Apabila Adik Jatuh Cinta...
"Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji." (Hamka)
Girangnya hati Asma' kerana sebentar sahaja lagi beliau akan bertemu dengan kakak angkatnya yang sudah hampir satu tahun tidak bertentang mata, sekadar layangan sms pengubat rindu. Mudah-mudahan berita ini akan menghiburkan hati Aisyah.
"Assalamu'alaikum."
Suara Aisyah lembut memberikan salam buat Asma'. Suara yang dinantikan Asma' sejak 10 minit tadi. Alhamdulillah, akhirnya Allah temukan mereka walaupun sudah beberapa kali terpaksa membatalkan hasrat untuk berjumpa.
"Wa'alaikumussalam. Kak Aisyah... Apa khabar?"
"Alhamdulillah. Akak sihat, bagaimana pula dengan Asma'?"
"Alhamdulillah, Asma' juga sihat."
Pelukan erat diantara mereka seakan membisikkan kepada carekawala betapa bahagianya apabila dua insan kerinduan dapat melepaskan kerinduan yang sekian lama dipendam. Ukhuwah itu indah apabila meletakkan Allah sebagai paksi persahabatan.
Setelah sekian lama tidak bertemu, Asma' kelihatan tidak mampu menahan sabar untuk meluahkan sesuatu yang membelenggu perasaannya sejak sekian lama. Penumpang di dalam gerabak komuter yang bergerak dari KL Sentral menghala ke arah Utara Semenanjung Malaysia silih berganti.
Bundar mata Aisyah melihat redup wajah Asma' seakan memendam sesuatu yang berat.
"Asma', ada masalah ke? Dari tadi Kak Aisyah lihat Asma' macam ada masalah."
"Eh, mana ada kak. Asma' baik-baik je, everything is under control."
Asma' melemparkan senyuman nipis, biarlah senyuman penyeri di wajah. Setelah hampir setahun tidak bertemu masakan waktu yang Allah sediakan untuk bertaut ukhuwah dihabiskan dengan cerita yang menyedihkan, biarkan sahaja masalah yang ada hilang dengan berlalunya waktu.
"Setiap manusia mempunyai masalah, itu biasa. Tidak penting sebanyak mana masalah yang datang, yang penting bagaimana kita berdepan dengan masalah tersebut. Masalah adalah peluang. Bagi orang yang meniaga, masalah adalah duit. Makin besar risiko sesebuah perniagaan, semakin besar keuntungan yang bakal dikecapi dan semakin luas juga peluang untuk mengalami kerugian. Begitu juga dengan manusia, masalah menjadi peluang yang baik apabila kita pandai mengatasi masalah tersebut bukan dengan mengelak diri tetapi berdepan dengan kenyataan. Bila kita mengelak, masalah tidak selesai bahkan boleh menjadi lebih besar!"
Aisyah menggenggam erat jemari Asma', biar Asma' tahu kasih sayangnya tidak bertepi meskipun masa sering mencemburui mereka. Lama Aisyah tidak bertemu Asma' pasti banyak yang berlaku di dalam kehidupannya, bahkan kehidupan Aisyah juga.
"Kak... Asma' jatuh cinta pada seseorang!"
"Jadi?"
"Asma' melihat potensi dirinya, Asma' mengharapkan dia menjadi imam buat Asma'."
"Jadi?"
"Asma' tidak tahu bagaimana mahu memulakannya."
Aisyah diam. Biar Asma' melepaskan gugup, biar Asma' tenangkan sejenak relung hatinya yang terbuai-buai perasaan.
"Asma' adikku sayang, berapa umur Asma'?"
"22 tahun."
"Di usia begini, wajarlah Asma' mempunyai perasaan ingin menyayangi dan disayangi oleh seseorang yang berlawanan jantina. Dalam erti kata lain, mempunyai rasa untuk berkongsi kasih dengan lelaki. Bezanya, Islam memberi garis panduan kepada manusia bagaimana untuk menyalurkan kasih sesama manusia diantara lelaki dan wanita."
"Jadi?"
Asma' memandang tepat ke wajah Aisyah.
"Kalau benar Asma' mahu, pinanglah dia!"
Hujung kata Aisyah memberi penegasan tetapi terselit dengan ketawa kecil.
'Ahhh... Masakan kak Aisyah suruh aku meminang lelaki.'
"Maafkan akak. Bagi akak, kalau Asma' benar-benar mahu berkahwin... Mahu memulakan langkah bagaimana, maka... carilah pasangan yang paling beriman mengikut pandangan Asma' untuk merisik status lelaki tersebut."
"Asma' malu lah kak!"
"Cuba Asma' lihat, berdasarkan apa yang dilakukan oleh suri tercinta baginda Rasul s.a.w., Khadijah r.a :
1) Khadijah mula mendengar kebaikan Muhammad s.a.w. melalui cerita-orang ramai yang sampai ke telinganya.
2) Khadijah menyaksikan sendiri akhlak Rasulullah s.a.w. melalui perbincangan bisnes.
3) Sinergi usahasama bisnes yang berlaku menjadi jalan mudah antara Khadijah sebagai pemilik perniagaan dengan Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang diamanahkan membawa barang perniagaannya menjadi 'jalan mudah' untuk Khadijah mengukuhkan pandangannya tentang ketinggian akhlak baginda. Ini berlaku melalui pengamatan wakilnya yang bersama ke tapak niaga ( Syam ) dan melalui laporan perniagaan yang disampaikan secara langsung oleh baginda sendiri kepda Khadijah sebaik pulang dari berniaga.
4) Menggunakan orang tengah untuk menyampaikan hasrat hatinya demi menjaga kehormatan dirinya sebagai wanita bangsawan, sudah pernah bersuami dan ketika itu bergelar janda.
6) Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menghantar lamaran untuk mengahwini Khadijah r.a.
Cara ini halus, bertahap dan masih menjaga batas syara'. Mungkin ini boleh diijadikan panduan untuk seorang muslimah menyatakan hasrat hatinya kepada seorang lelaki yang diyakini akhlak dan agamanya.
Wallahu'alam." (credit : FB UmmuHusna)
Perbualan terhenti, mereka sudah tiba di stesen Sungai Buloh. Insha Allah mereka mahu menziarahi sahabiah mereka, Farhana yang baru melahirkan bayi perempuan beberapa hari lalu.
Aisyah mematikan langkahnya, jam sudah menunjukkan telah masuk waktu Zohor. Sebelum perjalanan diteruskan ke rumah Farhana, Aisyah mengajak Asma' untuk solat berjemaah di surau yang disediakan pihak KTMB.
Sewaktu mahu bersolat, Aisyah meminta Asma' mengimamkan solat. Terkedu Asma' mendengar permintaan Aisyah. Sebelum ini Aisyah sentiasa menjadi imam di dalam solat mereka tetapi kali ini permintaan Aisyah benar-benar membuatkan Asma' terkejut.
"Kak Aisyah la jadi imam macam selalu, Asma' jadi makmum."
"Akak dah biasa jadi imam, adik jadi imam pula."
"Tak nak la."
"Macammana nak kahwin ni, tak nak jadi imam."
"Tak apa, nanti suami Asma' yang jadi imam Asma' bukannya Asma' menjadi imam kepada suami Asma'." Asma' ketawa kecil. Lucu rasanya apabila Aisyah katakan keengganan Asma' mengimamkan solat sebagai batu penghalang untuk menikah.
"Memang suami Asma' menjadi imam kepada Asma' tetapi Asma' kena ingat, Asma' kena jadi imam (ketua) kepada anak-anak Asma' kelak. Kalau sekarang tak nak jadi imam, macammana nak biasakan diri imamkan solat bila suami tak ada? Sebelum rasa nak kahwin, semaikan dulu 'rasa' nak jadi pemimpin."
"Erm..."
Terkedu lagi.
"Apabila adik jatuh cinta, jangan salahkan cinta... tetapi salahkan diri sendiri yang tak pandai letakkan cinta pada tempat yang betul. Memang benar cinta itu ujian hati dan perasaan tetapi sudah namanya kita ini hamba Tuhan, memang wajarlah Allah berikan ujian supaya kita sedar bahawa kita hanyalah HAMBA yang perlu bergantung kepada Tuhan."
Terkedu lagi.
"Apabila adik jatuh cinta, jalan disalahkan cinta tetapi tiliklah dulu bagaimana hubungan adik dengan Pemberi cinta. Kalau cinta manusia menghuni kanvas hati, memanglah payah nak menikmati cinta Ilahi. Kerana itu adanya perkahwinan, untuk menjadi tapak semaian kasih sayang yang haram kepada halal. Sebagaimana berdosa memegang tangan sebelum berkahwin, samalah juga mendapat pahala apabila menggenggam tangan pasangan."
Terkedu lagi.
"Apabila adik jatuh cinta, jangan disalah-salahkan kepada cinta tetapi musahabah kembali... Adakah cinta yang dirasakan itu hanya dengan nafsu atau terpandu dengan kompas dari Tuhan? Cinta itu indah dan hanya yang bercinta akan merasakan keindahannya tetapi cinta yang berteraskan nafsu dan maksiat akan merasa hangatnya cinta seperti bara api neraka. Semakin lama semakin panas dan membakar diri sehingga hangus. Cinta yang disandarkan kepada Rabbul Izzati insha Allah akan sentiasa terasa manisnya walaupun sekadar suam-suam kuku.
Setiap manusia ada masalah. Sama juga macam perkahwinan, ada pasang surutnya. Air di laut pun ada pasang surut inikan pula kehidupan manusia... Tetapi, apabila dua pasangan membina hubungan yang mengikatkan hati kepada Allah, mereka akan mengadun masalah menjadi peluang untuk lebih memperbaiki hubungan dengan Allah. Bila dilanda ujian, mereka tidak merasa ianya musibah yang menghempap kepala, menyesakkan dada tetapi wangian rindu dari Ilahi agar perkemaskan munajat kala dinihari."
Asma' terdiam. Cinta... Bagaimana harus dilepaskan rasa cinta makhluk ini dari membelenggu jiwa supaya tidak mati cinta Ilahi? Biarlah cinta yang halal menghuni di hati agar perasaan cinta akan menghidupkan hati yang mati.
"Jom solat! Mari menuju kejayaan..."
"Berjaya menjadi seorang muslim."
"Allahuakbar."
Asma' mengangkat takbir seusai Aisyah membaca iqamat.
Wallahua'lam
[Pen off]
Insyirah Soleha
4 leaves:
Suke..:)
Assalamuaalaikum k.insyirah :)
suka sangat2 baca blog akak..dapat byk pengisian dan ilmu,,
~syukran jiddan kak~
assalamualaikum nak minta izin copy sikit post ni boleh kak?
assalamualikum...nk share blh tag?
syukran akak ats info2 agama y bmanfaat
Post a Comment