Bersyukur Apa Yang Ada
Bismillahirrahmanirrahim.
Qanaah.
Sifat mahmudah. Sifat berpuas hati dengan apa yang Allah berikan, berpuas hati dengan pemberian Allah. Beberapa hari lalu saya menemani suami ke majlis berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Majlis berbuka yang di tanggung oleh pihak tertentu, kami menghadiri bukan sekadar memenuhi jemputan tetapi seakan satu kemestian untuk suami menghadirinya, saya sekadar mengikut.
Saya pernah menjejak kaki ke hotel tersebut, mengikuti majlis penerimaan anugerah bonda tercinta beberapa tahun lalu (sebelum berkahwin). Tetapi tatarias dan susunan ruang lobi hotel masih sama. Dan, selepas menjejak kaki melepasi tangga elektronik, kami di sapa pasangan lelaki dan wanita yang menyambut kehadiran kami.
Kami antara tetamu yang terawal tiba. Sementara menunggu tetamu lain, saya membawa Amir Solihin berjalan di sekitar ruang lobi hotel, melayani anakanda yang suka berlari. Saya melepaskannya, membiarkan dia mengerahkan kudrat berlari ke sana ke sini. Bila penat tak terkejar, saya ambil dan dukungnya. Tetamu-tetamu lain di tegur, bila saya minta Amir Solihin bersalam, dia bersalam. Habis semua orang duduk bersantai mahu ditegur, akhirnya saya membawa Amir Solihin jauh dari ruangan lobi. Bimbang kehadirannya kurang disenangi.
Semasa di dewan (tempat iftar), seorang kakak yang saya baru berkenalan bertanya dengan soalan yang buatkan saya tersentak. Namun, saya selamba dan cuba berselamba.
"Anak Insyirah ni hyper active ke?"
"Tak la, dia suka berlari."
Hyper active. Subhanallah. Biasalah, budak lelaki baru 'dapat kaki' memang selalu menggunakan apa yang dia baru 'dapat'. Masa baru boleh meniarap, terus meniarap sehinggakan tidur pun mesti meniarap. Bila boleh merangkak, kerjanya merangkak sahaja sehinggakan bangun tidur belum sempat apa-apa terus merangkak. Sekarang dah boleh berlari, memang terkejar sini sama kami suami isteri dibuatnya.
Bila saya mengadu tak terkejar Amir Solihin, suami sempat 'menempelak' sifat saya yang kurang sabar.
"Bersyukur lah Ummi. Betapa ramainya orang yang ada anak tetapi tak boleh bergerak, tak boleh berjalan tetapi Amir Solihin boleh bergerak, boleh berjalan dan belari."
Astaghfirullah hal azhim.
-----
Semasa makan, memanglah agak kelam kabut nak melayani anak dan tak terlayan perut yang berbunyi :) Sahabat yang datang membawa dua anak, jauhlah lebih kelam kabut berbanding saya yang hanya seorang anak. Dia pun tak sempat nak melayani perut kerana sibuk melayani anak, mengejar dan mengutip anak :) Ini situasi biasa bagi ibu-ibu yang ada anak kecil. Nampak begitu kelam kabut.
"Senang la tak bawa anak, saya tak sempat buat apa sibuk dengan anak-anak."
Seorang ibu bersuara kepada seorang wanita di hadapannya. Wanita tersebut hanya memandang dan tersenyum melihat keletah anak-anak yang sedang berlari ke sana sini.
Saya masih sedang makan sambil menyuap Amir Solihin.
Dan, saya tak tahu nak kata apa bila si ibu bangun dari kerusinya dan saya tak mampu memekakkan telinga dan mendengar kesemua butir bicara wanita yang dikatakan senang kerana tidak bawa anak, dia berbual dengan wanita yang menyambut kedatangan kami. Dan butir bicaranya membuatkan saya... Allahu...
"Dah cuba, buat semua ujian doktor kata normal. Tak ada rezeki."
"Tak cuba makan hormon?"
"Makan juga yang doktor bagi, ubat tradisional pun cuba juga. Tapi belum ada rezeki."
"Mengurut tak?"
"Ada."
"Tak apa, berdoa la banyak-banyak. Sekarang bulan Ramadhan, moga Allah makbulkan."
Allahu Rabbi. Bukan dia 'tak bawa' anaknya tetapi Allah belum lagi berikan zuriat kepada dia dan suaminya. Dia hanya melihat kami masing-masing kelam kabut melayani anak dengan senyuman, dia hanya memandang kami yang semuanya huru hara mengejar anak yang berlari, dia cuba menghulurkan bantuan apa yang terdaya tetapi seakan dia sedang cuba menahan emosinya sendiri. Rupanya, dia menanggung beban perasaan melihat kami.
Allahu Rabbi. Saya yang tidak berniat langsung memasang telinga ini, rasa bersalah sungguh. Kalaulah saya tahu, sudah saya serahkan Amir Solihin kepadanya, biar terubat hatinya dan bolehlah saya menikmati aiskrim. Gurlp. Ada sandiwara sedikit di situ, hanya 'nakal' mengusik.
Saya mengutip 'ibrah yang besar walaupun hanya seketika.
Kadang, kita rasa dah begitu kelam kabut dan huru hara menguruskan seorang anak, orang lain selamba saja boleh uruskan 10 anak sambil mempunyai kerjaya malahan profesional lagi.
Kadang, kita rasa best sangat tengok pasangan suami isteri jalan berpimpin tangan tanpa anak-anak yang mengganggu ketenangan. Sebaliknya, yang kita tak tahu betapa hati mereka sangat merindukan tangis dan gelak seorang bayi.
Kadang, kita rasa best sangat tengok orang ada anak tetapi yang kita tak tahu mereka berhempas pulas untuk mencari rezeki buat anak-anak.
Kadang, kita melihat pasangan suami isteri terasa alangkah indahnya boleh menikah awal-awal tanpa kita tahu mereka terkadang mencemburui kehidupan bujang yang boleh ada ruang privasi sendiri.
Kita melihat 'bahagia' pada orang lain sehinggakan kita lupa sebenarnya kita yang tidak nampak kebahagiaan dalam kehidupan sendiri. Kita asyik melihat orang sehingga terlupa melihat dan merenung diri sendiri.
Semasa duduk-duduk menanti masa untuk belayar ke alam tidur, saya bertanya suami.
"Abi pernah tak rasa menyesal sebab kahwin dengan Ummi?"
"Tak."
Semasa duduk di dalam kereta membelah jalan sebelum tiba ke destinasi, saya bertanya suami.
"Pernah tak menyesal sebab kahwin dengan Ummi?"
"Tak."
:)
Bersyukur dengan apa yang Allah beri.
[Kisah Touch n Go]
Sahabat suami minta dibelikan kad Touch 'n' Go. Selepas membeli, suami memberi pilihan kepada sahabatnya. Kad lama suami yang sudah tercarik sedikit dengan nilai RM 42 di dalamnya tetapi hanya bayar RM 40 kepada suami ataupun kad baru yang berisi RM 20 tetapi perlu membayar RM 30 (harga ini yang dibayar semasa pembelian kad baru).
Sahabatnya terus menjawab mahu kad suami yang tercarik sedikit kerana isian di dalamnya lebih banyak dan hanya perlu membayar sedikit dari jumlah isiannya berbanding kad baru yang cantik tetapi perlu membayar lebih.
Suami terus memberi tazkirah kepada saya selepas bercerita.
"Yang penting di dalamnya, rupa luar tak cantik pun tak apa. Macam tu juga nak cari isteri (relate dengan sahabatnya yang merupakan seorang lelaki), biar tak cantik asalkan solehah!"
Saya tersenyum. Suami menyambung...
"Tapi, bila dah kahwin baru la rasa... 'alamak, lupa nak doa kat Allah minta yang cantik dan solehah'. He he he!"
Saya pula ambil kesempatan mengenakan suami.
"Untung lah Abi, dapat isteri yang cantik dan solehah!"
"Alhamdulillah ya Allah."
Lalu sama-sama ketawa besar. Amir Solihin yang sedang main terus menerjah kami, turut ketawa dengan tiba-tiba.
Masha Allah.
Allahuakbar.
Qanaah. Merasa cukup dengan apa yang Allah bagi.
Alhamdulillah.
Astaghfirullah...
Ummu Amir
1 leaves:
suka nye baca post kali nih..
Post a Comment