Belajarlah Sunnah Rasulullah
Bismillahirrahmanirrahim.
"Kalau nak tahu solehah atau tidak seorang isteri, uji dengan poligami."
"Sebab itulah adanya poligami, supaya orang perempuan belajar bla bla bla..."
"Poligami itu sunnah nabi, kalau kau menentang poligami sama juga kau menentang nabi!"
Astaghfirullah hal azhim. Sebelum menaip ungkapan-ungkapan ini, ana terlebih dulu beristighfar berulang kali dan mententeramkan diri dengan berselawat sambil halwa telinga diperdengarkan selawat dan puji-pujian ke atas Rasulullah s.a.w. supaya tetap bersederhana terhadap kawalan emosi.
Poligami seringkali dikaitkan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
Sebelum berkahwin, ana hanya 'diperkenalkan' kepada Rasulullah melalui sirah nabawi dan juga sedikit cerita-ceriti dari ustaz semasa mendengar ceramah di bulan maulud nabi sahaja. Selepas berkahwin, alhamdulillah mengikut talaqqi yang memperdengarkan hadith-hadith dan sirah nabawi di dalam kitab Syamaail Muhammad sehingga terduduk rasanya, terasa baru berkenalan dengan Rasulullah.
Rabun Dekat Rabun Jauh.
Orang lelaki kebanyakannya memandang perkara yang besar tetapi terlupa melihat perkara-perkara yang kecil. Orang lelaki, melihat yang jauh-jauh tetapi terlepas pandang perkara di depan mata. Kerana itu jugalah orang lelaki sinonim dengan jolokan "Rabun Dekat" kerana tidak mahu melihat apa yang dekat tetapi terus memandang yang jauh.
Orang perempuan kebanyakannya memandang perkara yang kecil tetapi tidak mahu melihat perkara-perkara yang besar. Orang perempuan melihat yang hampir-hampir sahaja dan jarang mahu meluaskan pandangan hingga saujana mata memandang. Kerana itu jugalah orang perempuan sinonim dengan jolokan "Rabun Jauh" kerana tidak mahu melihat yang jauh-jauh. Fikirannya disingkatkan dengan akal yang sejemput, tambah pula tidak mahu diikat dengan iman maka apa yang difikirnya sudahlah singkat... dangkal pula.
Duduklah dipertengahan. Didik mata untuk sentiasa memelihara pandangan :) Maksud ana, lelaki dan wanita perlu sama-sama saling berkenalan dan mengambil tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing agar yang kurang ditampung-tampungkan, yang lebih dikongsi-kongsikan. Insha Allah...
Orang Kebanyakan.
Ramai juga lelaki kebanyakan (maksudnya orang awam yang tak memahami agama dan tidak mahu belajar tentang agama) memandang poligami bukan sahaja gurauan senda bahkan ahli agamawan juga seringkali menggunakan kalimah poligami sebagai pemanis bicara sehingga mengakibatkan kaum hawa menjeruk rasa. Bukanlah menidakkan apa yang Allah taqdirkan (syariat) tetapi mahu dibukakan sedikit ruang yang telah disempitkan oleh kaum Adam sendiri.
Para wanita yang tidak didedahkan dengan konsep poligami menurut sunnah nabi (yang sebenarnya) memandang syariat Allah sebagai satu undang-undang yang tidak menyebelahi wanita bahkan sehingga suatu saat ia seakan mengancam kaum wanita bahawa poligami adalah 'pedang' yang memancung kebahagiaan dalam rumahtangga, maka lahirlah pelbagai pendapat yang mendakwa Islam memandang rendah terhadap wanita, bahkan lebih teruk lagi apabila mereka mencanang bahawa Islam menganiaya wanita.
"Mereka yang gegak gempita melaungkan hak asasi wanita tu tak belajar Surah An-Nisa', entah-entah tak baca pun Surah An-Nisa'."
Itulah yang dikatakan oleh suami sewaktu awal-awal berkahwin dulu, masih di dalam fasa bulan madu bintang dan matahari.
"Ajarkanlah wanita-wanita tentang surah An-Nisa' dan surah An-Nuur kerana di dalam dua surah ini banyak membincangkan tentang wanita."
Sekali lagi suara suami bergema di halwa telinga yang membuatkan diri terasa begitu berharga.
Persepsi Berubah.
Sebelum berkahwin, persepsi ana terhadap poligami sesuatu yang nampak sinis. Pendapat ana, lelaki terlalu 'cetek' menggertak wanita dengan perkara-perkara berkaitan poligami sehinggalah terjadi suatu perkara kepada diri sendiri... Lalu muhasabah sendiri.
Seorang wanita yang menyokong suaminya (suami tidak memerlukan keizinan isteri pertama untuk berpoligami) berkahwin lain dengan seorang gadis di saat dirinya sedang sarat mengandung. Meskipun suaminya tidak berjodoh dengan gadis tersebut namun wanita itu masih lagi bersikap selamba apabila bertemu dengan gadis yang pernah menjadi bakal madunya.
Melihat situasi ini, ana berfikir sejenak. Bukan nak kata susah untuk jumpa dengan muslimah begini bahkan sangatlah payah untuk akal berfikir ada atau tidak muslimah sebegini pada zaman penuh fitnah.
Belajarlah Sunnah Nabi Bukan Punahkan Sunnah.
Wanita dimomokkan akan mendapat 'payung emas' di akhirat kelak sekiranya rela dimadukan oleh suaminya. Tiada nas yang sohih mengenai perkara ini, hanya omongan kosong dari pihak lelaki yang mahu melembutkan hati wanita lalu 'ditipu hidup-hidup' dengan perkara payung emas.
Sunnah Rasulullah bukanlah hanya kepada poligami. Lihat juga sejarah bagaimana bermulanya hidup Rasulullah berpoligami, poligami Rasulullah semuanya BERMATLAMAT bukannya sekadar menambah koleksi 'perhiasan dunia'. Ramai lelaki yang sering menakutkan wanita dengan poligami bahkan ditambahkan perisa dengan ugutan sekiranya menolak poligami samalah juga menolak hukum Allah, menidakkan poligami maka menidakkan juga sunnah Rasulullah.
Jadilah seorang anak sepertimana Rasulullah menjadi ANAK.
Jadilah seorang suami sepertimana Rasulullah menjadi SUAMI.
Jadilah seorang bapa sepertimana Rasulullah menjadi BAPA.
Jadilah seorang sahabat sepertimana Rasulullah menjadi SAHABAT.
Jadilah seorang jiran sepertimana Rasulullah BERJIRAN.
Jadilah seorang pemimpin sepertimana KEPIMPINAN Rasulullah.
Tiliklah diri terlebih dahulu, kalau seorang isteri tidak mampu dijinakkan seperti lembutnya peribadi Sayyidah Khadijah... apakah mahu menambah beban mendidik sedangkan apa yang ada di depan mata sahaja tidak terdidik.
Selepas 'khatam' peribadi Rasulullah dengan teori serta amali, hidupkanlah sunnah-sunnah Rasulullah bersama isterimu. Didik dan fahamkan isterimu mengenai sunnah-sunnah Rasulullah dan suburkanlah sunnah-sunnah Rasulullah di dalam rumahtanggamu kemudian barulah berbual poligami itu sunnah Rasulullah. Dan setelah itu barulah boleh bercakap sekiranya isterimu menentang poligami, dirinya menentang sunnah nabi dan syariat Ilahi.
Fahamkan... Fahamkan... Fahamkan isterimu!
Bagaimana untuk fahamkan si isteri andai suami pun belum faham dan tidak mahu faham kemudian buat-buat faham, maka... itulah yang terjadi. Kehidupan rumahtangga menjadi porak peranda, masing-masing menuntut kefahaman sedangkan tiada pihak yang mengajar memberi faham :)
"Orang yang paling baik dikalangan kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya dan akulah yang paling baik terhadap keluargaku." -mahfum hadith-
*mujur juga ada bulan maulud, dengar juga sirah Nabi. Kalau Maulud tak bersambut, ramailah yang tak tahu sirah Nabi*
Wallahua'lam
Ummu Amir
8 leaves:
Salam.. sy terkejut gak baca ayat yg warna ijau2 kat atas tuh...rasa geram pun ada.... walaupun isteri soleh kak... hati dia mesti rasa sedih... kena berkongsi kasih...walaupun mulut kata ok ok...tapi hati tak kak... jd sy xbape nak kenan ayat kat atas tuh...org yg betul2 kuat je leh terima kak... secebis pandangan dr org yg belum kahwin
suka :)
salam.kak Insyirah Soleha..selalu suka baca semua entry akak. semoga sihat2 selalu di samping mujahid kecil ^_^. Hmm tentang poligami, saya baru khatam novel terbaru fatimah syarha, sebarkan cintaMu. Banyak pencerahan yang mungkin asing bagi saya yang kurang mengkaji. Novel yang sangat ilmiah sebab ianya hasil kajian tesis beliau. Novel yg padat dengan fakta fiqh :)
ilmu yg bermanfaat..
Iman :)
Ayat hijau yang mana satu? Boleh bagitahu ayat yang mana? :)
rimbunhijau:
apa yang sukanya ? :P
Salam buat Ummu Zafran.
Saya belum baca lagi buku Fatimah Syarha tu. Insha Allah nanti akan diusahakan cari ;) Terima kasih
Azekzk :
Insya Allah.
Post a Comment