"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

30 August 2012

Kenapa Saya Perlu Bersyukur?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, semalam kami sekeluarga berziarah sahabat di Sungai Buloh. Semasa duduk menikmati hidangan yang disediakan tuan rumah, saya berbual dengan isteri kepada sahabat baik suami. Mereka bersahabat sekitar 10-13 tahun (semasa suami belajar di Pakistan) setelah hilang menghilang di sini sana akhirnya selepas kami berkahwin, suami kembali menyambung silaturrahim. Macam jejak kasih, atau kasih terjejak? Wallahua'lam :)

Apa yang saya lihat, suami banyak membesar dan 'bersosial' dengan rakan-rakan berbanding keluarga. Jadi, hubungan persahabatan nampak lebih erat tetapi tidaklah sampai melupakan keluarga. Cuma, hidupnya sebagai perantau mencari ilmu Allah yang membuatkan dia lebih banyak 'hidup' dengan rakan-rakan, susah senang dengan rakan-rakan sampaikan bila kami ada apa-apa kesulitan maka rakan-rakan lah yang menghulur bantuan.

Saya pula memang sejak dari kecil membesar dan hidup dengan ibubapa dan adik-beradik, saya kurang bersosial dan tidaklah begitu akrab dengan rakan-rakan kecuali beberapa orang. Tapi, tidaklah sampai langsung tidak tahu bergaul. Cuma pergaulan saya agak lambat apabila bertemu dengan orang asing, berbanding suami yang sangat mudah 'masuk' dengan mana-mana golongan.

Ok, apa yang saya nak tulis berkenaan apa yang saya dan isteri sahabat suami berbual. Sambil makan... duduk memerhati keletah anak-anak kami. Untungnya, muslimat makan di rumah berasingan dengan muslimin. Jadi, agak bebas sebebas-bebasnya. Nak ekspresikan muka macammana pun tak mengapa, kalau lucu boleh gelak suka-suka, kalau geram boleh jegil mata besar-besar, kalau marah boleh cubit-cubit manja. Seronok betul! :)

"Kak... Insyirah kena senaraikan. Kenapa saya perlu bersyukur?"

Oh, sebelum itu macam biasa kami akan berbual mengenai 'Children Development' dan 'Parenting Skills'. Banyak yang boleh belajar dari orang yang terlebih dahulu berpengelaman, selain pengalaman... bahan bacaan dan sokongan pendidikan sekitar juga akan membantu untuk menambah pengetahuan.

Dan, akhirnya saya membuat senarai sendiri.

1. Di saat sangat ramai gadis yang solehah berdoa memohon kepada Allah untuk diberikan seorang suami yang soleh dan boleh menjadi pembimbing kehidupan dunia dan akhirat untuknya, Allah dah berikan kepada saya seorang suami.

2. Di saat sangat ramai wanita yang sudah bergelar isteri berdoa memohon kepada Allah untuk diberikan seorang cahaya mata kepada mereka suami isteri, Allah dah pun berikan kepada saya seorang anak.

3. Di saat sangat ramai ibu yang menangis dan mengadu berdoa kepada Allah untuk diberikan kesihatan yang baik kepada zuriatnya, Allah dah pun berikan kepada saya anak yang aktif dan lincah.

4. Di saat ramai ibu yang menahan sendu dan air mata dengan perkembangan anaknya yang tidak normal, Allah dah pun berikan kepada saya anak yang boleh berjalan, boleh makan, boleh itu dan ini.

5. Di saat sangat ramai isteri yang menangis berendam air mata duka dengan perangai suami yang tidak bertanggungjawab, Allah berikan saya suami yang berakhlaq baik.

--------------

Kenapa saya tidak bersyukur dengan apa yang Allah bagi?

Kenapa saya perlu bersyukur?

Sebab Allah masih pinjamkan umur untuk berada di bumi Allah.

Kata Allah, tidaklah Allah menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Allah.

--------------

Pada hari raya ke-4, dalam perjalanan dari Kelantan. Kami singgah di Gerik untuk makan tengah hari, ada panggilan dari seorang sahabat saya. Saya yang sedang kelam kabut dengan Amir Solihin, suami yang menerima panggilan tersebut dan terus menghulur talifon kepada saya, tapi saya tak dengar jelas suara di hujung talian. Lalu, saya matikan talian.

Selepas masuk kereta, saya suapkan Amir Solihin makan roti dan kemudiannya tidurkan Amir Solihin. Saya terus memicit kepala suami untuk menghilangkan rasa mengantuk memandu dan terus terlupa dengan panggilan dari sahabat tadi.

Sekitar jam 5 petang, sahabat menghantar SMS memaklumkan bahawa ayahnya meninggal dunia jam 1.45 pagi, kerana itulah beliau menalifon saya. Terkedu. Lama ambil masa nak jawab mesej.

Inna lillahi wainna ilaihirajiun.

"Enti, doakan kami sekeluarga ikhlas dan redha dengan ujian ini ya."

Kullu nafsin za iqatul maut. Setiap yang bernyawa pasti mati, masa dan tempatnya sahaja menjadi rahsia Ilahi.

------------

Saya lihat facebook rakan saya menulis beberapa status yang menunjukkan beliau di hospital. Hati saya tertanya, beberapa minggu lalu beliau sms kepada saya minta petua untuk meredakan batuk anaknya. Dan, saya jadi risau kerana statusnya menunjukkan beberapa buah hospital. Saya tidak bertanya di wall facebook, terus capai talifon dan SMS.

Allahuakbar.

Tak sangka...

"Baby kena admit hospital, esok buat MRI."

Makin saya gelisah. Kenapa perlunya MRI, padahal haritu bayinya hanya batuk.

"MRI untuk saraf mata baby. Kalau Allah izinkan dapatlah baby melihat dunia. Kalau Allah tak izin, moga Allah beri pancaindera yang lain buat baby."

Subhanallah. Allahuakbar.

Bayinya berusia 55 hari (pada hari kami bermesej) dan terkejut saya dengan berita tersebut.

-----------

Maka diantara nikmat-nikmat Tuhanmu, nikmat apakah yang hendak kamu dustakan?

-----------

Sahabat-sahabatku, tabahlah... Moga Allah menggantikan nikmat yang lebih baik buat kalian.

Kata Allah,

Terlalu sedikit hamba Nya yang bersyukur.

Allahu Allah.

Astaghfirullah hal azhim.



Ummu Amir

Read more...

29 August 2012

Bubur Lambuk Punya Cerita

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, semalam cuba buat Bubur Lambuk. Resepi yang diberikan oleh caterer kepada suami sebelum mula cuti hari raya tempoh hari. Sepanjang Ramadhan lalu, Amir Solihin begitu berselera makan Bubur Bambuk sampaikan masakan ana pun dia tak mahu makan. Jadi, terpaksalah suami mintakan resepi Bubur Lambuk dari caterer (Kak Pah). Memang rasanya enak dan boleh dikatakan rasanya tak berubah dari tahun lepas sampai tahun ni. Ibu saya juga menggemari Bubur Lambuk hasil tangan Kak Pah.

Semalam, saya memulakan operasi memasak Bubur Lambuk selepas balik dari membeli barang dapur. Mengikut resepi, 1 pot beras dimasak dengan bahan-bahan yang ditulis. Selesai memasak lebih kurang 1 jam, saya pun merasa Bubur Lambuk. Subhanallah! Masin sangat, Amir Solihin buat geli-geleman bila saya suapkan Bubur Lambuk tersebut.

Barangkali udang kering yang dimasukkan terlalu banyak? Atau udang kering yang dimaksudkan Kak Pah perlu direndang beberapa jam untuk menghilangkan rasa masin?

Saya tambah secawan besar air dan menambah santan untuk mengurangkan rasa masin malangnya rasa masin tidak berkurang. Suami mengesyorkan saya memasak lagi setengah pot beras. Saya masak beras setengah pot secara asing dari Bubur Lambuk yang sudah masak, lebih kurang 1 jam selepas beras mengembang saya campurkan ke dalam Bubur Lambuk. Hasilnya, masih masin!

Amir Solihin tidak mahu menjamah. Saya juga tidak mahu memaksa kerana memang rasanya masih, rasa udang kering agak kuat. Jadinya, saya kembali memasak 1 pot beras secara berasingan dan lebih kurang 1 jam selepas beras mengembang saya mencampurkan ke dalam Bubur Lambuk. Kesemuanya dari asal hanya 1 pot beras dah jadi 2 setengah pot! Dapat satu periuk besar Bubur Lambuk :)

Selepas Solat Maghrib, suami belikan daun sup untuk dicampurkan ke dalam Bubur Lambuk saya yang sudah hilang masinnya, secukup rasa. Amir Solihin makan Bubur Lambuk secara terpaksa, dia sudah lapar siangnya kerana tidak makan seperti biasa. Aksi-aksi mengamuk juga berlaku, barangkali kerana kelaparan. Perutnya lapar, tidurnya terganggu kerana kurang makan. Al-hasilnya, dia mengamuk.

Dan, kami suami isteri mengesan Amir Solihin tidak mahu makan bubur meskipun nasinya sudah kembang, dia akan kemam (simpan dalam mulut tanpa menelan) sahaja. Dia hanya menelan semasa minum air. Jadinya, Amir Solihin hanya 'kenyang' minum air berbanding makan.

Semasa di kampung, bapa saudara yang melihat saya melenyek bubur Amir Solihin menegur. Katanya Amir Solihin sudah 1 tahun, tak perlu lagi melenyek bubur. Sudah ada 4 batang gigi. Saya diam sahaja.

Hari ini, suami menyuap Amir Solihin makan Bubur Lambuk (disebabkan sangat banyak, jadinya saya simpan di dalam freezer supaya tahan lama) tanpa melenyek bubur dan suami memberi komen. Kalau tidak dilenyek, Amir Solihin makan sangat sedikit dan mengambil tempoh masa terlalu lama untuk menghabiskan makanan. Ya, dia akan kemam sahaja.

Jadinya, kami sama-sama membuat keputusan biarlah melenyek sahaja bubur Amir Solihin asalkan dia makan. Memang dia boleh habiskan semangkuk bubur yang dilenyek (3-5 senduk) setiap kali makan, orang pun terkejut sebab dia boleh habiskan, badannya kecil sekitar 9 kg sahaja. Memang makannya banyak, tetapi metabolisma tinggi. Masakan tidak, berlari saja kerjanya :)

Kata suami... "Biarlah apa orang nak kata, yang penting Amir Solihin makan. Memang dia lambat bab makan (kanak-kanak seusia Amir Solihin dah boleh makan nasi butir) tapi pencapaian yang lain cepat. Anak kita, biarlah orang nak kata apa."

Saya pun fikir begitu. Cuma, saya kesian sebab kadang-kadang dia tengok orang makan sedap, dia tak boleh nak makan (belum pandai mengunyah). Tapi, keropok goreng dan kacang... Boleh pula Amir Solihin gigit. Itu kemusykilan yang belum terjawab lagi T_T

Kadang, saya hanya memasak bubur kosong untuk Amir Solihin, hanya nasi semata-mata dan kemudian selepas melenyek nasi saya akan lenyekkan lauk yang kami makan (eg ikan goreng, ayam masak kurma). Suami mengajar Amir Solihin makan pedas, jadinya tidak terlalu bermasalah untuk 'add on' lauk kepada Amir Solihin tapi budu dan sambal belacan belum lagi kami ajarkan.

Jiran kami yang terdekat hanya seorang saja, bila Bubur Lambuk jadi seperiuk besar... jawabnya simpan dalam freezer, tunggu ibu saya datang tolong habiskan :p

Best quote : "Kak Pah masak bubur lambuk dah berpuluh tahun, Ummi baru first try... Jangan give up ye."

He he he...


Assalamualaikum Cik Meow. Saya di sini, awak di sana.


Nak rasa sikit boleh?

Ummu Amir :)

Read more...

25 August 2012

Cerita Aidilfitri Kami

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam Syawal.

Selamat hari raya. Maaf segala khilaf dan mana-mana yang terguris rasa dengan pena yang menari. Moga Allah memberikan rahmat dan maghfirah berterusan kepada kita semua. Insha Allah.

Selamat Pengantin Baru!

Barakallahu lakuma wa baraka alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr :)

Seronok jadi pengantin Syawal, saya tak sempat jadi pengantin Syawal 2 tahun lalu kerana bonda mengisyaratkan kepada suami sekiranya mahu menikah pada tahun 2010, maka perlu disekalikan dengan majlis walimah abang saya. Jadi, hasrat suami nak jadi pengantin Syawal macam Rasulullah dan Saidatina Aisyah tidak kesampaian. Tapi, tak apa. Urusan nikah disegerakan, Allah mudahkan... Senang nak jaga hati, tak perlu nak 'sakit-sakit' dengan maksiat. Alhamdulillah.

Tahun ini, tahun ke-3 saya beraya di Kelantan (kampung suami). Tahun pertama bergelar isteri, tahun kedua bergelar isteri dan ibu, dan alhamdulillah tahun ketiga beraya masih lagi sebagai isteri dan ibu kepada anakanda Amir Solihin. Tahun lepas, saya 'dianiaya' sungguh-sungguh oleh ibu saudara sebelah suami di Kelantan yang 'memaksa' saya makan ketupat dan akhirnya anakanda Amir Solihin meraung-raung kembung perut. Memang saya sangat naif. Serik sungguh dengan peristiwa tu.

Tahun ini, Amir Solihin berusia 1 tahun 1 bulan jadinya saya tidaklah begitu teruk berpantang makan. Kuih-kuih raya juga saya makan, pulut air tangan ibu mertua saya nikmati sungguh-sungguh. Yang peliknya, kalau makan pulut air tangan ibu mertua saya tidaklah meringkuk sakit badan atau meraung menahan sakit belakang :) Saya khabarkan kepada suami, beliau tersenyum sambil berkata : "Ma baca bismiLLAH."

 
Dan masak dengan kasih sayang :)

Ya. Ibu mertua saya masak pulut sangat sedap! Saya tak boleh nafikan, pulut air tangan ibu mertua tak boleh ditandingi dengan pulut orang lain. He he he. Mungkin kerana ibu mertua saya memang 'pakar memasak pulut' :)

------


1 Syawal.

Amir Solihin pantang kepalanya 'ditutup', sangat sukar untuk memakaikan kopiah/serban. Tak sampai 3 saat dah dibuang. Pinjam kopiah Abi. Cepat-cepat Ummi snap, sebab bukan senang nak melihat Amir Solihin pakai kopiah/serban. :p

Malam raya, saya minta izin dari suami nak ikut ke masjid untuk solat Isyak kerana kebiasaannya suami akan mengimamkan solat sunat tasbih di malam raya (eid fitri dan eid adha). Tahun lepas, saya tinggalkan Amir Solihin di rumah mertua selepas menyusu, saya tinggalkan susu dan pesan pada adik ipar untuk tengok-tengokkan Amir Solihin.

Tahun ini... Subhanallah! Saya solat Isyak, Amir Solihin berlari ke sini sana. Makcik-makcik semua pandang saya dengan muka yang sangat tidak berpuas hati! Macam nak terkam saya. Agak menggerunkan dan menyeramkan, tapi saya buat selamba saja. Bila mula solat sunat tasbih, Amir Solihin berlari ke ruangan saff hadapan (saya sengaja solat di saff berlainan dengan jemaah lain bagi mengelakkan kena 'sembelih' kalau-kalau Amir Solihin kacau jemaah lain) dan terus masuk ke ruangan solat muslimin.

Allahu akbar. Rehal dan mainan yang saya letakkan di tepi saya bersolat langsung tidak dipandang Amir Solihin. Dia lebih seronok berlari dan menegur jemaah lain.

Dan... habis 2 rakaat pertama. Bayangkan semua jemaah muslimat pusing belakang dan pandang muka saya macam singa yang sedang lapar nak baham mangsa. Fehhhhh... Amir Solihin dimarahi dan saya pun tidak kurang juga kena 'sembelih' hidup-hidup dengan mereka. Serik tak terkata.

Terus ambil Amir Solihin dan bawa ke belakang, meraung juga seketika apabila 'dihentikan' nikmat berlari. Saya peluk Amir Solihin kuat-kuat dan terus pujuknya. Akhirnya setelah habis kudrat menangis, Amir Solihin tidur. Pulang dari masjid, terus saya adukan peristiwa di masjid. Suami hanya menggeleng dan saya berbincang dengan suami lalu memutuskan tidak akan pergi solat sunat hari raya pada keesokan hari.

Sobs! Tragis dan sangat mengecewakan.

Tak tahu nak cakap macammana. Kanak-kanak jadi 'musuh' di masjid dan surau. Bila dah besar, tak mesra masjid baru bising-bising memaksa.

1 Syawal, suami ada juga kias mengias kisah tragik kami dengan rakan-rakannya semasa berziarah. Dan semuanya mengatakan hal yang sama. Bahkan, isteri-isteri juga sangat gerun nak bawa anak ke masjid kerana jelingan maut dari jemaah apabila bawa anak kecil. Katanya mengganggu jemaah.

Sobs! Teringat kisah Ibnu Mas'ud yang masih kecil, semasa Rasulullah s.a.w sedang solat bersama para sahabat dengan selambanya Ibnu Mas'ud jalan depan saff sambil bawa himar. Bila sahabat adukan perkara tersebut kepada Rasulullah, Rasulullah SENYUM saja. Al-hasilnya, Ibnu Mas'ud jadi ulama' yang hebat.

Teringat kata-kata adik ipar :

"Masa kecil tak nak tidur kena paksa tidur. Bila dah besar tidur (sendiri) kena marah pula sebab tidur."

Saya cuba mengambil sudut satu lagi. Kalau begini...

... Masa kecil nak ikut ke masjid tak bagi, bila dah besar tak nak ke masjid kena marah pula.

Allahu Allah.

Saya maklum dan mafhum bahawa perempuan tidak wajib ke masjid, suami menambah lagi... Bahkan sunat pun tidak, harus sahaja. Sebaiknya solat di rumah, lebih besar pahala di sisi Allah. Tetapi Rasulullah kata, kalau perempuan nak ke masjid tak boleh halang (yang penting auratnya terjaga!). Hanya 2 solat yang Rasulullah anjurkan wanita ke masjid yakni solat sunat aidilfitri dan solat sunat aidiladha.

Tapi, nasib saya. Kononnya nak bersama solat sunat tasbih bersama suami, akhirnya serik 'disembelih' dengan makcik-makcik sehingga tidak menunaikan solat sunat aidilfitri. Allah... Tapi, saya rasa ini solusi terbaik yang saya ada pada ketika itu. Kasihan Amir Solihin dimarahi macamlah kesalahannya mencuri, atau membelasah orang sehingga dia dimarah. Allahu Rabbi.

-----

Pada hari raya ke-2, saya ke rumah sahabat saya. Kami kenal melalui blog, dan facebook :)

Ini kali pertama bertentang mata dan melihat wajah masing-masing. Sudahlah bertemu buat kali pertama, hajat yang dibawa pun tak kurang besar. Masha Allah, saya rasa dewasa dengan pengalaman ini. He he he. Sebelum ini saya rasa kanak-kanak rebina lagi :)

Pengalaman merisik sahabat saya untuk dijadikan calon isteri kepada sahabat suami. Suami sudah beberapa kali menjadi 'orang tengah' untuk sahabat berbaitul muslim tetapi saya, ini kali pertama :)

Sweetnya kerana mereka langsung tidak mengenali satu sama lain.

Selepas proses merisik, sahabat saya meminta tempoh 3 hari untuk memberi keputusan (sedangkan sebenarnya sudah beberapa bulan saya sampaikan hasrat dari pihak lelaki, dia beristikharah minta Allah beri jalan yang terbaik.) dan kebetulan hari ketiga tempoh yang diminta jatuh pada hari Jumaat, saya tersengih senyum sendirian.

Ramai dikalangan sahabiah yang minta dicarikan calon suami tetapi saya tidak kenal rapat dengan mereka, khuatir juga untuk menjadi orang tengah. Suami juga tidak melayan semua permohonan sahabat-sahabatnya yang minta dicarikan calon isteri kerana suami selalu cakap pada saya apabila kami musyawarah berkenaan baitul muslim: "Kalau Abang nak recommend seseorang, Abang akan recommend orang yang lebih baik dari Abang."

:)

Dan setiap yang suami usahakan berbaitul muslim, pasti ada sesuatu kelebihan yang suami sangat senangi tentang sahabatnya.

Ok, kahwin bukan main-main. Bimbang bias dan dipertanggungjawabkan apabila hadir masalah kelak, nauzubillah.

Tapi, yang saya suka... Sahabat saya jatuh cinta dengan bakal ibu mertuanya semasa proses ta'aruf tersebut bukan dengan bakal suaminya :)

Pada hari Jumaat, penghulu hari. Sahabat menghantar sms memaklumkan beliau menerima lamaran tersebut. Alhamdulillah. Saya maklumkan kepada suami sambil tersengih.


"Amir Solihin...! Ummi dah dewasaaaaaaa." :P


p/s: Isteri kepada sahabat suami saya cakap nak 'cop' Amir Solihin untuk anak perempuannya. Wah, 'high market' la anak bujang Ummi ni ye ramai yang nak cop. Takpe, quota ada 4 :)

Read more...

15 August 2012

Soal Jawab Berkenaan Hari Raya

Bismillahirrahmanirrahim.

Ditulis oleh Abu Amir.


Soalan :
Kenapa tanggal 1 Syawal dinamakan Hari Raya (Eid)?


Jawapan
Hari tersebut adalah hari untuk bergembira dan bersuka ria bagi seluruh umat Islam kerana Allah SWT telah melengkapkan ke atas hamba-hamba Nya dengan kegembiraan pada hari tersebut disebabkan sempurna menunaikan ibadat puasa. Dengan terlaksananya ibadat tersebut, maka mereka berhak mendapat keampunan Allah dari segala dosa.

Sebab yang lebih utama untuk bergembira dan bersuka ria pada hari tersebut kerana Allah membebaskan dan memerdekakan ramai manusia yang sepatutnya dimasukkan ke dalam neraka.


Soalan
Adakah 7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua dikira sebagai sunat ab’ad dan sesiapa yang meninggalkannya dikehendaki melakukan sunat sahwi atau sunat haiah yang tidak disunatkan supaya melakukan sujud sahwi bagi mereka yang meninggalkannya?

Jawapan
7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua bukanlah sunat ab’ad bahkan sunat haiah sahaja dan tidak dituntut melakukan sujud sahwi sekiranya mereka meninggalkannya.


Soalan
Sekiranya imam menyebutkan kurang daripada jumlah tersebut, adakah kita diharuskan menambah takbir yang kurang atau hanya mengikut imam sahaja?

Jawapan
Jika imam tidak cukup menyebut takbir, makmum hendaklah mengikutinya sahaja.


Soalan : Apakah hikmah disebalik tuntutan supaya bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua?

Jawapan
Mengikut pendapat Syeikh Munawi, setengah ilmuan berpendapat hikmah disebalik penggunaan angka ganjil dalam solat amat banyak. Antaranya, dapat dijadikan peringatan kepada sekalian hamba tentang keganjilan Tuhan yang bersifat somadiah (Yang Esa lagi Tunggal).

Angka 7 merupakan jalan masuk kepada perkara-perkara yang amat penting dalam soal berkaitan agama. Ia mengingatkan kita kepada perlakuan haji yang mana tawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan, saie juga 7 kali, melontar juga dengan 7 biji anak batu pada setiap jamrah. Ia juga mengingatkan tentang kekuasaan Allah yang mencipta segala kewujudan dengan kuasanya sendiri tanpa bantuan orang lain. Contohnya, 7 petala langit, 7 petala bumi yang diciptakan dalam tempoh 7 hari termasuk penciptaan Adam A.S pada hari ke-7.

Manakala angka 5 melibatkan 5 rukun Islam, 5 kali solat fardhu.


Soalan
Apakah hikmah di sebalik perintah supaya memakai pakaian putih pada hari Jumaat, sedangkan pada Hari Raya digalakkan memakai pakaian yang cantik?

Jawapan
Antara hikmahnya ialah pada Hari Raya kita digalakkan menzahirkan nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepada hamba-hambaNya manakala pada hari Jumaat kita diperintahkan supaya menzahirkan perasaan tawadhuk dan merendah diri kepada Tuhan. Bagi orang yang memiliki hanya sepasang pakaian sahaja, maka hendaklah dia membersihkan pakaiannya sebersih-bersihnya untuk dipakai ke masjid pada hari Jumaat atau Hari Raya. Jika Hari Raya jatuh pada Hari Jumaat, maka dia dikehendaki supaya memakai pakaian yang terbaik daripada pakaiannya yang berwarna putih.


Soalan
Manakah yang patut kita dahulukan selepas solat fardhu mahupun solat sunat antara zikir-zikir selepas solat dengan takbir Hari Raya?

Jawapan
Hendaklah didahulukan takbir muqayyat (takbir raya yang mengiringi solat fardhu) daripada zikir selepas solat kerana itulah waktu bagi takbir Hari Raya dan tidak boleh diulang pada waktu lain.


Soalan
Apabila menjelang Hari Raya, masyarakat Arab melafazkan ‘taqabballahu minna wa minkum’ yang bermaksud ‘Semoga Allah menerima segala amalan yang kita lakukan’, manakala masyarakat Melayu mengucapkan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin’. Adakah amalan ini disunatkan atau dianggap bida’ah atau harus?

Jawapan
Mengikut pendapat Syeikh Hafiz Munziri dan Syeikh Daud Al-Fathoni, hukumnya adalah harus semata-mata. Tidak disunatkan dan tidak pula dihukum sebagai bida’ah kerana seorang sahabat iaitu Saidina Tholhah pernah mengucapkan ‘taqabballahu minna wa minkum’ kepada Saidini Ka’ab di hadapan Rasulullah SAW sempena kedatangan Hari Raya dan Baginda Rasulullah SAW tidak melarangnya.

Mengikut pendapat Syeikh Barmawi, ucapan tahniah sempena Hari Raya diharuskan bahkan lebih baik jika disertakan dengan berjabat tangan. Bagi mereka yang ditujukan ucapan tersebut, digalakkan menjawab dengan ucapan ‘kullu ‘am wa antum bikhair’.


Rujukan : Kitab Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il.


... wallahua'lam.

Read more...

13 August 2012

Dedikasi Istimewa

Bismillahirrahmanirrahim.


Quote : Suatu ketika, doktor kata akak bakal mati 3 bulan dari tarikh perjumpaan dengan doktor. Namun setelah 10 tahun, akak masih di bumi Allah. Suatu ketika,doktor kata akak bakal lumpuh tetapi setelah 4 tahun dari tarikh doktor mengeluarkan kata-kata tersebut, akak masih mampu berjalan dan kadang berlari anak. Bukan doktor penentu kehidupan kita,mereka hanya menafsir sudut klinikal sebaliknya Allah lah yang memegang carta perjalanan hidup kita. 


Usah jemu meminta dengan Allah.

Usah jemu bercerita dengan Allah.

Allah sayang pada adik, dia mahu adik sentiasa mengingatinya dalam susah mahupun senang.

Akak yakin adik lebih tabah dan sabar dari apa yang akak sangkakan, akak sekadar ingin meluah bicara agar adik terus yakin bahawa Allah sayangkan adik =)

Moga Allah berikan kamu hati dan iman yang SIHAT, dengan hati dan iman yang SIHAT, kamu tidak akan peduli meskipun jasadmu menanggung beban yang berat.


^_^

Jangan sedih.

Awak, saya, dia = kita semua ada ALLAH! :)

Read more...

Bersyukur Apa Yang Ada

Bismillahirrahmanirrahim.

Qanaah.

Sifat mahmudah. Sifat berpuas hati dengan apa yang Allah berikan, berpuas hati dengan pemberian Allah. Beberapa hari lalu saya menemani suami ke majlis berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Majlis berbuka yang di tanggung oleh pihak tertentu, kami menghadiri bukan sekadar memenuhi jemputan tetapi seakan satu kemestian untuk suami menghadirinya, saya sekadar mengikut.

Saya pernah menjejak kaki ke hotel tersebut, mengikuti majlis penerimaan anugerah bonda tercinta beberapa tahun lalu (sebelum berkahwin). Tetapi tatarias dan susunan ruang lobi hotel masih sama. Dan, selepas menjejak kaki melepasi tangga elektronik, kami di sapa pasangan lelaki dan wanita yang menyambut kehadiran kami.

Kami antara tetamu yang terawal tiba. Sementara menunggu tetamu lain, saya membawa Amir Solihin berjalan di sekitar ruang lobi hotel, melayani anakanda yang suka berlari. Saya melepaskannya, membiarkan dia mengerahkan kudrat berlari ke sana ke sini. Bila penat tak terkejar, saya ambil dan dukungnya. Tetamu-tetamu lain di tegur, bila saya minta Amir Solihin bersalam, dia bersalam. Habis semua orang duduk bersantai mahu ditegur, akhirnya saya membawa Amir Solihin jauh dari ruangan lobi. Bimbang kehadirannya kurang disenangi.

Semasa di dewan (tempat iftar), seorang kakak yang saya baru berkenalan bertanya dengan soalan yang buatkan saya tersentak. Namun, saya selamba dan cuba berselamba.

"Anak Insyirah ni hyper active ke?"

"Tak la, dia suka berlari."

Hyper active. Subhanallah. Biasalah, budak lelaki baru 'dapat kaki' memang selalu menggunakan apa yang dia baru 'dapat'. Masa baru boleh meniarap, terus meniarap sehinggakan tidur pun mesti meniarap. Bila boleh merangkak, kerjanya merangkak sahaja sehinggakan bangun tidur belum sempat apa-apa terus merangkak. Sekarang dah boleh berlari, memang terkejar sini sama kami suami isteri dibuatnya.

Bila saya mengadu tak terkejar Amir Solihin, suami sempat 'menempelak' sifat saya yang kurang sabar.

"Bersyukur lah Ummi. Betapa ramainya orang yang ada anak tetapi tak boleh bergerak, tak boleh berjalan tetapi Amir Solihin boleh bergerak, boleh berjalan dan belari."

Astaghfirullah hal azhim.

-----


Semasa makan, memanglah agak kelam kabut nak melayani anak dan tak terlayan perut yang berbunyi :) Sahabat yang datang membawa dua anak, jauhlah lebih kelam kabut berbanding saya yang hanya seorang anak. Dia pun tak sempat nak melayani perut kerana sibuk melayani anak, mengejar dan mengutip anak :) Ini situasi biasa bagi ibu-ibu yang ada anak kecil. Nampak begitu kelam kabut.

"Senang la tak bawa anak, saya tak sempat buat apa sibuk dengan anak-anak."

Seorang ibu bersuara kepada seorang wanita di hadapannya. Wanita tersebut hanya memandang dan tersenyum melihat keletah anak-anak yang sedang berlari ke sana sini.

Saya masih sedang makan sambil menyuap Amir Solihin.

Dan, saya tak tahu nak kata apa bila si ibu bangun dari kerusinya dan saya tak mampu memekakkan telinga dan mendengar kesemua butir bicara wanita yang dikatakan senang kerana tidak bawa anak, dia berbual dengan wanita yang menyambut kedatangan kami. Dan butir bicaranya membuatkan saya... Allahu...

"Dah cuba, buat semua ujian doktor kata normal. Tak ada rezeki."

"Tak cuba makan hormon?"

"Makan juga yang doktor bagi, ubat tradisional pun cuba juga. Tapi belum ada rezeki."

"Mengurut tak?"

"Ada."

"Tak apa, berdoa la banyak-banyak. Sekarang bulan Ramadhan, moga Allah makbulkan."

Allahu Rabbi. Bukan dia 'tak bawa' anaknya tetapi Allah belum lagi berikan zuriat kepada dia dan suaminya. Dia hanya melihat kami masing-masing kelam kabut melayani anak dengan senyuman, dia hanya memandang kami yang semuanya huru hara mengejar anak yang berlari, dia cuba menghulurkan bantuan apa yang terdaya tetapi seakan dia sedang cuba menahan emosinya sendiri. Rupanya, dia menanggung beban perasaan melihat kami.

Allahu Rabbi. Saya yang tidak berniat langsung memasang telinga ini, rasa bersalah sungguh. Kalaulah saya tahu, sudah saya serahkan Amir Solihin kepadanya, biar terubat hatinya dan bolehlah saya menikmati aiskrim. Gurlp. Ada sandiwara sedikit di situ, hanya 'nakal' mengusik.

Saya mengutip 'ibrah yang besar walaupun hanya seketika.

Kadang, kita rasa dah begitu kelam kabut dan huru hara menguruskan seorang anak, orang lain selamba saja boleh uruskan 10 anak sambil mempunyai kerjaya malahan profesional lagi.

Kadang, kita rasa best sangat tengok pasangan suami isteri jalan berpimpin tangan tanpa anak-anak yang mengganggu ketenangan. Sebaliknya, yang kita tak tahu betapa hati mereka sangat merindukan tangis dan gelak seorang bayi.

Kadang, kita rasa best sangat tengok orang ada anak tetapi yang kita tak tahu mereka berhempas pulas untuk mencari rezeki buat anak-anak.

Kadang, kita melihat pasangan suami isteri terasa alangkah indahnya boleh menikah awal-awal tanpa kita tahu mereka terkadang mencemburui kehidupan bujang yang boleh ada ruang privasi sendiri.

Kita melihat 'bahagia' pada orang lain sehinggakan kita lupa sebenarnya kita yang tidak nampak kebahagiaan dalam kehidupan sendiri. Kita asyik melihat orang sehingga terlupa melihat dan merenung diri sendiri.

Semasa duduk-duduk menanti masa untuk belayar ke alam tidur, saya bertanya suami.

"Abi pernah tak rasa menyesal sebab kahwin dengan Ummi?"

"Tak."

Semasa duduk di dalam kereta membelah jalan sebelum tiba ke destinasi, saya bertanya suami.

"Pernah tak menyesal sebab kahwin dengan Ummi?"

"Tak."

:)

Bersyukur dengan apa yang Allah beri.

[Kisah Touch n Go]

Sahabat suami minta dibelikan kad Touch 'n' Go. Selepas membeli, suami memberi pilihan kepada sahabatnya. Kad lama suami yang sudah tercarik sedikit dengan nilai RM 42 di dalamnya tetapi hanya bayar RM 40 kepada suami ataupun kad baru yang berisi RM 20 tetapi perlu membayar RM 30 (harga ini yang dibayar semasa pembelian kad baru).

Sahabatnya terus menjawab mahu kad suami yang tercarik sedikit kerana isian di dalamnya lebih banyak dan hanya perlu membayar sedikit dari jumlah isiannya berbanding kad baru yang cantik tetapi perlu membayar lebih.

Suami terus memberi tazkirah kepada saya selepas bercerita.

"Yang penting di dalamnya, rupa luar tak cantik pun tak apa. Macam tu juga nak cari isteri (relate dengan sahabatnya yang merupakan seorang lelaki), biar tak cantik asalkan solehah!"

Saya tersenyum. Suami menyambung...

"Tapi, bila dah kahwin baru la rasa... 'alamak, lupa nak doa kat Allah minta yang cantik dan solehah'. He he he!"

Saya pula ambil kesempatan mengenakan suami.

"Untung lah Abi, dapat isteri yang cantik dan solehah!"

"Alhamdulillah ya Allah."

Lalu sama-sama ketawa besar. Amir Solihin yang sedang main terus menerjah kami, turut ketawa dengan tiba-tiba.

Masha Allah.

Allahuakbar.

Qanaah. Merasa cukup dengan apa yang Allah bagi.

Alhamdulillah.

Astaghfirullah...


Ummu Amir

Read more...

07 August 2012

Menyubur Rasa C.I.N.T.A

Bismillahirrahmanirrahim.

Di saat melihat, mendengar dan membaca kisah muda-mudi mengenai cinta, saya membiarkan sahaja. Bila yang muda-muda seronok dan tak sabar nak menikah, asyik bercerita jejaka idaman, imam impian dan angan-angan mahligai rumah tangga. Saya lalu jadi resah, kalau dirasakan perkahwinan untuk suka-suka sebab orang lain nampak macam best je berkahwin, eloklah berhenti sekejap dan berfikir dalam-dalam.

Saya terkejut apabila adik perempuan yang berusia 16 tahun bercerita kawannya disekolah asyik berangan dan bertanya; "Bilalah aku nak kahwin ye?" Sampaikan adik perempuan saya ni cakap nak bawa rakannya tadi kepada saya; "Malas dah cakap, penat. Macam nak bawa dia jumpa, suruh sekolahkan je. Biar dia dengar tazkirah."

Subhanallah!

Kadang-kadang, pelbagai ayat bunga yang dinukilkan di dalam facebook mengenai bakal imam atau pemimpin yang dibayangkan sehingga terkadang saya melihat fenomena ini sebagai satu jenaka untuk saya gelak santai di waktu senggang. Astaghfirullah hal azhim.

Suami yang soleh dan ideal tu bukanlah seorang lelaki yang pakai jubah dan serban, janggut panjang meleret :) Suami soleh dan ideal adalah suami yang pandai melihat suasana rumahtangga dan menjaga 'suhu' di dalam perkahwinan. Ramai lelaki yang zahirnya kelihatan begitu soleh dan dirasakan sungguh ideal untuk dijadikan sebagai suami, hakikatnya tidak semua begitu. Soleh itu neracanya iman dan taqwa, ideal itu parameternya kematangan menilai sisi kehidupan.

Kalau anak menangis di waktu malam dan isteri sedang tidur kepenatan, suami yang soleh tersebut akan bangun dan mendukung anaknya. Kalau anaknya meminum susu formula, maka akan dibancuh susu buat anaknya dan kemudian memberi anaknya minum susu tanpa dia mengejutkan isteri. Kerana, dia bukan sahaja suami tetapi seorang bapa yang selalu berusaha untuk berbuat baik kepada keluarga.

Nah! Kalau ada sesiapa yang bersungguh-sungguh nak menikah... Janjilah untuk buat sepertimana yang adik ini buat. Dia berusia 21 tahun, mempunyai seorang anak lelaki berusia 1 tahun setengah yang sudah menghafal juzu' amma selain dia seorang pelajar perubatan tahun 4!

Allah. Dia menikah di usia muda tetapi bukan dengan angan-angan, impian menggunung, hajat meleret mahupun melihat perkahwinan sesuatu yang 'aku pun nak kahwin sebab tengok orang kahwin!' sebaliknya dia serius dalam rumahtangga dan menjadikan rumahtangga sebagai wasilah untuk menabur bakti, menuai cinta, memperkemas kasih, mengutuhkan iman dan taqwa kepada Allah.

Saya sendiri, saaaangat malu dengan dia.

Tapi, nak buat macammana dah tak boleh reverse lagi. Sudah menapak di alam rumahtangga, tinggal berjuang sajalah jawabnya!

Kalau seronok fikir nak kahwin muda, sila seronok berfikir metodologi untuk mentarbiyah anak pula :)

------------------------

Saya berkenalan dengan Kak Naseem, kisahnya ada saya catat DI SINI. Alhamdulillah, saya sangat terkesan dengan beberapa perkongsian ilmu dari beliau. Meskipun baru berkenalan tetapi rasa sangat selesa dan senang berbual dengannya. Saya tertarik dengan kisahnya yang saya baca di dalam facebook lalu saya terus berkenalan. Sungguh, dia menerima pelawaan perkenalan dari saya dan tidak menunggu lama untuk berkongsi ilmu mengenai tarbiyatul aulad (pendidikan anak) kepada saya.

Masha Allah.

Saya rasakan facebook lebih bermanfaat apabila berkenalan dengan mereka yang menjadikan ilmu, iman dan taqwa sebagai pemangkin dalam sesebuah perhubungan. Daripada berjenaka karut-marut, bercerita yang tidak-tidak, lebih baik saya manfaatkan peluang untuk menadah ilmu dari mereka yang berpengalaman.

Saya tonton Qari Junior di TV3 (meskipun rata-rata memboikot saluran ini), kerana saya melihat bukan semua kena boikot. Remote control di tangan saya, maka saya sendiri perlu bijak mengendali remote tersebut bukannya saya di kawal oleh televisyen. Apa yang saya lihat, hampir kesemua peserta Qari Junior tersebut ditarbiyyah dalam lingkungan keluarga yang mesra al-Quran. Waktu tidurnya diperdengarkan al-Quran, waktu senggangnya membaca al-Quran, dan al-Quran bukan hanya dibaca tetapi dihafaz meskipun mereka bukan di sekolah tahfiz.

Allahuakbar. Dan yang paling saya terkesan ialah, rata-rata mereka mendapat sokongan dari ibubapa. Pendidikan awal di rumah untuk menanam rasa minat dan cinta kepada al-Quran. Bukan sahaja untuk membaca tetapi menghafal dan mudah-mudahan menghayati dan mengamalkan al-Quran.

-------------------

Para ibu bapa harus ikhlas mendidik anak anak jadi pencen kubur kita yang akan mendoakan kita bila kita di alam barzakh. Jangan sekali niat mendidik anak untuk membuat kita bangga. Bayangkan anak-anak kita bersama kita menuju syurga di padang mahsyar. Kalau ini tujuan kita lihat betapa ia akan mengubah cara kita fikir, rasa dan bertindak. Jangan sekali mencari penghargaan manusia dalam mendidik anak. Hanya redha Allah. Ini akan mengubah bahasa di rumah kita. Perkataaan "apa orang kata" akan hilang dan timbul "apa Allah lihat dan apa Nabi Muhammad saw akan buat" dalam situasi ini. ~ Prof Dr Muhaya

Allahuakbar.

-------------------

(Mesej dari saya buat Kak Naseem)

Assalamualaikum buat Kak Naseem.

MashaAllah meskipun baru je kenal dan mendengar pengalaman Kak Naseem, rasa macam dah lama kenal. Masha Allah, terima kasih banyak-banyak Kak Naseem atas semua ilmu. Moga Kak Naseem terus sudi berkongsi dengan Insyirah.

Alhamdulillah, suami memang suruh Insyirah duduk rumah sahaja. Tak bagi kerja sebab nak suruh fokus kepada tarbiyah anak. Cuma, insyirah nak tanyakan... bila Insyirah recite Quran kan, nak cuba ajak anak dengar sekali tetapi selalunya dia akan kacau Quran. Tutup Quran, selak-selak halaman yang lain. Anak insyirah alhamdulillah aktif, masha Allah... tapi kadang-kadang dia macam nakkan perhatian Insyirah dan suami kalau kami recite Quran. Sampaikan suami kalau nak menghafaz Quran, gunakan hp sebagai bantuan. Kalau pegang Quran, anak akan ambil. Kalau sekadar pegang dan selak tak apa, tapi bimbang dia akan campak Quran, nauzubillah.

Insyirah sangat bimbang... nak dekatkan sangat anak dan biasakan dia dengan Quran tapi bila kami recite Quran together, dia akan kacau. Kalau letak atas riba pun sekejap je, kemudian dia nak duduk bawah. Main-main dengan Quran. Jadinya, yang kami mampu... Insyirah recite Quran dan suami hanya mendengar bacaan Insyirah, secara tak langsung suami akan mengulang hafazannya sambil mencelah-celah mengajar tafsir Quran pada Insyirah sambil suami melayani anak.

Insyirah perasan, sejak akhir-akhir ni kalau kami sibuk buat sesuatu, dia akan tarik perhatian. pura-pura menangis, kalau tak layan, dia gosok-gosok mata kononnya menangis. Allahu Rabbi, macammana nak buat ye kak?

Antara yang Insyirah pesan dengan suami, kami tak nak bercakap dengan bahasa yang PELAT sebab kami tak nak nanti menyusahkan anak kami belajar membaca (mengeja) dan membaca al-Quran, kami tak mahu 'menyokong' anak-anak bercakap pelat sebab nanti menyusahkan anak nak belajar mengeja dan membaca al-Quran, susah nak sebut makhraj dengan betul.

Tapi, bila di luar lingkungan dan kawalan kami (berada bersama orang lain) seolah-olah semuanya 'memberi sokongan' anak bercakap pelat. Di rumah, kami tidak bercakap pelat dengan anak. Kadang-kadang rasa cemburu juga melihat orang boleh tarbiyyah anak ikut acuan sendiri berlandaskan syariat tanpa campur tangan pihak lain, kan? Tapi inilah cabaran.

Bila fikir semula, nanti anak dah besar pun akan lalui cabaran-cabaran lain, jadi masa dia kecil bila dia tengok yang tak bagus, kita explain kepada dia supaya dia tahu kenapa itu tak bagus ini tak elok, tidaklah dia terkena kejutan budaya bila besar tengok macam-macam perkara.

Suami agak strict, tak bagi anak tengok TV melainkan kartun. Hehehe. Suami kata kartun tak ada maksiat. Sekarang pun banyak pilihan kartun yang islamik, alhamdulillah.

Jazakillah atas perkongsian Kak Naseem.

-------------------

(Replied from Adik Angkat Kak Naseem, anaknya Aqeef berusia 1 tahun setengah dan sudah menghafal juzu' amma. Masha Allah. Jom kita baca bagaimana dia mentarbiyyah anaknya di bumi London, dia juga seorang pelajar perubatan tahun 4 yang hafizah al-Quran.)

Assalamualaikum saudari Insyirah.

Semalam saya ada berborak dengan Kak Naseem. Kak Naseem sibuk sikit minggu ni, dia ada persidangan neuro di Austria, ditambah anak sulungnya sudah dihantar ke Yaman, mengaji di sana, dan anak-anak perempuannya sudah diambil datuk nenek mereka pulang ke Kelantan.

Kak Naseem kata dia serabut sikit minggu sampai raya sebab anak-anak jauh daripadanya. Kami ada berbual tentang anak Insyirah, Amir. Kata Kak Naseem Amir sangat minat dgn alquran yg dibaca umminya ye. Kak Naseem minta saya kongsi macam mana nak restrain anak yang sangat minat dengan al quran yang dibaca oleh orang tuanya.

Basically, anak saya aqeef dulupun macam itu. Sangatlah minat dgn al quran yang saya pegang, jadi apa yang saya buat adalah

1. Beri dia buku berciri al quran yang berwarna, contohnya saya beri dia buku ni :




Ada buku quran stories for kids, my arabic alphabet book. Buku-buku ni saya beli di London, tapi kalau di Malaysia boleh beli daripada kakchik niza. Kakak saya beli daripada kakchik.

2. Dah bagi buku anak duk makan?

Ok anak yang dalam lingkungan usia 6 bulan-setahun setengah memang akan makan buku atau apa-apa yang dia jumpa. Untuk elak anak makan buku, caranya secara psikologi, perhati apa yg anak tu suka main/toys yang dia paling suka.

Pilih 1 masa yang sesuai, bagi buku tu pada tangannya. Kemudian bagi toys. Tunggu sampai dia nak makan buku tu, dan ambik toys tu daripada tangan dia. Cakap pada dia "kalau adik/amir/abang nak toys ni, tak boleh bite buku".

Anak saya setelah 3-4 kali cuba cara ni sampai sekrang tak gigit buku dah.


3. Anak suka melompat atas riba time ibu recite quran untuk ambil selak quran?

Anak saya dulu pun macam ini bila dia dah mobile. Apa yang saya lakukan adalah saya belikan playpan masa dia dalam umur 9 bulan kot. Bila nak baca quran, kami masukkan dia dalam tu. Playpan tu tak jauh daripada kami pun, sebelah je. Time solat kami tak masukkan sebab nak dia solat sekali. Time baca quran kami masukkan sebab dia suka nak quran tu. Dia tak akan rasa terasing sebab dia akan berdiri betul-betul sebelah kita sambil berpaut dekat dinding playpen tu. Dalam playpen tu letak bukunya. Bukakan buku tu dan tunjuk, beritahu dia isinya sama.

4. Mengajar anak mengenal huruf al quran.

Saya ajar anak saya mengenal huruf al quran betul-betul masa dia umur 10 bulan macam tu. Sebab dia dah start jadi verbally masa tu, dah boleh sebut mum, milk. Jadi saya ajar secara berperingkat satu hari satu huruf. Alhamdulillah dalam 2 bulan dia kenal semua huruf al quran. Selain tunjuk di buku, saya juga belikan whiteboard dan marker untuk bantu tangannya menulis dan melukis, kadang-kadang kami lukis benda karut-karut je pun supaya dia tak bosan belajar.

5. Cakap pelat.

Saya tak cakap pelat dengan anak saya tapi ada beberapa perkataan yang kami suami isteri pilih untuk pelikkan sedikit bunyinya supaya anak lebih fun. Contohnya kalau tengah main-main, gurau dengan anak, saya panggil dia temanja mommy, untuk perkataan manja. Tebucuk mommy, temomei. Tapi cuma perkataan ni sahaja. Perkataan lain tak boleh biasakan.

6. Komunikasi.

Terangkan setiap apa yang berlaku, walaupun orang kata budak kecik bukan faham pun. Kita tak tahu dia faham atau tak tapi komunikasi itu penting. Kadang-kadang saya jalan-jalan dengan anak saya, ada leaf gugur, saya akan kutip leaf tu, terangkan dekat dia ini leaf apa, kenapa leaf tu tak lekat dekat pokok. Memang ada orang gelakkan termasuk adik beradik saya sendiri, tapi dia anak kita. Tak ada orang lebih tahu perihal anaknya sendiri daripada seorang ibu dan Allah.

Lupa saya nak beritahu formula saya create dengan suami saya. 1 malam 1 kisah dari Al Quran.

Setiap malam, saya atau suami akan take turn bacakan kisah dari Al Quran atau kisah-kisah pahlawan Islam macam sultan muhammed al fateh, kisah-kisah ulama pada anak saya. Kami mula dulu masa dia umur sekitar 3 bulan, tak pernah miss setiap malam.

Ini untuk memupuk rasa cinta dia pada pejuang-pejuang islam, pada nabi-nabi, pada sejarah islam. Sekarang alhamdulillah, bila dia buat perangai contohnya baling barang atau nak sesuatu yang dia tak boleh main, saya boleh 'threat' dia by saying "Aqeef nak dengar halimah as saadiah gives milk to prophet tak?" dia akan terus berhenti buat perangai dan ambil buku dia.

Selain tu kadang-kadang bila kami bercerita, saya sediakan barang-barang sokongan, contohnya cerita tentang salahudin al ayubi, saya sediakan toys kuda kecik untuk translate cerita tu pada motion, gerak-gerakkan kuda tu, cerita tentang halimah as saadiah saya tunjukkan dia milk dia, banyak kita boleh buat kalau cerita tu bukan dibaca dari dalam buku yang bergambar. Tapi buku yang bergambar sebaiknya sebab kita boleh tunjuk pada dia gambar-gambar.

---------------------

(Replied from Kak Naseem)

Assalamualaikum Insyirah. 

Maafkan kak Naseem lambat balas, kak naseem sibuk sedikit ada conference di Austria. Ditambah dengan urusan anak-anak. Anak sulung kak, Adam ke Yaman, mengaji Al Quran di sana. Beria-ia benar dia nak ke sana. Fatma dan Zainab pula sudah pulang ke Kelantan dengan ibu bapa kak. Kak pula sibuk kerja, jarang dapat buka laptop. 

Kak ada cerita dengan Farah tentang Amir Solihin melalui telefon. Minta pendapat dia. Maklumlah anak bongsu kak sudah nak masuk 4 tahun, dah lama tinggalkan arena pendidikan anak kecil post baby ni. Farah kata memang lazim anak sebesar Amir Solihin tu sangat minat dengan apa yang dipegang ibu bapanya. 

Insyirah, kak Naseem rasa Insyirah kena tackle minat Amir Solihin. Perlahan-lahan cakap padanya yang Al Quran tu kitab suci, kita tak boleh main sebarang. Baru ni kak Naseem jumpa doktor paediatrics yang berconference sama dengan kak Naseem di Austria, dia kata budak seawal dalam perut sebenarnya dah faham apa yang kita katakan terutamanya ibunya sendiri. Insyirah kena cuba-cuba cakap pada Amir Solihin. Farah pula, dia gunakan cara tukar Al Quran dengan buku lain untuk diberi pada anaknya. Buku yang bermanfaat, semoga dengan belek-belek tengok buku anak pun boleh belajar. 

Tentang bercakap pelat Insyirah, Kak Naseem rasa Insyirah kena beritahu pada orang lain jangan bercakap pelat dengan anak. Macam Kak Naseem, kak Naseem beritahu pada adik-adik kak Naseem jangan mencarut depan anak-anak Kak Naseem. Sebab anak-anak Kak Naseem tak berapa fasih cakap Melayu, mereka cakap Germany, bila balik kampung di kelantan tu, kalau ada yang bercakap tak elok di hadapannya, mudah sahaja mereka mengikut. Tapi kak Naseem pun memang jaga percakapan depan anak-anak. Tak mahu mereka cakap benda bukan-bukan. 

Tapi kebanyakan masa Insyirah bersama Amir Solihinkan, jadi Insyirah boleh kawal perkataan-perkataan yang Amir Solihin belajar. Alangkah untung jadi suri rumah macam Insyirah. Kalau Kak Naseem boleh, Kak Naseem pun nak jadi suri rumah sepenuh masa duduk rumah untuk didik anak-anak. Kerja doktor ni penat :)

Insyirah, pesan kak Naseem, Insyirah gunakanlah masa sebaiknya untuk mendidik Amir Solihin. Selalulah bercakap dengan Amir Solihin, terangkan perkara-perkara yang terjadi walaupun Insyirah ragu-ragu samada dia faham atau tidak. Insya Allah dia faham. Farah pun buat macam itu. Dia terangkan pada anaknya apa yang berlaku. Dan Kak Naseem nampak anaknya faham. Anaknya dan anak Insyirah tak jauh beza usiakan. Insya Allah Amir Solihin mudah memahami setiap apa yang diajarkan kepadanya.

-----------------

Alhamdulillah :)

Saya tak tahu nak cakap apa. Allah bagi 2 orang doktor muslimah yang insha Allah solehah untuk belajar dari mereka, rugi kalau sia-siakan. Allah bagi anak comel macam Amir Solihin, menyesal kalau tak didik sebaiknya.

Duhai anakku sayang, dengarlah ayat-ayat cinta dari Rabb mu. Ingin sekali mewarnai dunia kecilmu dengan kalam-kalam cinta Tuhan agar engkau tumbuh membesar sebagai pencinta Ilahi.

Dah beberapa hari saya train Amir Solihin (belum menggunakan kaedah di atas) sebaliknya saya cuba kaedah sendiri (yang saya buat sebelum dapat mesej-mesej dari doktor muslimah solehah ini).

Setiap kali nak tidurkan Amir Solihin, saya akan recite Quran kepadanya. Kalau suami ada, beliau akan mendengar dan menegur serta memperbaiki bacaan saya. Alhamdulillah apa yang saya lihat, Amir Solihin sudah 'mengalah' dengan ayat-ayat al-Quran.

----------------

Nuzul Quran, semua sibuk nak khatam Quran tetapi Dr Danial kata jadilah al-faham! Faham apa yang dibaca, tadabbur maknanya dan hayati maksudnya. Bila tahu, faham dan amalkan insha Allah al-Quran akan mencorak peribadi dan akhlaq kita.

Bila Saidatina Aisyah di tanya bagaimanakah akhlaq Rasulullah? Aisyah r.a. menjawab, akhlaq Rasulullah adalah al-Quran :)

Suami cakap, pahala baca Quran lain. Pahala faham Quran, lain. Untung orang yang baca + faham. Tetapi kalau kita baca Quran, tambah satu step iaitu faham, kan seronok :)

Hai I.L.M.U, saya nak jadi bestfriend awak!

-----------------

Nota 1 : Kita boleh cuba metadologi yang disarankan, tetapi kita tak boleh mengharap anak kita macam anak orang. Setiap anak hatta yang lahir dari perut yang sama, bapa yang sama pun tetap tidak sama dalam pencapaian dan tumbesaran apatah lagi anak orang lain yang keluar dari perut berbeza dan ayah yang lain.

Jangan banding-bandingkan anak kita dengan anak orang. Hargai anak dan didiklah anak untuk redha Allah bukannya apa yang manusia akan kata tetapi apa yang Allah akan nilai.

Nota 2 : Tak salah kahwin awal, yang salahnya sibuk nak kahwin tapi tidak ada persiapan. Hanya fokus kepada baju kahwin, hantaran, tempat bersanding, cadar pengantin, make-up artist (mak andam), jurugambar, itu ini begitu begini... Tak ada pula yang sibuk membuat persiapan ilmu dalam rumahtangga. Ingat kahwin macam try and error agaknya.

Nota 3 : Bila hati cinta kepada al-Quran, kita kenal siapa Pencipta kita, kita kenal siapa pembawa risalah rahmatan lil 'alamin, kita tahu tujuan hidup kita. Bila kita menganggap dunia adalah persiapan untuk bersenang lenang di akhirat, maka kita akan bersungguh-sungguh tegakkan syariat Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah (bukan sahaja dari segi pakaian tetapi cara hidup dan tatacara kehidupan Rasulullah).


Wallahua'lam.

Read more...

06 August 2012

Hati Yang Paling Indah

Bismillahirrahmanirrahim.

Kata pepatah "luka di jari, nampak darahnya. Duka di hati, tak siapa nampak,"

Saya kata. Luka di jari, basuh darahnya kemudian sapukan antiseptik dan balut supaya darah tidak menitis. Duka di hati, mengadu pada Allah. Dikala luka di jari ada ubatnya, duka di hati pun ada ubatnya. Ambil wuduk dan solat sunat 2 rakaat. Rasulullah SAW apabila ditimpa sesuatu, maka baginda akan solat. Inilah ubat mujarab mengubati duka. Jangan sampai menanah dendam dan sakit hati, takut membarah memakan diri :)


---------------

Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah kota dan mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain di sekitarnya.

Tersebar bicara kekaguman orang ramai. Sememangnya hati pemuda itu, tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikit pun. Permukaannya sempurna. Warnanya juga sedar dan menyerlah pesona seorang anak muda.

Pemuda tampan itu mulai berasa bangga dengan pujian yang diterima. Sorakannya semakin kuat meuar-uarkan betapa indahnya sekeping hati yang dimilikinya.

Tiba-tiba, di tengah keriuhan itu muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda tampan. Lagaknya, seolah-olah dia mahu membicarakan sesuatu.

"Wahai anak muda, mengapa kulihat hatimu begitu hampir tidak seindah hatiku?" Orang tua tersebut bertanya dalam nada suara yang agak lemah tetapi penuh keyakinan. Orang ramai dan si pemuda mulai berkeliling mengerumuni orang tua.

Mereka mendengar degup yang kuat tercetus dari hatinya, tetapi hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil dan potongan lain yang dimasukkan ke dalamnya. Di beberapa tempat, terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.

Melihat itu, orang ramai saling berpandangan.

"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mererka. Sementara itu, pemuda tampan tertawa.


"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua," katanya.

"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata," lanjutnya lagi.

"Ya, memang benar," tukas si tua penuh kesabaran.

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarkannya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaan. Bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.

Namun, aku tetap menghargainya. Kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami." Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda tampan terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku tetapi orang yang ku berikan potongan hatiku itu tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia tetap akan terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompang-lompang kosong yang sekian lama ku tunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati?" Si tua mengakiri kata-katanya.

Pemuda tampan terus berdiam. Dia menundukkan kepada dengan air mata mengalir di pipinya. Dia menghampiri lelaki tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda dan cantik itu dan merobek keluar satu potongan darinya. Dia menawarkan potongan tersebut kepada lelaki tua dengan tangan gementar.

Lelaki tua itu menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya dan kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya dan menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu.

Sungguhpun ia sesuai, ia tidak sempurna kerana ada beberapa kesan patah. Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah daripada sebelumnya. Lantaran cinta dari hati orang tua itu, kini mengalir kepada hatinya. Mereka bergandingan dan berhalan bersama meninggalkan orang ramai yang terus terpaku dengan peristiwa menginsafkan.

Dipetik dari buku Cinta 3 Rasa tulisan Noraslina Jusin.

--------------------

Saya sebelum membaca cerita ini, sedang mengusap air mata yang mengalir di pipi. Seusai pembacaan kisah ini, saya mengelus lembut wajah mungil anakanda dan mengusap sekali lagi air mata. Terkesan dengan kata-kata adik perempuan saya lewat menerusi kiriman sms, "sabarlah, Allah kan ada,".


Andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita utuh dan teguh untuk hari-hari seterusnya :)

-------------------

Daripada Abu Hamzah, Anas B Malik RA, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda : "Tidak beriman salah seorang antara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." (HR Bukhari dan Muslim)

Awak, saya jauhkan diri sebab saya tak nak berkongsi air mata. Kerana awak hanya berhak mendapat senyuman dari saya. Maafkan saya yang menjauh, kerana jauhku dengan harapan untuk mendekat. Jaga diri baik-baik, saya sayang awak! Terima kasih atas ingatan awak pada awal Ramadhan lalu, saya akan simpan ayat awak. :)




Ummu Amir.

Read more...

04 August 2012

Bagaimana Adik Boleh Ada Dalam Perut Ibu?

Bismillahirrahmanirrahim.

Satu ketika dahulu, adik perempuan saya (yang pada waktu itu masih belum baligh) dengan soalan, "Macammana ada baby?", dengan keterbatasan pemahaman dan cara untuk menerangkan, saya tak tahu nak jawab kepadanya. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun peristiwa itu berlaku saya ketemu jawapan yang paling baik saya rasakan setakat ini bagaimana untuk menerangkan proses kejadian manusia kepada anak-anak yang belum mumaiyiz mahupun yang belum baligh.

Alhamdulillah, sebuah buku yang sarat dengan kisah menarik tentang ketuhanan; keimanan kepada Allah. Aqidah yang dipasak sejak kecil kepada anak, mudah-mudahan akan mengikatnya di jalan Allah.


---------------------------------------

"Ayah, bagaimana adik boleh ada dalam perut ibu?"

Soalan yang keluar secara tiba-tiba membuatkan jantung saya yang bergerak laju dan hati berasa tidak tenteram. Anak yang seorang ini, jika tidak dijawab soalannya, akan menuntut jawapan sehingga ke lubang cacing. Mungkin kerana setakat ini, saya dan isteri cuba jawab dengan sejujur mungkin. Dalam menjawab soalannya, saya akan memberikan fakta yang sebenar dan menceritakan dengan ringkas akan proses kejadian sesuai dengan mindanya yang masih muda.

Petang Sabtu lepas, selepas solat Asar, kami berehat-rehat sambil saya memegang perut isteri dan berbual-bual dengan bayi dalam kandungan bagi merasai gerakan-gerakan bakal anak kedua kami yang penuh keajaiban. Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi dari tarikh jangkaan bersalin. Humaira' juga tidak ketinggalan merasai keseronokan dan keajaiban itu, dan entah apa yang bermain di fikirannya hingga tiba-tiba dia bertanya soalan itu yang sebelum ini belum pernah disuarakannya.

Saya dan isteri saling memandang-mandang, namun isyarat wajahnya jelas menunjukkan bahawa sayalah yang harus menjawabnya. Bagaimana saya harus menceritakan proses persenyawaan kepadanya, apatah lagi apabila ia melibatkan urusan-urusan yang amat tidak manis jika diceritakan. Namun memberikan kefahaman sebenar, cukup penting, agar dia tidak beralih kepada sumber lain untuk mencari jawapan kepada persoalan yang mungkin akan mencetuskan masalah yang lebih besar. Lama saya terdiam, mengharapkan Allah memberi ilham. Syukur, hadir sedikit cetusan fikiran/

"Humaira', adik bayi itu Allah yang ciptakan, dan Allah yang letakkannya dalam badan ibu," saya memulakan penjelasan. "Tapi, bayi itu bukannya duduk dalam perut ibu, tetapi dia duduk dalam satu tempat yang dekat dengan perut ibu yang bernama rahim." Sengaja saya melangkaui bab persenyawaan antara sperma dan ovum pada tahap ini untuk mengelakkan persoalan yang lebih kompleks timbul.

"Kemudian bayi itu membesar dalam rahim selama sembilan bulan dan nanti apabila sampai masanya dia akan keluar," saya menjelaskan lagi, sambil tangan saya masih merasai gerakan-gerakan bayi. Isteri saya hanya mendengar dan memerhati.

"Tapi ayah, kenapa bayi itu duduk dalam rahim? Kenapa dia tak keluar awal-awal?" telah saya agak soalan ini akan ditanyakannya, dan saya pun telah bersedia dengan jawapan.

"Dia kena duduk dalam rahim sebab dia masih terlalu kecil dan belum cukup kuat lagi untuk keluar. Kalau dia keluar awal sangat, nanti bayi itu akan sakit."

"Humaira' ingat tidak, dulu perut ibu mula-mula tak besar, kemudian semakin lama semakin besar. Sebabnya dulu bayi itu hanya sebesar ibu jari ayah sahaja, kemudian semakin lama dia semakin besar," terang saya sambil menunjukkan ibu jari.

"Asalnya bayi itu belum ada tangan dan kaki, kemudian Allah jadikan tangan dan kakinya perlahan-lahan. Sebab itu sekarang ini adik boleh 'tendang' perut ibu." Saya tersenyum, dan isteri saya juga kelihatan tersenyum.

"Kemudian, apabila dia dah cukup besar dan tak muat duduk dalam rahim, dia akhirnya akan keluar," saya memudahkan ayat, agar lebih mudah difahaminya.

"Macammana bayi itu keluar, ayah?" soalannya bersambung lagi dan kali ini lebih mencabar.

"Humaira' rasa macammana?" saya memulangkan soalan itu kepadanya untuk mengetahui apa sebenarnya yang dia cuba fikirkan di samping memberi masa kepada saya untuk memikirkan jawapan.

"Ikut perut ibu agaknya, atau tempat buang air besar?" dia mengagak. Sedaya mungkin saya dan isteri menahan tawa. Lucu, tetapi dahulu saya juga mempunyai kefahaman sebegitu.

"Bukan, sayang," saya tersenyum. Tubuh sedikit menggeletar menahan geli hati. "Bayi itu akan keluar melalui tempat yang istimewa yang Allah dah sediakan. Kemudian Dr Murizah akan bantu keluarkan dia dari tempat yang istimewa itu." Dr Murizah adalah Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga rakan baik isteri saya yang telah menyambut kelahiran Humaira'.

"Oh, begitu."

"Humaira' nak tahu tidak macammana adik makan di dalam rahim ibu?" saya pula menyediakan soalan, sebelum dia bertanya di mana tempat istimewa itu, yang pastinya semakin sukar untuk menjawabnya.

"Nak, nak. Macam mana, ayah?"

Memikirkannya semula, sukar juga sebenarnya untuk dijelaskan. Aduh! Silap pula kali ini. "Err... Err...," saya teragak-agak.

"Macam mana, ayah?" Humaira' tidak sabar lagi.

Melihat saya teragak-agak, isteri saya menyampuk. "Bayi itu makan guna 'straw' istimewa yang Allah ciptakan dalam rahim ibu."

'Straw'? Saya juga kehairanan mulanya, namun kemudiannya mengagak mungkin 'straw' itu merujuk kepada tali pusat yang menyalurkan nutrien kepada bayi melalui uri. Bagus juga idea isteri saya itu.

"Humaira' pun dahulu begitu juga, duduk dalam rahim ibu dan makan guna 'straw'," saya menyambung tanpa dipinta.

"Yakah, ayah?" dia tersengih.

Kemudian saya menyimpulkan kisah dan memberikan pengajaran. "Ya, kita semua begitu. Ayah pun dahulu duduk dalam rahim nenek ibu pula duduk dalam rahim tok. Semuanya duduk dalam rahim ibu masing-masing dan makan guna 'straw' selama sembilan bulan. Sebab itu Humaira' kena sayang banyak-banyak pada ibu dan Allah. 

Pada ibu sebab ibu dah bawa Humaira' dan adik selama sembilan bulan. Berat dan susah nak bawa, tahu? Kemudian, selepas Humaira' lahir, ibu yang jaga dan beri susu pada Humaira'. Hebatnya ibu dan sayangnya ibu pada Humaira' dan adik, bukan? 

Kemudian, pada Allah pula. Sebab masa kita dalam rahim ibu, Allah yang jaga kita, beri kita 'straw' untuk makan. Ciptakan tangan dan kaki, mata, hidung, mulut, perut. Hebatnya Allah dan sayangnya Allah pada kita semua, dan pada Humaira'.

Sebab itulah Humaira' kena sayang ibu selalu dan kena selalu buat baik dan dengar cakap ibu. Apabila Humaira' sayang ibu dan buat baik pada ibu, Allah pun akan sayang pada Humaira'. Bukan Humaira' saja, ayah, pun kena buat baik pada tok, Alia pun kena buat baik pada ibu dia, bahkan semua orang Allah wajibkan agar buat baik pada ibu masing-masing.

Dan Humaira' juga kena buat baik pada Allah dengan rajin solat, rajin mengaji, rajin belajar, jadi anak yang baik pada ayah dan ibu, supaya Allah sayang Humaira' selalu." Saya menyudahkan kisah sambil tersenyum manis padanya.

Semoga bertambah kefahaman Humaira' tentang kehidupan dan semoga bertambah kecintaannya kepada Pencipta Seluruh Alam pada petang yang penuh barakah itu.

----------------------

Dipetik dari buku "Begini, Sayang!" tulisan Mohd Hisham Mohd Sharif dan Hasifah Zainuddin.

Sangat bagus buat bakal ibubapa dan ibubapa, bakal mahupun nenek dan datuk, juga guru-guru :)

Wallahua'lam.

"Abang Long, Ummi dah ready jawapan ni..." He he he.


Ummu Amir

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO