"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers

21 March 2013

Tetamu Raudhah

Bismillahirrahmanirrahim.

Selepas bersarapan pagi, kami bersiap untuk 'ziarah dalam' iaitu ziarah di kawasan Masjid Nabawi. Muslimat dan muslimin diasingkan, kami diketuai seorang musyrifah (ketua) warga Indonesia yang menetap di Madinah. Salam buat junjungan mulia, Rasulullah SAW disampaikan secara berjemaah, juga buat sahabat Rasulullah yang tercinta Saidina Abu Bakar as-Siddiq juga Saidina Umar al-Khattab yang dimakamkan berhampiran dengan jasad Rasulullah SAW.

Sedikit taklimat diberikan oleh musyrifah, sekitar 1 jam sebelum pembukaan Raudhah untuk muslimat, kami sudah berada di dalam masjid. Musyrifah menasihati kami agar melakukan solat-solat sunat seperti tahiyatul masjid, solat dhuha dan sebagainya disamping memperbanyakkan selawat supaya dipermudahkan segala urusan untuk memasuki ruangan Raudhah yang kecil.

Raudhah salah satu tempat mustajab doa, juga dikenali sebagai taman syurga.

Warga Malaysia disatukan dengan kumpulan jemaah dari Indonesia, setiap negara diasingkan kemasukan ke dalam Raudhah bagi mengelakkan kesesakan. Tambahan pula jemaah dari Malaysia terkenal dengan sifat penyabar dan santun, maka tidaklah disekalikan dengan jemaah luar yang 'hebat', 'gagah' dan 'perkasa'. 

Saya masih teringat beberapa tahun yang lalu, 'diangkat' oleh seorang nenek tua (sudah bongkok tiga) kerana beliau mahu solat di tempat saya berdiri. Subhanallah, walaupun sudah tua tetapi sangat gagah perkasa. Kata suami, kalau wanita Arab biasa saja mengangkat sendiri tong gas naik ke rumah di tingkat 4. MasyaAllah :)

Sambil menanti giliran jemaah Malaysia untuk dipanggil memasuki ruangan Raudhah, pelbagai suasana dan ragam masyarakat dari pelbagai negara dilihat. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk memasuki Raudhah sehingga terlupa pada satu perkara, "hablum minannas" iaitu menjaga hubungan sesama manusia. Bertolak-tolak, sehingga ada yang memijak-mijak. Subhanallah. Takut sungguh saya melihat suasana tersebut.

Bila diselubungi perasaan kurang enak, takut melihat suasana sebegitu saya berselawat dan cuba untuk tenangkan diri. Ibu menasihati saya banyakkan solat hajat, supaya Allah mudahkan untuk memasuki ruangan Raudhah. Musyrifah berulang kali memesan kalau sudah berada di dalam Raudhah, jangan keluar kecuali sudah melakukan solat di dalam Raudhah.

Teringat pesanan dari mutawwif semasa kali pertama ke tanah suci, saat itu saya sedang sakit sehingga ibubapa 'putus asa' untuk mencuba rawatan, akhirnya tekad mereka membawa saya ke tanah suci sebagai usaha untuk kesembuhan dari penyakit. Mutawwif berpesan, di dalam Raudhah permaidaninya berwarna hijau sedangkan permaidani di Masjid Nabawi berwarna merah. Sekiranya kaki sudah memijak permaidani berwarna hijau, tandanya sudah berada di dalam kawasan Raudhah. Berdoalah sepuas-puas, sebanyak-banyaknya hatta sedang berdiri dan tidak boleh solat (kerana bersesakan).


Ihsan google. Beginilah garis (permaidani) pemisah kawasan Raudhah dengan Masjid Nabawi.

Saya menyampaikan pesanan tersebut kepada ibu mertua, kalau tidak dapat solat, apabila memijak permaidani berwarna hijau maka teruslah berdoa sebanyak-banyaknya dan sepuas-puasnya hatta hanya mampu berdiri.

Alhamdulillah, ibu dan adik perempuan saya beriringan manakala saya memegang ibu mertua beriringan bersama. Lebih mudah begitu daripada duduk dalam kelompok besar. Dalam hati, hanya mampu berselawat sambil jasad menjaga ibu mertua daripada rempuhan manusia di belakang. Saat kaki sudah memijak permaidani hijau, terus saya kata pada ibu mertua bahawa kami sedang berada di dalam Raudhah. Berdoalah! Asakan manusia dari belakang yang menolak badan saya, saya gagahkan juga supaya tidak tertolak ibu mertua. Sedikit ruang kecil di bahagian hadapan ibu mertua, terus saya beri laluan supaya ibu mertua bersolat sambil saya menjaganya jangan sampai dipijak atau dirempuh.

Manusia dibelakang menolak badan saya kerana tidak sabar mahu memijak permaidani hijau. Saya hanya memberitahu bahawa insan di hadapan saya sedang bersolat. Keadaan sesak, mana mungkin saya membenarkan dia menyakiti ibu mertua saya.

Selesai ibu mertua solat, kami perlahan-lahan keluar. Hati mahu sekali solat di dalam Raudhah tetapi saya tidak sanggup meminta ibu mertua 'menjaga' saya supaya tidak dirempuh oleh asakan manusia. Kaki menapak sedikit demi sedikit untuk keluar, tetapi dipanggil oleh polis wanita yang mengawasi kawasan Raudhah. Melambai memanggil saya "solat! solat!", saya maju ke hadapan. Alhamdulillah, seolah tersedia dua ruangan yang memuatkan saya dan ibu mertua untuk solat. Subhanallah, terus saya katakan pada ibu mertua untuk solat bersama-sama. Kali ini suasananya lebih aman, tidak berasak seperti awal. Selesai solat, perlahan-lahan menapak keluar.

Musyrifah melihat saya dan ibu mertua mahu keluar, dia mengingatkan untuk solat. Saya memaklumkan sudah solat, beliau mengucapkan hamdalah. Ya, kalau boleh memang langsung tak nak keluar dari Raudhah tetapi saya tidak mahu mementingkan diri. Hablum minannas yang selalu suami cakap dan pesankan, saya cuba untuk lakukan.

Musyrifah berulang kali mengingatkan orang yang bersolat supaya lurus ke arah kiblat.

Disebabkan mahu sangat bersolat, ada yang solat dengan fikiran "asalkan boleh solat". Sujudnya ada yang menghala ke kiri, ke kanan kerana tempat yang sempit. Tak putus-putus musyrifah mengingatkan supaya solat, sujudnya lurus ke hadapan (mengadap kiblat). Dan, ibrah itu sangat besar buat saya.

Selepas berkongsi dengan suami, suami ingatkan pada hadith Rasulullah SAW.

"Apabila kamu inginkan dunia, maka dengan ILMU.
Apabila kamu inginkan akhirat, maka dengan ILMU.
Apabila kamu inginkan dunia dan akhirat, maka dengan ILMU."

Ayahanda berkongsi ibrah kepada kami, semasa beliau memasuki Raudhah ada yang sibuk mengambil gambar sehingga ditegur oleh rakyat senegara dengan pengambil gambar, barangkali memarahi sikapnya yang sibuk mengambil gambar berbanding berdoa atau mengambil peluang untuk menunaikan solat. Terkadang, terlalu takjub sehingga tak tahu perkara apa yang perlu dilakukan. Teringat pesan penceramah kursus umrah, "tulis siap-siap apa yang hendak didoakan sebab selalunya bila dah sampai tanah suci terlalu kagum sampai tak tahu nak doa apa."

Beberapa bulan sebelum ke tanah suci, saya pernah tanya pada suami bagaimana orang yang berdoa di Mekah tidak mengadap kaabah (sebagai kiblat, ia adalah adab dalam berdoa) tetapi apabila terlihat jam big bang besar yang tertulis kalimah "ALLAH" maka dia mengadap ke arah jam big bang tersebut. Kebiasaan, orang bergolok bergadai mahu ke tanah suci, adakah amalan tanpa ilmu diterima Allah?

Suami hanya diam. Lama kemudian baru menjawab dengan menyoal kepada saya.

Kalau kita orang miskin dari kampung pergi ke bandar nak cari kerja, ada temuduga, semasa temuduga kita tak ada sijil kelayakan yang setara dengan jawatan yang kita pohon. Adakah kita diterima sebagai pekerja?

Saya hanya diam mengangguk.

Keberadaan di haramain (kedua tanah suci), yang diharapkan adalah supaya Allah tunjukkan jalan untuk melakukan ibadah yang paling afdhal. Ibadah yang utama dan diterima Allah, mudah-mudahan Allah memberikan lorong untuk melalui jalan-jalan orang yang diberikan nikmat akhirat bukan jalan mereka yang Allah murka. Allahumma amin.

Wallahua'lam.

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.

0 leaves:

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO