Kenapa Saya Perlu Bersyukur?
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, semalam kami sekeluarga berziarah sahabat di Sungai Buloh. Semasa duduk menikmati hidangan yang disediakan tuan rumah, saya berbual dengan isteri kepada sahabat baik suami. Mereka bersahabat sekitar 10-13 tahun (semasa suami belajar di Pakistan) setelah hilang menghilang di sini sana akhirnya selepas kami berkahwin, suami kembali menyambung silaturrahim. Macam jejak kasih, atau kasih terjejak? Wallahua'lam :)
Apa yang saya lihat, suami banyak membesar dan 'bersosial' dengan rakan-rakan berbanding keluarga. Jadi, hubungan persahabatan nampak lebih erat tetapi tidaklah sampai melupakan keluarga. Cuma, hidupnya sebagai perantau mencari ilmu Allah yang membuatkan dia lebih banyak 'hidup' dengan rakan-rakan, susah senang dengan rakan-rakan sampaikan bila kami ada apa-apa kesulitan maka rakan-rakan lah yang menghulur bantuan.
Saya pula memang sejak dari kecil membesar dan hidup dengan ibubapa dan adik-beradik, saya kurang bersosial dan tidaklah begitu akrab dengan rakan-rakan kecuali beberapa orang. Tapi, tidaklah sampai langsung tidak tahu bergaul. Cuma pergaulan saya agak lambat apabila bertemu dengan orang asing, berbanding suami yang sangat mudah 'masuk' dengan mana-mana golongan.
Ok, apa yang saya nak tulis berkenaan apa yang saya dan isteri sahabat suami berbual. Sambil makan... duduk memerhati keletah anak-anak kami. Untungnya, muslimat makan di rumah berasingan dengan muslimin. Jadi, agak bebas sebebas-bebasnya. Nak ekspresikan muka macammana pun tak mengapa, kalau lucu boleh gelak suka-suka, kalau geram boleh jegil mata besar-besar, kalau marah boleh cubit-cubit manja. Seronok betul! :)
"Kak... Insyirah kena senaraikan. Kenapa saya perlu bersyukur?"
Oh, sebelum itu macam biasa kami akan berbual mengenai 'Children Development' dan 'Parenting Skills'. Banyak yang boleh belajar dari orang yang terlebih dahulu berpengelaman, selain pengalaman... bahan bacaan dan sokongan pendidikan sekitar juga akan membantu untuk menambah pengetahuan.
Dan, akhirnya saya membuat senarai sendiri.
1. Di saat sangat ramai gadis yang solehah berdoa memohon kepada Allah untuk diberikan seorang suami yang soleh dan boleh menjadi pembimbing kehidupan dunia dan akhirat untuknya, Allah dah berikan kepada saya seorang suami.
2. Di saat sangat ramai wanita yang sudah bergelar isteri berdoa memohon kepada Allah untuk diberikan seorang cahaya mata kepada mereka suami isteri, Allah dah pun berikan kepada saya seorang anak.
3. Di saat sangat ramai ibu yang menangis dan mengadu berdoa kepada Allah untuk diberikan kesihatan yang baik kepada zuriatnya, Allah dah pun berikan kepada saya anak yang aktif dan lincah.
4. Di saat ramai ibu yang menahan sendu dan air mata dengan perkembangan anaknya yang tidak normal, Allah dah pun berikan kepada saya anak yang boleh berjalan, boleh makan, boleh itu dan ini.
5. Di saat sangat ramai isteri yang menangis berendam air mata duka dengan perangai suami yang tidak bertanggungjawab, Allah berikan saya suami yang berakhlaq baik.
--------------
Kenapa saya tidak bersyukur dengan apa yang Allah bagi?
Kenapa saya perlu bersyukur?
Sebab Allah masih pinjamkan umur untuk berada di bumi Allah.
Kata Allah, tidaklah Allah menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Allah.
--------------
Pada hari raya ke-4, dalam perjalanan dari Kelantan. Kami singgah di Gerik untuk makan tengah hari, ada panggilan dari seorang sahabat saya. Saya yang sedang kelam kabut dengan Amir Solihin, suami yang menerima panggilan tersebut dan terus menghulur talifon kepada saya, tapi saya tak dengar jelas suara di hujung talian. Lalu, saya matikan talian.
Selepas masuk kereta, saya suapkan Amir Solihin makan roti dan kemudiannya tidurkan Amir Solihin. Saya terus memicit kepala suami untuk menghilangkan rasa mengantuk memandu dan terus terlupa dengan panggilan dari sahabat tadi.
Sekitar jam 5 petang, sahabat menghantar SMS memaklumkan bahawa ayahnya meninggal dunia jam 1.45 pagi, kerana itulah beliau menalifon saya. Terkedu. Lama ambil masa nak jawab mesej.
Inna lillahi wainna ilaihirajiun.
"Enti, doakan kami sekeluarga ikhlas dan redha dengan ujian ini ya."
Kullu nafsin za iqatul maut. Setiap yang bernyawa pasti mati, masa dan tempatnya sahaja menjadi rahsia Ilahi.
------------
Saya lihat facebook rakan saya menulis beberapa status yang menunjukkan beliau di hospital. Hati saya tertanya, beberapa minggu lalu beliau sms kepada saya minta petua untuk meredakan batuk anaknya. Dan, saya jadi risau kerana statusnya menunjukkan beberapa buah hospital. Saya tidak bertanya di wall facebook, terus capai talifon dan SMS.
Allahuakbar.
Tak sangka...
"Baby kena admit hospital, esok buat MRI."
Makin saya gelisah. Kenapa perlunya MRI, padahal haritu bayinya hanya batuk.
"MRI untuk saraf mata baby. Kalau Allah izinkan dapatlah baby melihat dunia. Kalau Allah tak izin, moga Allah beri pancaindera yang lain buat baby."
Subhanallah. Allahuakbar.
Bayinya berusia 55 hari (pada hari kami bermesej) dan terkejut saya dengan berita tersebut.
-----------
Maka diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, nikmat apakah yang hendak kamu dustakan?
-----------
Sahabat-sahabatku, tabahlah... Moga Allah menggantikan nikmat yang lebih baik buat kalian.
Kata Allah,
Terlalu sedikit hamba Nya yang bersyukur.
Allahu Allah.
Astaghfirullah hal azhim.
Ummu Amir
2 leaves:
ALHAMDULILLAH..
mungkin saya patut buat list kenapa perlu aku perlu bersyukur lepas tu tampal kat dinding tgk hari2..........terkedu bila baca ada sahabat ukthi yang ada baby yang mungkin hilang pancaindera dia...moga Allah kurniakan kekuatan kepada sahabat tersebut
Post a Comment