Imej Solehah Pada Wanita Mukmin
Memelihara imej atau penampilan diri bukan soal kecil yang boleh dipandang ringan. Ia sangat perlu dan penting dalam menjalani urusan kehidupan. Kenapa penting sangat menjaga imej ini?
Pertama, kerana imej diri ini kalau dijaga akan membuatkan orang lain memandang baik terhadap kita dan dapat sedikit sebanyak mengenal peribadi, keyakinan serta hala tuju hidup kita. Jika imej yang kita tampilkan adalah imej yang baik, lebih-lebih lagi yang unik dan istimewa, baiklah pandangan orang terhadap kita. Dengan itu lebih mudahlah orang berurusan dengan kita dan kita berurusan dengan orang lain.
Kedua, dengan melihat imej diri kita, orang juga akan membuat tanggapan tertentu terhadap ahli keluarga dan orang-orang yang rapat dengan kita. Jika baik imej yang kita tampilkan, baiklah tanggapan itu. Jika tidak maka sebaliknya pula. Bahkan orang juga akan membuat tanggapan sendiri terhadap pegangan atau keyakinan kita berdasarkan imej yang mereka lihat pada diri kita.
Ketiga, imej diri juga akan menjadi benteng diri. Ada bisikan halus di dalam diri yang akan mengingatkan kita supaya tidak buat sesuatu yang bertentangan dengan imej yang kita tampilkan. Kalau imej yang kita perlihatkan pada diri kita itu imej bermaruah, kita akan lebih bersungguh-sungguh memelihara maruah diri. Oleh itu kita akan lebih selamat dari terjerumus ke dalam gejala yang boleh merosakkan diri.
Imej Yang Berbeza
Bagi wanita Mukmin telah Allah gariskan tatacara berpakaian, bergaul, berakhlak, bertutur dan sebagainya yang semua ini ada kaitan dengan pembinaan imej diri. Imej yang akan membezakan wanita beriman dengan wanita yang tidak beriman iaitu apa yang boleh kita namakan ‘imej solehah’.
Imej yang unik dan istimewa yang Allah khususkan hanya untuk wanita-wanita yang beriman kepada-Nya.
Bagaimanapun, imej solehah atau imej wanita baik-baik ini tidak terletak semata-mata pada tudung yang dikenakan. Tidak juga pada jubah yang dipakai. Atau lain-lain aksesori pakaian. Sebaliknya, imej solehah ini adalah gabungan sinergi pelbagai aspek luaran dan dalaman pada diri seseorang wanita Mukmin. Pakaian dan hiasan hanya salah satu aspek daripadanya.
Kalau pada seorang isteri, antara ciri imej solehah itu adalah pada sejauh mana suami senang memandang kepadanya, sebagaimana disebut dalam hadis: “Sebaik-baik mata benda dunia ialah isteri yang solehah, sekiranya engkau pandang kepadanya, engkau berasa senang…” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)
Aspek-aspek yang jika digabungkan kesemuanya dapat membentuk imej solehah ini merangkumi:
1. Cara Berpakaian dan Berhias
Wanita beriman disuruh memperlihatkan imej tersendiri dalam soal berpakaian dan berhias. Tujuannya, seperti yang Allah jelaskan di dalam surah al-Ahzab ayat 59 ketika menyuruh kaum wanita ‘melabuhkan jilbab/tudung’, adalah supaya mereka “lebih mudah dikenali (bahawa mereka perempuan yang beriman) dan kerana itu mereka tidak ganggu”.
Selain dilabuhkan menutupi bahagian-bahagian aurat termasuk betis, leher dan bahagian dada, pakaian yang dapat menonjolkan imej solehah juga tidak menampakkan bayangan bentuk badan atau bayangan kulit. Dengan kata lain, tidak ketat atau nipis.
Sayidatina Aisyah r.a. pernah meriwayatkan bahawa Asma bt Abu Bakar telah masuk menghadap Rasulullah s.a.w. dengan memakai pakaian yang agak nipis, lalu baginda s.a.w. memalingkan muka sambil bersabda: “Wahai Asma! Sesungguhnya orang perempuan bila sudah cukup umurnya (baligh), adalah tidak patut untuk dilihat darinya selainkan ini dan ini - sambil Nabi menunjukkan kepada muka dan tapak tangannya.”
Teguran Rasulullah s.a.w. ini hanya melibatkan aspek berpakaian. Asma waktu itu sudah pun dikenali sebagai gadis yang baik dari keturunan baik-baik, terutama selepas dia memeluk Islam menyusuli ayahandanya Sayidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.
Dengan membaiki kekurangan dalam satu aspek ini, akan sempurnalah imej solehah pada diri Asma. Begitulah kira-kira yang tersirat dari teguran Nabi s.a.w.
Dalam berpakaian, wanita beriman boleh memilih apa jua fesyen yang menutup aurat dan menyerlahkan imej kewanitaan, asalkan tidak menyerupai lelaki.
Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan satu hadis:
“Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
Menyentuh soal berhias, wanita tidak boleh dipisahkan dari wangi-wangian. Tetapi jika keluar rumah, ada batas yang Islam gariskan. Jangan sampai ada bau wangi pada tubuh atau pakaian yang begitu menusuk hidung hingga menarik minat lelaki. Sabda Nabi s.a.w. : “Mana-mana perempuan yang memakai wangi-wangian lalu ia berjalan melintasi satu kaum (kumpulan lelaki yang bukan mahrimnya), dengan tujuan agar mereka dapat mencium bau wanginya, maka ia telah dikira berzina. Dan setiap mata (yang memandangnya dengan penuh berahi) dikira telah berzina.” (Riwayat an-Nasa’i, Ibnu Khizaimah dan Ibnu Hibban)
2. Cara Bergaul
Imej solehah juga terpancar pada cara bergaul, berinteraksi dan berkomunikasi. Imej solehah ini akan terjejas jika, umpamanya, seorang wanita itu membiarkan dirinya berada di tempat sunyi atau tersorok dengan seorang lelaki ‘asing’ (ajnabi) tanpa ditemani orang kedua atau mahramnya. Kerana ini akan mengundang prasangka dan merangsang perbuatan maksiat. Nabi s.a.w. mengingatkan bahawa tidak berkhalwat (bersunyi-sunyian) seorang lelaki dengan seorang perempuan melainkan syaitan menjadi yang ketiganya.
Imej solehah juga akan terjejas jika seorang wanita itu dilihat bertepuk tampar, berpegang tangan dan seumpamanya dengan lelaki ‘asing’. Sebaliknya jika pergaulan dihadkan pada interaksi dan komunikasi sekadar yang perlu dan tidak berlebih-lebihan serta memelihara batas aurat, imej solehah akan lebih tertonjol. Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita yang telah bersuami.
Justeru Nabi s.a.w., ketika menggambarkan tentang isteri yang solehah, menyebut antara cirinya “apabila memandangnya, engkau (suami) berasa senang…”
3. Cara Membawa Diri Di Luar Rumah
Untuk memelihara imej solehah, seorang wanita yang beriman seeloknya berteman waktu keluar rumah. Di samping imej dan maruah diri dapat dijaga, keselamatan juga lebih terjamin. Lebih selamat dari gangguan berbanding dengan jalan berseorangan.
Justeru Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Wanita itu aurat, maka bila dia keluar, mendongaklah syaitan memandangnya.” (Riwayat Muslim)
Jika seseorang wanita keluar untuk perjalanan jauh (bermusafir) pula, syarat berteman ini amat dituntut. Malah menurut hadis, mesti ditemani oleh mahramnya. Sabda Nabi s.a.w.: “Janganlah seorang wanita bermusafir selama dua hari dalam satu masa melainkan hendaklah bersamanya mahramnya atau suaminya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hikmah dari peringatan Nabi s.a.w. ini, jika wanita keluar rumah tanpa sebarang teman terutama yang bertaraf mahramnya, pelbagai kemungkinan tidak baik boleh berlaku. Waktu itu tudung, jubah atau pakaian yang menutup aurat tidak lagi menjadi perisai yang kebal. Sebaliknya, ia sudah terdedah kepada risiko untuk diterobos. Maruah dan kehormatan diri akan terancam.
4. Cara Bertutur
Cara dan gaya bercakap juga menyumbang kepada pembentukan imej. Ia boleh menggambarkan sikap dan perawakan. Bagi memelihara imej solehah, Allah melarang cara bercakap yang boleh mendatangkan tanggapan tidak baik terutama dari kaum lelaki yang mempunyai niat serong.
Firman-Nya:
“Maka jangan kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (untuk menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan.).” (Al-Ahzab: 32)
Apa pun, imej solehah bukanlah imej yang dibuat-buat tapi lahir secara semula jadi. Jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan dalam berpakaian, bergaul, berjalan, bercakap, berakhlak dan sebagainya, dengan sendirinya imej solehah ini akan tertonjol.
Imej ini terpancar hasil dari kesungguhan mengamalkan ajaran Islam dengan penuh faham dan dengan hati yang bertakwa. Oleh itu, ia adalah imej yang tulen dan semula jadi. Lahir apa yang dipanggil ‘syiar’ yang datang dari lubuk hati yang bertakwa.
Allah menyebut dalam firman-Nya:
“Demikianlah (ajaran Allah), dan barangsiapa yang membesarkan syiar (agama) Allah maka sesungguhnya itu datang dari hati yang bertakwa.” (Al-Hajj: 32)
(Koleksi ANIS / Oleh: Zakaria Sungib/Amaluddin Mohd Napiah)

0 leaves:
Post a Comment