daripada langsung tak bertudung kepada tudung labuh dan seketika kemudian terus mengenakan niqab.

Saya pernah kongsikan, bagaimana keperluan untuk sentiasa menuntut ilmu. Supaya kita tahu apa yang kita lakukan, kenapa kita lakukan. Cuma, kadangkala sukar untuk memahamkan semua orang bahawa bertatih dengan kaki sendiri terkadang jadi sangat lelah bila semua orang menghadang jalan.

Tidak sedikit yang saya jumpa, mereka berjinak-jinak untuk mengenali agama setelah berada di menara gading. Bergaul dengan insan-insan yang mencintai agama, beramal dengan agama membuatkan mereka terdetik untuk mengenali agama meskipun mereka beragama Islam sejak lahir tetapi tiada praktikal di dalam kehidupan.

Cuma, selalu manusia menegur dengan kekerasan dan terkadang kelihatannya seperti memaki hamun penuh emosi kepada mereka yang baru berjinak untuk mengenali agama.

Niqab, ianya khilaf dikalangan ulama'. Ia juga perkara furu' (cabang), apabila semua orang sibuk bercakap pasal perkara furu' maka perkara utama dilupakan.

Namun, saya tidak menyalahkan sepenuhnya kepada niqabi yang terkadang orang lain melihat mereka 'buat apa yang tidak sepatutnya' kerana rata-rata yang saya kenali, mereka baru belajar agama tetapi mereka kuatkan hati untuk berniqab sebab mereka rasa cara itu yang buat mereka selamat. Tapi, nama pun manusia... Mereka belajar dan sedang belajar.

Terkadang, terdetik juga di hati. Di Malaysia, rata-rata niqabi bukan berlatarbelakangkan pengajian agama Islam maka ilmu yang 'tidak menepati kehendak orang ramai', kurangnya pengetahuan dalam perihal agama dan serba kekurangan seringkali ditempelak. Jadi, nak salahkan bagaimana kerana mereka sedang belajar? Mungkin awalnya kelihatan 'berfesyen' tetapi kalau disentuh dengan ilmu dari semasa ke semasa, insyaAllah mereka akan adaptasi dalam kehidupan.

Mungkin kerana kurangnya para ustazah, graduan lulusan luar negara yang banyak talaqqi dengan syeikh hebat-hebat memilih untuk tidak berniqab apabila pulang ke Malaysia, jadinya yang berkemahuan untuk berniqab adalah mereka yang tidak berlatarbelakangkan agama Islam tetapi berminat untuk mendalami ilmu agama.

Jadinya, yang berniqab kelihatan "semuanya" berfesyen semata-mata. Tidak berilmu. Tidak beradab. Tidak wara' dan segalanya tidak manis di mata orang lain.

:(

Saya BUKAN menyokong mana-mana tindakan muslimah yang tidak menepati kehendak syariat, sekadar sebuah pandangan 'kosong' dan mungkin tidak bermakna kepada orang lain tetapi inilah yang saya rasakan. Kalau diherdik, sentiasa dimarahi untuk 'gagahkan' muslimah yang berniqab masakan kasih sayang dan kelembutan tidak boleh menggagahkan muslimah?

"Ustaz saya kata perempuan berniqab ni 'lembik', tegur sikit dah tak tahan."

Jadinya, kita memerlukan kekerasan untuk membuat orang jadi gagah?

Saya tidak nafikan, kekerasan dalam teguran itu PERLU tetapi bukan secara terbuka. Mungkin seseorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, keluarganya mengamalkan agama Islam dan hidup dalam kerukunan syariat Islam akan melihat teguran yang keras itu biasa tetapi kepada mereka yang baru berjinak dengan agama lantaran kesedaran diri yang Allah berikan taufiq hidayah, kekerasan itu menyakitkan dan ia boleh membuatkan minat terhadap agama terus luntur hanya kerana orang yang mengamalkan agama tidak berhemah dalam menyebarkan agama.

Saya ulang sekali lagi, saya TIDAK menyokong tindakan mereka yang tidak menepati kehendak syariat. Ini hanya pandangan 'kosong' yang mungkin tidak bermakna kepada orang lain tetapi inilah yang saya rasakan.

Wallahua'lam.

Read more...

09 January 2013

Amir Solihin : 1 Tahun 6 Bulan

Bismillahirrahmanirrahim.


Milestone anak bukan untuk membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebaliknya ia penanda aras untuk kita lebih memberi perhatian kepada perkembangan anak. Kalau kita mahu anak menjadi seperti anak orang lain, maka kita sendiri perlu berubah menjadi orang lain.

Kalau kita TAK SUKA dibandingkan untuk menjadi orang lain, maka JANGAN sesekali membandingkan orang lain, terutamanya anak sendiri dengan anak orang lain :)

Mengikut kalender Masihi, lagi 3 hari genaplah usia Amir Solihin 1 tahun 6 bulan. Jadual suntikannya pula pada hari Rabu. Tak boleh saya nak bayangkan bagaimana untuk menyuntik anak bujang kami yang semakin lasak. Saya perasan, dia sangat peramah. Suka sangat menegur orang.

Semalam, suami ada urusan di Kuala Lumpur. Bawa Amir Solihin sekali, saya bekalkan sepersalinan pakaian dan 2 keping lampin untuk Amir Solihin. Balik ke rumah, dengan keadaan keletihan suami bercerita perihal anak bujang kami.

Pekerja di pejabat mengusik Amir Solihin, kata 'Abi dah balik, tinggal Amir'. Amir Solihin yang sedang seronok bermain terus pusing mencari suami, tak nampak kelibat suami terus meraung-raung memanggil "Abi, Abi, Abi" natijahnya semua orang ketawa.

Sebelum balik, suami dan rakan singgah makan di sebuah kedai. Habis satu kedai dijelajah oleh Amir Solihin, dan kata suami orang yang makan di kedai sibuk bergambar dengan Amir Solihin :)


Amir Solihin suka berlakon.

Berpura-pura menangis sambil menggosok mata, buatkan saya selalu ketawa. Kadang, bila dipanggil namanya dia tidak menyahut sebaliknya berpura-pura tidak mendengar sambil 'mengangkat kepalanya ke atas sambil membuat matanya seolah-olah ke atas'.


Amir Solihin suka menyanyi.

Sejak beberapa ketika ni saya perasan dia suka menyanyi. Duduk main sendirian, dia menyanyi sambil menggeleng-geleng kepala. Mulanya tak tahu lagu apa yang dinyanyinya, suami memaklumkan Amir Solihin menyanyi lagu Alif Ba Ta. Apa yang saya dengar hanya "Hamzah Ya" saja yang saya faham, lainnya saya tak faham langsung :)


Amir Solihin dan Abang Soleh.


Adik Saad dan Abang Soleh (berbaju merah)

Seronok melihat Amir Solihin berkawan dengan Abang Soleh. Main bersama, gaduh-gaduh lepas tu baik semula. Mungkin sebab Abang Soleh tahan lasak, jadi boleh bertahan dengan Amir Solihin yang lasak. Biasanya saya tidak meninggalkan Amir Solihin bermain melainkan setelah diberitahu oleh ibu kanak-kanak tersebut bahawa anaknya pun lasak juga. Jadi, lasak vs lasak. Ok la.

Saya masih cuba untuk ajar Amir Solihin minum susu formula, selepas disaran oleh seorang kakak maka saya sedang mencuba susu Bio Lac (susu homeopati) untuk Amir Solihin. Dahulu, saya cuba susu Bio Mil (susu homeopati) tetapi Amir Solihin tak suka. Kesihatan sering terganggu, bila tidak mampu untuk menyusu Amir Solihin sepenuhnya terpaksa suami bawa Amir Solihin jauh dari saya.

Masih berharap untuk menyusukan Amir Solihin sehingga mencapai usia 2 tahun. Kalau mengikut kalender Hijri, insyaAllah 10 Syaaban nanti Amir Solihin genap berusia 2 tahun. Moga Allah rezekikan susu yang cukup buat Amir Solihin. InsyaAllah!

Ummu Amir.

Read more...

08 January 2013

Pakaian Taqwa

Bismillahirrahmanirrahim.

Pernah ada yang bertanya kenapa seorang wanita berpakaian begitu, kenapa pula seorang muslimah berpakaian begini. Memerhati, membaca coretan-coretan sebahagian muslimah di kanvas maya memberikan saya dimensi pemikiran berbeza dengan saya yang dahulu. Bergaul dengan pelbagai jenis masyarakat memberikan saya corak pentafsiran berbeza dengan saya yang dahulu. Semakin ramai kita bergaul, semakin banyak yang akan kita pelajari. InsyaAllah.

Asasnya seorang muslimah diberikan garis panduan dalam tatacara pemakaian mengikut syariat.

1. Mestilah longgar, tidak menampakkan susuk tubuh.
2. Tebal, tidak menampakkan kulit.
3. Labuh menutupi bahagian-bahagian kewanitaan.

Ada yang memilih memakai tudung labuh. Ada yang memakai tudung biasa sahaja. Ada yang memakai purdah. Ada yang memakai khimar. Ada yang memakai selendang. Ada yang memakai pashmina.

Ada yang suka memakai baju kurung. Ada yang suka memakai jubah. Ada yang gemarkan abaya. Ada yang memakai t-shirt labuh muslimah. Ada yang memakai blous labuh. Ada yang memakai... (banyaknya pakaian wanita, tak tertulis)

Apapun bentuk pakaian yang menjadi citarasa, pilihlah pakaian yang memenuhi kritiria penutupan aurat. Apa jenis sekalipun namanya, pilihlah yang menutup aurat dengan sempurna :)

Pelbagai produk dilabelkan sebagai 'busana muslimah' tetapi tidak patuh syariah. Saya sendiri pun tak tahu kalau-kalau ada garis panduan yang diberikan oleh pihak berwajib dalam melabel produk. Macam kes logo halal contohnya, ada garis panduan yang disediakan. Ketat lagi menjaga tetapi dalam pemantauan berkala pun masih ada pihak-pihak yang ambil kesempatan sambil lewa dalam menjaga peraturan yang ditetapkan. Tiada sifat amanah dalam berniaga.


Sebaik-baik Pakaian.

Ada wanita selesa memakai tudung biasa-biasa berbanding bertudung labuh, kritirianya memenuhi syarat tatacara pemakaian syariat. Ada yang lebih selesa memakai tudung labuh dan ada yang aman memakai purdah.

Bila ada yang bertanya, saya selalu tanya ada bentuk kesalahan tak dari segi asas berpakaian menutup aurat. Kalau jawapannya tiada, maka tidak perlulah berjela-jela menjawab.

Ada manusia, apabila memakai tudung labuh akan menambahkan taqwa kepada Allah. Ada muslimah, apabila mengenakan purdah akan menambahkan taqwa kepada Allah. Ada wanita, pemakaian biasa-biasa (memenuhi syarat menutupi aurat) menambahkan taqwa kepada Allah.

Manusia, berbeza. Ada orang, bila pakai tudung labuh dia tak rasa bertambah taqwa tetapi dia rasa riak. Ada orang, bila pakai purdah dia tak rasa bertambah taqwa tetapi dia rasa sombong dengan manusia lainnya.

Ada orang, bila pakai baju kurung dia akan rasa bertambah taqwa. Ada orang bila pakai jubah, dia akan rasa bertambah taqwa. Ada orang bila pakai abaya, dia akan rasa bertambah taqwa.

Dan, sebaliknya pun macam tu juga.

Bila mengenakan pakaian, soalan kepada diri :

Adakah pakaian ini memenuhi syarat penutupan aurat?

Kalau jawapannya YA, mungkin boleh ditambah kepada :

Adakah pakaian ini menambah taqwa kepada Allah?

Kalau jawapannya TIDAK, usahakanlah untuk memakai pakaian yang boleh menambahkan taqwa kepada Allah. Atau setidak-tidaknya, tidak menjadikan kita sombong dengan manusia apatah lagi kepada Allah.

Kalau jawapannya YA, maka sentiasalah mengingati Allah :)

Kadang, orang lain apabila memakai jubah bertambah taqwa kepada Allah tetapi untuk orang lain pula berbeza. Mungkin apabila menyarungkan t-shirt muslimah yang disertakan dengan skirt labuh berwarna gelap akan membuatkan dia menjadi lebih bertaqwa.


Kenapa lain-lain pula?

Setiap manusia berbeza dan iman kita tentulah tidak sama.

Jangan sesekali merasakan apabila ada yang sentiasa memakai sejenis pakaian sahaja, maka kita andaikan dia begitu dan begini. Dia tidak merasa perasaan mazmumah kerana memang itulah 'uniform' apabila memerlukan dia menutup aurat dengan sempurna sebaliknya perasaan manusia lainnya yang seringkali suka bersangka-sangka.

Maka, kita sendirilah yang perlu beristighfar kerana berburuk sangka kepada orang lain.

"Abaya tu kan mahal, dia nak menunjuk-nunjuk la tu."

"Pakai jubah nak tunjuk alim lah tu."

"Mana orang pakai baju kurung panas-panas ni, buang tabiat ke apa."

"Baju kurung pakai masa hari raya je lah. Low class."

Allah... Berhati-hatilah.

JANGAN sesekali berfikir orang lain berburuk sangka terhadap kita kerana mungkin hakikatnya kitalah yang berburuk sangka kepada orang lain dengan menganggap orang lain berburuk sangka kepada kita. Kita tak boleh jaga hati orang lain tetapi kita boleh ingatkan hati sendiri, kan? :)



Berselisih pendapat itu biasa, biasakanlah meraikan pendapat masing-masing, saling menjaga adab dan silaturrahim.

"Barangsiapa yang berlebih-lebihan dalam berpakaian maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan kepadanya di hari Akhirat." - mafhum hadith.

Nauzubillah.

Sebaik-baik pakaian, adalah pakaian taqwa.

Wallahua'lam.


Ummu Amir.

Read more...

04 January 2013

Suka-Suka Nak Serius

Bismillahirrahmanirrahim.

Dulu, saja suka-suka buat perniagaan atas talian. Jual produk-produk pakcik, tapi masa tu main-main semata-mata. Lepas tu, jual buku Bicara Pedusi. Buku yang saya tulis masa zaman remaja riang gembira, alhamdulillah buku tu salah satu impian saya. Impian nak pergi bumi MESIR tapi Allah belum sampaikan hajat saya lagi, tapi Allah beri peluang saya 'lahirkan' buku Bicara Pedusi di MESIR. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Pihak Persatuan Mahasiswa Republik Arab Mesir (PMRAM) yang menjadi pencetak dan pengedar dan mengurus segala proses kelahiran Bicara Pedusi, keuntungan jualan 100 % saya berikan kepada pihak PMRAM untuk dana Syaqah (apartment).

Kemudian, wakil PMRAM pos buku-buku dari Mesir untuk saya jual di Malaysia. Sekali lagi suka-suka jual atas talian, suamilah yang menjadi terpaksa rela mengepos buku-buku. Ramai juga yang baik hati memberi saya bayaran lebih semasa membeli buku, hadiah untuk Amir Solihin. Alhamdulillah, murahnya rezeki Amir Solihin.

Buku masih berbaki kepada saya. Saya minta kebenaran dari wakil PMRAM nak menghabiskan buku-buku tersebut dengan harga yang lebih rendah. RM 10/buku :)

(Dahulu, pihak PMRAM bersetuju menjual dengan harga RM 15).

Ada yang tanya, apa yang saya dapat dengan jualan buku Bicara Pedusi. Saya jawab, kepuasan hati. Dari kecil saya nak pergi Mesir tapi sampai dah besar belum ada rezeki lagi, jadinya saya puas hati sebab boleh 'lahirkan' buku sebagai wakil diri saya.

Sampailah suatu ketika, suami memberitahu nak menjual Habbatus Sauda'. Mula-mula, saya terfikir boleh habis ke tidak memandangkan suami mengambil stok dengan banyak. Alhamdulillah, ramai yang membeli. Suka-suka juga, keuntungan jualan tersebut suami hadiahkan kepada rakannya yang sedang mengumpul duit bagi pembedahan jantung anak mereka.

Sekotak RM 10. Suka-suka saya jual, kalau beli 10 kotak dapat percuma 1. Mula-mula rasa macam tak OK kot. Sebab saya langsung takde ilmu mendalam tentang muamalat. Suami lah yang banyak memberitahu apa yang perlu, supaya perniagaan sentiasa dalam keadaan PATUH SYARIAH.

Haritu, ibu saya terkejut bila saya kata stok Habbatus Sauda' dah nak habis. Terkejut sebab sebelum tu tengok berkotak-kotak. Hehehe.

Ada yang membeli 30 kotak.
Ada yang membeli 20 kotak.
Ada yang membeli 15 kotak.
Paling banyak belian 10 dan 5 kotak.

Postage untuk 1-10 kotak SAMA saja, RM 6.

Ada yang beli 2x sebulan, saya syorkan supaya kumpulkan sahaja order (mungkin dari kawan atau keluarga) sehingga 10 kotak, jimat harga pos dan dapat percuma 1 kotak.

Bukan malas nak pos, tapi kesian kalau 2x order dalam sebulan bayaran pos jadi RM 6 x 2 = RM 12 dah boleh dapat 1 kotak pun.

Stok Habbatus Sauda' DAH HABIS, insyaAllah minggu depan akan dapat stok baru. Maaf buat mereka yang berhajat, moga ada rezeki lain buat kalian. InsyaAllah.

Suka tengok sahabiah yang berniaga atas talian. Kak Asma' dengan Bidadari Collection, Kak Jie dengan Sufy Solehah Collection. Mereka jahit dan menjual tudung labuh (dan purdah) dengan sangat murah! Sebab mereka nak melihat orang ramai menutup aurat. Comel kan?

:)

Dan saya suka-suka nak serius, untuk buka kembali Islah Heart Shoppe saya. Kali ni serius sikit kot :)

Insya Allah, biiznillah!

-------------


RM 10
Postage RM 5
(Boleh order melalui facebook atau email : niqobgirl[at]yahoo.com)


Sinopsis :

Jati diri seorang Durrah Fatinah, diadun dengan peribadi Islam yang kebal pada cabaran biar rencam duri memburu. Dia ingin menyusur langkah yang tegar sebagai seorang da'ei namun penuh kasih dan sayang dalam meniti silaturrahim sesama manusia. Dia percaya, kebahagiaan hanya akan dikecapi dengan menuai sabar lantas itu jalan sufi yang selalu dipilihnya.

Perjalanan hidup seorang wanita yang merupakan mahasiswa di perantauan. Keberadaannya di negara asing bukanlah halangan untuk terus memelihara maruah dan cara hidup yang berlandaskan syariat. Sahabat baiknya Nafisah juga mahasiswa Timur Tengah, mereka terpisah antara benua demi mengejar impian dalam mencipta kejayaan. Hanya berhubung melalui internet dapat mengubati kerinduan antara mereka dan segalanya dikongsi bersama. Sejarah srikandi dijadikan sandaran bagi Fatinah dalam menelusuri kehidupan seorang muslimah sejati.

Fatinah, seorang gadis yang punya dorongan motivasi diri yang tinggi dalam menilai erti hidup, bijak merencana masa depan dan punya kualiti seorang srikandi.

"Ombak tak jahat. Kerana ombak, hari itu aku mengerti hakikat seorang hamba yang meminjam segala-galanya dari Allah. Kerana ombak juga aku tahu setiap muslim itu perlu berkongsi. Kerana ombak juga aku tahu Allah menyayangiku. Dan kerana ombak, aku belajar menjadi manusia yang memanfaatkan pinjaman Allah padaku..."

Atas kerana inilah, kisah ini menggambarkan bahawa kehidupan dengan berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah sudah pasti akan sentiasa dilindungi oleh Allah biarpun di mana kita berada. Penghormatan dan maruah seorang wanita adalah anugerah paling berharga bagi insan yang bergelar PEDUSI.


Komentar

"Sebuah penulisan yang mempunyai teknik penyampaian yang menarik. Setiap mesej yang diketengahkan sarat dengan nasihat dan makna yang tersirat. Bagi saya ia sebuah karya yang bisa meruntun hati pembaca kerana sudah pasti kita akan tertanya apakah ini realiti kehidupan seorang pedusi. Apa yang pasti kaum Hawa juga mampu melakar sejarah sepertimana kisah lampau yang memartabatkan srikandi Islam dalam menjadi mata rantai perjuangan menegakkan kalimah Allah yang satu." - Zulhafeez Ahmad Zahidi, Pengarah Kem Latihan Penulis (KELAP) '09

"Buku yang diberikan judul 'Bicara Pedusi' ini merupakan satu seni susunan ayat dalam mengisahkan suasana Islam yang diinginkan oleh seorang wanita dan suasana sekelilingnya. Suasana Islam yang damai dan amat bertolak ansur dalam membawa satu-satu method ajarannya. Mengajar seorang wanita khususnya, manusia amnya menilai akan keindahan Islam dalam suasana yang cuba dibicarakan oleh penulis.

Kisah yang amat menarik tidak kurang hebatnya dengan sastera-satera lain yang hebat. Saya kira susunan ayat yang mudah dan jelas oleh penulis ini akan membuatkan para pembaca lebih meminati seni dan sastera kerana keindahan Islam bukan dek kerana khayalan yang dicetuskan sebagaimana penulis-penulis cerpen yang semata-mata beralasan cinta suci." - Shahrizan Mohd Hazime, Presiden PMRAM 2010.


Insyirah Soleha

Read more...

03 January 2013

"Kenapa Ibu Tak Solat?"

Bismillahirrahmanirrahim.

"Syifa, abang pergi surau dulu, ya!" Meneladani suruhan Rasulullah supaya solat fardhu dilaksanakan berjemaah di masjid atau surau, suami saya bergegas menghidupkan enjin motosikal membelah keheningan senja. Sudah menjadi kebiasaan dia memberitahu saya sebelum keluar ke mana-mana agar saya tahu keberadaannya. Tidaklah nanti saya tercari-cari jika sudah tahu ke mana gerak langkahnya.

Bunyi deruman motosikal telah lama hilang dari deria. Saya duduk di sofa menelaah majalah Anis yang baru dibeli petang tadi. Menyiramkan jiwa dengan peringatan-peringatan, saya tenggelam dalam keasyikan bicara pena yang menyegarkan iman dan amal.

"Ibu, kenapa ibu tak solat lagi?" Humaira' bersuara menegur saya yang masih leka di ruang tamu sambil mengajuk gaya saya menegurnya jika dia belum solat. Kebiasaannya, sebaik sahaja ayahnya ke surau, saya pasti akan ke bilik air membersihkan diri untuk menghadap Rabbul Izzati.

"Hmm, ibu tak boleh solat hari ini.," saya menjawab dengan teragak-agak.

"Eh, kenapa pula? Ibu kata kita wajib solat," dia tidak berpuas hati.

"Ibu tak boleh solatlah, sayang," saya hampir kehilangan kata untuk menjawab.

"Ibu pergilah solat. Sekejap sahaja. Nanti Allah marah." Dia cuba memujuk saya dengan bersungguh-sungguh supaya saya pergi melaksanakan suruhan Allah tersebut sepertimana suami saya memujuk dia untuk melakukan sesuatu. Tangannya mengusap-usap paha saya. Saya tergamam!

"Ibu pergi solat, ya, sayang!" pujuk dia lagi. Terkebil-kebil saya dibuatnya.

"Aduhai, macammana hendak beritahu tentang uzur syari'e ini?" Saya berbisik di dalam hati. Wajahnya yang seperti guru kaunseling itu menambah tekanan di dalam jiwa saya. Dia memujuk saya seolah-olah saya sengaja tidak mahu solat.



Jawab Dengan Tulus dan Telus.

"Ibu sedang haidlah, sayang." Sudah menjadi amalan saya dan suami menjawab soalannya dengan jawapan yang benar. Memang mudah jika memberi alasan lain seperti saya sakit perut dan sebagainya. Namun, setelah difikirkan semula, mungkin ia menyelesaikan masalah hari ini tetapi kefahaman yang kita berikan sudah tentu akan mengelirukannya suatu hari nanti. Takut-takut jika saya mengatakan bahawa saya tidak solat kerana sakit perut, nanti sakit perut itu akan menjadi alasan untuk dia meringan-ringankan kefarduan tersebut kemudian hari.

"Haid? Apa tu?" Dia menyertai saya duduk di atas sofa. Hairan dengan perkataan yang belum pernah didengar, matanya terkedip-kedip memandang saya.

"Orang perempuan, apabila sudah besar akan keluar darah setiap bulan. Darah itulah yang dikatakan haid. Masa keluar darah itu, Allah kata tak perlu solat. Jadi ibu terpaksalah 'cuti'."

"Hah! Solat pun ada cuti?"

"Ya, sayang."

"Tapi, ayah tak pernah pun cuti solat."

"Orang lelaki memanglah tiada cuti solat. Bukan tadi ibu cerita cuma perempuan sahaja yang datang haid?" Saya memicit hidungnya.

"Kenapa pula?"

"Sebab orang perempuan ini istimewa. Cuba Humaira' tengok atag, ayah boleh tak mengandung?"

"Tak boleh."

"Boleh tak menyusukan adik?"

"Tak boleh."

"Kalau ibu? Ibu boleh tak mengandung dan menyusukan adik?"

"Boleh, boleh!"

"Ha, sebab itulah orang perempuan ini istimewa! Boleh mengandung dan boleh menyusukan. Oleh sebab itulah, Allah beri cuti solat."

"Oh, kalau begitu, Humaira' pun boleh cuti macam ibulah, ya?"

"Mana boleh. Humaira' belum haid lagi. Tetapi apabila Humaira' sudah besar macam ibu, apabila Humaira' dah datang haid, Humaira' dapatlah cuti solat." Saya tersenyum padanya.

"Baiklah, sekarang Humaira' pergi ambil telekung dan solat Maghrib, ya?"

"Ala, Humaira' nak solat dengan ibu."

"Tak boleh sayang, tapi ibu boleh temankan Humaira'solat. Jom kita pergi ambil telekung."

Saya menarik tangannya ke bilik, dan memakaikannya telekung. Ketika dia solat, saya berada di sisi untuk menemaninya. Walaupun solatnya tidaklah sesempurna mana, apa yang penting ialah dia tahu kewajipannya kepada Allah dan tidak sesekali mengabaikannya.

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doa kami."



Mutiara Untuk Ibubapa.

Dalam kita memahamkan anak-anak tentang syariat yang ditetapkan oleh Allah, kita hendaklah sentiasa memberitahu perkara yang sebenar. Jangan memberi jawapan sekadar ingin melepaskan diri kerana ia akan mengelirukan anak-anak.

Sebagai contoh, apabila anak bertanya kenapa kita tidak berpuasa atau tidak solat, disebabkan tidak mahu bercerita tentang haid, kita mengatakan bahawa kita sakit perut. Jadi, anak-anak akan membuat kesimpulan bahawa kita boleh meninggalkan solat dan puasa hanya kerana sakit perut. Sedangkan kesimpulan yang dibuat itu jelas tidak sepertimana yang termaktub di dalam syariat.

Berhati-hatilah memberi alasan atau penjelasan kerana anak-anak akan mengingatinya kerana mereka seperti span yang akan menyerap apa sahaja maklumat yang kita berikan.


Dipetik dari buku "Begini, Sayang!" tulisan Hasifah Zainuddin.


p/s: Buku yang perlu dibaca sebagai satu kaedah/tatacara bercerita kepada anak-anak dengan cara mudah mengikut kesesuaian pemikiran kanak-kanak dalam menerangkan sesuatu. Banyak kisah menarik, insya Allah :)

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO