"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

24 March 2013

Tangisan Di Makam Syuhada

Bismillahirrahmanirrahim.

Semasa program ziarah luar (menziarahi kawasan tanah halal di sekitar Madinah), kami dibawa berziarah ke Masjid Quba'. Rasulullah SAW pernah bersabda, barangsiapa yang wuduk dari kediamannya dan kemudian solat di Masjid Quba' maka pahalanya bersamaan dengan 1 umrah.

Alhamdulillah. Allah beri kesempatan untuk berziarah ke masjid yang dibina atas dasar taqwa. Semasa tiba ke Madinah dari Mekah, Rasulullah membina Masjid Quba' dengan tangan baginda sendiri. Mengangkat batu yang besar dengan tangan baginda sendiri. Subhanallah. Pemimpin yang paling agung, manusia yang paling mulia di sisi Allah, dialah (Rasulullah SAW) yang membina sendiri masjid sedangkan ramai para sahabat yang boleh membina masjid dengan hanya perintah Rasulullah SAW tetapi baginda tetap mahu melakukan dengan tangan sendiri.

Semasa di Masjid Quba', terdengar ada jemaah dari Malaysia (bukan datang dengan kumpulan kami) yang sedang kegelisahan dari nada suaranya seakan menahan tangis. Saya dan ibu berhenti berjalan, melihat ke arah wanita tersebut. Katanya, beg sandang beliau hilang. Kesemua dokumen termasuk wang berada di dalam beg sandang tersebut, semasa solat beg sandang diletakkan di hadapan dan selepas solat terlupa mengambil beg tersebut, masuk semula ke masjid, beg sandangnya sudah tiada. La haulawala quwwata illa billah!

Mutawwif juga berpesan, beg sandang samada mempunyai barang bernilai mahupun tidak jangan ditanggalkan hatta ketika solat kerana manusia ada pelbagai ragam dan kerenahnya. Bukan berburuk sangka kepada sesiapa tetapi mengambil sikap berhati-hati itu lebih baik.

Selepas ke Masjid Quba', kami dibawa ke Jabal Uhud. Mentari pagi semakin menyinar, suhu di Madinah agak sejuk tetapi cuacanya kering. Pipi mungil Amir Solihin kemerahan kerana kekeringan, kami hanya menyapu lip balm untuk membuatkan kulitnya tidak terlalu kering.

Saat mutawwif memberikan tazkirah mengenai peperangan di medan Uhud di makam para syuhada' yang terkorban, Amir Solihin mula merengek mengantuk dan lapar. Jarak waktu yang berbeza 5 jam dengan waktu Malaysia membuatkan Amir Solihin tidak dapat sesuaikan diri dengan waktu tempatan di Madinah. Saya membawa Amir Solihin jauh sedikit dari jemaah supaya tidak mengganggu perhatian mereka. Awalnya abang saya mengendong Amir Solihin.



Selepas mengambilnya, Amir Solihin mahu menyusu. Saya mencari suami untuk memaklumkan hal tersebut, suami membawa saya ke pinggir makam syuhada' kerana kawasan tersebut lapang dari orang ramai, lebih selesa untuk menyusu kerana ada bahan konkrit seakan kerusi.

Tidak lama kemudian, sekumpulan jemaah dari India atau Pakistan berbangsa Sindi menghampiri. Suami memaklumkan kepada mutawwifnya dengan bahasa arab supaya tidak mendekati saya yang sedang menyusu, dan mutawwif tersebut juga memaklumkan kepada para jemaah supaya tidak mengganggu kami. Jemaah lelaki yang mendekati makam syuhada' akhirnya menjauhkan diri, sedang mutawwifnya memberi tazkirah dan membaca salam buat para syuhada, ada pula yang memberikan wang kepada mutawwif tetapi mutawwif menolaknya.

Selepas jemaah lelaki beredar, kami diserbu oleh kumpulan jemaah wanita. Kepala saya ditolak, kepala Amir Solihin juga ditolak. Suami bertolaransi, memaklumkan dengan bahasa Urdu supaya mereka tidak menyakiti saya dan Amir Solihin. Tetapi mereka berkeras dengan mengatakan sesuatu yang membuatkan suami marah dan tidak mampu untuk menahan asakan dari mereka yang menolak saya dan Amir Solihin kerana mahu melihat makam syuhada'.

Cermin makam syuhada digelapkan, kebetulan tempat yang saya duduk cerminnya dipecahkan sedikit jadi mereka semua mahu melihat dalam makam syuhada', jadi mereka semuanya berasakan merempuh suami yang berada di hadapan saya dan menolak kepala saya dan Amir Solihin.

Terus suami memaklumkan kepada saya untuk bangkit supaya tidak kelemasan.

Amir Solihin yang sudah terlelap, terkejut dan menangis apabila diangkat bangun dengan keadaan begitu. Ahli keluarga yang tidak tahu apa-apa tertanya-tanya, abang saya terus berseloka.


"Amir Solihin nampak syuhada', itu yang dia menangis."

:)





Makam Syuhada' Uhud, hanya dua jasad yang dapat dikenal pasti selepas berlaku banjir besar di Madinah sehingga jasad mereka keluar dari tanah, darah masih mengalir seperti baru meninggal. Allahuakbar. Semuanya masih 'hidup' di sisi Allah azza wa jalla.

Selepas peristiwa tersebut, saya pun bertanya kepada suami apa yang sebenarnya berlaku di makam syuhada' tersebut.

1. Duit yang diberikan kepada mutawwif oleh jemaah, mereka suruh lemparkan ke dalam makam untuk tujuan hajat. Subhanallah! Jangan lakukan perkara syirik sebegini ya, apatah lagi dengan hati yang mahu beribadah kepada Allah. Namun, mutawwif tersebut memaklumkan tidak perlu melempar duit ke dalam makam, hanya memberi salam sahaja. Mintalah dengan Allah, sesungguhnya Allah sangat menginginkan permintaan doa dari hamba Nya.

2. Suami memberitahu mutawwif puas memanggil jemaah wanita yang merempuh kami supaya tidak mengganggu saya yang sedang menyusu tetapi langsung tidak diendahkan kerana mahu 'mengintai' makam syuhada'.

3. Suami meminta mereka sebagai seorang wanita supaya tidak menyakiti saya yang sedang menyusukan anak, wanita tersebut dengan selamba menjawab bahawa haram menyusu di tempat itu dan menyuruh saya beredar menyusu di tempat lain. Walhal tidak mendedahkan mana-mana bahagian aurat atau mengganggu laluan, hanya kerana mahu 'mengintai' makam syuhada', mereka tidak mengendahkan sesiapa walaupun berulang kali dipanggil oleh mutawwif.

4. Betapa pentingnya seorang lelaki di sisi wanita apabila di luar rumah kerana seorang wanita insyaAllah akan selamat dalam lindungan lelaki. Baru saya memahami mengapa Islam menetapkan wanita memerlukan mahram semasa bermusafir, kerana memang wanita memerlukan kudrat lelaki untuk melindungi dirinya.

Saya tak boleh bayangkan kalau saya selamba duduk sendirian di tempat duduk tersebut, atau suami tinggalkan saya di tempat duduk tersebut untuk mendengar tazkirah dari mutawwif. Mungkin saya sudah meninggal dihempap oleh mereka, nauzubillah.

Wallahua'lam.

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.

Ummu Amir.

0 leaves:

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO