"Ya Allah, jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."

(HR Muslim)

25 November 2011

Kerinduan Yang Terindah

Bismillahirrahmanirrahim.

Jari menari mengikut rentak hati, berdendang sayang dan sesekali berdondang keriangan namun bila pena terlalu pantas mengikut alunan melodi, hayunan dan langkahnya tersadung lalu tarian dihentikan. Biarlah luka sembuh dahulu, luka yang ada jangan dirobekkan semakin luas bimbang nanah mengalir menambah perisa duka.

Ukhti, jangan mengalah! Perjuangan harus diteruskan :)

Tiba-tiba, rasa sedikit kesunyian. Malam sudah semakin 'tua', senja dah lama berakhir. Dinihari membuka tirai. Mata masih terbuntang, teringatkan sesuatu.

Eid fitri lepas, semasa ziarah anak murid zauji mereka bualkan mengenai tambang tiked flight Mesir. Ya, sudah lama menanam azam nak ke Mesir cuma masanya yang tak tahu bila.

"Itu la, Abang tak nak buat master di Mesir."

"Tak nak la sambung belajar di Mesir lagi, kalau jalan-jalan nak la."

Beberapa tempat menarik zauji sebutkan, terberangan seketika.

Mencongak, menambah, menolak, darab dan bahagi. Semuanya paling kurang memerlukan kos sebanyak RM10k untuk menerbangkan Abu Amir, Ummu Amir dan Amir Solihin ke ardhul kinanah bumi Mesir! Allah...

"Daripada pergi Mesir, baik pergi Mekah kalau dah sampai RM10k."

Zauji mengakhiri proses pengiraan matematik kami.

Tersenyum.

Tidak dapat tidak, setiap kali zauji refresh memori beliau di Mekah terasa sungguh... betapa indahnya perasaan mereka yang Allah pilih untuk menjadi tetamu Nya tetapi sangat sedikit yang benar-benar menghargai nikmat dan peluang tersebut.

2 kali Allah memanggil untuk bertawaf di baituLLAH. Terasa seperti baru semalam melihat kaabah dan sujud di Hijr Ismail. Seperti semalam menaiki pesawat dari KLIA mendarat di Jeddah. Semuanya segar, sesegar embun yang menitis di waktu malam. Sejuk dan sangat mendamaikan.

"Abang, sambung la PhD di Madinah!"

Ana memberi cadangan berupa sebuah harapan dan impian. Kalau Abang belajar di Madinah, bolehlah selalu bawa Amir Solihin solat di dalam Raudhah, masha Allah terlalu indah bayangan yang terlayar di minda. Cuti sekolah, Amir Solihin boleh menghafaz al-Quran di Masjidil Haram bersama kanak-kanak yang lain. Bukan apa, termimpi-mimpi melihat kanak-kanak yang berlari-larian dengan mushaf al-Quran sambil menghafal menghayun-hayunkan badan.

"Emh, insha Allah di Riyadh."

"Riyadh?"

"Emm, tepi pantai."

"Ala, panas la tepi pantai..." dan sambung dalam hati "nanti hitam :p"

Bapa saudaraku kerjanya mengembara di luar Malaysia dan pernah suatu ketika menuntut beliau untuk mencurahkan tenaga di Saudi, alhamdulillah... Beliau ke Mekah untuk berumrah. Cemburu tapi bahagia.

Ada orang, Allah permudahkan jalan untuk menjadi tetamu Nya.

Ada orang, Allah beri jalan berliku sebelum menjadi tetamu Nya.

Ada orang, Allah permudahkan tetapi dia tidak menjadi tetamu yang menghormati Tuan rumah.

Dunia ni macam rumah. Sebetulnya rumah Allah, mungkin itu yang paling baik sebagai contoh. Bukan masjid sahaja yang menjadi rumah Allah tetapi dunia ini rumah Allah. Kita hanya menjadi tetamu sahaja, sampai masa yang Allah tetapkan kita kena 'keluar' dari rumah ini dan pergi ke 'rumah yang lebih kecil'.

Tetapi, ramai yang tidak menghormati Tuan rumah dengan selayaknya dan ada pula yang merasakan dia yang menjadi tuan. Asal sedar diri menumpang, insha Allah kita akan jaga akhlaq dan adab dengan Tuan rumah.

Sebetulnya, hati sedang merindui baituLLAH.

Tak tahu kenapa. Walaupun rindu makin membuak tetapi tidak mendukakan. Meski rindu semakin melambung tetapi ianya terasa indah.

"Jadi tetamu Allah, maknanya pilihan Allah. Insha Allah, moga terpilih sebagai tetamu Nya."

Aamin...

Read more...

24 November 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 4

Bismillahirrahmanirrahim.


Fauzan nekad untuk menelefon ibu Syura. Nombor yang diberikan Hasnul tersimpan dalam contact book talifon bimbitnya.

Sebenarnya Syura yang menyuruh Fauzan menalifon Mak Cik Lijah. Syura tidak mahu lagi berdiskusi dengan maknya berkenaan status diri. Biar Fauzan sendiri yang muzakarah.

"Assalamualaikum. Ini nombor Mak Cik Lijah?"

"Ye. Siapa ni?"

"Saya Fauzan."

"Oh, Ustaz Fauzan"

"Eh tak perlu la panggil ustaz, mak cik. Panggil Fauzan je."

"Ye ye. Ada apa Fauzan talifon mak cik?"

"Saya tak tau nak cakap macammana. Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap selepas ni, ada yang kurang sopan. Saya ingin bertanya, betul ke Syura dah bertunang?"

Gugup hati Fauzan berbicara langsung dengan Mak Cik Lijah. Terasa getar nada suaranya. Suara ibu Syura tegas.

"Hmm, kalau secara rasmi belum lagi. Tapi kami sekeluarga dah janji akan terima kunjungan pihak lelaki minggu depan."

"Makcik, saya sebenarnya dah lama sukakan Syura. Saya juga rasakan Syura turut punyai perasaan pada saya."

Akhirnya, hanya keberanian yang mampu diusahakan dalam memenangi hati Mak Cik Lijah.

"Ya, kami tahu semua tu. Tapi kamu buat tak endah bila Syura mesej dan talifon. Kamu tahu yang Syura demam seminggu dek kerana kata-kata kamu? Selepas menyakiti hati Syura, kamu pula tak pernah nak balas mesej Syura bila dia minta penjelasan kamu."

"Demam seminggu? Kerana kata-kata saya?"

Fauzan terlopong. Mindanya tercari-cari bilakah dia menyakiti hati Syura. Seingatnya, hati Syura amat dijaga. Tutur bicara sering diatur sempurna sebelum butiran kata dilafaz.

Mungkin ada salah faham di situ. Hatinya bermonolog kecil. Ya, dia yakin, ada salah faham.

"Apa maksud mak cik? Kata-kata saya yang mana?"

"Bukankah Syura pernah talifon kamu, bertanyakan pendirian kamu terhadapnya? Bukankah kamu nyatakan sukar membuat keputusan? Tidak mahu mengecewakan mana-mana pihak? Melibatkan kehendak keluarga?"

Fauzan kelu. Terpaku. Bagai halilintar menusuk kalbu. Memang itu lafaznya pada Syura. Namun di sana ada penjelasan. Kala itu kebuntuan menghijab pandangan akalnya dek kerana gusarkan imtihan akhir tahun. Dia tertekan, lalu itulah hamburan kata yang terungkap. Fauzan tidak menyedari kata-kata itu melukakan hati Syura. Dia tiada insan selain Syura tapi dek tekanan yang menekan, itulah yang terhambur keluar dari lisannya.

"Tika Syura demam, mak cik yang menemaninya di hospital. Sakitnya amat merunsingkan kami. Syura yang sebelum ini seolah-olah sembuh setelah berubat dengan kamu, kembali sakit. Kami amat sedih. Kami bimbang kalau-kalau dia disihir lagi tapi kemudian Syura mengakui yang dia demam dek kata-kata kamu."

Terasa seperti panahan kilat menyambang jantungnya, henti semua bicara. Kekuatan dicari, penjelasan diberi.

"Ya Allah. Mak cik, semasa Syura di hospital saya ada menerima mesej, tapi dia hanya akui demam biasa kerana penat. Saya nasihatinya supaya jaga waktu makan, ambil vitamin. Kenapa dia sembunyikan kisah sebenar dari saya?"

"Mak cik tidak tahu."

"Makcik, pihak lelaki yang akan bertandang tu, bagaimana? Adakah mak cik mengenalinya?"

"Tidak, tapi Syura ada ceritakan kepada kami semua."

"Maksudnya belum ada apa-apa ikatan lagi? Belum ada lamaran?"

"Ya."

"Kalau begitu, Syura belum bertunang. Saya amat berharap agar mak cik boleh pertimbangkan semula hasrat saya. Syura juga begitu. Lagipun, belum aada lamaran dari pihak lelaki tadi."

"Memang belum ada, tapi kami sudah berjanji akan terima lamaran. Kami tidak mahu dituduh memungkiri janji."

"Tidak timbul isu mungkir janji atau tidak mak cik, sebab tuan punya diri ialah Syura. Dia berhak dalam hal ini."

"Mak cik tahu, kamu hebat dalam bidang agama berbanding mak cik. Nanti Syura balik kampung, kami akan bincangkan dengan Syura."

"Terima kasih mak cik, harapnya mak cik tidak kecewakan hasrat hati saya, juga Syura. Assalamualaikum."

Perbualan dihentikan.

Terasa satu bebanan dilepaskan apabila dapat meluahkan rasa gundah yang bersarang di hati. Sudut kecil hatinya masih walang. Bisakah Mak Cik Lijah pertimbangkan hasrat hatinya? Mak Cik Lijah terkenal sebagai orang yang berpegang pada janji. Tegas.

Fauzan maklum, orang yang bertunang atau sedang dipinang sahaja yang tidak boleh dilamar. Itu sabda. Itu juga hukum.

“Janganlah mana-mana antara kamu meminang orang yang telah dipinang oleh saudara (seislamnya).”

Syura bukan tunangan orang, juga belum dipinang jadi peluangnya masih ada. Dia tidak melanggar hukum. Termaktub dalam lembaran sirah, Muawiyah dan Abu Jahm pernah meminang seorang sahabiyah dalam masa yang sama. Wanita itu meminta pendapat Nabi.

“Wahai Rasulullah, aku dipinang dua orang sahabat, Muawiyah dan Abu Jahm, berilah pendapatmu dalam hal ini. Nabi bersabda : Abu Jahm tidak berhenti dari mengangkat tongkat terhadap isterinya yang lain, Muawiyah itu papa, Kahwinilah Usamah bin Zaid.”

Nah, dalam sirah juga ada dua pinangan secara serentak. Namun hati kecil Fauzan bersuara mematikan segala monolognya “janganlah pula kedua-dua kempunan”, nanti binasa badan.

Kisah Musafir Bin Amru yang meninggal dek kecewa kerana Hindun binti Utbah dikahwini Abu Sufyan mula menerjah masuk kotak mindanya. Hati mula bergelora. Bimbang barangkali. Pintanya biarlah Syura menjadi ratu hati yang akan bersama hingga ke Syurga Ilahi.

Fauzan tahu, Imam Ghazali dalam kitab beliau ada menyatakan perihal rindu kepada kekasih sejati. Nukilan kisah dalam Taurat juga memuatkan firman Tuhan.

“Golongan suci merindui Daku dan Aku lebih merindui mereka. Sesiapa yang mencari Ku akan perolehi Ku, sesiapa yang mencari selain Ku, tidak akan menemui Ku.”

Bisakah Fauzan menjadi orang suci kala ini? Hatinya belum dimandikan dengan air iman, belum digilap dengan sabun zikir, juga belum diwangikan dengan mahabbah Ilahi. Mampukah mendakapi rindu Pencipta?


Cetusan Minda : Abu Amir
Lirikan Hati : Ummu Amir

Read more...

21 November 2011

Teletubbies Saya!

Bismillahirrahmanirrahim.

7 November pulang ke Kelantan.

8 November ziarah sahabat zauj yang dapat bayi lelaki, sudah berusia 9 hari semasa kami ziarah. Kecil saja, 2.4 kg lebih kurang besar Amir Solihin masa lahir juga tetapi bezanya kepala Amir Solihin besar :p

9 November Amir Solihin mula batuk dan selesema sikit-sikit dan merengek. Jam 9 malam kami bertolak pulang ke Shah Alam memandangkan kondisi Amir yang semakin tak baik.

10 November Amir Solihin demam panas. Jam 9.20 pagi selamat tiba di Shah Alam (12 jam 20 minit perjalanan). Perjalanan yang tersangat mencabar, Amir Solihin menangis sepanjang jalan kecuali bila dia tertidur kerana penat. Kebiasaannya Amir Solihin akan diletakkan di dalam car seat apabila kami musafir perjalanan yang panjang. Tetapi, kali ini Amir Solihin langsung tidak mahu diletakkan. Maka, duduk dalam pangkuan umminya sepanjang jalan dan kami pun banyak kali berhenti itu yang jadi 12 jam :p

Tiba di Shah Alam, mandikan Amir Solihin dan kami bersihkan diri terus makan bekalan dari Kelantan. Hajat nak rehatkan diri sejenak terpaksa dibatalkan, kami bergegas ke klinik kerana badan Amir Solihin semakin panas. Pergi klinik jam 11.05 pagi, jam 12.45 tengah hari baru sampai rumah. Tertidur jugalah Abu Amir di klinik sementara menunggu dipanggil.

11 November nampak Amir Solihin dah kurang demam tapi selesema dan batuk makin kuat.

14 November melihat keadaan kahak Amir Solihin yang semakin kuat maka selepas Abu Amir selesai kuliah maghrib, bawa Amir Solihin ke klinik. Doktor katakan memang Amir Solihin berkahak tetapi habiskan dahulu ubat-ubatan yang telah diberikan.

15 November kahak Amir Solihin semakin kuat dan beliau kurang menyusu. Nafasnya seperti orang lelah. Doktor bagi ubat cairkan kahak, antibiotik dan minta belikan menthol crystal. Kahak di dalam paru-paru Amir Solihin sangat banyak, kalau dibiarkan akan menjadi paru-paru berair.

Maka, kami pergi ke farmasi dapatkan menthol crystal buat Amir. Cuba buatkan seperti yang diajar doktor, meraung-raung Amir Solihin kesakitan kesan menthol crystal. Kami berhenti sebelum habis wap menthol crystal hilang kerana tak sanggup melihat Amir Solihin 'menggelupur' kesakitan.


17 November bawa Amir Solihin jumpa another doctor di Sungai Buloh, doktor kesayanganku! Masa tu langsung tiada pesakit, hanya Amir Solihin sahaja. Doktor check Amir Solihin (pernafasannya) dan terus berikan gas. Bila diberitahu doktor (di Shah Alam) suruh beli menthol crystal untuk berikan kepada Amir Solihin. Gotha! Kena marah kaw-kaw punya... :p

"Kau ingat anak kau ni askar ke? Ini penderaan tau. Menthol crystal tu sangat menyakitkan. Kita yang tua ni pun sakit inikan pula dia kecil lagi, lapisan hidung dia nipis. Sakit tau! Memang boleh bagi tapi sangat kejam. Kau kena ingat, aku ada 2 orang je anak. Apa yang aku bagi kat pesakit, aku bagi pada anak-anak aku. Aku mesti nak bagi yang terbaik je kat anak aku."

Gurlp... padan muka Insyirah, siapa suruh tak nak bawa Amir Solihin jumpa 'mak angkat' dia.

"Entah, doktor tu suruh buat. Saya pun tak tahu. Memang saya cuba, sakit."

"Sakit tau! Tengok aku bagi dia (Amir Solihin) gas, excited betul dia (Amir Solihin)."

Hehehe... Amir Solihin melompat-lompat dan bergelak ketawa semasa diberikan gas oleh nurse, doktor yang sedang lecture Ummu Amir hanya tersengih saja, lenguh tangan nak pegang Amir Solihin yang excited. Nurse pun tergelak dengan kerenah Amir Solihin, budak-budak lain menangis meraung menjerit diberikan gas tapi Amir Solihin excited. Kui kui kui...

"Lepas ni kau jangan mengada-ngada bagi menthol crystal lagi. Aku bagi ubat dan antibiotik, kau bagi dia makan sampai habis. Kalau anak kau sakit, jangan bawa jumpa orang lain bawa kat aku je. Dia ni anak aku, kau lahirkan dia je..."

Kui kui kui...

Feel so happy! Alhamdulillah, selepas siap diberikan gas kami ambil ubat dan bayar di kaunter. Amir Solihin kelihatan 'selesa' selepas diberikan gas. Kemaruk minum susu (nak qadho quota yang tak dipenuhi masa demam) sampai ummi kekeringan, lapar sokmo. Abi pun pelik tengok ummi mengunyah tak henti-henti. :)

"Lapar la banggggg..." :P

"Patut la dalam feqh. Rukhsoh wanita yang menyusu untuk tidak berpuasa lebih kuat berbanding ibu yang hamil." Abu Amir membuat kesimpulannya :)

Amir Solihin, moga jadi anak yang soleh.


Kesimpulannya, bukan semua doktor berjiwa 'ibu' untuk memberi nasihat yang terbaik kepada pesakit. Semakin ku mengerti perasaan ummi semasa melayani diriku suatu ketika dahulu, semakin ku fahami perasaan ummi sewaktu menerima ujian dari Rabb Izzati. Terima kasih Tuhan!

Ummu Amir

Read more...

19 November 2011

Katak Bawah Tempurung

Bismillahirrahmanirrahim.

Seorang wanita yang dianugerahkan dengan sifat pemalu bahkan fitrah manusia adalah malu membuat kejahatan, diantara lain ialah memelihara sifat malu dari dihakis kerana tanpa sifat malu manusia akan berbuat apa sahaja yang tidak dibayangkan bagi jiwa-jiwa yang mempunyai sifat malu. Tetapi, malu perlulah diletakkan pada tempat yang betul. Malangnya, kerana terlalu menjaga malu akhirnya menuntut ilmu juga dirasakan tidak perlu apabila gurunya adalah seorang lelaki.

Malu itu perlu tetapi perlu diletakkan pada tempat yang betul, malu berbuat dosa dan maksiat itu perlu. Malu kepada Allah yang melihat apa yang kita lakukan, malu kepada malaikat yang mencatat kesalahan yang dilakukan, malu kepada manusia kerana berlawanan dengan fitrah seorang manusia iaitu menyukai perkara-perkara kebaikan.

Seorang wanita yang memperjuangkan dirinya sebagai hamba Allah yakni melaksanakan tugasan-tugasan sebagai seorang muslim, bermujahadah untuk menjadi manusia yang disenangi manusia lainnya, berjuang mendidik hawa nafsu dan akalnya agar dipandu oleh iman. Meletakkan Allah sebagai destinasi perjuangan di medan kehidupan dunia... Iya... Dia seorang wanita yang sedang berjuang, berjuang untuk menjadi hamba Allah.

Bila ditanya mengapa dirinya yang memiliki kelulusan akademik yang bagus dan mampu menjawat jawatan yang insha Allah bagus... Dia hanya tersenyum mempamerkan barisan gigi yang putih bersih, dari ketenangan yang dipancarkan dari air mukanya jelas menunjukkan dia bahagia dengan apa yang menjadi rutin kehidupan sehariannya.

"Kenapa akak tak bekerja sedangkan akak memiliki ijazah dengan keputusan yang sangat baik?"

Dari rumpun akhlaq yang indah, disadur dengan nur iman yang menyinari hatinya dia merendah diri.

"Keputusan yang hanya cemerlang di atas sijil, belum tentu cemerlang di hadapan Allah."

Tunduknya membawa seribu persoalan. Bagaimanakah dikatakan kecemerlangan hanya tercatat di atas sijil dan bukannya cemerlang di hadapan Allah?

"Bila kita belajar, kita katakan kita belajar kerana Allah tetapi... bila diberikan tugasan oleh guru, kita merungut dengan banyaknya bebanan tugas yang perlu dilunaskan. Bila kita diberikan amanah dalam sesuatu perkara, kita tidak melaksanakan dengan semaksima yang boleh tetapi sekadar ianya siap dilakukan. Banyak yang kita sandarkan kepada Allah tetapi hanya dibibir, tidak pada amalan perbuatan kita."

Khadijah diam, mendengar kata-kata Ummu Nufail yang begitu menyengat hatinya. Kala dirinya terbeban dengan tugasan-tugasan persatuan, berhadapan dengan kerenah birokrasi pihak pengurusan universiti sedikit sebanyak menyumbat mindanya dari bergerak dengan baik. Apatah lagi berhadapan dengan manusia-manusia yang tidak suka melihat orang berjuang untuk membuat amal kebaikan, gerutu di hati hanya Tuhan sajalah yang mengerti.

Astaghfirullah hal azhim.

"Bila kita nak buat benda baik, mesti banyak ujian. Banyak halangan. Bukan sebagai penghalang kita terus membuat kebaikan tetapi sebagai batu loncatan untuk membuat gandaan kebaikan. Kalau dahulu hanya usaha untuk membuat kebaikan, apabila diberi masalah maka kita akan membuat kebaikan yang lain jadi dalam erti kata lain masalah atas masalah adalah gandaan peluang membuat kebajikan. Alhamdulillah!"

Ummu Nufail meneruskan tutur bicaranya. Khadijah beristighfar, segala 'kelelahan' seakan terabur tidak terkutip dek kerana salju bicara Ummu Nufail meniup semangat baru.

Sambil menikmati kuih karipap air tangan dari Ummu Nufail, Khadijah masih ingin menggali jawapan dari ibu kepada 6 orang anak ini.

"Kenapa akak tak bekerja ya?"

Menjadi seorang wanita bekerjaya bukanlah satu pemandangan asing di zaman kini. Kalau dahulu, wanita terperuk di dapur tetapi kini wanita mendominasi beberapa bidang bahkan lambakan graduan wanita di pasaran menyebabkan pelbagai usaha dilakukan untuk menarik minat lelaki bagi memenuhi beberapa permintaan pasaran pekerjaan.

"Alhamdulillah, Allah memberi akak seorang suami yang mampu memberi nafkah kepada akak dan menanggung anak-anak. Tidak ada tugas yang lebih disenangi oleh akak selain menguruskan keluarga. Mujahadah seorang isteri adalah melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak-hak suami, mujahadah seorang ibu adalah mendidik anak-anak dan memberikan kasih sayang kepada mereka. Justeru apabila menjadi seorang isteri dan seorang ibu, dakwah terpampang di hadapan mata untuk menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.

Pendidikan awal kanak-kanak bermula dari ibubapa. Setelah bergelar ibu dan bapa, seolah ada cermin pantulan yang akan berdiri sebagai bayang-bayang kita. Apa sahaja yang kita lakukan, insha Allah akan ditiru oleh anak-anak. Sekiranya seorang bapa culas melaksanakan ibadah solat, apatah lagi anak-anak akan semakin liat untuk menegakkan 'tiang agama'. Bila 'tiang agama' sahaja tidak kukuh, solatnya cacat... Maka susun atur kehidupan beragama akan goyah.

Bila seorang ibu tidak menutup aurat, tidak mahu tunduk dengan syariat Allah bagaimana anak-anak mahu taat dengan ibubapa? Menjadi ibu dan bapa saja sudah cukup susah, mengandungkan dengan penuh kepayahan dan melahirkan dengan penuh kesakitan apatah lagi proses pendidikan anak-anak. Tapi, kita juga yang minta Allah berikan anak-anak. Bila Allah dah berikan anak-anak, tugas kita kena la jaga betul-betul.

Seorang isteri yang bekerja, kadangkala sempat meluangkan waktu untuk 'merapikan wajah' sebaik mungkin sebelum melangkah keluar dari rumah tetapi sewaktu keberadaannya di rumah sangat jarang menghiaskan dirinya di hadapan suami. Untuk apa seorang wanita berhias? Tentulah jawapannya supaya dirinya mendapat perhatian. Mahu perhatian dari siapa di luar sana? Jadi, untuk siapa dan untuk apa berhias?

Menjadi suri rumah tangga kepada 6 orang anak lelaki adalah peluang keemasan untuk menyiapkan agenda buat ummah. Tarbiyyah anak-anak yang bermula dari rumah, secara tepatnya dari seorang ibu yang diasuh dengan ilmu agama dan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah insha Allah akan menjadi ahli yang bertamadun dalam sebuah masyarakat. Bila ahli-ahli yang bertamadun menggerakkan sebuah masyarakat, tentulah masyarakat tersebut berakhlaq baik."

Desir hati Khadijah seakan mendapat suntikan yang membuat rongga-rongga pernafasannya menjadi lebih laju.

"Jawapan yang begitu aneh, agendanya buat ummah... agenda yang perlu dirangka dengan bijaksana dalam pelan jangka masa panjang, pelaburan di dunia untuk saham akhirat. Nampak sulit benar, kerana itulah perlunya pengorbanan yang besar dalam menyiapkan aset yang hebat!"

Hanya mainan monolog meniti di minda.

"Perlukah seorang wanita menjadi 'katak bawah tempurung' untuk mendidik anak-anak? Benar, dakwah itu perlu kepada keluarga. Tetapi, bagaimana dengan ummah di luar sana? Mereka juga memerlukan da'ei untuk membimbing. Kalau para ibu duduk di rumah mendidik anak-anak, siapakah yang bakal tunjuk ajar kepada ummah? Masyarakat memerlukan kita kak."

Ummu Nufail tersenyum, tenang wajahnya. Disebalik ketenangan dari wajahnya, terbit semangat yang kental.

"Seorang wanita... apabila menjadi seorang anak, maka dia perlulah menjaga nama baik kedua ibubapanya. Apabila melakukan perkara yang bertentangan dengan fitrah manusia yakni mencintai kebaikan, maka masyarakat akan menghukum ibubapanya. Apabila menjadi seorang isteri, seorang wanita memikul nama suaminya di mana sahaja dia menapak. Seandainya ada akhlaqnya yang tidak disenangi masyarakat maka mereka akan menghukum suaminya. Menjadi wanita ini sulit kerana kebaikannya akan menjadi sebutan, kecantikannya akan menjadi siulan, seluruh gerak dan gerinya seolah menjadi perhatian.

Sememangnya ummah memerlukan kita. Kerana itu perlunya kita sediakan sesuatu buat ummah! Sediakan anak-anak yang soleh, berikan mereka ilmu agama yang akan mendidik mereka menjadi masyarakat yang bertamadun. Insha Allah, dengan hadirnya insan-insan yang bertamadun di dalam sesebuah masyarakat maka penyakit sosial akan sembuh."


Mana mungkin 'seekor' katak di bawah tempurung akan berwawasan untuk merangka pelan mendidik anak-anak bagi menfaat ummah. Mana mungkin 'seekor' katak di bawah tempurung berfikiran jauh untuk melabur kehidupan di dunia untuk menambah saham akhirat kelak.

Seorang wanita itu...

Menjadi anak dengan ketaatan kepada ibubapa.
Menjadi kakak dengan ketegasan kepada adik-adiknya.
Menjadi adik dengan kelembutan kepada abang dan kakaknya.
Menjadi sahabat dengan kasih sayang kepada saudara seagamanya.
Menjadi teman dengan kepercayaan kepada teman-temannya.

Menjadi isteri dengan pelaksanaan hak dan tanggungjawab penuh kasih sayang kepada suaminya.

Menjadi ibu dengan mendidik dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anaknya.

Terasingnya seorang wanita dari dunia luar bukanlah mematikan hubungannya dengan dunia global sebaliknya melindungi dirinya dari anasir yang akan mengganggu gugat perangkaannya dalam mendidik diri dan menyiapkan aset buat ummah.

Terima kasih ukhti!

Read more...

18 November 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Sesusai solat maghrib Fauzan merapatkan tubuhnya pada dinding Masjid Sultan Ahmad Shah. Fauzan merasa ketenangan menyusup ke dalam hatinya. Masjid ini rancak dengan aktiviti keagamaan. Kemeriahan siri kuliah dari beberapa profesor dan ulama UIA menyuburkan diri Fauzan dengan semangat cintakan ilmu. Fauzan tidak mahu ketinggalan dalam lapangan ilmu yang tersedia, seboleh-bolehnya Fauzan berusaha untuk menghadiri kuliah yang diadakan.

Kebiasaannya, Dr Abu Laith akan memberi kuliah hadith Bukhari. Dr Abu Laith merupakan lepasan Darul Uloom Deoband India, sebuah Universiti Islam yang tertua dan terkenal selain dari Universiti Al-Azhar di Mesir. Jika Al-Azhar diwujudkan bertujuan untuk mengawal dan menghapuskan ajaran Syiah di Mesir dan dunia Islam, Darul Uloom juga tidak kurang pentingnya dalam memainkan peranan tersebut.

Darul Uloom Deoband didirikan pada tanggal 15 Muharram 1283 hijriyah, bertepatan dengan tanggal 1 Mei 1866 semasa penjajahan British. Semasa penjajahan, Kerajaan British mengambil alih kuasa dalam lembaga pendidikan dengan merampas dan menguasai seluruh pusat ilmu pengetahun dan pendidikan. Menurut British, mereka melakukan gerakan pembaharuan sistem pendidikan. Dengan cara itu, British dapat menyuntik virus ideologi ala Barat dan mengikis pemikiran dan keyakinan agama warga setempat.

Saat itu, para ulama Muslim khuatir tergesernya kepercayaan Islam akibat politik imperialis di dunia pendidikan. Keprihatinan tersebut mendorong mereka untuk berusaha keras menjaga, melindungi dan mempertahankan aqidah, budaya dan ajaran Islam di negeri itu. Masyarakat menerima dan menyambut baik usaha keras para ulama dan cendekiawan Muslim. Menggunakan dana yang terkumpul dari swadaya masyarakat, maka dibangunkan beberapa lembaga pendidikan yang menyebarkan berbagai cabang ilmu keislaman, sejarah Nabi s.a.w. dan pemikiran murni Islam.

Banyak ulama dan cendekiawan yang terlibat dalam pekerjaan besar dan mulia ini diantaranya adalah Sheikh Imdadullah Muhajir Makki, Rashid Ahmad Gangguhi, Sheikh Dzul Fiqar Ali Deobandi, Hajj Abed Husein Kuceki, Sheikh Mohammad Ya'qub Nanutoui, Sheikh Fadhlur Rahman Utsmani Deobandi dan sederet nama lainnya.

Desa Deoband yang kecil semakin terkenal secara luas di India dan menjelma sebagai salah satu kota terpenting di negeri itu yang hanya berjarak 150 kilometer dari ibu kota, New Delhi. Sesuai dengan peredaran waktu, sekolah Islam Darul Uloom Deoband semakin berkembang dan maju dengan pesat sehingga berubah menjadi perguruan tinggi dengan nama Universiti Islam Darul Uloom.

Itulah antara intipati kuliah Dr Abu Laith. Panjang lebar tentang sejarah Universiti yang menjadi ‘taman asuhan’ beliau. Tidak dinafikan, Dr Abu Laith mahir dalam bidang hadith, tambahan pula, aliran pengajian beliau diakhiri dengan pengajian Kutub Sittah. Beliau hadami Sohih Imam Bukhari, Imam Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Tirmizi, Sunan Nisai dan Sunan Ibnu Majah. Di samping itu, Dr Abu Laith juga mempunyai pelbagai ilmu pelengkap yang lainnya.

Fauzan amat mengagumi Dr Abu Laith. Fauzan bertekad titisan mutiara dari Dr Abu Laith tidak akan dibiarkan jatuh tanpa ditadah. Niat mahu melanjutkan pelajaran ke India atau Pakistan selepas tamat SPM tempoh hari dipendam, ibubapanya berharap agar Fauzan terus berada di dalam negeri sahaja.

Fauzan akur. Redha ibu bapa sentiasa didahulukan Fauzan. Rasa terkilan apabila bapanya terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi sebelum tibanya majlis ‘pengisytiharan’ kemahiran beliau dalam bidang agama. Kendati mawar pujaannya juga turut berperangai pelik sepanjang sebulan lalu selepas Hari Raya Puasa. Sepatutnya ceria untuk menyambut Hari Raya Korban yang bakal kunjung tiba, tapi kasihnya seakan turut akan di'korban'kan.

Syura dikenali tika dia kebetulan menziarahi sahabatnya Hasnul Razi di Banggol Stol, Pasir Mas, Kelantan pada Hari Raya Puasa dua tahun lepas.

Syura pula menziarahi ibu saudaranya, bersebelahan rumah Hasnul.

Tika bersiap untuk pulang, Syura tiba-tiba jatuh pengsan. Adik Syura, Naimah pula tak semena-mena meraung. Dalam kelam kabut itulah, Hasnul pinta Fauzan cuba rawati mereka. Kata Hasnul, Syura telah lama 'sakit'.

Muka Syura yang iras perempuan Cina, kulit halus lembut, bijak dalam kelas membuatkan ramai yang meminatinya. Sejak di tingkatan 3 lagi, Syura telah dipinang, namun ditolak. Fikir Syura, dia masih mentah dan masih mahu meneruskan pengajian. Tanpa diduga, Syura jatuh sakit hingga terpaksa menangguhkan pengajian selama dua tahun. Setelah itu, dia gagahkan diri untuk meneruskan pengajian.

Pengajian Syura di Universiti Kebangsaan Malaysia turut menguji ketabahannya. Rebah dan pengsan di dewan kuliah, di bilik hostel sudah menjadi kebiasaan. Pernah suatu ketika, pensyarah menasihatkan agar Syura tangguhkan pengajian namun Syura ketepikan semua itu. Dia mahu buktikan yang dia yakin pada kuasa Tuhan yang menentu segala. Kejayaan bukan mustahil digapai dalam keadaan dirinya yang 'sakit'.

Itu cerita Hasnul.

Sekarang, Syura pengsan lagi, adiknya pula meracau.

Terkumat kamit mulut Fauzan membaca ayat-ayat jampi . Pengajian yang diladeni di Darul Syifa dimanfaatkan sebaiknya pada saat ini. AlhamduliLLAH, setelah habis membacakan ayat-ayat penawar, Syura mula sedar. Kelihatan raut wajah seorang demi seorang kembali tenang setelah kalut melihat keadaan Syura.

"Emm untuk rawatan susulan, saya cadangkan makcik ambil 21 helai daun bidara, ditumbuk dengan lesung batu, kemudian dibacakan ayat-ayat yang akan saya tulis nanti. Air itu digunakan untuk bilasan mandi Syura. Kalau boleh, air yang digunakan tadi ditakung dan buang ke tempat yang tidak menjadi laluan manusia. Juga jangan lupa baca ‘la ilaaha illa Allah wahdahu la syarika lah, lahu almulk wa lahu alhamd yuhyi wa yumiit wa hua ‘al kulli syai’in qodiir sebanyak seratus kali setiap pagi."

Sejak peristiwa itu, Syura beransur pulih. Ketenangan merembes ruang hatinya. Tidak pernah dirasakan ketenangan sebegini sebelum ini. Bermula dari peristiwa tersebut, Syura mula berutus khabar dengan Fauzan. Terhutang budi yang amat. Hubungan mereka disenangi orang tua Syura. AlhamduliLLAH. Hidup Syura yang sebelum ini suram sedikit demi sedikit menjadi cerah. Langit hidupnya kembali ceria, awan yang suram sudah berarak pergi...


Nota kaki :

Tulisan : Abu Amir
Diedit oleh : Ummu Amir

Read more...

15 November 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 2


Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi ini, Saufi kepenatan gara-gara semalaman tidak dapat tidur dengan nyenyak. Namun kesempatan itu juga digunakannya untuk memanjatkan doa, menadah tangan kehadrat Yang Esa. Pohonnya, biarlah Allah yang mengatur untuknya. Moga kemelut itu akan berakhir dengan baik.

اللهم أحسن عاقبتى فى الأمر كله وأجرنى من خزى الدنيا وعذاب الأخرة

Ya Allah, elokkanlah kesudahan urusanku semuanya dan selamatkanlah daku dari kehinaan dunia dan azab di akhirat.

Saufi melangkah keluar dari biliknya di compartment A 107 blok A. Buku karangan Ibnu Qayyim al Jauziyyah, Hikmah Ujian dipegang kemas. Seusai solat malam tadi, iris matanya melirik ke arah buku itu. Seingat Saufi, buku itu kiriman seorang sahabat seusrahnya di Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi Lelaki, Nik Azrin. Dia kini melanjutkan pengajiannya di Mesir. Sepatutnya, Saufi turut sama menjejaki sahabatnya di sana, namun dia punyai matlamat untuk berada di Univesrsiti Islam Antarabangsa (UIA). Sudah beberapa ketika buku itu tersimpan di rak, debu-debu mula menapak di muka kulit.

"...dan kemungkinan antara hikmah ujian ialah, ia merupakan satu peluang untuk meneliti kembali kejadian lepas, berhenti sejenak memikirkan perancangan akan datang. Oleh itu, ujian akan memberikan nilai tambah kepada mana-mana individu untuk lebih matang dan jiwa yang padu, juga memberikan keutuhan hati dan perasaan mendalam dalam minda seorang da'ie"

Itu kata-kata Ibnu Qayim dalam buku beliau. Ingin Saufi lanjutkan lagi bacaan, namun dia memerlukan waktu yang tenang kerana itu buku tersebut turut dibawa bersama ke kuliyyah.

Perjalanan untuk ke kuliyyah hanya mengambil masa 5 minit sahaja dari Mahallah Zubair. Namun ada juga di kalangan muslimin menggunakan motorsikal. Bagi muslimah, Mahallah Safiyyah yang paling dekat dengan kuliyyah. Saufi memilih untuk berjalan kaki. Baginya, berjalan boleh mencernakan minda, memberi senaman anggota. Apatah lagi Rasulullah s.a.w. menyatakan :

Sesiapa yang menyusuri jalan untuk mencari ilmu Allah, pasti Allah akan mudahkan jalan untuknya (dengan sebab tujuannya) ke syurga.

Subjek yang perlu Saufi ikuti hari ini ialah konsep penggunaan Kaedah Feqah. Subjek berkenaan oleh Dr Bari Awang. Beliau anak jati Tanah Merah, Kelantan. Terbit juga rasa bangga Saufi terhadap pencapaian pensyarahnya. Bukan asobiah tapi ukhuwwah. Topik yang dikupas berkenaan autoriti uruf dan adat dalam perundangan Islam menarik perhatian Saufi. Seluruh perhatian diberikan sepanjang berlangsungnya sesi pembelajaran. Kesimpulan akhir dari Dr Bari, turut mencuit hati Saufi

"... saya amat kurang bersetuju jika pelajar-pelajar saya kahwin semasa alam belajar. Kalau nak kahwin pun, buat kenduri makan bihun sahaja. Saya tahu, kamu semua bukannya ada duit pun, nanti dah habis belajar, bercerai. Tak ada beza dengan orang di luar sana, jadi janganlah kerana adat orang nak kahwin awal, kamu pun nak kahwin juga!"

Seusai kuliyyah, Saufi segera ke Mahallah Ali untuk menikmati juadah tengah hari. Café di Mahallah Ali digemari para pelajar kerana menawarkan bukan sekadar harga yang murah tapi makanan yang amat menyelerakan. Tambahan pula Saufi telah berjanji dengan Hasnul Razi untuk bertemu di café. Hasnul Razi adalah sepupu Syura dan mengambil jurusan undang-undang.

Hasnul : Assalamualaikum. Menung panjang nampak.

Saufi : Walaikumussalam, tak ada la. Ana teringatkan kata-kata Dr Bari tadi, sinis tapi bermakna.

Hasnul : Oo yeke? Ke teringat buah hati?

Saufi : Eh ke situ pula, ana serius la teringat kata-kata Dr tadi.

Hasnul : Em ok. Macamana dengan tawaran ana minggu lepas, jadi ke?

Saufi : Em ana setuju, cuma bagaimana dengan modal?

Hasnul : Modal tu, enta jangan runsing. Ummi ana janji untuk berikan duit simpanannya sebagai hutang kepada kita. Ala, bukannya banyak pun kalau kita berhutang ni, lagi pun ummi ana tak kisah bila kita nak bayar.

Saufi: Ok lah. Hal ehwal promosi ana akan laksanakan, enta hanya dapatkan bekalan perfume, printer dan tempahan t-shirt muslimah juga jubah. Boleh?

Hasnul : Boleh ya syeikh. Er... satu lagi. Enta ada jumpa Fauzan?

Saufi : Semalam ana jumpa, kenapa?

Hasnul : Dia ada call ana, tapi ana 'silent'kan handset. Ana agak dia mahu tanyakan pasal Syura…

Hasnul memandang Saufi, tiada kata bersahut darinya. Nafas ditarik panjang… dia kaget lagi.

Kelibat Fauzan tidak kelihatan. Biasanya paling tidak Fauzan akan sertai mereka di café Mahallah Ali. Bagaimana dia?


* Nota kaki *

Ditulis oleh : Abu Amir
Diedit oleh : Ummu Amir / Insyirah Soleha

Read more...

14 November 2011

Belajarlah Sunnah Rasulullah

Bismillahirrahmanirrahim.

"Kalau nak tahu solehah atau tidak seorang isteri, uji dengan poligami."

"Sebab itulah adanya poligami, supaya orang perempuan belajar bla bla bla..."

"Poligami itu sunnah nabi, kalau kau menentang poligami sama juga kau menentang nabi!"


Astaghfirullah hal azhim. Sebelum menaip ungkapan-ungkapan ini, ana terlebih dulu beristighfar berulang kali dan mententeramkan diri dengan berselawat sambil halwa telinga diperdengarkan selawat dan puji-pujian ke atas Rasulullah s.a.w. supaya tetap bersederhana terhadap kawalan emosi.

Poligami seringkali dikaitkan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sebelum berkahwin, ana hanya 'diperkenalkan' kepada Rasulullah melalui sirah nabawi dan juga sedikit cerita-ceriti dari ustaz semasa mendengar ceramah di bulan maulud nabi sahaja. Selepas berkahwin, alhamdulillah mengikut talaqqi yang memperdengarkan hadith-hadith dan sirah nabawi di dalam kitab Syamaail Muhammad sehingga terduduk rasanya, terasa baru berkenalan dengan Rasulullah.


Rabun Dekat Rabun Jauh.

Orang lelaki kebanyakannya memandang perkara yang besar tetapi terlupa melihat perkara-perkara yang kecil. Orang lelaki, melihat yang jauh-jauh tetapi terlepas pandang perkara di depan mata. Kerana itu jugalah orang lelaki sinonim dengan jolokan "Rabun Dekat" kerana tidak mahu melihat apa yang dekat tetapi terus memandang yang jauh.

Orang perempuan kebanyakannya memandang perkara yang kecil tetapi tidak mahu melihat perkara-perkara yang besar. Orang perempuan melihat yang hampir-hampir sahaja dan jarang mahu meluaskan pandangan hingga saujana mata memandang. Kerana itu jugalah orang perempuan sinonim dengan jolokan "Rabun Jauh" kerana tidak mahu melihat yang jauh-jauh. Fikirannya disingkatkan dengan akal yang sejemput, tambah pula tidak mahu diikat dengan iman maka apa yang difikirnya sudahlah singkat... dangkal pula.


Duduklah dipertengahan. Didik mata untuk sentiasa memelihara pandangan :) Maksud ana, lelaki dan wanita perlu sama-sama saling berkenalan dan mengambil tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing agar yang kurang ditampung-tampungkan, yang lebih dikongsi-kongsikan. Insha Allah...


Orang Kebanyakan.

Ramai juga lelaki kebanyakan (maksudnya orang awam yang tak memahami agama dan tidak mahu belajar tentang agama) memandang poligami bukan sahaja gurauan senda bahkan ahli agamawan juga seringkali menggunakan kalimah poligami sebagai pemanis bicara sehingga mengakibatkan kaum hawa menjeruk rasa. Bukanlah menidakkan apa yang Allah taqdirkan (syariat) tetapi mahu dibukakan sedikit ruang yang telah disempitkan oleh kaum Adam sendiri.

Para wanita yang tidak didedahkan dengan konsep poligami menurut sunnah nabi (yang sebenarnya) memandang syariat Allah sebagai satu undang-undang yang tidak menyebelahi wanita bahkan sehingga suatu saat ia seakan mengancam kaum wanita bahawa poligami adalah 'pedang' yang memancung kebahagiaan dalam rumahtangga, maka lahirlah pelbagai pendapat yang mendakwa Islam memandang rendah terhadap wanita, bahkan lebih teruk lagi apabila mereka mencanang bahawa Islam menganiaya wanita.

"Mereka yang gegak gempita melaungkan hak asasi wanita tu tak belajar Surah An-Nisa', entah-entah tak baca pun Surah An-Nisa'."

Itulah yang dikatakan oleh suami sewaktu awal-awal berkahwin dulu, masih di dalam fasa bulan madu bintang dan matahari.

"Ajarkanlah wanita-wanita tentang surah An-Nisa' dan surah An-Nuur kerana di dalam dua surah ini banyak membincangkan tentang wanita."

Sekali lagi suara suami bergema di halwa telinga yang membuatkan diri terasa begitu berharga.


Persepsi Berubah.

Sebelum berkahwin, persepsi ana terhadap poligami sesuatu yang nampak sinis. Pendapat ana, lelaki terlalu 'cetek' menggertak wanita dengan perkara-perkara berkaitan poligami sehinggalah terjadi suatu perkara kepada diri sendiri... Lalu muhasabah sendiri.

Seorang wanita yang menyokong suaminya (suami tidak memerlukan keizinan isteri pertama untuk berpoligami) berkahwin lain dengan seorang gadis di saat dirinya sedang sarat mengandung. Meskipun suaminya tidak berjodoh dengan gadis tersebut namun wanita itu masih lagi bersikap selamba apabila bertemu dengan gadis yang pernah menjadi bakal madunya.


Melihat situasi ini, ana berfikir sejenak. Bukan nak kata susah untuk jumpa dengan muslimah begini bahkan sangatlah payah untuk akal berfikir ada atau tidak muslimah sebegini pada zaman penuh fitnah.



Belajarlah Sunnah Nabi Bukan Punahkan Sunnah.

Wanita dimomokkan akan mendapat 'payung emas' di akhirat kelak sekiranya rela dimadukan oleh suaminya. Tiada nas yang sohih mengenai perkara ini, hanya omongan kosong dari pihak lelaki yang mahu melembutkan hati wanita lalu 'ditipu hidup-hidup' dengan perkara payung emas.

Sunnah Rasulullah bukanlah hanya kepada poligami. Lihat juga sejarah bagaimana bermulanya hidup Rasulullah berpoligami, poligami Rasulullah semuanya BERMATLAMAT bukannya sekadar menambah koleksi 'perhiasan dunia'. Ramai lelaki yang sering menakutkan wanita dengan poligami bahkan ditambahkan perisa dengan ugutan sekiranya menolak poligami samalah juga menolak hukum Allah, menidakkan poligami maka menidakkan juga sunnah Rasulullah.

Hiduplah kamu sebagaimana Rasulullah hidup.

Jadilah seorang anak sepertimana Rasulullah menjadi ANAK.

Jadilah seorang suami sepertimana Rasulullah menjadi SUAMI.

Jadilah seorang bapa sepertimana Rasulullah menjadi BAPA.

Jadilah seorang sahabat sepertimana Rasulullah menjadi SAHABAT.

Jadilah seorang jiran sepertimana Rasulullah BERJIRAN.

Jadilah seorang pemimpin sepertimana KEPIMPINAN Rasulullah.

Tiliklah diri terlebih dahulu, kalau seorang isteri tidak mampu dijinakkan seperti lembutnya peribadi Sayyidah Khadijah... apakah mahu menambah beban mendidik sedangkan apa yang ada di depan mata sahaja tidak terdidik.

Selepas 'khatam' peribadi Rasulullah dengan teori serta amali, hidupkanlah sunnah-sunnah Rasulullah bersama isterimu. Didik dan fahamkan isterimu mengenai sunnah-sunnah Rasulullah dan suburkanlah sunnah-sunnah Rasulullah di dalam rumahtanggamu kemudian barulah berbual poligami itu sunnah Rasulullah. Dan setelah itu barulah boleh bercakap sekiranya isterimu menentang poligami, dirinya menentang sunnah nabi dan syariat Ilahi.

Fahamkan... Fahamkan... Fahamkan isterimu!

Bagaimana untuk fahamkan si isteri andai suami pun belum faham dan tidak mahu faham kemudian buat-buat faham, maka... itulah yang terjadi. Kehidupan rumahtangga menjadi porak peranda, masing-masing menuntut kefahaman sedangkan tiada pihak yang mengajar memberi faham :)

"Orang yang paling baik dikalangan kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya dan akulah yang paling baik terhadap keluargaku." -mahfum hadith-

*mujur juga ada bulan maulud, dengar juga sirah Nabi. Kalau Maulud tak bersambut, ramailah yang tak tahu sirah Nabi*


Wallahua'lam

Ummu Amir

Read more...

11 November 2011

[Cerpen] Dia Aisyahku 1

Bismillahirrahmanirrahim


Saufi menghela nafas panjang. Sukar baginya untuk menarik nafas. Bukan kerana sakit,tapi kesan dari pertemuan malam tadi bersama seorang sahabat di restoran di Greenwood, amat memberatkan kepalanya.

"Assalamualaikum akhi, ana hajat untuk bertemu akhi buat seketika"

Pesanan SMS itu dibacanya. Dia amat kenali nombor yang tertera pada talifon bimbitnya. Sahabat karibnya Fauzan. Kali terakhir mereka bertemu, tika menghadiri jamuan korban di rumah sepupu Saufi di Sungai Chincin. Itupun hanya sekadar bersapa, Saufi perlu pulang segera memandangkan dia ada urusan berkaitan kuliah di Universiti Islam Antarabangsa. Masing-masing sibuk dengan urusan pelajaran.

Saufi menuntut di Jabatan Fiqh Dan Usul manakala Fauzan di Jabatan Quran Sunnah. Apatah lagi mereka berada di lain-lain mahallah. Saufi di Mahallah Zubair, Fauzan di Mahallah Bilal. Jarak mahallah yang jauh menyempitkan peluang untuk mereka bersua, namun ukhuwwah tetap terjalin kukuh.

Pertemuan tadi adalah yang 'terhangat' antara beliau dan sahabat karibnya itu. Mungkin juga pertemuan yang paling lama.

Fauzan : Ana minta maaf amik masa enta. Ana makin tak keruan.

Saufi : Akhi bawa bertenang, kita pesan makanan dulu.

Fauzan : Ana tak de selera.

Saufi : Em ok, ana pesan untuk akhi.

Sup daging dipesan. Juga ayam goreng berempah beserta telur dadar. Itulah menu yang biasa mereka berdua tempah jika makan berdua di restoran.

Makanan yang terhidang, belum lagi disentuh Fauzan. Saufi faham, tentu apa yang terbuku di hati sahabatnya itu agak kusut.

"Sebenarnya akhi Saufi, ana ada hajat besar. Ana tak tahu nak mulakan dari mana tapi ia amat terasa ni." Fauzan memulakan bicaranya.

"Ceritalah akhi, mungkin ana dapat membantu, atau sekurang-sekurangnya akhi dapat 'hambur'kan bebanan itu pada ana." Saufi cuba menenangkan sahabatnya.

"Begini, akhi kenal kan dengan Syura? Tentu akhi lebih lama kenal dia dari ana sendiri kenal dia." Fauzan berterus-terang pada permasalahan yang menganggu fikirannya.

"Ya, kenapa?" Saufi tenang mendepani masalah sahabatnya.

"Ana sejak mula kenal dia lagi, sudah simpan perasaan untuk menjadikan dia bidadari dalam hidup ana. Akhi rasa la, jika seorang perempuan, banyak bercerita dan berkongsi masalah peribadi dengan seorang lelaki, itu tandanya perempuan tadi ada perasaan pada lelaki itu kan?"

Persoalan yang dibangkitkan oleh Fauzan itu, diiyakan oleh Saufi. Dia tahu akan kebenaran itu.
Namun dia hanya mematikan diri, untuk meneroka alam emosi sahabatnya.

"Namun sejak akhir-akhir ni, ana jadi bingung. Akhir tahun lepas, selepas aidilfitri dia bagitahu, ada orang taqdim dia. Gelap dunia ana kala dengarinya." Fauzan menghembuskan nafasnya yang berat.

"Ana sebenarnya dah maklumkan kepada keluarga ana untuk bertemu dengan keluarga Syura selepas raya Puasa. Tapi ana terkilan sebab bapa ana meninggal dalam kemalangan jalanraya. Dia ada mesej ana, nyatakan rasa terkilannya sebab ana tak ke rumahnya raya tahun ni. Dia mengadu, terasa amat sedih kerana mengharapkan ana yang taqdim dia, bukan orang lain. Ini rantaian mesej dia akhi." Fauzan meneruskan bicaranya yang semakin kelam.

Saufi meneliti mesej-mesej yang ditunjukkan Fauzan. Memang benar, ternyata Syura yang menghantar mesej tersebut. Dibacanya satu persatu. Tampak Syura amat memendam rasa.

Mesej 1
.. saya rasa amat sedih sekarang, down sangat. Hati lemah, iman lemah, dan tentunya emosi lemah..

Mesej 2
.. kenapa awak tak datang ke rumah? hmmm..

Hanya dua mesej sahaja yang dibacanya, Saufi tidak berminat untuk tahu yang lainnya.
Suasana bingit, sahut menyahut berselang seli antara bualan mereka. Saufi juga mencari ayat untuk meneruskan bicara. Fauzan masih belum menjamah makanan.

Saufi : Akhi, makan dulu. Nanti sejuk, tak sedap pula.

Fauzan : Ana takda selera sekarang ni .

Saufi : Akhi, jangan ikut emosi sangat. Ana faham akhi, tapi jangan terlalu ikut emosi. Kita seorang lelaki, jangan dikalahkan oleh nafsu. Nafsu itu perlu, tapi kawalan juga harus jitu.

Fauzan : Akhi Saufi, ana nak minta tolong enta untuk cuba selidik.

Saufi : Selidik tentang apa?

Fauzan : Dia cakap dia dah bertunang!! Ana sedih sangat-sangat. Ana harap sangat agar kata-katanya itu satu sebab untuk dia elak diri dari ana dan tidak benar.

Saufi : Kenapa akhi cakap begitu?

Fauzan : Berdasarkan mesej-mesej dia, dia amat mengharapkan ana. Tapi sekarang dia menjauhi diri dari ana. Ana dah pikir macam-macam sekarang ni...

Saufi : Jangan pergi terlalu jauh akhi, jangan terlalu layan perasaan tu.

Saufi tahu, sahabatnya amat tertekan. Saufi juga pernah alami perkara sama tahun lepas. Jalan berumahtangga yang dirintisnya terputus sekerat jalan ekoran 'badai fitnah' yang melanda. Bukan sekali dua bahkan berkali-kali. Dalam hitungannya, sudah 4 orang muslimah yang pernah dia taqdim. Namun ia bukan penghalang untuknya mencari jalan baru. Inspirasi Khairul Azzam dalam filem Ketika Cinta Bertasbih 2, watak utama yang tidak pernah putus asa dalam mencari jodoh, bagaikan terpahat kukuh dalam jiwanya. Mungkinkah sekujur Anna Althafunnisa yang akan mengisi hatinya?

Fauzan melanjutkan bicaranya penuh harap. "Ana harap akhi Saufi tolong ana. Tolong selidik tentang status dia."

Saufi : Macammana? Kenapa akhi tak hubungi keluarga dia?

Fauzan : Ana dah hubungi ayah dia tapi tiada sebarang respon.

Saufi : Lebih baik kalau akhi hubungi melalui e-mail, mungkin ayahnya sibuk untuk membalas sms akhi.

Fauzan : Emmmhhh... Akhi Saufi, ana harap sangat enta tolong selidik.

Saufi : Insya Allah akhi, ana cuba setakat mampu. Akhi tenangkan dulu fikiran. Doa, mengadu pada Allah dalam tahajud. Apa-apa nanti, ana maklumkan kepada akhi.

Fauzan : Terima kasih akhi Saufi. Cuma kadang-kadang, terdetik di hati ana orang yang taqdim Syura adalah akhi Saufi!

Fauzan memandang tepat ke mata Saufi. Terkejut dengan telahan Fauzan, Saufi cuba tenangkan keadaan.

Saufi : Akhi ceritakan tadi, banyak berhubung dengan keluarganya. Ana baru kenal keluarga dia sekalipun ana sudah lama kenal Syura.

Fauzan : Iya ana memang tahu, dan ana harap orang yang taqdim Syura bukan akhi Saufi, kan?

Saufi kembali diam. Kelu. Hatinya bersuara sayu : "Ya"

Teringat dia akan dialog nasihat Khairul Azzam kepada sahabat serumahnya .

"La iithaar fi qurubaat"- tidak ada keutamaan dalam perkara ibadah

Dia faham, perkahwinan adalah ibadah dan dalam perkara membabitkan ibadah serta mengamalkan kebajikan, perlu berlumba-lumba. Berebut mendapat pahala, tidak perlu biarkan orang lain memperolehi pahala ibadah, tapi bagaimana dengan hubungan ukhuwwah antara mereka?

Saufi tidak tahu, yang Syura sebelum ini ada hubungan rapat dengan sahabat karibnya Fauzan. Fauzan juga tidak pernah cerita tentang ini.

Salahkah Saufi? Zalimkah dia terhadap sahabatnya? Perampas?

Malam berlalu. Moga esok, ada sinar lain untuk kemelut ini..

Bersambung...

Nota kaki : *Edited by Insyirah*

Read more...

08 November 2011

Kerapuhan Sekeping Hati

Bismillahirrahmanirrahim.

Termenung memandang si kecil yang sedang membesar. Kadang, merasakan Allah mengirimkan seorang anak kecil bernama Amir Solihin untuk menghiburkan jiwa hamba Nya. Apa yang Dia aturkan pada perkara yang telah, sedang dan bakal berlaku adalah perancangan Nya yang TERBAIK buat kita semua.

Merinduikan seseorang, yang mana... kerinduan ini akan semakin bercambah dan entah bila akan surut atau terlerai kerinduan yang semakin dipendam-pendam. Puas memujuk hati agar tidak melayan rasa yang menyinggah di ruangan kalbu, bimbang akan teralir air mata jernih yang disimpan-simpan. Namun, bertemankan angin malam yang damai di kampung dengan suara cengkerik yang bertasbih kepada Rabb sedikit sebanyak hati mengimbau kenangan yang sudah jauh meninggalkan waktu. Jauh... Sehingga menerbitkan rindu yang tak sudah.

Selalu merasakan bahawa dia adalah sahabat yang baik, walaupun kadang tidak memahami diri ini namun sebagai seorang sahabat dia adalah sahabat yang sering mengingatkan kepada Allah meskipun caranya berlainan dari orang lain. Kelainan yang ada pada dirinya jualah yang menambat tali hati ini pada nasihat-nasihat dan kalam pedoman. Namun, sesekali... hati meronta-ronta menidakkan apa yang diucapkannya kerana kerapuhan hati ini sering runtuh berkecai dengan kata-katanya. :(

Acapkali kalamnya dibaca, berulang-ulang dan berakhir dengan linangan air mata. Entah... Hati sudah penat memendam rindu, rindu pada seorang sahabat yang sudah lama tidak dipertemukan. Bukan tidak berusaha, namun... Allah ada perancangan yang lebih baik, insha Allah.

**************************

"Macammana kenal dengan kakak tu? Macammana Fuzah tak tahu?"

"Kami kenal dari alam friendster lagi, bayangkanlah friendster pun dah delete."

Tersengih dengan soalan dari adinda Mahfuzah.

"Oh..."

Tiba-tiba, teringat dialog dengan adinda Mahfuzah. Ana juga rindukan 'dia'... Sudah 5 tahun kami bersahabat, hanya sekadar sahabat 'ilusi' yang Allah belum beri kesempatan untuk bersua muka. Kadang kala terbit juga air mata hiba apabila apa yang kami rancangkan seringkali Allah halang, namun di celah-celah air mata hiba dengan keputusan Allah... hati jadi makin hiba mengenangkan hati yang tidak redha dengan perancangan Allah, masakan mengaku menjadi hamba Allah tetapi dalam masa yang sama tidak redha (hiba, sedih, berduka, bermuram durja) dengan apa yang Allah aturkan dalam kehidupan :(

Hati rapuh... Kadang kala, apabila melihat anakanda Amir Solihin, tak semena-mena hati jadi sebak dan menangis memandangnya yang lena diulit mimpi... Tersenyum dalam tidur. Terbit juga monolog-monolog 'jahat' yang menghiasi jiwa lemah.

"Kalau Allah tak bagi Amir Solihin, siapa la yang nak menghiburkan hati ni?"

"Kalau Allah tak bagi Amir Solihin, sejauh manakah hati ini mengorak?"

Selalu melihat Amir Solihin bukan sahaja amanah tetapi hadiah dari Allah. Hadiah dari al-Khaliq yang terlalu berharga. Dan, hadiah ini juga membuatkan sahabat-sahabat yang berduka akan tersenyum hanya dengan melihat gambar-gambar keletah Amir Solihin yang dipaparkan di dalam facebook. Allahu Rabbi... Sahabat-sahabat juga mengesat air mata duka memandang Amir Solihin, masakan ana yang 9 bulan 'tidak pernah berpisah' dengannya tidak merasakan apa-apa.

Sahabat, ana menantikan waktu yang terbaik dalam perancangan Allah yang kita tak tahu. Mudah-mudahan Dia mempertemukan di tempat dan waktu yang terbaik. Jangan bersedih ya :)

**************************

Bila tak larat sangat-sangat, tengok muka Amir Solihin. Gagahkan juga kudrat, kerahkan segala tenaga dan lupakan semua yang dirasakan.

"Haritu jatuh bla bla bla."

Berubah muka ibu mertua.

"Jatuh dengan Amir ke?"

"Tak..."

Awal-awal lagi (sebelum dilahirkan ke dunia) sudah menyerahkan urusan Amir Solihin kepada Rabb nya yang menciptakan beliau, yang mengajarkan beliau yang tak tahu apa-apa, yang memberikan ilham kepada beliau untuk tersenyum, bermain, bergelak ketawa, meniarap dan sebagainya... Sudah menyerahkan urusan Amir Solihin kepada al-Khaliq supaya menjaga Amir Solihin sebaik-baik penjagaan Nya.

Insha Allah, Amir Solihin aman dalam jagaan Allah.

Ana tak kuat, tapi Allah bagi Amir Solihin supaya ana paksa diri jadi kuat. Baikkan Allah? Dia tak akan membiarkan hamba terdampar sendirian. Meski hati kadang menangis sedu, Dia tahu bagaimana untuk menghiburkan dengan cara dan kehendak Nya.

Ya Allah, terima kasih.
Zauji, terima kasih.
Amir, terima kasih.

Dengan segala kekurangan, baik fizikal mahupun emosi apatah lagi spiritual... ana bukanlah sahabat yang terbaik kepada sahabat-sahabat sekalian tetapi ana akan cuba berusaha untuk menjadi sahabat yang baik di saat kalian memerlukan, atas kehendak Allah juga. Wallahua'lam.


Rindukan sesuatu yang 'tertinggal' di Raudhah. Allahu Akram!

Best Quote : Kawan sejati bagimu ialah orang yang setiap kali bersua denganmu, selalu menasihati dirimu kerana Allah, serta mengingatkan nasib dirimu di hadapan Allah. Kawan seperti itu, jauh lebih baik bagimu daripada kawan yang setiap kali bertemu denganmu, dia meletakkan dinar di telapak tanganmu.

Refleksi : Adakah kita mempunyai kawan sebegitu? Atau adakah kita telah menjadi seorang kawan seperti itu? *miss she so much*


Sukar berlabuh
Sebuah bahtera keinsafan
Memberanikan aku sebagai nakhoda
Dil autan luas gelombang yang datang
Menghanyutkan segala
Kemudi ke dasar dosa...

Ku cekalkan diriku
Bergapaian air mata
Meluncur bahtera ke pulau redha
Ku pasrahkan hatiku
Meredah gelombang cinta
Yang luas menggunung menghempas dosa...

Kalau tiba kepantai putih
Hamparan pasir permaidani terbentang luas
Rahmat dan kasih sayang Mu

Kembali bertawadhuk
Di pulau yang redha ni
Ku hindarkan naluri
Segala mazmumah diri
Beralunan lautan
Bertiup bayu kesempurnaan
Di taman itu jiwa bersemadi....

Kini danau nurani bersih
Berwudhu' air mata yang gugur
Menyerah diri kepada Allah
Mendamba kasih menghina diri
Syukur hamba dengan keinsafan
Telah berhijrah akan diriku
Di bawah naungan keampunan
Hidup matiku hanya untukMu....

~ Zulfan ~

Negeri Serambi Mekah,
Ummu Amir

Read more...

04 November 2011

Mahar : Tinggi atau Rendah?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Hari ini mendengar kuliah Tafsir al-Quran, beberapa potong ayat dari surah An-Nisaa' dikongsikan bersama dengan para ibu. Sesuatu yang membuat diriku tersenyum simpul memandang encik zauj. Bercerita mengenai perkahwinan zaman sekarang, ramai lelaki yang mengeluh dan berpeluh apabila memikirkan mahar dan hantaran kepada pengantin perempuan.

Pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, ramai pemuda yang berjumpa dengan amirul mukminin mengadukan perihal wanita-wanita yang meletakkan mahar perkahwinan dengan jumlah yang tinggi. Diantara tugas pemerintah adalah memberi khutbah pada hari Jumaat semasa solat Jumaat. Maka, semasa khutbah Jumaat... Umar al-Khattab berkhutbah;

"Bertaqwalah kamu kepada Allah. Para wanita, janganlah kamu meninggikan mahar perkahwinan."

Seorang dari kalangan wanita bangkit dan bersuara di hadapan amirul mukminin Umar al-Khattab mengatakan.

"Wahai amirul mukminin, Allah meletakkan mahar yang tinggi kepada kami. Mengapa kamu merendahkan mahar kami?"

Maka, amirul mukminin bertanya kembali.

"Apakah dalil kamu?"

Wanita tersebut membacakan ayat 20 di dalam surah An-Nisa.

"Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedangkan kamu telah pun memberikan kepada seseorang antara mereka (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata."

Maka, amirul mukminin menjawab.

"Ya, kamu benar dan Umar (dirinya sendiri) salah."

Allah... begitulah. Seorang pemimpin boleh ditegur oleh orang yang dipimpinnya sekiranya melakukan kesalahan hatta yang menegurnya adalah seorang wanita.

Suasana di Malaysia, mahar ditetapkan oleh pejabat agama (setiap negeri dengan kadar berbeza) adalah nilai yang mampu dibayar kebanyakan pemuda. Namun, di dalam Islam tidak salah sekiranya pengantin perempuan menetapkan kadar mahar mengikut kemahuan dirinya. Kebanyakan pengantin di Malaysia ditetapkan mas kahwin dengan kadar yang rendah tetapi wang hantaran yang tinggi :)

Ramai menafsirkan hadith Rasulullah mengenai mahar kahwin dengan ucapan "sebaik-baik mahar adalah mahar yang rendah", sebaliknya yang dimaksudkan adalah "mahar yang mudah". Tidak kiralah berapa nilai mahar yang ditetapkan oleh pengantin perempuan, itu adalah haknya. Pengantin perempuan tersebut yang akan hidup dengan pengantin lelaki, bukannya keluarga pengantin perempuan.

Jadi, keluarga hanyalah menjadi pencadang kepada kadar mas kahwin bukannya penentu kepada kadar mas kahwin. Di dalam Islam juga, sekiranya perempuan tersebut memiliki apa-apa kelebihan (contohnya menjahit, memasak, menjaga anak dsb) maka Islam tidak melarang untuk meletakkan mahar yang tinggi atas asbab kelebihan yang dimiliki oleh wanita tersebut.

Begitulah Islam meninggikan seorang wanita, Islam 'melayan' wanita dengan cara yang sangat indah.

Contoh : Mahar Yang MUDAH.

1.

Muhammad meminang Sumayyah, apabila berbincang mengenai mas kahwin (mahar) keluarga Muhammad mencadangkan sebanyak RM 2000. Ibubapa Sumayyah meminta mahar dinaikkan kepada RM 5000 kerana Sumayyah berkelayakan akademik (contoh : degree, PhD). Tetapi, Sumayyah menetapkan maharnya sebanyak RM 6000 dan dipersetujui oleh Muhammad.

Maka, Muhammad perlu memberikan mahar seperti yang diminta oleh Sumayyah atas asbab kelebihan yang dimilikinya.

2.

Ahmad meminang Fatimah dengan meletakkan mas kahwin sebanyak RM 2000, kedua ibubapa Fatimah bersetuju tetapi Fatimah mengatakan bahawa beliau meletakkan maharnya sebanyak RM 1000.

Maka, Fatimah telah memudahkan urusan maharnya dengan tidak memberatkan Ahmad untuk memberi mahar yang tinggi.

Kedua-dua situasi diperbolehkan di dalam Islam. Wanita boleh meninggikan atau mengurangkan mahar kerana mahar adalah miliknya. Sekiranya seorang lelaki menikahi wanita dengan cara "berhutang" mas kahwinnya, lelaki tersebut perlulah melunasi mahar kepada isterinya sebelum 'tidur' bersama. Seorang lelaki tiada hak memaksa isterinya 'tidur' bersama selagi mana belum memberikan mas kahwin. Sekiranya dipaksa, wanita tersebut boleh memfailkan kes di mahkamah.

Selalu terjadi... ibubapa pengantin perempuan yang menentukan kadar mas kahwin kepada pengantin lelaki sedangkan dalam syariat Islam, mas kahwin adalah kepunyaan isteri dan isteri berhak untuk menentukan seberapa banyak yang dimahukannya.

Di Malaysia, mahar rendah tetapi wang hantaran banyak :)

Nak berkahwin dengan janda pun dimintanya hantaran RM 10, 000 ^__^

Teringat semasa encik zauj bertanyakan kadar mas kahwin kepada ana sebelum berkahwin. Ana menjawab "ikut suka" tetapi terus-terusan didesak. Rupanya baru hari ini tahu bahawa pengantin perempuan berkuasa VITO meletakkan seberapa banyak mas kahwin yang dimahukannya. Setelah mencapai kata sepakat pada kadar yang ditetapkan, ummi meminta encik zauj agar menambahkan RM 1. ^__^

Kenapa RM 1?

Sebab... Dulu, orang selalu tanya ada ke lelaki yang nak kahwin dengan Insyirah yang selalu sakit. Ummi sentiasa membalas pertanyaan tersebut dengan ayat power.

"Emmm... ambillah siapa yang nak (kahwin), bagi 20 sen je."

Hehehe... tiba waktu untuk menetapkan mahar, ummi up grade jadi RM 1. Ok lah kan... Selepas diberikan mas kahwin, tayang RM 1 pada ummi.

"Nah, RM 1 untuk ummi."

"Ambillah... tu Insyirah punya!" ^__^

Iye juga kan, ummi nak 20 sen je. Kih kih kih.

Kesimpulannya, tinggi atau rendah mahar seorang pengantin perempuan terletak kepada DIRINYA sendiri dan bukannya ditentukan oleh ibubapa. Ibubapa hanyalah pencadang sahaja. Wallahua'lam.

Yassiru wala tu'assiru. Permudahkanlah dan janganlah susahkan...


"Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya."
(Surah An-Nisa ayat 4)


Seeking mardhatillah,
Ummu Amir

Read more...

02 November 2011

Amir Meniarap

Bismillahirrahmanirrahim.

01-11-2011

Selasa

3 bulan 2 minggu 6 hari

Amir Solihin berjaya meniarap ^__~


Caiyok anak ummi, hari ini abi Amir mandi dan mencabar katanya nak pakaikan baju Amir. Dah 2 hari ummi jalan seret kaki, Amir pun berjalan angkat kaki kanan je seret kaki kiri juga... ^_~

Read more...

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

... syukran ...

Free Hit Counter Syukran 'ala ziarah ^_~

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO