[Catatan Umrah] Rezeki, Allah Yang Beri
Bismillahirrahmanirrahim.
Semasa kembara umrah tempoh hari, mutawif ada menyebut satu ungkapan yang buatkan saya termenung panjang dan bila berpaling ke arah suami, suami sedang mengangguk-anggukkan kepala.
"Rezeki, kalau Allah nak bagi semakin banyak pun boleh. Semakin lama semakin bertambah rezeki tiada masalah, yang berkurang hanyalah UMUR."
Ya. Bila Allah nak bagi rezeki, Allah boleh bagi sebanyak-banyak dan seluas-luasnya dibukakan jalan untuk kita memperoleh apa yang kita hajati. Rezeki bukan hanya material, bukan faktor kemewahan dan kesenangan yang nyata dilihat oleh mata tetapi rezeki juga dalam bentuk kesihatan, nikmat iman, nikmat Islam, ketenangan, kasih sayang sesama manusia, itu semua rezeki.
Awalnya, apabila ayahanda dan bonda mengusulkan untuk saya turut mengikuti umrah, saya agak berat hati kerana saya menyimpan hasrat yang tinggi untuk terus melaksanakan haji pada tahun ini. Saya kurang ambil peduli apabila ayahanda dan bonda bersungguh-sungguh mengajak untuk saya bersama dalam kembara. Namun, apabila suami bersuara dan berharap agar saya mempertimbangkan untuk turut dalam kembara umrah, saya berfikir semula. Adik beradik saya semuanya turut serta dalam kembara kecuali abang yang sulung kerana kakak ipar di dalam pantang.
Ibu saudara yang duduk terdekat dengan saya pun akan turut serta menyertai permusafiran kembara umrah. Suami tidak berapa selesa meninggalkan saya dan Amir Solihin sendirian di Malaysia. Akhirnya, kami sama-sama memutuskan untuk saya dan juga Amir Solihin turut bersama untuk permusafiran. Saya meneliti beberapa perkara, mungkin saya perlu menolak tawaran untuk menunaikan haji pada tahun ini, menangguhnya ke tahun depan dan mengambil peluang untuk menunaikan umrah terlebih dahulu.
Bila hati sudah bulat untuk turut bersama, ada hamba Allah yang menyumbangkan (membayar) sebahagian dari harga pakej untuk saya dan menyumbangkan (membayar) sepenuhnya buat Amir Solihin. Alhamdulillah. Rezeki, bila Allah nak bagi, Allah bagi saja. Saya menerima rezeki tersebut dengan penuh syukur.
Usia Amir Solihin yang belum mencapai 2 tahun, tiada tempat duduk di dalam penerbangan dan tiada caj bilik untuknya, bayaran yang dikenakan hanyalah untuk urusan visa umrah dan perkhidmatan oleh pihak agen. Pihak agen pun memberi tawaran kepada Amir Solihin dengan hanya membayar separuh sahaja dari harga asal. Alhamdulillah. Allah memudahkan urusan dan membuka jalan untuk kami sampai ke tanah suci. Suami hanya memaklumkan kepada pihak agen supaya meletakkan kami di tempat duduk di dalam pesawat yang membolehkan kami meminta bekas tempat tidur untuk bayi.
2 hari sebelum berangkat ke tanah suci, Allah hadiahkan muhasabah yang indah untuk saya.
Suami menempah pau goreng dengan seorang hamba Allah yang selalu berjualan (makanan sejuk beku) di kawasan kediaman kami, perjanjiannya beliau akan mengantar pesanan selepas Zohor. Suami sudah memaklumkan terlebih dahulu kepada saya. Hari yang dijanjikan, suami ke KL Sentral untuk menjemput ibubapa mertua dari kampung. Saya memasak untuk makan tengah hari. Tiba-tiba ada salam dari suara lelaki yang saya pasti bukan suara suami, masih awal baru jam 10.30 pagi.
Biasanya saya terus bertanya "Siapa?" tanpa keluar rumah. Terus saya teringat pesanan pau goreng suami, dan saya meminta kepastian dari susuk tubuh di luar rumah. Bila dipastikan, saya meminta masa untuk bersiap dan munculkan diri di hadapan pintu.
Saya memaklumkan suami tiada di rumah dan mendengar suara kanak-kanak dari aras bawah. Biasanya beliau datang dengan anaknya, tetapi hari itu beliau datang dengan isteri dan anak-anaknya menunggang motosikal seramai 5 orang. Subhanallah. Selesai membayar, saya segera ke dapur melihat tumisan yang ditinggalkan.
Dalam diam, timbul perasaan kagum. Bila Allah nak bagi rezeki, yang sempit jadi luas, yang rendah jadi tinggi, yang susah menjadi mudah. Dari suara kanak-kanak yang sedang berlari, dari irama nada yang bersuara ternyata kebahagiaan itu bukan berdasarkan pada meterial semata tetapi rohnya ada pada iman. Orang yang beriman sentiasa bahagia dengan apa sahaja keadaan dan situasinya. Isterinya membuat makanan sejuk beku dan beliau menjual di merata-rata, ada hari yang rezekinya lapang habis kesemua makanan yang dibawa, ada hari yang rezekinya sukar, banyak tersisa makanan yang dibawa.
Namun, rezeki bukan terletak hanya pada kemewahan dan material semata tetapi rezeki yang paling bermakna adalah nikmat iman dan Islam. Wallahua'lam.
Ya Allah,
Janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan kami hidayah.
Amin.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Ummu Amir.
4 leaves:
assalamualaiku, nak tanya, kalau bawak kanak2 lelaki ke umrah, perlu x dikhatan kan?
Waalaikumussalam Kak Izyan,
saya tak tahu wajib atau tidak tetapi anak lelaki kami belum dikhatankan lagi.
:)
ye, emm akk dalam dilema, nak bawak ke x anak ke umrah ramadhan ni..dia setahun bulan 6 ni, macam2 yang terfikir ..lagipun dia fully bf lagi..hurmm insyirah ada pandangan?
Kak Izyan, boleh PM tak FB saya? InsyaAllah nanti kita berkongsi di dalam inbox ya :)
Post a Comment