Doa Ketika Demam
Bismillahirrahmanirrahim.
Sejak hari Selasa malam, keadaan anakanda Amir Solihin yang riang gembira bertemu dengan datuk, nenek, ibu-ibu saudara juga bapa-bapa saudara berubah sebaliknya sebaik tiba di rumah. Semasa meletakkan di atas tilam, perasan kaki dan tangannya kesejukan tetapi tidaklah terfikir beliau sedang ke arah nak demam.
Sepanjang malam, tidurnya kurang lena. Sekejap-sekejap bangun, merengek. Sepanjang malam juga langsung tak minum susu. Bangun awal pagi, seawal Subuh selepas mendengar azan dan saya cuba pujuk supaya beliau tidak menangis melihat abinya keluar. Sempat tertidur kembali dan selepas suami balik rumah sebentar sebelum keluar, Amir Solihin sudah berdiri tegak mahu ikut keluar rumah juga. Pusing-pusing, saya lihat rumah sudah sunyi. Amir Solihin ikut suami keluar.
Bila mereka balik, suami tunjuk baju Amir Solihin yang sudah dipenuhi dengan kesan muntah. Mujurlah ada seorang pak cik menawarkan kain tuala kecil untuk mengelap muntah. Badannya agak panas dan semakin lama semakin panas. Bila menawarkan ubat demam homeopati, Amir Solihin menolak. Sesuatu yang pelik, biasanya apa sahaja jenis ubat homeopati, Amir Solihin akan teruja untuk makan.
Air kosong juga tidak mahu. Selepas uji suhu badannya, Allah... mencecah 38'C.
Dan, suhu tertinggi sehingga 38.9'C.
Suami ramaskan daun lidah jin dalam air dan terus sejukkan badan Amir Solihin. Suhunya turun seketika dan naik tak lama kemudian. Keadaannya juga lembik, tidur sahaja walaupun tidak lama tetapi kerap. Suami pergi ke rumah jiran, minta izin ambil daun dan bunga raya. Ramaskan dalam air untuk dilapkan seluruh badan Amir Solihin.
Saya pun paksakan juga Amir Solihin makan paracetamol syrup yang dibekalkan dari klinik semasa Amir Solihin demam bulan lepas. Tapi, bulan lepas demamnya sedikit sahaja. 37.3-37.5'C, masih aktif berlari.
Selepas 2 jam makan ubat, saya rasa badan Amir Solihin masih panas tetapi tidak sepanas awal pagi.
Suhunya turun naik sehingga mencecah 38.9'C, bimbang kena sawan pula bila suhu badan terlalu tinggi bagi kanak-kanak.
Suami pesankan perbanyakkan doa, usap pada seluruh badan Amir Solihin.
"Qulna ya naar kuuni bardan wa salaaman ala ibrahim (nama anak)"
Malam tadi serasanya sekejap-sekejap Amir Solihin bangun, panggil saya minta susu tetapi langsung tak minum susu sepanjang malam. Badannya panas, dia hanya mahu tidur atas lengan saya. Dan dalam keadaan entah sedar entah tidak, saya hanya membaca doa yang suami ajarkan sepanjang malam.
Alhamdulillah pagi ni nampaknya keadaan Amir Solihin sudah semakin baik. Bacaan suhu terakhir 36.5'C, lidahnya sedikit 'pecah' mungkin kerana badannya sangat panas. Tetapi, suami lega sebab Amir Solihin sudah minta untuk makan nasi dan mula bercakap-cakap, tidak seperti sehari sebelumnya.
Petua orang dahulu (mengelap kepala dan badan anak dengan air bunga+daun bunga raya), homeopati, paracetamol cyrup, doa. Semuanya digarapkan sekali sebagai ikhtiar, dan Allahlah yang memberi kesembuhan :)
Musim hujan, cuaca sekejap panas sekejap hujan, ramai kanak-kanak yang turut demam kerana perubahan cuaca. Mungkin boleh mengamalkan doa ini juga, wallahua'lam.
** Selepas benar-benar sedar, baru terasa. Ya Allah, minta doa dengan Allah pun dalam keadaan mengantuk macammana la Allah nak terima doa. Moga jadi peringatan untuk diri sendiri supaya memastikan keadaan diri yang sedar, minta doa pada Allah bersungguh-sungguh :(
Ummu Amir Read more...