Nikmat Yang Dirindui
Bismillahirrahmanirrahim.
Berjalan, merenung. Setapak demi setapak, selangkah demi selangkah kaki lalu akhirnya tersenyum, tunduk dalam sepi. Moga Allah ilhamkan untuk lebih bersyukur kepada Nya. Kehijauan, kenyamanan, udara yang segar. Dengan teman dari kicauan burung, bunyi cengkerik dan desiran sungai yang mendamaikan. Betapa ianya sebuah keINDAHan dan hadiah dari Tuhan.
Syukur.
Sesuatu yang mudah disebut, sukar untuk dizahirkan kepada Allah. Salah satu caranya ialah SOLAT. Berapa ramai orang Islam tetapi tidak tahu solat. Berapa ramai muslim yang solat tidak cukup waktu. Berapa ramai muslim yang solat sekadar solat tanpa usaha untuk menjaga solat, jasadnya bersolat tetapi hatinya sedang di tempat lain dan akalnya jauh berjalan di dunia.
Allahu Rabbi.
Syukur. Allah bagi macam-macam nikmat, yang kita tak sedar. Nikmat oksigen. Allah beri pokok, memberi kita oksigen dan menyedut karbon dioksida. Kita tak jaga pokok, rantingnya jatuh lalu terbiar atas jalan. Kita berjalan, tersepak terus kita memaki hamun ranting yang tak bersalah. Alangkah mulianya kalau kita mengalihkan ranting tersebut dari jalanan, bukankah itu saranan dari Baginda SAW.
Sudahlah amanah Allah (menjaga alam sekitar) tidak kita jaga, sudahnya kita memaki pula makhluk Allah yang tidak berakal itu.
Subhanallah, betapa Allah sudah khabarkan di dalam al-Quran, terlalu SEDIKIT hamba yang bersyukur.
Susah nak cari orang yang memulakan kalam Tuhan membaca basmalah (bismillahirrahmanirrahim) apabila melakukan sesuatu. Sedikit sahaja melazimi bacaan basmalah sebelum melakukan pekerjaan. Tetapi, lebih sedikit orang yang selepas selesai mengerjakan sesuatu dia melazimi kalimah hamdalah (alhamdulillah).
Rindu sungguh dengan tanah nyaman Cameron Highlands, moga Allah izinkan kaki untuk ke sana lagi. Mahu ku nyaman dalam pelukan kehijauan alam Tuhan. Allahumma aamin... ♥
Dulu, saya sanggup berjalan kaki di sekitar Cameron Highlands. Saya tak jemu-jemu berjalan ke tempat yang sama, ladang teh, ladang strawberri, melihat buah tomato yang masak ranum, menikmati keindahan bunga yang berwarna-warni dan saya tak jemu-jemu makan aiskrim strawberri setiap minggu. Sama saja, tapi saya tetap rindu untuk melihatnya.
0 leaves:
Post a Comment